Isnin, 31 Mac 2014

SAPE BERSALAH DIDUNIA TAPI MEREKA LEPAS...DI AKHIRAT MEREKA TAK LEPAS WALAUPUN SATU ZARAH...DIDUNIA SERONOK ATAU LEGALAH LEPAS TAPI DIAKHIRAT MEREKA AKAN SANGKUT


KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan menarik balik kertas putih berkenaan Peristiwa Memali yang telah dibentangkan di Parlimen pada tahun1986 serta menarik balik fatwa Bughah yang dikenakan kepada Ibrahim Libya dan para pengikutnya.

Merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Tun Musa Hitam, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Peristiwa Memali satu konspirasi tersembunyi yang sudah mempunyai skrip.

"Bagaimana Kertas Putih dibentangkan? Sedangkan ia meragukan tetapi perencanaan skrip seolah-olah susah ada.

"Saya minta kerajaan, Najib bawa usul tarik balik ke atas kertas putih 1986. Hanya kerajaan boleh tarik balik,"katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mahfuz turut mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah turut menarik balik fatwa ‘Bughah’ (penderhaka) terhadap Allahyarham Ibrahim Libya serta 14 pengikutnya.

Ini kerana katanya, fatwa itu adalah tidak tepat kerana tidak menyedari kejadian itu terhasil daripada konspirasi halus kerajaan menjadikan fatwa itu boleh dipersoalkan.

Katanya, penarikan balik dua perkara itu bertujuan menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang pada ketika itu ialah Sultan Kedah.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan berkata satu siasatan semula perlu diadakan bagi membersihkan nama baik mereka yang terlibat dalam tragedi berdarah itu.

"Jatuh hukum Bughah, tetapi sebenarnya mereka dizalim," katanya dalam sidang media bersama Mahfuz dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli.

Bagi Hatta, Musa mungkin tidak tertanggung dengan fakta Peristiwa Memali menyebabkan beliau sanggup mendedahkan apa yang berlaku di sebalik kejadian itu.

Hatta percaya peristiwa hampir 30 tahun lalu menunjukkan mangsa dianiaya dan paling mengecewakan apabila tidak ada kata maaf daripada kerajaan buat ahli keluarga mangsa.

Peristiwa Memali berlaku ketika pihak polis cuba untuk menahan Ibrahim Libya di bawah ISA kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Pihak polis membuat rempuhan dengan kereta perisai kerana Allahyarham enggan menyerah diri mengakibatkan 18 terbunuh termasuk empat anggota polis pada 19 November 1985.

Semasa mendapat panggilan dari nombor antarabangsa yang tidak dikenali, sekitar jam 3 petang Jumaat, 28 Mac lalu, saya dan dua anak lelaki sedang berjalan perlahan menuju Kedutaan Mesir, di Ampang Hilir, Selangor selepas solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Dagang.

Cuaca walaupun panas tetapi tidaklah sampai menggigit kulit, membuatkan lebih 1,000 peserta demonstrasi, yang membantah hukuman mati ke atas 529 penentang kerajaan haram Mesir, tetap bersemangat.

Kebanyakan mereka berarak dari Surau Nurul Hikmah, Hotel De Palma, Ampang, selepas solat Jumaat di sana. Majoritinya, anak-anak muda, lelaki dan wanita, atau lebih tepat lagi golongan mahasiswa, mahu menzahirkan amarah terhadap kezaliman tanpa batas itu.

(Sejak mendengar khabar duka keputusan mahkamah kanggaru Mesir, beberapa hari sebelumnya, iaitu pada malam Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan destinasi terakhir MH370 adalah di Lautan Hindi, fikiran saya cukup terganggu. Apakah siri penindasan melampau ini akan terus dibiarkan begitu saja? Kita belum lupa bagaimana para demonstran yang berhimpun secara aman di Dataran Rabia Adawiya terkulai ditembusi peluru, malah ada mayat yang dibakar. Penembak tepat pula ditempatkan di menara bagi mencari sasaran khusus).

Kelompok besar dari Jalan Ampang tidak dibenarkan pihak polis untuk masuk merapati pintu masuk kedutaan, dijarakkan sekitar 50 meter, dan kami yang datang dari arah bertentangan, kawasan berdekatan tasik Ampang Hilir, turut dihalang daripada bergabung dengan kumpulan utama.

Pasukan keselamatan melarang laluan di hadapan kedutaan mungkin mahu mempastikan warga di dalamnya tidak diancam peserta himpunan, walhal terbukti suara prihatin petang itu yang membantah pencabulan dahsyat hak asasi, termasuk untuk mendapat keadilan di mahkamah, adalah cetusan nurani yang menyanjung tinggi perdamaian.

Dari jauh, terdengar lantang ucapan wakil parti-parti politik Pakatan Rakyat dan pelbagai NGO, menyifatkan zaman Firaun dan kediktatoran warisan Mubarak-Sadat muncul semula. Disambut seruan takbir dan gema laungan solidariti bersama Ikhwanul Muslimin Mesir, yang kini dilabelkan  beberapa negara Arab sebagai teroris.

Sementara saya meminta izin pihak polis untuk mendekati "pentas pidato" -- sebenarnya sebuah lori di persimpangan jalan - sempat juga meneliti nombor panggilan yang tiga kali tidak dijawab itu. (Selepas memohon ehsan melintasi bangunan kedutaan, dan menunjukkan kad wartawan, barulah dibenarkan).

Tanpa menunggu lama, pemanggil menghantar SMS, empat kali berturut-turut, sambil memperkenalkan diri..., rupa-rupanya Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, tapi dari London.

"Lebih 500 dihukum mati oleh mahkamah Mesir terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin dan para peserta demonstrasi. Sebenarnya, ia bukan satu perbicaraan tapi pembunuhan beramai-ramai oleh kerajaan haram Al-Sisi. Dunia wajib kutuk pembunuhan melalui mahkamah itu," kandungan SMS beliau dipetik.

Seperti mengetahui Kuala Lumpur sedang digegarkan demonstrasi dan beliau tidak berkesempatan untuk memeriahkannya, SMS Mohamad bersambung: "Esok saya cuba pastikan ada himpunan sama di kota London dan akan turut hadir membantah pembunuhan beramai-ramai di Mesir itu.

"Regim Arab yang menyokong kerajaan haram Al-Sisi juga mesti bertanggungjawab atas pembunuhan ala-jahiliyah itu. Rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, harus bangkit menentang tindakan gila yang cukup memalukan ini. Atur strategi dan kaedah berkesan, termasuk di peringkat antarabangsa, untuk menekan Mesir."

Singgungan Mohamad terhadap regim serantau, di Asia Barat dan Teluk Parsi, mengingatkan saya dengan faktor dan peranan politik Timur Tengah, khususnya Arab Saudi. Ikhwan sememangnya sentiasa dimusuhi Saudi. Pada akhir 1980-an, dalam perjalanan ke Memali, saya cukup terkejut apabila seorang ustaz yang lama menetap di Makkah secara selamba menyifatkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas, lama sebelum Bush mengiystiharkan perang dengan teroris!

Berdepan bangunan kedutaan Mesir, yang dikepung pihak polis, saya tidak puas hanya mendengar dari jauh, apatah lagi sebagai wartawan, kita harus jelas butiran yang diucapkan pemidato, selain merasai sendiri situasi. Selepas berbincang dengan seorang pegawai polis, saya bersama anak diiringi untuk menyertai kelompok lebih ramai.

Rupanya delegasi Pakatan dan NGO untuk menyerahkan memorandum langsung tidak dilayan wakil kedutaan. Mereka tidak mahu menerima memo tersebut, sebaliknya minta dimasukkan dalam peti surat sahaja; satu sikap yang menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan. Tiga hari sebelumnya, sekumpulan ahli-ahli Parlimen PAS, antaranya Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Nasrudin Tantawi, yang turut menghantar nota bantahan, juga menerima nasib sama.

Saya maklumkan hal duta yang arogan itu kepada Mohamad Sabu, dan beliau membalas pantas melalui SMS: "Tak terima memo satu perbuatan tak bertamadun. Negara Arab dan negara umat Islam mesti belajar untuk jadi civilised. Apa yang dilakukan duta Mesir itu mengundur jauh ke belakang."

Saya kira, jika bantahan serupa dibuat di Mesir sendiri, dalam keadaan aman, mungkin para demonstran, sekurang-kurangnya akan dihujani tembakan gas pemedih mata dan hayunan keras belantan, namun. Tetapi melihatkan ketakburan wakil kedutaan di Malaysia, saya jangkakan, mungkin saja peserta himpunan di Mesir, yang membantah aksi kejam penguasanya, boleh dibunuh tanpa belas kasihan, menerusi bidikan senjata canggih.

Sejarah politik moden Mesir tidak sunyi daripada rantaian konspirasi elit pemerintahnya terhadap Ikhwan. Tuduhan dan bukti untuk mensabitkan kesalahan boleh direka dengan mudah. Penyeksaan di dalam penjara lebih mengerikan, sehingga tidak pernah terbayang pun oleh fikiran yang waras.

Ya, diktator Mesir sejak zaman Gamal Abd Naser, Anwar Sadat, Hosni Mubarak dan konco-konconya memang cukup "berhati kering", kejam tidak terhingga.

Terbaru, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menyiarkan laporan tentang pukulan teruk, salah laku seks dan renjatan elektrik dilakukan ke atas tahanan, termasuk kanak-kanak dan remaja di Mesir.

Sekurang-kurangnya 200,000 orang ditangkap sejak Presiden Morsi digulingkan tentera. "Nampaknya Mesir sudah kembali semua ke zaman Mubarak yang terbabit dengan penderaan secara sistematik. Lebih banyak penyeksaan dilakukan sekarang kerana semakin ramai yang ditahan. Apa yang berbeza ialah tahap kekejaman yang semakin dahsyat," kata anggota kumpulan aktivis Rangkaian Arab Bagi Maklumat Hak Asasi, Gamal Eid, seperti dilaporkan Berita Harian.

Justeru, saya lega apabila mendengar jaminan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, selepas memo mereka ditolak mentah-mentah, bahawa demonstrasi lebih besar akan terus dianjurkan pada Jumaat berikutnya, ekoran sikap angkuh wakil kedutaan.

Apa pun, persiapan harus diatur lebih rapi, terutama bagi memastikan kehadiran audien dalam demonstrasi akan datang lebih ramai dan menyeluruh, meliputi pelbagai sektor dan melibatkan pemimpin utama.

Bagi setiap demo, saya akan teruja apabila melihat banner dan  poster kreatif - yang motifnya dapat disampaikan lebih jelas pada pandangan awam, dengan rekabentuk menarik dan slogan "mengancam" - dipamerkan, malah risalah penerangan perlu disebarkan kepada "pemerhati dari jauh", khususnya pengguna jalan raya sekitar lokasi perhimpunan.

Mutakhir ini, didapati penganjur himpunan (mungkin lebih baik jika dapat diadakan perarakan raksasa - seperti demonstrasi Bersih - dalam jarak yang agak jauh) kurang mengambil berat soal kain rentang, sepanduk, poster, handbill dan flyer. Kalau adapun, banyak tertumpu kepada poster kecil, saiz A4, yang sukar menggamit perhatian masyarakat yang lalu-lalang.

Sementara itu, asakan berterusan harus disasarkan kepada pihak kerajaan agar mengambil langkah proaktif yang lebih agresif, misalnya bukan saja mengecam keputusan mahkamah yang membelakangkan proses keadilan semulajadi, malah bertindak menggantung hubungan diplomatik jika perlu.

Jika usaha untuk membahaskan usul tergempar di Parlimen pun ditolak, apalah yang boleh diharapkan lagi kepada kerajaan Malaysia?


II.

Saya terpaksa menangguhkan ulasan tentang pendedahan Tun Musa Hitam di Kota Bharu, 27 Mac lalu, mengenai Peristiwa Memali, juga satu tragedi pembunuhan beramai-ramai, yang masih tinggal misteri. Tuduh menuduh dalam Umno, mengenai siapa penyebab utamanya, bukan perkara baru.

Nyawa tok guru dan anak-anak muridnya yang terkorban syahid itu tidak wajar dipersiakan. Sekurang-kurangnya tidak terus menjadi bahan tohmah. Bukan hanya mereka perlu "dibersihkan", malah sejarah ramai lagi "penentang kerajaan", khususnya tahanan tanpa bicara wajar ditulis semula.

Isunya bukan soal sama ada Dr Mahathir Mohamad masih  di dalam negara ataupun sudah berlepas ke China ketika negara dikejutkan dengan pembunuhan 19 November 1985. Ia jauh lebih besar daripada penjelasan Musa, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.


KOTA BHARU:  Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendoakan kesejahteraan dirinya agar diberi kekuatan untuk bersama-sama seluruh pemimpin Pakatan Rakyat  bagi menumbangkan Umno dan BN.
Permintaan itu dibuat ketika bertemu Tuan Guru Nik Aziz di Masjid Kampung Pulau Melaka, Sabtu lalu.
Anwar menyifatkan  pertemuan itu memberikan inspirasi, kekuatan dan semangat kepadanya bagi menghadapi fitnah dan konspirasi politik yang dihadapinya sejak sekian lama.
"Saya memohon jasa baik Tuan Guru supaya mendoakan kesejahteraan saya bagi menghadapi situasi saya kini," ujar beliau.
Anwar yang hadir di Kota Bharu dalam menjayakan siri ceramahnya berkesempatan bertemu dengan Tuan Guru ketika menunaikan solat Subuh berjemaah.
Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir, Adun Gucil, Mohd Roslan Puteh, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR negeri, Muhammad Hisomuddin Bakar dan para pimpinan PKR negeri.
Anwar berkata, bayangan kuasa rejim BN yang hampir jatuh ekoran kebangkitan rakyat dan Pakatan Rakyat menjadi mimpi ngeri Umno dan BN.
Katanya, Pakatan Rakyat perlu dilihat kukuh dan mampu meyakinkan seluruh rakyat bahawa ia bersedia mengambil alih kerajaan ekoran kegagalan ketara kerajaan BN sekarang menangani isu-isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.
Sementara itu, Tuan Guru begitu terharu dengan kunjungan Anwar malah terkilan kerana tidak dapat turut berceramah bersama Ketua Pembangkang itu kerana keuzuran.
Dalam tazkirahnya Tuan Guru berkata, pihak musuh tidak akan senang dengan perjuangan Islam.
Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan kekentalan jiwa Anwar yang tabah menghadapi fitnah dilemparkan para pemimpin Melayu sendiri akibat takut hilang kuasa.
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menuntut kerajaan memenuhi lima tuntutan berkaitan harga getah yang merudum muktahir ini bagi membela golongan penoreh memperoleh kehidupan yang lebih terjamin.

Selain memberi kuasa kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) mendapatkan dokumen kontrak syarikat yang menjadi rujukan harga purata getah, Pemuda PAS turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai yang munasabah bagi pekebun kecil getah, menetapkan harga kos atau harga kilang pada aras RM1 bagi setiap kilogram getah.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, turut menyeru kerajaan agar mengkaji kesesuaian pekebun menanggung kos penyelidikan dan kos tanaman semula dalam keadaan harga getah yang sangat rendah serta memberi bantuan jangka pendek kepada pekebun kecil.

"Berdasarkan rujukan kami di laman web LGM, kami mendapati penentuan harga pekebun kecil mengikut harga getah SMR20. Terdapat 11 syarikat yang menawarkan harga bagi penentuan harga getah, namun LGM hanya menentukan purata harga tawaran belian getah daripada 11 syarikat tersebut yang dijadikan harga getah harian SMR20," kata beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, hari ini.

Tambah beliau, pihak LGM sebagai mewakili kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengesahkan sama ada harga tawaran yang diberikan syarikat itu mengikut harga pasaran sebenar ataupun tidak.

Beliau turut menyatakan, berdasarkan semakan harga SMR20 pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014, terdapat hanya tiga syarikat yang menawarkan harga di atas purata berbanding lapan syarikat yang menawarkan harga di bawah purata.

"Keadaan ini menjadikan semakin rendah tawaran dan semakin banyak syarikat yang menawarkan harga rendah, maka semakin rendahlah purata harga SMR20.  Apabila harga SMR20 rendah maka pekebun-pekebun kecil akan menerima harga yang rendah," jelas beliau lagi.

Tambah Suhaizan lagi, perbezaan antara tawaran harga daripada syarikat yang paling tinggi dengan yang paling rendah juga ketara iaitu pada bulan Januari sebanyak 64 sen, Februari sebanyak 51 sen dan Mac sebanyak 44 sen bagi setiap kilo SMR 20.

Dalam pada itu, Suhaizan beranggapan pekebun kecil seumpama tempat pelupusan beban pengilang dan kerajaan apabila mereka terpaksa menangung kos proses kilang, kos penyelidikan dan kos tanaman semula.

Malah, katanya mereka juga terpaks menanggung kerugian apabila harga modal bagi satu kilogram 'cuplump' adalah RM2.80, sementara berdasarkan Memorandum Pekebun Kecil Getah Generasi Ke-2 Kampung Nyalas Melaka adalah RM3.21.

"Jika mengikut harga modal yang ditetapkan oleh LGM pun pekebun kecil sudah rugi RM0.47 bagi setiap kilogram 'cuplump'.

"Justeru, kami menuntut kerajaan untuk memenuhi lima tuntutan di atas bagi memastikan golongan ini benar-benar dapat dijamin kehidupan mereka," tegas beliau.

Beliau seorang yang amat tawadhu' dan memiliki kesabaran yang tinggi. Sosok tubuh yang sentiasa ceria dan suka memberi nasihat menjadi sifat kelaziman dirinya.
Sayyidah Zainab Al-Ghazali pernah menceritakan tentang kehebatan sosok tubuh ini ketika masih berumur dalam lingkungan 20-an katanya "pegawai-pegawai penjara telah membawa pemuda tersebut di pintu sel penjaraku lalu mengarahnya secara keras agar mencela dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapku.
"Lalu pemuda tersebut berkata: aku tidak akan caci maki dan hina orang yang pernah mengajarku Al-Quran dan menjaga hafazanku.
"Pemuda itu diseksa dan disebat hampir seribu sebatan namun dihadapinya dengan tabah. Aku tidak sanggup melihatnya begitu dan mengharapkan pemuda tersebut mula mencaci serta menghinaku namun dia tetap berdiam diri dan menghadapi seksaan dengan sabar. Pemuda itu tidak lain tidak bukan ialah Dr Mohamed Badie."

Beliau adalah 'Rijaalun Shadaqu' yang dinyatakan dalam Al-Quran. Semoga Allah meramaikan generasi ini di atas muka bumi yang masih dijajah jahiliah. Hilang seorang daripada mereka akan diganti semula oleh seratus yang lain.

اللهم اجعلنا منهم
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan telah membazirkan RM70 juta bagi projek membina Hospital Shah Alam.

Beliau dalam sesi soal jawab pagi tadi berkata pembaziran itu berlaku kerana projek yang sepatutnya dijadualkan siap dalam masa dua tahun telah dilanjutkan sehingga enam tahun.

"Bagaimana kerajaan hendak tentukan pembaziran ini tidak berlaku lagi selepas ini untuk projek-projek lain.

"Apakah menjadi perkara biasa bagi Kementerian Kerja Raya projek-projek memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan?"soalnya.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin jumlah keseluruhan kos projek yang terlibat sehingga ini sebanyak RM550.8 juta.

Katanya, sebanyak RM 410.8 juta adalah kos kontrak semasa manakala RM 140 juta lagi melibatkan bayaran kos kontrak terdahulu yang telah ditamatkan pada September 2010.

Tambahnya, kos yang terlibat pada awalnya sebanyak RM 480.6 juta kerana kegagalan kontraktor pertama jumlah kos yang baru adalah RM 550.8 juta.

"Pihak kerajaan telah mengambil tindakan dengan menubuhkan panel awam dalam masa sama kontraktor asal dikenakan tindakan undang-undang,"katanya.

Masalah projek Hospital Shah Alam sering dibangkitkan oleh Khalid bahkan perkara ini turut diakui oleh Rosnah.

Projek Hospital Shah Alam telah dimulakan pada 15 November 2007 dan  dijangka siap pada 25 Jun 2011, tetapi hari ini Timbalan Menteri Kerja Raya memaklumkan projek itu akan siap sepenuhnya 24 September 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan