Sabtu, 26 Mei 2012

ADA ORANG MENUDUH ORANG BUAYA..TAPI MUNGKIN IA LEBIH BUAYA LAGI...TUDUH ORANG HARIMAU...MUNGKIN IA LEBIH HARIMAU LAGI...TUDUH ORANG TAK BETUL...SEBENAR MEREKA LAGI TAK BETUL.....

Ketahuilah bahawa samseng Umno itu benar

Ahmad Tajdid, 26 Mei 2012
CHE DET buat lagi. kali ini mantan PM itu mendakwa kononnya Pakatan Rakyat yang bakal tewas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan menganjurkan demonstrasi ganas tanpa henti untuk menolak keputusan itu.

Dakwa Tun Mahathir Mohamad, pembangkang (Pakatan Rakyat) seterusnya akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.

"Tunjuk-tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya.

"Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwa beliau dalam blognya.

Begitulah Mahathir, seorang pengamal politik Machiavelli yang tidak sudah-sudah dengan taktik 'reverse psychology'nya ketika berhadapan lawan politik.

Tidak seperti di era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi yang sering dikecam beliau, Mahathir memilih untuk membantu menyerang Pakatan Rakyat dan menyembunyikan ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Najib. Alasannya mudah. Beliau tidak mahu BN yang semakin lemah hilang kuasa dan seterusnya membolehkan seteru politiknya, Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya.

Oleh itulah kita lihat kini Mahathir lebih banyak memberi komen berhubung politik negara berbanding isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor!

Walaupun di awal pentadbirannya, Che Det mengkritik dua mantan PM iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn kerana didakwa selalu bersuara mencampuri urusan pentadbiran negara, kritikan beliau nampaknya terkena batang hidung sendiri apabila gemar bercakap mengkritik penggantinya pula.

Kepakaran Dr Mahathir sebagai seorang 'spin doctor' boleh dilihat dalam isu samseng politik yang kian menjadi-jadi sekarang ini.

Walaupun para pemimpin Umno bersungguh-sungguh menafikan pembabitan parti itu dalam beberapa kejadian di seluruh negara, umum mengetahui siapakah dalang dan punca kejadian samseng-samseng itu mengganas.

Kejadian terbaru membabitkan ceramah anjuran KeADILan di Lembah Pantai. Ceramah yang disampaikan Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar 24 Mei lalu dicemari insiden keganasan apabila pemimpin dan hadirin dilempar batu dan telur oleh Pemuda Umno. Seorang warga emas terpaksa dikejarkan ke klinik kerana tercedera terkena batu di kepala.

Motif Umno mengadakan ceramah lebih kurang 100 meter daripada lokasi ceramah anjuran KeADILan itu juga bertujuan mewujudkan ketegangan. Apatah lagi ceramah itu disampaikan penglipurlara cerita lucah dan porno Umno, Umi Hafilda Ali. Malah Umi Hafilda dilapor memekikkan perkataan "Anwar al-Jub*ri. Dia pro-Israel. Dia bapa kaki perempuan" bagi menenggelamkan ceramah Anwar.

Hampir 100 Pemuda Umno Lembah Pantai juga dilapor menghalang jalan utama menghala ke ceramah KeADILan dan membawa sepanduk bertulis "Anwar punca keganasan di negara ini".

Ucapan Nurul Izzah turut tertangguh 15 minit apabila bekalan elektrik sengaja dipotong.

Walaupun Umno Lembah Pantai yang dipimpin Raja Nong Chik menafikan terlibat dalam insiden ganas dan sabotaj itu, bukti-bukti yang wujud tidak boleh menafikan penglibatan Umno.

Begitu juga dengan insiden yang menimpa Anwar di Johor dan Pahang apabila kereta milik Ketua Pembangkang itu menjadi mangsa tindakan samseng upahan Umno.

Di Melaka, program menampilkan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga baru-baru ini turut diganggu samseng. Malah Adun (Umno) Serkam dan Ahli Parlimen (Umno) Jasin turut dikesan berada di dalam kawanan gerombolan samseng tersebut.

Beberapa kejadian kacau ganggu di hadapan kediaman S Ambiga pasca himpunan bersih 3.0 punya kaitan dengan samseng Umno. Walaupun pihak-pihak terlibat melindungi kegiatan samseng mereka di sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO), carian di internet membuktikan penglibatan mereka dengan Umno.

Walau bagaimana kerasnya penafian pemimpin Umno terhadap pembabitan parti itu dengan gerombolan samseng, Umno tidak boleh bersembunyi di sebalik lalang nan sehelai. Di Melaka sebagai contoh, budaya samseng politik dipelopori Pengerusi Perhubungan Umno yang juga Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sendiri.

Menjadi hobi kepada Mohd Ali untuk mengadakan 'ceramah kilat' berhadapan lokasi pentas ceramah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat. Mohd Ali akan menjerit-jerit menggunakan pembesar suara bagi mengganggu ceramah Pakatan Rakyat walaupun yang berada di hadapannya hanyalah sekitar 20 atau 30 orang penyokong Umno/BN.

Di Terengganu, sikap yang sama ditunjukkan pemimpin Umno apabila menganjurkan siri kempen "PAS Parti Ajaran Sesat". Apa yang melucukan, tatkala ghairah menuduh PAS sebagai 'sesat', Umno masih teringin untuk bermuzakarah bagi mencapai 'perpaduan ummah'. Begitulah hebatnya Umno bersandiwara untuk mengekalkan kuasa.

Walaupun tindakan provokatif dan samseng Umno ini dilakukan secara berleluasa, namun ia tidak langsung dilihat sebagai satu ancaman oleh pihak yang bertanggung jawab terhadap keselamatan negara. Hatta mantan Ketua Polis Negara sendiri menuduh Mursyidul Am PAS sebagai 'bapa kafir' hanya semata-mata kerana menyokong perhimpunan duduk, bantah Bersih 3.0.

Mungkin juga pihak polis berasa 'malu alah' memandangkan penaja dan pelopor kegiatan samseng ini ialah para pemimpin Umno yang sebahagiannya ialah memimpin kerajaan. Kumpulan-kumpulan samseng ini juga berselindung di sebalik nama NGO. Mereka juga mendapat pelbagai gelaran yang dianugerahkan pemimpin Umno. Antaranya "benteng ketiga pertahanan negara".

Tidak hairanlah jika ada penganalisis politik meramalkan PRU13 akan datang bakal menjadi PRU paling buruk dalam sejarah negara. Kegiatan samseng politik akan sampai ke kemuncaknya pada waktu itu. Dan tidak seperti tanggapan Dr Mahathir, kegiatan samseng dan ganas itu bukan dipelopori Pakatan Rakyat tetapi didalangi BN yang sudah tentunya diterajui Umno!

Masyarakat Cina Sambut Kepulangan YB Salahuddin Ayub

http://www.nusajayakini.com, 26 Mei 2012
GELANG PATAH - Keputusan YB Salahuddin Ayub untuk balik bertanding di negeri Johor mendapat sokongan dan dokongan daripada pengundi masyarakat Cina. Sokongan ini telah dizahirkan kepada YB Salahuddin pada satu majlis makan malam bersama masyarakat Cina Gelang Patah di Restoran Pekin Sutera.


Rata-rata masyarakat Cina yang hadir menyatakan kegembiraan mereka dengan keputusan yang diambil YB Salahuddin untuk kembali ke negeri Johor. Walaupun baru membuat keputusan untuk bertanding di Johor dan belum lagi dimuktamadkan kerusi yang ingin ditandingi, terdapat segelintir masyarakat Cina sudah memberikan harapan kepada YB Salahuddin untuk memimpin perubahan di negeri Johor seterusnya menjadi Menteri Besar di negeri ini.


Dalam ucapan beliau kepada hadirin yang hadir, YB Salahuddin jelas menyatakan bahawa kepulangan beliau ke kancah politik Johor bukan kerana elaun ataupun pangkat tetapi kerana ingin membela nasib rakyat Johor.


"Saya mengambil keputusan untuk bertanding di tempat kelahiran saya ini. Jika difikirkan untuk mengekalkan elaun ahli parlimen, lebih baik saya kekal bertanding di Kelantan. Namun itu bukan segalanya bagi saya kerana perjuangan rakyat negeri Johor adalah lebih penting kepada saya"


"Saya diminta bertanding di Kelantan dahulu kerana saya pada waktu itu menjadi Ketua Pemuda PAS Malaysia. Parti melihat saya perlu berada di dalam dewan parlimen maka saya dihantar bertanding di Kelantan. Namun untuk pilihanraya umum pada kali ini, saya telah menyatakan keazaman saya untuk bertanding di Johor. Saya akan membantu rakyat negeri saya ini menentang kezaliman yang berlaku", jelas beliau lagi yang menyebabkan hadirin berdiri memberikan tepukan atas ucapannya itu.


Dalam pada itu, majlis makan malam yang dianjurkan DAP Gelang Patah itu berjaya mengumpulkan lebih 1,600 orang masyarakat Cina. Majlis makan malam ini dianjurkan di Restoran Pekin yang turut dihadiri oleh YB Dr. Boo Cheng Hau, YB Tian Chua dan  YB Teng Cheng Kim

Umno dicabar kemuka bukti orang Melayu diusir

Mohd Sabri Said, 26 Mei 2012
PULAU PINANG: Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman mencabar Ketua Pehubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman menyenaraikan 50 buah kampung Melayu yang bakal diusir oleh mahkamah dalam masa terdekat.



Jika ada, beliau dikehendaki mengemukakan dengan bukti kukuh bukan dakwaan kosong sebagaimana kenyataannya dalam akhbar The Sun pada 22 Mei lalu.


Justeru, cadangan Umno agar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menambah rumah kos rendah bagi mengatasi penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan dilihat sesuatu yang dangkal.

Ini kerana selama ini mereka berhujah supaya kerajaan negeri mengekalkan perkampungan Melayu sedia ada.


"Bagikan saya senarai 50 buah kampung yang bakal diusir oleh mahkamah.  Saya nak tengok dengan bukti sekali  sebab setahu kami tiada pun kejadian itu berlaku melainkan cadangan kerajaan negeri mahu menaikkan taraf perkampungan Melayu sedia ada dengan lebih proaktif berdasarkan kepada rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang  2020," tegas Mansor ketika dihubungi.


Antara kampung terbabit ialah Kampung Seronok, Kampung Sungai Rusa, Kampung Titi Teras, Kampung Pondok  Upeh, Kampung Permatang Tepi Laut, Kampung Genting dan Kampung Terang di bahagian Balik Pulau.


Di bahagian Seberang Perai pula membabitkan Kampung Ceruk To' Kun, Kampung Machang Bubuk, Kampung Ara Kuda, Kampung Sungai Acheh, Kampung Kota Aur dan Kampung Mengkuang Titi.


Ujarnya lagi, kerajaan negeri senantiasa memantau jika ada tanah yang terlibat dengan syarikat untuk dibangunkan sepertimana yang telah berjaya diatasi seperti di Kampung Perlis 10 Kongsi, Bayan Lepas di mana 84 orang berbagai bangsa tidak mendapat geran dari 1987 yang diatasi pada 2011.


Selain itu ialah Kampung Cross Street, Bukit Mertajam, perobohan 12 buah rumah di Kampung Sungai Nibung Besar, 22 buah rumah diatas tanah milik KL Metro Development Teluk Kumbar Balik Pulau, Perumahan PPR Sungai Chenaan Seberang Perai Selatan, Kampung Melayu Tanjung Tok Kong Fasa 4A, Kampung Binjai Bayan Lepas, 13 keluarga  bangsa Cina di Kuala Jalan Baru Balik Pulau dan Kampung Bagan Serai Seberang Jaya.


"Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat buat perancangan begitu berhemah dan baik  demi rakyat yang tercinta.

“Kami tidak  sekali-kali menginaya penduduk sepertimana yang digemburkan oleh Umno dan BN yang terdesak," katanya yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.

Amukan 'yob pasior' londeh pekung busuk Umno

Mohd Rashidi Hassan, 26 Mei 2012
Isunya hanyalah berpunca daripada orang kuat Umno, yang mengamuk kerana tidak dapat projek pasir. Dalam loghat Perak pasir disebut 'pasior'.

Di Selangor suatu ketika, Umno cuba memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu pasir, tetapi gagal. Akhirnya mereka hanya menjadi 'beruk-beruk yang menggoyangkan pokok', seperti kata Khairy Jamaluddin satu ketika dulu.

Umno jadi malu, apabila seorang pengusaha pasir yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kampar, Zamhuri Md Zin, mengamuk memaki hamun Umno dan kerajaan BN Perak, pimpinan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir.

Zamhuri marah kerana sokongannya kepada Umno selama hampir tiga dekad, tidak memudahkan beliau mendapat projek pasir.

Jadi, untuk melepaskan geram, beliau marahkan kerajaan negeri Perak dan berlakon konon-kononnya memarahi Zambry menerusi telefon, walaupun dikhabarkan, akhirnya pecah rahsia, beliau sekadar berlakon dan bukannya menghubungi Zambry pun.

Apa pun, Zamhuri layak digelar 'Yob Pasior' oleh rakyat Perak kerana begitu lantang menuntut projek pasir.

Ceritanya, beberapa hari selepas mengamuk memaki hamun partinya, isytihar  keluar daripada Umno dan mengisytihar diri menyokong DAP,  Zamhuri kembali memohon maaf kepada seluruh kepimpinan Umno di atas tindak tanduk beliau.

Kedua-dua video mengenai amukan dan permohonan maaf Zamhuri, boleh dimuat turun menerusi laman Youtube.

Soal mengapa beliau memohon maaf dan kembali kepada Umno, apa benda  yang beliau dapat, hanya beliau yang tahu.

Namun, seperti kebanyakan penyangak-penyangak Umno lain, mereka bergaduh sesama sendiri dalam Umno-BN, Pakatan Rakyat pula yang menjadi 'ulam' , untuk dipersalahkan.

Teman menyentuh mengenai Zamhuri, bukan kerana hendak membalas keceluparannya, bukan juga kerana bencikan beliau.

Tetapi bagi teman, beliau adalah jelmaan manifestasi pelaksana, pendukung dan pemimpin Umno yang hipokrit, hidup mereka hanya mengejar projek, dengan menyandarkan perjuangan atas nama Melayu-Islam. Orang Perak kata spesies 'mangkuk hayun' macam inilah yang harus ditolak rakyat.

Zamhuri adalah bukti, mereka-mereka dalam Umno, bukan pejuang Melayu tulen. Mereka adalah insan haprak yang merebut kuasa untuk kepentingan diri, mengumpul sebanyak mana kekayaan dengan amalan rasuah yang amat jijik.

Zamhuri bukan calang-calang orang di Perak. Selain Naib Ketua Pemuda bahagian, beliau juga Ketua Cawangan dan Bendahari Pilihan Raya Umno Kampar.

Lagi hebat, beliau adalah kakitangan kerajaan dengan Gred N48. Satu lagi persoalan yang timbul, inilah dia kerja Umno, menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mendapatkan projek pasir dan lain-lain.

Boleh atau tidak kakitangan kerajaan berniaga dan mendapat projek dari kerajaan? Beliau harus disiasat nama syarikat dan dibongkar apa kepentingannya dan dalam konteks ini, boleh disabitkan dengan penyalahgunaan kuasa dan kepentingan.

Jika beliau menyalahgunakan kuasa, Zamhuri boleh dianggap lebih kurang macam perangai Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang terbabit dalam skandal NFC. Caranya sama, amaun saja berbeza.

Jika kita melihat amukannya di laman Youtube Jumaat lalu, Zamhuri dengan loghat pekat Peraknya mengamuk selama lebih tujuh minit. Dengan jelas Zamhuri sendiri yang meminta amukkannya dimasukkan ke dalam Youtube.

Zamhuri ketika itu, mengisytiharkan keluar daripada Umno setelah lebih 27 tahun bersama parti itu dan menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Zamhuri berkata, tindakan tersebut diambil kerana parti yang telah memerintah lebih 50 tahun itu gagal menjaga orang Melayu dan tidak lagi relevan.

Jelas suaranya, memaki hamun beberapa orang yang cuba memujuknya, termasuk Setiausaha Umno Bahagian Kampar, Zainal Abidin Selamat yang berada di situ.

Termasuk yang menjadi mangsa hamunannya ialah Ketua Umno Bahagian Kampar, Dato' Mohd Radzi Manan, yang dikatakan cuba memujuk beliau.

Jelas di laman Youtube apabila telefon bimbitnya berdering (dipercayai dari Dato' Radzi), Zamhuri mengamuk sambil menjawab telefon dengan mengatakan:

"Dato' Radzi telefon aku. Saya tekad hari ni Dato', apa jadi pun hari ni saya tekad..hidup DAP.  Dato' kerajaan Umno-BN tak boleh tolong orang Melayu baik masuk parti lain Dato'."

Selepas Zamhuri mencampakkan telefon ke atas meja, sambil dipujuk beberapa orang. Zamhuri tidak mempedulikan mereka.

Disambung amukannnya, "Ha tengok sampai seluruh Perak menelefon. Baru nak menolong. Nak bagi rasuah baru dapat, nak menyembah rupe (serupa) ini..ha tolong aaa (menyembah cara Cina beribadat)," laungnya, dalam loghat Perak yang pekat.

"Ini semua rasuah. Nak kawteem, nak ajak karaoke, nak ajak makan, nak bagi rasuah, nak bagi amoi, aku kabo ke kome (beritahu kamu), nak bawa (amoi) dari Siam baru seronok hati

"Minta cara betul semua tak boleh, nak sogok baru boleh," tibai Zamhuri.

Malah beliau melaungkan takbir seraya berkata, "Allahu akbar! Saya sokong tukar kerajaan, Allahu akbar!

Hahaha..itulah drama pendek pencacai Umno yang berjaya melondehkan imej kotor, jijik dan nista Umno di Perak, dan juga di seluruh negara.

Orang kata morale of the story, kalau nak dapat projek kerajaan Umno, mesti bagi rasuah duit dan betina.

Kepada orang Perak, eloklah deme pikior balik daripada menyokong Umno ni. Teman idak le menuduh ape-ape, yang menuduh Umno jahat, kaki rasuah, kaki betine dan menyundal ni adalah Zamhuri si yob pasior.

Ate..itulah kerojenya deme tu. Gune nama Melayu-Islam, tapi menyundal dari 'atas perut hingga ke bawah perut.' Kongkali kong betul.

Umno  Perak, silalah.. ambillah Zamhuri balik, Pakatan Rakyat tak sior (mahu) pun dia, teman tak semawa, dia yang terkinja-kinja. Alahai yob, 'nasi dah jadi bubur.'

Terima Kasih Utusan!

http://www.khalidsamad.com, 26 Mei 2012

Tabung Pilihanraya PAS Shah Alam

Friday, May 25, 2012


Terima Kasih Utusan!

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kerana menjadi penyumbang terbanyak kepada Tabung Pilihanraya PAS Shah Alam setakat ini iaitu sebanyak RM60,000. Pihak kami juga sedang mengusahakan sumbangan dari YB Hamidah (Perak) dan Novandri (Penang), yang mana kes tersebut akan didengar tidak lama lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Berkaitan: Mahkamah rayuan kekalkan keputusan, Utusan diarah bayar Khalid Samad

Rais buta antara aset kerajaan dan harta Umno

Ahmad Lutfi Othman, 26 Mei 2012
Ketika PAS dimomokkan sebagai Parti Islam yang ghairah mengejar kuasa sehingga melupakan dasar perjuangan sucinya, namun dalam masa sama berbondong-bondong orang ramai memohon keahlian, termasuk tokoh-tokoh terkemuka dan selebriti terkenal.

Semasa aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat -- tidak terkecuali PAS -- ditohmah sebagai perusuh dalam demonstrasi suku juta umat, Bersih 3.0, dengan pelbagai kempen propaganda, termasuk melalui siaran RTM pada waktu puncak, memaparkan peserta himpunan "mengganasi pihak keselamatan", kita dikejutkan dengan perisytiharan beberapa bekas pegawai kanan polis menyertai Parti Islam.

(Semasa mengunjungi Miri, lebih sebulan lalu, memenuhi jemputan program kewartawanan media baru, saya bertemu dengan bekas Timbalan Residen Miri -- jawatan hampir sama dengan Penolong Pegawai Daerah -- Johari Bujang, yang kemudiannya baru-baru ini dilaporkan telah menyertai PAS).

Berita itu sepatutnya menenggelamkan dakyah bekas Ketua-Ketua Polis Negara -- Hanif Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan -- yang cuba memalitkan imej "kotor dan ganas", juga "berunsurkan komunis" terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, 28 April lalu.

Pada 20 Mei lalu, di hadapan lebih 5,000 hadirin, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Dato' Fauzi Shafie (antara segelintir kecil nama-nama pegawai kanan polis yang diingati ramai), telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Ulu Sepetang, Larut, Perak.

Menerusi YouTube, saya agak teruja mendengar muqadimah ucapan Fauzi, yang dikira mantap dan sarat dengan peringatan agama, sekali gus menggambarkan sikap dan komitmen padunya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS. Beliau seperti mahu memanfaatkan baki usianya untuk mendaulatkan agama Allah.

Sebelum itu, di Perak juga, bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River, Abdullah Omar turut menyertai PAS. Dalam ceramahnya di Dungun, 24 Januari lalu, Abdullah berkata beliau masuk PAS kerana PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang,  berdaftar dengan pendaftar pertubuhan, dan lebih penting kerana dipimpin tokoh-tokoh yang ingin membawa negara kepada pemerintahan Islam, tidak sepertimana kebanyakan pemimpin Umno yang terlibat dengan pelbagai skandal.

Abdullah seolah-olah menjawab lebih awal siri serangan yang bakal dihadapi  Fauzi. Akhbar Berita Harian, 22 Mei lalu, memilih tajuk utama halaman lapan,  "Veteran polis rasa terguris", dengan tajuk kecil, "Keputusan bekas Pengarah JSJ sertai PAS dianggap khianati kerajaan".

Ia ekoran reaksi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, dengan penyertaan Fauzi bersama PAS. Shafie berkata, pihaknya terkejut dan keliru dengan tindakan Fauzi itu.

"Saya pun tak tahu apa pertimbangan beliau (Fauzi) sedangkan ketika dalam PDRM, beliau memegang jawatan kanan selain mendapat gaji yang tinggi dan berpencen. Kini bila bersara, sertai pula pembangkang, agak ganjil tindakan beliau itu," kata Shafie, seperti dilaporkan Berita Harian.

Saya sendiri terkejut bagaimana Berita Harian memilih tajuk kecil "... dianggap khianati kerajaan" hanya kerana bekas pegawai tertinggi polis itu menyertai PAS. Usaha "pembodohan massa" (meminjam ungkapan Dr Siddiq Fadzil ini) dalam suasana rakyat semakin terbuka menilai amalan demokrasi dan celik politik itu cukup memalukan.

Sebelum ini, akhbar dalam kumpulan yang sama, New Straits Times (NST) telah melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "bapa kafir" dan tidak mahu memohon maaf walaupun selepas didesak berbuat demikian.

Segera saya mengirim SMS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu minta respons awal terhadap laporan Berita Harian itu. Tanpa perlu menunggu lama, Mat Sabu yang banyak menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh kenamaan pesara tinggi kerajaan dan juga bekas pimpinan Umno, membalas: "Inilah doktrin yang melahirkan kebangangan polis dan bekas polis ...tak kenal antara kerajaan dengan Umno."

Rakan saya, seorang pegawai polis, turut membalas SMS sama: "Apakah Shafie faham erti dan amalan demokrasi yang sebenarnya?"

Menyedihkan sekali, jika hal-hal semudah itu, seperti kebebasan untuk memilih menyertai mana-mana parti politik berdaftar -- hatta proaktif untuk menjatuhkan kerajaan melalui saluran undang-undang -- dikaitkan dengan istilah-istilah yang langsung tidak relevan, misalnya "khianati kerajaan".

Mungkin kalau zaman dahulu (zaman Hanif Omar) akan mudah dilabelkan dengan  "anasir subversif", malah tidak mustahil dicap "prokomunis", atau  dikaitkan dengan "aliran Marxisme" (satu istilah yang cukup digemari Rahim Noor).

Kepada pertanyaan wartawan Harakahdaily, Fauzi berkata: "Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja.  Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini."

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan "menghalau pelancong" dari negara ini.

Dalam pada itu, seorang rakan lama, juga bekas wartawan ekonomi, meminta Harakah memberi penekanan kepada berita Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim memperuntukkan RM200,000 kepada semua ahli veteran Umno dan Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat BN) di setiap negeri dengan menyediakan komputer riba  dan latihan pengurusan media baru, sebagai persiapan menghadapi PRU13.

Sekali lagi ungkapan paling sesuai untuk Rais, seperti dilafazkan Mohamad Sabu: "...tak kenal antara kerajaan dan Umno." Rais yang satu ketika dahulu prihatin dan komited dengan prinsip-prinsip asas demokrasi, kini seperti tidak dapat membedakan di antara wang kerajaan yang diperolehi daripada pembayar cukai dengan dana politik Umno.

Tindakan Rais itu membuatkan kenyataannya yang lebih penting kurang diperhatikan, iaitu "kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai" telah disiapkan.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui cukup berminat dengan isu akses media sama rata sewaktu kempen PRU13, terutama membabitkan media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama. Sewaktu konvensyen KAMI, 12 Mei lalu, seperti disaran V Anbalagan, Setiausaha Agung NUJ, telah dirumuskan bahawa satu badan khas yang bebas perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan media berkenaan.

Bagaimanapun saya curiga kemampuan Rais untuk bertindak adil dalam menyiapkan kertas kabinet, terutama untuk menyambut saranan SPR agar diberikan airtime berkempen, yang munasabah untuk semua parti bertanding dalam PRU13 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan