Rabu, 18 Jun 2014

TAK SETUJU DENGAN MAIS OK LAGI....JANGAN TAK SETUJU DENGAN ISLAM

MCA desak Najib gugur Jamil Khir

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: MCA mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom daripada jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana cuba memutarbelitkan fakta dengan mengatakan Malaysia bukanlah sebuah negara sekular.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Syariah Undang-Undang dan Dasar Pelaksanaan MCA Gan Ping Sieu berkata, Jamil Khir sebagai salah seorang pemimpin kerajaan sewajarnya mengetahui fakta sebenar sejarah penubuhan Malaysia pada tahun 1963 mengenai status negara sekular di negara ini, lapor portal Rakyat News.

Beliau menambah, pihaknya memandang berat jawapan Jamil Khir itu yang telah mengatakan bahawa 'Malaysia bukan sebuah negara sekular'.

"Jika Jamil Khir mahu putarbelit fakta sejarah, beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang tidak berintegriti dan jujur," katanya kepada Rakyat News ketika ditemui di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau turut mendesak Jamil Khir menghentikan serta merta berhubung status negara Islam yang cuba dipertahankan beliau.

Jamil dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di Dewan Rakyat semalam menyatakan Malaysia bukan sebuah negara sekular berdasarkan
fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Menurutnya, perkara itu diperkukuhkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan. - HARAKAHDAILY 17/6/2014

Kajian terbaru hafal Al-Quran mencegah pelbagai penyakit

http://detikislam.blogspot.com | .
 
Sebuah kajian terbaru membuktikan semakin seseorang menghafal Al-Quran Al-Karim, maka semakin bertambah baik kesihatan. Dr. Soleh Bin Ibrahim As-Shani', pensyarah psikologi di Universiti Al-Imam bin Saud Al-Islamiyyah, Riyadh, meneliti dua kumpulan responden iaitu mahasiswa Universiti King Abdul Abdul Aziz yang jumlahnya 170 responden, dan kumpulan mahasis Al-Imam Asy -Syathibi yang juga berjumlah 170 responden.
Penyelidik mendefinisikan kesihatan psikologi sebagai keadaan di mana berlaku keselarasan psikologi individu daripada tiga faktor utama: agama, spiritual, sosiologis dan jasmani. Untuk mengukurnya, penyelidik menggunakan parameter kesihatan psikologinya Sulaiman Duwairiat, yang terdiri daripada 60 unit.
Kajian ini mendapati adanya korelasi positif antara peningkatan kadar hafalan dengan tahap kesihatan psikologi dan mahasiswa yang unggul di bidang hafalan Al-Quran itu mempunyai tahap kesihatan psikologi dengan perbezaan yang sangat jelas.
Ada lebih dari tujuh puluh kajian, baik Islam atau barat, semuanya menegaskan kepentingan agama dalam meningkatkan kesihatan psikologi seseorang, kematangan dan ketenangannya. Sebagaimana kajian-kajian yang telah dibuat di Arab Saudi dan hasilnya menunjukkan peranan Al-Quran Al-Karim dapat meningkatkan kemahiran asas pelajar-pelajar sekolah rendah dan pengaruh yang positif dari hafalan Al-Quran untuk mencapai IP yang tinggi bagi mahasiswa.
Kajian tersebut memberi gambaran yang jelas tentang hubungan antara keberagamaan dengan pelbagai bentuknya terutama menghafal Al-Quran Al-Karim dan pengaruh-pengaruhnya terhadap kesihatan fizikal individu dan keperibadian berbanding dengan individu-individu yang tidak disiplin dengan ajaran-ajaran agama atau tidak menghafal Al-Quran, sedikit atau seluruhnya.
Komen terhadap kajian:
Setiap orang yang menghafal sebahagian dari Al-Quran dan mendengar bacaan Al-Quran secara berterusan itu pasti merasakan perubahan yang besar dalam hidupnya. Hafalan Al-Quran juga berpengaruh pada kesihatan fizikalnya. Melalui pengalaman dan pengamatan, dapat dipastikan bahawa hafalan Al-Quran dapat meningkatkan sistem imun tubuh pada seseorang dan membantu melindungi dari pelbagai penyakit.
Berikut adalah manfaat-manfaat hafalan Al-Quran, 
1. Fikiran yang jernih.
2. Kekuatan memori.
3. Ketenangan dan kestabilan psikologi.
4. Senang dan bahagia.
5. Bebas dari perasaan takut, sedih dan cemas.
6. Mampu bercakap di depan awam.
7.Mampu membina hubungan sosial yang lebih baik dan memperoleh kepercayaan dari orang lain.
8. Terbebas dari penyakit akut (acute illness).
9. Dapat meningkatkan IQ.
10. Memiliki kekuatan dan ketenangan psikilogis.
Kerana itu Allah berfirman, "Sebenarnya, Al Qur'an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim. "(QS Al-'Ankabut [29]: 49)
Ini adalah sebahagian dari manfaat di dunia. Ada manfaat-manfaat yang jauh lebih besar di akhirat, iaitu kebahagiaan ketika berjumpa dengan Allah, memperolehi keredhaan dan nikmat yang abadi, mendapatkan tempat dekat kekasih mulia Muhammad SAW.
* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber eramuslim.com

Laungan Tidak Kedengaran

IRFAN ES | .
Laungan Tidak Kedengaran
(Perobohan Kampung Chubadak Tambahan)

Hidup Melayu! – laungan yang tidak kedengaran
di Kampung Chubadak Tambahan
kerana para hipokrit, pengampu dan pengecut
telah tunduk bertelut
di kaki penipu perompak perampas
sepanjang mandatnya menindas mengganas.

Sekarang kita hanya menunggu masa
buat bencana yang pasti tiba
rumah-rumah sederhana, keluarga manusia
bakal dimamah jentera raksasa
dalam kebengisan penguasa
yang baru setahun lebih menang pilihan raya.

Melayu sepakat Islam berdaulat!
kini tinggal retorik kelat
seperti sejarah yang sering berulang, bahawa
kejatuhan sesebuah bangsa, petualangnya
datang dari kalangan mereka sendiri
yang korup yang khianat yang haloba
yang memakai slogan perjuangan rasisma!

Irfan ES, Jun 2014

Najib juga tidak setuju dengan Mais

http://shahbudindotcom.blogspot.com/ | .
Setelah beberapa hari berlakunya polemik mengenai kitab Bible yang enggan dipulangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais meskipun diarahkan berbuat demikian oleh Peguam Negara, Perdana Menteri, Najib Razak akhirnya mengeluarkan kenyataannya petang semalam dengan harapan kemelut itu dapat diakhiri dengan baik.

Peguam Negara memutuskan tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan terhadap Persatuan Bible Malaysia yang didapati memiliki Bible bahasa Melayu serta terdapat kalimah Allah didalamnya dan mengarahkan kitab itu dipulangkan semula kepada persatuan terbabit.

Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Selangor atau Mais yang menaungi Jais enggan mematuhi arahan Peguam Negara itu dengan alasan mereka di pihak yang betul serta mendakwa rampasan Bible itu mematuhi peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam).

Najib mengeluarkan kenyataan ini kerana di sebalik Jais atau Mais diminta mematuhi arahan Peguam Negara itu, semakin keras pula pendirian tidak mahu memulangkannya. Ini seolah-olah mengundang ketegangan yang berpanjangan.

Dalam kenyataannya, Perdana Menteri menggesa Mais berunding dengan Peguam Negara jika ia berpendapat Peguam Negara perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jais.

Apa maksudnya? Jelas bahawa Najib mahukan Mais berunding dengan Peguam Negara dan bukannya terus membuat keputusan tidak mahu memulangkan Bible itu sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini.

Maknanya, Najib tidak setuju dengan pendirian Mais yang yang tidak menggunakan kaedah rundingan dengan Peguam Negara, sebaliknya terus menyatakan tidak setuju dengan keputusan Peguam Negara serta enggan pula mematuhi arahan yang diberikannya.

Perdana Menteri menambah lagi, penyelesaian isu rampasan kitab Bible milik Perstuan Bible Malaysia itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan serta Undang-undang Negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.

Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mesti menghormati keputusan yant dibuat, demikian kata kenyataan oleh Najib itu lagi.

Apakah pula maksudnya? Ia tidak lain meminta Mais menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang menetapkan kuasa pendakwaan adalah terletak di tangan Peguam Negara. Jika Peguam Negara mengatakan tiada kes, keputusan itu hendaklah dihormati kerana itulah semangat memahami undang-undang dan Perlembagaan.

Namun demikian, sekiranya tidak berpuas hati, ia boleh dirayu atau dibincangkan kemudian dengan baik, tetapi bukannya dengan membantah secara terbuka. Membantah secara terbuka samalah dengan tidak menghormati Perlembagaan dan Undang-undang Negara.

Dalam kenyataan seterusnya, Najib juga berkata, kerajaan negeri Selangor, Mais dan Jais yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbirah hal ehwal Islam di Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan kitab Bible tersebut atau sebaliknya.

"Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.

"Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan juga kerajaan negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam," kata Najib dalam kenyataannya itu lagi.

Sangat jelas bahawa Najib ingin mengatakan bahawa walaupun Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain juga boleh diamalkan, dengan syarat tiada sebarang percubaan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.

Dalam konteks kitab Bible yang dirampas, ia dirampas di pejabat Persatuan Bible Malaysia dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak yang sememangnya kerajaan telah membenarkan penggunaan kitab Bible berbahasa Melayu di kedua-dua negeri tersebut.

Dalam masa yang sama, kitab Bible itu juga difahamkan diletakkan di tempat terbuka ketika rampasan dilakukan. Ini bermakna tiada kebarangkalian ia digunakan secara sembunyi atau cuba diedarkan secara sulit kepada umat Islam di Semenanjung.

Bukan saja tiada bukti Bible itu sebagai alat menyebarkan doktrin agama lain kepada umat Islam, bahkan kitab itu juga diletakkan di premis yang jelas kaitannya dengan agama Kristian.

Walaupun Najib menyerahkan kepada kerajaan Selangor, Mais dan Jais membuat keputusan akhir, tetapi adalah jelas beliau mahukan keputusan itu sentiasa dalam ruang lingkup menghormati Perlembagaan dan Undang-undang serta memahami kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Najib ini, tidak terselindung juga niat dan kemahuannya agar keputusan Peguam Negara itu dihormati oleh Mais. Kerajaan Selangor sendiri sudah pun akur dengan keputusan Peguam Negara itu, hanya Mais saja yang berkeras ketika ini.

Dengan penjelasan Najib agar menghormati undang-undang dan Perlembagaan, mengadakan rundingan jika tidak setuju dan memahami kebebasan beragama yang diamalkan, adalah diharapkan Mais dapat memahami bahawa bersikap keras, langsung tiada toleransi dan tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan, lebih mencemarkan Islam itu sendiri di mata bukan Islam.
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Konsep tahajud, tengok bola piala dunia

SUBKY LATIF | .
SAYA tidak pasti ketika tulisan ini tersiar pesta bola piala dunia di Brazil sudah berakhir atau masih ada lagi.
  
Tetapi yang nyata kaki bola sanggup bangun dua pertiga malam untuk menonton pesta bola piala dunia hingga ada yang tertinggal solat subuh.
   
Mungkin orang berjaga malam kerana menonton itu bukan engkar solat subuh, tetapi kerana lama berjaga hingga mengantuk menjelang fajar, mereka pun tertidur dan tidak terjaga waktu subuh, azan yang bingit pun tak terdengar.
  
Justeru bola, maka ada yang terabai fardu subuhnya. Menonton bola di TV itu kalau pun tidak berpahala mungkin diharapkan tidak berdosa. Tetapi kalau ia menyebabkan terabai fardu subuh, bukan saja berdosa tinggal subuh dalam waktunya, menonton bola itu jadi berdosa kerananya terabai sulat fardu.
   
Yang dapat dibuat supaya tidak tertinggal peluang menonton bola dan tidak pula tertinggal solat subuh ialah bangun lewat malam untuk beribadat sambil dapat pula menonton pertandingan bola secara lintas langsung dari stadium di  Brazil.
   
Jika sebelum ini tidak pernah berjaga malam untuk kiamulail dan solat tahajud, maka apa salahnya jadikan kesempatan menonton bola dini hari itu sebagai permulaan untuk mengubah cara hidup daripada tidak pernah kiamulail kepada kiamulail secara istiqamah.
   
Sekalian yang gila bola sebaik selesai solat fardu isyak terus tidur. Atau kalau melewat solat  isyak, tidur saja selepas maghrib.
   
Maka selepas dua pertiga malam bangunlah bagi memulakan solat tahajud atau yang belum solat  isyak, solat isyak dulu dan kemudian solat tahajud dua rakaat, atau empat rakaat atau lapan rakaat.
   
Lepas itu  ambillah peluang menonton bola sehingga masuk waktu subuh. Tinggalkan TV itu sekejap untuk menunaikan solat. Mungkin siaran langsung sudah berakhir semasa subuh. Jika belum berakhir fikirkanlah mahu menonton lagi atau menyambung tidur sebelum pergi  kerja.
   
Tetapi ingat, walaupun mulanya untuk menonton bola, jadikan menonton bola sebagai sambilan. Pasang niat, keutamaannya bukan untuk menonton bola tetapi adalah untuk mengubah hidup bagi memulakan kebiasaan malam bagi beribadat malam.
   
Mengutamakan ibadat seperti tahajud dan lain-lain dan meringankan menonton bola. Moga-moga Allah beri hidayat. Bermula dengan hendak menonton bola tetapi lekat jadi orang sentiasa bangun malam bagi menghidupkan malamnya.
   
Jika dipasang niat bangun untuk menonton bola, menjadikan bola itu keutamaan dan solat subuh diringankan atau sambilan saja, dibimbangi solat itu terlalu nipis pahalanya sama seperti nipisnya kulit bawang yang mudah koyak rabak.
   
Saya tidak mahu kata tidak berpahala, tetapi takut pahala kulit bawang saja.
  
Selepas tamat piala dunia jangan tidak bangun malam lagi. Bagi yang mula mendapat hidayat, sekalipun pesta piala dunia sudah tamat, dia tetap terus bangun lewat malam menunaikan tahajud dan mengisinya hingga masuk fajar. Tidak henti-henti hingga mati.
   
Mungkin akan tiba masanya, sama ada pesta bola atau tidak, orang yang dapat hidayat istiqamah dengan ibadat larut malam. Apabila kemudiannya adalah pula pesta bola lewat malam juga, moga-moga dia  merasa rugi mengurangkan waktu berdoa malam bagi menonton bola.
  
Tidak menonon awal pun tidak mengapa asal dia dapat menghidupkan masa malamnya dengan mendekatkan diri kepada Yang Maha Mencipta.

Pemuda Islam ASEAN akan kembali aktif

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Asean Muslim Youth Secretariat (AMSEC) yang ditubuhkan pada tahun 2000 pada zaman Mahfuz Omar sebagai Ketua Pemuda PAS akan kembali diaktifkan oleh Pemuda PAS sebagai usaha untuk mengabungkan kesatuan pemuda dirantau di Asia Tenggara. Ia akan memberi fokus terhadap isu-isu bersama umat Islam khususnya di rantau Asia Tenggara. Bagi menjayakan usaha ini, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan kumpulan Pemuda Islam Indonesia.

Pada 15 Jun 2014 di Jakarta, SUATU pertemuan dihadiri oleh Pak Karman, Ketua Pemuda PBB, Pak Herman Ketua Pemuda PPP dan pengerak AMSEC di Indonesia Pak Fatur Rahman daripada PBB. Dalam pertemuan berasingan, Ketua Pemuda PAS telah mengadakan pertemuan dengan Dr Saleh P. Daulay, Ketua Pemuda, Muhammadiyah di Masjid Azhar, Jakarta. Dr Saleh adalah salah seorang ahli Parlimen Indonesia daripada PAN. Pertemuan singkat juga diadakan dengan Dr Oni daripada Majlis Syariah Indonesia

Pemuda PAS yang mempunyai hubungan baik dengan pimpinan pemuda di Singapura, Filipina, Thailand, Rohingya dan Kemboja akan memudahkan untuk membina kekuatan AMSEC. Pengembangan PASTI peringkat antarabangsa juga akan membantu urusan ini. Dalam perbincangan bersama pemuda Islam Indonesia ini telah dipersetujui untuk mengadakan sesi 'Brainstorming' dalam waktu terdekat melibatkan pengasas AMSEC seperti Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Dr Raja Ahmad Iskandar, Pak Fatur Rahman dan lain-lain. Sessi ini akan menilai kembali usaha yang telah dibangunkan oleh generasi terdahulu dan bagaimana AMSEC boleh berperanan semula dengan lebih aktif dan melibatkan lebih ramai lagi keanggotaan parti politik dan NGO.

AMSEC pada zaman awal penubuhannya mengangkat Mahfuz Omar sebagai pengerusi dan Pak Hamdan Zulfa, Ketua Pemuda Partai Bulan Bintang Indonesia sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Salahuddin Ayub sebagai setiausaha sementara Dr Raja Iskandar sebagai sekretariat. AMSEC juga seawal usianya dianggotai oleh 17 organisasi dan parti politik, NGO serta gerakan mahasiswa di rantau Asean.

Pemuda PAS berharap AMSEC dapat memperjuangkan isu-isu umat Islam di Selatan Thailand, Rohingya dan Filipina. Umat Islam yang tertindas memerlukan bantuan daripada pemuda-pemuda. Usaha ini adalah termasuk dalam agenda ke dua Pemuda PAS Malaysia membina hubungan dengan organisasi dalam dan luar negara. Harakahdaily 18/6/2014

Sanusi pertikai pemberhentian Sabbarudin

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kabinet dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid (gambar) mempertikaikan tindakan memberhentikan Tan Sri Sabbaruddin Chik daripada jawatan Pengerusi Bank Rakyat dan menyifatkan bekas rakannya dalam kabinet itu sebagai berintergriti tinggi.

Menulis dalam blognya, Sanusi mendedahkan bahawa Sabbaruddin sepanjang pengetahuannya tidak pernah meminta untuk menjawat Pengerusi Bank Rakyat namun ditawarkan ke jawatan itu oleh menteri yang bertanggung jawab ke atas koperasi pada waktu itu.

"... Menteri yang bertanggungjawab ke atas koperasi di waktu itu, pernah menjadi Setiausaha Politik Tan Sri Sabbaruddin, maka tidak hairanlah jika Menteri berkenaan terfikir mengenai kelayakan bosnya dulu untuk dipertanggungjawabkan dengan tugas menjadi pengerusi bank.

"Sudah tentu menjadi Pengerusi Bank Rakyat itu lebih mudah dari menjadi seorang Menteri atau Setiausaha Agung Umno," ujarnya.

Mengimbau kembali persahabatannya dengan Sabbaruddin sejak di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sanusi menceritakan pengalaman rakannya itu ketika berkhidmat sebagai pegawai bank, setiausaha Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan dan aktivis politik.

"Kami juga, selain pernah duduk bersama di dalam Kabinet Malaysia, sama-sama berpengalaman menjadi Setiausaha Agung Umno Malaysia," tulis Sanusi.

Beliau turut menceritakan pengalamannya meminta bantuan Sabbaruddin untuk meluluskan pinjaman bagi mendirikan rumah di satu kawasan ketika rakannya itu menjawat Pengerusi Bank Rakyat.

"... permohonan saya telah ditolak kerana pendapatan pencen saya tidak mencukupi untuk membayar balik hutang jika diberi.

"Saya terima penolakan ini dengan hati terbuka dan dengan itu jelaslah bahawa Tan Sri Sabbaruddin tidak mengguna pengaruhnya untuk menolong kawannya, dan menyerah pihak pengurusan bank untuk membuat keputusan mereka secara profesional," katanya.

Sanusi mengakui tidak malu mendedahkan perkara itu kerana kesal dengan tuduhan sesetengah pihak yang menganggap Sabbaruddin seolah-olah mementingkan diri sendiri apabila mempertikaikan penamatan kontraknya sebagai Pengerusi Bank Rakyat.

"Bagi yang tidak emosional adalah perlu mereka melihat sebabnya Tan Sri Sabbaruddin diberhentikan.

"Jika seseorang itu menganggap keluhan Tan Sri Sabbaruddin itu tidak benar maka mereka membenarkan cara penggunaan dana Bank Rakyat tanpa mempedulikan tanggung-jawab kepada pemegang saham, yang menjadi pemilik bank itu, dan mereka juga membenarkan penyalahgunaan kuasa dalam memberi pinjaman sedemikian," tulis Sanusi.

Beliau turut mengakui terkesan dengan sebab pemberhentian Sabbaruddin berdasarkan pengalamannya sebagai pegawai kanan bank saudagar milik asing yang mementingkan profesionalisme dalam pengurusan.

Tulisan penuh Sanusi boleh diikuti di sanusijunid.blogspot.com - HARAKAHDAILY, 18/6/2014

Wednesday, 18 June 2014


(2 FOTO) EDISI GUNA KEPALA LUTUT ... KENA SAMAN SEBAB LETAK KERETA BETUL-BETUL UNTUK LALUAN KHAS KENDERAAN BOMBA.



Anggota polis terpaksa  bertindak mengeluarkan saman terhadap pemandu sebuah kereta MyVi hitam yang menghalang kenderaan bomba daripada keluar dari Balai Bomba dan Penyelamat.

Ini dinamakan bertindak dan berfikir menggunakan kepala lutut yang  langsung tidak ada kesedaran sivik.

Kejadian memalukan ini berlaku di Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Tuaran, Sabah.

Tidak boleh bayangkan jika ada berlaku kebakaran di bandar Tuaran Sabah ketika itu.

Timbalan Mufti Kedah mengajar Zahid Hamidi makna jihad

http://tikaqbuloh.blogspot.com | .
 
Alor Setar – Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, tiada istilah militan mahupun pengganas terhadap orang Islam yang berjuang untuk mempertahankan saudara Islam yang lain.

Menurutnya, istilah itu hanyalah tanggapan orang bukan Islam terhadap orang Islam untuk menggambarkan bahawa Islam itu mengajar keganasan.

“Berdasarkan hukum, umat Islam adalah dituntut untuk berjihad. Tetapi erti kata jihad terlalu luas dan dalam konteks situasi sekarang, kita perlu memberi tumpuan kepada jihad dalam negara terlebih dahulu.

“Bahkan Nabi juga berkata, siapa yang tidak ambil tahu berhubung umat Islam atau saudaranya yang lain, dia bukanlah daripada kalangan aku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, walaupun Islam menuntut untuk berjihad, tetapi kewajipan itu perlu diberikan kepada hal-hal dalam negara terlebih dahulu.

“Sekiranya kewajipan kita dalam negara sudah selesai, barulah dibolehkan untuk berjihad ke negara lain.

“Tetapi berjihad dengan cara memberi sumbangan kewangan dan doa pun sudah mencukupi. Jihad ini tidak bermakna kita perlu berjuang ke negara lain, cukuplah sekadar kemampuan kita,” katanya.

Jelasnya, kewajipan untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan sesuatu negara itu juga adalah tanggungjawab negara itu sendiri.

“Tidak salah sekiranya kita nak berjihad mempertahankan umat Islam di negara lain, tetapi kita perlu lebih berhati-hati kerana ia melibatkan hukum dan akidah.

“Kita perlu tahu punca sesuatu masalah itu lebih mendalam sebelum berjihad,” katanya. Sumber

[KETERALUAN] Najib Cuma Hadir 26 Kali Drp 358 Hari Sidang Parlimen

Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa menempelak sikap Datuk Seri Najib Razak yang kerap ‘ponteng’ sidang Parlimen sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, selepas lima tahun menjadi Perdana Menteri semenjak 2009, Najib hanya 26 kali hadir ke Dewan Rakyat sepanjang 358 hari persidangan.

“Tanggungjawab Perdana Menteri dan seluruh jemaah Menteri menjawab setiap pertanyaan.

“Malangnya, kadar kehadiran beliau, sama ada untuk menjawab soalan mahu pun menyertai perbahasan dengan Ketua Pembangkang, adalah sangat rendah,” kata Er pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau memetik Penyata Rasmi Dewan Rakyat yang menyatakan Najib hanya hadir ke Dewan Rakyat tidak sampai dua jam secara purata – dengan pengecualian ketika ucapan tetap – dari tahun 2009 sehingga kini.

Malah Najib tidak hadir ketika giliran ucapan Ketua Pembangkang pada sesi perbahasan Belanjawan.

“Jika guru merotan pelajar yang ponteng kelas – adakah rakyat perlu merotan Najib?”
kata Er, sinis.

Er cuba membangkitkan isu tersebut dalam ucapan penangguhannya esok, namun ditolak Setiausaha Dewan Rakyat atas alasan ia ‘bukanlah berkenaan apa-apa perkara tadbir dalam tanggungan Kerajaan’.

Alasan itu seolah-olah menunjukkan kehadiran Perdana Menteri selaku ketua kerajaan ke Dewan Rakyat bukan perkara utama.

“Adakah Perdana Menteri dan kerajaan tidak memahami tanggungjawab mereka? Parlimen adalah cabang pengasingan kuasa (legislatif) yang berperanan untuk semak dan imbang perlaksanaan dasar dan tugas Eksekutif,” tegas Er.

Beliau kini merayu kepada Dewan Rakyat bagi mendapatkan perisytiharan berhubung soal kehadiran Najib serta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi mempertimbang sesi soal jawab khas bersama Perdana Menteri setiap minggu bermula sesi Parlimen akan datang.

Er turut menyeru semua Ahli Parlimen menyokong cadangannya dengan menurunkan tandatangan pada surat rayuan dengan objektif merealisasikan kualiti pernahasan di Parlimen Malaysia bertaraf dunia.

“Sesi soal jawab itu penting memandangkan isu yang diutarakan dalam soalan lisan dan bertulis sudah ‘ketinggalan zaman’ (ketika jawapan diberikan),” tegas Er



ULASAN GB

Makan gaji buta nampaknya.

Umum mengetahui, Najib merupakan PM terburuk dan terboros yang Malaysia pernah ada. Menghabiskan wang negara sehingga hutang negara mencapai tahap tertinggi disamping tidak mahu bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat terhadap semua tindak-tanduknya .

Dan salah satu cara beliau untuk mempertahankan diri ialah menyaman media di atas tuduhan memfitnah seperti yang dilakukan ke atas malaysiakini.

Kebenaran tetap kebenaran. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Satu hari, beliau akan pasti terhukum juga akhirnya.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan