Sabtu, 24 Mei 2014

LEBIH RAMAI LAGI PENYOKONG DAN PENDOKONG ISLAM KECUALI MEREKA MENERIMA PUJUKAN SYAITAN/IBLIS ATAU MEMANG INGIN JADI TENTERA IBLIS

Pemimpin terlibat tragedi Memali perlu bertaubat - Presiden PAS

NAZRI ABDULLAH | .
BALING: Para pemimpin yang terlibat dengan keputusan menyerang Memali sehingga mengorbankan 14 nyawa, perlu bertaubat, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap pada ceramah di Himpunan Keadilan Untukmu Memali di sini malam tadi, Presiden PAS itu menjelaskan, tindakan pihak berkuasa ketika itu jelas salah dan berlaku zalim.

Menurut beliau, Allah meletakkan membunuh adalah termasuk dosa besar, di mana walaupun membunuh satu nyawa dikira seperti membunuh manusia seluruhnya.

"Apa yang dibuat Umno dalam peristiwa memali ini jenis apa. Tidak syak lagi Ia satu peristiwa kezaliman.

"Bagi kita orang Islam, wajib pemimpin yang terlibat kena bertaubat. Yang masih duduk dalam Umno tinggal lah Umno," katanya dihadapan hampir 20,000 hadirin.

Ustaz Hadi menjelaskan, peristiwa berdarah yang berlaku hampir 29 tahun lalu itu adalah berpunca daripada ketegangan yang diwujudkan oleh kerajaan dan Umno itu sendiri.

Sehari sebelum kejadian katanya, Ustaz Yusof Rawa yang juga Presiden PAS ketika itu menghubungi beliau memaklumkan pihak polis mungkin akan datang meminta beliau memujuk Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakan menyerah diri.

"PAS ketika itu membuat keputusan bukan Ustaz Ibrahim serah diri,  tapi kerajaan mesti mengaku salah dan membatalkan keputusan untuk menahan beliau dan rakan-rakan di bawah ISA," ujarnya sambil mendakwa kemudian berlakulah serangan keesokannya yang menyebabkan 14 nyawa terkorban.

PAS juga ketika itu katanya turut berdepan dengan majlis fatwa kebangsaan yang memfatwakan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya sebagai 'Shibghul Bughah'.

Sedangkan kata beliau, fatwa itu songsang dan tidak ada dalam kitab fekah.

Peristiwa Memali juga kata beliau, turut membabitkan nama beliau apabila dikatakan syuhada yang terlibat ini terpengaruh dengan apa yang disebut sebagai 'Amanat Haji Hadi'.

"Sehingga saya terpksa menulis sebuah buku menjawab tuduhan ini dan menerangkan apa makna jihad.

"Sehingga sekarang tidak ada pihak yang menjawab" katanya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, ramai pemimpin Umno termasuk menteri dan pegawai polis sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan itu.

"Ketika saya berceramah di Pulau Pinang selepas beberapa hari peristiwa Memali, tidak malu-malu seorang anggota polis datang ke hadapan memeluk dan memegang tangan saya mengatakan maaf, saya tidak bersalah, ketua memaksa saya," katanya. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

Sekelip mata 5 beradik jadi yatim piatu

http://sedakasejahtera.blogspot.com | .
10:04 PM
KUALA LUMPUR: Lima beradik menjadi yatim piatu dengan sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut digilis sebuah lori dalam satu kejadian langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh memberitahu kejadian berlaku pada jam 8 pagi apabila kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal Honda EX5 dari arah Cheras menuju ke jalan Chan Sow Lin.
"Motosikal yang ditunggangi mangsa secara tiba-tiba hilang imbangan menyebabkan kedua-dua mereka jatuh ke jalan raya sebelum dilanggar oleh sebuah lori," kata Mohan.

Mangsa kemudian digilis oleh lori tersebut yang kemudiannya bertindak meninggalkan tempat kejadian.

Identiti mangsa dikenali sebagai Jefri Mohd Zain, 50 dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40 dan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis masih lagi mengesan lokasi pemandu lori tersebut dan saksi kejadian digesa tampil untuk membantu siasatan.

Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Bantuan dan sumbangan anda amat diperlukan..

Susulan kes kemalangan maut pasangan suami isteri yang digilis lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Loke Yew pagi tadi. Pasangan tersebut meninggalkan 5 orang anak berumur diantara 3 hingga 15 tahun. 
 Alamat rumah : 3-2-18 blok 3, jalan 7/154d, taman desa cheras, cheras kuala lumpur.
Kami sepakat admin2 page memberikan amanah kepada pemilik akaun ini untuk menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa..

No akaun: 164593088136 (Maybank)
Nama pemegang akaun: Ramlah Jais

Hudud: Media berbahasa Cina perlu beri gambaran jelas

ASLANI M | .
KOTA BHARU: Media-media tempatan terutamannya berbahasa Cina diharap memainkan peranan menjelaskan isu hudud bagi membolehkan masyarakat bukan Islam lebih faham.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, media sewajarnya memainkan peranan proaktif bagi menjelaskan segala kekeliruan yang timbul.

“Apa yang berlaku  sekarang didapati masyarakat bukan Islam kurang memahami apa yang dimaksudkan sebagai perundangan hudud.

“Keadaan tambah mengelirukan lagi apabila laporan media tidak jelas mengenai perkara itu. Sepatutnya kalau media tidak tahu mereka datang berjumpa kami.

“Editor perlu mendapat kefahaman yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas program penjelasan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II kepada masyarakat bukan Islam di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Dr Mohamad Fadhli Hassan, Datuk Nassurudin Daud, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng.

Selain itu Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Kelantan, Ooi Poh Chung, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Lee Sing Loong.

Lebih 100 masyarakat bukan Islam termasuk India dan Siam serta penghulu-penghulu tanpa mukim hadir pada program tersebut.

Petang semalam difahamkan MCA turut menganjurkan program penerangan mengenai hudud di pejabat parti tersebut yang dihadiri kira-kira 50 ahli parti itu.

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan membawa private member’s bill ke parlimen bagi membolehkan Kelantan dapat melaksanakan perundangan hudud bagi masyarakat Islam di Kelantan.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri sedia berbincang dengan sesiapa sahaja termasuk Umno bagi menjelaskan mengenai hukum hudud.

“Kami bersedia pada bila-bila  masa sahaja bagi menjelaskan perundangan tersebut kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun penjelasan kepada masyarakat bukan Islam akan dipertingkat lagi memandangkan masih ramai masih keliru lebih-lebih lagi laporan media yang agak mengelirukan,” katanya.

Pada program itu beberapa wakil  masyarakat Tionghua mahu kepastian perundangan hudud benar-benar tidak dikenakan terhadap masyarakat  bukan Islam di Kelantan.

Merungkai masalah itu Mohd Amar berkata, analogy yang mudah untuk difahami seperti juga dengan sembahyang dan puasa tidak dikenakan terhadap orang bukan Islam.

Bagaimanapun bagi orang beragama Islam yang didapati bersalah tidak akan terlepas dengan perundangan hudud kerana mereka menganut agama Islam.

Dr Fadhli pula menjelaskan hanya  enam kes sahaja yang boleh dikenakan hukuman hudud iaitu mencuri, merompak,  berzina, menuduh orang berzina, minum arak dan murtad.

Menjawab soalan lain Mohd Amar berkata, pelabur tidak perlu gusar terhadap pelaksanaan perundangan hudud kerana keadaan negeri lebih aman dan sentosa daripada perlakuan jenayah.

“Pelabur hanya akan berminat  datang untuk melabur apabila berlaku kestabilan politik dan keselamatan mereka terjamin.

“Hudud akan menjamin untuk melahirkan keamanan dalam negeri. Ini boleh dilihat di Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu dan Qatar yang melaksanakan perundangan Islam tetap didatangi pelabur-pelabur dari barat,” ujar Mohd Amar. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

Lebih ramai Dyana Sofya akan lahir - Mat Taib

NAZRI ABDULLAH | .
BALING: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, peristiwa berdarah Memali telah menjejaskan imej kerajaan Umno BN keseluruhannya.

Malah kata beliau, dengan pendedahan terbaru bekas Menteri Dalam Negeri Tun Musa Hitam dan diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, maka 'krisis kredibiliti' sedang berlaku.

"Ada satu krisis kredibeliti sekarang, krisis kewibawaan. Maka ini kena ada satu penyelesaian segera," katanya pada ceramah Himpunan Keadilan Untukmu Memali di sini malam tadi.

Menurut beliau lagi, jika kerajaan BN masih tidak mahu membetulkan fakta sejarah Memali ini, maka parti itu perlu bersedia untuk menerima hakikat lebih ramai anak muda akan menyanggah perjuangan BN.

"Termasuk seperti calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya, malah lebih ramai lagi akan lahir anak muda yang menyuarakan pendapat mereka, menyanggah perjuangan BN ibu bapa mereka, kerana krisis kredibiliti ini," kata beliau.

Cara kerajaan menangani isu Memali ini juga kata beliau, satu lagi perkara yang menjadi bahan lawak kepada rakyat.

Ia katanya tidak ubah seperti isu panda, kangkung dan membeli seekor ayam degan harga RM1, yang kini menjadi bahan ejekan rakyat kepada kerajaan BN.

"Bagaimana kerajaan boleh buat cerita fitnah bunuh sebegini.

"Saya baca dalam al-Quran, kalau kita bunuh orang beriman, kita masuk dalam neraka dan kita kekal dalam neraka," tambahnya.

Menurut Muhammad, peristiwa Memali yang mengorbankan 14 orang termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud atau ustaz Ibrahim Libya, berlaku setahun sebelum beliau menjadi besar Selangor.

Beliau berkata, ianya adalah satu tindakan kezaliman dan kerajaan perlu segera meminta maaf dan membetulkan segera fakta itu. - HARAKAHDAILY 24/5/2014


Sabtu, 24 Mei 2014

Belanja panda boleh bina 2000 rumah kos rendah
Posted on Thursday, May 22 @ 16:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu



KUALA LUMPUR: Sikap kerajaan BN yang langsung tidak menghiraukan bantahan rakyat terhadap projek meminjam dua beruang panda dari China yang menelan belanja RM70 juta bagi tempoh 10 tahun terus menerima bantahan dan kritikan pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kos RM25 juta untuk pembinaan ekshibit panda itu di Taman Wetland Putrajaya, RM3 juta bayaran tahunan kepada Kerajaan China selama 10 tahun berjumlah RM 30 juta, dan RM1.5 juta kos penjagaan tahunan oleh Zoo Negara selama 10 tahun bernilai RM15 juta,  adalah suatu pembaziran.

"Kerajaan membelanjakan wang rakyat bukan pada keperluan pada ketika rakyat sedang sengsara menanggung kenaikan kos sara hidup dan akan dikenakan GST bermula April tahun depan.

"Pada masa sama, masih ramai warga negara kita yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar tanpa memiliki sebuah kediaman atau kediaman yang lebih selesa untuk diduduki.

"Sebahagian besar daripada mereka juga tidak mendapat akses pendidikan kerana tidak berupaya menanggung yuran pengajian," ujarnya.

Menurut beliau, pada 2010 kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati 1,387 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang tidak mampu menyewa atau membeli rumah.

Dana RM7 juta setahun yang diperuntukkan kepada dua ekor panda itu, ujarnya mampu membina 200 rumah kos rendah berharga RM35,000 seunit.

"Dengan RM 7 juta setahun juga kerajaan mampu menanggung yuran pengajian 200 pelajar universiti tempatan. Bukankah melahirkan tenaga kerja berkemahiran lebih utama daripada dua ekor beruang panda yang dipinjam dari China?" soal beliau.

Beliau turut kesal dengan reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon ketika menjawab kritikan Pakatan Rakyat terhadap projek mewah itu apabila berkata: "Kalau pembangkan tidak setuju kerana kos mahal dan membazir, mereka perlu bercakap sendiri kepada Kerajaan China untuk tolak panda itu.”

Menurut Nurul Islam, kes menyewa panda ini memperlihatkan kegagalan dan ketidakupayaan kerajaan BN menguruskan perbelanjaan negara.

"Sekiranya beginilah cara kerajaan menguruskan pendapatan negara, perkenalkanlah 1001 cukai sekalipun ia tidak akan mencukupi dan ekonomi negara akan terus bermasalah.

"Itulah sebabnya Pakatan Rakyat menekankan kepada kerajaan BN agar memperbaiki cara perbelanjaan negara dan ketirisan terlebih dahulu sebelum mengenakan cukai GST.

"Tanpa perubahan ini, wang rakyat akan terus mengalir keluar dan negara tidak akan keluar dari kemelut kewangan," ujarnya.- HARAKAHDAILY, 22/5/2014

sumber

Teluk Intan: Pandangan Saya

. | .

1. Pagi ini saya sekali lagi berhalangan untuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu. Hasrat saya untuk mengulas tentang PRK Teluk Intan di sana, namun kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan saya terpaksa meminta ia digantikan dengan pengkuliah yang lain.
2. Berhubung pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. PAS tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak daripada hari ia ditubuhkan lagi.

3. Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi PAS. Bersama-sama DAP dan juga PKR, PAS telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi PAS sebagaimana yang dilakukan UMNO sebelum ini.

4. Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan PAS dengan DAP. Dalam hal ini, PAS sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat PAS ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

5. Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat PAS dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah UMNO yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen UMNO sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.

6. Saya kira UMNO perlu menilik wajah di cermin sebelum mentohmah PAS kononnya menggadaikan prinsip. Jerawat, kurap dan panau di badan sendiri masih bertompok merata tiba-tiba jari lurus menuding kononnya orang lain itulah pesakit kusta! Sedarkah UMNO bahawa parti Gerakan itulah yang menjanjikan rantai manusia bagi menghalang hudud dibentang?

7. Saya ingatkan sekali lagi, elakkanlah menjadikan isu hudud sebagai bahan kempen di Teluk Intan. Dalam pertarungan DAP dan Gerakan ini, tiada untungnya isu ini ditimbulkan. Pada saya, harapan saya tetap ingin melihat Pakatan Rakyat menang di Teluk Intan dan hudud akhirnya berjaya dilaksanakan!

Salam hormat.

HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh: 23 Rajab 1435H

Memali: Saksi hidup sanggah pembohongan kertas putih

NAZRI ABDULLAH | .

BALING: Saksi-saksi hidup dalam peristiwa berdarah Memali 1985 mendakwa, kebanyakan fakta yang dimuatkan dalam kertas putih yang dibentang di parlimen berkait peristiwa itu adalah tidak benar.

Sanggahan itu dibuat melalui satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia' di Kampung Memali petang tadi.

Forum itu diadakan sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat yang berlangsung hari ini.

Sembilan saksi ditampilkan dalam forum ini iaitu Bekas Senator Datuk Mohammad Yusof Husin, Azmi Salim, Zaman Mahmud, Zakaria Abdul Rahman, Ramli Che Mit, Osman Salleh, Radziah Rozali, Aisyah Ahmad dan Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.

Kesemua mereka adalah antara mangsa yang ditahan selepas berlakunya peristiwa hitam itu, serta balu-balu kepada mereka yang terkorban dalam insiden itu.

Mohammad Yusof, yang merupakan orang kanan kepada Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, berkata fakta dalam kertas putih sengaja dibuat bagi menjustifikasikan tindakan pihak berkuasa yang telah menyebabkan 14 orang terkorban dalam insiden itu.

"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya yang namanya disebut sebanyak 16 kali dalam kertas putih.

Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan Pak Ucop, turut dituduh sebagai ketua mujahidin, dan timbalan ketua gerakan revolusi dalam kertas putih itu.

Menurut Pak Ucop, punca sebenar peristiwa Memali berlaku adalah kerana ketegasan Ustaz Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai akta zalim dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.

"Dia pernah kata, dia tak redha ditanggkap di bawah ISA. Dia sanggup serah jasad tanpa nyawa," katanya lagi.

Mengulas dakwaan dalam kertas putih, kononnya rumah Ustaz Ibrahim Libya menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi, beberapa saksi lain turut menyanggah.

Radziah berkata, beliau mendapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan parang yang terdapat di rumah Ustaz Ibrahim.

Dakwaan bahawa terdapat lebih 100 orang di rumah Ustaz Ibrahim ketika hari kejadian dengan bersenjata parang juga turut disanggah.

"Orang kampung, bila dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.

"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak tengok, bagaimana mereka nak ambik.

"Mereka ini ada kerja menebas, jadi mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.

Pak Ucop kemudiannya menjelaskan, ketika kejadian tak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ustaz Ibrahim dan bukan seperti dilaporkan di dalam kertas putih itu.

Dalam kertas putih tersebut, Ustaz Ibrahim Libya juga didakwa memakai azimat dan mengamalkan ajaran khurafat kononya bagi tujuan ilmu kebal dan pelindung diri.

"Kalau pakai azimat, tak mati la. Tapi semua yang kena tembak itu mati.

"Maknanya tuduhan itu tak betul," kata salah seorang dari mereka.

Forum yang berlangsung di Madrasah Islahiah Memali petang tadi itu turut dihadiri lebih 1000 hadirin.

Malam ini pula akan berlangsung ceramah perdana oleh pemimpin PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - HARAKAHDAILY 23/5/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan