Rabu, 11 Jun 2014

TIADA SIJIL HALAL

Pakatan Rakyat Johor gesa RUU LPHJ ditangguh

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Johor menggesa agar Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dibentangkan Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini ditangguhkan bagi membolehkan beberapa pindaan penting dibuat.
Pesuruhjaya PAS Johor,  Aminolhuda Hassan berkata, walaupun pada dasarnya PAS Johor bersetuju dengan beberapa pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu, masih terdapat beberapa perkara terutama berhubung dengan keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah LPHJ memerlukan penelitian lanjut.
"Kita menyokong semangat yang ada dalam RUU tersebut, bagaimanapun beberapa pindaan perlu dibuat untuk kebaikan rakyat dan negeri ini.
"Sehubungan itu kita pohon agar RUU ini ditangguhkan pembentangannya dan dibawa semula ke dalam dewan setelah pindaan dibuat," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily seusai sidang Dun Johor.
Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani berkata, antara kelemahan yang dikenal pasti dalam Fasal 4 RUU berkenaan adalah ketiadaan wakil daripada Kerajaan Persekutuan seperti mana yang wujud dalam Perbadanan Johor (JCorp).
PAS Johor berpendapat, wakil Kerajaan Persekutuan penting dalam LPHJ bertujuan memberikan nasihat dalam perkara-perkara tertentu yang negeri tiada mempunyai kepakaran.
Semalam, PAS Pusat menyatakan pendirian agar institusi raja tidak dibabitkan dalam urusan eksekutif khususnya LPHJ bertujuan menjaga martabat institusi raja berpelembagaan yang diamalkan di negara ini.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, PAS konsisten bahawa sistem raja berpelembagaan harus dipertahankan.
Menurut Mohamad, sebarang tindakan mengheret institusi raja ke dalam urusan eksekutif akan merendahkan martabat dan mencemarkan institusi raja berpelembagaan di negara ini.
Beliau menambah, kuasa eksekutif dalam menentukan hal berkaitan tanah dan perumahan perlu dikekalkan.
Mengulas isu yang sama, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat berkata, tindakan Kerajaan Johor  yang berhasrat membabitkan sultan secara terus dalam pentadbiran adalah sesuatu yang membimbangkan.
"Tindakan ini bakal mengheret institusi Diraja Johor ke situasi yang terdedah kepada kritikan luar yang serius.
"Fungsi legislatif dan eksekutif perlu terus kekal dalam konsep negara Raja Berperlembagaan. Maka lebih baik RUU ini ditangguhkan terlebih dahulu," tegas beliau. - HARAKAHDAILY, 9/6/2014

[BERITA] Seorang Doktor Ditemui Mati Tanpa Pakaian Di Tandas Hospital

Alor Gajah: Seorang doktor lelaki atas panggilan (on call) di Hospital Alor Gajah telah ditemui mati di dalam tandas bilik doktor di sini, pagi ini.

Difahamkan badan doktor berusia 29 tahun yang berasal dari Petaling Jaya itu telah ditemui pada kira-kira jam 9:00 pagi oleh kakitangan hospital selepas mereka terpaksa membuka pintu tandas yang dikunci dari dalam.

Menurut sumber hospital, doktor tersebut ditemui terbaring tanpa seurat benang di atas lantai bilik air di dalam bangunan itu.

Doktor tersebut mula bekerja di Hospital Alor Gajah kira-kira dua bulan lalu. Dia berada di atas pangglan malam tadi hingga awal pagi ini.

"Difahamkan bahawa pada kira-kira 6:30 pagi, doktor berkenaan telah menerima panggilan kecemasan dari wad pediatrik dan dia telah pergi untuk menyelesaikan kes berkenaan sebelum kembali semula ke bilik doktor untuk berehat.

Pada jam 8:30 pagi, terdapat satu lagi panggilan untuknya tetapi dia tidak dapat ditemui dan panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Pegawai hospital kemudian memaklumkan kepada Pengarah Hospital Alor Gajah, Dr Suraidah Karim.

Kakitangan hospital kemudian memeriksa tandas di dalam bilik doktor di atas panggilan dan mendapati bahawa bilik air itu terkunci dari dalam, kata sumber itu.

Kakitangan hospital telah memecahkan pintu bilik air tersebut dan mendapati mangsa yang berbaring kaku tanpa seurat benang di atas lantai.

Kakitangan hospital telah cuba memberi pertolongan kecemasan kepada mangsa tetapi dia telah diisytiharkan mati di tempat kejadian," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Penguasa Mohamad Laham berkata mangsa dipercayai terjatuh dari mangkuk tandas.

Kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika dia memasuki bilik panggilan doktor oleh kakitangan hospital pada jam 6:45 pagi," katanya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat.

Pertuduhan dipinda, Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Lima daripada tujuh pertuduhan ke atas Mejar Zaidi Ahmad yang sebelum ini diketepikan selepas bantahan awal pembelaan, dipinda dan dibaca sebagai pertuduhan baru hari ini.

Zaidi yang juga Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di Mahkamah TUDM di Sungai Besi pagi ini.

Semua pertuduhan berkait dengan dakwaan beliaui memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini, lima pertuduhan yang diketepikan dibuat mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972.

Bagaimanapun kesemua pertuduhan itu hari ini dipinda kepada Seksyen 51 akta sama.

Hari ini mahkamah sepatutnya turut mendengar dua lagi pertuduhan yang tinggal iaitu menghantar SMS berbaur politik ketika PRU13.

Peguam mewakili Zaidi, Mohamed Hanipa Maidin berhujah bahawa adalah tidak adil untuk meminda pertuduhan terhadap anak guamnya apabila lima pertuduhan telah diketepikan sebelum ini.

Sambil menyifatkan ianya satu tindakan prejudis, Hanipa turut memohon semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi bagi membatalkan tuduhan yang dipinda itu.

Yang Dipertua Mahkamah Kolonel Saadon Hasnan bagaimanapun menangguhkan perbicaraan kepada jam 9 pagi esok selepas pihak pendakwaan memohon masa untuk membuat persiapan akhir.

Selain Saadon, lima lagi anggota mahkamah yang mendengar kes tersebut adalah Lt Kol Zainurin Mohd Dom, Mejar Mohd Khuzairi Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S. Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang dan di Pangkalan Udara Butterworth antara 1 Mei dan 3 Mei 2013.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Kongsi gelap: Zahid jangan sekadar cakap politik

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakui amaran beliau kepada kumpulan kongsi gelap telah membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

"Mereka menjangkakan majoriti di Teluk Intan daripada 12,000 turun ke 6,000, turun ke 2,000. Alhamdulillah kita dapat majoriti 238.

"Saya beri amaran pada kongsi gelap kerana saya tahu muka setiap seorang itu, apa yang dilakukan.

"Disebabkan amaran itu mereka tidak campur tangan langsung daripada segi mengugut, mengarah, dan memberi amaran kepada pengundi di Teluk Intan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar di Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz meminta Ahmad Zahid menjelaskan adakah tangkapan dilakukan pihak polis berhubung amaran yang dilakukan beliau ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Beliau berkata terdapat maklumat memberitahu pihak lain mengaut keuntungan melalui pilihan raya kecil itu.

"Kalau menteri kata ada kumpulan kongsi gelap dan boleh beri amaran agar tidak masuk campur, saya nak tahu berapa orang yang ditangkap.

"Saya tidak mahu ugutan atau kongsi gelap ini hanya mainan politik semata-mata, kalau betul ada tangkap je terus jangan bagi amaran je," kata Mahfuz. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Tazkirah, qiam & solat Subuh sempena Piala Dunia 2014

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Sempena demam Piala Dunia 2014 yang akan berlangsung beberapa hari lagi, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Santai Kaki Bola khusus untuk para peminat bola sepak dalam menyambut kehadiran kejuaraan dunia yang bertandang empat tahun sekali itu.
Program yang bakal diadakan pada 11 Jun itu berlangsung di Restoran Awwal Maju, Taman Sri Rampai, Setiawangsa mulai jam 9 malam.
Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir. Khairil Nizam Khirudin (gambar), pada majlis itu akan diadakan pertandingan permainan komputer 'FIFA'.
“Setiap peserta akan beradu kehandalan bermain bola sepak di alam maya. Pertandingan ini akan diadakan di restoran tersebut dan akan ditayangkan menggunakan layar lebar. Selain itu, turut diadakan adalah acara timbang bola sepak dan acara menjaringkan gol menggunakan kaki belakang,” katanya.
Program sambutan Piala Dunia 2014 itu, ujar beliau akan diteruskan dengan acara menonton perlawanan yang berlangsung setiap hari di Markaz Amal WP, No 21, Jalan Pria, Taman Maluri, dekat sini.
“Apa yang menarik dalam program menonton beramai-ramai ini ialah diadakan tazkirah ringkas, qiam dan solat subuh beramai-ramai.
“Ianya bertujuan untuk mendidik jiwa-jiwa muda ini untuk bangun malam bukan semata-mata kerana bola tetapi juga untuk beribadah kepada Yang Maha Esa. Itulah yang ingin diterapkan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ‘kaki bola’ di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur khususnya untuk beramai-ramai hadir di dua program di atas.
Khairil berharap program yang diadakan ini bukan sahaja mampu memberikan kepuasan buat peminat bola sepak bahkan berupaya mendekatkan anak-anak muda kepada Allah SWT.
“Ayuh kita hangatkan hati nurani kita bersama Allah SWT seiring hangatnya sambutan Piala Dunia 2014!” ujarnya bersemangat. – HARAKAHDAILY, 10/6/2014

Batal pertuduhan 25 pelajar, mansuh Auku

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/Akta 174 (GMMA/174) menggesa agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi menyemak dan meneliti tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran 1976 (Akta 174)

Gesaan itu antara terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dan BN di lobi parlimen pagi tadi.

Pengerusinya, Khairol Najib Hashim memberitahu setiap ahli parlimen perlu mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pihak universiti yang menggunakan Auku dan Akta 174 ke atas 25 mahasiswa.

"Kita mahu ke semua ahli parlimen menggesa Naib Censelor universiti terbabit agar membatalkan segala pertuduhan, hukuman dan prosiding tatatertib terhadap mereka secara serta merta," katanya.

Beliau mengulas kes 25 pelajar yang dikenakan prosiding tatatertib oleh pihak universiti, tiga darinya dari Universiti Malaysia Sabah kampus Antarabangsa Labuan yang telah digantung pengajian satu semester, lapan dari universiti sama diberi amaran serta dibuang dari kolej kediaman dan lima masih lagi dalam prosiding.

Sementara itu, lapan dari Universiti Malaya (UM) telah diberi surat tunjuk sebab kerana menyertai himpunan tanpa kebenaran pihak berkuasa di hadapan parlimen pada 8 April lalu.

Seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara Kota Kinabalu (UiTM KK) pula didapati bersalah dan diberi amaran kerana membuat kenyataan di facebook yang mengugat kepentingan UiTM dan menyertai perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran UiTM.

Khairol Najib dalam kenyataannya turut meminta agar kerajaan segera memansuhkan Auku, Akta 174 dan semua akta yang mengekang kebebasan hak asasi mahasiswa bagi mengembalikan autonomi universiti.

GMMA/174 turut mendapat sokongan 19 NGO termasuk dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Menuntut Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih 2.0), Global Movement Moderates (GMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Pro Mahasiswa Nasional (ProM). - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Ketua aktivis PPIM didakwa cederakan aktivis pengguna

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (gambar) dan seorang ahli persatuan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang aktivis pengguna, Mac lalu.
             
Nadzim, 54, dan Tengku Faezah Raja Fuad, 32, kedua-duanya Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azura Murah.
             
Kedua-dua mereka didakwa mencederakan Adam Mikail, 43, yang juga pemegang kerakyatan tetap di Perancis, di Tingkat 3, Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, di sini pada pukul 12 tengah hari, 28 Mac lalu.
             
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
             
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah bahawa tidak perlu ada sebarang jaminan kerana kes ini membabitkan kes saman.
             
Bagaimanapun, beliau berkata pihak pendakwaan berharap kedua-dua mereka akan hadir pada setiap tarikh yang ditetapkan mahkamah.
             
Mahkamah kemudian melepaskan mereka yang diwakili peguam Hasnal Rezua Merican tanpa sebarang jaminan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

'Bihun Istimewa' cap masjid tiada sijil halal

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: 'Bihun Istimewa' cap masjid keluaran sebuah kilang di sini tidak mempunyai sijil halal yang sah, demikian menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.  
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata produk bihun itu mengguna pakai logo halal sendiri pada pembungkusan dan ia bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.              
Kenyataan itu dikeluarkan di laman web Jakim berikutan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun istimewa yang kotor dan jijik di laman sosial, hari ini.        
Mengenai kicap 'ABC Saus Manis' yang didakwa menggunakan botol arak, Hakimah memaklumkan produk tersebut adalah tiruan dan tidak menggunakan logo halal Jakim.
"Produk tersebut dikilangkan semula di kilang yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berdasarkan aduan orang awam," katanya.         
Hakimah berkata produk 'ABC Saus Manis' yang asli dikilangkan di Indonesia dan mempunyai pengesahan halal daripada badan pensijilan halal Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang diiktiraf Jakim. - Bernama

Mengapa bercakap tentang hudud setelah jadi pembangkang?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Umno diminta melaksanakan hudud di negeri-negeri yang diperintah oleh BN dan bukannya mengusulkan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah itu ketika menjadi pembangkang, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad.
Mengulas usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik agar Dewan Negeri Selangor menggesa kerajaan negeri mengkaji keberangkalian melaksanakan undang-undang hudud, Iskandar menyifatkannya sebagai “hanya bermain politik”.
“Kenapa baru sekarang Umno hendak cadang bentang di Dewan? Mereka ada lebih 50 tahun (memerintah Selangor) tetapi tidak melakukannya?
“Hanya setelah mereka menjadi pembangkang di Selangor barulah mereka hendak bercakap tentang hudud?” ulas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurut beliau, PAS telah mengadakan penerangan kepada rakyat tentang hukum jenayah syariah dan meluluskan enakmen berkaitan sebaik sahaja mendapat kuasa di Kelantan.
“Di Terengganu pula, kerajaan BN negeri telah menolak pelaksanaan hudud di negeri itu,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekali lagi menegaskan bahawa Umno perlu melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri yang dikuasai mereka jika benar-benar ikhlas ingin mendaulatkan syariat Islam dan tidak hanya bermain politik.
Kamarol Zaki dilapor telah menghantar usul kepada Dun Selangor agar kerajaan negeri digesa mengkaji kemungkinan melaksanakan hudud.
Salinan usul yang dicadangkan di bawah peraturan 26 Peraturan Tetap Dun itu menyebut:
“Bahawa dewan yang mulia ini menggesa agar kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.” - HARAKAHDAILY, 10/6/2014


Selasa, 10 Jun 2014 08:05

Adakah pemecatan pengerusi Bank Rakyat ada kaitan dengan PEMBUNUHAN ALTANTUYA?

Oleh Badrul Hisham Shaharin
Baru - baru ini Malaysia dikejutkan dengan kenyataan Tan Sri Sabaruddin Chik yang 'dipecat' dari kerusi Pengerusi Bank Rakyat. Pemecatan Sabaruddin dikatakan berkait rapat dengan kegagalan beliau menyakinkan semua lembaga pengarah untuk meluluskan pinjaman sekitar RM40 juta (ada sumber menyebut RM32juta) tanpa faedah selama 30 tahun.
Apa yang menariknya ialah pinjaman tersebut adalah untuk seorang ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishnan. Tentu Malaysia tidak lupa bagaimana beliau muncul mendedahkan bagaimana beliau terlibat dalam operasi pembunuhan Altantuya seorang gadis yang terkait dengan skandal pembelian kapal selam negara yang mana ketika pembelian tersebut Najib Tun Razak (suami Rosmah) merupakan Menteri Pertahanan.
Deepak cukup rapat dengan Rosmah sehinggakan wujud sebuah 'novel pendek' bertajuk Ros Hitam yang dikatakan ditulis oleh Deepak menceritakan detik pembunuhan Altantuya dengan mendedahkan sekali dokumen (resit) pembelian barang kemas yang berkaitan watak Ros Hitam (watak yang difahami umum merujuk kepada Rosmah).
Pendedahan Deepak diketahui kerana janji laluan atau bantuan perniagaan kepadanya yang tidak ditunaikan. Ia jelas dengan bagaimana serentak dengan itu ia membuat pendedahan berkenaan rundingan tanah dan seumpamanya.
Namun selepas itu Deepak diam semula. Maka persoalan muncul adakah dia sudah mendapat habuan tertentu?
Kemudian, apabila muncul kenyataan Pengerusi sebuah bank dipecat ekoran kegagalan menyakinkan lembaga pengarah untuk memberikan pinjaman mudah tanpa faedah selama 30 tahun berkaitan Deepak sudah tentu semua akan tertanya - tanya, adakah ini sebahagian dari pakej tutup mulut terhadap apa yang berlaku ?

Najib harus tampil menjelaskan sekali lagi perkara ini. Sampai bila keselamatan negara termasuk wang rakyat menjadi taruhan terhadap misteri pembunuhan yang tidak selesai.
Tahukah kita juga kes pembunuhan Altantuya di mahkamah juga tergantung apabila rayuan di Mahkamah tertangguh kerana suspek pembunuhan telah gagal dikesan. Persoalan yang lebih penting ialah dua suspek itu tidak punya motif untuk membunuh Altantuya. Maka siapa arahkan pembunuhan itu berlaku masih menjadi tanda tanya.
Solidariti Anak Muda Malaysia mengajak rakyat memandang serius perkara ini. Ia melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan undang - undang dan juga memberikan kesan ekonomi pada negara.
Sekian.
BADRUL HISHAM SHAHARIN ialah Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan