Ahad, 11 Mei 2014

PADA PRU13 MAJORITI 42.706....JAUH TU...JANGAN BUAT ALASAN 'MANGKUK'LAH

Penjelasan ‘Kondusif’ kepada Peragu-Peragu Hudud
Posted on Sunday, May 11 @ 21:25:21 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu



"Dr. Asri [2] kelihatan sebagai seorang idealis dengan mengharapkan dan menggambarkan suasana ‘impian yang indah’ bagi negara ini sebelum hudud dapat dilaksanakan. Mengambil iktibar dan bandingan suasana zaman Rasulullah s.a.w., setelah suasana stabil dan islamik dalam banyak keadaan (di negara ini, umpamanya isu rasuah dapat diatasi sebaiknya) barulah hudud datang sebagai pelengkap.

Seumpama tiada alasan munasabah untuk melakukan jenayah lagi, yang jika dilakukan dan dibuktikan, layakkan dia kepada hukum hudud. Alangkah indah visualisasi ini!

Saya seronok dengan impian Dr Asri di atas itu dan saya mahu berkongsi rasa dan fikir bahawa ia adalah waktu dan cara terbaik dalam melaksanakan hudud. Sekalipun ia kedengaran agak idealis namun kita akui ia tidak mustahil berlaku. Kita bahkan mengharapkan ia dapat berlaku secara begitu.

Tetapi adakah ia satu kemestian atau pilihan? Dan bila suasana itu akan menjelma?

Mengambilkira keadaan agak parah yang didedah dalam laporan ketua audit negara dan lain-lain isu semasa, suasana ‘indah’ itu masih terlalu jauh dari kita.

Persoalan lebih besar, adakah hudud perlu menunggu kepada kewujudan suasana itu, atau ia boleh hadir dahulu bagi membantu membentuk suasana ‘indah’ itu?

Suasana kondusif…. Emmm

Wahai peragu-peragu perlaksanaan hudud di luar sana!

Tidak kira pada apa jua bentuk dan jenis keraguan anda dan pada kadar apa keseriusan keraguan anda, bacalah hujah di bawah ini.

Sejauh Mana Suasana Kondusif Diperlukan Dalam Perlaksanaan Hudud.[3]
Isu perlaksanaan Hudud di Malaysia timbul kembali. Pelbagai pandangan dikemukakan dalam isu ini termasuklah keperluan suasana kondusif untuk melaksanakan Hudud. Ia telah dijadikan sesetengah pihak sebagai syarat perlaksanaan hukuman tersebut. Ia tidak boleh atau hendaklah ditangguhkan perlaksanaannya jika suasana tersebut tidak wujud.

Hudud sebagai Undang-Undang Negara:

Perlu difahami bahawa usaha yang dilakukan oleh PAS hari ini untuk melaksanakan hukuman Hudud adalah untuk menjadikannya sebagai undang-undang (taqnin). Ada pun selepas ia diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, kesalahan yang dilakukan akan diadili oleh hakim untuk melihat sejauh mana syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang yang diluluskan tersebut dipenuhi atau tidak.

Ramai yang meletakkan syarat kondusif untuk melaksanakan Hudud. Mereka lupa bahawa syarat tersebut tidak boleh menafikan hasrat PAS untuk menjadikan Hudud sebagai undang-undang. Syarat tersebut hanya boleh menafikan hukuman dijatuhkan apabila hakim membicarakan kes yang berkaitan setelah Hudud menjadi undang-undang, bukannya menafikan usaha menjadikannya sebagai undang-undang yang menjadi kewajipan terhadap orang Islam.

Mereka menggunakan hujjah tindakan Saidina Umar yang tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada pencuri pada tahun kelaparan (‘am al-maja’ah). Saidina Umar sebenarnya bukan tidak menjadikan Hudud sebagai undang-undang tetapi tidak menjatuhkan hukuman tersebut kerana tidak cukup syarat di bawah undang-undang Hudud yang sedia ada apabila berlakunya peristiwa tersebut. Hudud ketika itu telah pun menjadi undang-undang negara.

Justeru, tidak boleh dijadikan hujjah untuk menafikan Hudud dijadikan undang-undang dalam negara kita dengan merujuk kepada tindakan Saidina Umar r.a. tersebut.

Syarat kondusif yang dimaksudkan ialah tidak berlakunya syubhat (keraguan) dalam kes yang didakwa di mahkamah di bawah undang-undang Hudud. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Ditolak Hudud dengan sebab keraguan. [Riwayat Ibnu 'Adi]

Syubhat yang berlaku di zaman Saidina Umar sehingga beliau tidak menjatuhkan hukuman potong tangan ialah kecurian tersebut mungkin kerana dhorurat kelaparan yang membawa kepada seseorang mencuri. Orang yang mencuri ketika tahun kelaparan tidak disifatkan mencuri kerana dia melihat bahawa dirinya mempunyai hak terhadap apa yang diambil. Ada pun curi adalah apabila seseorang mengambil bukan haknya secara bersembunyi. (Lihat Dr. Al-Qaradhawi, As-Siasah As-Syari’yyah, 203).

Suasana yang tidak kondusif ini (suasana kelaparan) boleh dijadikan hujjah untuk tidak dijatuhkan hukuman kerat tangan di bawah hukuman Hudud yang telah menjadi undang-undang, bukannya hujjah untuk menafikan usaha menjadikan Hudud sebagai undang-undang negara.

Begitu juga jika terdapat kajian yang menunjukkan bahawa selepas dua kurun kewafatan Nabi s.a.w., Hudud tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim, begitu juga sejak zaman Abbasiyah tidak ada penekanan perlaksanaan hudud dan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan Hudud, semua kajian ini tidak menggambarkan bahawa Hudud tidak dijadikan undang-undang kerana ia mungkin tidak dilaksanakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam untuk hakim menjatuhkan hukuman terhadap pesalah di bawah undang-undang Hudud.

Kondusif dan Maqasid As-Syariah:

Terdapat juga sebahagian yang berpandangan bahawa kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman Hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan iaitu tertegaknya keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Contoh yang dibawa ialah dalam kes mencuri. Pada pandangan mereka, Tujuan Islam bukan ingin memastikan tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah memastikan bahawa apabila hukuman tersebut dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Jelas bahawa pandangan ini mengaitkan isu kondusif dengan maqasid As-Syariah (matlamat hukum disyariatkan). Tidak dapat dinafikan bahawa tujuan perlaksanaan hukuman Hudud adalah untuk menjaga lima perkara yang dikenali sebagai Ad-Dhoruriyyat Al-Khamsah iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. (lihat As-Syatibi, Al-Muwafaqat, 2: 8)

Pun begitu, perlaksanaan hukuman tersebut tidak boleh bergantung perlaksanaannya semata-mata kepada berjaya atau tidak dalam mencapai tujuan pensyariatan (maqasid as-Syariah) untuk menjaga lima perkara tersebut.

Ini adalah kerana hukuman yang ditetapkan oleh Allah secara nas seperti hukuman Hudud wajib dilaksanakan dan perlu diyakini bahawa ia pasti mempunyai maslahat dan dapat dicapai. Tidak timbul ia kemungkinan tidak dapat dicapai kerana ia datang daripada Allah yang pasti dapat dicapai maslahatnya.

Bukan urusan kita untuk memikirkan berjaya atau tidak matlamat tetapi kita hanyalah dituntut melaksanakan hukuman tersebut dan seterusnya perlu yakin bahawa matlamat tersebut pasti akan tercapai.

Ia adalah umpama kewajipan solat yang mempunyai matlamat yang dinaskan oleh Allah untuk mencegah daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; (Al-Ankabut: 45)

Sembahyang yang diperintahkan oleh Allah mesti dilaksanakan walaupun mungkin pada pandangan mata kasar kita matlamat daripada pensyariatan sembahyang (mencegah perbuatan keji dan mungkar) tidak tercapai.

Begitu juga kewajipan menunaikan fardhu puasa di bulan Ramadhan. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [Al-Baqarah: 183]

Puasa yang telah difardhukan oleh Allah s.w.t. mesti dilaksanakan. Tercapai atau tidak matlamat menjadi orang yang bertakwa bukan menjadi neraca dalam menentukan samada ia perlu dilaksanakan atau tidak.

Mewujudkan suasana keadilan:

Tidak dapat dinafikan bahawa Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang Hudud telah mewujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suasana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Pun begitu, perlu difahami bahawa suasana keadilan adalah berbentuk subjektif yang sukar untuk dinilai. Untuk menentukan sama ada suasana itu wujud atau tidak hanyalah akan menyebabkan orang yang tidak mahu melaksanakan hukuman Hudud akan beralasan tidak wujud suasana keadilan walaupun pada hakikatnya tidak demikian.

Sebagai contoh di negeri Kelantan, menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerajaan Pas Kelantan sudah menyiapkan asas kukuh untuk pelaksanaan hukum Hudud berlandaskan konsep ubudiyah (kepatuhan), itqan (tekun) dan masuliyah (bertanggungjawab) dalam pentadbirannya. Penerangan kepada masyarakat juga dibuat berterusan melalui kuliah agama terutama pada setiap hari Jumaat mendapat sambutan menggalakkan daripada umum. Pelaksanaan program kebajikan oleh kerajaan negeri setakat ini sudah mencukupi untuk menghalang niat sesetengah pihak melakukan perkara yang menjadi kesalahan dalam peruntukan Hudud akibat desakan kewangan seperti projek Al-It’am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Ini semua persiapan untuk membolehkan rakyat berasa tidak perlu lagi mencuri, menipu dan merompak. Jadi asas kondusif ini sudah cukup baik di Kelantan.

Ini adalah perspektif daripada T.G. Nik Abdul Aziz tentang suasana keadilan di Kelantan. Pun begitu, bagi yang tidak mahu menjadikan hukuman Hudud sebagai undang-undang akan memberi dan mencari pelbagai alasan untuk menunjukkan ketidakadilan suasana di Kelantan.

Justeru, penulis melihat suasana keadilan tidak boleh menjadi penanda aras dalam menentukan sama ada hukuman Hudud boleh dijadikan undang-undang atau tidak. Pun begitu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk mewujudkan suasana keadilan ini agar apabila sesuatu kes yang dibicarakan di bawah undang-undang Hudud dapat berjalan dengan adil dan saksama dan tidak -adanya syubhat

--------------------

Semoga artikel ini menghilang atau mengurangkan keraguan peragu-peragu pada kemampuan Kelantan untuk melaksanakan hudud.

Semoga peragu-peragu Hudud akhirnya mengakui;

terbukti sekarang suasana atau keadaan adalah kondusif!….”

hisham-ahmad.blogspot.com


[1] Maksudnya peragu-peragu kepada kesediaan atau kemampuan Kelantan untuk melaksanakan Hudud.

[2] Ini kelebihan Dr Asri yang meletakkan dirinya lebih dihadapan daripada kumpulan ilmuan muda yang mendakwa bermanhaj salafi. Sekalipun, Dr Asri dipercayai masih tegas dalam sunnah pada aspek ibadah khususiah tetapi sangat dinamik dalam soal politik dan isu semasa. Pemikiran dan tindakan beliau kelihatan menuruti manhaj ulama terulung abad ini, Dr Yusuf Qaradhawi. Pada masa yang sama seperti ada pengaruh pemikiran Dr Tariq Ramadan, pada aspek positif.

[3] satu artikel yang disediakan oleh Kumpulan Penyelidikan Ulamak Pelapis, Dewan Ulama PAS Pusat yang diketuai oleh ustaz Ahmad Mouhyideen Hasyim. - http://www.niknasri.com/?p=11795
"


................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh:
HishamAhmad
Posted on Sunday, May 11 @ 21:25:21 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu


Caj tambahan: Mana istilah tambang murah AirAsia?

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Keputusan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia yang mengenakan caj tambahan baharu kepada semua penumpangnya yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula semalam dilihat menekan pengguna.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang kecewa dengan keputusan tersebut meminta agar AirAsia mahupun Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) lebih prihatin dengan apa yang dihadapi penumpang.

"Sepatutnya kos pengunaan AirAsia dikekalkan sepertimana penggunaan Terminal Tambang Murah (LCCT) sebelum ini.

"Keputusan meletakkan caj tambahan dari kos yang asal adalah tidak berpatutan kerana ia memberi tekanan kepada pengguna.

"Kalau semua kos tambahan dikenakan kepada pengguna, di mana istilah tambang murah," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang meminta kedua-dua pihak, AirAsia dan MAHB mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai caj-caj tambahan berikutan penggunaan KLIA2.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar memberitahu caj RM3 dikenakan kepada setiap penumpang berikutan penggunaan sistem daftar masuk baharu yang disediakan oleh pengendali terminal tersebut, Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB).

Menurut Aireen, caj RM3 itu tidak termasuk bayaran penggunaan jambatan udara yang turut dikenakan kepada penumpang ketika proses tempahan tiket penerbangan.

"Kenapa penumpang yang menjadi mangsa bila adanya caj tambahan, sepatutnya kedua-dua syarikat tersebut cari jalan penyelesaian dan bukannya meletakkan beban kepada pengguna.

"Saya berharap ia dapat diselesaikan dengan baik, caj tambahan tidak memberi manfaat kepada pengguna sebaliknya hanya menguntungkan satu pihak sahaja," sambung Ahli Parlimen Pokok Sena itu. - HARAKAHDAILY 11/5/2014

M'sia dijangka alami musim kering lagi

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan akan berlaku musim kering dalam tempoh empat bulan bermula pertengahan Mei ini hingga awal September.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata dalam tempoh itu negara mengalami Monsun Barat, di mana lebih banyak hari akan dilalui tanpa hujan.

"Bagaimanapun, hujan masih boleh dijangkakan berlaku pada waktu pagi terutama di kawasan pantai negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia," kata kenyataan itu.

Selain itu, pihaknya juga menjangkakan hujan adalah kurang daripada paras normal pada bulan Jun untuk semua negeri dan kembali kepada paras normal mulai Julai hingga September kecuali Sarawak.

Sebelum ini beberapa negeri di seluruh negara berdepan catuan air ekoran cuaca kering yang melanda negara sejak hujung Februari lalu sehingga hujung April. - HARAKAHDAILY 11/5/2014

Pemilihan PKR: 17 cabang belum selesai, keputusan 19 Mei

HARAKAHDAILY | .
SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 17 cabang lagi masih belum selesai proses pengundian bagi Pemilihan PKR 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, keputusan penuh dijangka 19 Mei ini iaitu sejurus semua cabang selesai menjalankan proses pengundian.

“Kita tunggu semua proses pemilihan berakhir pada 18 Mei. Kita masih ada lagi 17 atau 18 (pemilihan cabang).

“Kita akan kendalikan beberapa cabang yang kita tangguhkan dan batalkan akibat masalah teknikal dan masalah keraguan,” katanya dipetik Selangorkini.

Pada 5 Mei lalu, JPP telah mengadakan satu mesyuarat untuk membincang isu-isu berkaitan perjalanan Pemilihan 2014, khususnya isu 17 Cabang yang mana proses pengundian telah didapati bermasalah. - HARAKAHDAILY 11/5/2014

Hasil mesyuarat itu memutuskan 17 cabang berkenaan akan mengadakan pemilihan bagi peringkat Cabang dan/atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada hari Sabtu 17 Mei 2014.

Calon PAS hanya bawa simbol roket – Mat Sabu

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan ‘menghantar’ calon untuk bertanding dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di majlis perasmian pusat operasi utama PRK Bukit Gelugor, Pulau Pinang, lapor Roketkini semalam.

Sehubungan itu, katanya, calon PAS pada kali ini akan bertanding dengan membawa logo roket.

“PAS akan hantar calon, iaitu calon yang dihantar oleh DAP,” umumnya disambut sorakan hadirin.

Menurut beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, sesiapa yang mengaku ahli PAS dan menghantar borang pada hari penamaan calon adalah bukan ahli PAS dan bukan calon yang direstui.

“Calon PAS hanya bawa simbol roket!” tegas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Beliau menyifatkan PRK Bukit Gelugor adalah simbol perjuangan demokrasi dan perlembagaan dan pengundinya pula mewakili keseluruhan rakyat Malaysia.

Mohamad menegaskan, PAS akan bekerja keras bersama-sama jentera Pakatan Rakyat untuk memenangkan calon yang dihantar oleh DAP.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada 17 April lepas.  

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 21 Mei manakala penamaan calon pada 12 Mei.  

Pada PRU13 lalu, mendiang Karpal Singh yang mendapat 55,839 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memungut 13,597 undi. - HARAKAHDAILY 11/5/2014

MCA beri alasan 'hudud' sebab tak tanding PRK

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: MCA memberi alasan tidak mahu bertanding Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor kerana mahu menumpukan kepada krisis perlembagaan dalam isu hudud.

Alasan itu dinyatakan Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai menafikan dakwaan bahawa parti itu takut kalah jika bertanding pada PRK itu.

"Kami turut mendapatkan pandangan di peringkat akar umbi serta keputusan untuk tidak bertanding dibuat dengan restu parti komponen Barisan Nasional," katanya semalam.

Walaupun tidak bertanding pada kerusi tradisi parti itu, Liow berkata parti itu akan terus memberi khidmat kepada penduduk kawasan Parlimen Bukit Gelugor.

"Kami kini dalam proses transformasi. Kami kini cedera dan perlu pulih dengan segera," katanya.

PRK Parlimen Bukit Gelugor akan diaakan 25 Mei ini manakala penamaan calon akan diadakan esok. - HARAKAHDAILY 11/5/2014

Tugas ibu selagi mata tidak tertutup - Wan Azizah

LIZAWATI MADFA | .
SUBANG JAYA: Golongan wanita hari ini dinasihatkan untuk bijak memainkan peranan dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan, seterusnya membentuk generasi yang baik pada masa hadapan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata wanita bukan sahaja terpaksa menggalas tugas professional di luar tetapi turut menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Bagaimanapun keadaan ini, katanya, tidak akan menghalang seorang wanita untuk melakukan yang terbaik demi keluarga tersayang.

“Seperti saya, walaupun dalam keadaan sekarang sudah tua, saya masih lagi kadang kala rasa bersalah andai saya tidak melakukan yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga kerana saya tinggalkan mereka untuk keluar bekerja.

“Tugas ibu ini tidak akan habis, tugas ibu hanya selesai apabila sudah tutup mata.

“Ketika itu, barulah seorang ibu akan berhenti daripada memikirkan keluarga dan anak-anak,” ucapnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 300 hadirin yang diraikan dalam Sambutan Hari Ibu anjuran Pejabat DUN Subang Jaya di Dewan Serbaguna SS15 di sini semalam.

Hadir sama ialah Adun Subang Jaya yang juga Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Mengulas sambutan hari ini, Hannah berkata pihaknya berhasrat untuk mengadakan lagi keraian serupa bagi mengukuhkan perhubungan antara komuniti di Subang Jaya.

“Hari ini kita menjemput wanita daripada pelbagai kumpulan termasuk daripada masjid, gereja, tokong Buddha dan kuil Hindu untuk mereka berkumpul bersama dalam satu majlis.

“Dengan ini, setiap mereka dapat bertukar pandangan, saling berkenalan dalam satu suasana harmoni.

“Ini dapat memupuk rasa kasih antara kita semua dan mengukuhkan ikatan yang terjalin,” katanya.

Hudud: Gerakan tidak perlu bertanding PRK Teluk Intan

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Jika hujah hudud digunakan oleh MCA untuk tidak meletakkan calonnya pada Pilihan raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Gerakan juga wajar berpendirian yang sama di Teluk Intan kerana kedua-dua parti itu sama-sama menolak hudud.

“Malah, Gerakan turut membuat komen yang lebih menyinggung umat Islam mengenai hudud dengan mengatakan wanita dan kanak-kanak lebih menjadi sasaran jika hukum itu dilaksanakan,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya semalam.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan pada 31 Mei ini berikutan kematian Seah Leong Peng daripada DAP pada 1 Mei lepas.

Pada PRU13 lalu, Seah Leong Peng yang memperolehi 27,399 undi memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 7,313 menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan yang mendapat 20,086 undi dan  K Moralingam (Bebas) yang mengutip 279 undi.

Dalam pilihanraya kecil itu nanti, Mah yang kini sudah menjadi Presiden Gerakan dikhabarkan akan dicalonkan sekali lagi. Tetapi memandangkan hari penamaan calon pada 19 Mei, belum ada sebarang keputusan lagi dibuat ketika ini.

Menurut Shahbudin lagi, walaupun Gerakan tiada kerusi menteri atau timbalan menteri yang boleh diharapkan berikutan calonnya kalah dalam pilihan raya lalu, mereka wajar bersama dan bersatu hati dengan MCA dengan sama-sama melupakan kepentingan PRK Bukit Gelugor dan Teluk Intan demi perjuangan menentang hudud yang sedang dilalui.

“Oleh kerana MCA dan Gerakan memikirkan menentang hudud itu lebih penting, maka biarkanlah DAP menang percuma di kedua-dua kerusi itu. Lagi pula, sama seperti MCA di Bukit Gelugor, peluang Gerakan juga agak tipis di Teluk Intan,” tulisnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/5/2014

Baca lagi

Bukan pertandingan siapa paling kuat tolak hudud

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa semua ahli Parlimen tidak terperangkap dengan sindrom Islamofobia yang kini sedang menjadi alat menyekat apa sahaja unsur yang beraliran Islam.

Bagi Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid, MCA dan Gerakan yang meraih kesempatan untuk menyerang dan mencabar DAP untuk mengugut PAS dalam isu hudud adalah suatu politik kebudak-budakan.

“Ternyata dalam isu ini kematangan politik hampir dipupuskan oleh mereka yang cuba menjuarai isu antihudud, seolah-olah ada suatu agenda pertandingan, siapa paling kuat menolak hudud sedang diperlihatkan dalam medan politik negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, sebagaimana di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) merumuskan reaksi panik yang ditampilkan terhadap hudud oleh MCA dan Gerakan yang menjadi rakan anggota Umno dalam BN, jelas membuktikan Umno gagal memahamkan mereka mengenai undang-undang jenayah syariah walaupun setelah selama 56 tahun negara ini merdeka.

Semua anggota BN nampaknya tidur sekelambu tetapi tidak dibenarkan bermimpi dengan mimpi yang sama. Akhirnya akibat bersekutu tetapi sarat dan tebal dengan perasaan asobiyah menyebabkan prasangka bersarang apabila isu hudud ditampilkan.

Oleh itu, tidak terlalu mengejutkan reaksi mereka sedemikian rupa sehingga pandangan negatif ditunjukkan kepada cadangan PAS mahu membentang bil persendirian mengenai hudud pada sidang Parlimen yang akan datang.

Malah sikap negatif terhadap hudud yang diperlihatkan oleh pemimpin Umno sendiri selama inilah telah menyemaikan persepsi negatif malah fobia terhadap hukum Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Ironinya dan malang sekali, walaupun undang-undang jenayah sivil yang dirangka berasal dari penjajah itu terbukti tidak berkesan dan ada kalanya menzalim mangsa dan yang tertuduh, ia tetap pula diterima dan diguna pakai.

Undang-undang jenayah sivil yang berasal dari common law British itu sendiri penuh dengan ketidakadilan, namun oleh kerana ia bukan dari Islam, orang bukan Islam dan kelompok sekular terdiri dari kalangan orang Islam sendiri boleh menerimanya tanpa bantahan.

Padahal undang-undang jenayah syariah yang meliputi penjagaan akal, nyawa, harta, agama dan keturunan itu cukup menjamin keadilan dan dan terbukti boleh mengekang perlakuan jenayah.

Kesangsian terhadap hukum hudud adalah dari prejudis yang telah disemai oleh pemimpin Umno sendiri dengan melabelkannya  hudud PAS. Pada hal hukum hudud itu digubal melalui pembentangan dan kelulusan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu dan Kelantan.

Jika ia benar bukan hukum hudud seperti yang dikehendaki Islam kenapa ia tidak ditegur sendiri oleh badan tertinggi agama di negeri masing-masing iaitu Majlis Fatwa Negeri.

Kami melihat sikap bebal dan dangkal yang cuba diprovokasi oleh MCA dan Gerakan dengan mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum hudud hanya menunjukkan bahawa ia terbit dari prejudis politik dan serangan pemimpin Umno yang menentang ia dibentangkan di Parlimen.

Apakah ruang yang lebih baik untuk diperdengarkan usul hukum hudud kalau tidak di Parlimen? Soal ia akan diterima melalui undi ahli Parlimen atau tidak adalah soal kedua. Yang penting Parlimen tidak boleh menghalang ianya dibentang dan dibahaskan.

MCA dan Gerakan menunjukkan taringnya dan membayangkan mereka sanggup memikir semula keanggotaannya dalam BN jika Umno menyokong bil persendirian (private bill) yang akan dibentang oleh wakil rakyat dari Kelantan.

Kami berpendapat bahawa adalah menjadi suatu tindakan yang tidak demokratik jika mana-mana pihak sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat tidak memberi peluang ia dibentang buat kali pertamanya.

Jika semua rang undang-undang bukan Islam dibenarkan dibentangkan apakah yang menjadi terlalu bermasalah untuk membenarkan undang-undang Islam dibentangkan di Parlimen.

Kami menggesa semua ahli Parlimen tidak terperangkap dengan sindrom Islamofobia yang kini sedang menjadi alat menyekat apa sahaja unsur yang beraliran Islam.

MCA dan Gerakan yang meraih kesempatan untuk menyerang dan mencabar DAP untuk mengugut PAS dalam isu hudud adalah suatu politik kebudak-budakan.

Ternyata dalam isu ini kematangan politik hampir dipupuskan oleh mereka yang cuba menjuarai isu anti hudud. Seolah-olah ada suatu agenda pertandingan, siapa paling kuat menolak hudud sedang diperlihatkan dalam medan politik negara.

Saling mencabar dan menujukkan keberanian menolak hudud kini sedang dipamerkan oleh parti yang hanya berkepentingan politik bukan menjaga keselamatan awam daripada jenayah yang kini gagal dibendung oleh undang-undang sekular yang digunapakai sekarang. - HARAKAHDAILY 9/5/2014
Like · ·


BN : Beban Negara !!!!
Renung2kanlah apa yg diperkatakan DrMAZA.com...

 
Abu Hashim Jalal added a new photo.
7 mins ·
Like · ·

Hudud: Wanita MCA pula buat laporan polis

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR:  Wanita MCA semalam membuat laporan polis berhubung hasrat PAS membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Setiausaha Agungnya, Ooi Siew Kim berkata usul yang akan dibentangkan di Parlimen itu bakal menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama, seterusnya mengancam dan menjejaskan ketenteraman rakyat secara umum.
"Tindakan PAS ini telah mengakibatkan kerisauan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat terutamanya kaum wanita," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, kira-kira pukul 4 petang.
Kelmarin, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata Kelantan bersedia membawa usul rang undang-undang persendirian di Parlimen selewat-lewatnya November ini.
Beliau berkata draf undang-undang itu telahpun siap dan majoriti rakyat bukan Islam di Kelantan turut menyokong pelaksanaan hukum hudud. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan