Selasa, 19 Jun 2012

HARI2 KITA BERTARUNG SENGIT DENGAN SYAITAN SERTA DENGAN NAFSU...SENGIT LAGI BERTARUNG UNTUK MENJAGA AKIDAH...AGAR AKIDAK KITA BENAR DAN IBADAH KITA SAH....DUDUK DIDUNIA SEKALI...TAK BOLEH MAIN2 CUBA2...SALAH CUBA NAYA@BINASA DIRI...

Morsy tinggal FJP dan Ikhwan, jadi presiden untuk semua

Harakahdaily, 18 Jun 2012
KAHERAH: Presiden baru Mesir, Dr Mohamed Morsy (gambar) meletakkan semua jawatannya dalam FJP dan Ikhwanul Muslimin Mesir bagi membolehkan beliau menjadi presiden kepada semua rakyat Mesir.

Langkah yang disifatkan sebagai satu tindakan berani ini bertujuan membolehkan beliau diterima sebagai pemimpin untuk semua rakyat Mesir tanpa mengira parti atau kumpulan rakyatnya.

Di Dataran Tahrir, ribuan rakyatnya meraikan kemenangan Morsy, jurutera yang mendapat pendidikan dari Amerika itu, dengan menyifatkan kemenangan ini sebagai berakhirnya regim Mubarak secara rasmi.

Namun, kebimbangan terus disuarakan pelbagai pihak apabila tentera Mesir melalui Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) dua hari sebelum mengundi membuat peraturan untuk mengehadkan kuasa ketua negara yang bakal diambil Morsy.

Golongan Islam dan Liberal terus menentang tindakan ini dan menyifatkan ia satu "military coup".


"Tentera mengalihkan kuasanya kepada tentera," menjadi tajuk muka depan akhbar bebas,  al-Masry al-Youm.

Dalam pengundian pusingan kedua untuk jawatan presiden ini, Morsy mengalahkan bekas Perdana Menteri Mesir terakhir di era Mubarak, Ahmed Shafik dengan undi 52 berbanding 48 peratus dari kalangan 50 peratus pengundi yang keluar mengundi.

(Antara ribuan rakyat Mesir yang memenuhi Dataran Tahrir bagi meraikan kemenangan Morsy)

Shafik adalah bekas Ketua Tentera Udara Mesir sebelum dilantik menjadi perdana menteri terakhir oleh Mubarak.

Tindakan tentera mengisytiharkan kuasa ketua negara yang terhad adalah satu tindakan yang mencabar demokrasi yang cuba mahu bertunas di negara itu.

"Tindakan yang mengganggu demokrasi dan revolusi," kata bekas diplomat dan juga pemenang anugerah Nobel,  Mohamed ElBaradei melalui Twitternya.

Sementara itu, kemenangan Ikhwan selepas puluhan tahun dibentuk disambut dengan penuh kegembiraan oleh gerakan Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

(Dr Syed Azman, Penolong Setiausaha Agung PAS yang menjadi pemerhati pilihan raya turut meraikan kegembiraan rakyat Mesir)

Namun ia disambut dengan penuh curiga oleh kumpulan sekular termasuk negara-negara barat yang bimbang dengan brand Islam Ikhwan.

"Saya mengundi Morsy tetapi saya tidak boleh kata saya gembira dengan kemenangannya, " kata seorang penganggur, Mohamed Mahmoud, 28 sebagaimana dilaporkan Reuters.

"Saya masih takut kedua-duanya dan apa yang mereka akan buat. Saya tidak mahu negara Islam atau negara baru Mubarak," kata beliau merujuk kepada Morsy yang mewakili kumpulan Islam dan Shafik yang mewakili Mubarak.

RM26 juta kos lawatan PM ke luar negara

Harakahdaily, 19 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke luar negara dalam tempoh empat tahun sejak 2009 telah menelan belanja sebanyak RM26,080,144.39.

Demikian dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Jumlah itu mewakili keseluruhan 74 kali lawatan Najib yang turut diiringi para pegawainya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang meminta perdana menteri menjelaskan senarai semua lawatannya ke luar negara sejak April 2009, saiz rombongan dan kos terlibat.

Mengikut pecahan tahunan, Nazri memaklumkan bahawa pada 2009 perdana menteri melakukan 22 kali lawatan ke luar negara dengan 306 orang pegawai yang menelan kos RM3,442,343.68.

Pada 2010 pula sebanyak 17 kali dengan 252 pegawai dengan kos RM5,133,875.99.

Tahun 2011 adalah paling kerap iaitu sebanyak 27 kali dengan 425 pegawai mengiringi dengan kos RM12,568,227.49.

Manakala untuk separuh tahun 2012, sebanyak 8 kali lawatan bersama 125 pegawai dengan kos RM4,935,697.23.

Projek Lynas kilang kimia, bukan loji nuklear?

Salmiyah Harun, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) menegaskan projek Lynas yang diadakan di Gebeng, Kuantan merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

Menurut laporan jawatankuasa tersebut, hujah mereka itu berdasarkan fakta-fakta saintifik, takrifan undang-undang dan maklumat yang diperolehi daripada pakar-pakar berhubung perojek berkenaan juga mendapati projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju.

Jawatankuasa Khas itu juga berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa.

Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa.

Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah menyediakan sistem kawalan yang diperlukan seperti yang telah ditetapkan di dalam perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar untuk kilang beroperasi sementara.

Jawatankuasa juga mengesyorkan agar lesen Kelas A (Mengilang – Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating Licence – TOL) dikeluarkan supaya projek LAMP dapat mengilang bahan mentah pekatan lantanid secara berperingkat dan terhad serta dikawalselia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa.

"Di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang lazim dan syarat-syarat tambahan yang telah dikenakan di dalam lesen TOL ini. Data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya," tegas jawatankuasa itu.

Pihak Jawatankuasa juga mengesyorkan satu jawatankuasa pemantauan (monitoring committee) dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.

Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pakar bertauliah.

Jawatankuasa Pemilih telah bermesyuarat pada hari Rabu, 21 Mac 2012 dan 22 Mac telah melantik Ahli-ahli Jawatankuasa LAMP iaitu Ahli Parlimen (BN-Pasi Gudang) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi, Ahli Parlimen (BN-Kota Belud) Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen (BN-Tebrau) Teng Boon Soon, Ahli Parlimen (BN-Batang Sadong) Nancy Shukri, Ahli Parlimen (BN-Simpang Renggam) Liang Teck Meng dan Ahli Parlimen (Bebas-Kulim Bandar Baharu) Datuk Zulkifli Noordin.

Sebanyak enam mesyuarat telah diadakan bermula pada 18 April, 6 Mei, 4 Jun, 5 Jun, 7 Jun dan 11 Jun.

Laporan itu turut melampirkan laporan prosiding sesi pendengaran awam yang diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada 10, 11 dan 21 Mei 2012.

Jalan 'jammed' kerana itik

http://paapaada.blogspot.com, 19 Jun 2012
RIBUAN itik berjalan di sebatang jalan raya di Taizhou

Seorang petani kelmarin menyebabkan pergerakan lalu lintas di sebatang jalan raya di Taizhou, China terhenti, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Beberapa buah kereta dan motosikal berhenti bagi membolehkan haiwan tersebut bergerak secara berkumpulan untuk menuju ke kolam.

Petani tersebut dan beberapa rakannya mengawal pergerakan kira-kira 5,000 itik itu dengan menggunakan sebatang kayu.- Agensi

PRU13: Lakukan perubahan tanpa was-was

Aspan Alias, 19 Jun 2012
Berbagai-bagai analisis yang kita dengar berhubung dengan keputusan pilihanraya yang akan datang ini. Banyak pihak yang membuat analisis ini secara formal atau secara rambang berdasarkan kepada ‘mood’ yang berada di bawah ini. Saya tidak membuat apa-apa analisis secara formal tetapi saya tahu PR akan menawan mandat rakyat kali ini. Lain-lain perkataan ianya adalah pertukaran kerajaan dari BN kepada Pakatan Rakyat.
Pertukaran ini tidak boleh dianggap ganjil kerana mana-mana kerajaan akan bertukar akhirnya jika kita memilih demokrasi sebagai cara pentadbiran negara. Negara yang tidak demokratik pun mesti mengalami pertukaran kerajaan tetapi negara-negara seperti ini selalunya berhadapan dengan keadaan huru hara sebelum pertukaran itu dapat dilakukan.

Di negara-negara Arab demokrasi tidak wujud dan kebanyakan negara-negara rantau itu dikuasai oleh absolute monarchy yang autokratik.  Tetapi dengan berlakunya Arab Spring baru-baru ini di beberapa buah negara rantau itu, terbukti yang kerajaan tetap bertukar walaupun cara mana sekali sesebuah negara itu diperintah. Memang ‘natural’ yang segala-galanya akan berubah dan tidak ada yang kekal. Perubahan merupakan fenomena yang tidak dapat kita elakkan dalam dunia ini.

Begitu juga di negara kita... perubahan itu nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi. Kita tidak boleh menganggap yang apa yang berlaku di tempat dan negara lain tidak akan berlaku di negara kita. Bermacam-macam analisis sedang kita dengar di mana-mana. Ada yang mengatakan yang BN akan menang dalam PRU ini tetapi kemenangannya amat tipis, lebih tipis dari apa yang dicapai oleh Pak Lah pada tahun 2008 yang lalu.

Setengahnya pula mengatakan yang PR akan berjaya mendapat mandat dari rakyat dengan majoriti yang tipis. Walau apa pun pandangan banyak pihak lain saya tetap merasakan yang BN kali ini akan direhatkan oleh rakyat untuk mengambil masa memperbaiki 'penyakit-penyakit terminal' yang dihadapi oleh coalition itu setidak-tidaknya selama tempoh lima tahun.

Kali ini rakyat pula yang akan membetulkan segala kesilapan dan kesalahan kerajaan yang memerintah hari ini. Rakyat telah sedar yang jika mereka (rakyat) tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat dan negara mereka (rakyat) khuatir yang negara kita akan mengalami apa yang dialami oleh banyak negara yang hancur lebur kerana kelalaian semua pihak untuk menjaga negara mereka dengan baik dan bertanggungjawab.

Rakyat mahu kembalikan negara back to basic. Rakyat mahukan mereka (rakyat) diberikan keamanan dan kesenangan berfikir. Rakyat mahukan tiada lagi kegiatan tidak bertanggungjawab pemerintah berlaku dengan sewenang-wenangnya  di hadapan mata mereka kerana itu semua menyemakan pandangan dan kehidupan mereka. Rakyat yang sudah lama bersabar dengan tingkah dan laku UMNO Baru serta BN sejak hampir tiga dekad yang lalu sudah hilang kesabaran dan mereka telah membayangkan dengan jelas yang kali ini adalah giliran mereka untuk membetulkan keadaan buruk ini.

Rakyat tidak mahu lagi mereka dipecah dan diperintah oleh BN lagi. Mereka mahu bersatu tetapi bersatu di luar BN khususnya UMNO Baru. Rakyat sudah tidak lagi mahu mendengar hujah-hujah UMNO Baru untuk meminta rakyat mengekalkan mereka kerana mereka sudah jemu dengan hujah yang sama sejak puluhan yang lalu. Setiap kali pilihanraya sampai UMNO Baru selalu memainkan isu perkauman dan UMNO Baru merasakan jika ada perpecahan di antara kaum, itulah kesempatan bagi mereka (UMNO) Baru untuk mengambil kesempatan menyatukan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus mendokong mereka tanpa had.

Sudah terbenam dalam benak pimpinan UMNO Baru yang orang Melayu khususnya boleh ditakut-takutkan dengan isu perkauman dan UMNO Baru tidak putus-putus mahu mengekalkan perasaan takut orang Melayu untuk menghadapi kehidupan masa depan tanpa UMNO Baru.  Mereka diyakinkan yang there is no life after UMNO Baru. UMNO Barulah segala-galanya. UMNO Barulah yang berhak untuk menentukan baik buruk kehidupan orang Melayu dan UMNO Baru lah yang menjadi penentu selamat atau tidaknya kehidupan orang Melayu.

Kuasa politik yang dipegang oleh UMNO Baru dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni pimpinan dan yang amat menyakitkan hati rakyat ramai ialah keputusan parti dan pimpinan ditentukan oleh ‘seekor dua’ kroni yang berada di sekeliling pucuk pimpinan negara. Sementara mengaut segala kekayaan negara, mereka memberikan cebisan kepada rakyat yang dibiarkan berada di dalam budaya menadah tangan memohon ikhsan dari pemimpin yang mereka (rakyat) berikan mandat itu.

Rakyat digula-gulakan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak lima RM500, maka beraturlah rakyat ditengah panas terik mata hari untuk mendapatkan tempias dari kekayaan kroni-kroni ini. Dengan RM500 itu dapatlah rakyat membasahkan tekak untuk beberapa hari, tetapi oleh kerana kekeringan tekak rakyat sejak beberapa lama itu jumlah yang sejemput itu ibarat menyiram secawan air di padang pasir yang kering kontang sahaja.

Lepas ini pula akan dikeluarkan sedikit lagi bantuan BR1M ini dan ini sajalah caranya UMNO Baru untuk mempertahankan kuasa…beli, beli dan membeli sokongan. UMNO Baru sentiasa membeli perasaan rakyat, dan jiwa orang ramai. Bagi UMNO Baru pimpinan Najib ini cara yang paling mudah tanpa menggunakan pemikiran, ialah dengan membeli perasaan rakyat. Apabila duit yang sejemput itu rakyat dileterkan supaya menggunakan wang itu dengan berhemah dan berwasatiyah.

Dalam ramai-ramai manusia di negara ini adakah Najib orangnya yang betul untuk menasihatkan orang lain untuk berbelanja secara wasatiyah? Kalau Tok Guru Nik Aziz yang bercakap tentang wasatiyah ini, boleh juga diterima. Tetapi Najib yang telah membelanjakan wang rakyat untuk kegunaan beliau sendiri yang berjumlah berbillion-billion ringgit itu tidak layak untuk bercakap tentang berbelanja secara wasatiyah itu.

Bagi Najib kita semua mesti berbelanja secara wasatiyah tetapi beliau membelanjakan wang rakyat seperti wang ibu bapa beliau sahaja…tanpa malu dan silu. Beliau tidak sedar yang rakyat sedang memerhatikan tingkah beliau setiap waktu dam masa.

UMNO Baru sedar yang rakyat sudah jemu dengan kehadirannya sekarang. Dalam keadaan keadaan ini UMNO Baru dan pimpinan sudah hilang segala punca untuk meyakinkan rakyat sekali lagi. Apabila seorang pimpinan kehilangan punca maka segala tindakan mereka tidak akan lagi tepat dan betul. Seseorang yang dalam kegelisahan akan selalunya kehilangan punca dan hidayah.

Kalau pun mereka terjumpa dengan ‘formula’ yang baik, masa tidak mengizinkan lagi kerana untuk meyakinkan rakyat ia memakan masa yang panjang. Itu sebabnya kita membaca setiap hari, banyak kali pemimpin-pemimpin bercakap bercanggahan di antara satu dengan lain dan ini membuatkan rakyat bertambah keliru. Hidup dalam keadaan was-was adalah tegahan agama kita… bagaimanakah UMNO Baru untuk meminta rakyat ramai untuk menyokong mereka tanpa was-was sedangkan mereka sendiri dalam keadaan was-was terus-terusan.

Segala tindakan pimpinan adalah dalam keadaan was-was sentiasa dan itu jugalah yang membuatkan mereka (pimpinan) sentiasa ‘flip-flop’ dalam banyak keputusan penting yang mereka ambil.

In actuality UMNO Baru leaders have lost all plots to manage the nation,” kata seorang pemimpin UMNO Baru itu sendiri dalam pertemuannya dengan saya baru-baru ini.

Bro, I appreciate your courage and your intelligibility of thought by joining DAP,” katanya kepada saya serius. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Takziah buat keluarga allahyarham Tan Aminuddin

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Exco Kerajaan Pahang, allahyarham Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak (gambar), 64, yang meninggal dunia pagi ini.
“Bagi pihak PAS Negeri Pahang, saya merakamkan TAKZIAH kepada keluarga Allahyarham Dato' Tan Aminudin Ishak, ADUN Chenor, Pahang yang kembali ke rahmatullah pagi ini.

“Semoga ruh beliau dilimpahi keampunan Allah dan dihimpunkan bersama kalangan solehin,” tulis Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal di dalam Facebooknya.

Tan Mohd. Aminuddin Ishak dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh jam 8.55 pagi ini setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi  (ICU) pada 8 Jun lalu.


Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Peneroka Felda Negeri meninggalkan seorang balu, Datin Nooraihan Mohamad dan dua orang anak.

Adakah ulama luar tahu kepincangan negara?

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: “Umno BN yang lemas untuk mendapat sokongan terpaksa menggunakan khidmat ‘bomoh’ (ulama)  luar setelah ‘bomoh’ dalam tidak boleh pakai,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Justeru, katanya seperti yang dijangka, ‘Seminar Feqh Mentaati Pemimpin’ telah merumuskan wajib rakyat negara ini mentaati dan menyokong kerajaan BN pada hari ini.

Pembentang yang dijemput kebanyakan  daripada negara Timur Tengah, memang bertujuan untuk mengeluarkan pandangan supaya rakyat menyokong kerajaan BN pada hari ini.

“Pemimpin Umno tahu bahawa  orang Melayu begitu kagum dengan orang Arab, maka mereka bawa tokoh-tokoh ulama daripada Timur Tengah untuk menghalalkan tindakan kerajaan BN,” katanya.

Menurutnya, mungkin mereka sendiri tidak tahu kerajaan  BN adalah kerajaan yang khianat amanah rakyat, buktinya daripada laporan Ketua Audit Negara.

“Apakah ulama  ini mengetahui kepincangan dalam pilihan raya di negara ini?” soalnya dalam satu kenyataan.

Satu lagi persoalan yang timbul, ujarnya ulama yang datang ke seminar itu adakah mereka berperanan menasihat pemimpin negara mereka yang tidak demokratik.

“Apakah peranan mereka ketika pemimpin Jordan, Mesir, Saudi yang menjadi tali barut kepada Israel yang menyekat bantuan kemanusiaan kepada negara Palestin?” soalnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan apakah nasihat mereka kepada pemimpin negara mereka yang menjadi tali barut kepada Amerika Syarikat.

“Kita mengharapkan kepada ulama ini jangan dikatakan orang kuman seberang laut nampak gajah depan mata tidak nampak,” katanya lagi.

Mengapa rizab tunai Felda merudum sejak diselia PM?

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan mengapa rizab tunai Felda merudum kepada RM1.35 bilion sahaja dan berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak beliau mengambil alih penyeliaan badan itu sedangkan dalam tahun 2001, rizab tunai Felda berjumlah sehingga RM4.5 bilion dan tiada hutang.

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Salahuddin Ayub [PAS- Kubang Kerian] pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI PELANCONGAN menyatakan jumlah kedatangan pelancong asing ke dalam negara mengikut negeri khususnya ke Langkawi sepanjang 5 tahun yang lepas, serta langkah Kementerian untuk memesatkan lagi penglibatan penduduk tempatan dalam mengaut hasil dari kebanjiran pelancong.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah pendapatan negara untuk tempoh 2006-2011 dari sumber tidak halal seperti perjudian, minuman keras, pusat-pusat hiburan dan maksiat serta nyatakan ke mana hasil pendapatan tersebut dibelanjakan.

Dr. Dzulkefly Ahmad [ Kuala Selangor ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sebab-sebab yang konkrit mengapa Kabinet menamatkan pembelian bersilang saham MAS-Air Asia yang dianggap sebagai 'satu transformasi' dan berapakah jumlah 'fees' yang dibayarkan kepada pihak investment banker yang mengendalikan 'corporate exercise' ini.

Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan nilai jualan tahunan stesen-stesen minyak Petronas di Kelantan sejak tahun 2005 hingga sekarang.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan atas dasar apakah pada 6 Disember 2011 Tabung Haji memindahkan wang sebanyak RM308,700 daripada akaunnya ke akaun Datuk Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan berapakah defisit sebenar bagi tahun 2011 setelah diambil kira segala Bajet Tambahan yang telah diluluskan selepas Bajet 2011 dibentangkan di Parlimen.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah kategori sekolah agama rakyat dalam negara kita. Berapakah bilangan sekolah, pelajar dan guru mengikut kategori serta peruntukan yang disalurkan untuk tahun 2008 hingga 2011.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sama ada penyenaraian FELDA GVH diteruskan walaupun beberapa buah negeri tidak akan menyerahkan hak milik tanah Felda Plantation kepada FGVH.

Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Palestin pada tahun 2011.

Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan jumlah keluasan kawasan dan jumlah kos pembangunan di Tasik Kenyir yang akan dijadikan kawasan bebas cukai pertama bagi tasik di negara ini dan bilakah ia dijangka akan mula beroperasi.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah jenis-jenis cukai yang dikenakan dalam sistem percukaian negara hari ini.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk memajukan sektor pertanian seluruh negara dan menjadikan sektor pertanian sebagai sektor utama ke seluruh negara di samping meningkatkan pendapatan para petani.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapa rizab tunai Felda merudum kepada RM1.35 bilion sahaja dan berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak beliau mengambil alih penyeliaan badan itu sedangkan dalam tahun 2001, rizab tunai Felda berjumlah sehingga RM4.5 bilion dan tiada hutang.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [ Bukit Gantang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sepanjang tempoh lima tahun iaitu mulai 1 Januari 2007 hingga 31 Disember 2011 berapakah jumlah tindakan tatatertib yang diambil kepada penjawat awam gred 44 dan ke atas dan daripada jumlah itu berapa ramaikah yang telah dikenakan tindakan ditamatkan perkhidmatan mereka.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan adakah lesen telah dikeluarkan kepada pihak yang akan membina pelabuhan laut di negeri Kelantan.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan Penilaian Berdasar Sekolah (PBS) bagi pelajar Tingkatan 1 bermula awal tahun 2012 ini. Bagi Sekolah-Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat sehingga sekarang (Mei 2012) kod untuk key-in markah (score pelajar) belum lagi diterima oleh pihak sekolah. Apakah masalah sebenar yang menyebabkan perkara ini berlaku.

PRU Mesir: Pertarungan sengit Islam dan tentera

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Kaherah, 18 Jun 2012

(Penulis bersama rakyat Mesir yang gembira menyambut kemenangan Islam)

Sah! Keputusan tidak resmi yang di keluaran setakat ini menunjukkan calon Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi mendahului di kebanyakan daerah mengundi.

Keputusan awal tidak resmi mendapati Dr Morsi mendapat 13,254,558 (51.74%) undi  manakala calon tajaan bekas rejim Mubarak,  Ahmed Syafik mendapat 12,358,594 (48.25%) undi dengan ketinggalan hampir satu juta undi di belakang Dr. Morsi. Jumlah yang keluar mengundi pula adalah 25,613,152 juta iaitu hampir 46 peratus dari yang layak mengundi.

Namun, ramai pemerhati berpandangan bahawa masa depan politik Mesir masih lagi samar-samar dan tidak menentu.

Tindakan Mahkamah Perlembagaan Mesir untuk membatalkan semua keputusan awal pilihanraya Parlimen ke atas kesemua kerusi Parlimen yang ditandingi serta pengistiharan pembubaran Parlimen oleh pihak tentera Supreme Council of the Armed Forces(SCAF) telah menimbulkan keresahan banyak pihak bahawa telah berlaku ‘rampasan kuasa’ oleh pihak tentera.

Dalam pilihanraya Parlimen yang telah diadakan pada tahun lepas kebanyakan kerusi telah di menangi oleh calon-calon dari parti Ikhwan Muslimin FJP dan Parti Nour dari gerakan Salafi.

Setakat ini, walaupun ahli Parlimen tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen dan seluruh bangunan Parlimen telah di kawal ketat oleh tentera dengan menggunakan kereta kebal, pilihanraya Presiden peringkat kedua terus berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan yang berlaku.

Calon Ikhwan, Dr. Mohaamed Morsi (gambar) dijangka akan di istihar sebagai pemenang secara resmi yang juga turut diperakui oleh hampir kesemua media di Mesir dan antarabangsa walaupun dengan majoriti yang agak tipis.

Namun Murshid Ikhwan Muslimin Mesir, Dr. Mohamed Al-Badae’ telah menyatakan bahawa pihak tentera SCAF tidak mempunyai kuasa bagi membubarkan Parlimen dan tindakan ini merupakan ‘rampasan Kuasa’ yang bertentangan dengan perlembagaan Mesir.

Menurut beliau lagi “keputusan mahkamah Perlembagaan itu tidak bermakna pihak SCAF berkuasa bagi membubarkan Parlimen. Ia telah dipilih oleh seluruh rakyat Mesir dan perlu dihormati oleh semua pihak. Jika ini berterusan berlaku, bermakna tentera SCAF mahu membawa kembali Mesir kepada zaman Diktator dan pemerintahan kuku besi”.

Dr. Mohamed Morsi pula menyatakan bahawa tindakan tentera SCAF membubarkan Parlimen adalah amat bahaya dan boleh menimbulkan ketidakstabilan kepada masadepan Mesir.

Beliau menyatakan bahawa pelbagai usaha terus dilakukan oleh saki-baki rejim Mubarak termasuk memperalatkan kalangan hakim-hakim yang setia kepada Mubarak  bagi memastikan calon FJP kalah dalam pilihanraya pusingan kedua ini.

Menurut banyak pihak, pihak tentera SCAF mengambil tindakan drastik ini berpandukan kepada 3 sebab utama yang perlu mereka lindungi; pertamanya menjamin ‘imuniti’ diberikan kepada pihak tentera sekiranya berlaku peralihan kerajaan yang baru.

Kedua, terus memberi jaminan agar segala kepentingan ‘ekonomi’ dan perniagaan yang dikuasai oleh pihak SCAF tidak diganggu gugat oleh kerajaan baru.

Dan yang ketiganya memastikan bahawa SAF tetap berkuasa bagi menentukan ‘keselamatan’ dan ‘pertahanan’ negara.

Lebih parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak tentera SCAF telah juga melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada perlembagaan Mesir dalam tempuh 24 jam yang juga di lihat adalah untuk terus menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera.

Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa mengistiharkan perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak tentera hanya dengan kebenaran SCAF.

Pihak SCAF juga telah secara terbuka menyatakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab bagi menghormati perjanjian ‘Camp David’ yang termeterai antara Israel dengan Mesir semasa pemerintahan rejim Anwar Sadat dan Mubarak.

Perjanjian ini mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya dan ia perlu dilaksanakan bagi menjamin ‘masadepan dan keselamatan’ Israel.

Inilah realiti politik Mesir. Apa sahaja boleh berlaku dalam tempuh beberapa hari dan minggu ini. Apakah ada kemungkinan akan terbentuk sebuah kerajaan yang demokratik selepas pilihanraya Presiden?

Atau apakah ada juga kemungkinan akan berlakunya ‘rampasan kuasa tentera’ bagi mengambil alih pemerintahan di Mesir?

Namun keputusan pilihanraya Presiden Mesir ini adalah amat penting kepada seluruh dunia Islam.  Pertarungan di medan demokrasi antara kumpulan Islam dan tentera yang di sokong oleh kuasa Barat kini nampaknya berada di garisan terakhir.

Parti Ikhwan FJP bersiap untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan termasuk konspirasi yang terancang bagi menafikan kuasa pada mereka.

Mereka tetap yakin hanya dengan ‘Kuasa Rakyat’ akan dapat berhadapan dengan kedudukan yang genting ini walaupun menghadapi saat yang kritikal ini.
Sama-sama kita lihat natijah dan kesudahan penglibatan parti Islam dalam kancah demokrasi di Mesir ini...
-------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Twitter:@syedazman  e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan