Selasa, 29 April 2014

TAK KAN ORANG KAFIR SETUJU DENGAN ISLAM....KALAU SETUJU DAH LAMA MEREKA MASUK ISLAM...YANG RISAU/BIMBANG YANG BERIMAN/ISLAM TAPI TAK SETUJU ISLAM

Syariah: Pemuda PAS kutuk provokasi MCA

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengutuk kenyataan Pemuda MCA yang mengugut akan membina benteng manusia di bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen PAS masuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan undang-undang jenayah syariah.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, ugutan Pemuda MCA itu jelas menggambarkan sikap provokatif dan antidemokrasi apabila begitu keras berusaha menutup ruang demokrasi kepada PAS untuk melaksanakan hasratnya melalui jalan demokrasi.
"Tindakan tersebut juga menggambarkan sikap MCA yang terus menerus anti kepada Islam dan ini merupakan satu kegagalan Umno untuk mendidik MCA," tegas Suhaizan.
Beliau seterusnya menuntut Umno bertanggungjawab dengan kenyataan Pemuda MCA tersebut yang secara jelas menggambarkan kejahilan mereka untuk menghormati hak penganut Islam mengamalkan ajaran agama mereka.
Menurut beliau, sikap Umno yang berdiam diri sejak sekian lama terhadap banyak kenyataan pimpinan MCA yang menghina Islam menggambarkan pendirian sebenar parti Melayu itu yang tidak serius mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Dalam satu kenyataan yang dipetik The Sun Daily hari ini, Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, parti itu akan mencuba sedaya mungkin untuk menghalang PAS daripada membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan undang-undang jenayah syariah di Dewan Rakyat pada Jun ini bertujuan "untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan".
Chong mendakwa, rang undang-undang itu perlu dihalang sebelum terlambat kerana ia kononnya memberi kesan yang amat besar kepada rakyat bukan Islam di negara ini.
"Rang undang-undang itu akan mengakibatkan krisis perlembagaan dan memecahbelahkan negara. Jika ia diluluskan Parlimen, tidak ada jalan untuk berpatah balik," ujar Chong. HARAKAHDAILY, 29/4/2014

Batal pemilihan jika ada penipuan - Anwar

MUHAMMAD FAIZAL | .

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menangguh atau membatalkan pemilihan jika didapati wujud penipuan atau kecuaian.

Beliau berkata, PKR tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dengan sesiapa pun termasuk pemimpin tinggi parti dalam hal tersebut.

"Kita bukan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melindungi yang salah.

"Kita tegas tak kira siapa, wujud unsur kecuaian mahupun penipuan, JPP perlu menangguhkan segera pemilihan dan membatalkan undia yang telah dibuat," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini.

Beliau turut memberitahu arahan untuk melakukan siasatan telah dilakukan sebaik sahaja terdapat aduan penipuan diterima pada pemilihan kali ini.

"JPP juga bukan seperti SPR, mereka tidak mempunyai kepentingan mana-mana pihak.

"Kita telah arahkan siasatan segera dilakukan sebaik sahaja ada aduan penipuan diterima. Saya tegaskan kita berkecuali dan tidak akan melindungi sesiapa," sambung beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan lain, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, dakwaan tersebut masih dalam siasatan dan akan diumumkan secepat mungkin.

Katanya, keputusan rasmi dari negeri Sarawak, Johor, Pahang dan Melaka bakal diumumkan JPP dalam masa yang terdekat.

Semalam Johari berkata akan menyiasat berhubung dakwaan penipuan undi mengaitkan calon timbalan Presiden PKR di batang Sadong Sarawak.

Beliau sendiri menjelaskan akan turun ke Batang Sadong bagi mendapatkan situasi sebenar sebagaimana yang di desak oleh Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

Integrasi Harakahdaily berwajah baru

SHUHAIMI EMBONG | .
Salam hormat kepada semua pembaca kolum Gerbang IT Harakahdaily!

Agak lama juga saya tak muncul dalam ruangan ini. Hari ini, 29hb April, 2014. Tinggal hari sebelum 1 Mei, ketika orang ramai mula bercakap untuk turun atau tidak himpunan di dataran merdeka kerana membantah GST. Apa itu GST, saya rasa semua orang sudah tahu….

Hari ini saya banyak juga dihujani dengan SMS, Whatsapp yang bertanya tentang Harakahdaily berwajah baru? Ada yang sempat saya jawab, ada yang saya masih mengambil masa untuk jawab terutama berhubung dengan perkara-perkara yang spesifik.

Sejak Harakahdaily dilancarkan, saya tidak pasti berapa kali ianya berubah wajah, malah orang yang memulakannya sudah tidak lagi bersama dengan Harakahdaily. Tetapi, sejak Unit IT Harakah diminta untuk menguruskan aspek teknikal Harakahdaily sejak beberapa tahun lepas, ini versi yang ketiga dalam perubahan rekabentuknya (lay-out) kerana peningkatan aspek teknikal dan keselamatan sesuai dengan perkembangan semasa.

Harakahdaily sebenarnya telah ada tiga versi, iaitu versi bahasa Malaysia (http://bm.Harakahdaily.net), versi English (http://en.Harakahdaily.net) yang dilancarkan sejak beberapa tahun lepas dan versi Mandarin (http://cn.Harakahdaily.net) dilancarkan pada Muktamar PAS ke59 pada tahun lepas.

Selain portal berita, integrasi Harakahdaily juga dirangkaikan dengan ePaper Harakah, yakni versi harakah cetak secara online yang boleh dilanggani pada alamat http://epaper.harakah.net.my yang perlu dilanggan oleh pelayar-pelayar terutama bagi ahli-ahli PAS yang sukar untuk membeli Harakah cetak yang sukar didapati daripada pasaran terbuka diluar talian.

Disebabkan kekuatan branding Harakah, TVHarakah yang telah lama berkubur sebelum ini juga telah dihidupkan semula dengan nama TVHarakahdaily oleh pengurusan Harakah sebagai pelengkap kepada portal berita Harakahdaily.

Kekuatan Video TV Harakahdaily ini telah mencapai hampir setengah juta pengunjung yang melihatnya ketika ia masih diperingkat awal lagi. Beberapa segmen lain seperti Harakahdaily English dan Mandarin akan dimasukkan secara berperingkat dalam dalam portal Harakadaily versi integrasi atau Harakahdaily Integrated Portal yang baru ini.

Selain daripada apa yang telah sedia ada sebelum ini, seperti Media Sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain, satu lagi pendekatan baru yang akan muncul sedikit masa lagi adalah MyBazaar untuk membolehkan pelayar membeli secara online atau dalam talian sambil mengikuti berita-berita yang dipaparkan oleh Harakahdaily.

Sama ada disedari atau tidak, versi ini juga terdapat perubahan baru dengan memperkenalkan berita hiburan, sukan dan lain-lain yang menjadi minat kepada anak-anak muda atau gen Y dan Z untuk turut melayari Harakahdaily.

Jika pelayar-pelayar Harakahdaily ada cadangan, pihak kami sedia mendengar dan mengkaji cadangan dan pandangan dari semua.  

Debat Abu Hanifah dengan ilmuan kafir

http://detikislam.blogspot.com | .

Terdapat seorang ilmuwan besar yang sangat terkenal. Sayangnya, ilmuwan berbangsa Rom ini adalah seorang atheis dan menolak mentah-mentah kewujudan Tuhan. Ketika itu,para ulama hanya berdiam diri dan tidak berusaha untuk menyedarkan si ilmuwan tersebut. Tentu sahaja tidak semua ulama yang berdiam diri, masih ada yang peduli dengan keadaan itu. Hal ini boleh mendatangkan bahaya jika membiarkan ilmuwan mempengaruhi akidah umat. Ulama yang dimaksudkan adalah guru Abu Hanifah yang bernama Hammad.

Pada suatu hari, orang ramai sudah berkumpul di sebuah masjid. Si ilmuwan naik ke mimbar dan menentang sesiapa sahaja yang mahu berdebat dengannya. Ada maksud tersembunyi di sebalik tentangan itu. Sesungguhnya, dia bermaksud menjatuhkan para ulama dengan perdebatan-perdebatan yang rasional.

Si ilmuwan semakin bongkak, apalagi setelah tentangannya tidak bersambut. Dia menyangka semua ulama itu pengecut sehingga tidak ada seorang pun yang berani menyambut tentangannya. Hal ini semakin diperkuat dengan suasana di dalam masjid yang tiba-tiba menjadi hening. Beberapa orang saling berpandangan, ada pula yang mengarahkan pandangan ke deretan paling hadapan di tempat duduk beberapa ulama.

Dari kebanyakan hadirin, ada seorang pemuda yang merasa meluat melihat kesombongan si ilmuwan. Namun, dia berusaha menahan diri, barangkali ada ulama senior yang berani tampil menghadapi tentangan itu.

Sang pemuda menunggu lama. Setelah yakin tidak ada yang mahu tampil ke hadapan, barulah dia berdiri dan melangkah menuju ke mimbar.

"Saya Abu Hanifah, bersedia untuk berdebat denganmu," kata sang pemuda sambil memperkenalkan diri.

Semua mata hadirin tertuju ke arah Abu Hanifah. Mereka merasa hairan melihat keberanian sang pemuda. Beberapa orang memberikan tabik kagum kepada Abu Hanifah, manakala si ilmuwan sendiri merasa hairan melihat keberanian Abu Hanifah. Akan tetapi, kebanyakan hadirin bersikap sinis terhadap Abu Hanifah dan merendah-rendahkan kemampuannya. Ada pula yang mempersoalkan motif Abu Hanifah tampil ke depan. Apakah sekadar hanya menonjolkan diri atau mencari populariti?

Wajah Abu Hanifah tetap tenang. Beliau tidak terpengaruh oleh pelbagai bisikan yang ada, termasuk bernada sinis sekalipun. Sikap Abu Hanifah sangat rendah hati. Tanpa membuang masa, Abu Hanifah memulakan bicara.

"Silakan Tuan yang memulakan persoalan," ujar Abu Hanifah memprsilakan ilmuwan itu dengan sopan.

"Baiklah, soalan pertama. Pada tahun berapakah Tuhan kamu dilahirkan?" tanya ilmuwan kafir.

"Allah tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan," jawab Abu Hanifah.

"Hmm, masuk akal jika dikatakan Tuhanmu tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan. Lalu, pada tahun berapa Dia ada?"

"Dia ada sebelum segala sesuatu ada," tegas Abu Hanifah.

"Boleh berikan contoh yang konkrit mengenai hal ini?"

"Tuan tahu tentang perhitungan?" Abu Hanifah kembali bertanya.

"Ya, saya tahu."

"Apakah angka sebelum angka satu?"

"Tidak ada,"jawab ilmuwan kafir.

"Tidak ada angka lain yang mendahului angka satu. Lalu mengapakah tuan hairan bahawa sebelum Allah itu tidak ada sesuatu pun yang mendahului-Nya?"

"Baiklah. Sekarang, di manakah Tuhan mu berada? Sesuatu yang wujud pasti memerlukan tempat, bukan?" lanjut si ilmuwan.

"Tuan tahu bentuk susu?" tanya Abu Hanifah.

"Ya, saya tahu," jawab si ilmuwan.

"Apakah di dalam susu terdapat keju?"

"Ya, sudah tentu."

"Kalau begitu, cuba tunjukkan di mana tempat keju itu sekarang?"

"Jelas tidak ada tempat yang khusus. Keju itu bercampur dengan susu di seluruh bahagiannya," jawab si ilmuwan dengan bersemangat.

"Sekarang, keju sahaja tidak mempunyai tempat yang khusus di dalam susu. Tuan tidak sepatutnya meminta saya untuk menunjukkan tempat di mana Allah berada."

"Tolong jelaskan zat Tuhan mu. Apakah wujud-Nya itu benda seperti batu, benda cair seperti susu ataukah seperti gas?"

"Tuan pernah mendampingi orang sakit yang akan meninggal dunia?"

"Pernah."

"Awalnya, bukankah orang sakit itu dapat berkata-kata dan dapat menggerakkan anggota badannya?"

"Ya, memang begitulah keadaannya."

"Tetapi, kenapa tiba-tiba orang sakit itu diam tidak bergerak? Apa yang menyebabkan hal itu?"

"Itu kerana roh orang tersebut telah terpisah dari tubuhnya."

"Sewaktu roh itu keluar, apakah tuan masih berada di sana?"

"Saya masih berada di sana."

"Cuba jelaskan, apakah roh orang tersebut adalah sesuatu benda yang padat, cair atau gas?"

"Wah,kalau soalan itu saya tidak tahu jawapannya."

"Tuan sendiri tidak dapat menerangkan bentuk roh, apalagi saya harus menerangkan Zat Allah yang menciptakan roh."

"Lazimnya, sesuatu itu mempunyai arah. Ke manakah Tuhanmu menghadapkan wajah-Nya sekarang?" tanya si ilmuwan lagi.

"Apabila tuan menyalakan lampu, ke arah manakah cahaya lampu itu menghadap?"

"Cahanya menghadap ke semua arah."

"Lampu yang buatan manusia sahaja seperti itu. Apalagi dengan Allah Sang Pencipta alam semesta. Allah adalah cahaya langit dan bumi."

"Ada awal dan ada akhir. Seseorang masuk syurga itu ada awalnya, tetapi kenapa tidak ada akhirnya? Mengapa syurga dan para penghuninya kekal abadi?" kata si ilmuwan melanjutkan pertanyaannya.

"Untuk hal itu, Tuan boleh membandingkannya dengan perhitungan angka. Angka itu ada awalnya tidak ada akhirnya."

"Jadi, bagaimana pula para penghuni syurga itu makan dan minum tanpa buang hajat?"

"Ini pernah tuan alami sewaktu di dalam rahim ibu. Selama sembilan bulan tuan makan dan minum tanpa pernah buang hajat. Tuan membuang air besar dan air kecil beberapa saat setelah di lahirkan di dunia."

"Tolong jelaskan, bagaimana kenikmatan syurga itu boleh terus bertambah tanpa ada habisnya!"

"Ada banyak hal yang seperti itu di dunia. Misalnya,ilmu. Ilmu tidak akan habis atau berkurang ketika dimanfaatkan, malah semakin bertambah."

"Jika segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, lalu apakah pekerjaan Tuhan mu sekarang?"

"Sejak tadi tuan menjawab pertanyaan-pertanyaan saya dari atas mimbar, sedangkan saya hanya menjawab dari atas lantai masjid ini. Kali ini untuk menjawab pertanyaan Tuan, saya mohon tuan turun dari mimbar. Saya akan menjawab pertanyaan tuan tadi di mimbar."

Kemudian, si ilmuwan turun dari mimbar sementara Abu Hanifah naik ke mimbar.

"Saudara-saudara, dari atas mimbar ini saya akan menjawab pertanyaan tadi. Boleh tuan ulangi pertanyaan tadi?" tutur Abu Hanifah setelah berada di atas mimbar masjid.

"Apakah pekerjaan Tuhan mu sekarang?" kata si ilmuwan menyebut intipati pertanyaannya.

"Pekerjaan Allah tentu sahaja ada perkejaan dari pekerjaan makhluk. Ada pekerjaan-Nya yang dapat dijelaskan, dan ada pula yang tidak dapat dijelaskan. Pekerjaan Allah sekarang adalah menurunkan orang kafir seperti tuan dari atas mimbar, kemudian menaikkan seorang Mukmin ke atasnya. Seperti itulah gambaran pekerjaan Allah setiap waktu."

Akhirnya, hadirin yang ada di dalam masjid merasa puas dengan jawapan-jawapan Abu Hanifah. Jelas, mudah, tegas,dan mudah difahami, bahkan oleh orang awam sekalipun.

Aishah: Jangan pakai barang kemas banyak sangat

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Artis Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali dengan panggilan Aishah, mengingatkan rakyat Kelantan khususnya kaum wanita tidak terlalu memakai barang kemas yang berlebihan demi untuk keselamatan.

Katanya, wanita Kelantan yang terkenal gemar membeli barang kemas, seharusnya berhati-hati ketika memakainya agar tidak berlebihan demi untuk keselamatan.

“Ketika saya pergi membeli-belah di pasar khususnya, saya perhatikan ramai peniaga atau pembeli yang memakai barang kemas, baguslah sebab beli barang kemas banyak sebagai simpanan, tetapi kena berhati-hati,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sembang Petang Bersama Aishah sempena Jualan Amal Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Bharu semalam.

Menurutnya, negara sekarang semakin kritikal dengan masaalah keselamatan di mana kadar jenayah kian berleluasa.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat, seterusnya berkata kerana itu pihaknya menyokong perlaksanaan hudud yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.

Jelasnya, ia sebagai syariat yang amat sesuai untuk dilaksanakan pada manusia bagi mengawal mereka melakukan keburukkan mengikut kehendak Islam.

“Hukuman ini tidak memilih kedudukan seseorang, jadi tidak perlulah takut kalau kita tidak buat salah,”ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Kota Bharu, Rohani Ibrahim.

Jualan Amal diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan sama ada sumbangan pada anak-anak yatim, miskin, mangsa kebakaran dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan