Khamis, 15 Mac 2012

JAWATAN BOLEH LEPAS...ATAU BERSARA...TAPI KERJA2 JAHAT...TIPU...RASUAH...PILIH KASIH TAK LEPAS DARI HUKUM ALLAH...SAMA ADA ALLAH HUKUM DIDUNIA ATAU AKHIRAT...JUGA MUNGKIN KEDUA2 SEKALI...MEREKA INGAT KUASA DAN DUIT HINGGA LUPA SEKSAAN ALLAH DIAKHIRAT....

FGVH: PAS cadang tubuh JK Khas Parlimen

Hazayani Zakaria, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Satu Jawatankuasa Khas Parlimen perlu diwujudkan bagi membincangkan baik buruk penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bersedia menjadi anggota jawatankuasa tersebut bagi menyumbangkan buah fikiran demi kepentingan peneroka.

Ini kerana tegasnya, isu penyenaraian FGVH merupakan isu besar berkaitan aset peneroka.

"Apa salahnya bawa dalam Parlimen, atas sifat menteri, orang Melayu  yang menjaga Felda yang rata-ratanya orang Melayu.

"Apa salahnya ada jawatankuasa  tentang bagaimana kerajaan melihat masa depan penyenaraian. Boleh ambil kami (Pakatan Rakyat)  untuk sertai. Saya dan Kota Belut misalnya, mungkin tajam dalam perbincangan tapi kami boleh duduk berbincang dalam panel khas SPRM.

"Wakil kami (Pakatan Rakyat) duduk dalam PSC. Apa pun boleh kami sumbangkan walau berbeza parti," katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan tidak wajar  tergesa-gesa membuat tindakan  sedangkan menerima bantahan daripada peneroka sendiri.

"Persoalannya bila ada segelintir yang bangun memberikan pandangan, yang  menyatakan dengan segala fakta kepada ahli Parlimen, sudah jumpa Perdana Menteri, adakah kita tidak mahu dengar suara mereka ini?

"Kalau kerajaan hanya keras  kepala, sudah ada memorandum, sudah ada injunksi mahkamah tapi nak teruskan juga, apa sebab sangat nak teruskan penyenaraian ini?" Katanya.

Beliau turut mempersoal rasional penyenaraian FGVH jika kerajaan mendakwa Felda telah mencapai kejayaan besar.

"Apa yang nak dikejar. Kalau dalam laporan semua untung, FGVH di luar negara untung, kalau dah terjaga aset Felda, kenapa nak senarai? Nak kejar sangat bulan enam kenapa? Apa salahnya dengar dan ambil tindakan prfesional," katanya.

Tambahnya, kerajaan harus memikirkan nasib 112,000 ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan 212,000 peneroka sebelum menyenaraikan FGVH.

"Kita bimbang peneroka tak tahu apa-apa, orang kampung... mereka duduk di sana, melahirkan anak generasi Felda, tak semua tahu perkara teknikal.

"Bagaimana kita harus mengambil kepakaran yang boleh memberi sumbang saran?

"Ada asas kumpulan ini bimbang. Kerajaan bertanggungjawab memberi penjelasan," katanya.

Batal SBPA: Dari mana dapat RM3.4 juta?

Anis Nazri, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) dilihat akan melebarkan defisit belanjawan negara apabila penambahan sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan bagi skim baru itu.

Ini kerana peruntukan tersebut tidak terkandung dalam Bajet 2012, dan juga tiada sebarang bajet tambahan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad, mempersoalkan dari mana sejumlah RM3.4 juta itu diambil bagi penambahbaikan SSM bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

"Ketika kerajaan ingin melaksanakan SBPA, sejumlah RM2.6 bilion diperuntukkan bagi tujuan tersebut. Apabila dibatalkan SBPA dengan penambahbaikkan SSM, kerajaan memerlukan RM6 bilion.  Dalam erti kata lain dari mana sejumlah RM3.4 juta itu diambil sedangkan tiada bajet tambahan dibentangkan Perdana Menteri?" soal beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dzulkefly juga mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh melanggar kontrak yang dimeterainya sebelum ini berhubung pelaksanaan skim itu.

Soalnya, apabila kerajaan melanggar kontrak tersebut, di manakah wibawanya sebuah kerajaan dalam menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta Najib memberikan penjelasan berkaitan sejumlah wang yang diperuntukkan bagi tujuan penambahbaikan SSM.

Pada 8 Mac lalu, Najib mengumumkan pembatalan pelaksanaan SBPA setelah mendapat pelbagai reaksi negatif di kalangan Pakatan Rakyat dan kesatuan sekerja.

Pembatalan itu kemudiannya digantikan dengan penambahbaikan SSM.

Tanah YBK: Tujuan Najib kelirukan rakyat Selangor

Harakahdaily, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa usaha transformasi gagal kerana Kerajaan Negeri Selangor merampas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) amat tidak bertanggungjawab yang bertujuan menggelirukan rakyat Selangor khususnya.

“Perdana Menteri sedia maklum tindakan ini adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil kerajaan negeri selepas banyak peluang diberikan kepada pengurusan YBK kerana tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat-syarat tanah yang ditetapkan,” kata Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar).

Katanya, kerajaan negeri perlu bertindak adil kepada semua pihak hatta melibatkan anak syarikat milikan penuh atau agensi di bawah kerajaan negeri.

Jelasnya, YBK yang diberikan tanah secara percuma sepatutnya melunaskan tunggakan cukai tanah dan menggunakan tanah-tanah yang diberikan itu untuk program kebajikan bukan membangunkan dengan projek pembangunan untuk keuntungan kroni-kroni.

“Inilah sikap jijik pemimpin Umno yang tidak pernah mengaku salah sebaliknya menuding jari kepada orang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana tindak tanduk YBK yang merugikan harta rakyat.

Kerajaan negeri, katanya telah mendedahkan senarai syarikat  yang mendapat manfaat daripada projek pembangunan tanah yang diberikan kepada YBK dan akibatnya, kerajaan negeri telah disaman tetapi kemudian ditarik balik oleh YBK.

“Jika dakwaan ini salah, sudah tentu YBK tiada alasan menarik semula saman ini,” ujarnya lagi.

Ujarnya, Perdana Menteri sepatutnya menjadi seorang yang jujur seperti mana yang dituntut dalam Islam.

“Beliau tidak boleh berterusan menggunakan taktik menipu rakyat semata-mata untuk menang pilihan raya,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri telah membantu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dengan mendermakan dana atau bantuan lain dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni mereka.

“Banyak NGO ini yang berjaya membantu golongan memerlukan dan mempunyai aset jutaan ringgit walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan negeri,” katanya.

Ini, jelasnya amat berbeza sekali dengan YBK yang mendapat banyak bantuan termasuk pemberian tanah percuma tetapi tiada impak besar kepada golongan sasar sebaliknya golongan kaya yang mendapat faedah.

“Inilah natijahnya apabila badan kebajikan diuruskan orang politik yang berselindung di sebalik kerja-kerja kebajikan,” katanya lagi.
PRU13: Semua MB perlu duduk semeja
NORHASPIDA YATIM
14 Mac 2012
Mesyuarat Pakatan Rakyat diadakan sebelum sidang media.
KUALA LUMPUR - Langkah mengadakan pilihanraya berasingan perlu mendapat persetujuan bersama antara Menteri Besar negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu sepatutnya dilaksanakan bagi menunjukkan semangat demokrasi kerajaan yang mentadbir negara.

“Penentuan dalam mengadakan pilihanraya berasingan perlu dilakukan dengan memanggil semua Menteri Besar dan Ketua Menteri termasuklah yang mewakili negeri PR.

“Buat perbincangan dan selaraskan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU), jangan hanya berbincang sesama Barisan Nasional (BN) sahaja..seolah-olah mereka yang punya segala-galanya. Semangat demokrasi adalah hak rakyat dan diberi kepada semua wakil Menteri Besar termasuk PR bagi menunjukan demokrasi sebenar,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Dalam sidang media itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengetuai mesyuarat bagi mendapatkan keputusan sama ada mahu mengadakan PRU bersama Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.

Menurutnya, kehadiran Guan Eng penting kerana terdapat beberapa isu dibangkitkan BN untuk menyerang Ketua Menteri itu.

Sementara itu, Guan Eng berkata, keputusan PRU serentak bersama Kerajaan Persekutuan akan dapat dicapai sekiranya pertemuan bersama semua Menteri Besar PR diadakan.

“Tentu kita mahu dengar pandangan semua parti. Perbincangan akan dirahsiakan sehingga kita bertemu dengan semua Menteri Besar PR untuk berbincang mengenai perkara itu,” katanya.

Dalam sudang media sama, Anwar berkata, terdapat beberapa isu yang belum ditangani Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) yang belum antaranya senarai pengundi iaitu warga asing yang didaftarkan sebagai warganegara kemudian diberi hak mengundi.

“Kita dapat maklumat terkini berdasarkan kajian iaitu adanya jumlah yang agak besar, umpamanya 106,000 nama dipotong tanpa arahan dan setakat ini 522 kes 100 nama pengundi diletakkan dalam satu alamat.

“Itu yang baru dikesan, kita bimbang kalau hal ini tidak dijernihkan ianya akan menimbulkan kesan yang tidak diingini,” katanya.
Saya pernah anggotai Pemandu 1990, kata Azizan
ROSNANI SAAD
13 Mac 2012
azizan - buku 13mac
ALOR SETAR - Kebimbangan beberapa pihak terhadap krisis yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) ke-13, dilihat menjadi salah satu faktor wujudnya Jawatankuasa Pemandu.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukanlah sesuatu yang baru atau pelik memandangkan beliau sendiri turut dipilih menganggotai jawatankuasa sama yang ditubuhkan pada 1990.
Menurutnya, Jawatankuasa Pemandu hanya akan memantau negeri ditadbir Pas kerana manifestonya lebih menonjol berbanding negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang yang masing-masing ditadbir PKR dan DAP.
"Di Kedah, (sebelum ini) mereka ambil mudah dan ingat semua selamat (tidak berlaku krisis), namun kewujudan jawatankuasa ini bukan baru.
"Tatkala kita hampir dengan PRU, tercetus suasana 'ribut dalam cawan', ada beberapa pihak bimbang dan takut dengan apa yang bakal terjadi kepada Kerajaan Pas Kedah, namun penyokong Pas dan rakyat sayang kepada kerajaan dan mahu kerajaan kembali bersatu," katanya.
Azizan berkata, Kerajaan Negeri turut merangka untuk mengadakan satu perhimpunan bagi menunjukkan kekuatan dan sokongan terhadap Pas Kedah.
"Kita dicabar (menerusi krisis ini) jadi kita akan tunjukkan semula kekuatan kita, kita akan bersatu kembali untuk mempertahankan Kedah dan berhadapan dengan tentangan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sementara itu, Azizan berkata, sewaktu menganggotai jawatankuasa itu pada 1990, ia hanya mengambil kira polisi Kerajaan Negeri yang dikemudi Pas tanpa menyentuh mengenai urusan pentadbiran mahupun kewangan negeri.
"Pengerusi (ketika itu), Datuk Fadzil Mohd Noor (bekas Presiden Pas) bersama ahli jawatankuasa akan mengadakan perbincangan sebulan atau dua bulan sekali, mengenai masalah, isu politik, halangan dan tindakan yang sewajarnya diambil.
"Jika ada masalah, Menteri Besar dan barisan exco akan dipanggil untuk berbincang bersama dan saya berharap jawatankuasa ini juga akan melakukan perkara sama," katanya.
Pengundi diragui tak boleh digugur tanpa bukti

13 Mac 2012
tan sri abdul aziz mohd yusof
KOTA KINABALU -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan 13,000 pengundi yang meragukan di Sabah tetapi tidak boleh menggugurkan nama mereka dalam daftar pemilih kerana ia bertentangan dengan undang-undang, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata mengikut undang-undang, SPR tidak dibenarkan menggugurkan nama pemilih berkenaan melainkan dengan bukti yang kukuh.

Katanya setakat ini tiada mana-mana pihak termasuk waris yang tampil membantu membuat pengesahan mengenai status rekod pemilih terbabit.

"Walaupun kita sudah pamerkan (senarai nama pemilih meragukan itu) dan menghantar CD kepada parti-parti politik, namun kita masih gagal mengesan mereka. Kebanyakan mereka ini adalah golongan warga tua.

"Dalam hal ini, kita bergantung kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan semakan Daftar Pemilih oleh Mimos Berhad seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya untuk tujuan
pembersihan daftar pemilih," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan majlis taklimat kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa SPR akan menggugurkan sebanyak 42,025 nama (termasuk 13,000 di Sabah) yang tersenarai sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.

Mengenai proses pengiraan undi pada pilihan raya akan datang, beliau berkata ia akan hanya dimulakan pada 4 petang bagi kawasan pusat mengundi yang ditutup awal.

Katanya langkah itu penting bagi mengelak kemungkinan keputusan bocor dan orang tertentu menggunakan maklumat yang diperoleh untuk tujuan "perang psikologi atau pemikiran".

"Inilah cabaran baru untuk SPR, kerana dengan adanya rangkaian komunikasi yang pantas seperti Facebook, Twitter dan SMS, semua boleh berkomunikasi dengan siapa sahaja dengan mudah," kata Abdul Aziz.

Pada pilihan raya sebelum ini, kertas undi mula dikira seawal waktu tengah hari di beberapa pusat penjumlahan.

Ditanya sama ada SPR bercadang mengharamkan penggunaan telefon bimbit di pusat penjumlahan undi, Abdul Aziz berkata setakat ini suruhanjaya itu belum berhasrat untuk menguatkuasakan peraturan seumpama itu.

Beliau juga merayu kepada rakyat Sabah yang berumur 21 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pemilih secepat mungkin bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang.

Daripada 1.2 juta penduduk Sabah yang berumur 21 ke atas dan layak mengundi,  312,070 belum mendaftar.

"Saya nasihatkan mereka supaya mendaftar segera. Masih ada masa lagi kerana Daftar Pemilih hanya diwartakan pada bulan Mei ini," katanya. -- Bernama
Undur sekadar tindakan separuh jalan: Guan Eng
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2012
Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini, perlu melepaskan semua jawatannya termasuk sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jawatan itu perlu dilepaskan, sekiranya Shahrizat benar-benar membuktikan keikhlasannya.

Guan Eng mempersoalkan tindakan Shahrizat yang hanya mahu melepaskan jawatan dalam kerajaan, namun masih ingin terus kekal dalam politik.

“Beliau perlu meletakkan semuanya, termasuk Ketua Wanita Umno. Sepatutnya sama ada berundur bagi semua jawatan ataupun tidak letak jawatan.

“Tapi dengan hanya letak jawatan sebagai menteri tetapi tidak dalam politik menunjukkan ia sekadar berundur separuh jalan,” katanya, semalam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Shahrizat sepatutnya tidak berundur daripada kedudukannya sekarang jika beliau tidak terlibat dalam skandal tersebut.

“Kalau tak buat salah, jadi mengapa perlu undur? Jangan undur langsunglah. Tetapi jika rasa ada sesuatu tidak kena, dia patut letak jawatan secara keseluruhan. Malah kalau nak letak jawatan, patut buat sekarang. Kenapa tunggu sehingga 8 April?,” katanya.
Lebih baik Shahrizat lepas semua jawatan
NORSHAHZURA MAT ZUKI
13 Mac 2012
Lebih baik Shahrizat lepas semua jawatan
SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu profesional dengan melepaskan kesemua jawatannya bukan hanya tidak mahu disambung sebagai ahli Dewan Negara.

Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Attory Hussien berkata, beliau disarankan berbuat demikian demi kepentingan negara, parti dan rakyat.

“Karier politiknya telah berakhir. Lebih baik beliau melepaskan semua jawatannya kerana selama ini beliau dilihat sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman keputusan Shahrizat berundur sebagai menteri apabila tempoh pelantikannya sebagai Senator tamat pada 8 April ini.

Menurutnya, Shahrizat menjadi mangsa kes mengaitkan suaminya iaitu, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail yang dikaitkan dengan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau berkata, Wanita Umno amnya, perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai isu itu.

“Lebih baik beliau melepaskan semua jawatannya meskipun Wanita Umno mengakui kredibiliti beliau.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat cuba mengekalkan Shahrizat, tetapi rakyat tidak mahu beliau berada dalam Kabinet dan parti lagi,” katanya.

Sementara itu, pemerhati politik, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz menyifatkan tindakan Shahrizat itu adalah langkah terbaik dan menunjukkan beliau bertanggungjawab sebagai ahli politik.

Bagaimanapun, lebih baik sekiranya beliau melepaskan semua jawatannya kerana isu NFC berkait dengan dirinya dan ia perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita bimbang, jawatan dalam parti beri implikasi tidak baik kepada parti. Terpulanglah kepadanya kerana wujud perbezaan di antara jawatan menteri dan dalam parti.

“Secara umumnya dalam parti pemilihan dilakukan oleh ahli-ahli parti manakala jawatan menteri itu berkhidmat dan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

Ditanya mengenai karier Shahrizat akan berakhir disebabkan isu NFC, Shamrahayu menegaskan hidup dan mati di dalam politik akan berlaku banyak kali kepada ahli politik.

“Sekiranya gagal dalam pilihan raya tetapi ‘hidup’ dalam Umno, mereka akan diberikan jawatan menteri. Kekuatan dalam politik memberikan mereka peluang untuk terus berada dalam arena politik.

“Tindakan Shahrizat adalah terbaik dan menunjukkan beliau berpolitik bukan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan