Khamis, 12 Jun 2014

TERIKUT JUGA....BIJAK MUSUH2 ISLAM

Skandal Bank Rakyat: Apa motif k'jaan beri layanan istimewa untuk Deepak?

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mempersoalkan tentang keistimewaan yang dimiliki ahli perniagaan, Deepak Jaikishan sehinggakan beliau mendapat kemudahan dalam menyelesaikan RM32 juta hutangnya di Bank Rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 menegaskan skandal tersebut akan menyebabkan berlakunya krisis pada kepada intitusi kewangan dalam negara ini.

"Kita minta kerajaan jelaskan tentang apa yang didedahkan oleh bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik sebelum ini.

"Ia satu perkara yang amat serius kerana skandal kemudahan ini boleh menjejaskan pelaburan kepada simpanan individu-individu bumiputra di dalam bank itu," jelasnya.

Tambah beliau lagi, pendedahan Sabbaruddin mengenai campurtangan menteri dalam keputusan lembaga pengarah boleh dikategorikan sebagai penyalahgunaan kuasa dan menyebabkan keputusan yang dilakukan tidak mengikuti piawai institusi kewangan itu sendiri.

"Bagaimana menteri boleh campurtangan dan ugut lembaga pengarah dengan berkata "jika kamu tak nak lulus keputusan yang dibuat kepada peminjam ini Deepak, kamu akan dipecat" kenapa perlu ugut, apa yang Deepak ada, sampai dapat layanan sebegini.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kata tak de kes rasuah, kita lihat sebelum ini Permatang Pauh didakwa dalam kes pertama kerana apa? Bukan kerana beri atau ambik duit tetapi kononya hanya beri arahan kepada polis, salahguna kuasa.

"Apakah menteri ini tidak salah guna kuasa, apabila beri amaran ugutan kepada pengerusi dan lembaga pengarah akan pecat kalau tak setuju dengan persetujuan yang dicapai," jelasnya.

Jelasnya lagi, apa yang didedahkan Sabbaruddin adalah persetujuan yang diperolehi di pejabat menteri, antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Sri Hasan Malek dengan Deepak adalah untuk penyelesaian baki hutang pinjaman sebanyak RM32 juta dibayar secara tidak memperolehi keuntungan kepada bank.

"Baki RM32 juta bayar RM32 juta untuk tempoh 10 tahun melalui 120 keping cek tertunda.

"Hebat, saya tidak tahu la kalau ada kaedah bayar hutang melalui cek tertunda dan tanpa faedah.

"Kita hendak tahu berapakan jumlah kerugian keuntungan bank hadapi bila kaedah pembayaraan ini dipersetujui oleh menteri," sambung beliau.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bangun mencelah memberitahu Deepak turut mendapat keistimewaan apabila beliau diberi lesen TV khas selepas pilihanraya dengan pinjaman awal lebih kurang RM400 juta.

"Siapa Deepak sebenarnya, kenapa beliau begitu istimewa.

"Saya hairan kenapa tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bangun membantah bagi menyelamat institusi kewangan.

"Orang Melayu di kampung kalau nak pinjam RM10 ribu cukup susah dan bila tak bayar mereka diiystihar bankrup," katanya. - HARAKAHDAILY 11/6/2014

Zahid ulangi ugut tampar Teresa bukan jenayah

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan insiden yang membabitkan sebuah NGO yang mengeluarkan ugutan untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim bukan satu jenayah.

Beliau menjelaskan demikian melalaui jawapan bertulis terhadap soalan Teresa yang bertanya sama ada kerajaan akan mendakwa NGO yang mengeluarkan ugutan tersebut, juga kepada Datuk Yong Teck Lee yang turut memberi tawaran menampar Menteri Dalam Negeri.

Beliau menjelaskan prinsip undang-undang jenayah di mana suatu kesalahan jenayah hanya boleh wujud apabila terdapat dua elemen bersekali iaitu perbuatan (actus reus) dan niat jahat (mens rea).

Menurut Zahid lagi, perbuatan tawaran tersebut tidak boleh dikatakan wujud suatu jenayah dilakukan kerana tidak memenuhi prinsip-prinsip undang-undang. - HARAKAHDAILY 11/6/2014

Kes Mejar Zaidi: Saksi mengaku diarah padam video

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad hari ini meyaksikan seorang saksi, Sarjan Mohd Khairul Nizam Ishak mengaku diarah untuk memadamkan rakaman sidang akhbar yang dibuat Zaidi di dalam telefon bimbitnya.

Mohd Khairul berkata, beliau bertindak memadam rakaman sidang akhbar Zaidi berhubung dakwat kekal itu selepas diarahkan berbuat demikian oleh Pengarah Jabatan Marsyal Provos TUDM, Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob.

Menjawab soalan peguam bela Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Khairul bagaimanapun tidak bersetuju tindakannya memadamkan bukti rakaman itu adalah satu kesalahan.

Beliau berkata tindakannya itu sebagai mengikut arahan pihak atasan agar ianya tidak tersebar.

Mohd Khairul juga memaklumkan bahawa beliau dengan seorang lagi rakan Mohd Zuradi Muchtar diarah untuk mengekori Zaidi pada 1 Mei tahun lalu itu.

Beliau turut memaklumkan telah mengekori Zaidi membuat laporan polis di balai polis IPD Kepala Batas hari sama.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan, ketika disoal balas, Mohd Khairul juga mengaku isu dakwat kekal tidak berada dalam bidang kuasa pasukan tentera atau mana-mana agensinya.

Beliau juga bersetuju dengan Mohamed Hanipa bahawa tugasan yang diberikan kepadanya pada 1 Mei untuk memerhati Zaidi bukan tugasan rasmi.

Mohd Khairul bersetuju laporan polis dan sidang akhbar yang dibuat oleh Zaidi dan isu dakwat kekal tidak berkait dengan tugas serta tanggungjawab tertuduh di TUDM.

Perbicaran dibuat di hadapan lima hakim diketuai Kolonel Saadon Ahmad.

Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Mahkamah akan bersambung semula esok. - HARAKAHDAILY 11/6/2014


MB Kelantan pilih Brazil

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Demam bola sepak kini bermula. Dua hari lagi tumpuan penduduk dunia terarah ke kaca televisyen mengikuti jaguh bola sepak dunia beraksi.

Sukan berprestij tinggi itu hanya muncul empat tahun sekali. Maka tidak hairanlah semua orang berteka teki memilih pasukan diminati sebagai juara Piala Dunia musim 2014.

Kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih pasukan Sepanyol dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenan dengan England, sebaliknya Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pula meminati Brazil.

“Saya menyokong pasukan Brazil dan berpotensi untuk muncul sebagai juara kerana sebagai tuan rumah. Kelebihan itu memberi peluang kepada Brazil.

“Lagi pun negara gergasi bola sepak dunia itu sudah acap kali menjulang Piala Dunia sebelum ini," ujarnya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Bola sepak Piala Dunia akan bermula 13 Jun dengan menyaksikan pasukan tuan rumah akan berentap dengan Crotia di Soa Paulo.

Manakala perlawanan akhir pula dijadualkan pada 14 Julai hadapan akan dilangsungkan di Estadio de Maracana Rio de Jeneiro.

Banyak pihak juga meramalkan Brazil muncul sebagai juara. Bagaimanapun tidak kurang juga memilih Sepanyol, Itali, Jerman dan Belanda.




Pemuda PAS solat hajat, solidariti buat Mejar Zaidi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melalui Jabatan Amal semalam menganjurkan Majlis Solidariti bersama Mejar Zaidi Ahmad, pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dihadap ke mahkamah tentera.

Pada majlis yang diadakan di Darul Amal, Taman Maluri, Kuala Lumpur itu, mereka turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin agar Mejar Zaidi terus diberikan kekuatan dan pertolongan oleh Allah dalam berhadapan dengan tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin dan Mejar Zaidi sendiri.

Khairil dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkata pihaknya bertekad untuk terus menyatakan solidariti dan penghargaan kepada Mejar Zaidi atas keberanian beliau bercakap benar dan tidak tunduk kepada pihak yang berbuat zalim.

"Mejar Zaidi yang menyatakan kebenaran dikenakan tindakan sedangkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menguruskan dakwat kekal yang tidak kekal itu masih tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Adakah ini dikatakan keadilan," soal Khairil.

Mejar Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Pada perbicaraan di Mahkamah TUDM Sungai Besi semalam, beliau telah dikenakan semula lima pertuduhan yang dipinda yang sebelum diketepikan. - HARAKAHDAILY 11/6/2014

Akta baru akan diperkenal benteras penagih gam

BERNAMA | .
MELAKA: Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan satu undang-undang dikenali sebagai Akta Inhalant bagi membanteras penyalahgunaan gam terutama di kalangan remaja.

Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Suhaimi Abdullah berkata undang-undang tersebut yang kini dalam proses akhir penggubalan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan dalam masa terdekat.

"Perkara ini telah lama dibincangkan namun dari segi pelaksanaannya agak sukar jadi kita berharap akta baharu ini dapat membantu menangani isu penyalahgunaan gam di kalangan rakyat negara ini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pelaksanaan akta tersebut penting ekoran pembabitan remaja dalam penyalahgunaan gam dilihat semakin meningkat dan tiada akta khas untuk menyekat atau menghukum mereka yang terlibat.

Katanya isu penyalahgunaan gam perlu dipandang serius kerana ia boleh merosakkan mental penagih dalam masa yang singkat berbanding penyalahgunaan dadah lain.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata peningkatan isu itu juga didorong pelbagai faktor termasuk harga gam yang murah dan mudah didapati.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri bercadang untuk menggubal Enakmen baharu bagi mengawal penjualan gam di beberapa premis tertentu bagi menghalang bahan itu dijual secara berleluasa.

Beliau berkata melalui enakmen itu, penjualan gam mengikut isipadu tertentu akan dihadkan kepada perniagaan yang terlibat dengan penggunaan gam seperti kedai basikal, motor, kereta dan kasut.

"Jika perlu nama pembeli gam tersebut perlu direkodkan bagi tujuan semakan dan kedai yang tiada kaitan dengan penggunaan gam dilarang sama sekali penjualannya," katanya. - BERNAMA

K'jaan masih kumpul maklumat untuk Kertas putih Lahad Datu

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Kertas putih bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di sebalik insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Mac tahun lepas, akan diumum selepas siasatan pihak berkuasa selesai.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu Dewan Rakyat Rabu bahawa maklumat lengkap siasatan dan pengalaman yang berlaku di kawasan pantai Timur Sabah itu turut membabitkan beberapa pihak berkepentingan termasuk negara jiran Filipina.

"Berhubung kait dengan maklumat dan apa yang kita kenal pasti daripada siasatan dan pengalaman kita di Lahad Datu tahun lepas, melalui kertas putih dan apabila telah lengkap, saya yakin tiada sebab ia tidak diumumkan kepada orang ramai.

"Ia perlu dilakukan dengan teliti kerana melibatkan ancaman dalam dunia tanpa sempadan sekarang," katanya menjawab soalan tambahan Tian Chua (PKR-Batu) yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini kertas putih tentang insiden pencerobohan di Lahad Datu pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Pada 3 Mac tahun lepas, beberapa wakil pembangkang menggesa kerajaan supaya memanggil sidang khas Parlimen dan mengeluarkan kertas putih serta membuat penjelasan berhubung insiden pertempuran pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh di Lahad Datu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) berkenaan langkah kerajaan dalam memastikan fungsi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) benar-benar menjamin keselamatan Sabah daripada pencerobohan berikutan beberapa insiden penculikan, Hishammuddin berkata pendekatan kawalan keselamatan kedua-duanya perlu diteliti semula.

Katanya perlu diingat penubuhan Esscom dan Esszone adalah untuk mengawal keselamatan dan kedaulatan negara khususnya daripada ancaman pengganas yang bersifat insurgensi seperti yang berlaku di Lahad Datu pada Mac tahun lepas.

Hishammuddin menjelaskan bahawa kedua-dua Esscom dan Esszone sebenarnya bukan diformasikan untuk menangani ancaman bersifat jenayah seperti penyeludupan, pemerdagangan orang dan penculikan.

"Setiap jenayah berkenaan, ada pendekatan yang tersendiri untuk menanganinya...sebab itu bila ada ancaman insurgensi Mac tahun lepas, sedikit sebanyak dengan wujudnya Esszone dan Esscom ia membantu kita memastikan setakat ini pencerobohan (insurgensi) tidak berulang.

"Namun insiden jenayah penculikan memerlukan kita memikirkan semula pendekatan Esszone dan Esscom dan sebab itulah kita mengumumkan cara bagaimana hendak menangani jenayah ini seperti penggunaan pelantar minyak dan pulau-pulau tertentu untuk pemantauan, mengerah kapal-kapal tertentu, meneliti semula undang-undang, serta mewartakan laluan-laluan khusus," katanya.

Kepada soalan Ahmad Fauzi mengenai kewajaran sistem penggiliran komander yang akan megetuai Esscom dan Esszone seperti diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam, beliau berkata perkara itu masih belum dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami akan fikirkan dari segi tempoh dan cara penggiliran itu tetapi kita tunggu sampai ia dibentangkan ke Majlis Keselamatan untuk diputuskan bersama dan diumumkan secara sah," katanya. - BERNAMA

HADIS 5: SIRI 40 HADIS UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI


Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,
"Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun
kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan
Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka".
(Riwayat Muslim)

Keterangan:
Umat Islam akan mengikut jejak langkah ataupun "carahidup” orang-orang Yahudi dan
Nasrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah.
Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan
sempit sekali pun, orang Islam akan terus mengikuti mereka. Zaman sekarang ini kita
dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah saw. ini. Ramai orang Islam yang
kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru “carahidup” Yahudi
dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap
dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali
barut mereka. Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada mereka.

Rabu, 11 Jun 2014

[ASTAGHFIRULLAH] Murid Darjah 6 Dicekup Bersetubuh Didalam Bilik Di Segamat

KELAB GREENBOC



Segamat - Seorang wanita berusia 25 tahun terkejut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bersembunyi di bawah katil dalam keadaan berbogel di bilik anak saudara perempuannya berusia 12 tahun, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, wanita berkenaan menemui kanak-kanak terbabit di rumah keluarga anak saudaranya di Labis.

Sebelum itu, wanita itu mengesyaki berlaku perkara tidak diingini apabila mendapati lampu di bilik anak saudaranya itu dimatikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail berkata, wanita itu terus keluar rumah dan mengetuk tingkap bilik anak saudaranya.

“Kira-kira 10 minit kemudian, anak saudaranya membuka pintu. Wanita itu mendapati anak saudaranya memakai baju terbalik,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan juga mendapati terdapat seluar dalam lelaki di atas katil anak saudaranya.

Anuar berkata, kanak-kanak perempuan itu mendakwa seluar dalam itu miliknya.

“Wanita itu masuk ke dalam bilik itu dan terkejut menemui seorang kanak-kanak lelaki bersembunyi dalam keadaan berbogel.

“Kedua-dua mereka mengaku melakukan hubungan terlarang. Mereka kemudian dibawa ke balai polis.

ULASAN GB

Sudah sampai ke peringkat kritikal masalah akhlak pelajar sekolah sehingga pelajar darjah 6 sudah terlibat di dalam kes persetubuhan haram.

GB pernah mengulas sebelum ini bahawa "apabila sistem pendidikan negara telah jauh daripada roh pendidikan sebenar dengan tidak menitikberatkan aspek pendidikan rohaniah maka itulah kesannya."

Pengertian sebenar konsep pendidikan, tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan dalam sesebuah masyarakat dan negara perlu dinilai semua dan Menteri Pelajaran perlubertangungjawab sepenuhnya untuk sebuah penggubalan dasar pendidikan yang menitikberatkan nilai-nilai akhlak dan disiplin - bukan terhad semata-mata kepada penilaian kognitif dan lulus periksa.

Jika tidak, maka kita akan dapat melihat lagi kejadian-jeadian di atas, malah dengan adegan dan senario yang lebih mengerikan!

Cermin gelap: Hasil bengkel hanya 'berakhir' di Glenmarie?

ZULHAZMI SHARIFF | .

PINDAAN KAEDAH-KAEDAH KENDERAAN MOTOR (LARANGAN MENGENAI JENIS-JENIS KACA TERTENTU) 1991 - DI MANA BERAKHIR?

Pada 15 MEI 2014, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman PDRM SAC Mohd Fuad Abd Latif memaklumkan bahawa suatu operasi besar-besaran berkaitan penggunaan cermin gelap akan mula dilakukan pada 16 JUN 2014.

Beliau seterusnya memberikan amaran kepada pemilik-pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan sedia ada iaitu Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang membenarkan kegelapan cermin hadapan kenderaan 30% dan cermin selainnya 50% yang mana kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan.

Ekoran dari itu timbul pelbagai reaksi daripada pengguna dan persatuan-persatuan yang berkepentingan. Mengambil langkah pro-aktif, Kementerian Pengangkutan mengadakan suatu bengkel yang disertai agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan berkepentingan dan Ahli-ahli Parlimen. Bengkel tersebut telah dijalankan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam pada 2 dan 3 JUN 2014.

Pelbagai cadangan, respon, reaksi dan bantahan telah dikemukakan semasa bengkel berlangsung. Pada penghujung bengkel Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi memaklumkan bahawa semua cadangan dan maklum balas akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk diambil tindakan.

Hasil bengkel tersebut antaranya mengesyorkan supaya kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang dikurangkan kepada 30 peratus berbanding VLT asal sebanyak 50 peratus manakala ketelusan cermin hadapan kekal 70%.

Carian di portal rasmi E-Warta Persekutuan masih tidak kelihatan pewartaan apa-apa kaedah baru yang bermaksud hasil kajian bengkel yang dijalankan baru-baru ini masih di awang-awangan.

Hari ini 11 JUN 2014 bermakna masih ada empat (4) hari sebelum operasi besar-besaran oleh pihak PDRM dijalankan. Pengguna dan pemilik kenderaan masih menunggu apakah keputusan kerajaan. Di mana ianya akan berakhir?

Adakah kaedah lama terpakai atau kaedah baru hasil perbincangan bengkel akan dilaksana sedangkan PDRM sudah tidak sabar-sabar hendak menjalankan operasi? Jika ada pindaan atau kaedah baru, bilakah akan diwartakan?

Kenapa mengambil masa terlalu lama sedangkan Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa semua hasil bengkel akan terus dipanjangkan kepada Menteri untuk perhatian dan jika dipersetujui akan dilaksanakan serta-merta.

Tindakan kerajaan melengah-lengahkan pengumuman dan pewartaan kaedah baru ini memberikan kesan kepada pengguna khususnya pemilik kenderaan. Jika kerajaan umumkan dalam masa yang hampir tarikh perlaksanaan operasi oleh PDRM, maka pengguna akan bersesak-sesak ke kedai aksesori.

Adakah hasil bengkel ini hanya berakhir di Glenmarie? Sama-sama kita tunggu.

*Penulis adalah Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) merangkap Timbalan Pengarah Badan Mobilisasi Rakyat, Pemuda PAS Malaysia.








Bicara Nisfu Syaaban

1
 





Malam kelmarin adalah malam yang dikenali sebagai Nisfu Syaaban
di dalam Islam. Di Malaysia pada malam itu, masjid-masjid serta
surau-surau dimakmurkan dengan perhimpunan umat Islam yang
lebih ramai dari biasa. Akan diadakan bacaan Yasin dan bersolat
sunat, diakhiri dengan doa Nisfu Syaaban yang agak panjang.

Setelah melihat ramai juga sahabat berbicara tentang kesahihan
amalan-amalan khusus pada malam tersebut, maka saya tergerak
hati untuk berkongsi juga, perkara yang sama dalam blog ini moga
ada kebaikan yang dapat saya dan pembaca perolehi bersama.

Dan suka saya katakan : Tulisan ini saya kongsikan dalam konsep
bacaan awam bukan profesional. Jadi hujah atau dalil yang telah
disertakan, ada yang detail, namun kebanyakannya ringkas serta
berbentuk kesimpulan.

Sebelum itu, satu kaedah Fiqhiyyah perlu diketahui : Asal sesuatu
ibadat itu adalah tahrim atau hazr (larangan). Seseorang itu tidak
dibenarkan untuk melakukan sesuatu ibadat ('ibadatullah) kecuali
selepas ada dalil atau nas-nas syarak yang mensyariatkannya.
Begitu secara ringkas huraian kaedah tersebut seperti yang ada
dinyatakan oleh Ibnu Hajar, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Ruslan, Imam
As-Syaukani dan lain-lain ulama.

Ibadat, adat dan muamalat tiga perkara yang berbeza. Harus tahu
itu juga.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi telah berkata : Tidak pernah diriwayat
kan daripada Rasulullah S.A.W dan para sahabat bahawa mereka
berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban,
membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang telah kita
lihat pada sebahagian negeri orang Islam...

Sila baca kalam penuh Syeikh Yusuf di sini : Al-Qardhawi. Saya
memetiknya dari laman web Ustaz Mohd Asri Zainal Abidin. Ini
untuk meringkaskan tulisan saya di sini. Sila baca penuh hemat.

Di samping itu, terdapat beberapa hadis yang telah disandarkan
kepada Rasulullah tentang kelebihan bulan Syaaban ini. Sekali
lagi perlu kita ketahui, bahawa di antara hadis-hadis tersebut
ada yang sahih atau hasan, dan ada yang palsu setelah dinilai
dan dikaji oleh pakar ilmu hadis.

Antara intipati yang diperoleh dari hadis-hadis yang sahih dan
hasan ini adalah galakan berpuasa pada bulan Syaaban seperti
yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dari
hadis Aisyah, serta hadis daripada Usamah Bin Zaid diriwayat-
kan oleh Imam An-Nasaie bahawa Rasulullah menginginkan
agar amalan Baginda diangkat ketika sedang berpuasa. Juga
berpuasa pada hari putih (Al-Ayyam Al-Baidh) diriwayatkan
oleh Imam Nasaie, dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani.

Tambahan lagi, terdapat juga hadis sahih bahawa Allah akan
melihat para hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, dan Dia
mengampuni hamba-Nya kecuali musyrik dan orang yang ber-
musuhan. Hadis ini dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani, riwayat
oleh Imam Ibnu Hibban dan Imam Al-Bazzar.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi pernah menceritakan ketika beliau
masih waktu kecil (atau muda) bahawa beliau pernah bersama-
sama, mengikut orang-orang awam bersolat dua rakaat beserta
doa dipanjangkan umur, kemudian solat dua rakaat dan berniat
tidak bergantung kepada manusia dan membaca Yasin. Namun
semua perkara itu tidak pernah diperintah oleh syarak secara
khusus (malam Nisfu Syaaban).

Imam Al-Iraqi : Hadis berkenaan solat (sunat khas) pada malam
Nisfu Syaaban adalah tidak sahih, direka-reka dan dusta ke atas
Rasulullah.

Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Majmu' juga ada menyebut
tentang kebatilan solat sunat Raghaib (pada bulan Rejab) serta
kebatilan hadis-hadis tentang solat sunat khusus pada malam
Nisfu Syaaban dan ia adalah bidaah yang ditegah.

Berkenaan bacaan Yasin 3 kali khusus pada malam Nisfu Syaaban
pula, Syeikh Muhammad Abdul Ghaffar As-Syarif, ustaz Fiqh dan
Usul di Kuliah Syariah dan Pengajian Islam di Universiti Kuwait
berkata : Bacaan Yasin 3 kali ini adalah bidaah, tiada dalil untuk
disabitkan kepada Rasulullah, tetapi ia bukan perkara mungkar
(bacaan Yasin itu sendiri) kerana ia adalah umum dari amalan-
amalan baik, iaitu bacaan Al-Quran. Namun hendaklah dengan
syarat, tidak beriktikad bahawa ia adalah sunat.

Pendapat yang hampir sama juga ada dinyatakan oleh Syeikh Ali
Jum'ah bahawa tidak menjadi masalah untuk membaca Yasin 3
kali pada malam tersebut, kerana ia termasuk di dalam amalan

baik menghidupkan
Nisfu Syaaban ini. Namun hendaklah pelaku-
nya beriktikad perbuatan tersebut bukanlah khusus datang dari

amalan Rasulullah, dan bukan pula wajib.

Point penting : Tidaklah menjadi masalah untuk beribadat atau
meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadat pada malam tersebut
kerana ada hadis sahih tentang kelebihan malam Nisfu Syaaban.
Namun jangan sesekali dikhususkan bilangan atau kuantitinya
serta menyandarkannya kepada Rasulullah dengan sesuka hati.
Bimbang kita telah berdusta ke atas Baginda.

Apa yang kita dapat simpulkan?
Hakikatnya agak pahit, namun sebagai muslim atau penuntut ilmu
yang berdisiplin, kita harus belajar untuk menerima kebenaran itu
dengan hati yang lapang dan terbuka. Bagi mereka yang sedia ada
mengetahui tentang ini, janganlah pula mudah menghukum.

Masyarakat awam, taklid adalah menjadi pegangan mereka kerana
mereka bukan ahli dalam ijtihad. Konsep ittiba' (beramal dengan
pengetahuan dalil) pula masih dalam proses pengenalan, masih
baru dan asing dalam konteks masyarakat Malaysia.

Jadi kita bermula perlahan-lahan. Jangan terlalu keras, bimbang
mereka menjauhkan diri.

Anggota masyarakat awam mungkin ada yang tidak tahu dan tidak
punya pendedahan akan perkara ini.

Hendak dihalang masyarakat dari berkumpul ramai di masjid pada
malam itu? Hujahnya hendak elakkan bidaah daripada berlaku. Itu
satu tindakan yang kurang cerdik ketika umat Islam kini semakin
terleka dan menjauh dari rumah-rumah Allah.

Sentiasalah menggalakkan masyarakat memakmurkan masjid dan
surau walaupun bukan pada bulan tertentu seperti Rejab, Syaaban,
Ramadhan dan bulan-bulan lain. Gunakan Nisfu Syaaban sebagai
perintisnya. Dakwah perlu kreatif dan hikmah.
Berpuasa? Iya teruskanlah kerana Rasulullah banyak berpuasa di
bulan Syaaban ini.


Akhirnya?

Berbicaralah, ajarkanlah masyarakat dengan perkara-perkara yang
sunat lagi sahih, dengan perlahan-lahan. Bukan keseluruhan hadis
tentang Nisfu Syaaban itu palsu dan batil. Jangan tergesa-gesa.
Perkara yang menjadi adat atau ibadat tanpa asas itu pula, kita
atasinya berperingkat-peringkat. Masyarakat Malaysia ini sensitif,
perlu diraikan sifat ini sebaiknya.

Beribadatlah, berdoalah, berpuasalah pada bulan Syaaban serta
malam Nisfu Syaaban. Kemudian berdisiplinlah untuk mengubah
perkara yang salah kepada yang benar dan betul. Lebih-lebih
lagi jika kita hendar sandarkan hujah kita kepada Rasulullah.

Tujuan yang baik, jika kena pula caranya dan tepat kaedah untuk
perlaksanaannya dengan sunnah Baginda, maka itulah yang kita
nilai sebagai terbaik, bahkan berpahala.

Semoga kita memperoleh keampunan-Nya pada Nisfu Syaaban ini
dan diterima segala amalan-amalan kita yang baik. Ameen.

Almizzi,
Rumahku Syurgaku,
Marang, Terengganu,
16 Julai 2011,
Jam 2350.


Kredit rujukan : Laman web Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Ustaz
Zaharuddin Abdul Rahman, islamway.com, taimiah.org dan lain-

lain lagi.
Jika ada kritikan dan teguran, dipersilakanlah. Saya memegangtanggungjawab terhadap tulisan ini sepenuhnya.

Selasa, 3 Julai 2012


Hukum Amalan Membaca Yasin Sebanyak Tiga Kali pada Malam Nisfu Syaaban

Asal ibadat dalam agama kita adalah tauqifi iaitu berdasarkan nas al-Quran dan sunnah Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam semata-mata. Tidak boleh mengada-adakan sesuatu amalan baharu yang tidak ditunjukkan nas syarak. Oleh sebab itu, tidak syak lagi bahawa amalan membaca Yasin sebanyak tiga kali pada malam tersebut kerana menganggapnya sebagai satu amalan yang disyariatkan - atas dasar pengkhususan - adalah bid'ah yang direka-reka dalam agama dan perlu ditinggalkan.

Kata Imam Ibnu Katsir, murid besar Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah:

...وباب القربات يقتصر فيه على النصوص ولا يتصرف فيه بأنواع الأقسية والآراء...
Terjemahan: perkara-perkara ibadat tertakluk kepada nas, tidak boleh ditimbang melalui qiyas dan akal. [hal. 465 jil. 7]

Beriktikad bahawa amalan tersebut adalah sunnah atau mustahabb bererti menuduh Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam telah menyembunyikan sesuatu daripada kita sedangkan risalah Islam yang dibawa oleh baginda telah sempurna. Selain itu, orang-orang yang mengamalkan amalan tersebut sudah tentu merasakan bahawa diri mereka melakukan sesuatu yang lebih baik daripada Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam dan para sahabat baginda.

Diriwayatkan oleh rawi-rawi yang tsiqah bahawa seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik daripada mana sepatutnya ia berihram. Jawabnya “dari tempat Rasulullah berihram.” Ia pun bertanya lagi “kalau aku menambahkan jaraknya?” Jawab Malik “jangan, aku takut engkau akan ditimpa fitnah.” Lelaki itu menjawab “mana ada fitnah dalam perkara ini. Ini hanyalah menambahkan jarak.” Jawab Malik “sesungguhnya Allah berfirman:

... فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ۝
... Oleh itu, hendaklah orang-orang yang mengingkari perintah baginda beringat-ingat takut-takut mereka ditimpa fitnah atau azab yang pedih. [Surah al-Nur; ayat ke-63]…

… Dan fitnah apakah yang lebih besar daripada kamu merasakan bahawa kamu mendapat lebih banyak kelebihan yang tidak diperoleh oleh Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam atau bahawa pilihan engkau adalah lebih baik daripada pilihan Allah dan pilihan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam? [Diriwayatkan oleh al-Khathib al-Baghdadi, Dzamm al-Kalam wa Ahlih, jil. 3, hal. 115]

Kata Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu'ashirahnya:

أما ليلة النصف من شعبان، فمعظم ما يفعل فيها من أشياء ليس واردًا، ولا صحيحًا ولا من السنة في شيء ...
أذكر أني كنت أقوم في صغري مع الناس تقليدًا لهم، فنصلي ركعتين بنية طول العمر، وركعتين بنية الغني عن الناس، وقراءة يس ثم صلاة ركعتين .. وغير ذلك.
وكل هذه تعبدات ما أمر الشرع بها . والأصل في العبادات، الحظر .. ليس للإنسان أن يخترع في عباداته ما يشاء، لأن الذي من حقه أن يعبد الناس وأن يرسم لهم العبادة هو الله عز وجل .(أم شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله) فعلينا أن نقف عند ما ورد، ولا نفعل أكثر من
الدعاء المأثور، إن كان ذلك حسنًا ... والله أعلم.
Terjemahan: adapun malan pertengahan bulan Syaaban, kebanyakan yang dilakukan pada waktu tersebut adalah perkara-perkara yang tidak warid; tidak sahih dan tidak ada kena-mengena dengan sunnah. Aku teringat bahawa ketika kecil dahulu aku pernah solat bersama orang ramai ketika secara ikut-ikutan. Kami pun solat sebanyak dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat dengan niat tidak lagi berhajat kepada manusia, dan membaca Yasin kemudian solat dua rakaat, dan sebagainya. Semua ibadat-ibadat ini tidak disuruh syarak. Asal ibadat adalah larangan. Manusia tidak boleh mereka-reka sesuatu yang ia sukai dalam ibadatnya kerana yang mempunyai hak untuk disembah oleh manusia dan menyusun ibadat adalah Allah 'azzawajalla. "Adakah mereka mengada-adakan dalam agama sesuatu yang tidak diizinkan Allah?" Maka, seharusnya kita berhenti pada apa yang warid sahaja dan tidak menambahkan sesuatu selain daripada doa yang ma'tsur; kalau itu adalah hasan. [jil. 1; hal. 310]

Inilah pegangan kami dalam masalah ini. Sekiranya ada seribu ulama dengan sejuta kitab datang mempersembahkan dalil-dalil mereka untuk mendakwa kesunnahan amalan bid'ah ini pun tidak akan kami terima melainkan mereka mendatangkan dalil daripada al-Quran dan sunnah yang sahih.

Suka kami ingatkan di sini bahawa tidak ada halangan bagi sesiapa pun untuk membaca apa-apa bacaan al-Quran mahupun zikir pada bila-bila masa pun termasuklah membaca Yasin sebanyak tiga kali pada malam pertengahan Syaaban kerana agama memang menggalakkan manusia melakukan kebaikan sebanyak yang mungkin tetapi yang kami tentang adalah pengkhususan amalan tersebut pada waktu-waktu tertentu.

Orang-orang yang kurang akalnya menyangka - atau menuduh - kami menghalang orang lain melakukan amalan kebajikan. Tidak, tidak sama sekali! Kami hanya melarang manusia daripada melakukan bid'ah, satu perkara yang diharamkan agama. Mereka juga menuduh kami mengatakan orang-orang yang melakukan amalan-amalan bid'ah itu berdosa dan lebih parah lagi, masuk neraka. Kami adukan perkara ini kepada Allah. Dialah yang akan membalas setiap kebohongan yang mereka lakukan. Kami hamba-hamba-Mu yang dizalimi. Amin. Sebenarnya, kami berpendapat bahawa hanya orang-orang yang beriktikad bahawa amalan tersebut bid'ah yang layak dihukum berdosa. Itu sahaja. Sebab, pelaku sedang melakukan maksiat dengan mengubah syariat Islam sesuai mengikut hawa nafsunya. Orang yang melakukannya - atau sekadar beriktikad - kesyariatan amalan tersebut pula, kami doakan supaya mereka diampunkan Allah kerana dia sebenarnya tidak tahu. Sama seperti orang yang melakukan sesuatu perkara haram dalam keadaan jahil.

Mereka juga membangkitkan isu belajar tanpa guru; mengkaji dan menyelidik tanpa bimbingan murabbi yang mempunyai sanad yang bersambung terus-menerus sehingga ke Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Sebenarnya, saya - al-Kutawi - bukanlah tidak ada guru dan apa yang dikaji dan diselidik bukanlah sesuatu yang tidak pernah disebutkan oleh para alim-ulama terdahulu. Alhamdulillah, saya sedari tadika lagi saya dihantar ke sekolah agama sehinggalah peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berakhir di Maahad Pengajian Islam (MPI). Demi Allah, saya tidak pernah belajar di sekolah kerajaan. Dari situlah saya belajar alif ba ta, belajar mengaji al-Quran, belajar cara-cara berwuduk dan solat, sehinggalah akhirnya belajar khilaf fiqh antara mazhab, khilaf antara firqah umat Islam, dan sebagainya di bumi Syam ini.

Saya juga dipertemukan dengan beberapa orang guru yang hebat dalam perjalanan menuntut ilmu di madrasah. Antaranya, Ustaz Nik Abdul Rahim bin Nik Abdul Ghani, lulusan BA Syariah Universiti Islam Madinah. Daripada beliaulah saya memulakan langkah jitu untuk mendalami ilmu-ilmu agama sehinggakan walaupun berpindah sekolah, saya terus menghubungi beliau untuk bertanyakan hukum-hakam agama.

Selain itu, saya sempat berguru dengan Maulana Muhammad Asri Yusoff, lulusan Universiti Deoband yang mempunyai sanad bersambung dengan Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Saya belajar Shahih al-Bukhari daripadanya di Tabung Haji di Kota Bharu. Terkadang di Hotel Raudhah. Daripada pengajian bersama beliaulah banyak mutiara-mutiara agung saya temukan. Sekali hadir pengajian beliau seolah-olah menghadiri 10 pengajian orang lain. Apabila ada kemusykilan, saya akan bertanyakan beliau.

Syukur kepada Allah juga, saya diperjirankan dengan Masjid Kampung Kota, dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Rumah saya dan masjid hanya dipisahkan dengan pagar batu. Hampir setiap malam - dahulu - saya menghadiri majlis-majlis ilmu di situ. Antaranya, majlis ilmu Syaikh Wazir, bekas mudir Pondok Moden, Kandis, Bachok, Kelantan setiap malam Khamis. Dari mulut beliaulah saya mendengar ulasan-ulasan tentang politik. Kemudian, beliau beralih mensyarahkan kitab Akidah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah oleh Haji Said Haji Ibrahim, bekas Mufti Sabah.

Setiap malam Isnin pula, saya mengikuti majlis Ustaz Suratme, seorang qadi di sebuah jajahan di Kelantan yang mensyarahkan kitab Fath al-Mu'in karya Syaikh al-Malaibari. Saya sempat belajar bab puasa dan zakat dengannya. Beliau pernah berhenti mengajar Fath al-Mu'in untuk menerangkan masalah masbuq muwafiq mengikut pandangan Imam Ibnu Hajar dan Imam al-Ramli kerana katanya, ramai yang beliau lihat tidak faham mengenainya.

Pada malam Selasa pula saya hadirkan diri saya bersama-sama jemaah masjid mendengar kuliah Ustaz Saibon Ismail, seorang ustaz yang terkenal di Kota Bharu yang pernah belajar di Universiti Umm al-Qura, Mekah. Beliau mengajar tafsir menggunakan Tafsir Pimpinan al-Rahman.

Pada malam Rabu pula, ada dua orang ustaz yang bergilir menyampaikan kuliah. Pertama, Ustaz Budak Kelantan, Shamsul Zaman, dari Pondok Lubuk Tapah. Kedua, Ustaz Azhar Abdullah, lulusan pondok tempatan dan Universiti al-Azhar. Beliau mengajar kitab Hidayah al-Salikin tulisan Syaikh 'Abd al-Shamad al-Falimbani manakala Ustaz Budak mensyarahkan kitab Mestika Hadis.

Tidak lupa juga saya sebutkan di sini, Ustaz Osman, imam Masjid Langgar yang mengajar kitab Siyar al-Salikin. Tidak ada lawak dalam pengajiannya tetapi ramai jemaah yang setia mendengar.
Pada malam Sabtu pula, saya mengikuti kelas tajwid bersama Ustaz Lokman al-Hafiz. Dari kelas inilah saya belajar memperbetulkan bacaan al-Quran. Saya juga sempat belajar tajwid dan qiraat dengan beliau, dengan Ustaz Amiri Abdul Ghani, dan Ustaz Wan Ibrahim di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri tetapi tidak lama, hanya satu modul.

Tidak perlu saya rasa menyertakan semua nama ulama-ulama yang saya ambil ilmu daripada mereka di sini semata-mata untuk 'mengenyangkan' orang-orang yang busuk hati. Merekalah guru-guru saya yang mengambil ilmu daripada guru-guru mereka yang menerima ilmu daripada guru-guru mereka sehinggalah sampai kepada Nabi Muhammad shallallahu'alahiwasallam.

Sebenarnya, bukan itu yang mereka mahu. Mereka bukan meminta kami mengambil ilmu daripada guru-guru yang mempunyai sanad; tetapi mereka memaksa kami mengambil ilmu daripada guru-guru mereka, supaya kami menjadi seperti mereka.

"Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasara itu tidak akan reda kepadamu (wahai Muhammad) sehinggalah engkau mengikut agama mereka." [Mafhum ayat 120, Surah al-Baqarah]



Kg Chubadak: Mana NGO Melayu – Mazlan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: “Mana suara-suara NGO yang kononnya jaga Melayu dan Islam,” tanya Mazlan seperti yang ditulis dalam Facebook beliau semalam. (Gambar atas: Rumah dirobohkan ketika penghuni masih ada di dalam rumah)

Ulasan itu rentetan dua buah rumah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul dalam suatu operasi semalam.

Kawasan ini menjadi pertelingkahan apabila pemaju mahu penduduk berpindah ke kawasan lain kerana mahu memajukan kawasan ini.

Lokasi Kampung ini yang hanya lima kilometer dari pusat bandar menjadikan kawasan tersebut umpama lubuk emas dan menjadi rebutan banyak pihak untuk membangunkannya.

Kawasan ini telah diteroka sejak tahun 1980-an lagi dan penduduk dikatakan telah memperoleh pengiktirafan milikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1998 - yang mengatakan bahawa ia adalah milik peneroka bandar dan mereka perlu dibayar ganti rugi sekiranya kawasan ini ingin dimajukan. (Gambar kanan: Salah seorang penduduk mencari sisa barangan yang boleh digunakan)

Pertelingkahan mula timbul pada tahun 1996, apabila DBKL membenarkan pemaju untuk membina beberapa blok apartmen di kawasan berkenaan.

Sejak itu, sedikit demi sedikit penduduk kampung ini dikeluarkan dan yang terbaharu membabitkan dua buah rumah.

“Kerajaan yang dipimpin oleh manusia seagama dan sebangsa tega bertindak zalim,” ulas Mazlan lagi.

Yang menyedihkan, dalam keadaan Ramadan makin hampir nasib mereka masih samar-samar di sebuah negara yang pemimpinnya Melayu dan beragama Islam.

Kerana dakwaan berasas soalan Mosti ditolak, kata Rafizi

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus berdiam diri berhubung dengan pendedahan membabitkan geran sebanyak RM100 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat NSE Resources Corporation Sdn Bhd.

Beliau pada sidang media di parlimen hari ini berkata, geran di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sepatutnya digunakan untuk aktiviti R&D tetapi disalahgunakan untuk membiayai projek komersial yang tidak pasti nilai R&Dnya.

"Pendedahan surat telah dilakukan sebelum ini yang mana ia telah diminitkan oleh Perdana Menteri kepada Mosti, Datuk Dr Ewon Ebin yang memberi sokongan agar dana diberikan kepada syarikat tersebut.

"Sehingga sekarang tidak ada apa-apa penjelasan dari Najib mahupun Dr Ewon berhubung pendedahan itu, dan saya gesa kedua-dua mereka tampil membuat akuan bersumpah bahawa surat itu adalah palsu," jelasnya.

Rafizi mendakwa, beliau sebelum ini turut mengajukan dua soalan lisan pada sesi persidangan parlimen bagi mengesahkan sama ada Perdana Menteri dan Menteri Mosti ada menandatangani kedua-dua surat tersebut namun ditolak oleh parlimen.

"Melalui penolakan soalan saya dan sikap berdiam diri PM, saya rumuskan bahawa kedua-dua surat itu adalah sahih," katanya sambil menambah, akan terus mendedahkan  beberapa lagi dokumen berkaitan penyalahgunaan dana. - HARAKAHDAILY 11/6/2014



 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan