Jumaat, 13 Julai 2012

JIKA ITU KETENTUAN ALLAH@TAKDIR 'TERGOLEK' ...MAKA TAK DAPAT NAK TOLONG....KECUALI DOA YANG MAKBUL...BAGAIMANA NAK MAKBUL KALAU KITA BUAT MAKSIAT DAN RAGU2 DENGAN UNDANG2 ALLAH SWT....

Polis benarkan Himpunan Oren esok

Salmiyah Harun, 13 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Polis membenarkan Himpunan Oren Selamatkan Felda dan perarakan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman memberitahu demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Daerah Kepong dan Brickfields di IPD Kepong hampir dua jam bermula 3.30 petang ini.

Katanya, perarakan hanya dibenarkan sehingga 600 meter dari pintu 3 Istana Negara.

(Berita lanjut menyusul)

Kronisme masih kukuh dalam urus kelola negara

Mohd Azmi Abdul Hamid, 13 Jul 2012
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendapati budaya kronisme dalam pentadbiran negara maseh kukuh malah mendapat rangsangan kuat dari pemimpin dan bekas pemimpin negara.
Bermula dari kes tender secara rundingan terus sehingga kes anugerah kepada syarikat tanpa ketelusan dan tanpa tender terbuka. Negara ini jelas mengabsahkan amalan kronisme yang sangat ketara.

Walaupun jelas ia bertentangan dengan prosidur yang piawai dalam meluluskan tender, namun untuk menjamin rakan kroni mendapat tender tersebut walaupun harga yang ditawar jauh lebih tinggi dari syarikat yang lain dalam tender terbuka.

Teras berani mengatakan tidak ada kontraktor dalam kelas apa sekalipun di negara ini yang dapat menafikan betapa proses pemberian tender sarat dengan amalan kronisme dan rasuah.

Dengan sebab itu negara dan rakyat menanggung segala beban kos yang terpaksa dibiaya kerana kos di sebalik dokumen resmi adalah jauh lebih tinggi.


Oleh kerana itu Teras mendapati faktor utama kenapa sesuatu projek menjadi terlalu mahal adalah kerana sistem kronisme dan rasuah menjadi sangat lazim di negara ini.

Lebih malang lagi tender diberi kepada sebuah syarikat yang mengenepikan syarikat kerajaan yang strategik. Padahal hal syarikat itu sepatutnya lebih diuutamakan kerana ia mempunyai kepentingan negara.

Teras kesal dengan kes pemberian pembekalan minyak untuk MAS kepada syarikat Petron yang dikaitkan dengan anak bekas PM yang juga dikaitkan dengan pembelian sebuah perusahaan arak San Maguel.

Tun Mahathir sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan Petronas mendahului segala kepentingan kerana ia adalah aset negara. Ini bukan kali pertama beliau melakukan penyalahgunaan pengaruhnya untuk memastikan anaknya mendapat tender besar untuk syarikat peribadi.

Kerajaan perlu jelaskan kenapa syarikat penting milik negara Petronas dan MAS harus ditundukkan kepada kehendak sebuah syarikat peribadi yang boleh menjejaskan kepentingan kedua dua syarikat strategik kerajaan.

Terlalu banyak perundingan urusniaga di negara ini yang  mengutamakan kroni lebih dari kepentingan negara. Apakah negara ini akan terus diurus kelola dengan cara sumber negara difaraid sesama kroni yang tidak mempunyai agenda lebih utama dari mengaut keuntungan paling lumayan?

Sudah sampai masanya suatu rombakan besar besaran dilakukan ke atas dasar penganugerahan tender terutama dalam sektor yang mempunyai kepentingan negara dan rakyat.

Berhati-hati bila mandi di hotel

http://biaqpila.blogspot.com/, 13 Jul 2012


DEY MACHA!!!
DEY MINACHI!!!
BILA PIGI TIDOQ ITU HOTEL
JANGAN KASI MANDI ITU BILIK AIR PUNYA DALAM
SEKARANG MANYAK TARUK ITU CCTV
KAH! KAH! KAH!

Berhati-hati apabila anda menginap di hotel,kerana pada zaman serba canggih ini berbagai bentuk kamera tersembunyi tersedia untuk merakam aktiviti anda.Pastikan bilik hotel yang disewa bebas dari peralatan sebegini,terutamanya kepada kaum wanita.


CONTOH KAMERA TERSEMBUNYI YANG PALING ORANG TAK TAU:


Kamera berbentuk suis lampu


Kamera dengan perakam video digital berbentuk pengesan asap (Smoke Detector Hidden Camera With DVR)

Kecuaian anda dalam memastikan suasana yang bebas dari anasir skodeng ini akan meyebabkan aktiviti anda dalam bilik hotel mungkin tersebar ke seluruh dunia dengan teknologi yang ada sekarang. Jadi berhati-hatilah selalu...

Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2012/07/berhati-hati-bila-mandi-di-hotel.html#ixzz20UOMX9iH



Hudud dan politik

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 13 Jul 2012
Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.

Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.


Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang  jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah.  Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.


Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi.  Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.


Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.


DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Presiden PAS


Al-Fatihah buat ibu Abu Bakar Chik

Khairul Azlan Muhamad, 13 Jul 2012
KUALA NERUS: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik kehilangan ibundanya Esah Yusuf, 88, yang telah meninggal dunia sakibat sakit tua.

(Ustaz Abu Bakar Chik sebelum mengimamkan solat jenazah allahyarham ibunya, Esah Yusof di rumah Kampung Tepoh, Kuala Nerus.)

Allahyarham Esah disahkan meninggal dunia di rumah di Kampung Tepoh, kira-kira jam 7.53 petang semalam di sisi anak-anak termasuk Ustaz Abu Bakar Chik dan ahli keluarganya.

Ustaz Abu Bakar menyifatkan pemergian allahyarham ibundanya adalah ketentuan Allah swt yang pasti dihadapi oleh setiap makhluk yang bernyawa.

Menurut beliau, ibu adalah ‘permata hati’ yang sangat disayangi serta menjadi inspirasi dalam perjuangan Islam PAS.

“Saya harap dan mendoakan agar ibu dan bapa yang telah ‘pergi’ (meninggal dunia) dicucuri rahmat-Nya dan tergolong di kalangan hamba yang beramal soleh.

“Kami semua redha dan terima kehilangan ibu yang banyak mendorong semangat perjuangan Islam, Insya’Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PAS Pusat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang datang menziarahi jenazah ibunya.

Ustaz Abu Bakar mengimamkan solat jenazah allahyarham ibunya bersama 100 orang pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Tok Jiring serta orang ramai.

Hadir sama Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, pimpinan PAS setempat termasuk Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tepoh kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Talam: Terima kasih kepada MB Selangor

Mohd Rafizi Ramli, 13 Jul 2012
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang menghuraikan secara konsep usaha-usaha pentadbiran beliau mengutip hutang dari Talam Corporation kepada Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang minggu ini.

KEADILAN menghormati pemisahan di antara pentadbiran Kerajaan Negeri dan pendirian parti. Oleh sebab itu, tidak ada pimpinan parti yang mendahului kenyataan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim supaya segala proses mengikut prosedur dan undang-undang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebelum jawapan politik dilontarkan kepada MCA/Barisan Nasional.

Biro Politik KEADILAN yang bermesyuarat pada hari Rabu, 11 Julai telah memutuskan supaya pimpinan parti boleh mula mematahkan fitnah MCA di medan politik, setelah berpuas hati bahawa semua tindakan pentadbiran di peringkat Kerajaan Negeri telah pun dilaksanakan dengan baiknya.

Oleh itu, saya haruslah bermula dengan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Datuk Chua Tee Yong yang cuba memutar belitkan fakta untuk memfitnah Kerajaan Selangor tetapi tidak sedikit pun memohon maaf kepada rakyat Selangor bagi pihak MCA atas penyelewengan dan rasuah yang dilakukan bersama dengan Umno sehinggakan ribuan ekar tanah dan ratusan juta wang rakyat hangus begitu sahaja.

Talam Corporation adalah anak emas Umno/MCA di bawah pentadbiran mereka dahulu. Selain diberikan tanah, Talam Corporation juga mendapat pelbagai projek besar yang dikendalikan oleh Kerajaan Selangor pada ketika itu.

Maka tidak hairanlah, sekurang-kurangnya 4,259 ekar tanah telah dipindahmilik kepada Talam Corporation di bawah pentadbiran Umno/MCA di Selangor. Lebih memualkan, pentadbiran Umno/MCA juga menutup mata kepada kegagalan Talam Corporation membayar cukai tanah dan premium kepada Kerajaan Negeri, termasuk bagi tanah-tanah seperti berikut:

1.      RM11.26 juta tunggakan cukai tanah bagi tanah seluas 1,276 ekar di Bukit Beruntung

2.      RM526,421 tunggakan cukai tanah bagi tanah seluas 25.94 ekar di Bukit Beruntung

Tidak cukup dengan kealpaan kerajaan Umno/MCA mengutip cukai tanah dari kroni mereka, rakan-rakan karib Datuk Chua Tee Yong di dalam MCA juga tidak segan silu membenarkan tanah-tanah ini dicagarkan pula oleh Talam Corporation kepada bank, sedangkan mengikut undang-undang selagi cukai tanah belum dibayar hakmilik tidak boleh dipindahkan.

Oleh sebab kealpaan dan penyelewengan MCA jugalah, sebahagian besar tanah seluas lebih 4,000 ekar ini digadaikan oleh Talam Corporation kepada bank.

Hutang bank tertunggak Talam Corporation kepada bank, ketika Kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil keputusan nekad merampas tanah-tanah ini, sudah pun mencecah RM286 juta.

Pada masa yang sama, Talam Corporation juga berhutang dengan anak-anak syarikat Kerajaan Selangor apabila pelbagai projek usahasama dan tender yang dimenanginya gagal disiapkan.

Sekali lagi, rakan-rakan karib Datuk Chua Tee Yong langsung tidak menghiraukan rekod buruk Talam Corporation apabila tender-tender dan perjanjian usahasama ini dianugerahkan kepada Talam Corporation.

Akibat dari pelbagai projek usahasama dan tender yang gagal, Talam Corporation berhutang sejumlah RM392 juta kepada anak-anak syarikat Kerajaan Selangor.

Penyelewengan yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno/MCA ini akhirnya terpaksa diselesaikan oleh pentadbiran Pakatan Rakyat.

Ini bermula dengan merampas kembali tanah-tanah dan harta yang masih dimiliki Talam Corporation, termasuklah tanah-tanah yang telah digadaikan kepada bank-bank. Jumlah tanah-tanah dan harta yang dirampas dari Talam Corporation oleh pentadbiran Pakatan Rakyat mencecah RM684 juta.

Pun begitu, tanggungjawab kepada pemiutang lain dan bank juga perlu diselesaikan supaya tanah-tanah ini bebas dari gadaian dan boleh dibangunkan oleh anak-anak syarikat Kerajaan Selangor di masa hadapan.

Dari jumlah RM684 juta harta yang dirampas tadi, sejumlah RM292 juta digunakan untuk melangsaikan hutang-hutang bank dan pemiutang lain untuk membebaskan tanah-tanah tersebut dari gadaian.

Hasil bersih inilah; yang berjumlah RM392 juta adalah bersamaan dengan hutang-hutang Talam Corporation, yang akhirnya berjaya dikutip oleh pentadbiran Pakatan Rakyat.

Kiraan ini adalah cukup mudah, tetapi dirumitkan oleh Datuk Chua Tee Yong untuk mengaburi mata rakyat.

Saya memberi amaran supaya beliau cepat-cepat menghentikan fitnah ini sebelum lebih banyak fail-fail penglibatan pimpinan MCA dalam kesemua usahasama dan projek yang gagal ini didedahkan kepada rakyat.

Dah nak tergolek baru panggil kami

Aspan Alias, 13 Jul 2012
Rupa-rupanya semalam PM Najib telah memanggil semua bekas-bekas wakil rakyat BN seluruh negara ke kediaman beliau untuk meminta bantuan untuk BN menghadapi pilihanraya yang paling getir buat parti pemerintah sejak negara merdeka.

Dalam keadaan sebegini tentulah sebab kenapa mereka dipanggil itu ialah kerana Najib tidak begitu yakin meraih kemenangan apabila menghadapi parti-parti ‘alternative’ dalam PRU akan datang ini.

Dua orang bekas ADUN dan seorang bekas ahli parlimen telah menghubungi saya dan ketiga-tiga orang ini mempunyai cerita yang sama.

“Dah nak tergolek baru panggil kami,” kata salah seorang yang menghubungi saya itu.

Menurut kata ahli MUBARAK itu, Najib mengakui yang tekanan terhadap UMNO dan BN sangat kuat dan pihak PR begitu serius dalam usaha untuk ke Putrajaya itu.

“Kami bekas-bekas ADUN dilayan macam orang tidak berguna. Saya pergi saya hendak mendengar temberang Najib dan Muhyiddin sahaja. Kami ini ibarat orang yang ‘dipanggil datang, di suruh pergi. Itu sahaja,” kata bekas ADUN yang masih menganggotai jawatankuasa UMNO bahagian itu.

Bekas ahli parlimen dan Menteri pula berkata, “Muhyiddin kata ada peningkatan sokongan bagi UMNO sekarang. Aku diam aje. Dalam hati aku bertanya, kat mana dia pertambahan sokongan itu? Kat Johor sendiri pun banyak kerusi BN akan lingkup,” katanya kepada saya.

Apa yang dilakukan oleh Najib ini tidak ada salahnya kerana bekas-bekas wakil rakyat ini merupakan ahli-ahli kepada parti-parti komponan BN dan Najib ada ‘moral standing’ untuk memanggil mereka dalam BN sedang menghadapi penyakit yang tidak dapat diubati ini.

Dalam lain perkataan Najib hanya memanggil dan menjadikan mereka orang-orang penting dalam keadaan tersepit.

Tetapi Najib tidak pernah meminta pandangan mereka sebelum melakukan apa-apa tindakan dan pelan gerakan parti bagi menghadapi PRU kali ini.

Selama ini Najib, orang nombor satu negara itu hanya memberikan tumpuan kepada pandangan ‘consultant-consultant’ politik beliau sahaja dan beliau tidak bertapak kepada bumi yang nyata.

Semasa saya menulis posting ini saya telah mendapat panggilan dari seorang bekas Exco kerajaan sebuah negeri dan beliau memberi tahu yang Najib sedang nazak politiknya.

“Apa yang saya benci sekarang ini, jika BN masih dapat kuasa hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan mendapat habuan dan kami ini hanya dijadikan landasan untuk mereka menyamun dan merompak kita.

"Bagi saya UMNO sudah sampai waktunya untuk dibersarakan bagi memberi harapan kepada rakyat yang ramai mendapat nikmat kekayaan negara,” kata beliau yang pernah menjadi exco kerajaan dalam pertengahan lapan puluhan tahun dahulu.

“Orang bawahan hanya di anggap sebagai kaldai sahaja. Lepas kroni Mahathir, kroni Najib pula yang membelasah. Lepas tu kroni Muhyiddin dan kroni-kroni MB-MB pula yang mengaut keuntungan sokongan ramai.

"Orang ramai dapatlah BRIM, beratur sepanjang-panjangnya untuk mendapat sejemput duit untuk menyambung kehidupan yang terdesak,” Sambungnya lagi.

Sebenarnya apa yang diperlukan rakyat ialah dasar yang kuat untuk rakyat dan dilaksanakan secara betul. Dasar itulah yang sepatutnya turun kebawah dan bukannya batang tubuh pemimpin. Mahal harganya untuk Najib turun acapkali kebawah tetapi rakyat hanya dapat makan karipap sahaja.

Rakyat sudah jelak dengan sikap pemimpin berebut-rebut berniaga dengan rakyat yang ramai. Rakyat sudah tidak tahan lagi menteri-menteri yang sepatutnya melakukan ‘supervision’ terhadap pegawai dan penjawat awam yang sepatutnya melaksanakan dasar itu telah masuk campur dalam perniagaan bersama-sama pegawai kerajaan.

Di negara ini sahaja kita mendengar menteri-menteri adalah kontraktor, menteri-menteri juga meupakan pembekal kepada kerajaan dari membekalkan mee maggi sehingglah membekalkan kapal selam untuk pertahanan negara.

Anak-anak pemimpin kita juga yang mengambil alih syarikat-syarikat strategik negara seperti yang dilakukan oleh anak Mahathir dengan mengambil alih Exxon Mobil dan memaksa MAS membeli bahan bakar dari syarikat itu untuk keperluan syarikat penerbangan negara, MAS.

Pemimpin besar negara juga lah yang mengambil wang Petronas untuk menyelamatkan perniagaan anak kesayangannya. Cakap pemimpin ini bergegar-gegar memarahi orang Melayu yang terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk hidup tetapi semua anaknya bergantung kepada harta benda rakyat untuk menjadi kaya raya yang tidak terperi.

Sebagaimana yang dikatakan oleh salah seorang yang hadir dalam pertemuan dengan Najib semalam, “Nampak sangat yang mereka (pemimpin-pemimpin) rasa terdesak dan meminta sokongan kami yang sudah lama dilupai ini. Pergi jahannamlah!!” kata beliau marah-marah.

Source: http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/07/bekas-wakil-rakyat-bersungut.html

Pemuda PAS minta kerajaan tutup kedutaan Syria

Harakahdaily, 13 Jul 2012
PUTRAJAYA: Satu memorandum bantahan terhadap kezaliman reji Bashar al-Assad telah dihantar oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kepada Kementerian Luar di Wisma Putra, di sini, semalam.
Memorandum tersebut bertujuan mengutuk perlakuan zalim kerajaan Syria ke atas rakyatnya.

Setiausaha Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi berkata, memorandum itu adalah untuk mendesak kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan tegas terhadap kezaliman rejim pemerintahan Bashar al-Assad dan kerajaan Syria.

“Kami melihat kezaliman yang dilakukan oleh Bashar al-Assad telah melampaui batas kemanusiaan kerana membunuh ribuan rakyat negaranya tanpa belas kasihan," ujarnya.

Sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia telah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil dari negara Asean dan mencapai beberapa resolusi antaranya adalah mengutuk dan menyatakan bantahan secara tegas dan keras ke atas kezaliman yang berlaku di Syria oleh rejim Bashar al-Assad.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS meminta agar kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Syria di Malaysia dan menghantar pulang duta besar Syria di Malaysia.

“Kami juga mahu kerajaan Malaysia mendesak Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam [OIC] agar segera bersidang dan membincangkan isu ini secara serius sekaligus menghentikan kezaliman ini dari terus berlaku.

“Manakala kerajaan Malaysia perlu menyuarakan pandangan rasmi yang menolak sebarang campur tangan dari pihak luar terutamanya Amerika dan sekutunya," kata beliau lagi.

Beliau ditemani Penolong Setiausaha 2 dan 3, Ustaz Syed Abdul Kadir dan Yusapiza Yaacob.

Memorandum tersebut diterima oleh wakil Kementerian Luar, Abdul Samad Othman dan Datuk Norhaidi Che Dan selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Luar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan