Selasa, 19 Jun 2012

APA YANG KITA BUAT SEKARANG AKAN MENERIMA PADAH AKAN DATANG BAIK ATAU BURUK...BERHATI2LAH...AGAR TAK TERSALAH LANGKAH....

Bubar Parlimen di akhir mandat April 2013?
G MANIMARAN & NORSHAHZURA MAT ZUKI
18 Jun 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Sementara spekulasi mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berterusan, beberapa pihak tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri akan menggunakan tempoh mandat yang ada sepenuhnya untuk membubarkan Parlimen.

Mandat semasa Kerajaan Pusat hanya akan berakhir penghujung April 2013.

Penganalisis politik, Prof Dr Samsul Adabi Mamat berkata, PRU13 akan diadakan pada bulan Mac depan kerana ia adalah waktu bersesuaian iaitu selepas Pembentangan Bajet 2013 dibentangkan pada 28 September,

Mesyuarat Agung Tahunan Umno pada bulan Oktober, pemberian bonus kepada kakitangan awam pada Disember, sesi persekolahan
2013 pada Januari 2013.

Menurut beliau, pada waktu itu ia juga melepasi ibadat puasa dan haji melibatkan umat Islam dan bencana alam seperti banjir yang sering berlaku di negeri-negeri Pantai Timur.
“Faktor-faktor ini penting untuk mengadakan pilihan raya umum. Pada Mac 2013 juga mempunyai cuti persekolahan yang membolehkan sistem buang undi dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa PRU13 akan diadakan selepas Aidilfitri kerana sebelum ini mereka menjangkakan ia diadakan pada Jun tetapi ia tidak benar.

Samsul berkata, sekiranya PRU13 diadakan pada Mac 2013 ia akan membantu kerajaan dan pembangkang untuk lebih fokus kepada persediaan menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun, kebarangkalian PRU13 diadakan pada bulan Oktober juga tidak boleh diabaikan dan ia merupakan waktu yang bersesuaian kerana Bajet 2013 telah dibentangkan dan melepasi ibadat puasa.

Menurut beliau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan selepas Aidilfitri adalah waktu yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Situasi politik sekarang juga menguatkan lagi PRU13 diadakan sekitar Oktober kerana Pas meminta ahlinya menangguhkan niat untuk menunaikan ibadat haji untuk memberikan fokus kepada PRU13.

“Saya lihat waktu tersebut sesuai kerana ia merupakan bulan Zulkaedah (kalendar Islam) sebelum 10 Zulhijah yang merupakan kemuncak ibadat haji. Beberapa orang bakal haji terawal sahaja tidak dapat mengundi,” katanya.

Beliau berkata, minggu kedua dan ketiga Oktober adalah waktu yang sesuai diadakan pilihan raya.

“Semuanya terletak di tangan kerajaan yang memerintah. Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja kerana PRU12 telah melepasi empat tahun,” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri akan menyahut cabaran sesetengah pihak agar PRU13 hanya diadakan di akhir mandat kerajaan semasa.

“Ada kemungkinan Perdana Menteri akan mengambil cabaran itu... ini kemungkinan,” kata beliau dengan mengambil kira kemungkinan jika PRU13 tidak dipanggil sebelum Ramadan atau selepas Aidilfitri sebelum sidang Parlimen September-Disember.

“Ini antara kemungkinan yang saya lihat... kemudian ada musim haji, sidang Parlimen, musim perayaan hujung tahun ini dan awal tahun depan  (Tahun Baru Cina).
“Mungkin Perdana Menteri beranggapan bahawa, kita pergi hingga akhir tempoh mandat (April 2013) dan kemudian serah kepada SPR memanggil pilihan raya antara akhir Mei dan Jun 2013)... ini pun ada kemungkinan,” katanya yang sekali lagi menekankan pembubaran Parlimen adalah 'keputusan politik' yang hanya boleh diputuskan Perdana Menteri sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Sivamurugan Pandian berkata, tarikh PRU13 banyak bergantung kepada pengamatan Perdana Menteri ke atas persediaan termasuk mengurus persepsi kepada isu, calon dan jentera parti.

“(Oleh itu) tidak memeranjatkan jika Perdana Menteri akan menggunakan tempoh sepenuhnya untuk memenuhi kesemua ciri tersebut kerana PRU akan datang adalah ibu segala PRU dan kemenangan bergantung kepada kesepaduan dalam parti dan itu yang akan diteliti oleh Perdana Menteri,” katanya lagi.
Tambah beliau, jika ada pihak yang menekan Perdana Menteri untuk mengadakannya sekarang, maka pihak tersebut boleh meminta pembangkang membuatnya di negeri-negeri pentadbiran mereka.

Bagaimanapun, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Anis Yusal Yusoff menolak tanggapan bahawa Najib akan melangkah sehingga ke penghujung tempoh mandat untuk memanggil PRU13.

"Saya tidak melihat begitu. Apa yang pasti Datuk Seri Najib masih timbang masa yang terbaik untuk melakukan 'serangan', membubarkan Parlimen ketika sokongan kepada BN semakin meningkat.

"Bila masa yang terbaik itu? Itu yang menjadi pertimbangan. Ia boleh menjadi bila-bila masa," kata beliau sambil menambah, pertimbangan tradisi bahawa pilihan raya perlu diadakan pada musim cuti sekolah atau tidak boleh diadakan hujung tahun sudah tidak terpakai lagi dalam situasi politik semasa.
Exco Kanan Pahang Tan Aminuddin meninggal dunia
Wartawan Sinar Harian
19 Jun 2012
Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak
Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak
TEMERLOH – Exco Pahang  Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, 64, meninggal dunia pagi ini di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini pada 8.55 pagi ini setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi  (ICU) pada 8 Jun (Jumaat) lalu.
Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Peneroka Felda Negeri meninggalkan seorang balu, Datin Nooraihan Mohamad dan dua orang anak, manakala anak sulungnya sudah  meninggal dunia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor dibawah pengawasan doktor pakar dilaporkan tenat semalam dan masih dibantu dengan mesin sokongan pernafasan sebelum ini dikatakan berada dalam keadaan stabil.

Anak saudaranya, Saiful  Azman Mokhtar Affendi, bapa saudaranya itu dikatakan turut mengalami komplikasi penyakit lain termasuk jantung dan kencing manis dimasukkan ke Hoshas kerana mengalami cirit birit dan muntah muntah serta badannya lemah.

Tan Aminuddin adalah Ketua UMNO Bahagian Maran menjadi wakil rakyat sejak lima penggal dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar adalah anak jati Chenor.

Beliau adalah  anggota EXCO paling kanan dan lama berkhidmat dalam kerajaaan negeri selain Menteri Besar.

Sementara itu, isterinya kini turut mendapat rawatan di hospital yang sama akibat tekanan darah tinggi
Pejabat Nizar digeledah
NORMAWATI ADNAN
19 Jun 2012
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Pejabat Pas Negeri di Medan Istana antara yang digeledah.
Pejabat Pas Negeri di Medan Istana antara yang digeledah.
IPOH – Tiga pejabat operasi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang digeledah polis Johor, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan, operasi yang bermula kirakira jam 11.30 pagi itu dibuat di Pejabat Pas Negeri, di sini, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.
Turut menerima situasi sama, kediaman Ahli Parlimen Bukit Gantang itu di Sungai Rokam di sini, bagaimanapun tiada sebarang serbuan dilakukan berikutan ketiadaan Mohammad Nizar di rumah berkenaan.
Jurucakap Pas Perak, Safarizal Saleh ketika dihubungi berkata, sepasukan polis berkenaan hadir bersama waran kebenaran daripada mahkamah yang menyatakan serbuan dibuat di lokasi berkaitan bagi mencari bahan bukti.

Bagaimanapun menurutnya, kehadiran pasukan itu yang menjalankan operasi secara serentak di empat kawasan berkenaan agak mengejutkan kerana tiada makluman awal dibuat.
“Sepanjang penyiasatan itu berlangsung, kita memberikan kerjasama yang baik, malah beberapa peguam kita turut serta dalam operasi berkenaan.

“Saya dimaklumkan, operasi mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, namun tidak dapat dipastikan sama ada bahan bukti yang dicari dijumpai atau tidak,” katanya yang memaklumkan, tiada sebarang soal siasat dijalankan membabitkan kakitangan di tiga pejabat operasi berkenaan.

Safarizal berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyiasatan yang dilakukan, semalam berkaitan dengan isu mesej Twitter Mohammad Nizar berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Menurutnya, apa juga keadaan yang berlaku sekarang, beliau berharap siasatan yang dilakukan itu berjalan dengan baik. “Meskipun didatangi secara mengejut, kita sudah berikan kerjasama, harap apa yang mereka lakukan hari ini (semalam) bukan bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Ketika serbuan dijalankan semalam, Mohammad Nizar masih berada di Parlimen dan hanya mengetahui situasi berkenaan setelah dihubungi salah seorang anaknya yang memaklumkan terdapat beberapa anggota polis membuat rondaan di sekitar kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

Sementara itu, di Johor, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sewaktu dihubungi enggan mengulas berhubung perkara tersebut.
Nik Aziz kecewa unsur Syiah di Ekspo Islam
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
18 Jun 2012
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kecewa dengan sikap segelintir  peserta dari negara luar yang membawa masuk  bahan-bahan berunsurkan Syiah untuk dipamerkan pada Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012, yang sedang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV sini.

Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan tersebut tidak menghormati sentimen umat Islam tempatan yang berpegang kepada Sunnah Wal Jamaah.

“Saya  mengarahkan agar pihak urusetia mamastikan semua bahan-bahan ini diturunkan serta merta dengan seberapa segera serta memastikan perkarta ini tidak berulang.

“Saya meramkamkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak segera dalam memaklumkan perkara ini kepda pihak berkuasa urusetia khususunya serta pihak kerajaan untuk tindakan, pada saya, urusan akidah  pekara yang tiada tolak ansur,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ekspo itu, yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun, turut disertai 10 negara termasuk dari Iran.

Difahamkan unsur Syiah tersebut  dipamerkan melalui tulisan khat dan bahan video.
Jurutol ditembak alami cacat kekal
Wartawan Sinar Harian
19 Jun 2012
Jurutol ditembak alami cacat kekal
Laporan Sinar Harian 16 Jun lalu.
KUALA LUMPUR - Salah seorang mangsa kejadian samun di Plaza Tol Seremban, Mohd Hafizz Zamri, 26, mengalami cacat kekal apabila kaki kanannya terpaksa dipotong Jumaat lalu.
Lebih malang, dia terpaksa menangguhkan perkahwinannya yang dijangkakan pada penghujung tahun ini.

Akibat itu, Hafizz kelihatan lebih murung dan tidak banyak bercakap. Bagaimanapun bapanya, Zamri Sutin, 53, berkata, anaknya itu semakin stabil selepas pembedahan yang dilakukan pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur.
“Pada mulanya dia menolak untuk menjalankan pembedahan memotong kaki namun selepas dipujuk tunang dan ahli keluarga, dia bersetuju,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 malam Jumaat lalu, Hafizz bersama sorang lagi rakan sekerjanya, Nurijah Rosli, 24, yang mengandung dua bulan, parah selepas ditembak dengan dipercayai pump gun dari jarak dekat.

Mengulas kejadian itu, dia sendiri berasa terkejut mendengar berita itu, namun menerimanya dengan reda. Zamri berkata, Hafizz juga terpaksa menangguhkan perkahwinan yang dijadualkan akhir tahun ini bersama tunangnya, Nurfaizan Abdul Kasim, 27.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudi membantu bagi pihak Hafizz dalam usaha menyegerakan bantuan daripada Pertubuhan  Keselamatan Sosial (Perkeso).
Projek Lynas: PSC beri lampu hijau
Wartawan Sinar Harian
19 Jun 2012
Projek Lynas: PSC beri lampu hijau
Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengesyorkan agar lesen Kelas A iaitu mengilang peringkat pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan supaya projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan, Pahang dapat beroperasi.

Bagaimanapun PSC menegaskan, di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang lazim dan syarat-syarat tambahan yang telah dikenakan di dalam lesen TOL ini.

"Data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya," kata laporan PSC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam laporannya, PSC juga berkata, pihaknya berpuas hati bahawa berdasarkan fakta-fakta saintifik, takrifan undang-undang dan maklumat yang diperolehi daripada pakar-pakar, projek LAMP adalah merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

Selain itu, PSC juga mendapati projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju.

"Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa.

Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa.
"Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah menyediakan sistem kawalan yang diperlukan seperti yang telah ditetapkan di dalam perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar untuk kilang beroperasi sementara," kata laporan PSC di bahagian rumusan.

Sehubungan itu, PSC mengesyorkan satu jawatankuasa pemantauan dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.
Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan  dan pakar bertauliah.

Ia juga mengesyorkan supaya kesemua 31 syor yang telah dikemukakan ini dilaksanakan sewajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan