Rabu, 26 Mac 2014

MH370 OH MH370 9

Kotak hitam bukan jawapan

KUALA LUMPUR: Penemuan kotak hitam mungkin tidak akan memberi jawapan yang menjelaskan mengapa pesawat Malaysia Airlines MH370 bertukar arah ke Lautan Hindi walaupun ia dapat djumpai, menurut pakar penerbangan.
Ini berdasarkan perakam suara kokpit di dalam kotak hitam yang hanya dapat merakam perbualan dua jam terakhir penerbangan, kata syarikat perundingan penerbangan Amerika Syarikat Leeham Co.
Ini bermakna perbualan penting ketika pesawat berpatah balik berhampiran Malaysia dan Vietnam mungkin tidak dirakam.

“Apa yang berlaku di ruang udara Teluk Thailand tidak akan didedahkan kerana akan diganti dengan rakaman pada penghujung penerbangan MH370,” menurut ulasan syarikat itu.
Foto

Tambah Leeham lagi, rakaman terakhir itu juga mungkin tidak mempunyai maklumat penting yang dapat diguna oleh penyiasat terutamanya jika ia dipercayai kehabisan minyak atau terhempas ke dalam air.

Sementara itu, pakar penerbangan Britain Chris Yates berkata, soalan mengapa pesawat tidak mengikuti laluan asal mungkin tidak akan terjawab dengan penemuan kotak hitam itu.

“Kami masih tidak dapat mengetahui keadaan mental juruterbang dan penolongnya ataupun jika pesawat itu dirampas pihak ketiga,” katanya kepada BBC.

“Tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab sejak kejadian ini berlaku.” Analisis data satelit terbaru memberi petunjuk pesawat itu dikesan kali terakhir di selatan Lautan Hindi tetapi lokasi tepat belum diperoleh lagi.

Beberapa puing dikesan di kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Australia tetapi objek tersebut belum dapat ditemui pasukan pencari antarabangsa setakat ini.

Bateri yang menguasakan isyarat lokasi kotak hitam juga akan bertahan kurang dua minggu lagi.

Alat pengesan daripada Amerika Syarikat akan dihantar ke kawasan pencarian tetapi cuaca dan keadaan laut tidak sesuai telah menghalang usaha menentukan lokasi kotak hitam. - AFP

Data INMARSAT petunjuk utama

Oleh Iskandar Shah Mohamed, Suraya Roslan, Gaddafi Musli dan Ikram Ismail
KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan penerbangan MH370 berakhir di tengah Selatan Lautan Hindi, tumpuan kini beralih kepada data satelit INMARSAT yang digunakan untuk mengesan laluan penerbangan pesawat berkenaan.
Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kaedah yang digunakan adalah rumit dan yang pertama kali untuk siasatan insiden seumpama ini.
Selain itu operasi mencari dan menyelamat di Koridor Selatan yang ditangguhkan hari ini berikutan faktor cuaca akan disambung semula secepat mungkin.

Berikut sesi soal jawab media dan Hishammuddin pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Foto

Soalan: Kenapa baru 12 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi dan di mana anda mendapat bukti?
Azharuddin: Kami dapat maklumat daripada satelit dan INMARSAT. Kemudian kami perlu lakukan banyak analisis sebelum membuat pendedahan.

Soalan: Bolehkah berikan data terperinci mengenai paten pesawat, ketinggian dan lain-lain perkara?
Hishammuddin: Segala data terperinci akan kami agihkan kepada media kemudian. Jika selepas ini kamu ada soalan berkenaan data tersebut, sila e-mel kepada kami dan kami akan menjawab pada keesokan hari.

Soalan: Adakah bukti baru berkenaan pesawat terbabit terhempas di Laut Hindi?
Hishammuddin: Kami telah berbincang dengan pakar-pakar tetapi semua persoalan itu cuma boleh dijawab bila kita jumpa kotak hitam. Kita tidak akan mendedahkan penemuan baru kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Soalan: Ramai ahli keluarga penumpang mahu bukti kukuh?
Hishammuddin: Saya tahu perkara terbabit. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberitahu mereka tanpa kita telah pastikan bahawa serpihan pesawat terbabit adalah serpihan pesawat MH370. Bagaimanapun, saya optimis dan kita akan buat sedaya upaya.

Soalan: Kenapa sehingga hari ini masih belum ada bukti kukuh penumpang telah meninggal dunia dan apakah bentuk insurans disediakan oleh MAS?
Hishamuddin: Kedudukan pesawat terakhir, saya panggil lokasi am di tengah laut Hindi. Pesawat terbabit membawa minyak yang minimum dan tiada bukti pendaratan di darat. Jadi, kita boleh merumuskan bahawa pesawat terbabit jatuh di dalam air dalam tempoh 17 ke 18 hari dan adalah sukar untuk penumpang selamat dalam tempoh itu. Selain itu, kami juga sedang bekerja keras bagi menyediakan bantuan kewangan sewajarnya bagi mengurangkan beban keluarga penumpang.

Soalan: Bagaimana siasatan terkini simulator?
Khalid: Siasatan terhadap simulator masih lagi dijalankan dan tunggu laporan daripada rakan kita dari luar negara

Soalan: Adakah Malaysia masih akan mengetuai pasukan penyiasat utama?
Hishammuddin: Kita akan memastikan koordinasi kesemua 26 negara lain di dalam misi pencarian dan menyelamat. Malaysia akan merangka pelan untuk menjadi negara yang mengetuai.

Soalan: Sekiranya negara lain menarik diri, adakah Malaysia akan tetap meneruskan misi?
Hishammuddin: Tetap dan kita akan teruskan setelah mengambil inspirasi daripada kegigihan pasukan penyelamat Perancis sewaktu tragedi Air France selama dua tahun. Mereka juga berkongsi maklumat dengan kita.

Soalan: Apakah yang akan dibuat untuk menenangkan keluarga penumpang di China berikutan dakwaan mereka kerajaan Malaysia tidak menyalurkan maklumat tepat?
Hishammuddin: Kita akan sentiasa telus. Kita konsisten dalam pendirian kita. Apa jua spekulasi di luar sana dan apa jua tuduhan dilontar kepada kita, kita tidak akan berganjak daripada fokus utama iaitu mencari pesawat berkenaan.

Soalan: Adakah betul seperti yang anda beritahu di Parlimen yang kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan khas?
Hishammuddin: Itu tidak betul kerana, itu hanya cadangan di Parlimen dan saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Tetapi apa yang saya boleh beritahu ialah Angkatan Tentera Malaysia sedang mengendalikan siasatan mereka sendiri. Bagaimanapun, saya akan mengusulkan suruhanjaya siasatan diraja ini pada mesyuarat Kabinet nanti.

Soalan: Adakah serpihan pesawat akan dibawa ke Australia jika ditemui?
Hishammuddin: Saya tidak boleh memberi jawapan sekarang sama ada serpihan akan dibawa ke Australia. Saya akan memberi jawapan kemudian.

Situasi ‘pesawat zombi’

Kuala Lumpur: Selepas penerbangan MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi, persoalan penting diperkatakan kini ialah mengapa dan bagaimana pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu melencong jauh dari laluan asal sebelum menuju ke kawasan dianggap hujung dunia.
Mengulas persoalan itu, pakar penerbangan dalam dan luar negara sependapat ia boleh berlaku disebabkan beberapa kemungkinan, termasuk kerosakan mekanikal pesawat dan rampasan.

Turut tidak ditolak ialah kemungkinan pesawat membawa 239 penumpang dan kru dari Kuala Lumpur ke Beijing itu mengalami situasi kapal terbang hantu atau ‘pesawat zombi.’

Penganalisis penerbangan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pesawat zombi merujuk kepada keadaan semua penumpang dan anak kapal tidak sedarkan diri disebabkan beberapa keadaan tertentu.
Foto

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Halatuju Program Aeroangkasa Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia berkata, berikutan keadaan itu, pesawat terus terbang tanpa pengendali sehingga kehabisan minyak dan akhirnya terhempas.

Cuaca kacau

Kuala Lumpur: Pencarian pesawat penerbangan MH370 ditangguh berikutan cuaca buruk di kawasan pencarian, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
Dilaporkan keadaan laut bergelora dengan ombak setinggi dua meter hingga empat meter.
Kawasan itu juga diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer (km) sejam, berserta hujan lebat dan awan yang rendah dengan ketinggian antara 70 meter dan 250 meter dari paras laut.
“AMSA sudah membuat penilaian dan mengambil keputusan keadaan cuaca akan menyebabkan sebarang aktiviti pencarian udara dan laut berbahaya dan mendatangkan risiko kepada kru.
“Berikutan itu, AMSA menangguh semua operasi mencari di laut dan udara ekoran keadaan cuaca sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak AMSA sudah mendapatkan pandangan Biro Meteorologi dan cuaca dijangka bertambah baik di lokasi pencarian pada sebelah petang dan dalam beberapa hari lagi.
Operasi mencari dijangka disambung semula keesokan hari sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
HMAS Success akan kembali ke kawasan pencarian apabila cuaca bertambah baik.
Malam kelmarin kapal berkenaan cuba mencari objek yang dilihat pesawat RAAF P-3 Orion, tetapi tidak menemuinya.
- REUTERS
FotoANGGOTA Tentera Laut Diraja Australia meneropong untuk mencari objek MH370 dari kapal HMAS Success dalam misi di selatan Lautan Hindi.
FotoKRU kapal HMAS Success menjalankan operasi pada sebelah malam.

Warkah buat tersayang

Kuala Lumpur: “Saya akan beritahu Iman dia kehilangan bapanya dan Muhammad akan menjadi kekuatan saya untuk meneruskan hidup.
“Ingat tak saya beritahu awak, saya ingin menjadi ketua bidadari di syurga? Saya cemburu awak sudah berada di sana (syurga) tapi saya akan bersama awak satu hari nanti.” Demikian luahan Intan Maizura Othaman, isteri kepada Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, seorang daripada anak kapal pesawat penerbangan MH370 yang disahkan hilang di Lautan Hindi, kelmarin.
Warkah buat Rain itu tajuk luahan Intan Maizura dengan menjadikan media sosial Facebook, Twitter dan Instagram sebagai tempat berkongsi perasaannya.
Menerusi akaun media sosial itu, Intan Maizura mendedahkan dia bakal melahirkan anak kedua bulan depan berjanji kepada suaminya yang dipanggil Rain, dia akan menjaga anak mereka serta memberitahu anak sulung bapanya sudah tiada.
Walaupun akaun media sosial itu diletakkan pada ketetapan peribadi, namun ia dikongsi ramai pengguna lain sejak semalam.
Dalam catatannya, Intan Maizura berkata, dia perlu menjadi lebih tabah untuk menghadapi realiti itu selepas kehilangan suami dalam tragedi mengejutkan.

Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, 33, yang bertugas sebagai pramugara ialah seorang daripada 12 anak kapal bersama 227 penumpang MH370 yang disahkan hilang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam sidang media khas malam kelmarin.
“Saya perlu jadi wanita bionik untuk menghadapi realiti ini,” kata Intan Maizura.
Dalam catatan itu juga, Intan Maizura berkata, sejak hari pertama kehilangan pesawat penerbangan MH370 pada 8 Mac lalu, dia sudah menjangka suaminya berada di ‘syurga’ namun masih berfikiran positif dan mengharapkan Rain pulang suatu hari nanti.
Bagaimanapun, selepas mendapat berita mengejutkan itu, dia reda.
Foto

“Saya reda dengan pemergian awak...Apa yang berlaku itu terlalu misteri.

Tapi siapalah saya untuk mempersoalkan (ketetapan) Allah yang Maha Berkuasa,” katanya.

AS hantar dron

Washington: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar dron dasar laut milik tentera laut negara itu yang mampu menjelajah sehingga 4,572 meter dalam usaha membantu mencari serpihan penerbangan MH370, kata Pentagon, semalam seperti dilaporkan Reuters.
Pengumuman pengerahan kenderaan dasar laut berkelengkapan sonar dikenali Bluefin itu dibuat beberapa jam selepas Malaysia mengesahkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkembangan terbaru itu kepada pemberita malam kelmarin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.
Beliau berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua Koridor Utara dan Selatan merumuskan pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
“Ada lebih 200 keluarga mangsa yang sedang bersedih kini.
Mereka hanya menerima sedikit berita daripada kerajaan Malaysia,” kata jurucakap Pentagon, John Kirby.
Bluefin berukuran lima meter panjang dan seberat 800 kilogram dan berdasarkan Kirby ia mampu beroperasi lebih dari sehari pada kelajuan minimum.
Keputusan untuk menukar lokasi aset di Australia dibuat susulan dari keputusan untuk menggerakkan Towed Pinger Locater, kelengkapan sonar yang mampu mengesan kotak hitam pesawat.
Kedua-dua peralatan, dron dan pengesan isyarat ping diterbangkan dari New York pada Isnin dan tiba di Perth, Australia pada Selasa, kata Pentagon.

Teori takdir MH370

Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kehilangan pesawat MH370 berakhir di tengah selatan Lautan Hindi, kelmarin, tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini sudah memasuki hari ke-18.
Selain menggerakkan aset negara ke kawasan lingkungan pencarian di Koridor Selatan itu, sejumlah 26 negara lain turut meneruskan kerjasama mempergiatkan usaha mengesan pesawat di barat Australia.

Berikut adalah kenyataan media Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, petang semalam.

Misi pencarian MH370 diteruskan dan kami masih fokus kepada usaha untuk mengecilkan kawasan pencarian.
FotoORANG ramai mendapatkan akhbar di Bangsar pagi semalam untuk mengikuti perkembangan terbaru MH370.

Dengan kerjasama erat daripada rakan antarabangsa, ia bukan lagi cabaran diplomatik. Ia kini adalah isu teknikal dan logistik.

Oleh kerana skala siasatan kini lebih rumit, kami mengambil pendekatan baru terhadap pendedahan maklumat teknikal dan logistik.

Seperti yang anda lihat hari ini, Penerbangan Malaysia (MAS) akan mengetuai komunikasi dengan ahli keluarga penumpang.

Dalam usaha mengecilkan kawasan carian, cabaran baru timbul termasuk menguruskan sumber di kawasan terpencil dan usaha menyelamat.

Kami terus bekerjasama dengan negara berkaitan untuk mengerah aset bagi membantu operasi di kawasan berkenaan.


Analisis data

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB), penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Hari ini saya akan memberikan perincian bagaimana data berkenaan dianalisis dan seperti mana yang diberikan oleh AAIB.

Maklumat ini bersifat teknikal. Oleh itu saya akan cuba memberikan seberapa banyak maklumat termampu walaupun saya bukan dalam posisi untuk menjawab persoalan mengenai data itu hari ini.

Bagaimanapun, kami akan menerima soalan bertulis yang akan dijawab secepat mungkin.

Kami akan menyediakan maklumat lanjut dalam bentuk kenyataan bertulis pada akhir sidang media ini.

Ini adalah maklumat yang diberikan oleh AAIB. 
 
 
 
 

‘Hati saya remuk’

Sepang: “Saya berdiri di sini bukan sekadar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS, malah sebagai bapa, abang dan anak.
“Hati saya remuk memikirkan kesedihan yang tidak dapat dibayangkan perlu ditanggung seluruh ahli keluarga. Tiada perkataan yang dapat meredakan kesengsaraan itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Beliau yang kini berdepan detik sukar selepas pesawat penerbangan MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi perlu meneruskan tanggungjawab untuk memastikan emosi keluarga penumpang dan kakitangan yang terbabit dalam kejadian berkenaan terus diberi perhatian.

“Selain memberi sokongan kepada keluarga penumpang yang terbabit, kami juga akan memberi sokongan kepada kakitangan MAS yang turut bersedih dengan berita ini.
FotoPENGERUSI MAS Tan Sri Md Nor Md Yusof (kanan) bersama Ahmad Jauhari dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

“Kami tidak tahu kenapa dan bagaimana tragedi ini terjadi. Tapi, sebagai keluarga MAS, kami akan terus mendoakan penumpang dan kakitangan yang terbabit,” katanya pada sidang media mengenai MH370, di sini, semalam.

 Ketika ditanya media antarabangsa mengenai cadangan meletak jawatan, Ahmad Jauhari berkata, ia perkara peribadi dan akan memikirkannya selepas ini.

“Ia keputusan peribadi...saya akan fikirkan kemudian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan