Khamis, 26 April 2012

APA YANG HENDAK DIHARAP..HARAPKANLAH PERTOLONGAN ALLAH....MANUSIA HARAPKAN HABUAN DUNIA DAN TAKUTKAN TINDAKAN MANUSIA YANG BERKUASA...JANGANLAH KITA MENSYIRIKKAN DIRI KITA....

Pendidikan percuma di Selangor, AMK jumpa MB

Harakahdaily, 26 Apr 2012
SHAH ALAM: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memohon untuk bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan wacana pendidikan percuma dalam konteks negeri itu.

"AMK berhasrat mengadakan satu kunjungan hormat untuk bertemu YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan tujuan berbicara dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat," kata Setiausaha AMK, Julailey Jemad dalam satu kenyataannya.

Tindakan ini, katanya, sesuai perkembangan hari ini yang melihat isu pendidikan percuma cukup luas dibicarakan.

Bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara, katanya.

Sebelum ini, apabila Pakatan Rakyat membicarakan soal pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN, pemimpin Umno menempelak Pakatan dengan meminta negeri-negeri Pakatan melaksanakan dahulu cadangan itu.

"AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan," kata Julailey.

Menurutnya, satu atu surat kunjungan hormat telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar.

AMK dengan penuh harapan agar Khalid mempunyai ruang untuk berdiskusi, kata Julailey.

AMK, katanya,  percaya dan yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor Khalid mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri Selangor.

"Kami, di peringkat AMK mewakili golongan anak muda akan sentiasa berada di belakang kepimpinan YAB dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor," katanya.

Oleh yang demikian, Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional, kata beliau.

SPR: Isytihar ahli Umno atau keluar parti

Salmiyah Harun, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu menjelaskan sama ada mereka ahli Umno atau isytihar keluar parti.

Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar) berkata, jika benar dakwaan mengatakan mereka adalah ahli Umno, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Sangat-sangat terkilan, tidak profesional di dalam menjalankan amanah yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong untuk menzahirkan kepercayaan awam," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, sepatutnya ahli-ahli SPR berkecuali dan tidak sopan bagi mereka mendaftar diri menjadi ahli politik.

Sebab, katanya apabila seseorang dilantik sebagai ahli SPR sebagaimana di dalam Perlembagaan Malaysia menjelaskan mereka perlu bertindak secara 'non partisan' supaya mereka diyakini dan dipercayai oleh rakyat.

Di dalam perlembagaan Perkara 114(2) menyebut 'pada melantik ahli SPR Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan sesuatu SPR yang mendapat kepercayaan awam'

"Apabila seseorang ahli SPF menganggotai parti politik pada masa sama tunjuk sikap prejudis sekali gus tidak mungkin dapat lahir kepercayaan awam. Mereka perlu bertindak dan memperlihatkan tidak memihak mana-mana parti politik," katanya.

Justeru, katanya mereka tidak boleh menjadi ahli parti kerana menampakkan diri mereka berat sebelah.

"Ahli-ahli politik sepatutnya isytihar keluar parti jika mahu jadi ahli SPR," tegasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sejak dahulu lagi ramai pihak melihat SPR tidak menunjukkan sikap 'non partisan'.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof serta timbalannya, Wan Ahmad Wan Omar merupakan ahli Umno.

Saifuddin yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung keahlian tersebut, turut mencabar kedua-dua peneraju SPR itu supaya menafikan perkara itu.

Saya tahu Aziz ahli Umno, cawangan mana, nombor ahli Umno. Satu-satu SPR di dunia, ketua dan timbalannya secara rasmi menjadi ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya.

"Saya juga ada maklumat di cawangan mana Tan Sri Aziz dan timbalannya (Wan Ahmad) menjadi ahli (Umno)," kata Saifuddin.

Tunku Aziz: Pandangan peribadi, sokong usaha Bersih

Harakahdaily, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz menjelaskan, kenyataan beliau tidak bersetuju perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka adalah pandangan peribadi beliau sahaja.

"Itu pandangan peribadi saya sahaja (berhimpun di Dataran Medeka). Bagaimanapun saya bersetuju dengan pandangan yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, yang menyokong sepenuhnya usaha Bersih untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil serta hak untuk berhimpun secara aman," kata Tunku Aziz dalam kenyataannya.

Media hari ini melaporkan Tunku Abdul Aziz  mengeluarkan kenyataan tidak menyokong himpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

"Kebanyakan himpunan akan bermula dengan aman dan berakhir dengan keganasan. Siapa yang akan bertanggungjawab tentang keselamatan mereka?

"Saya menolak mana-mana pihak yang melakukan perkara menjurus kepada pelanggaran undang-undang," katanya sebelum ini sebagaimana yang dipetik oleh media.

Bagi Abdul Aziz, perbezaan pendapat tidak mendatangkan sebarang masalah dalam DAP kerana membenarkan kepelbagaian pendapat.

"Walaupun mempunyai pendapat peribadi, yang dibenarkan parti sebagai sebuah parti yang membenarkan perbezaan pendapat, saya menyokong pendirian parti untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Bersih 3.0 dilancar di Makkah dan Madinah

Wakil Harakahdaily, 26 Apr 2012

(LANCAR...Bersih 3.0 dilancarkan di Masjid Nabawi, Madinah hari ini)

MAKKAH: Gerakan untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia melalui Bersih 3.0 dilancarkan di dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah hari ini.

Ia dilancarkan oleh aktivis Bersih 3.0 yang berada di kedua-dua kota ini hari ini, dua hari menjelang perhimpunan raksaksa di Kuala Lumpur 28 April ini.

Di Makkah, pelancarannya dibuat di depan restoran D'Saji milik Malaysia yang terletak dibangunan perniagaan di hadapan Masjidil Haram.

(Bersih 3.0 dilancarkan di perkarangan restoran D'Saji, Makkah hari ini)

Kira-kira 20 rakyat Malaysia terlibat di majlis pelancaran itu. Hampir kesemua mereka memakai baju kuning berlogo Bersih 3.0 di samping menaikkan banner Bersih 3.0.

Di Madinah pula, pelancaran dibuat di dalam perkarangan Masjid Nabawi iaitu di bawah payung gergasi masjid itu.

Di sini, lebih ramai aktivis berkumpul iaitu kira-kira 30 rakyat Malaysia yang sedang berada di sana.

Mereka juga memakai baju kuning Bersih 3.0 di samping menaikkan banner.

Kelantan sedia RM5 juta untuk aktiviti sukan

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir, 26 Apr 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk aktiviti kesukanan di negeri itu, melalui Urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, memandangkan ianya aktiviti penting yang perlu didedahkan pada masyarakat.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata ianya bagi memenuhi keperluan anak muda Kelantan khususnya peminat sukan agar terus aktif dalam bidang itu.

Katanya, lagipun aktiviti sukan yang tidak bercanggah dengan Islam digalakkan seperti berenang, memanah, menunggang kuda atau berlari kerana ianya dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan.

“Murninya kegiatan sukan ini, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengadakan pertandingan larian dengan isterinya Aisyah.

“Ianya bukan sahaja membuktikan kepada kita aktiviti itu boleh dilakukan, sebaliknya mengukuh kasih sayang antara suami isteri,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya ianya mesti selari dengan tuntutan syariat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian watiqah jemputan kerajaan Kelantan ke Sukma ke-14.

Kunjungan Kerajaan Pahang yang diketuai Exco Pahang Datuk Mohammad Sahfri Ab.Aziz untuk menjemput peserta Kelantan turut menyertai Sukma ke-14 yang bakal diadakan di negeri itu

Hadir sama pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Katanya, Kelantan memberi perhatian khusus terhadap kesukanan kerana ianya penting untuk kesihatan tubuh manusia, apa lagi ianya juga menjadi minat Rasulullah.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri akan menyediakan Kompleks Sukan di Pasir Putih bagi menempatkan masyarakat bersukan,” ujarnya.

Turut hadir dalam siri jelajah negeri sempena Sukma itu, peserta motosikal berkuasa tinggi yang memakai baju berwarna kuning

Pengerusi SPR, timbalan patut letak jawatan

Harakahdaily, 26 Apr 2012


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melantik individu lain yang bebas, jujur dan adil dalam memastikan perjalanan pilihan raya benar-benar berlangsung di atas padang yang sama rata.


Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusoff dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan serta merta ekoran dakwaan bahawa kedua-dua mereka adalah ahli Umno.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor berkata, dakwaan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau mempunyai bukti kukuh kedua-duanya adalah ahli Umno serta tahu di mana cawangan keahlian mereka adalah suatu dakwaan yang amat berat.

“Dakwaan ini semestinya menjatuhkan kredibiliti SPR di mata rakyat malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, SPR akan menjadi sebuah badan yang tidak diyakini oleh semua pihak serta boleh mengikis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Beliau berkata, DPPM menganggap SPR tidak wajar diketuai oleh mereka yang menjadi ahli sebuah parti politik kerana ia boleh menimbulkan prejudis rakyat bahawa mereka akan berpihak.

“Sekalipun mungkin kedua-duanya mengaku akan menjalankan tanggung jawab mereka dengan adil tanpa mengira parti politik yang bertanding, namun hakikatnya mereka tidak mampu menangkis perasaan syak rakyat terhadap mereka,” ujarnya lagi.

Bagi DPPM, kata beliau pengendali SPR perlu bebas daripada unsur politik kepartian dan tidak boleh cenderung atau dilihat cenderung kepada mana-mana pihak.

“Mereka hanya boleh menganggotai parti politik setelah tamat perkhidmatan mereka.

“Ini bagi menjaga integriti SPR supaya mereka boleh dipercayai dan diyakini,” ujarnya.

Justeru, ujarnya DPPM amat bersetuju supaya semua pihak mendesak kedua-duanya meletak jawatan serta merta sebelum PRU13 berlangsung.

“Rakyat tidak mahu mengharungi episod pilihan raya dalam keadaan sistem pilihan raya diragui manakala pengendalinya dicurigai,” katanya.

NFC: Kita tak takut malah bersedia, kata Rafizi

Muhammad Faizal, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberitahu beliau tidak gentar untuk berdepan sebarang tindakan undang-undang ekoran tindakannya yang berterusan mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Malah menurut Rafizi, beliau sudah bersedia sejak awal lagi untuk berdepan sebarang kemungkinan dan jika didakwa di mahkamah, beliau menganggap itu peluang untuk mendedahkan keseluruhan maklumat kepincangan dalam NFC.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh yang membuat dua laporan polis terhadapnya hari ini.

"Kita tidak takut malah bersedia. Ini adalah yang terbaik untuk kita terus membuat pendedahan kepada pihak berkuasa atas penyelewengan di dalam NFC.

"Itu adalah hak dia (NFC) untuk membuat laporan, dan saya akan memberi kerjasama sepenuh jika dipanggil oleh pihak polis," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Salleh dilapor berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Rafizi dan juga ke atas sebuah bank berhubung dakwaan pendedahan maklumat peribadi perbankan.

Menurutnya, tindakan itu diambil ke atas Rafizi ekoran pendedahan berhubung maklumat perbankan mereka melalui satu sidang media pada 7 Mac lalu.

Mohamad Salleh mendakwa Rafizi menyebarkan butiran perbankan dan penarafan kredit syarikat NFC serta empat lagi syarikat berkaitan – National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Company Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd.

Selain itu, Rafizi juga didakwa mendedahkan butiran perbankan peribadi pengarah dan pemegang saham syarikat berkenaan tanpa keizinan mereka.

Tindakan itu didakwa melanggar peruntukan undang-undang bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia).

"Setakat ini ia masih lagi pada peringkat pengurusan di mahkamah dan saya menjangkakan perbicaraan sepenuhnya adalah pada bulan Jun nanti," ujar Rafizi.

Anak kesal SKM tak boleh diharap pertahan KPF

Hazayani Zakaria, 26 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kesal terhadap Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang tidak memenuhi janji untuk menyiasat aduan mengenai perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata, mereka menuntut tribunal tersebut kerana pelantikan pengerusi KPF mempunyai kaitan dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Ini kerana Isa merupakan antara orang yang dilihat sangat bersungguh-sungguh untuk menyenaraikan FGVH ke Bursa Malaysia.

Namun katanya, sehingga hari ini, SKM tidak pernah memanggil wakil Anak untuk membantu siasatan seperti yang dijanjikan.

"Hak tribunal yang kami bayar RM100, SKM berjanji akan buat tribunal  dalam tempoh sebulan dan akan panggil Anak tapi sampai sekarang tak panggil.

"Macam mana isu besar melibatkan masa depan sebuah koperasi tiba-tiba tiada sebuah task force diwujudkan? Jadi saya fikir SKM tidak serius dan lemah dalam menangani isu-isu koperasi," katanya.

Hari ini Anak mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum kepada SKM untuk kali ketiga berhubung isu yang sama.

Ianya ekoran nasihat Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Mariana Yahya yang mencadangkan Anak merujuk kepada SKM setelah menolak permohonan injunksi lapan pemegang saham KPF bagi menghalang KPF melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH.

Mazlan berkata, SKM seolah-olah tidak boleh diharapkan lagi untuk memelihara nilai dan prinsip koperasi dalam isu KPF sebaliknya dilihat menjadi alat kepada Isa untuk merealisasikan penyenaraian FGVH.

"Meskipun dua aduan telah dibuat namun tiada tindakan berkesan dilakukan. Pergolakan, pertikaian, injunksi mahkamah oleh pemegang saham KPF, mesyuarat agung KPF khas KPF dan situasi buruk ketika ini seperti diabaikan oleh SKM.

"Fungsi SKM adalah mempertahankan koperasi. Tapi prinsip KPFdilangar dan SKM tak dapat buat apa-apa. Apa harapan yang kita nak sandarkan pada SKM?" soalnya.

Beliau berharap selepas pertemuan hari ini, SKM dapat mengambil tindakan sebelum pengumuman "durian runtuh" oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Mei ini.

"Kita harap SKM dapat bertindak sebelum 8 Mei ini sebab bila PM umum durian runtuh, tak ada guna lagi, nasi sudah jadi bubur," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan