Khamis, 24 April 2014

PEMANDU MALAYSIA ADA YANG TAK SAYANG NYAWA....SOMBONG...CUAI...TAK IKUT UNDANG2...NAK JIMAT....TERGESA2...ADA YANG TAK NGERTI BACA....KURANG AJAR SERTA MEMENTING DIRI SENDIRI....AKIBATNYA MAUT....KERUGIAN HARTA BENDA SERTA CACAT ANGGOTA


KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran sukar untuk menjadi hab halal global berikutan kurangnya pengeluaran dan aktiviti eksport barangan serta perkhidmatan halal ke luar negara.
  
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata, walaupun Malaysia mengeksport sejumlah RM32 bilion produk halal tahun lepas namun jumlah itu dilihat masih kecil untuk negara ini menjadi hab global.
  
"Kita perlu segera mencari jalan keluar bagi mengatasi masalah ini kerana pasaran halal kini adalah amat besar dan seharusnya membuka peluang kepada pengusaha dan pengeluar di negara ini.
  
"Kesedaran orang Islam terhadap keperluan produk halal semakin meningkat dan di Malaysia kita (kementerian) sentiasa membuat kempen bagi meningkatkan lagi kesedaran pengguna tentang produk halal terutama kepada pihak pengeluar."
  
Beliau mengetengahkan perkara ini dalam rancangan temubual 'Ruang Bicara' yang disiarkan secara langsung di Bernama TV saluran Astro 502, di sini semalam.
  
Katanya, produk halal juga dilihat amat penting dalam menarik kedatangan pelancong Islam ke sesuatu negara, kerana jika di negara itu mudah untuk mendapatkan produk halal ia akan menjadi tumpuan.

Katanya, kerajaan dan agensi berkaitan sentiasa menjalankan usaha untuk meningkat pengeluaran produk halal selaras dengan objektif di bawah Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) yang mensasarkan Malaysia sebagai hab halal global.
  
Namun katanya, usaha itu memerlukan penyertaan dan minat dari syarikat dan pengeluar negara ini untuk menghasilkan produk halal dan dipasarkan keluar negara.
  
Dalam rancangan yang sama, Setiausaha Majlis Perunding Melayu Datuk Dr Hassan Mad berkata, industri halal merupakan satu industri yang amat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) di negara ini dilihat tidak berupaya untuk memenuhi keperluan industri itu.
  
Justeru katanya, pemimpin industri (industrial leader) perlu dikenalpasti bagi memimpin syarikat-syarikat SME ini dalam menghasilkan atau memasarkan produk halal mereka sekaligus meningkatkan keupayaan pengeluaran produk halal.
  
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan boleh mengambil peranan menjadi pemimpin industri di mana mereka membeli produk halal yang dikeluarkan oleh syarikat SME seterusnya dipasarkan keluar negara.
  
"Sebagai contoh syarikat seperti Tabung Haji atau Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
  
"Ini kerana syarikat besar ini mempunyai keupayaan untuk memasarkan produk dan mengeksport, berbanding syarikat SME yang mempunyai keupayaan seperti modal atau kos operasi yang terhad," katanya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pentadbiran Universiti Malaya mengeluarkan arahan agar semua program dalam kampus dibekukan pada tarikh 26 hingga 27 April sempena kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke kampus itu pada Ahad ini.

Arahan itu dikeluarkan melalui satu surat kepada kesemua jabatan yang menyebut ianya atas tujuan keselamatan dan nasihat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pihak kedutaan amerika Syarikat telah memlih Universiti Malaya  untuk menganjurkan 'US Embasy Town Hall' pada 27 April 2014 di Dewan Tunku Chanselor, Universiti Malaya

"Bagi tujuan kawalan keselamatan, pihak polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan supaya tiada sebarang aktiviti atau program dijalankan di dalam kampus pada tarikh tersebut," kenyataan surat itu dipetik.

Obama dijadual tiba di Malaysia pada petang 26 April (Sabtu) ini dengan menaiki pesawat Air Force One dan akan mendarat di pangkalan TUDM di Subang.

Kehadiran Omaba ke Malaysia ini adalah sempena siri jelajah beliau ke Aisa yang yang tertangguh pada Oktober lepas berikutan krisis bajet yang menyebabkan penutupan separuh Kerajaan AS.

Ketibaan Presiden AS ke-44 akan disambut dalam satu majlis rasmi di Dataran Parlimen diikuti upacara menghadap Yang di- Pertuan Agong dan jamuan negara di Istana Negara.

Pada Ahad, Obama dijadual melawat Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak dan kemudian lawatan kebudayaan ke Masjid Negara.

Selepas itu, beliau bakal mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh kedua-dua pemimpin, dan pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya yang bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik.

Acara kemuncak akan diadakan di Universiti Malaya bersama pemimpin-pemimpin muda terpilih dari 10 negara Asean.

Pada pagi Isnin, Obama akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian korporat sebelum berlepas ke Manila.
Tindakan terbaru kerajaan Pakatan Rakyat Selangor wajar dialu-alukan apabila ia menubuhkan Yayasan ISA walaupun ISA yang menggerunkan sudah diganti dengan yang  baru.
    
Datin Sri Wan  Azizah Ismail, ADUN baru Kajang telah menjadi pengerusinya yang pertama dan ia diperuntukkan RM500 ribu bagi melancarkan Yayasan itu.
    
Yayasan ISA adalah demi membela mangsa ISA yang mangsanya begitu ramai dan boleh dikira keluarga mangsa lazimnya menanggung penderitaan dan terbiar.
    
Sekalipun mangsa ISA terjamin rezeki selama dalam tahanan, risiko kebuluran adalah kurang, tetapi keluarga mereka – isteri dan  anak-anak – walaupun belum ada laporan mereka terpaksa makan ubi gadung, tetapi mereka kesempitan hidup. Persekolahan, sara hidup, kebajikan dan lain-lain bergantung kepada ihsan orang yang belas.
    
Memanglah kerajaan tidak mengambil tanggungjawab atas keluarga penjenayah baik yang dipenjara mahu pun yang terbunuh. Keluarga penjanayah itu dipercayai tidak berdosa atas jenayah suami atau bapa mereka, tetapi itulah balasan yang terpaksa menimpa keluarga penjenayah. Gara-gara kejahatannya keluarga terpaksa menanggung derita.
   
Tetapi mangsa ISA bukan penjenayah. Mereka tidak pernah dibicarakan oleh mahkamah. Jika penjenayah dicampak ke penjara oleh mahkamah, mereka  tidak pernah dibawa ke mahkamah.
   
Tahniah buat kerajaan Selangor kerana telah mengambil tanggungjawab yang selama ini tiada terbela. Hanya kumpulan sukarela yang memberi bantuan ala kadar bagi meringankan beban dan keupayaan penyumbang adalah terhad.
   
Kita tahu beban yang  dihadapi oleh isteri Dr Burhanuddin al-Hilmy, Presiden PAS yang pernah menjadi mangsa. Dengan pencennya yang terhad menanggung anak bersekolah. Bagaimana pun keluarga Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Mohamad Sabu dan lain-lain justeru mereka pemimpin besar dan terkenal, ramai pula pengikut dan peminat, mungkin kesempitan mereka tidak seberat  yang dialami oleh mangsa yang tidak terkenal.
   
Jelaslah mereka adalah mangsa kerajaan, terbiar dan menderita kezaliman.
   
Sekalipun mangsa ISA tidak seramai bilangan rakyat awam yang tertindas dan juga kurang pembelaan, yang ramai itu adalah dalam bidang tanggungjawab kerajaan. Ada kerajaan yang mengaku bertanggungjawab membela mereka. Apakah pembelaan itu ditunaikan, ia sampai atau tidak kepada mereka, bergantung kepada keberkesanan kerajaan. Baik ia ditunaikan atau tidak ditunaikan, telah ada pihak yang bertanggungjawab.
     
Tetapi  mangsa ISA tiada yang bertanggungjawab. Kerajaan berlepas tangan atas persekolahan dan kebajikan mereka. Dengan tindakan kerajaan Selangor itu nasib mereka akan dibela.
   
Keluarga bekas tahanan seperti Anwar Ibrahim, Mahfuz Omar, Tan Sri Abdullah Ahmad, Zahid Hamidi, Ibrahim Ali dan lain-lain tidak memerlukan perhatian lagi pada masa ini kerana ada sumber pendapatan yang cukup, tetapi keluarga mangsa yang tidak terkenal termasuk dari Sabah dan Sarawak, mereka masih memerlukan pembelaan. Walaupun antara anak-anak mereka sudah jadi orang dewasa, tetapi bagaimana kehidpan seharian dan pekerjaan mereka?
   
Tentu adalah masih  memerlukan pembelaan.
   
Yayasan itu tentu memerlukan dana yang lebih besar. Sumbangan permulaan kerajaan Selangor tentu belum boleh membuat rancangan yang lebih besar. Tetapi dipercayai orang yang bersimpati dengan mangsa ISA adalah ramai. Maka dengan adanya Yayasan itu masing-masing dapat menyumbang. Kerajaan PR yang lain seperti Pulau Pinang dan Kelantan boleh mnyambut tindakan itu sama ada menubuhkan  yayasan yang sama di negeri masing-masing atau  memadai menambah tabung yang ada di Selangor itu.
1.Sesiapa yang menonton Wacana Nasional Ahad lalu di TV1 atas tajuk GST – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) akan teringat tentang beberapa perkara yang telah saya tekankan. Di sini saya hendak high light tentang kenaikan harga/inflasi yang bakal menimpa rakyat di sektor Kesihatan dan Perumahan yang dinafikan oleh Pengarah GST Kastam dan YB Titiwangsa. Maaf. Tapi sebelum itu, mengulangi sedikit....

2.Tentang hutang dan defisit fiskal yang tidak akan dapat diatasi selagi tabiat berbelanja besar, pembaziran, ketirisan serta bocor dengan rasuah tidak dapat di atasi. Inilah ketirisan bahkan kebocoran pada ‘tempayan’ kerajaan.

3.Maka banyak mana pun yang bakal dipungut, dikatakan RM20 - RM27 bilion peningkatan hasil cukai, ketika telah stabil nanti, hutang dan defisit tetap tidak akan dapat di atasi sebab ‘kebocoran tempayan’ mesti ditangani dahulu.

4.Beberapa perkara lain yang telah saya bangkitkan gagal dijawab secara tuntas oleh Pengarah GST Kastam dan juga Ahli Parlimen Titiwangsa. Wakil PPIM tidak bersungguh mempastikan kepentingan rakyat selaku pengguna dipertahankan.

5.Tulisan ini mahu membangkit satu perkara secara lebih khusus kerana dalam Wacana Nasional satu jam banyak isu tidak dapat digarap secara tuntas dan muktamad. Antara asakan saya adalah untuk membuktikan bahawa GST tidak akan membebankan khasnya golongan berpendapatan rendah - sederhana, secara tidak adil dan ganas atau ‘Regressive’.

6.Pengarah  GST Kastam cuba sedaya upaya meyakinkan penonton tetapi fakta dan sokongan hasil penyelidikan pihak Kastam belum atau tidak kukuh untuk mempertahankan dakwaannya. Sebaliknya saya hanya perlu menyandarkan hujah saya kepada pernyataan Timbalan Pengerusi Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara, bahawa perlaksanaan GST nanti akan membebankan golongan berpendapatan rendah – sederhana meskipun ada barang-barang asas yang ‘dikecualikan atau disifarkan kadar’cukaiya.

7.Begitu juga nama-nama pakar ekonomi seluruh dunia yang sependapat seperti Douglas Holtz dan Cameron Smith bahkan Pemenang Novel Laureatte Ekonomi Milton Friedman tentang persoalan mengatasi hutang dan sifat ‘regresif’ cukai kepenggunaan atau Consumption Tax seperti GST. Cukai ‘Progresif’ adalah seperti ‘Cukai Pendapatan’ (Income Tax) danCukai Keuntungan Modal (Capital Gain Tax- CGT). Contoh CGT ialah RPGT atau Real Property Gain Tax (Hartanah).

8.Di negara-negara maju (OECD), orang kaya di samping Cukai Pendapatan, dikenakan “Cukai Buffet” untuk yang Maha - Kaya atau Super - Kaya. Itu baru adil terutama yang memilikki kekayaan kerana amalan kronisme dan kontrak-kontrak mega – mewah daripada kerajaan. Juga wujud ‘WindfallTax’ atau Cukai Keuntungan Berganda’. Malaysia pernah mengenakan cukai ini kepada sektor Kelapa Sawit sedikit waktu dahulu. Keuntungan pemilik konsesi atau monopoli seperti lebuh raya atau Telekomunikasi - Media seperti Astro juga berbilion RM. Kenapa rakyat berpendapatan rendah – sederhana juga yang mahu dimangsakan?


9.Untuk hari ini yang mahu dibangkitkan adalah dakwaan kerajaan kononnya cukai yang dibayar oleh peniaga dalam rantaian bekalan contohnya sebagai pemborong, pengilang, peruncit tidak akan dipindah kepada pengguna kerana mereka akan dapat rebat atas ‘cukai input’ mereka bayar kepada pihak Kastam Di Raja.

10.Dalam Wacana malam itu telah saya tekankan dan ulangi bahawa dari segi teorinya betul tetapi rebat bukan seluruh jumlah ‘input tax’ yang merekabayar. Iahanyaperbezaanantara‘Input Tax - Out Tax’ yang dibayar pihak sebelumnya dalam rantaian bekalan. Katakan kalau mereka dikenakan 6% GST yang berjumlah RM60 dan pihak yang bayar sebelum telah membayar cukai sebanyak RM20, maka mereka tetap akan membayar (RM60-RM20) yakni RM40 dan mereka hanya dapatbalik RM20 (rebat) tetapi tetap membayar RM40!

11.Persoalan RM40 siapa hendak tanggung? Ini yang akan dipindah kepada pihak selepasnya dalam ‘supply-chain’ itu dan akhirnya rakyat akan terbeban!

12.Hari ini ada dua sektor yang mengakui bahawa mereka terpaksa akan pindah kos cukai ini kepada pengguna - 1. Sektor kesihatan dan 2. Perumahan.

13.Meskipun perkhidmatan dan rawatan hospital adalah tidak dicukai kerana dalam senarai dikecualikan (Tax-Exempted), namun ubat-ubatan dan alat-alat perubatan semuanya dicukai. KPJ Healthcare Bhd, contohnya meramalkan bahawa bill perubatan akan meningkat sebanyak 3 – 5 peratus setiaptahun.

14.Begitu juga halnya dalam sektor perumahan dan hartanah. Seorang Naib Presiden MCA hari ini telah membangkit hakikat bahawa harga rumah akan meningkat disebabkan pihak pemaju tidak akan sanggup menampung kenaan cukai 6 peratus terhadap pelbagai barangan pembinaan.

15.Beliau meramalkan kenaikan harga rumah apabila kos 3 peratus barangan tidak mampu mereka tanggung. Ini akan dipindahkan akhirnya kepada pembeli yang akan dibebankan dengan kenaikan harga rumah.

16.Beliau menuntut supaya rumah mampu - milik yang dijual kepada golongan berpendapatan rendah – sederhana dikategorikn sebagai ‘sifarkadar’ cukainya.

17.Nah, jelas dalam kedua-dua contoh tadi peniaga pastinya akan memindahkan  kos kenaikan mereka akibat bayaran 6 peratus GST kepada pengguna yakni Rakyat. Tepat seperti yang saya nyatakan dalam Wacana Nasional, Ahad lalu, teori betul, peniaga tak boleh pindah kos cukai kepada pengguna tetapi hakikatnya semua barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukaiakan dipindahkan dan dibebabkan kepada rakyat.

18.Betullah seperti di sebut Timbalan Pengerusi Klaster Ekonomi dan Kewangan MPN bahawa golongan berpendapata rendaha kan paling teruk terbeban.

19.Maka jangan lupa untuk menyatakan bantahan pada 1hb Mei nanti di Dataran Merdeka. Semua rakyat termasuk dari ahli Umno-BN mesti hadirkan diri. Sejauh Manakah Kita Setia Dengan Kebenaran?


Hari itu, semua yang hadir bersedih.

Ahli keluarga mereka telah meninggal dunia dan menunggu untuk dikebumikan.

Tiba-tiba, penutup keranda ditolak dan ‘si mati’ bangun keluar daripadanya.

“Apa yang kamu cuba lakukan ini? Aku belum mati!” kata ‘si mati’ berkenaan.

Semua yang berada di dalam majlis itu tergamam.

Sepi.

Terkejut.

Tidak lama, salah seorang yang hadir itu berkata, “Sahabat, sesungguhnya Imam dan Doktor sudah pun mengesahkan bahawa engkau mati. Maka engkau adalah si mati yang telah mati!”

Lalu ‘si mati’ itu dikebumikan.

Hidup-hidup!

KECELARUAN KOGNITIF DALAM BERAGAMA

Hari ini, keberagamaan kita sangat rencam.

Andai kerencaman itu dipandang dalam rangka realiti yang lebih besar, kita melihat arus bertentangan yang lebih membimbangkan. Mereka yang mencabar agama, mencabar agama dengan soalan-soalan mereka yang sangat materialistik. Manakala yang membela agama, membela agama dengan jawapan-jawapan mereka yang sangat mistik.

Golongan pertama, mahu mengulang kembali soalan Bani Israel kepada Musa ‘alayhi al-Salam bahawa “...kami tidak akan sekali-kali beriman kepada (seruan)mu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara nyata...,” (petikan surah al-Baqarah ayat 55).

Golongan kedua pula, mahu agama Islam ini diimejkan sebagai agama yang berkata, “lembu berkahwin dengan durian, memberanakkan sebuah kereta, dan itu tidak mustahil jika Allah berkehendak. Ia tidak mustahil bagi Allah, Tuhan kami yang Maha Berkuasa!”

Dalam kecelaruan beragama semasa, saya berpendapat ia bukan lagi isu ‘agama’. Ia adalah isu kognitif, psikologi, psikiatri. Soal tingkah laku akal yang semakin OKU. Akal yang diberi oleh Allah untuk meluhurkan interaksi manusia dengan wahyu, sama ada telah digunakan secara berlebihan, atau langsung tidak digunakan kerana ‘lebih mementingkan agama’, atau digunakan secara salah.

Apabila masyarakat beragama dengan trend yang salah, mereka diserang pula dengan idea-idea yang mencarik-carik akal untuk menjustifikasikannya, lalu masyarakat Malaysia dilanda dengan apa yang disebut sebagai Religious Cognitive Dissonance.

Ia bukan sepatutnya bencana ke atas umat Islam.

Agama kita tidak bermusuh dengan akal. Agama kita tidak memisterikan misteri. Agama kita ada penjelasan yang baik untuk perkara yang paling rumit, tanpa menimbulkan tekanan kepada akal yang sejahtera untuk menggarapnya sebagai sebuah kepercayaan.

Namun itulah yang berlaku.

Kebelakangan ini.

Teringat saya kepada penjelasan berikut:

“Sometimes people hold a core belief that is very strong. When they are presented with evidence that works against that belief, the new evidence cannot be accepted. It would create a feeling that is extremely uncomfortable, called cognitive dissonance. And because it is so important to protect the core belief, they will rationalise, ignore and even deny anything that doesn’t fit in with the core belief.”  ― Frantz Fanon, Black Skin, White Masks

Terjemahan:

“Adakalanya masyarakat berpegang dengan sebuah kepercayaan yang bersifat usul, dengan begitu kuat. Apabila mereka dikemukakan dengan bukti yang menunjukkan hakikat yang bertentangan dengan kepercayaan itu, bukti baru itu tidak dapat diterima. Ia mencetuskan satu perasaan yang amat-amat tidak selesa, dan ia dikenali sebagai percanggahan kognitif (cognitive dissonance). Dan disebabkan oleh peri pentingnya kepercayaan yang usul itu dilindungi, mereka cuba merasionalkan, mengabaikan malah menafikan apa sahaja yang tidak sesuai dengan kepercayaan yang usul itu”

Antara kualiti perkataan dan kualiti penyebutnya, mana satu usul, mana satu yang hendak dan boleh dikompromi?

APABILA AGAMAWAN BERLAGA PEDANG

“Bantulah kami yang mahu belajar agama ini”

“Kasihani kami”

“Jangan kelirukan kami”

“Mengapa biarkan kami begini”

Ini menjadi keluhan demi keluhan yang mewarnai status-status Facebook apabila status di atas bertemakan agamawan berlaga pedang.

Untuk menghilangkan kekeliruan itu, kita tanya kembali diri masing-masing, apa yang kelirunya?

Allah ‘Azza wa Jalla telah  menjadikan kita telinga untuk mendengar.

Dengar pula dengar betul-betul.

Bukan dengar 2 saat, merengek 2 jam.

Dua telinga, mulut pula satu.

Ada hikmahnya!

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” [Al-Zumar 39: 18]

Mereka yang beroleh petunjuk bukan mereka yang hanya dengar satu ikut satu. Ia tidak realistik. Kita hidup dalam alam yang tidak begitu. Golongan yang beroleh petunjuk adalah golongan yang mendepani pendapat yang seribu, yang rencam, tetapi mendepaninya dengan proses mendengar yang disebut sebagai YASTAMI’ŪN.

Yastami’un itu di dalam bahasa Arab, termaktub di atas wazan yafta’il atau yafta’ilun yang memberi maksud, melakukannya secara bersungguh-sungguh.

Ertinya, mendengar dengan baik, beri masa yang cukup untuk mendengar dan tidak secara kompulsif baru dengar sedikit sudah mahu berkata-kata.

Dengar pula, dengar apa yang diperkata.

Al-Qawl.

Bukan dengar baju, dengar topi, dengar muka, atau dengar bahasa.

Sebaliknya dengar makna.

Makna di dalam kata.

Dengar hujah!

Sudah dengar, ikutlah yang terbaik.

Jangan terpesona dengan apa sahaja faktor, selain faktor apa yang dikata.

NASRETTIN HOCA DAN NILAI SERBAN

Suatu hari Nasrettin Hoca tiba di sebuah kampung. Seperti biasa, sambil menunggang keldainya.

Penduduk kampung berpusu-pusu hadir menyambut ketibaannya, dengan membawa kitab.

“Kamu mahu apa?” tanya Nasrettin Hoca.

“Kami mahu mengaji dengan tuan!” kata penduduk kampung.

“Kamu tidak kenal aku. Bagaimana kamu tahu aku banyak ilmu atau tidak?” soal Nasrettin Hoca lagi.

“Serban tuan besar!” jawab orang kampung.

Nasrettin Hoca mencabut serbannya dan meletakkan serban itu di atas kepala keldainya.

Beliau berkata, “Nah, belajarlah dengan keldaiku. Serban beliau besar!”

MENGAPA KELIRU DALAM MENILAI?

Serban, jubah, ijazah, universiti, kumpulan, aliran, bahasa, rupa, hatta ‘agama’ sekali pun, tiada yang berkonflik dengan KEBENARAN.

Jika manusia paling kufur kepada Allah, menyebut sesuatu yang BENAR, terimalah ia sebagai BENAR. Kebenaran yang diungkap oleh manusia paling kufur kepada Allah. Kufur kepada Allah satu bab, kebenaran tetap kebenaran.

Jika manusia paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya, menyebut sesuatu yang DUSTA, terimalah ia sebagai DUSTA. Pendustaan yang diungkap oleh manusia yang paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya. Sujud kepada Allah satu bab, pendustaan tetap pendustaan.

Persoalannya ialah, sejauh manakah kita SETIA DENGAN KEBENARAN?

http://saifulislam.com/
JAKARTA: Mengikut tinjauan pelbagai badan kaji selidik, calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Joko Widodo atau Jokowi (gambar) sering berada di kedudukan teratas untuk dipilih sebagai Presiden Indonesia pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai depan.
  
Namun, Ketua Umum Angkatan Muda Parti Golkar, Yorrys Raweyai berpendapat fenomena 'kesan Jokowi' itu tidak sehebat ketika Ketua Umum Parti Demokrat, Susilo Bambang Yudhoyono dicalonkan merebut jawatan presiden negara itu pada Pemilu 2004.
  
"Siapa yang menyangka Susilo yang cuma mendapat 6.7 peratus (daripada hasil tinjauan), tetapi menjadi presiden. Fenomena Jokowi (hebat) tetapi (pencapaian Jokowi kini) tidak sehebat Susilo pada 2004," kata Yorrys seperti dipetik portal berita, Tribunnews.com, di sini, Rabu.
  
Beliau berkata setelah Pemilu Presiden 2004, pencapaian Susilo melonjak apabila memperoleh 67 peratus undi, namun tinjauan pada masa ini selepas Pemilu Parlimen 9 April lepas, mendapati mereka yang akan mengundi Jokowi sebagai presiden Indonesia, kekal sebanyak 37 peratus.
  
Yorrys juga berpendapat, selain dua calon presiden iaitu Jokowi mahupun Prabowo Subianto dari Parti Gerindra, ada beberapa lagi calon bakal tampil merebut jawatan tertinggi kerajaan Indonesia itu pada Pemilu Presiden akan datang.

"Perkara ini (pencalonan presiden) harus dilihat setelah Suruhanjaya Pemilihan Umum mengumumkan secara rasmi perolehan undi Pemilu Parlimen, 9 Mei ini," katanya.
  
Dalam pada itu, beliau mengakui dirinya pesimis Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie akan merebut jawatan presiden pada Pemilu Presiden itu, kelak.
  
Berdasarkan undian awal Lembaga Lingkaran Survei Indonesia (LSI) baru-baru ini, meletakkan PDI-P di kedudukan teratas selepas memperoleh 19.77 peratus undi diikuti Parti Golkar (14.61), Gerindra (11.80) manakala parti pemerintah, Demokrat di tempat keempat dengan 9.73 peratus. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan