Rabu, 20 Jun 2012

TV PILIHAN...MAKA ELOK KITA MEMILIKINYA...MENONTON PERKARA2 YANG BERFAEDAH...MENDAPAT NASIHAT DARI ALIM-ULAMAK....

Komen pengikut dalam Facebook: Harakahdaily terima amaran SKMM

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Harakahdaily menerima surat amaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini ekoran tulisan seorang pengikut dalam Facebooknya yang komennya didakwa menghina raja-raja.

Menurut surat dari Unit Media Baru, Jabatan Pengawasan dan Pengurusan Maklumat, SKMM, tulisan dari pengikut Facebook Harakahdaily itu bertentangan dengan Seksyen 211,  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Akta itu menetapkan bahawa pemberian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang adalah satu kesalahan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, pemberi kandungan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

"Oleh yang demikian, pihak tuan adalah diminta untuk mengambil perhatian akan peruntukan di atas serta memastikan kandungan portal tuan tidak melanggar peruntukan tersebut.

"Pihak SKMM akan terus memantau portal ini agar ianya tidak melepasi batasan-batasan yang digariskan dan menjadi medan bicara yang lebih sihat dan beretika," kata surat kepada Harakahdaily itu.

Seorang pengikut Facebook Harakahdaily telah membuat komennya dalam ruangan komen tentang raja-raja Melayu di bawah laporan bertajuk 'Itu pandangan saya sebagai rakyat biasa - Nizar'.

Berdasarkan surat amaran dari SKMM itu, Harakahdaily adalah bersalah ekoran komen-komen itu tersiar dalam laman Facebook Harakahdaily walaupun yang menulisnya adalah pihak lain.

Ekoran surat itu, Harakahdaily telah membuang nama penulis komen berkenaan dalam senarai pengikutnya di Facebook.

Dekoder TV Impian dijual bermula Isnin ini

Salmiyah Harun, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Rakyat negeri Selangor boleh mendapatkan dekoder TV Impian yang akan mula dijual pada Isnin minggu depan dengan harga RM499.

Menurut Penyelaras TV Impian Ir. Izham Hashim, TV Impian tidak mengenakan sebarang caj sampai bila-bila malah para pelanggan hanya membayar untuk harga dekoder sahaja.

"Yang penting kena sediakan internet untuk penyambungan. Apa yang lebih hebat siaran tidak akan ada sebarang gangguan. Kalah Astro," katanya kepada Harakahdaily.

Apa yang lain dari yang lain mengenai TV Impian ini, Izham berkata sumber yang diperoleh adalah dari pelbagai sumber rakyat.

"Sebab itu kita namakan TV Impian, di belakang semua rakyat yang terlibat. TV ini sebagai platform untuk rakyat terlibat sama ada dari segi ide, gambar atau video," katanya.

Sebanyak lima saluran televisyen disediakan iaitu saluran satu akan memuatkan saluran berita dan ulasan, Saluran dua akan menyiarkan siri dokumentari seperti Lynas, Bersih, siasatan rakyat, saluran tiga lebih kepada ilmu pengetahuan seperti debat, ceramah kuliah Azhar Idrus, saluran berbentuk hiburan dan filem-filem yang sihat dan saluran lima lebih kepada aneka bahasa dan etnik Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

Katanya, Kerajaan Selangor telah menempah 1000 unit dekoder untuk diagihkan di seluruh negeri itu.

Bagaimanapun, katanya pusat operasi TV Impian adalah di alam maya dan lebih 30 sukarelawan di seluruh Malaysia akan terlibat dalam operasi saluran ini.

TV ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk mendapat maklumat tepat yang tidak disiarkan media kerajaan. Bersaing untuk pilih pemimpin yang betul.

Justeru katanya orang ramai yang mahu mendapatkan dekoder TV Impian boleh berhubung dengan Isma Ali di talian 0192825716 atau emelkan kepada impiantv2012@gmail.com.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan stesen TV berasaskan internet dan sekaligus mengajak semua ahlinya bersaing untuk mengajak rakyat memilih pemimpin yang betul.

Pelancaran stesen TV Impian itu dibuat beliau di majlis penutup Himpunan Hijau Menuju Putrajaya 1 peringkat negeri Selangor.

Pilihan raya kampus pun mahu dipolitikkan

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyegerakan pilihan raya kampus (PRK) yang telah lama tertangguh.


“DPPM difahamkan, PRK sepatutnya diadakan pada bulan Mac lepas tetapi ditangguhkan di semua kampus sehingga September depan kerana alasan remeh yang tidak boleh diterima,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, DPPM melihat tindakan KPT dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) menangguhkan PRK merupakan suatu perjudian terhadap masa depan mahasiswa.

Beliau berkata, DPPM merasakan tempoh masa tertangguh seperti yang diumumkan oleh KPT terlalu lama bagi mahasiswa kerana ia akan menyebabkan banyak agenda yang tidak dapat diselesaikan.

Menurutnya, mahasiswa kini ketiadaan pemimpin di kampus-kampus yang akan berjuang bagi menentukan nasib mereka sendiri selama penangguhan ini.

Dalam hal ini, ujarnya DPPM kesal kerana kerajaan cuba menafikan hak mahasiswa berpersatuan dan berpolitik kampus.

“PRK adalah perlu bagi mahasiswa bagi memilih pemimpin baru yang akan berjuang bagi kepentingan mereka. Menangguhkan pilihan raya kampus bererti mematikan idealisme mahasiswa, suara mereka tersekat, kepimpinan mereka terbantut dan kematangan berfikir mereka juga akan terhalang,” katanya lagi.

Beliau berkata, ramai melihat alasan utama di sebalik penangguhan PRK adalah kerana ia berlangsung dekat dengan PRU13.

“Sebalik kesemua ini, kerajaan seperti merasa gerun jika keputusan PRK nanti tidak memihak kepada calon-calon tajaan mereka dan menjadi sebab pula suatu kebangkitan rakyat menyokong Pakatan Rakyat.

“Jika ini benar berlaku, kerajaan seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga merasa gerun terhadap mahasiswa di kampus-kampus sedangkan hakikatnya, PRK berlangsung setiap tahun di kampus dan setiap tahun juga mahasiswa menerima kepimpinan mereka,” katanya lagi.

Menurut Riduan lagi, menjadi kebiasaan mahasiswa memilih pemimpin baru setiap tahun yang akan menyokong mana-mana parti politik mengikut kehendak mereka.

Tegasnya, DPPM yakin rakyat tidak pernah bermasalah jika mahasiswa memilih pemimpin mereka sendiri dan menyokong mana-mana parti politik.

Tambahnya, DPPM menegaskan mahasiswa mempunyai nilai tersendiri yang membantu membangunkan ummah.

Selain itu, kata beliau mereka juga adalah pemimpin masa depan negara, menyekat hak mereka memilih kepimpinan yang akan bersuara bagi pihak mereka merupakan suatu tindakan yang tidak wajar.

“KPT dan kerajaan akan dilihat lemah kerana cuba campur tangan dalam politik mahasiswa sedangkan banyak agenda pembangunan negara lebih besar untuk diperjuangkan,” ujarnya.

PAS kecewa Dewan Rakyat tolak usul Rohingya

Anis Nazri, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kekecewaan berikutan penolakan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu pelarian Rohingya yang semakin meruncing.

Usul yang dikemukakan ahli parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) itu ditolak dalam kamar oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.

Kamarudin, yang ditemui di lobi parlimen berkata adalah penting bagi Dewan Rakyat membincangkan isu berkaitan keganasan etnik yang berlaku sekarang dan menyatakan pendirian Malaysia berhubung isu tersebut.

"Isu berkaitan warga Rohingya ini perlu dibincangkan, sekaligus Malaysia perlu menyatakan pendirian atau menghantar nota bantahan," tegas beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Luar dan Antarabangsa PAS Pusat berkata PAS mendesak Malaysia sebagai anggota Asean dan PBB untuk membuat tindakan segera berhubung isu tersebut.

Katanya, sebagai anggota Asean yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi untuk memastikan umat Islam di rantau ini tidak dizalimi pihak lain.

Isu ini berbangkit berhubung isu pembunuhan hampir 1,500 muslim Rohingya dan 3,000 yang cedera dalam perbalahan etnik di negara itu, beberapa hari lalu.

Tuduh seleweng: KGT kaji tindakan perundangan

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Anak syarikat kerajaan Kelantan, Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT) sedang mengkaji tindakan perundangan terhadap pihak yang membuat laporan fitnah kononnya wujud salah laku pengurusan kewangan membabitkan seorang pegawai kanan syarikat itu.

(Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menunjukkan laporan  fitnah terhadap KGT sebelum ini)

Dalam satu kenyataan penafian hari ini Pengurus Besar KTG Mahadi Mokhtar berkata, sepanjang pengetahuan pihaknya, tidak ada laporan polis pernah dibuat ke atas mana-mana pegawai syarikat itu, khususnya KGT sendiri sebagai sebuah syarikat.

"Bilangan pegawai KGT juga adalah kecil.

"Sukacita jika nama pegawai berkenaan disebut, supaya KGT tidak secara liar dikaitkan dengan gambaran yang salah," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia semalam kononnya KGT terlibat dengan skandal penyelewengan membabitkan pegawai kanan syarikat itu.

Mengulas lanjut Mahadi berkata KGT juga tidak pernah melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti lain selain menempa, mengedar dan menjual koin-koin dinar dan dirham Kerajaan Negeri Kelantan.

"Saya berharap pihak-pihak berkenaan lebih teliti dan professional dalam laporan dan kenyataan mereka serta tidak sewenang-wenangnya merosakkan nama baik KGT.

"Kami sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi melindungi integriti dan reputasi KGT terhadap dakwaan-dakwaan yang tidak benar," tegasnya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa semalam turut mencabar pihak yang membuat tuduhan mendedahkan nama pegawai yang didakwa terlibat dalam skandal berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tuduhan terbaru itu merupakan agenda politik kotor pihak tertentu.

Dalam pada itu Husam berkata beliau sedia disiasat pihak polis berhubung dakwaan itu bagi membersihkan namanya dan syarikat terbabit.

Siasat Nizar: Polis tidak perlu keterlaluan

Abdul Aziz Mustafa, 19 Jun 2012

(Gambar fail: Sidang media Nizar tentang isu WWW 1)

KUALA LUMPUR: Polis tidak sepatunya bersikap keterlaluan dalam siasatannya ke atas Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung nombor pendaftaran WWW1, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Kita tidak ada halangan jika polis hendak menjalankan tugas mereka dengan rasional mengikut peruntukan undang-undang, tidak kisahlah Akta Hasutan atau apa-apa sekalipun.

"Tetapi janganlah bertindak melampau sehingga merampas telefon dan komputer," kata beliau.

Menurut Mohamad, kenyataan Nizar yang menyebabkan polis bertindak itu adalah kenyataan umum dan terbuka yang tersiar dalam laman Twitternya.

"Kenyataan itu tersiar dalam laman sosial yang boleh dilihat oleh semua orang.

"Nizar bukan buat ucapan dalam video conferencing sulit atau perhimpunan bawah tanah di alam maya, dia buat teguran terbuka. Apa yang polis hendak korek lagi dalam telefon dan komputernya?" kata Mohamad sambil menyifatkan tindakan polis itu tidak munasabah.

Nizar sebelum itu memberitahu bahawa polis merampas telefon bimbit dan juga komputernya dalam satu operasi mengejut yang dijalankan ke atas pejabat dan rumahnya semalam.

"Dua pejabat pusat khidmat saya di Manjong dan di Bukit Gantang, ibu pejabat PAS Perak serta rumah saya diserbu polis dari Johor. Handphone (telefon bimbit) dan notebook diambil," kata bekas Menteri Besar Perak itu di Twitter.

Sambil menyifatkan tindakan itu seperti tindakan gestapo, Mohamad yakin apa yang berlaku itu akan memarakkan lagi api kemarahan rakyat.

"Saya yakin rakyat semakin marah. Mereka akan balas dendam terhadap Umno," katanya.

Mohamad berkata, pihaknya boleh menerima jika teguran Nizar itu dikecam atau dimarahi oleh pihak yang merasa marah.

"Ini negara demokrasi. Boleh balas teguran Nizar terhadap plat kereta Sultan Johor itu tidak kiralah melalui kecaman, kemarahan atau demontrasi sekalipun walaupun kita sangat yakin semua itu menyebabkan rakyat semakin meluat dan berdendam.

"Tetapi, kalau sampai ke peringkat rampas telefon dan komputer, itu sudah melampau," katanya.

Tambalan pula, kata Mohamad lagi, Nizar sudah memohon maaf jika tegurannya itu tidak disenangi.

Mahkamah gantung sementara keahlian Isa Samad

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada lima orang peneroka Felda Jengka, Pahang untuk mencabar keputusan mengekalkan keanggotaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad ( KPF ).

Ini ekoran hakim mendapati tindakan Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysial yang memutuskan keanggotaan Isa Samad adalah bercanggah dengan undang-undang kecil KPF.

Hakim Tuan Abang Iskandar Abang Hashim juga membenarkan permohonan sebelah pihak lima peneroka tersebut bagi mendapatkan perintah penggantungan sementara ( interim stay ) bagi menggantung status keahlian dan juga pemilihan Isa Samad sebagai anggota Lembaga KPF atau Pengerusi KPF bagi tujuan pengesahan Mesyuarat Agong perwakilan KPF yang akan diadakan esok .

Mahkamah juga menggantung  pelantikan Isa Samad sebagai ahli atau Pengerusi Lembaga KPF sehingga Mahkamah memutuskan kes semakan kehakiman lima peneroka tersebut.

Lima orang peneroka dari Felda Jengka yang juga ahli berdaftar KPF melalui firma peguam Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan semakan kehakiman bagi mendapatkan antara lain perintah deklarasi bahawa keputusan Panel tersebut yang diberikan pada 23 Mei 2012 yang memutuskan keanggotaan Isa Samad sebagai ahli KPF adalah kekal meskipun beliau tidak layak menjadi ahli KPF adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.

Mereka juga memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan tersebut dan perintah mandamus bagi mengarahkan KPF membatalkan keahlian Isa Samad di dalam KPF.

Pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar petang tadi di mana pihak Peguam Negara melalui peguam kanan persekutuan, Encik Shamsul Bol Hasan telah membantah permohonan lima peneroka tersebut.

Di dalam bantahannya peguam negara antara lain berhujah bahawa lima orang peneroka tersebut tiada locus standi bagi mencabar keputusan Panel tersebut dan kes ini , menurut Shamsul, bukanlah kes yang melibatkan undang-undang awam (public law).

Peguam lima peneroka tersebut iaitu Encik Mohamed Hanipa Maidin berhujah kelima-lima peneroka tersebut adalah pihak yang terjejas dengan keputusan Panel kerana mereka adalah antara peneroka yang membawa kes ini untuk diputuskan oleh Panel maka sudah tentu mereka mereka mempunyai locus standi.

Hanipa juga berhujah jika mahkamah tidak campurtangan di dalam kes ini maka keputusan Panel yang membenarkan orang yang tidak layak menjadi ahli KPF memegang jawatan di dalam KPF akan memberikan impak besar kepada KPF dan sekaligus kepentingan ahli ahli KPF seperti lima peneroka tersebut juga akan terjejas.

Dalam hujahnya Hanipa juga menyatakan keputusan Panel tersebut adalah tidak munasabah dan juga tidak logik kerana meskipun Panel bersetuju Isa Samad tidak layak jadi ahli KPF namun keahliannya dikekalkan.

Hanipa memberi analogi keputusan Panel tersebut samalah seperti hakim mengatakan perkahwinan seorang lelaki dan perempuan adalah tidak sah dan terbatal tapi dalam masa yang sama hakim menyatakan status mereka sebagai  suami dan isteri adalah kekal.

Dengan keputusan hari ini dipercayai percubaan Isa Samad untuk hadir Mesyuarat Agung KPF esok dan dilantik sebagai ahli Lembaga atau Pengerusi KPF tidak akan berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan