Rabu, 18 November 2015

HUKUM ZIHAR ...BANYAK YANG TERLEPAS PANDANG

Hukum Berkaitan Dengan Zihar

ISU: Apakah hukum suami mengatakan " comelnyer baby ayah....bontot leper mcm ibu" adakah jatuh zihar?
PENJELASAN:
Zihar bermaksud, "Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak ba'in dengan wanita lain yang haram dikahwininya." (al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, jil. 3, hlm. 229). Rukun dan syarat zihar ialah (Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam mar'ah, jil. 8, hlm. 286-303):
1) Rukun zihar pertama ialah suami: Suami melafazkan kalimah yang mengandungi maksud zihar kepada isteri dengan menyamakan anggota isteri dengan anggota wanita lain yang haram dikahwini oleh suami tersebut.
2) Rukun zihar kedua ialah isteri. Ditujukan lafaz zihar itu kepada isteri dengan menyamakan anggota isteri dengan anggota wanita lain yang haram dikahwini oleh suami tersebut. Sama ada isteri itu masih isteri yang sah daripada perkahwinan yang sah, atau masih berada dalam iddah talak raj'i (talak satu).
3) Rukun zihar ketiga ialah wanita yang disamakan dengannya: Wanita yang disamakan anggota badannya dengan anggota badan isteri adalah wanita yang haram dikahwini oleh suami yang melafazkan, sama ada ibu, anak perempuan, makcik (adik beradik perempuan kepada ibu atau bapa), dan wanita lain yang diharamkan berkahwin dengannya sampai bila-bila.
4) Rukun zihar keempat ialah lafaz zihar: Suami menggunakan lafaz yang menunjukkan maksud zihar.
Merujuk kepada isu yang dibangkitkan, suami mengatakan " comelnyer baby ayah....bontot leper mcm ibu". Ayat tersebut difahami, suami menujukan lafaz itu kepada anak perempuannya, bukan kepada isterinya. Maka ia tidak memenuhi syarat kedua, kerana zihar ialah suami menujukan lafaz kepada isteri. Oleh itu, dalam kes ini, tiada kaitan dengan zihar.
Fatwa yang hampir sama dengan soalan yang dikemukakan ialah:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Jamadilawal 1423 bersamaan 30 Julai 2002 telah membincangkan mengenai Hukum Zihar Di Kalangan Umat Islam Melayu Di Malaysia. Alhamdulillah fatwanya: "Sekiranya suami menyamakan anggota badan isteri dengan mahramnya (orang yang haram dinikahinya) tanpa niat zihar dan untuk tujuan bergurau atau penghormatan maka ia tidak jatuh zihar, tetapi jika ada niat zihar, maka jatuhlah hukum zihar. Walaubagaimana pun budaya atau amalan seperti ini hendaklah dijauhi. " Wallahua'lam







HUKUM ZIHAR
RUKUN ZIHAR
1. Suami
2. Isteri
3. Perkara yang diserupakan
4. Lafaz zihar

PERINCIAN
Rukun Pertama: Tidak disertakan kerana meyakini ianya jelas
Rukun Kedua: Tidak disertakan kerana menyakini kejelasannya
Rukun Ketiga: (Perkara yang diserupakan)

Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami:
Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :-
1. Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram. Contoh punggung, perut, kemaluan di sekitarnya dan yang seumpama dengannya. Penyamaan dengan tangan, kepala, kaki, rambut, dan lain-lain . Demikian pandangan kebanyakan ulama, Ulama Hanbali dan Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173) Pandangan yang rajih adalah pandangan jumhur.

2. Mestilah anggota-anggota ini daripada wanita yang diharamkan berkahwin dengan si lelaki sama ada tahrim secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti Ibu, Anak, Adik beradik, Pak cik, Mak cik dan lain-lain yang berkaitan. Selain pandangan mazhab utama, ia juga pandangan Hasan al-Basri, Ato Abi Rabah, As-Syabi, An-Nakhaie, Al-Awzaie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu Ubaid, Abu Thaur.

Pandangan Imam Syafie dalam 'qawl qadim: Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. Tetapi Qawl Jadid Imam Syafie memindanya ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu, 19/45)

Manakala yang tidak muabbad seperti wanita asing, adik beradik perempuan bagi isteri dan lain-lain. Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah 4/500; Ad-Dusuqi ala syarh al-Kabir 2/439; Ashal al-Madarik 2/169; Kifayatul akhyar 2/71)

Ulama Maliki menambah bahawa binatang juga termasuk dalam kategori yang tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia tidak boleh berhubungan jenis dengan binatang. Maliki juga mensabitkan zihar kiranya menyamakan rambut isteri dengan rambut ibu dan lain-lain. Manakala jumhur tidak berpandangan sekian. (Ad-Dusuqi ala syah al-Kabir, 2/439)

Syarat yang diperselisihkan :-
* Mestilah diserupakan dengan anggota wanita.
Kiranya ditasybihkan dengan lelaki seperti Belakang atau Punggung kamu seperti belakang atau punggung bapaku. Ulama Hanafi dan Syafie mengatakan TIDAK JATUH ZIHAR.

Bagaimanapun Ulama Hanbali dan Maliki mengatakan JATUH ZIHAR DENGAN SYARAT MENYAMAKAN DENGAN SEBATANG ANGGOTA YANG TIDAK HALAL DILIHAT SEPERTI PERUT, PEHA, KEMALUAN, PUNGGUNG dan lain-lain yang seerti. Kiranya menyamakan dengan kepala bapa, rambut, hidung dan lain-lain, TIDAKLAH DIANGGAP ZIHAR (Lihat ashal al-Madarik 2/170; Juga al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah, 4/499). Semua mazhab mempunyai dalil masing-masing.

Ulama Syafiiyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)

Rukun Keempat: Sighah (Lafaz Zihar)
Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :-
a. Perlu kepada niat, kiranya ia dibuat secara Kinayah (tidak jelas). Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti: Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda. Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari.

Kinayah pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermkasud zihar tapi mungkin juga tidak seperti: Dinda ni seperti bondaku. Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami.

Lafaz ini telah ijma di kalangan ulama tentang sabit zihar. Demikian menurut Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh Najib al-Mutie, 19/44)

b. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang memberi pengertian semasa.
Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertain semasa seperti : Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda

Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti : Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka Perut Dinda seperti perut bondaku

Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti : Punggung Dinda seperti punggung bondaku sehingga awal tahun depan atau Perut Dinda seperti perut bonda Kanda dalam masa sebulan .

Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah al-Mujtahid 2/117; Matolib Uli An-Nuha 5/507 )
c. Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita samada secara juzu atau sepenuhnya. (Bahagian yang diharamkan lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). ( Lihat BadaI as-Sanai , 5/2129 )

HUKUM SETELAH JATUH ZIHAR
Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit :
Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar kifarat. Ini adalah pandangan jumhur. Menurut tertibnya kirafat adalah membebaskan seorang hamba, puasa atau memberikan sedekah. Dalilnya adalah daripada Firman Allah SWT surah al-Mujadalah ayat 58.

Manakala istimta (bersedap-sedap, berseronok-seronok), sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim Wasail) di sisi ulama Hanafi dan Maliki ( BadaI as-SanaI, 5/2132; Ashal al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah at-Tolibin 8/270; Fath al-Jawad 2/187; Ianah at-Tolibin 4/37)
Pandangan yang rajih adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail, kerana dibimbangi akan tergelincir ke persetubuhan. Pandangan lebih selamat bagi fatwa untuk orang awam. Kiranya sangat yakin tidak akan tergelincir dan tidak dapat menahan kesabaran hingga dibimbangi memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh.

Kesimpulan Jawapan Terhadap Soalan (Mengambil Pandangan yang Rajih)

1. Hanya jatuh (sabit) Zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu, nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami berkahwin dengannya secara kekal sama ada secara Keturunan, Susuan mahupun Musoharah.

2. Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit zihar iaitu Seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit zihar.

3. Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan suara, rupa dan sebagainya.

4. Istimta dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar kifarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail. Dibimbangi akan terlanjur.

JUSTERU, MENYAMAKAN RUPA, HIDUNG ISTERI DENGAN RUPA DAN HIDUNG ANAK TIDAKLAH JATUH ZIHAR, BAGIAMANAPUN MENYAMAKAN PUNGGUNG ISTERI DENGAN PUNGGUNG ANAK PEREMPUANNYA, SABIT JATUH ZIHAR. Walaupun si suami tidak berniat. Masalah Kejahilan tentang hukum ini, mempunyai perbincangan yang lain yang agak panjang, kesimpulannya, menurut Tuan Guru kami As-Syeikh Prof. Dr. Muhd Uqlah al-Ibrahim, tiada keuzuran terhadap kejahilan. Menjaid kewajiban suami isteri sebelum berkahwin mengetahui hal yang berkaitan dengan hubungan suami isteri. Wallahu alam.  
 HUKUM ZIHAR
Soalan
Baru-baru ini saya terbaca di dada akhbar tentang hukum zihar (menyerupakan anggota isteri dengan anggota tubuh mahram suami). Boleh ustaz beri penjelasan tentang hukum zihar sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran.
Jawapan
Berdasarkan huraian dalam penilaian hukum Syarak, terutama Mazhab Syafie, zihar biasanya didefinisikan sebagai membuat perbandingan sama antara mana - mana anggota yang sama bagi mana-mana mahram suami.
Dalam tradisi masyarakat Arab Jahiliah, ia merupakan cara terhormat bagi menceraikan isteriIa memberi erti pengharaman apa-apa hubungan suami isteri sama haramnya dengan mahramnya sendiri seperti ibunya.  Sebab itulah istilah yang digunakan bagi tindakan tersebut adalah 'belakang' sebagai bandinganKes ini berlaku kepada Khaulah binti Sa'labah oleh suaminya Aus bin Samit.
Merujuk kembali kepada tradisi ini, zihar merupakan satu cara menceraikan isteri pada waktu itu. Caranya ialah membuat satu pernyataan bahawa isterinya itu haram baginya samalah seperti haram belakang ibunyaDalam  menafsirkan tentang zihar ini, para ulamatidak begitu sependapatIni kerana Al- Quran dan Sunnah tidak menerangkan secara terperinci apa sebenarnya zihar itu.
Sekiranya perkara ini berlaku maka talak bain kubra akan jatuh atau mesti membayar kirafah (memerdekakan hamba, berpuasa dua bulan berturut-turutmemberi makan enam puluh fakir miskinsebagai denda terhadap perbuatan tersebutSebenarnya zihar dalam konteks masyarakat Malaysia sekarang perlu dihuraikan berasaskan kepada semangat yang terdapat makna zihar itu sendiri pada zaman jahiliah sebagaimana yang terdapat dalam  Al- Quran dan Sunnah.
Ringkasnya, kalau setakat membandingkan mulut isteri dengan mulut ibu suami, gigi dan sebahagian anggota bukan atas roh ingin menceraikan maka ianya  belum dikatakan sebagai zihar.  ( Rujuk:  Buku Anda Bertanya Saya Menjawab Tentang Masalah  Agama - Prof  DatoMahmood Zuhdi ms 116).
Alasannya ialah masyarakat  melayu tidak tidak pernah menggunakan cara ini untuk bercerai dan pemakaian 'bahasaitu tidak melambangkan niat@ erti sebenar cuma ianya atas aspek kecantikan.


Masalah Zihar Isteri...Banyak berlaku tanpa disedari...

Zihar pada segi bahasa ertinya bahagian-bahagian belakang tubuh badan hingga ke belikat. Di situlah segala bebanan ditanggung oleh manusia. Pada segi istilah syarak, ertinya suami yang telah menyerupakan juzuk tubuh badan isteri dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya.
Allah swt sangat melarang keras bagi suami yang menyamakan isteri mereka dengan muhramnya sebab isteri bukanlah orang yang melahirkan mereka sebaliknya si isteri itu adalah orang yang melahirkan anak-anak mereka. Sesiapa yang telah melakukan zihar sesungguhnya telah melakukan pengkhianatan terhadap rumahtangganya.
Allah swt telah berfirman yang maksudnya:
“Orang-orang yang menzihar isteri di antara kamu,(menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya (mengziharkan) perkataan yang mungkar dan dusta. Dansesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”Surah Mujadalah:2
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang duahati di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri….” Surah Al Ahzab: 4
Menurut adat kebiasaan Arab jahiliah apabila si suami menziharkan isterinya maka tercerailah suami isteri itu dan tidak boleh bersama kembali (tidak boleh rujuk) buat selama-lamanya. Tetapi setelah datangnya Islam maka amalan ini dihapuskan yang mana zihar tidaksampai bercerai suami isteri tetapi dilarang pergaulan(jimak) suami isteri sehingga suami membayar kifarah.
Contoh perkataan yang boleh terjatuhnya hukum zihar ialah, seperti kata suami kepada isterinya:
“Jari awak yang runcing ni saling tak tumpah macam jari mak abang tu.”
“Muka ayang ni macam muka Siti, cucu kita anak si Mohd Ghazali tu.”
Tidak jatuh hukum zihar kalau suami menyamakan muhramnya dengan isteri. Begitu juga halnya kalau disamakan dengan rambut, kuku, air mata, air susu,gigi, air liur atau peluh kerana ia adalah lebihan anggota badan.
Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun iaitu:
1. Suami yang sah
2. Isteri yang sah
3. Orang yang diserupakan dengan isteri (muhram suami).
4. Lafaz samada secara terang-terangan atau sindiran
melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.
Sila ambil perhatian, siapakah muhram suami itu? Hanya ada tiga golongan sahaja muhram suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:
Sebab keturunan
a. Ibu kandung.
b. Anak perempuan.
c. Adik-adik beradik perempuan suami samada seibusebapa, seibu atau sebapa;
d. Nenek kandung hingga ke atas
e. Anak saudara perempuan iaitu anak kepada adikberadik lelaki atau perempuan suami yang seibu sebapa,seibu atau sebapa;
f. Nenek saudara seibu sebapa. Seibu atau sebapa
g. Cucu-cucu perempuan samada dari anak lelaki atau perempuan hingga ke bawah.
Muhram berambil-ambilan
Hanya ibu tiri sahaja yang tidak boleh disama kandengan isteri. Masalah ini terbahagi dua, ayah kita kahwin dua (emak kita bermadu) tapi semasa itu kita belum lahir lagi ke dunia. Contohnya, ketika itu kita masih di dalam kandungan ibu, ayah kita kahwin seorang lagi. Lahir-lahir sahaja ke dunia, ibu tiri telah menjadi ahli keluarga kita. Maka hanya ibu tiri ini sahajalah yang tidak boleh disamakan dengan isteri..Seaindainya ayah berkahwin lagi sewaktu kita sudah pandai merangkak maka tidak jatuh hukum zihar disamakan si isteri dengan ibu tiri tersebut.
Perlu diingat bahawa anak perempuan tiri, menantu perempuan atau ibu mertua tidak akan jatuh zihar jika isteri disamakan dengan mereka sebab muhramnya datang kemudian.
Ibu susu ramai terdapat di kalangan bangsa Arab dan jarang sekali berlaku di dalam bangsa kita. Amalan ini elok dilaksanakan, ianya bertujuan untuk menyihatkan akal fikiran dan pertumbuhan si anak.
Seelok-eloknya carilah dua tiga orang ibu susuan sepertimana Rasulullah saw. Baginda telah disusukan oleh Halimatun Saadiah dan Thuwaibatul Islamiah.
Pendapat ulama Syafie, seseorang anak itu boleh dijadikan anak susu selagi usianya belum dua tahun dengan syarat lima kali kenyang. Tanda anak itu kenyang bila dia terlena dan melepaskan hisapan dariibu susunya. Jika suami menghisap susu isteri, suami tidak akan menjadi orang sesusuan.
Muhram secara ridha’ (susuan)
Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susukepada ayah atau ibu si suami). kerana semasa ayah atau ibu si suami menyusu kepada ibu susuannya, ia belum lahir ke dunia.
Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan si suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke dunia. Begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan si isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayahsusu.
Lengkaplah hukum zihar apabila telah memenuhi rukun yang keempat iaitu lafaz atau sighah. Lafaz ini mengandungi tiga bahagian iaitu:
1. Perkataan yang nyata ataupun secara sindiran(kinayah). Kalau berlaku secara sindiran ianya berkehendakkan niat. Sekiranya ada niat untukmenyamakan isteri dengan muhram suami
maka barulah jatuh hukum zihar.
2. Tulisan (surat) Contohnya: “Menemui adinda yang dikasihi, sepanjang permusafiran ini yang entah bila pulangnya ini, abang selalu terkenangkan adinda. Wajah adinda saling tak tumpah macam rupa anakanda Siti Khadijah…..” Secara automatik jatuhlah hukum zihar kerana si isteri telah disamakan dengan anak perempuan mereka.
3. Isyarat ditujukan kepada orang bisu dengan syaratianya boleh difahami.
Denda dan kafarah bagi suami yang mengziharkan isteri :
Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu.Firman Allah swt yang bermaksud:
“orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur.Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berfirman lagi yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur.Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukumAllah dan orang-orang kafir ada baginya siksaan-sikaaan yang amat pedih.”
Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.
Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.
Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansukh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua.
Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.
Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa,dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya.Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.
Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga.
Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hariakan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.
Dan tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (untuk mengelak kafarah atau dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujukkembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yangdilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan,satu dosa dan kemungkaran.
Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu,ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak kita sedari,entah berapa banyak dosa2 yang telah dikumpulkan.Nauzubillah..
Akhir kata dari saya, di dalam membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Si isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami. Bimbang kalau sisuami jahil dalam bab ini atau terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukum zihar. Kadang-kadang kerana peramahnya mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.

~dipetik dan diolah berdasarkan pemahaman penulis dari kitab faru'ul masail dan syarah qanun ahwal syaksiyyah,Dr Mahmud Ali Sarthowi..

~Alfun syukran kepada Dr Ali Az-Zuqaili tersayang yang mengajarku subjek Ahwal syaksiyyah zawaj dan talaq...barokallahu fiikum..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan