Rabu, 27 Julai 2011

BILA DAN TELAH TIBA MASANYA....APA KITA DISOGOKAN KEPADA RAKYAT..DAH TAK DITERIMA...INI TANDA2 RAKYAT TELAH BIJAK...MUNGKIN PEMIMPIN AJE SYOK SENDIRI

Undian tajuk Dolak Dalik SPR
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Mulai hari ini, undian dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah bil 1661 yang akan berada di pasaran mulai esok, Khamis dengan tajuk ‘Dolak-Dalik SPR' digunakan sebagai tajuk berita utama.

Ini berikutan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar berdolak dalik ketika membincangkan isu reformasi sistem pilihan raya pada majlis forum anjuran Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, 26 Julai lalu.

Bagi membaca kenyataan penuh, boleh baca Harakah cetak atau terus langgani harakah digital yang dikenali bagai 'elektronik paper' di alamat, http://epaper.harakah.net.my

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari lagi, manakala pada hari Sabtu nanti, kita akan mengundi tajuk lain pula.

Manakala keputusan undian bagi tajuk Harakah sebelum ini, ‘Jumpa di mahkamah’ menurun sedikit kepada 92.31 peratus atau 324 daripada 351 undian bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 17 undian (4.84%) yang tidak bersetuju dan juga 10 undian (2.85 %) yang berkecuali atau tidak pasti.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan juga undian-undian yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php.


PMIUM harap PMRAM tabah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hari ini menyatakan simpati dan kecewa dengan tindakan pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang mahu mengharamkan Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Kebelakangan ini, pelbagai berita dan ura-ura telah timbul bahawa kerajaan Malaysia melalui kedutaan di negara Afrika Utara itu ingin mengambil tindakan tegas terhadap PMRAM.

PMRAM dikatakan telah mengepalai rakyat dan penuntut Malaysia dalam penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 di negara terbabit dua minggu lalu.

Sebaik sahaja selesai perhimpunan 9 Julai lalu, beberapa penuntut Malaysia di sana juga telah diambil tindakan tegas dengan menggantung pengajian serta dipotong yuran pengajiannya.

Namun, sumber daripada beberapa ahli PMRAM telah menyatakan terdapat cubaan mengeksploitasi telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Menurut pelajar tersebut, terdapat beberapa maklumat palsu telah dihantar oleh kedutaan Malaysia kepada Universiti Al-Azhar semata-mata ingin memastikan penubuhan PMRAM diharamkan secepat mungkin.

Sementara itu, Timbalan PMIUM, Rohayu Rusli mendoakan agar ahli-ahli PMRAM terus kuat dan tabah dalam menangani situasi tersebut.

“Saya bersama seluruh kepimpinan PMIUM menyokong dan mendoakan sahabat-sahabat PMRAM yang mendapat ancaman untuk diharamkan.

Rohayu dalam kenyataannya turut menyatakan tindakan itu amat tidak wajar dan kerajaan Malaysia harus mengubah fikiran segera.

“Saya gesa kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib ubah fikiran kerana tindakan seperti itu akan lebih memburukkan keadaan kerana mahasiswa dan anak muda akan bangkit menentang.

“Walaupun perkara ini (haramkan PMRAM) sudah sekian lama didengar namun kita selaku mahasiswa harus memandang serius dan suara mahasiswa sewajarnya tidak patut disekat,” katanya.


10 ditahan ketika cuba serah surat pada Najib
Nazri Abdullah, Foto Yuis SK

KUALA LUMPUR, 27 Julai: 10 orang temasuk enam anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang ditahan polis di stesen Sentral Kuala Lumpur siang tadi dibebaskan kira-kira jam 5.50 petang selepas diambil keterangan.

Kesemua mereka yang ditahan di Balai Polis Travers itu sebelum ini disoal siasat dibawah Seksyen 105, Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, mereka ditahan kira-kira jam 2.50 petang ketika sedang berbaris bersama pelatih PLKN menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di sini.

Antara yang ditahan termasuklah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azin Mat Rasip, Exco AMK Pusat, Zaki Yamani, Zulfikar Ali Ariffin, Manivannan Gowindasamy, Chegu Sekar dan pembantu ahli parlimen Ampang, Mohamad Fareez Kamal Intidzan.

Insiden berlaku apabila Zaki cuba masuk ke dalam laluan Najib bagi menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri itu.

Sebaik sahaja beliau masuk sambil memanggil "Datuk Seri", empat pengawal peribadi Najib terus memegangnya dan mengheret beliau keluar dari tempat tersebut dan diserahkan kepada anggota polis yang sedia berkawal.

Najib juga dilihat sempat melihat ke arah Zaki dan pergelutan yang berlaku yang hanya berjarak kira-kira satu meter darinya.

Seorang rakannya, Zulfikar pula ditahan apabila cuba menayakan kepada polis kenapa Zaki ditahan dengan cara kasar.

Ekoran itu kesemua mereka yang memakai baju kuning itu ditahan pihak polis.


KLIK UNTUK LIHAT VIDEO


Ikut Suhakam benarkan perhimpunan aman
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 27 Julai: Kesedaran sosial yang wujud di kalangan rakyat kesan daripada perkembangan media baru merupakan faktor mereka menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, politik di Malaysia telah berubah kepada politik baru yang mendapat sokongan orang muda, ahli akademik dan profesional.

"Suatu ketika dahulu realiti politik semasa itu berlaku dalam satu lingkaran politik. Lingkaran itu masih wujud kerana itu beberapa perkara yang dilakukan parti-parti politik di kedua-dua pihak masih menjadi kebiasaan seperti turun padang, hulur bantuan. Mana yang buruk seperti politik wang harus diperangi, politik harus diperangi habis-habisan.

"Tapi ada lingkaran politik baru.Media baru bukan hanya alat komunikasi tapi orang dah guna media baru sebagai gelanggang beroperasi dan berkongsi," kata beliau dalam debat 'Apa Selepas 9 Julai' anjuran akhbar Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, dekat sini, semalam.

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang menyokong tuntutan Bersih 2.0 dan menyatakan sokongannya kepada Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang terlibat secara langsung dalam tuntutan tersebut.

"Saya tahu kenapa Pak Samad sertai Bersih dan saya hormati Pak Samad.

"Bersih bukan pertubuhan tapi satu program. Tapi bila saya kata saya faham Bersih walaupun saya tak sokong tapi saya pun kena hentam tapi tak apa. Itu hak masing-masing.

"Orang nak hentam pun boleh, sama juga demonstrasi dibenarkan dalam demokrasi. Tengok kamus dewan apa makna demonstrasi, perarakan, perhimpunan. Sebab itu saya rumuskan kita kena ikut Suhakam dengan membenarkan perhimpunan aman, selesai masalah," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 600 hadirin.

Sehubungan itu katanya, rakyat yang menolak tuntutan Bersih harus menerima ianya sebagai demokrasi yang matang dan mengakui beliau sedang memperjuangkan perkara itu.

"Bagaimana kita boleh mematangkan demokrasi? 9 Julai berlaku dalam dua pusingan. Sesiapa yang melihat ianya berlaku dalam pusingan pertama memang peliklah pandangan dia dan dia tak akan faham apa yang berlaku," katanya.

Tambah beliau, pemimpin mana-mana politik harus mengutamakan pandangan rakyat, bukan mengutamakan kepentingan parti.

"Jangan letakkan parti di tempat pertama tapi rakyat yang pertama," katanya yang juga ahli Parlimen Temerloh.


Video polis Bersih 2.0 tak laku
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Video Bersih 2.0 yang dirakam dan ditayangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya atau 'tidak laku', sehingga Menteri Penerangan terpaksa digunakan untuk memberikan publisiti mengenainya.

Sekiranya video itu menarik dan benar-benar menceritakan kejadian sebenar, ia pasti akan menarik perhatian orang ramai menontonnya tanpa dipaksa.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, dengan itu, pihak PDRM hanyalah melakukan kerja yang sia-sia dan membazirkan wang rakyat untuk menghasilkan video itu kerana ia tetap tidak diminati oleh orang ramai.

Menurut beliau, nasib video polis itu samalah seperti nasib filem-filem negara yang sememangnya tidak menarik minat orang ramai untuk menontonnya walaupun pembikinannya mengambil masa agak lama dan memakan belanja yang besar.

Katanya, untuk tidak mensia-siakan pembikinan video itu, pihak kerajaan kini terpaksa memaksa stesyen-stesyen TV di tanah air menyiarkannya tetapi usaha tersebut tetap gagal, apabila hanya pihak RTM sahaja yang sudi menayangkannya.

"Keengganan stesen-stesen TV lain khususnya TV swasta untuk menayangkan video polis itu kerana diyakini video itu tidak akan menarik perhatian orang ramai untuk menontonnya, malah kalau disiarkan pasti akan memberikan kesan buruk kepada stesen-stesen TV itu sendiri.

"Kini media-media utama tanah air yang dikuasai kerajaan sudah tidak lagi dipercayai oleh orang ramai. Sekiranya video polis itu juga turut disiarkan, orang ramai pasti akan menjadi lebih tidak mempercayai stesyen-stesyen TV berkenaan. Menyedari hakikat itulah stesen-stesen TV swasta enggan menyiarkannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat negara ini hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayangkan oleh PDRM berhubung himpunan Bersih 2.0.

Menurut Mahfuz, saranan Rais itu sememangnya menggelikan hati kerana ia jelas membuktikan video tersebut tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya, sehingga menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menggunakan Menteri Penerangan untuk membuat publisiti mengenainya dan membuat seruan seperti itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga yakin pihak RTM sendiri sebenarnya turut tidak berminat untuk menyiarkan video itu, tetapi ia terpaksa disiarkan juga kerana terpaksa setelah dipaksa oleh kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang.

"Rakyat negara kita sekarang sudah semakin cerdik. Rakyat sendiri tahu yang mana video yang bermutu dan yang mana video yang tidak bermutu.

"Rakyat sendiri tahu yang mana video yang benar dan yang patut ditonton dan yang mana video yang tidak benar yang tidak patut ditonton malah kalau ditonton pasti hanya menggelikan hati.

"Oleh itu, pihak kerajaan sendiri dapat mengambil pengajaran dari nasib malang yang dialami oleh video polis itu untuk mengetahui realiti sebenar tentang rakyat di negara kita sekarang yang sudah tidak boleh diputarbelitkan lagi," tegas beliau.

Malah semakin diputarbelit, tegas beliau, rakyat akan menjadi semakin marah dan meluat dengan kerajaan sehingga menyebabkan segala tindakan kerajaan sekarang akan menjadi pertikaian di kalangan rakyat.

"Begitulah nasib kerajaan BN kini setelah sekian lama memerintah dan setelah sekian lama memutarbelit dan menzalimi rakyat dalam pelbagai aspek," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan