Khamis, 26 April 2012

MENEGAK KEADILAN SERTA MERUNTUHKAN YANG BATIL PERLU DITERUSKAN....IKUTI DENGAN DOA DISERTAI USAHA YANG BERGANDA2..KEMUDIAN KITA TAWAKAL....

Jangan sampai SPR digelar 'Sorok Pengundi Ragu'

Abdul Aziz Mustafa, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menyokong penubuhan suruhanjaya diraja bagi menangani isu pengundi ragu atau hanya akan digelar sebagai "Sorok Pengundi Ragu".

Menurutnya, jika SPR benar-benar jujur terhadap isu kewujudan lebih 40,000 pengundi ragu, mereka seharusnya turut sama mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara itu.

"SPR sepatutnya merebut kesempatan untuk membuktikan bahawa daftar pemilih yang ada kini dan segala tindak tanduknya adalah bersih dari sebarang penyelewengan dengan menyatakan persetujuan dan kesediaannya menghadapi suruhanjaya diraja itu.

"Jika tidak mahu menerima penubuhan suruhanjaya tersebut, rakyat akan melihat SPR langsung tidak yakin terhadap apa yang didakwanya sebagai fakta sebenar," kata beliau lagi sambil mengingatkan SPR supaya jangan menjadikan dirinya sebagai bahan ejekan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya.

Berhubung buku 'Fakta Sebenar di sebalik dakwaan dan fitnah terhadap SPR' yang diterbitkan SPR, Mahfuz berkata sepatutnya suruhanjaya itu menggunakan saluran suruhanjaya diraja dan bukannya cuba membersih nama dengan menerbitkan buku.

"Tetapi kalau sendiri yang menulis untuk mendakwa diri sendiri mempunyai fakta sebenar, bercakap seorang-seorang tanpa mana-mana badan penilai dan penyiasat untuk mengesahkan kebenarannya, ia akan hanya menyebabkan SPR semakin dilihat benar-benar tidak benar," tegas Mahfuz.

Mahfuz berkata, tuntutan supaya ditubuhkan suruhanjaya tersebut juga turut disuarakan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Radin Malleh yang berpendapat satu-satunya cara untuk mengatasi kewujudan 22,000 nama meragukan dalam daftar pemilih ialah dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

"Jelaslah parti komponen BN pun meragui daftar pemilih yang ada sekarang," kata Mahfuz

Selangor pilihan raya lewat

Subky Latif, 26 Apr 2012
PILIHAN Raya Negeri Selangor dipercayai tidak diadakan tahun sekiranya Perdana Menteri membubarkan Parlimen bila-bila masa sekali pun selepas Jun. Ia tidak diadakan serentak dengan PRU13 dalam keadaan senarai daftar pengundi terus kotor.
Sebelum ini Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan Selangor tidak mengadakan pilihan raya ke-13nya jika diadakan sebelum Jun. Tetapi kiranya sekarang PRU diadakan antara Jun dan Desember, Selangor yang menerima arahan PKR tidak akan serentak juga jira SPR gagal membersihkan daftar pengundi yang cacamarba itu.

Sebagai kerajaan yang dikuasai oleh parti, maka kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pimpinan PKR wajar mematuhi arahan partinya. Justeru Selangor akan mengadakan pilihan  raya lewat.

PKR mempunyak alasan yang kuat untuk melewatkan pilihan rayanya sekali pun bersendirian dari tiga negeri sekutunya - Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Selangor akan bertemu dengan SPR dulu bagi menyelesaikan daftar pengundi yang amat diraguinya.

Telah menjadi rahsia umum sekarang bahawa daftar pengundi di seluruh negara telah dicemari oleh berpuluh ribu nama yang meragukan. Beribu-ribu warga asing telah diberi kemudahan menjadi pengundi khususnya di kawasan Melayu.

Selangor mendapati sekian ramai pengundi dari Sarawak dan Sabah menjadi pengundi di Selangor. Malah tukang tipu di Selangor menggunakan alamat yang tidak wujud bagi melambakkan pengundi seperti kata  Menteri Besar didapati ramai pengundi di tingkat 7 sebuah pangsapuri sedang bangunan itu ada lima tingkat saja.

Semua pengundi yang meragukan itu tidak dapat  dijejaki.

Pilihan raya sebelum ini menipu juga tetapi penipuan di bawah Najib ini menipu berterangan.

Dia cuba jadikan semua kawasan seperti kawasannya di Pekan. Dalam PRU 1999 Najib menang dengan peti undi yang lewat dibawa masuk dengan majoriti 200+ saja. Dia dikatakan sudah menangis sebelum diisytiharkan menang dengan majoriti sekelumit itu.

Dalam  PRU selepasnya majoritinya melonjak belas dan puluh ribu. Bila Najib boleh buat Pekan begitu, maka PRU pertama di bawahnya, dia cuba Pekankan semua kawasan Melayu terutama kawasan yang BN kalah dalam PRU 12 dulu.

Pelan Najib ini bukan saja menyelamatkan semua negeri di bawah BN malah ia mudah merampas negeri Pakatan Rakyat kecuali Pulau Pinang.

Jika negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat bersedia masuk pilihan raya dalam daftar undi yang sedemikian, maka ini bererti Pakatan Rakyat sedia menjadi lembu korban membiarkan lehernya disembelih. Malah dilihat lebih bodoh dari lembu korban.

Lembu korban tidak sedia ia dikorban. Tetapi setelah empat kakinya diikat. Kepala, leher dan seluruh badannya ditekan beramai-ramai, tidak terdaya meronta lagi, barulah lebernya dapat disembelih. Tetapi orang yang menerima saja daftar undi yang sedemikan adalah ibarat lembu yang menyerahkan batang lehernya disembelih tanpa kakinya diikat.

Kerajaan pimpinan PKR Selangor tidak mahu dibodohkan seperti lembu peliharaan suami Shahrizat, lalu ia mahu SPR membersihkan dulu daftar pengundi di Selangor sebelum pilihan raya  diadakan.

Kita akan saksi bagaimana Tan Sri Abdul Aziz dan Wan timbalannya hendak menangkis hujah dan bukti Menteri Besar Khalid nanti.

Jika PRU diadakan awal termasuk semua kerusi Parlimen di Selangor, maka daftar yang kotor itu akan digunakan, nescaya kita akan dapati semua kerusi Melayu yang dimenangi Pakatan dulu akan kalah.

Dan jika SPR enggan membersihkan daftar itu hingga Pilihan Raya Negeri Selangor, maka kita akan lihat apa tindakan Selangor akan buat.

Yang terbaiknya Selangor tidak akan bubarkan sendiri DUNnya, biar kerajaan pusat pimpinan Najib yang berkuasa semula secara tipu bertindak membubarkan DUN Selangor sehingga hari terakhir penggalnya tamat.

Jika masa itu Najib hendak menjadi kerajaan Selangor sebagai lembu korban tetapi lembu korban itu adalah dari jenis yang kaki dan leher yang diikat kerat.

Takut Najib, BN dan SPR terhadap Pakatan termasuk  di Selangor adalah sejauh sebulan perjalanan. Oleh itu segala persiapan untuk PRU13 ini adalah dalam serba ketakutan.

Siapa menindas dan siapa yang ditindas?

25 Apr 2012
Tatkala PAS memerintah keseorangan di Kelantan, tiada pun kedengaran pun ada suara yang menyatakan bagaimana Umno menindas PAS berdekad lamanya.

Tatkala PAS memerintah Terengganu, tiada pun kedengaran suara yang menyatakan Umno zalim apabila menarik balik bayaran royalti minyak Terenganu.

Rakyat Terengganu yang menyokong Umno tiga dekad lamanya, oleh kerana memilih PAS pada 1999 terus ditarik hasil royalti mereka.

Apakah umat Islam di Terengganu yang menyokong PAS pada 1999 telah tetiba berubah menjadi "tidak Melayu" di hati Umno?

Apakah umat Islam di Kelantan bukan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu di hati Umno?

Semasa PAS ditindas Umno sekian lama, tiada pun suara daripada para pejuang kini yang bersuara dan mempersoalkan mengapa Melayu Umno sanggup bekerja dengan MCA untuk menindas Melayu di Kelantan dan Terengganu.

Apabila semua parti yang ditindas Umno sekian lama mengambil keputusan bergabung atas prinsip tahaluf siyasi supaya tidak lagi mudah ditindas Umno dan Umno tetiba kehilangan lima negeri kesayangan; timbul suara sumbang yang berkata PAS sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk menindas Umno.

Soalnya selama ini, siapa menindas dan siapa yang tertindas selama ini?

Yang selama ini membuli, tiba-tiba menjadi lemah kerana rakyat semakin menolak, tetiba menuduh, menangis depan rakyat bahawa pihak yang ditindasnya selama ini ialah pembuli sebenar.

Logikkah?

Yang lebih menyedihkan, ada juga manusia yang diberi akal untuk berfikir mempercayai perkara yang begitu terang-terang satu pembohongan.

PAS ditindas selama ini, adakah Umno kisah? Adakah sesiapa pejuang Melayu yang peduli?

Mereka tidak berteriak dulu semasa PAS ditindas, adil ke mereka berteriak sekarang, tatkala hanya kerana takut Umno kehilangan kuasa dan lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno masih lagi dalam posisi menindas?

Disebabkan Umno semakin susah untuk menindas gabungan tahaluf siyasi PAS-DAP-PKR, pelbagai helah digunakan untuk meleraikan gabungan ini.

Umno inginkan PAS kembali ke zaman dulu, zaman di mana mereka boleh menindas segala macam pada PAS, dan tiada pejuang Melayu yang akan bersuara malah akan bertepuk tangan.

Lihatlah hipokrisi ini sendiri dengan mata yang jelas. Islam menuntut kita berlaku adil dalam semua keadaan.

Antara yang menindas dengan yang ditindas, siapakah yang anda wajib tolong?

Bersih Teruskan Bersih

24 Apr 2012
Kita bersih dan teruskan bersih
setiap ruang lumut kotor  yang hanyir
sisihkan hampas yang bersalut zaman
yang sekian lama bermukim di lorong
bersemenda di longkang kehidupan


Setiap yang loya menjijikkan
kita muntahkan keresahan
agar nanar tidak membusung
tusuk onar memudaratkan sekalian
yang bertahun-tahun telah dibiarkan


Kita mahu menghela nafas
di rumah baru yang mulia ini
dalam waspada kitaran sejahtera
agar setiap jelek di lapangan itu
dibawa angin dikunjungi bayu


Kita mahu  sisihkan debu menyeka
ke destinasi yang diredai kalbu
agar sampah di sungai sejarah
mengalir arus ke laut bebas
mengisar waktu ke muara kesucian


Kita bersih teruskan bersih
di setiap permulaan hayat
agar tapak yang mahu kita bangunkan
di rumah peradaban mulia ini
tidak diselaputi lalang dan duri
buat anak-anak cucu mendatang!


DR RAJIEE HADI,
Kuala Lumpur.
April 2012.

PTPTN mesti mansuh dulu

Subky Latif, 24 Apr 2012
APA pun PTPTN mestilah dimansuhkan dulu serentak dengan pengumuman pelajaran percuma hingga ke universiti.
Beban pertama yang perlu ditangani ialah membebaskan para pelajar dari hutang  sejak hari pertama melangkah ke universiti atau kolej.

Dalam sistem sekarang baik kaya dan apa lagilah miskin sebaik melangkah ke menara gading disediakan dengan hutang yang berbunga. Sebaik bekerja dan sejak gaji bulan pertama terpaksa membayar hutang.

Ia mesti dibebaskan dulu.

Tidak berbangkit tiada yang sanggup ke universiti apabila PTPTN mansuh, kerana universiti disediakan secara percuma.

Apabila ia dikatakan percuma tentu semua perkara besar yang melibatkan kewangan akan dikendalikan oleh kerajaan yang mendapat RM80 bilion setahun dari hasil minyak dan gas.

Anwar  Ibrahim yang pernah menjadi menteri pelajaran termasuk bertanggungjawab terhadap pelajaran tinggi pada masanya tahu keperluan setiap universiti  dan kolej.

Belajar dari pengalaman PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1959, tiada lulusan STP boleh masuk universiti tanpa penaja sekali pun sijilnya cemerlang. Seluruh pelajar dari Kelantan termasuk yang dapat sijil tidak penuh ditaja oleh kerajaan Kelantan.

Antara mereka masuk kampus tak berduit. Berhempas pulaslah Prof. Diraja Ungku Aziz mengikhtiarkan keperluan mereka. Selama 19  tahun PAS memerintah hanya setahun  saja pelajar Kelantan tidak jadi pelajar yang teramai dibandingkan dengan setiap negeri.

17 buah sekolah yang terbaik masa itu terhadap di tiga buah kota iaitu Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Tidak termasuk sekolah di Kelantan, tetapi siswa yang teramai bukan dari Selangor,  Perak dan Pulau Pinang bahkan dari Kelantan.

Perdana Menteri kata, jika PTPTN dimansuhkan kerajaan terpaksa tanggung RM43 bilion. Anwar yang pernah jadi menteri kewangan kata, RM43 bilion itu bukan peruntukan setahun. Yang disediakan oleh kerajaan sekarang tiga bilion saja setahun. Tetapi PR sedia belanjakan lima bilion setahun dari 80 bilion setahun dari hasil minyak untuk tampung keperluan ganti PTPTN itu.

Bukan Najib saja pernah jadi menteri kewangan dan menteri pelajaran. Anwar pun pernah jadi menteri pendidikan  dan menteri kewangan.

Kata Khaled Nordin, menteri pengajian tinggi, tanpa PTPTN tutup  semua universiti swasta (IPTS). Khaled Nordin tidak pernah jadi menteri kewangan dan tiada pengalaman jaga kementerian pelajaran. Anwar lebih banyak pengalaman dan dia adalah pengerusi jawatankuasa anti penyelewangan. Dia tahu ke mana  tumpah kuah.

Tidaklah 100 bajet universiti swasta datang dari dana kerajaan, tetapi kekurangan peruntukan disebabkan oleh ketiadaan PTPTN tentulah dapat ditampung oleh kerajaan yang menyediakan peruntukan lima bilion tadi.

Pelajaran bagi Pakatan Rakyat adalah termasuk dalam negara berkebajikan. Ia bukan produk yang diswastakan seperti di bawah BN. Konsep swasta adalah mencari sebanyak-banyak untung. Banyak siswa, maka banyaklah pulangannya. Mutu pengajian jadi perkara kedua.

Tetapi di bawah pelajaran percuma, mutu pengajian diutamakan dan ia mesti memenuhi kehendak kebajikan. Sebagaimana graduan Kelantan dengan standard pengajiannya yang bermutu balik membangunkan Kelantan, maka nilai pelajar yang keluar dari semua universiti, tentulah dapat membangunkan negara, bangsa dan agama atau bermoral tinggi.

Kita jangan berbalah dulu tentang ganti PTPTN dan macam nak tangani kampus tanpa PTPTN. Mansuh  dulu PTPTN dan laksanakan pelajaran percuma. Setelah itu kita fikirkan bagaimana  anak orang kaya dan anak orang miskin.

Persoalan pertamanya jangan jadikan PTPTN sebagai ah long kepada pelajar.

Menuntut ilmu adalah ibadat. Bebaskan pelajar dari gejala  riba membatalkan ibadat bahkan jadi maksiat pula. Bebaskan pelajar dari berhutang kerana hutang itu menyebabkan ibadat tidak sampai ke langit dan  doa tidak makbul. Kejayaan dalam pelajaran bukan sekadar cerdik dan rajin studi, tetapi dibantu oleh doa. Kalau siswa berhutang doa untuk lulus cemerlang dan dapat kehidupan baik tidak tercapai kerana halangan hutang.

Jika universiti dan kolej jadi tempat ibadat dan doa dimakbulkan, maka melimpah ruahlah bantuan dari Allah. Ramailah orang kaya memberi zakat kepada kampus sebagai ganti kepada PTPTN. Apabila  universiti makmur, maka bukan orang miskin saja dapat kebajikan dari pengajian percuma, anak orang kaya juga boleh dapat pelajaran percuma. Belanja dari orang kaya untuk pengajiannya adalah sedekah.

Islam agama diterima di sisi Allah. Malulah kepada Sweden,  Norway dan Finland bukan Islam dapat memberi kebajikan kepada pengajiannya, negara Islam mencari keuntungan dari bidang pelajaran.

Bersih 3.0 ke Lebuh Raya Demokrasi

-, 25 Apr 2012


Hanya tinggal dua hari saja lagi menuju 28 April, Dataran Merdeka dan sekitarnya, di tengah jantung Ibu Kota akan bermandi cahaya kuning, dengan kedatangan ratusan ribu rakyat prihatin untuk menuju ‘Lebuh Raya Demokrasi’ melalui Himpunan Bersih 3.0.

Kita masih ingat, dengan puisi Unggun Bersih Sasterawan Negara A. Said dan puluhan ribu orang yang berhimpun pada 9 Julai tahun lalu, tembok tebal rasa takut rakyat sudah diruntuhkan. Rasa takut sudah mengakhiri zamannya dan digantikan dengan keberanian. Rakyat sudah bertekad maju ke depan bersama Bersih 3.0 untuk ke Lebuh Laya demokrasi. Seperti kata penyair Usman Awang, “Di depam duri di belakang api, kita tidak boleh undur lagi.”

Perjuangan ini tidak dihampari dengan permaidani merah, taburan bunga, puji-pujian, tetapi perjuangan ini mengharungi gelombang yang deras – air pancutan, semburan gas pemedih mata, pertarungan sengit dan tangkapan-tangkapan. Ini adalah harga yang telah dibayar oleh rakyat prihatin untuk mendapatkan sebuah demokrasi selepas 54 tahun merdeka.

Malah di sepanjang sejarah di pelbagai belahan dunia, perjuangan seperti ini terpaksa dibayar dengan harga yang jauh lebih mahal.

Pada 28 April ini - seluruh negara dan dunia – menyaksikan alunan ombak kuning di mana-mana, jeritan perjuangan menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan demokratik, disertai oleh pelbagai lapisan rakyat, pelbagai bangsa dan agama serta pelbagai generasi.

Dataran Merdeka yang bersejarah itu, bukan sekadar namanya bahkan riwayatnya, akan menjadi menjadi tempat kepada ibu segala himpunan. Jam besar yang yang berdenting setiap waktu, rumput rampainya, bunga-bunganya dan segalanya akan menjadi gelombang rakyat ini. Kalau ia boleh berkata-kata, tentu ia akan tersenyum ria bahawa ‘putera puterinya sedang bangkit dari tidurnya’. Para pelancong, jika ada di situ pada hari itu, mungkin tertegun menyaksikan semuanya ini.

Sabtu, 28 April ini, cuaca mungkin cerah, mungkin mendung, mungkin hujan, mungkin juga angin bertiup kencang, namun semuanya itu memperkukuh keazaman rakyat prihatin ini. Mengandungi rahmat yang tersembunyi, justru Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa mengasihi dan berlaku adil kepada hamba-Nya.

Kini orang ramai mulai tiba di Kuala Lumpur dengan pelbagai cara, semuanya dengan belanja sendiri. Mereka membawa keazaman dan harapan bahawa Himpunan Bersih 3.0 ini akan menelurkan hasil supaya senarai pengundi dibersihkan dan seterusnya pilihan raya yang benar-benar demokratik.

Ini sebuah tuntutan yang sangat munasabah kerana masakah negara sudah merdeka lebih setengah abad lalu tetapi pilihan raya masih sedemikian rupa. Apa eertinya kemerdekaan jika keadaan seperti ini berlaku.

Hampir setiap tahun, sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan diadakan di Dataran Merdeka yang bersejarah ini. Tentu sekali kerana ia adalah simbol kemerdekaan dan kebebasan dari penjajah. Oleh itu, tidak munasabah jika rakyat yang mahukan pilihan raya bersih mengadapi pelbagai halangan untuk menggunakannya.

Himpunan yang dikatakan ‘Ibu Segala Himpunan’ ini memang sangat wajar diadakan di Dataran Merdeka, justru menepati namanya. Kalau tidak boleh maka namakan saja ‘Dataran Penjajah’ seperti kata A. Samad Said.

Mereka yang berhimpun adalah rakyat Malaysia yang cinta damai, sangat mengasihi tanah airnya, akan sama-sama mempertahankan negara ini dari sebarang ancaman luar. Oleh itu terimalah kehadiran mereka di Dataran Merdeka itu dengan penuh pengertian kerana mereka adalah pendukung setia negara.

Boleh jadi di kalangan generasi lama yang turut berhimpun pada 28 April ini adalah mereka yang ikut sama dalam kemeriahan menyambut kemerdekaan tanah air 31 Ogos 1957 dulu. Dan mungkin juga ramai di kalangan generasi baru yang menyertai Himpunan 3.0 kali ini adalah anak cucu generasi lama yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan tanah air dulu.

Kini generasi baru itu mahu melihat dan menikmati hasil perjuangan orang tua mereka yang berjuang mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan dengan keringat dan air mata.

Kita sedar perjalanan ke destinasi demokrasi masih jauh dan sukar, namun rakyat telah memulakan langkah melalui Lebuh Raya Demokrasi Bersih 3.0 ini dan semoga dengan izin Allah ia akan sampai juga kedestinasinya.
Puluhan, malah ratusan NGO sudah menyatakan sokongan terhadap Himpunan Bersih 3.0 ini.
Bermakna Himpunan tersebut didukung oleh rakyat pelbagai golongan, merentasi bangsa dan agama. Mereka, bukan saja golongan petani, aktivis alam sekitar, pelajar, golongan profesional bahkan golongan budayawan, seniman dan sebagainya akan menyertai Himpunan ini.
Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang sedang menyaksikan gelombang ini.

Rakyat prihatin bersyukur kepada-Mu kerana memberikan kekuatan dan ketabahan terhadap perjuangan ini. Mereka berdoa supaya mereka yang masih ‘tidur lena’ akan bangkit sama menyertai gelombang ini.
------------------------------------------------------------
Penulis boleh dihubungi menerusi shukurharun@yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan