Ahad, 20 Disember 2015

RASULLULLAH SAW DAN RABIULAWAL



SEJARAH RINGKAS RASULULLAH SAW

BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim

· Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali
sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)
· Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah

· Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim

· Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf

· Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba
perempuan bapa Rasulullah SAW)
· Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)

· Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali
Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN

· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua
malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.


USIA 6 TAHUN

· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’
(sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

· Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.

· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.


USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan
perniagaan.
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira
(Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

· Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ ,
jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
· Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi
pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN

· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah
binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..

· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya
yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.


USIA 35 TAHUN

· Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.

· Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk
Mekah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke
tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

· Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul
akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu
Bakar Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.


USIA 63 TAHUN

· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12
Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.

§ Khadijah Binti Khuwailid

§ Saudah Binti Zam’ah

§ ‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)

§ Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)

§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan

§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)

§ Zainab Binti Jahsy

§ Maimunah Binti Harith

§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab

§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)


ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim

2. Abdullah

3. Ibrahim

4. Zainab

5. Ruqaiyah

6. Ummi Kalthum

7. Fatimah Al-Zahra’


ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina
Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW


IBU SUSUAN


SAUDARA SUSUAN

1.. Thuwaibah

1. Hamzah

2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

1. Halimah Al-Saidiyyah

1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib

2. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘Uzza

3.. Syaima’ binti Harith bin Abdul ‘Uzza

4. ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘Uzza


BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith

2. Muqawwam

3. Zubair

4. Hamzah ***

5. Al-‘Abbas ***

6. Abu Talib

7. Abu Lahab (nama asalnya ‘Abdul ‘Uzza)

8. Abdul Ka’bah

9. Hijl

10. Dhirar

11. Umaimah

12. Al-Bidha (Ummu Hakim)

13.. ‘Atiqah ##

14. Arwa ##

15. Umaimah

16. Barrah

17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-‘Awwam) ***


*** Sempat masuk Islam.

## Ulama’ berselisih pendapat tentang Islamnya.


Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai
aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )


Tarikh sebenar hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Di antara cuti umum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia ialah pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia dianggap sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul).

Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda SAW yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi SAW sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal.

Keadaan ini tentunya menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi SAW dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi SAW. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari
perkabungan-nya?

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi SAW berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jld. 2, hal. 144)

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.

Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah."

Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajjal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb. Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi SAW hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya.

Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah SAW iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia 63 tahun.

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan
kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi SAW, walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal.

Mereka hanya berselisih tentang tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan dalam bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas. Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6), Safiyyul Rahman Al Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal. 54), 'Allamah Sibli Nu'mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176), Maulana Abul Kalam Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan dihadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
· Tahun kewafatan Baginda SAW ialah 11H.
· Dalam bulan Rabiul Awwal.
· Antara 1hb. hingga 12hb.
· Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda SAW seperti berikut:
1. Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.
2. Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M

Berdasarkan fakta-fakta yang telah kami kemukakan, pihak kami berharap agar ketetapan hari lahir Nabi Muhammad SAW yang ditentukan sebagai hari cuti umum itu dikaji dan diubah kepada tarikhnya yang sebenar kerana amatlah malang dan memalukan sekali kita orang-orang Islam jika kita merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi SAW padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)


Ahad, 12 Januari 2014

Tarikh Kelahiran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam



Oleh : Al Faqir 'Azam

Para Ulama dan Ahli Falak telah sepakat bahawa tahun gajah, yakni tahun kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571 Masihi dan Baginda SAW lahir pada bulan Rabi'ul Awal, hari Isnin. Bagaimanapun, mereka berbeza pendapat dalam menentukan adakah Baginda SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awal atau 12 Rabi'ul Awal; 20 April atau 22 April? Terdapat juga beberapa pendapat yang lain tetapi ianya lemah.

Menurut Imam Al-Kauthari, Raja Muzaffar Kaukabri(wafat 620H), pengasas majlis sambutan maulid Nabi SAW pernah menyambutnya pada malam kelapan Rabi'ul Awal (hari 9 rabi'ul Awal) pada tahun tertentu, dan menyambutnya pada malam 12 Rabi'ul Awal pada tahun yang lain untuk beramal dan meraikan kedua-dua riwayat tersebut. [Maqalat Al-Kauthari m/s 307]

Berkata Al-Imam Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Faqih Muhammad Zahid Al-Kawthari r.a (Ulama besar zaman khilafah Uthmaniah wafat 1371 h):

Adat yang biasa diikuti di negara-negara islam dalam sambutan Maulid Nabi SAW adalah pada 12 Rabi'ul Awwal kerana telah disepakati kelahiran baginda SAW tidak berlaku setelah tarikh ini(dari 13 hingga 30 Rabi'ul Awal) di sisi seluruh ulama, maka mereka mengadakannya di satu malam yang tidak mempunyai apa-apa perbezaan pendapat setelah tarikh ini yang mana telah jelas Nabi SAW lahir sebelum waktu tersebut.

Dan tidaklah satu perkara yang aneh tentang khilaf tarikh kelahiran Nabi SAW kerana Baginda SAW lahir di sisi masyarakat yang buta huruf, tidak tahu menulis dan mengira serta tidak tertulis dalam sejarah kecuali peristiwa-peristiwa yang makruf di sisi mereka.

Para ulama berbeza pendapat sama ada Nabi SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awwal atau 10 Rabi'ul Awwal atau 12 Rabi'ul Awwal.

Tarikh 10 Rabi'u awwal disandarkan oleh Ibnu Sa'ad di dalam tabaqatnya kepada Muhammad Al-Baqir r.a, tetapi pada sanadnya ada 3 periwayat yang dipertikaikan.

Tarikh 12 Rabi'ul Awwal pula walaupun masyhur dan dinaqalkan kebanyakan ulama dalam kitab-kitab sirah, tetapi asalnya disandarkan kepada Muhammad Ibnu Ishaq, dan tarikh ini disebut oleh Muhammad Ibnu Ishaq tanpa sanad(tiada sanad)..

Manakala tarikh 9 Rabi'ul Awwal adalah yang paling rajih dan muktamad, ia merupakan pendapat yang dikemukakan Ibnu Abdil Barr dalam 'Al-Isti'ab' ketika menyebut sudut khilaf dalam tarikh maulid Nabi SAW. Dan telah menghadkan tentangnya sebelumnya Abu Bakar Muhammad Bin Musa Al-Khawarizmi. Dan berkata tentang tarikh ini juga Al-Hafiz Umar Ibnu Dihyah al-Kalbi dalam kitabnya 'At-Tanwir Fi Maulid As-siraj Al-munir' yang mana dengan kitab tersebut beliau mendapat hadiah 1000 dinar dari Raja Muzaffar Ad-din(di zaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi) katanya, "Dan ianya(tarikh 9 rabiulawwal) tiada yang sahih tarikh selainnya dan telah sepakat tentangnya ahli sejarah"

Bahkan ianya juga dikuatkan lagi dengan kajian pakar ilmu falak yang terkenal, Al-Allamah Mahmud Basya Al-Falaki Al-Misri dalam risalahnya yang berbahasa Perancis dan telah diterjemahkan kepada bahasa arab oleh Ahmad Zaki Basya berjudul "Nataij Al-afham Fi Taqwim Al-Arab Qablal Islam Wa Fi Tahqiq Maulid Nabi Wa Umruhu 'Alaihissolatuwassalam" pada tahun 1305 h. Kajian tersebut mengemukakan banyak kajian-kajian ahli falak timur dan barat yang mengesahkan bahawa hari Isnin bertepatan pada 9 Rabi'ul Awwal tahun gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi. [Rujuk Maqalat Al-Kauthari m/s: 305-307 & 311]

Syaikh Sofiurrahman Al-Mubarakfuri juga menyebutkan dalam kitab sirahnya 'Raheeq Al-Makhtum' bahawa Baginda SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awwal.

Bagaimanapun, Menurut Mufti Mesir, Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah, terdapat juga kajian ahli falak yang bernama Dibbanah di dalam kitabnya "Taqwim 'Am Li Khamsati Alafi 'Am" yang mengesahkan bahawa 22 April jatuh pada hari Isnin, yakni 12 Rabi'ul Awwal, manakala 20 April pula (9 Rabi'ul Awwal) jatuh pada hari Sabtu.. Rujuk video beliau di: http://www.youtube.com/watch?v=yH1P5mKzRfs

Menurut Al-Allamah Al-Muhaddith Prof. Dr Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani, kita tidak mengatakan bahawa sambutan kelahiran Nabi SAW adalah sunnah dan terikat pada tarikh dan malam-malam tertentu, bahkan sesiapa yang beri'tiqad dan meyakini sedemikian, maka dia telah melakukan satu bid'ah yang sesat dalam agama kerana memperingati Nabi SAW dan berpaut hati pada baginda SAW itu perlu pada setiap waktu dan zaman dan perlunya juga untuk mengisi jiwa dengan kecintaan kepada Nabi SAW.

Sesungguhnya berkumpulnya kita untuk menyambut kelahiran nabi SAW pada bulan Rabi'ul Awal adalah bukan suatu ibadah, tetapi ianya merupakan adat yang dijadikan sebagai wasilah yang besar untuk berdakwah kepada Allah untuk mengingatkan umat yang lalai tetang akhlak Nabi SAW, sirah baginda SAW, keadaannya, muamalatnya, ibadahnya dan lain-lain. [Diadaptasi dari kitab 'Mafahim Yajibu An Tusohhah' m/s 253-254 karya Al-Allamah Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani dengan sedikit suntingan]

Sumber : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=528965530471413&set=a.100705106630793.1504.100000739112302&type=1&theater

Biodata dan Sejarah Ringkas Nabi Muhammad S.A.W




Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ( نبي محمد صلى الله عليه وسلم ) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.  Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. 



Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.

Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Nabi Muhammad S.A.W merupakan Rasul dan Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam. Beliau juga digelar Al Amin (الأمين) yang bermaksud 'yang terpuji'.



BIODATA RASULULLAH S.A.W:

1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yangmenyerang kota Mekah)
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6. Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8. Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)



SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W: 

USIA 5 TAHUN
* Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN
* Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
* Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
* Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
* Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
* Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
* Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
* Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
* Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
* Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
* Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
* Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
* Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
* Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
* Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
* Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
* Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
* Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
* Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
* Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10.Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’



Nabi Muhammad s.a.w juga mendapatkan julukan Abu al-Qasim yang bererti "bapak Qasim", kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah memiliki anak lelaki yang bernama Qasim iaitu anak baginda bersama Khadijah, tetapi ia meninggal dunia sebelum mencapai usia dewasa.

TARIKH KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W ADALAH PADA 9 RABIUL AWWAL BUKANNYA 12 RABIUL AWWAL.

Oleh : Ustaz Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi

Tarikh Kelahiran Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menjadi satu polemik ekoran timbul percanggahan fakta sekaligus menyebabkan isu ini dibincangkan secara terperinci oleh ulama sejarah. Ada yang mengatakan bahawa baginda lahir tanggal 2 Rabiul Awal, ada pula yang mengatakan 8 Rabiul Awal, ada yang mendakwa 10 Rabiul Awal, atau 12 Rabiul Awal, atau 17 Rabiul Awal (Lihat al-Bidayah wa Nihayah karya Ibnu Katsir: 2/260 dan Latho’iful Ma’arif karya Ibnu Rojab hlm. 184-185). 

Semua pendapat ini tidak berdasarkan hadis yang sahih. Adapun hadis Jabir dan Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma yang menerangkan bahawa tanggal kelahiran Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah tanggal 12 Rabiul Awal tidak sahih. Kalaulah sahih, tentu ianya akan menjadi hakim (pemutus perkara) dalam masalah ini. Akan tetapi, Ibnu Katsir rahimahullah berkata tentang hadis tersebut, “Sanadnya terputus.” (al-Bidayah wan Nihayah karya Ibnu Rajab hlm. 184-185)

Ekoran percanggahan fakta dalam menentukan hari kelahiran baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang sahih, tidak menjadi masalah jika kita menukilkan pendapat ahli falak. Banyak ahli falak berpendapat bahawa hari kelahiran baginda adalah pada tanggal 9 Rabiul Awal, seperti al-Ustaz Mahmud Basya al-Falaki, al-Ustaz Muhammad Sulaiman al-Manshur Fauri (Sebagaimana dinukil oleh Sofiyurrohman al-Mubarokfuri dalam ar-Rahiqul Makhtum hlm. 62), dan al-Ustaz Abdullah bin Ibrahim bin muhammad as-Sulaim, beliau mengatakan,

“Dalam kitab-kitab sejarah dan sirah dikatakan bahawa Nabi sallallahu’alaihi wa sallam lahir pada hari Isnin tanggal 10, atau 8, atau 12 dan ini yang dipilih oleh majoriti ulama. Telah tetap tanpa keraguan bahawa kelahiran baginda adalah pada 20 April 571 M (tahun Gajah), sebagaimana telah tetap juga bahawa baginda wafat pada 13 Rabiul Awal 11 H yang bertepatan dengan 6 Jun 632 M. Selagi tanggal-tanggal ini telah diketahui, maka dengan mudah dapat diketahui hari kelahiran dan hari wafatnya dengan jitu, demikian juga usia Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Dengan mengubah tahun-tahun ini pada hitungan hari akan di temui 22.330 hari dan bila diubah ke tahun qamariyyah akan diketahui bahawa umur baginda adalah lebih kurang 63 dan lebih tiga hari. Dengan demikian, hari kelahiran baginda adalah hari Isnin, 9 Rabiul Awal tahun 53 sebelum hijriah, bertepatan dengan 20 April 571 M. (Taqwimul Azman hlm. 143, cetakan pertama 1404 H)

Syeikh Ibn Utsaimin berkata, “Sebahagian ahli falak belakangan ini telah meneliti tentang tanggal kelahiran Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan ternyata ianya jatuh pada tanggal 9 Rabiul Awal, bukan 12 Rabiul Awal.” (al-Qaulul Mufid ‘ala Kitab Tauhid: 1/491. Dinukil dari Ma Sya’a wa Lam Yatsbut fis Sirah Nabawiyyah hlm. 7-8 oleh Muhammad bin Abdullah al-Ausyan)

Dengan demikian, apa yang dirayakan oleh sebahagian kaum muslimin pada tanggal 12 Rabiul Awal setiap tahun?

Dikutip dari artikel 8 Faedah Seputar Tarikh Majalah Al-Furqon Edisi 08 th. ke-8 1430 H/2009 M

PENENTUAN TARIKH LAHIR NABI SAW DAN KEPENTINGAN MEMAHAMI SIRAH.

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن سار على نهجه إلى يوم الدين، وبعد.
 PENENTUAN TARIKH LAHIR NABI SAW.
 A)     Tahun Kelahiran:
1-   Pendapat yang masyhur ialah Nabi saw dilahirkan pada tahun Gajah (Aam al-Fil).
2-  Dikatakan setahun selepas tahun Gajah. Ada juga 40 hari selepasnya atau 50 hari selepasnya.
3-  Ada juga yang mengatakan 10 tahun, 23 tahun dan 30 tahun selepas tahun Gajah.
Menjelaskan perbezaan yang ketara ini, al-Imam az-Zahabi mengatakan: “Berkata Abu Ahmad al-Hakim: Nabi saw dilahirkan 30 hari selepas tahun Gajah, sebagaimana pendapat sebahagian ulama’. Katanya lagi, Nabi dilahirkan 40 hari selepas tahun Gajah. Seterusnya, az-Zahabi mengatakan bahawa kesilapan yang berlaku pada mereka yang mengatakan 30 atau 40 tahun, seolah-olah mereka ingain mengatakan hari (yauman) bukan tahun (‘aaman).
Kata as-Suhaili dan Ibnu Kathir: Itulah pandangan yang paling masyhur (Baginda dilahirkan pada tahun Gajah).
B)  Bulan:
1-   Pendapat jumhur ulama’; Baginda saw dilahirkan pada bulan Rabi’ul Awwal.
2-    Di katakan juga Nabi saw lahir pada bulan Ramadhan. Pendapat kedua ini dihukum oleh al-Hafiz Ibnu Kathir sebagai amat gamjil (Gharib Jiddan). [Al-Badayah wa an-Nihayah 2/260].
C)     Hari:
Imam Muslim dalam hadis Sahih Muslim: Apabila Baginda saw ditanya tentang puasa pada hari Isnin, jawab Baginda: “Pada hari itu saya dilahirkan, dan saya dibangkitkan dan saya diwahyukan.”
D)     Penentuan Tarikh Kelahiran Nabi saw
Kata Ibnu Kathir:
1-       Baginda dilahirkan pada 2 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini disebut oleh Ibn Abd Al-Barr dalam kitab ‘Al-Isti’ab’ dan diriwayatkan oleh Al-Waqidi.
2-       Al-Humaidi pula menghikayatkan daripada Ibn Hazm bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 8 Rabi’ul Awwal.
3-       Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 10 Ra bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 8 Rabi’ul Awwal.
4-       Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 12 Rabi’ul Awwal sebagaimana yang di riwayatkan pleh Ibn Ishaq dan di riwayatkan oleh Abi Syaibah dalam Musannafnya daripada Jabir dan Ibn Abbas ra. Kata mereka berdua: (( Rasulullah saw dilahirkan pada tahun Gajah, hari Isnin 12 Rabi’ul Awwal. Pada nya juga Baginda dibangkitkan  menjadi nabi dan padanya Baginda diMikrajkan ke langit, padanya Baginda wafat dan padanya Baginda saw wafat.))  kata Ibnu Kathir: Inilah pendapat yang jumhur di kalangan ulama’. Wallahu a’lam.
5-       Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 17 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini dinaqalkan oleh Ibnu Dihayah, daripada sebahagaian golongan Syiah.
6-       Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 22 Rabi’ul Awwal sebagaimana dinaqalkan oleh Ibnu Dihayah, daripada catatan al-Wazir Abi Rafi’.
7-       Memandangkan riwayat Jabir dan Ibnu Abbas ra yang menyebut kelahiran Baginda pada 12 Rabi’ul Awwal dianggap lemah oleh ahli Hadis. Terdapat kecenderungan untuk mengambil kira perkiraan ahli falaq dalam hal ini. lantaran itu timbul pendapat bahawa tarikh kelahiran Baginda adalah pada 9 Rabi’ul Awwal atau pada malam 9 Rabi’ul Awwal. Mereka yang berpegang dengan pendapat berkenaan adalah seperti berikut:
a) Al-Ustaz Mahmud Basyar al-Falaqi (m 1302H)
b) Al-Ustaz Sulaiman al-Mansurfuri.
Kata Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin: Sebahagian ahli falaq terkemudian telah meneliti tarikh kelahiran Baginda, di mana ianya jatuh pada 9 Rabi’ul Awwal, bukan pada 12 Rabi’ul Awwal.
Pendapat ini dipegang oleh Syeikh Safi ar-Rahman al-Mubarakpuri, berdasarkan penelitian dua tokoh falaq di atas. Tarikh itu bersamaan dengan 20 atau 22 April 571M.
Bagi Prof  Dr Akram al-Umairi, beliau kelihatan lebih memihak kepada pendapat Ibnu Ishaq yang memilih tarikh 12 Rabi’ul Awwal atas alasan Ibnu Ishaq lebih thiqah (dipercayai) berbanding daripada Al-Waqidi dan Abu Mi’syar al-Sindi.
[Tulisan ini diringkaskan dari tulisan Dr Ahmad Najib al-Qari, UM Nilam Puri, dengan tajuk: Isu-Isu Dalam Sirah Nabi Saw. Dipetik dari buku penghayatan Sirah Nabi saw, terbitan Persatuan Alumni Universiti Islam Madinah, Kelantan].  Kata Abu Anas Madani, ‘afalLahu anhu:
Pada penelitian saya, hikmat kenapa Rasulullah saw sendiri tidak menentukan tarikh sebenaranya bila (tidak sebagaimana hari Isnin yang jelas disebut), adalah sama dengan tarikh Kiamat, yang tidak ditentukan bila, cuma disebut akan berlaku pada hari Jumaat. Ianya supaya kita umatnya sentiasa berusaha untuk beramal soleh dan melakukan kebajikan sepanjang masa dan zaman, bukan hanya pada tarikh-tarikh tertentu sahaja. 
Tarikh itu tidak penting dan bukan perkara besar, apa yang pentingnya ialah melahirkan kecintaan kita terhadap Rasulullah saw dengan mengikut segala arahan dan ajarannya dan menjauhkan diri daripada segala larangan dan amarannya.
[Lihat Vidoe Seminar di: http://youtu.be/f5Vev6aOLDA]
Petikan daripada kertas kerja Abu Anas dalam buku ini juga, dengan tajuk: Fiqh Sirah dan Kepentingannya:
Mengkaji sirah Rasulullah saw itu bukanlah seperti kita mengkaji seorang tokoh atau pemimpin biasa atau sekadar kagum dan bermegah dengan ketokohan atau kepemimpinan, tetapi di sana ianya mempunyai hubungan yang erat dengan persoalan mengapa kita beriman kepada Allah, mengapa kita percaya kepada kenabian Muhammad saw, mengapa kita beriman kepada kitab yang diwahyukan kepadanya, mengapa kita mendakwah orang lain supaya beriman seperti berimannya kita, bahkan seterusnya mengapa kita berjihad seperti jihadnya pula.
Bukanlah mempelajari sirah Rasulullah saw itu sekadar mengetahui peristiwa atau sejarah, atau dengan kata yang lain seperti mempelajari sejarah biasa, tetapi tujuan yang sebenar ialah untuk memahami tasawwur Islam yang hakiki, yang dinyatakan oleh batang tubuh dan peribadi Rasulullah saw dan para sahabat r.a. yang mendampingi dan mengelilinginya khususnya dizaman pembentukan iman dan tuntutannya didalam diri setiap individu, rumahtangga, masyarakat dan negara (samada yang berhubungan dengan akidah atau Syariat dan juga nizam serta akhlak).
Disana jelas kepada kita sirah Rasulullah saw bukanlah sekadar cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari jadi, memuja umur, pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata atau membentangkan “slogan-slogan” yang ditulis pada sepanduk-sepanduk. Justeru hubungan seorang muslim yang sebenar dengan Rasulullah saw itu adalah ke arah Islam tulen dan bukanlah Islam yang tiruan dan bohong.
Maka apa yang dibaca dan didengar tentang Rasulullah saw dan para sahabat r.a semata-mata untuk memahami, mendekati dan menghayati sunnah Rasulullah saw didalam kehidupan dan persediaan untuk kembali kepada Allah SWT samada semasa perang atau damai, didalam ilmu dan amal atau didalam ibadah dan adat.
[Lihat: http://www.abuanasmadani.com/?p=526 ] Kepada orang-orang yang meneruskan perjuangan dengan slogan-slogan, dengan nasyid-nasyid atau sekadar memuji dan memuja hanya dengan lidah yang tidak bertulang dan dengan dakwah “cair” itu, kita peringatkan dengan firman Allah SWT:
{ وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهِ أَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلا شَفِيعٌ وَإِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لا يُؤْخَذْ مِنْهَا أُولَئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ } الأنعام (70)
Maksudnya: {Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka, kerana perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula pemberi syafa’at  selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, nescaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu.}[Al-An’am: 70] [Lihat: Muqaddimah kitab: Fiqh Al-Harakah, DSTG Abdul Hadi Awang; 3-5]”.
Sekian.
Akhukum:
Abu Anas Madani,
PSD, 11 Rabi’ul Awwal 1433H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan