Jumaat, 13 Julai 2012

TAQWA SERTA RAHMAT ALLAH SWT JAMINAN KITA MASUK SYURGA DAN ALLAH JAUHKAN DARI NERAKA

Tangan melekat jika khianati harta awam

Nik Muhammad Nasri Nik Malek, 15 Jun 2012
Berlaku benar dalam semua perkara adalah tuntutan Islam. Di antaranya benar dalam menguruskan harta awam. Lawannya ialah khianat atau menipu. Di zaman kita ada audit. Di zaman dahulu ada cara audit tersendiri. Tangan akan melekat kepada tangan Nabi jika ada harta yang dikhianati. Kalau ia berlaku di zaman kita, adakah tangan para pembesar, penguasa, raja, PM, para menteri kabinet, MB atau mereka yang diamanahkan menguruskan harta awam itu semuanya akan melekat? WallahuA’lam. Namun, ia tetap menjadi AMARAN dari Khaliq kepada makhluk.   (Huraian hadis ini di dalam kuliah audio riadhussalihin bilangan ke 108, 28 Nov 2011)

Daripada Abu Hurairah, katanya: Nabi SAW bersabda, bermaksud: Salah seorang dari para Nabi terdahulu berperang (ada yang mengatakan beliau adalah Yusha’ bin Nuun). Dia berkata kepada kaumnya: ‘Tidak boleh mengikutku lelaki yang baharu berkahwin dan belum bersatu, sedangkan dia ingin bersatu (dalam riwayat hadis itu menyebut ‘membina qubah dari jerami gandum-satu adat di zaman dahulu apabila berkahwin), atau seorang yang membina rumah dan belum menyiapkan atap, atau seorang yang membeli kambing atau unta dan menunggu kelahiran anaknya.

Lalu Nabi itu berperang, mendekati sebuah kampung (ada ulama mengatakan Ariha/Jericho) pada waktu Asar atau hampir terbenam matahari. Nabi itu berkata kepada matahari: ‘Sesungguhnya engkau diperintah (oleh Allah) dan aku juga diperintah (oleh Allah). Ya Allah! Tahanlah matahari untuk kami.’ Lalu matahari itu tertahan sehingga Allah memberikan kemenangan kepadanya.

Mereka mengumpulkan harta rampasan perang lalu datang api memakannya ( harta rampasan perang tidak dihalalkan bagi umat terdahulu. Api datang memakan harta itu bagi menunjukkan ia diterima Allah). Tetapi kali ini api tidak memakannya. Nabi itu berkata: ‘Sesungguhnya di kalangan kamu ada orang yang mengkhianat/mengelat dalam harta yang dirampas. Setiap kabilah mesti diwakili seorang lelaki dan berjanji setia denganku. Tiba-tiba tangan seorang lelaki melekat. Nabi berkata: ‘Di kalangan kamu ada yang mengkhianati. Setiap orang dari kabilah kamu mesti berjanji setia denganku. Mereka bersalaman lalu melekat tangan 2 orang atau 3 orang di tangan Nabi itu. Nabi berkata: ‘Di kalangan kamu ada pengkhianat.’ Mereka datang membawa emas sebesar kepala lembu lalu diletakkan bersama harta rampasan perang yang lain. Api datang memakannya.

Harta rampasan perang tidak halal bagi seorangpun di kalangan mereka sebelum kita. Kemudian Allah menghalalkan harta rampasan perang itu untuk kita tatkala Allah melihat kelemahan dan ketidakmampuan kita, lalu dihalalkan untuk kita.

Muttafaqun alaih.

(Riadhussalihin jilid 1 ms 86-88)

http://www.niknasri.com

Syukur, muhasabah diri tanda taqwa

Asmaa' Syahirah As'ari, 16 Jun 2012
Sebagai manusia kita seharusnya bersyukur kerana Allah telah menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk dan ciptaan. Manusia diciptakan berakal, berperasaan dan mempunyai fitrah semulajadi yang tidak semua dikurniakan kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin: Ayat 4).

Justeru, kita seharusnya merafakkan tanda syukur kita kepada Tuhan dengan cara menjadikan diri kita sesempurna insan. Dalam erti kata lain, mencontohi nabi kita Muhammad SAW yang mana baginda merupakan uswatun hasanatun atau contoh ikutan terbaik untuk umat manusia sepanjang zaman.

Hal ini kerana peribadi dan akhlak baginda Rasulullah begitu mulia dan terpuji semulia nama baginda. Baginda telah menunjukkan sifat dan peribadi yang begitu agung, di mana sekali pun baginda SAW tidak menzahirkan kemarahan atau kebencian bila mana baginda dihina, dicaci, dicerca dengan begitu hebat sekali semasa zaman baginda, bahkan segala keburukan yang dilemparkan ke atas baginda dibalas dengan baik, sabar, malah mendoakan kebaikan kepada musuh-musuh baginda.

Lantaran itu, asbab kemuliaan sifat yang diperlihatkan Nabi Muhammad itulah yang telah menyedari seterusnya mengubah persepsi musuh-musuh baginda dan secara tidak langsung menyebabkan keislaman majoriti daripada mereka. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa hebatnya peribadi dan akhlak nabi tercinta kita, Muhammad SAW. Di mana kan kita cari ganti serupa dengan baginda bukan?

Namun demikian, hidup di dunia akhir zaman ini begitu banyak ranjaunya. Antara manusia masing-masing berlumba-lumba mengejar kenikmatan hidup dan habuan duniawi. Sehingga kadang-kadaang terlupa bahawa segala kesenangan di dunia hanya bersifat sementara dan segalanya akan dipulangkan kembali kepada pemilik asal yang hakiki iaitu Allah SWT.

Dengan keadaan sedimikian, tidak hairanlah jika ramai manusia yang saling berdengkian antara satu sama lain. Hanya kerana tidak sanggup jika nikmat yang dimiliki orang lain melebihi diri sendiri, kehendak nafsu diturutkan. Misalnya, peniaga yang dengki dengan kejayaan yang diperoleh pesaingnya sanggup mengenakan sihir semata-mata untuk menghilangkan nikmat yang dikecap oleh orang lain, di samping ingin menjadi masyhur dan cepat kaya tanpa ada tandingan.

Hal ini jelas terbukti apabila media massa saban hari melaporkan kes-kes jenayah yang berlaku bahana daripada perbuatan dengki khianat. Masyarakat juga sering didedahkan dengan amalan-amalan khurafat seperti sihir, ilmu hitam dan magis yang mana digunakan oleh dukun, pawangmahupun bomoh seperti yang dipertontonkan melalui kebanyakan rancangan televisyen terutama filem dan drama Melayu.

Ekoran dengan itu, perbuatan itu secara tidak langsung menggalakkan masyarakat untuk mencuba sesuatu yang boleh dianggap luar biasa bagi mereka. Apa tidaknya, jika sering didedahkan dengan informasi negatif, tidak mustahil jika inkuiri seseorangyang pada mulanya hanya tertarik dan kagum bertukar menjadi kehendak untuk mencuba, lalu membenamkan kewarasan akal serta iman di dada.

Fitrah manusia adalah cintakan dan suka melakukan kebaikan. Walau bagaimanapun, disebabkan iman yang tipis mereka tewas dan cenderung untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Hanya kerana? terpedaya dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan orang yang jahat sekalipun masih inginkan layanan yang baik diberikan kepada mereka.

Dan kerana itu jugalah wujudnya manusia yang tidak beriman kepada Allah tetapi masih membuat kebaikan. Hal ini disebabkan seseorang itu berfitrah dengan fitrah hasanah atau kebaikan. Banyak contoh yang dapat kita lihat, antaranya melihat kepada negara yang mendapat jolokan negara paling bersih iaitu Switzerland.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa Switzerland bukanlah sebuah negara Islam, namun mengamalkan aspek kehidupan yang amat dituntut dalam Islam iaitu bersih. Malah Islam itu sendiri adalah agama yang suci dan bersih. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis Riwayat: Ibnu Hibban).

Manakala sabda baginda lagi yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak orang kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke syurga.” (Hadis Riwayat: Thabrani). Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya kebersihan dan Islam itu agama yang mengajak kepada kebersihan.

Namun demikian jika dilihat dari sudut yang berbeza, manusia juga cenderung untuk melihat keburukan orang mengatasi kebaikan yang dilakukan. Jika dilihat dan dinilai pada keburukan dan kesilapan, semua orang tidak terlepas dari melakukannya. Sedangkan para nabi juga melakukan kesilapan, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang lebih banyak terdedah pada dosa.

Sekiranya penilaian manusia terhadap manusia yang lain berdasarkan kesalahan yang dilakukan, apa akan berlaku jika seseorang pendakwah turut melakukan perkara yang sama. Benar, semua orang tidak terlepas dari melakukan dosa. Namun, jika manusia menghukum sedemikian terhadap perdakwah misalnya, sudah semestinya sebagai manusiabiasa yang lemah, berat untuk mengikut apa yang disampaikan oleh mereka. Kerana hati kecil pasti berkata, tiada guna mengikut orang yang mengajak kebaikan sedangkan diri sendiri juga tidak sempurna, turut melakukan dosa seperti orang lain.

Kerana itulah perlunya kita meneliti apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Saidina Ali r.a iaitu “Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan.” Di samping itu, perlulah juga kita ketahui bahawa dua perkara yang perlu kita ingat iaitu keburukan kita terhadap orang lain, dan kebaikan orang terhadap kita. Begitu juga dua perkara yang perlu kita lupakan iaitu kebaikan kita terhadap orang dan keburukan orang tehadap kita.

Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat perbaiki diri kita menjadi insan yang lebih baik. Justeru,jadilah orang yang beruntung di mana hari ini lebih baik darisemalam. Hal ini selari dengan maksud hadis Rasulullah iaitu “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, janganlah sentiasa melihat keburukan yang ada pada orang lain, sebaliknya selalu bermuhasabah dan melihat pada diri sendiri. Banyak mana dosa dan kebaikan yang diperbuat saban hari. Lihat kembali ke dalam diri, apa yang masih kurang. Kebaikan apa yang masih belum mencukupi. Tambah nilai segala kekurangan diri dan dosa-dosa yang pernah dilakukan dengan cara selalu mengingati mati, di samping dapat meningkatkan iman dan menggalakkan melakukan kebaikan.

Tambahan pula, tiada kebaikan yang diperoleh jika masa yang dihabiskan hanya dengan melihat keburukan dan aib orang lain tanpa berbalik kepada diri sendiri. Bahkan mendapat kemurkaan Allah dan juga menutup ruang untuk perbaiki diri sendiri.

Hal ini turut disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujurat: Ayat 12).

Justeru marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan merenung jauh-jauh ke dalam diri. Tambahkan amal jika berasakan masih kekurangan amal untuk dijadikan bekalan dikemudian hari. Juga berfikirlah sambil menghisab diri sendiri, kerana sesungguhnya berfikir sejenak itu lebih baik daripada beramal sepanjang malam.

Tuntasnya, sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita seharusnya sering bersangka baik terhadapNya walau apa pun ujian yang datang melanda. Kerana Allah adalah menurut sangkaan hambaNya terhadapNya.

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

Tujuh Nama Lain Mekah Dalam Al Quran

http://www.myannur.com, 07 Jul 2012



Mekah al-Mukarammah merupakan kota tertua dunia dan tempat permulaan Islam. Allah SWT menyebut dalam Al Quran tentang Mekah. Terdapat tujuh nama lain Mekah dalam Al Quran.
















1. Makkah, sebagaimana firman Allah SWT, “Dan Dia­lah yang mencegah tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan mencegah tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Makkah. Setelah Allah memenangkan kamu atas mereka.” (Al-Fath [48]: 24).

2. Bakkah, Allah SWT berfirman, “Sesung­guhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah di Bakkah, yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.” (Ali Imran [3]: 96).

3. Umm Al-Qura, firman Allah SWT, “Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi; membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. Orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat tentu beriman kepadanya (Al Quran) dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.” (Al-An‘am [6]: 92).

4. Al-Balad, seperti firman Allah SWT, “Aku bersumpah dengan negeri ini (al-balad. Makkah) dan engkau (Muhammad) bertempat di negeri ini (al-balad. Makkah).” (Al-Balad [90]: 1-2).

5. Al-Baldah, sebagaimana tersurat dalam firman Allah SWT, “Aku (Mu­hammad) hanya diperintahkan menyembah Tuhan negeri ini (al-baldah, Makkah) yang telah Dia sucikan.” (Al-Naml [27]: 91).

6. Al-Balad Al-Amin, Allah SWT berfirman, “Demi buah Tin dan buah Zaitun, demi gunung Sinai, dan demi negeri yang aman ini (al-Balad al-Amin, Makkah).” (Al-Tin [95]: 1-3).

7. Al-Balad Al Aminin, sebagaimana tersurat dalam firman Allah Swt, “Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa, “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri (Makkah) ini negeri yang aman (al-Balad al-Aminin).” (Al-Baqarah [2]: 126).

Sumber :www.republika.co.id/

Peristiwa Israk Mikraj suatu mukjizat

Nurul Fatimah Zahara Mohammad Radzi, 21 Jun 2012
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, tahun ke-12 dari masa kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Ianya juga merupakan peristiwa penting yang dirayakan setiap tahun oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini bersamaan 662M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah.

Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki burak bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj pula membawa maksud naiknya Nabi s.a.w ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud “Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama' tafsir secara umum menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh Nabi s.a.w. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan, yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.

Mukjizatnya peristiwa ini jelas tergambar dari masa perjalanan yang hanya selama 3/4 malam iaitu dari jam 6 petang hingga 6 pagi sahaja Nabi sudah kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar. Baginda menunggang Buraq bersama Malaikat Jibril dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Peristiwa luar biasa ini paling penting dalam kalendar Islam kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur. Ia sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah berlaku ke atas rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai tanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sepanjang perjalanan Israk Rasulullah s.a.w yang ditemani Malaikat Jibril a.s telah melihat pelbagai peristiwa aneh. Antaranya Nabi melihat satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Nabi telah diperlihatkan sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Nabi turut melihat sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

Selain itu, Nabi melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami. Turut kelihatan seorang lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril, itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Ketika Nabi diIsrakkan, Nabi telah diberi gambaran oleh Allah akan keadaan umur dunia yang sangat tua melalui keadaan seorang perempuan bongkok tiga yang menahan Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Pelbagai peristiwa aneh lain yang berlaku di malam Israk Mikraj ini yang banyak memberi maksud tersurat dan tersirat di sebaliknya.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita sebagai umat Islam hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya telah memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.

Penulis ialah pelajar kursus Bahasa Arab dan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menanamkan sifat jujur dalam kehidupan

Nur Bazilah Mohd Akhyar,
Sejak kecil kita telah dididik oleh ibu bapa kita supaya sentiasa jujur dalam setiap perbuatan kita. Hal ini kerana kejujuran merupakan tangga teratas daripada keseluruhan amalan hati dan akan memimpin kita kearah kebaikan.

Selain itu, kejujuran dan keimanan harus  berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “ Hendaklah kalian bersikap jujur kerana kebenaran dan kejujuran itu bakal memimpin seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan itu pula akan menyampaikan seseorang itu ke syurga.

Seseorang itu sentiasa tetap degan kebenaran dan perilaku yang benar serta berusaha mencarinya sehingga ditulis di sisi Allah s.w.t sebagai orang yang suka berlaku benar. (Riwayat al-Bukhari)

Allah s.w.t telah memerintahkan kepada semua hambanya supaya menanam sifat jujur di dalam diri masing-masing dengan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai “role model”.

Seperti mana yang kita sedia maklum, para nabi dan rasul sentiasa berlaku jujur dan berkata benar sesuai dengan tugas mereka untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia.

Bersifat jujur kepada Allah dan rasul merupakan perkara yang paling utama untuk memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Jujur kepada Allah dan Rasul bermaksud mereka beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benar iman.
Segala amal kebajikan dan ibadah mereka adalah ikhlas kerana Allah Taala. Orang yang jujur kepada Allah dan rasul lazimnya berasa malu untuk meninggalkan perintah Allah serta melakukan kemungkaran.

Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Dan ingatlah sekiranya kamu tidak melihatnya, Dia pasti melihat kamu.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya, kita haruslah bersikap jujur kepada diri kita sendiri. Sama ada kita sedar atau tidak,  melaksanakan perintah Allah seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan sebagainya lebih mudah dilaksanakan berbanding bersikap jujur.
Kadangkala kita berasa amat sukar untuk mengakui kesalahan yang telah kita lakukan lebih-lebih lagi jika pengakuan tersebut akan mengakibatkan hukuman yang berat.

Kita juga sering mendengar orang di sekeliling kita berkata, manusia mungkin mampu membohongi orang lain,tetapi mereka tidak mampu untuk membohongi diri sendiri.
Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan semua anggota badan kita untuk berlaku jujur kecuali lidah. Ketahuilah bahawa lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Oleh yang demikian kita haruslah mendidik lidah kita supaya sentiasa berkata benar.

Menurut Ustaz Muneer Mohamed Farid al-Hafiz yang merupakan seorang peguam yang berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah, ketika saksi menjawab pertanyaan peguam, jawapan tersebut bukan dinilai melalui percakapan semata-mata.

Gerak-geri badan, tangan, kaki dan pandangan mata turut diambil kira. Kebiasaannya, saksi yang berbohong akan berasa kurang senang ketika menjawab soalan yang diajukan kepada mereka.

Di mahkamah dunia, mungkin kita boleh bercakap bohong atau menghafal skrip jawapan untuk menegakkan benang yang basah menggunakan lidah. Namun, tidak semua jawapan akan “dipersetujui”  oleh anggota  badan kita yang lain.

Tetapi di mahkamah Mahsyar kelak, bukan lidah kita yang akan menjawab segala persoalan yang diajukan. Bahkan semua anggota tangan dan kaki yang akan mengambil alih tugas menjawab semua soalan.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: “Maka pada hari ini kami tutupkan mulut mereka, dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberitahu kami kesalahan masing-masing, dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka usahakan.”

Kemudian, kita mesti bersikap jujur kepada orang lain. Kejujuran memainkan peranan yang amat besar dalam pembangunan umat dan kebahagiaan sesebuah masyarakat. Cuba anda bayangkan jika kita berhadapan dengan orang-orang yang tidak jujur, apabila melakukan urus niaga kita ditipu, apabila bejanji acap kali dimungkiri dan apabila diamanahkan dengan sesuatu pasti dikhianati.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada tiga tanda orang munafik; apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila diamanahkan dia mengkhianatinya.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Nauzubillah. Marilah kita sama-sama jauhi sifat orang munafik ini.

Tidak rugi jika bersikap jujur kerana orang yang jujur hatinya sentiasa tenang, mereka disenangi dan dipercayai oleh orang di sekeliling mereka dan yang paling penting kehidupan mereka dilimpahi rahmat serta keberkatan dari Allah s.w.t. Selain itu, darjat mereka tinggi di sisi Allah s.w.t. Manakala, orang yang sering berdusta hatinya sentiasa dihantui resah, gelisah dan bimbang sekiranya perkara sebenar terbongkar.

Kelebihan orang yang jujur turut disebut dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.,  maksudnya: “Tetap berpegang eratlah pada kejujuran walaupun kamu seakan-akan melihat kehancuran dalam berpegang teguh pada kejujuran, tetapi yakinlah bahawa dalam kejujuran itu terdapat keselamatan.
Jelas, kejujuran amat penting dalam kehidupan individu muslim.

Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa bersikap jujur dan menjauhi dusta dan tidak amanah kerana ia merupakan sifat yang tercela dan hanya membawa kepada perpecahan. Marilah bersama kita menanam sifat jujur dalam diri kita.

Hakikatnya, tidak susah untuk jujur jika kita mempunyai keberanian yang tinggi di dalam diri.

Memang berlaku jujur itu amat pahit pada permulaan, namun ia mampu membuahkan kemanisan untuk selamanya. Maka dengan itu, berkata benarlah walaupun ia pahit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan