Khamis, 15 Mac 2012

MEREKA SENTIASA BETUL...SEDANGKAN DAH BANYAK BUAT BOHONG...NILAI DIRI SEMUA BAIK..ORANG LAIN@MUSUH SEMUA JAHAT...WALAUPUN DAH MOHON MAAF BAGI PIHAK SEMUA...

PAS bawa isu MAS-AirAsia ke Parlimen

Anis Nazri, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Penggabungan saham antara MAS dan AirAsia perlu ditamatkan segera memandangkan terdapat asas kukuh tekanan ke atas kakitangan MAS itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menegaskan selain kakitangan MAS, integriti MAS itu sendiri turut tertekan dengan kolaborasi tersebut.

Beliau berkata, tekanan yang dirasai MAS itu ekoran aduan dan rungutan Malaysia Airlines System Employees Union (MASEU) yang mendakwa kebanyakan pengurus atasan di kalangan kakitangan AirAsia.

Salahuddin berkata, PAS pada prinsipnya tidak menolak sebarang kolaborasi sekiranya ia mewujudkan 'suasana menang-menang' bagi mewujudkan perkongsian yang bijak.

"Sayangnya, hasil mesyuarat dengan wakil MASEU yang kami terima hari ini, kita nampak kolaborasi ini lebih banyak menguntungkan AirAsia, berbanding MAS," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, berkata pihaknya akan membawa perkara tersebut ke parlimen dengan menjadikannya satu tajuk yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

"Dengan kesempatan yang ada, perkara ini akan dipanjangkan ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Yang Dipertuan Agong kelak. Dan Pakatan Rakyat mengharapkan kerajaan segera campur tangan demi menjaga kepentingan pekerja MAS dan imej syarikat itu sendiri," tegas beliu lagi.

Terdahulu, Salahuddin menerima kunjungan wakil MASEU di parlimen dan menghabiskan masa kira-kira satu jam membincangkan perkara tersebut.

Selain Salahuddin, turut dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dr. Dzulkefly Ahmad (MP Kuala Selangor), Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud (MP Kota Raja); Khalid Samad (MP Shah Alam); Firdaus Jaafar (MP Jerai); Nasir Zakaria (MP Padang Terap) dan Abdullah Sani (MP Kuala Langat).

Di bawah perjanjian yang diumumkan Ogos tahun lalu, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, akan mengambilalih 20.5 peratus saham dalam MAS.

Kazanah Nasional Berhad pula akan memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia dan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

Kelantan bantu mangsa tembakan di Thailand

Attif Zayyad, 15 Mac 2012


KOTA BHARU, 15 Mac: Mangsa tembakan di selatan Thailand yang melibatkan remaja dan kanak-kanak baru-baru ini turut mendapat simpati kerajaan serta rakyat Kelantan.

Sehubungan itu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM19,900 kepada keluarga mangsa terbabit melalui Konsul Thailand di sini, Suraphon Petch-vra.

Sumbangan tersebut dikutip daripada derma orang ramai ketika kuliah mingguan Menteri Besar di Medan Ilmu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, beliau sentiasa mendoakan supaya wujud suasana aman dan harmoni khususnya di empat wilayah di selatan Thailand.

“Sebagai ketua kerajaan saya berpuashati hubungan baik antara Kelantan dan Thailand dan berharap dapat dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya pada majlis ringkas tersebut.

Hadir sama di majlis berkenaan, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Shargowi Derahman dan pegawai Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu.

Pada Januari lalu media melaporkan tentera Thailand menembak mati empat orang termasuk warga tua dan remaja di selatan negara itu yang berada dalam sebuah trak pikap.

Mangsa terbabit beragama Islam seorang warga emas berusia 70 tahun dan remaja lelaki berusia 18 tahun antara yang terbunuh, manakala lima lelaki dan kanak-kanak turut cedera.

Sementara itu Suraphon berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan kepada pengerusi empat wilayah selatan Thailand untuk disalurkan kepada keluarga mangsa.

Katanya juga kerajaan Thailand telah mewujud jawatankuasa khas dalam usaha menyelesaikan krisis yang berlaku di selatan Thai.

“Seluruh rakyat Thailand sama ada Melayu, Siam atau sebagainga adalah rakyat Thailand dan setiap perkara dilaksanakan secara adil.

“Dasar kerajaan sekarang berkata benar walaupun pahit. Sekiranya kerajaan silap mestilah mengaku kesilapan dan perbetulkannya begitu juga rakyat,” katanya.

FGVH: Anak dakwa Ahmad Maslan berbohong

Hazayani Zakaria, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berbohong bahawa tanah peneroka tidak terjejas selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, beliau mempunyai bukti bagaimana harta peneroka diambil melalui penyenaraian FGVH.

Menurutnya, Felda yang ketika ini merupakan badan berkanun memiliki seratus peratus FGVH manakala peneroka termasuk ahli keluarga dan kakitangan Felda memiliki seratus peratus KPF.

Sementara itu, FGVH dan KPF berkongsi memiliki Felda Holding Berhad (FHB) dan nisbah pemilikan mereka ialah 49:51.

Ini bermakna KPF adalah pemilik majoriti FHB.

FHB memiliki pelbagai anak syarikat. Kerana KPF adalah pemilik 51 peratus FHB, maka ianya adalah juga pemilik syarikat-syarikat yang berada di bawah FHB.

Namun ketika ini, KPF tidak ada apa-apa saham dalam FGVH.

" Setelah jalan mesyuarat agung khas KPF gagal digunakan ke arah menyenaraikan FGVH, penasihat dan pengurus penyenaraian iaitu CIMB dan Maybak telah mengemukakan jalan penyenaraian alternatif.

"Maklumat terpecaya memberitahu, jumlah saham FGVH yang diperbesar bakal berjumlah 3,420 juta unit. Nilai IPO dianggarkan RM5.85 se saham. Bermakna, pelaksanaan IPO bakal menghasilkan RM20 bilion kepada FGVH," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, Felda bakal mengambilalih 51 peratus milikan ekuiti KPF dalam FHB dan lain-lain saham milik KPF dalam syarikat-syarikatdi bawah FHB dan digantikan dengan 1,265 juta unit saham biasa (boleh mengundi) dalam FGVH (37 peratus) dari kesemua saham FGVH yang diperbesar.

"Tetapi saham ini kemudiannya diserahkan kepada IHC, dan sebagai balasannya, KPF diberi saham keutamaan (tanpa kuasa mengundi) dalam IHC, sekaligus menyahkan KPF kuasa pengawalan dan pembuatan keputusan ke atas hartanya sendiri.

"Undang-undang mana yang dipakai dan apa proses yang diikut dalam pengambilalihan saham milik KPF itu leh Felda tidak diketahui," katanya lagi.

Selepas penyenaraian FGVH, KPF memiliki saham FGVH pada namanya sahaja dan yang berkuasa penuh ke atas harta itu ialah IHC.

"Dengan ini dijangka dividen yang akan diterima dari FGVH oleh KPF akan merosot kerana ia terpaksa membayar belanja pengurusan kepada IHC.

"Pendek kata, KPF bakal menjadi bangkai bernyawa, ada harta tetapii beri pihak lain mengawal dan mengurus," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi kesediaan untuk berdialog dengan Ahmad mengenai penyenaraian FGVH.

"Ahmad Maslan jangan hipokrit, bercakap dalam dewan, bercakap dengan orang lain tapi bila ajak dialog tak mahu," katanya.

Semalam, Ahmad berkata, tiada seinci pun tanah peneroka akan diambil selepas penyenaraian FGVH.

Beliau turut menuduh Mazlan menjadi dalang yang menghasut peneroka agar menolak penyenaraian.

1Care: Kerajaan nafi bimbang rakyat marah

Hazayani Zakaria, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Penafian Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai bahawa rakyat perlu membayar 10 peratus daripada gaji mereka kepada dana skim penjagaan kesihatan (1Care for 1Malaysia) menunjukkan kerajaan bimbang terhadap kemarahan rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan terpaksa menafikan perkara tersebut walaupun ia terdapat dalam kertas konsep cadangan.

"Kerajaan terpaksa menafikan perkara ini kerana sedar ia menimbulkan kemarahan rakyat dan ini membimbangkan kerajaan," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan Tiong Lai sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Tiong Lai berkata dakwaan potongan gaji 10 peratus daripada pendapatan sebenarnya adalah anggaran perbelanjaaan rawatan kesihatan seluruh isi rumah dalam setahun.

Ini adalah purata anggaran perbelanjaan kesihatan yang dilakukan berpandukan kajian tertentu.

Mengulas mengenai  'blue print' 1Care  yang bakal siap pada 2014,  Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, iainya terlalu lambat untuk kebajikan rakyat Malaysia.

"Nak tunggu dua tahun baru siap blue print untuk perbaikkan sistem kesihatan, ini sangat lambat. Sepatutnya bermula sekarang kesihatan rakyat menjadi keutamaan.

"Bukan hanya 2.9 peratus daripada perbelanjaan negara disalurkan untuk kesihatan. Negara-negara luar memperuntukkan 7 hingga 11 peratus daripada perbelanjaan negara," katanya.

Harap Najib jadi Ketua Pembangkang - Bekas Adun BN

PahangDaily, 15 Mac 2012
PEKAN, 15 Mac: Program ceramah umum Pakatan Rakyat di Kampung Batu 9, Sungai Miang dekat sini malam tadi tercemar dengan gelagat penyokong UMNO yang sengaja membuat provokasi di kawasan terbabit.

Tidak cukup dengan mengadakan program "Penerangan & Ramah Mesra Bersama Masyarakat" dijarak begitu hampir (sekitar 100 meter) daripada lokasi ceramah berkenaan, mereka juga turut mengganggu dan mengejek Mohammad Sabu ketika Timbalan Presiden PAS itu menyampaikan ceramahnya semalam.

Ceramah dimulakan oleh Ustaz Abu Kassim Manaf, Yang DiPertua PAS Kawasan Pekan kemudian diikuti oleh Aspan Alias, bekas Blogger UMNO Negeri Sembilan yang kini menyertai DAP.

Selepas itu barulah mantan Ketua Penerangan UMNO Pekan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis iaitu Datuk Ariff Sabri Abd Aziz (gambar) menyampaikan ceramahnya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Blogger Sakmongkol itu banyak menyingkap sejarah lama ketika bersama UMNO sehinggalah beliau membuat keputusan untuk bersama Pakatan Rakyat dengan menyertai DAP.

Dalam kenyataannya, Ariff banyak mengulas tentang perangai dan sikap pemimpin UMNO yang tidak mahu berubah dan gemar mengejar duniawi menjadi punca dia meninggalkan parti itu.

Beliau turut menyelar sikap puak-puak UMNO yang sudah tidak mempunyai idea hingga tergamak menganjurkan program mereka pada malam itu semata-mata untuk menganggu ceramah umum Pakatan Rakyat sebenarnya.

"Inilah kerja mereka sejak dari dulu lagi. Sepuluh tahun lalu UMNO tuduh ceramah PAS mencaci dan menghina .. tapi sekarang tuan-tuan lihat, amalan itu sudah terlekat pula pada diri mereka," kata Ariff Sabri.

Beliau turut menegaskan kenapa orang Melayu terpinggir sedangkan sudah lebih 50 tahun UMNO menjadi pemerintah di negara ini.

Kuasa ada pada orang Melayu, namun kehidupan dan ekonomi bangsa sendiri terus merundum katanya.
Mereka yang kaya raya dan menikmati hasilnya ialah puak-puak pencacai yang proksi serta kroni mereka sendiri.

Inilah yang berlaku sejak sekian lama dan amalan ini sukar untuk dibendung lagi dalam UMNO, lantaran itulah beliau akhirnya kini terpaksa meninggalkan parti tersebut.

Sementara itu, Ariff Sabri juga banyak mendedahkan beberapa penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO selama mereka memerintah termasuk juga dalam isu Felda yang sedang hangat diperkatakan.

Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang bertaraf menteri pun mengakui bahawa jangka hayat parti itu kemungkinan akan berakhir pada PRU-13 ini.

Pakatan rakyat katanya akan menang dan bakal menakluki Putrajaya.

"Saya dimaklumkan, BN akan kehilangan hampir 16 kerusi parlimen di Sarawak dan minima 12 kerusi di Sabah.

"Jika dicampur dengan kelemahan mereka di Semenanjung yang hanya bergantung kepada undi masyarakat Felda dan orang kampung maka harapan untuk melihat BN kecundang pasti akan tercapai.

"Apapun, saya harap Datuk Najib menang di Parlimen Pekan kerana kita nak dia jadi Ketua Pembangkang di parlimen selepas ini," katanya.

Sementara itu Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dalam kenyataan awalnya menegaskan apa yang berlaku malam tadi adalah kelemahan tindakan pihak polis.

"Kenapa polis tak halang UMNO buat program dekat tempat kita, sedangkan depa tahu Pakatan Rakyat terlebih awal mahu adakan program ceramah di sini. Polis sengaja biarkan suasana jadi huru hara dan kekecohan tercetus.

"Kenapa polis boleh bersikap begini, sedangkan mereka ditugaskan menjaga keselamatan rakyat. Polis hanya mahu jaga UMNO tapi bukan rakyat!. Mereka berpakat dengan UMNO buat program dekat dengan lokasi kita. Depa nak kita jadi marah ... ," kata Mat Sabu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan kutukan dan cacian yang dibuat oleh penceramah UMNO terhadap beliau, Mat Sabu secara sinis berkata penceramah terbabit tidak akan dibenarkan ceramah jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Dok caci saya isu khalwat, isu tu dah selesai di mahkamah. Kenapa dok bising. Ini kerja puak-puak UMNO. Depa dah tak ada isu," kata Mat Sabu lagi.

Beliau turut mengingatkan rakyat, supaya bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, Pakatan Rakyat kini berpeluang cerah untuk menakluki Putrajaya. ..PahangDaily.

Bebanan GST sudah dirasai rakyat

Aslani M, 15 Mac 2012

PASIR MAS, 15 Mac: Ramai tidak sedar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mana sebelum ini ditangguh kerajaan sebenarnya sudah dikenakan terhadap setiap urusniaga.

Pada Disember 2009 Rang Undang-Undang GST dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen. Bagaimanapun ditangguh pada Mac 2010.

GST diwujud bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan antara lima dan 10 peratus dicadang dikuatkuasa bagi meningkatkan keberkesanan kutipan hasil negara.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, ketika makan di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini beliau terkejut apabila diberitahu cukai lebih 15 peratus dikenakan.

Katanya, harga makanan yang dipesan sebanyak RM39, namun cukai pula dikenakan sebanyak RM7 menjadikan jumlah yang perlu dibayar RM46.

“Tidak ramai orang sedar cukai dikenakan kerajaan terhadap setiap apa yang dibeli, sama ada gula, beras, milo atau sebagainya.

“Sebelum ini ramai orang ingat hanya mereka yang berpendapatan besar sahaja dikenakan cukai pendapatan. Sebenarnya tidak, semua benda yang kita beli dikenakan cukai oleh kerajaan,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kasar di sini malam tadi.

Hadir sama anggota jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad, setiausaha, Suhaimi Daud, ketua penerangan, Zuraidin Abdullah, ketua pemuda, Rozi Muhamad dan Pegawai Penerangan Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani.

Biar pun kerajaan mengumumkan GST ditangguhkan namun banyak resit bayaran termasuk parkir kereta di pusat membeli belah sudah mengenakan GST 6 peratus.

Ustaz Idris pula percaya sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13, rakyat bakal dibebani dengan pelbagai cukai dan kenaikan harga barangan.

“Tuan-tuan mungkin masih lagi ingat cukai 6 peratus yang diumumkan kerajaan terhadap talian telefon prabayar akan dikenakan semula sekiranya BN mendapat mandat lagi.

“Begitu juga harga minyak dijangka naik sehingga 50 sen seliter. Langkah itu dibuat bagi mengutip semula duit yang dibelanjakan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 yang dibayar sekarang,” katanya.

Pada September 2011 kerajaan menangguh kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Idris banyak cadangan kerajaan bagi mengenakan cukai kepada rakyat ditangguh kerana BN tidak mempunyai kuasa dua pertiga di parlimen.

Sebaliknya kata beliau Pakatan Rakyat menawarkan pelbagai program berkebajikan untuk rakyat dalam tempoh 100 hari sekiranya diberi mandat menguasai Putrajaya, antaranya menghapuskan tol.

Selain itu menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru dan sumbangan berupa imbuhan kepada warga emas berusia lebih 60 tahun sebanyak RM1,000 setahun.

Beliau juga berkata, setiap pelajar yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi sekarang terpaksa menangung hutang antara RM40,000 hingga RM70,000.

Nafi kempen 'Save Syria' hanya polemik lawan arus

Jufitri Joha, 15 Mac 2012
Merujuk kepada kenyataan yang dikemukakan Tan Sri Zainuddin Maidin (Tidak Perlu Tunjuk Perasaan Anti-Presiden Syria, Utusan Malaysia 14 Mac 2012), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menjelaskan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh beliau berhubung dengan Perhimpunan Selamatkan Syria (akan dianjurkan pada setelah solat Jumaat 16 Mac 2012, bukan Sabtu sepertimana yang dikemukakan beliau sebelum ini) serta gerakan kempen ‘Save Syria’ yang mula mendapat perhatian media semenjak kebelakangan ini.
Pertama perhimpunan aman ini dianjurkan atas dasar kemanusiaan dan keamanan  semata-mata, untuk mendesak kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Syria dihentikan dengan serta merta. Sebagai pertubuhan yang sentiasa kehadapan dalam membela hak asasi manusia di peringkat global, ABIM dan masyarakat antarabangsa secara amnya memilih untuk tidak berdiam diri serta berpeluk tubuh, membiarkan orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terus menerus menjadi mangsa kekejaman serta dinafikan hak untuk menuntut kebebasan, keadilan, keamanan dan kemuliaan sebagai seorang manusia!

Penganjuran perhimpunan ini adalah manifestasi  bantahan jelas kepada Kerajaan Syria dan masyarakat dunia agar kekejaman ini dihentikan dengan segera, dan semua pihak yang terlibat harus menyelesaikan krisis menerusi saluran diplomatik di meja rundingan. Di samping itu, kami juga menuntut kerajaan Syria untuk menyantuni tuntutan-tuntutan perubahan serta pembaharuan politik yang dikemukakan oleh rakyat Syria, selaras dengan aspirasi serantau (Timur Tengah atau Dunia Arab) serta sejagat secara keseluruhannya.

Merujuk kepada kekhuatiran berhubung dengan agenda kuasa asing ataupun “Jenayah Hasutan” yang dikatakan mengatur pendekatan adu domba untuk campur tangan di Syria, sukacita dimaklumkan ABIM dan rakan-rakan NGO yang lain sedia maklum dengan situasi tersebut serta melakukan analisis (berdasarkan kepada pelbagai sumber maklumat serta saluran media dan rakyat Syria sendiri) serta melaksanakan tindakan yang sewajarnya. Kami tidaklah “senaif” sepertimana yang ditanggapi oleh beliau dalam menilai situasi di Syria pada ketika ini.

Bahkan gerakan Save Syria ini turut mendapat dukungan dari pelbagai pihak termasuk Tun Dr Mahathir sendiri  (sila klik Tun Dr Mahathir: Muslim Country's Should Contribute To Peaceful Solution In Syria)  yang menganjurkan desakan dikemukakan dengan lebih agresif agar perubahan dilakukan segera di Syria untuk menutup ruang sebarang campur tangan  pihak asing.

Dalam erti kata lain, kami berpendirian agar biarlah perubahan yang dituntut oleh rakyat Syria berlaku secara tulen serta diselesaikan menerusi saluran politik domestik (oleh rakyat Syria sendiri), bukan menerusi campur tangan pihak luar yang takkan menjamin perkembangan demokrasi yang positif sepertimana di Libya dan Iraq.

Justeru mengambil kesempatan, ABIM mengecam sama sekali usaha di kalangan negara-negara luar yang tidak berkenaan yang cuba mempolemikkan (mendesak campurtangan luar) tanpa memberi ruang kepada kerajaan serta rakyat Syria mencari penyelesaian yang bersifat win-win situation.

Sekretariat Antarabangsa ABIM menerusi Kempen Save Syria yang dilancarkan semenjak Januari lalu, telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk membantu rakyat Syria di samping membangkitkan kesedaran di kalangan pelbagai pihak seperti mengadakan ceramah kesedaran, rayuan derma bantuan kemanusiaan, flash mob dan pengedaran poster kempen kesedaran.

Untuk pengetahuan Tan Sri Zainuddin Maidin, kempen ini (Save Syria atau kempen seumpamanya) telah disambut oleh masyarakat antarabangsa (terutama sekali) umat Islam di seluruh dunia yang dambakan keadilan, kebebasan, serta keamanan.

Sebarang usaha menafikan gerakan ini hanyalah polemik melawan arus yang bersifat anti-klimaks serta bukan merupakan manifestasi terhadap kecintaan terhadap esensi keadilan, kebebasan, serta keamanan yang diamalkan oleh rakyat Malaysia!

Penulis ialah Naib Presiden Antarabangsa, Angkatan Belia Islam Malaysia

Kejam: Ada sesuatu tidak kena dalam masyarakat

Salmiyah Harun, 15 Mac 2012
SERDANG, 15 Mac: Fenomena peningkatan keganasan dan kekejaman di kalangan masyarakat hari ini sepertimana berlaku ke atas adik Nur Nadirah Abdullah (Dirang), 5, berkait rapat dengan longgarnya ikatan spiritual dan lunturnya pegangan agama individu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof Dr Harlina Halizah Siraj (gambar) berkata, tanpa adanya perasaan takut keepada kemurkaan Tuhan dan rasa harap kepada keredhaannya jiwa manusia dengan mudah diperdaya oleh nafsu syahwatnya.

Jelasnya, apabila syahwatnya mengganas dan menjadi raja individu tersebut tidak akan teragak-agak melakukan sesuatu yang di luar dari jangkaan kebiasaan manusia.

"Integriti dan amanah tidak lagi menjadi identiti sendiri. Perkara pokok mengenai keteguhan iman dan takwa inilah yang perlu ditanamkan setiap masa dan ketika dalam diri individu dan masyarakat," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Ikram, Sri Kembangan hari ini.

Bagi Ikram, kejadian yang menimpa Dirang dan ramai lagi kanak-kanak mangsa kekejaman menjadi petanda bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dalam masyarakat hari ini.

Insiden tragis ke atas Dirang, bagi Harlina ia satu lagi peristiwa hitam yang merakamkan keganasan dan kekejaman terhadap kanak-kanak apatah lagi kejadian seperti itu pernah berlaku terhadap Nurin Jazlin Jazimin, Nurul Huda Abdul Ghani, Haserawati Saridi dan Shearwey Ooi Ying Ying.

Sehubungan itu, Ikram meminta semua pihak muhasabah diri secara jujur dan telus menilai semula sejauh mana kepercayaan agama dan spiritual ini berakar umbi dalam jiawa dan moral kemanusiaan.

Harlina yang juga Ketua Unit Perkembangan Kendiri dan Profesionalisme Jabatan Pendidikan Perubatan UKM juga mencadangkan agar ibu bapa sentiasa lebih peka dengan aspek keselamatan anak-anak di dalam dan di luar rumah.

"Ibu bapa kena memastikan anak-anak mereka dididik dengan acuan nilai dan moral yang tinggi berpaksi kepercayaan agama yang dianuti dengan menekankan nilai-nilai murni, akhlak, integriti, amanah dan keseimbangan," ujarnya.

Malah katanya, sikap keprihatinan yang tinggi ahli masyarakat untuk mengambil berat antara satu sama lain perlu disemai misalnya yang ditunjukkan oleh YP Chong bertindak pantas menyelamatkan seorang kanak-kanak Wan Hazim Wan Khadir yang hilang dari rumahnya baru-baru ini.

Justeru, katanya pihak berwajib disaran memberikan fokus serius dalam usaha menanamkan nilai murni berpaksikan moral, agama dan kerohanian yang tinggi kepada ahli masyarakat.

"Keseimbangan hidup mengejar dunia dan akhirat akan mencetuskan manusia yang kompetatif dan berdaya saing tinggi. Pastikan kematian Dirang tidak sia-sia, jadikan ia satu titik mula untuk masyarakat kembali kepada asas akidah yang mantap dan kukuh," katanya.

Pada 8 Mac lalu, hasil ujian DNA yang dijalankan Jabatan Kimia terhadap mayat rentung yang ditemui di Nusa Damai, dekat Seri Alam di Johor Bahru adalah Dirang

Dirang dilaporkan hilang sejak 1 Mac lalu setelah keluar rumah untuk membeli mi segera dan telur berhampiran rumahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan