Rabu, 27 Julai 2011

JANGAN MENIPU ....JANGAN GILA KUASA HINGGA JADI MENJADI DAGING

Video polis Bersih 2.0 tak laku
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Video Bersih 2.0 yang dirakam dan ditayangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya atau 'tidak laku', sehingga Menteri Penerangan terpaksa digunakan untuk memberikan publisiti mengenainya.

Sekiranya video itu menarik dan benar-benar menceritakan kejadian sebenar, ia pasti akan menarik perhatian orang ramai menontonnya tanpa dipaksa.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, dengan itu, pihak PDRM hanyalah melakukan kerja yang sia-sia dan membazirkan wang rakyat untuk menghasilkan video itu kerana ia tetap tidak diminati oleh orang ramai.

Menurut beliau, nasib video polis itu samalah seperti nasib filem-filem negara yang sememangnya tidak menarik minat orang ramai untuk menontonnya walaupun pembikinannya mengambil masa agak lama dan memakan belanja yang besar.

Katanya, untuk tidak mensia-siakan pembikinan video itu, pihak kerajaan kini terpaksa memaksa stesyen-stesyen TV di tanah air menyiarkannya tetapi usaha tersebut tetap gagal, apabila hanya pihak RTM sahaja yang sudi menayangkannya.

"Keengganan stesen-stesen TV lain khususnya TV swasta untuk menayangkan video polis itu kerana diyakini video itu tidak akan menarik perhatian orang ramai untuk menontonnya, malah kalau disiarkan pasti akan memberikan kesan buruk kepada stesen-stesen TV itu sendiri.

"Kini media-media utama tanah air yang dikuasai kerajaan sudah tidak lagi dipercayai oleh orang ramai. Sekiranya video polis itu juga turut disiarkan, orang ramai pasti akan menjadi lebih tidak mempercayai stesyen-stesyen TV berkenaan. Menyedari hakikat itulah stesen-stesen TV swasta enggan menyiarkannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat negara ini hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayangkan oleh PDRM berhubung himpunan Bersih 2.0.

Menurut Mahfuz, saranan Rais itu sememangnya menggelikan hati kerana ia jelas membuktikan video tersebut tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya, sehingga menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menggunakan Menteri Penerangan untuk membuat publisiti mengenainya dan membuat seruan seperti itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga yakin pihak RTM sendiri sebenarnya turut tidak berminat untuk menyiarkan video itu, tetapi ia terpaksa disiarkan juga kerana terpaksa setelah dipaksa oleh kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang.

"Rakyat negara kita sekarang sudah semakin cerdik. Rakyat sendiri tahu yang mana video yang bermutu dan yang mana video yang tidak bermutu.

"Rakyat sendiri tahu yang mana video yang benar dan yang patut ditonton dan yang mana video yang tidak benar yang tidak patut ditonton malah kalau ditonton pasti hanya menggelikan hati.

"Oleh itu, pihak kerajaan sendiri dapat mengambil pengajaran dari nasib malang yang dialami oleh video polis itu untuk mengetahui realiti sebenar tentang rakyat di negara kita sekarang yang sudah tidak boleh diputarbelitkan lagi," tegas beliau.

Malah semakin diputarbelit, tegas beliau, rakyat akan menjadi semakin marah dan meluat dengan kerajaan sehingga menyebabkan segala tindakan kerajaan sekarang akan menjadi pertikaian di kalangan rakyat.

"Begitulah nasib kerajaan BN kini setelah sekian lama memerintah dan setelah sekian lama memutarbelit dan menzalimi rakyat dalam pelbagai aspek," ujar beliau.


PMIUM harap PMRAM tabah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hari ini menyatakan simpati dan kecewa dengan tindakan pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang mahu mengharamkan Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Kebelakangan ini, pelbagai berita dan ura-ura telah timbul bahawa kerajaan Malaysia melalui kedutaan di negara Afrika Utara itu ingin mengambil tindakan tegas terhadap PMRAM.

PMRAM dikatakan telah mengepalai rakyat dan penuntut Malaysia dalam penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 di negara terbabit dua minggu lalu.

Sebaik sahaja selesai perhimpunan 9 Julai lalu, beberapa penuntut Malaysia di sana juga telah diambil tindakan tegas dengan menggantung pengajian serta dipotong yuran pengajiannya.

Namun, sumber daripada beberapa ahli PMRAM telah menyatakan terdapat cubaan mengeksploitasi telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Menurut pelajar tersebut, terdapat beberapa maklumat palsu telah dihantar oleh kedutaan Malaysia kepada Universiti Al-Azhar semata-mata ingin memastikan penubuhan PMRAM diharamkan secepat mungkin.

Sementara itu, Timbalan PMIUM, Rohayu Rusli mendoakan agar ahli-ahli PMRAM terus kuat dan tabah dalam menangani situasi tersebut.

“Saya bersama seluruh kepimpinan PMIUM menyokong dan mendoakan sahabat-sahabat PMRAM yang mendapat ancaman untuk diharamkan.

Rohayu dalam kenyataannya turut menyatakan tindakan itu amat tidak wajar dan kerajaan Malaysia harus mengubah fikiran segera.

“Saya gesa kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib ubah fikiran kerana tindakan seperti itu akan lebih memburukkan keadaan kerana mahasiswa dan anak muda akan bangkit menentang.

“Walaupun perkara ini (haramkan PMRAM) sudah sekian lama didengar namun kita selaku mahasiswa harus memandang serius dan suara mahasiswa sewajarnya tidak patut disekat,” katanya.


Benarkah ramai pengundi lebih 100 tahun
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data sebelum ini melalui aplikasi teknologi maklumat atau sistem pengurusan maklumat jelas menunjukkan ada pengundi yang mempunyai 2 tempat malah beberapa tempat mengundi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, malah paparan berita yang dipetik dari Suara Keadilan pada 24 Julai lalu mendakwa bahawa terdapat lebih 1,600 pengundi yang berusia lebih 100 tahun di Perak.

Menurut beliau, daripada jumlah itu pula, dilaporkan seramai 1,447 orang pengundi warga emas di Perak yang berusia melebihi 100 tahun itu berumur di antara 100 sehingga 109 tahun.

"Adakah benar pengundi warga emas berusia dalam lingkungan itu seramai itu di Perak?

"Kalau dah seramai itu di Perak, bagaimana pula dengan pengundi warga emas yang berusia melebihi 100 tahun di seluruh negara?" soalnya.

Angka tersebut, menurut beliau, tentunya meragukan dan disebabkan keraguan itulah PAS dan Pakatan Rakyat serta Bersih 2.0 mahukan SPR menggunakan dakwat kekal dalam pilihanraya di negara ini.

"Penggunaan sistem biometrik tidak akan menyelesaikan masalah pengundian bertindih. Malah, proses pengesahan melalui sistem itu adalah usaha sia-sia, membazir dan tetap tidak selamat.

"Sebab itulah SPR diminta menimbang 8 cadangan Jawatankuasa Bersih 2.0 yang antara lainnya mendesak SPR menggunakan kaedah dakwat kekal dalam pilihanraya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun beliau kesal kerana SPR tetap enggan menerima cadangan itu dan bercadang untuk menggunakan sistem biometrik yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Cadangan SPR untuk menggunakan sistem bimometrik, katanya, diyakini tetap tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan masalah-masalah lain yang berlaku dalam pilihanraya di negara ini sejak dulu.

Menurutnya, jawapan yang mudah kepada masalah integriti data atau maklumat walaupun melalui aplikasi teknologi maklumat atau sistem maklumat yang telah lama digunapakai oleh SPR bukanlah kerana aplikasi itu, tetapi kerana data atau maklumat yang dimasukkan ke dalam pengkalan data.

"Kalau SPR tahu bahawa masalah utama adalah integriti data atau maklumat bukanlah kerana aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu, kenapa sistem biometrik pula yang dicadangkan?" tanya beliau hairan.

Sistem biometrik juga, tegasnya, adalah sebuah aplikasi teknologi maklumat atau sistem maklumat seperti aplikasi yang digunakan sekarang, cuma perbezaannya adalah cadangan baru itu menggunakan ‘hardware’ atau perkakasan serta perisian dan bukan ‘software’ atau perisian semata-mata untuk capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data seperti yang digunakan hari ini.

Sehubungan itu, beliau amat bimbang dengan fenomena yang berlaku kerana ia tetap tidak akan menyelesaikan masalah pilihanraya yang tidak bersih dan tidak adil di negara ini, walaupun pihak kerajaan dan SPR telah diberikan pelbagai pandangan dan cadangan yang baik ke arah mengatasinya oleh rakyat negara ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pada sidang medianya yang diadakan selepas perbincangan dengan para pemimpin PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam telah menegaskan PAS menolak sistem biometrik dan mahu SPR menggunakan kaedah dakwat kekal.

Husam turut menjelaskan, di Selangor sahaja sehingga kini, PAS dengan menggunakan sistem komputer telah mengesan seramai 500 orang pengundian bertindih.

Timbalan Presiden sebuah NGO yang baru ditubuhkan, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir ketika berucap pada majlis pelancaran NGO itu di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, baru-baru ini, turut menyarankan kerajaan menerima cadangan yang baik dari rakyat bagi memperbaiki sistem pilihanraya di negara ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan berkata, cadangan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga agar SPR turut dianggotai wakil-wakil NGO sememangnya satu cadangan yang baik yang patut diterima oleh kerajaan.

"Sekiranya kesemua cadangan yang baik dari rakyat tidak juga diberikan pertimbangan oleh kerajaan dan SPR, tidak ada sebarang alasan lagi bagi pihak kerajaan dan SPR mempertikaikan keraguan rakyat mengenai perjalanan pilihanraya di negara kita yang sememangnya tidak bersih dan tidak adil sejak dulu," tegas beliau.

Kita semua jadi mangsa Umno BN
Suhaizan Kaiat

Sudah dua kali hak saya sebagai warganegara Malaysia dihalang untuk bebas bergerak dan bersuara.

Pertama pada 9hb Julai 2011 saya dihalang untuk berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan semalam saya pula dihalang untuk mengajukan soalan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar kononnya atas arahan orang atasan.

Walaubagaimana pun saya mengucapkan tahniah kepada Sinar yang telah menganjurkan “Dialog Apa selepas 9 Julai?” dengan mempertemukan Bersih 2.0 dan SPR. Bersih 2.0 telah dianggap sebuah pertubuhan haram oleh Menteri Dalam Negeri.

Secara tidak langsung Sinar sudah berani menyangah pandangan Menteri Dalam Negeri dan lebih mirip kepada pandangan Timbalan Menteri Pendidikan YB Saifuddin Abdullah yang menggangap Bersih 2.0 bukan sejenis pertubuhan tetapi sejenis aktiviti NGO yang berdaftar.

Sebenarnya saya mahu mengajukan beberapa soalan kepada Datuk Wan Ahmad iaitu berkaitan dengan Double Voting, Daftar Pemilih, Pengundi Pos dan Advance Voting.

Pada 7hb Oktober 2009 telah diadakan pertemuan antara SPR dan pemimpin PAS yang dianggotai oleh Dato Mustafa Ali , Dato Abdul Halim Abd Rahman, Tuan Hj Mohzit bin Mohid dan saya sendiri.

Pemuda PAS telah mengemukakan senarai 253 pengundi pos yang bertindan.

Mereka mempunyai nama sebagai pengundi pos di Bagan Pinang tetapi mempunyai nama yang sama di tempat lain. Pertindanan ini telah berlaku dalam pilihanraya umum 2008.

Dalam perbincangan itu SPR telah berjanji untuk menghapuskan pertindanan ini. Malangnya pertindanan ini masih lagi berlaku pada tahun 2011. Pertindanan ini bertentangan dengan perkara 119 Perlembagaan Malaysia.

Saya mempunyai terlalu banyak bukti pertindanan ini.

Dalam kenyataan Dato Wan Ahmad kepada The Star pada 24hb Julai 2011, bahawa beliau bersetuju bahawa terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR yang sah. Secara tidak lansung juga SPR telah mendaftarkan pengundi yang tidak sah. Itulah yang dinamakan pengundi hantu.

Persoalannya mengapa SPR menafikan pengundi hantu?

Walaupun saya tidak dapat mengajukan soalan tetapi soalan ini dapat disampaikan oleh Tuan Hj Mohzit Bin Mohid.

Malangnya Dato Wan Ahmad menjawab bahawa soalan itu hanya sesuai untuk kerani sahaja bukan ahli suruhanjaya diraja sepertinya. Beliau hanya bertanggungjawab terhadap dasar-dasar dalam SPR bukan membuat kerja kerani.

Sepatutnya Dato Wan Ahmad tidak memberi jawapan seperti itu. Terbukti jawapanya telah di “boo” oleh penonton. Persoalannya apakah dasar yang dipakai oleh SPR jika masih terdapat pertindaan pengundi walaupun telah ditegur pada tahun 2009?

Apakah dasar SPR membenarkan nombor kad pengenalan yang diklon dibenarkan masuk dalam daftar pemilih SPR yang sah?

Saya berpendapat bahawa SPR sebenarnya terperangkap dalam kerangka politik sempit Umno, Barisan Nasional. Pembaharuan yang mahu dibuat oleh mereka tidak mendapat sokongan pemerintah.

Contohnya apabila SPR memperkenalkan pengunaan dakwat kekal pada tahun 2008 maka Pengerusi SPR di ajukan dengan persoalan keselamatan negara yang tidak masuk akal.

Inilah bukti bahawa SPR sebenarnya bukan badan bebas untuk melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil. Sampai bilakah SPR mampu melepaskan ikatan daripada pemerintah yang zalim? Yang menjadi mangsa adalah kakitangan SPR seperti Dato Wan Ahmad yang terpaksa menjawab segala persoalan yang tidak mempunyai jawapan. Beliau sendiri pun tidak boleh menerima jawapan yang beliau sendiri berikan.

Itulah hakikat kerajaan zalim Umno Barisan Nasional yang wajib ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Bantahan saya kepada SPR selama ini adalah umpama pukul anak sindir menantu sahaja. Kita semua rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada kezaliman kerajaan Umno Barisan Nasional.

SUHAIZAN BIN KAIAT,

PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI, PEMUDA PAS MALAYSIA

KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan