Rabu, 26 Mac 2014

MH370 OH MH370 10

Tajuk dunia

Kuala Lumpur: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai penerbangan MH370 yang mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi pada malam Isnin lalu adalah berita terpenting apabila dimuatkan sebagai muka depan dan tajuk utama bagi akhbar dan portal berita seluruh dunia.
Sejak pengumuman itu dibuat sehingga pagi, semalam berita berkenaan masih menjadi tajuk utama yang menghiasi muka depan akhbar dan portal berita utama dunia.
Di sebalik laporan berkenaan, tidak kurang juga portal berita yang cuba menyelitkan fakta kontroversi dan menyalahkan pihak tertentu termasuk kerajaan Malaysia.
Portal berita saluran televisyen terkenal CNN melaporkan harapan keluarga penumpang dan anak kapal sejak dua minggu lalu untuk menemui ahli keluarga mereka dalam keadaan selamat kini berkecai.
Portal berita The Telegraph pula menjadikan teori membunuh diri yang mungkin telah dilakukan sebagai tajuk berita.
Bagaimanapun, portal itu gagal menyebut pihak yang memberikan teori berkenaan dan hanya mengatakan maklumat itu daripada pasukan penyiasat.
Sementara itu, Daily Mail Online pula berkongsi mengenai kesedihan keluarga penumpang di China yang kecewa dengan berita terbaharu itu.
Manakala Metro.co.uk pula menyebut, keluarga penumpang China menuntut pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti.
Foto 
 

Tak perlu solat ghaib

Oleh Hayati Ibrahim, Siti A’isyah Sukaimi dan Ainul Fatihah Mansor
Putrajaya: Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan solat ghaib untuk penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang beragama Islam tidak diperlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, ia berikutan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan termasuk mengesan kotak hitam selain mayat, jenazah dan sebagainya.
Menurutnya, muzakarah juga memutuskan penumpang MH370 adalah kategori mafqud atau orang hilang hingga usaha mencari dimuktamadkan serta disabitkan kematiannya oleh Mahkamah Syariah.

“Jika dalam pencarian itu menemui mayat atau sebahagian mayat atau cebisan daging dan sebagainya, waktu itu wajib kita melaksanakan dan menguruskan jenazah sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
“Sekiranya penumpang itu bukan semua beragama Islam dan terdapat penumpang bukan Islam, jika menemui jenazah atau sebagainya tetapi tidak dapat dibezakan, hendaklah dilakukan semuanya seperti kita melaksanakan jenazah Islam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah itu di sini, semalam.
Abd Shukor berkata, solat ditunaikan itu perlu diniatkan untuk penumpang dan anak kapal yang beragama Islam saja.
“Sekiranya pihak berkenaan hanya menjumpai cebisan dan ia tidak boleh dikenali, wajib ia dikumpulkan semua dan diuruskan seperti jenazah Islam.
“Bagaimanapun, solat yang dilakukan hendaklah diniatkan untuk penumpang dan anak kapal beragama Islam saja,” katanya.
Beliau berkata, apabila disabitkan kematian oleh mahkamah, hukum lain seperti pemansuhan perkahwinan, pembahagian harta dan kepentingan lain bagi waris dan sebagainya boleh dilakukan dan dibuat di Mahkamah Syariah atau majlis agama atau pihak berkuasa.
“Kita berpendapat orang Islam yang berada dalam tragedi itu meninggal dunia yang dikategorikan sebagai syahid akhirat.
“Kita berpendapat amalan lain seperti solat hajat dan lain-lain dibolehkan dan digalakkan untuk mendoakan semoga Allah menunjukkan apa yang kita cari serta dimudahkan,” katanya.

FotoDR Abd Shukor (dua dari kanan) berbincang selepas mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di Putrajaya, malam tadi.

Kru, penumpang MH370 disifatkan mati syahid

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
Johor Bahru: Kru dan penumpang penerbangan MH370 beragama Islam yang terkorban disifatkan sebagai mati syahid akhirat dan memperoleh anugerah terbesar daripada Allah.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut berkata, walaupun ujian itu amat sukar diterima, namun ahli keluarga mangsa diminta reda menerima takdir yang ditentukan ke atas mereka.
“Pahalanya sama seperti mati syahid akhirat dan ini satu anugerah Allah.
“Keluarga kena menghayatinya bahawa ini adalah ketentuan yang kita tidak boleh tolak kerana ia juga salah satu daripada Rukun Iman,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel, di sini, semalam.
Noh juga meminta pihak berkenaan menghentikan spekulasi mengenai tragedi yang menimpa MH370.
“Sekali lagi saya hendak ingatkan orang di luar sana yang suka menulis di dalam laman sosial supaya jangan buat dosa kering sebab Nabi Muhammad bersabda bahawa ‘cakaplah benda baik-baik, jika tiada benda baik hendak diperkatakan, lebih baik diam’.

Dua negeri berkabung

Johor Bahru: Bagi menghormati mangsa penerbangan MH370, kerajaan negeri Johor mengibarkan bendera separuh tiang di semua pejabat dan bangunannya, semalam.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dikehendaki menaikkan bendera Johor separuh tiang selama sehari bagi menghormati mangsa tragedi pesawat MH370.
Di Ipoh, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah menitahkan supaya bendera negeri Perak dikibar separuh tiang di negeri itu hari ini bagi menghormati tragedi itu.
“Semua jabatan agensi, institusi, sekolah termasuk swasta perlu berbuat demikian sebagai tanda dukacita negeri dan rakyat Perak kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Di Kota Kinabalu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam perutusannya menzahirkan rasa dukacita di atas insiden pesawat MH370.
Di Seremban, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan berdoa kepada Allah SWT memberikan kesabaran kepada seluruh keluarga yang bersedih,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke loji rawatan air Ngoi-Ngoi.
FotoBENDERA Johor dipasang separuh tiang di Dataran Emas, Muar, semalam.

‘Saya dah penat menangis’

Banting: “Saya sudah penat menangis,” demikian luahan ibu kepada seorang daripada penumpang penerbangan MAS MH370, Muzi Yusop, 50.
Saemah Sidik, 70, yang kelihatan sugul memaklumkan kepada wartawan, dia sekeluarga sedih, tetapi reda dengan takdir Allah SWT.

Katanya, dia sekeluarga tidak mahu terus meratapi pemergian Muzi kerana hidup perlu diteruskan walau dalam apa keadaan sekalipun.

“Bagaimanapun, saya nak tengok dia (Muzi) di depan mata saya tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun kerana sekurang-kurangnya saya puas hati.
FotoYUSOP Tahir, bapa kepada Muzi, menitiskan air mata, semalam.

“Apa-apa pun saya serahkan kepada Allah kerana ini semua kehendakNya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenjarom, dekat sini, semalam.

Menurutnya, ketika menanti pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin, dia berdebar-debar dan bagaikan sudah dapat menjangka apa yang bakal diumumkan. “Jangan mengguris perasaan saudara-mara mangsa.
Keluarga perlu berhenti daripada meratapi nasib mangsa, tetapi lebih baik menghadiahkan apa yang terbaik untuk mangsa,” katanya.
Menurutnya, umat Islam di negara ini diminta terus melakukan solat hajat bagi membolehkan bangkai pesawat berkenaan ditemui termasuk kotak hitam bagi merungkai misteri kehilangan MH370.

Catatan buat anak

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
Kuching: “Anakandaku Suhaili, Allah lebih menyayangimu.” Demikian catatan Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad, pada kain rentang Pray For MH370 yang ditandatanganinya sempena sambutan Hari Polis Ke-207 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam.
Roslan membuat catatan itu yang merujuk kepada anak saudaranya, Suhaili Mustafa, 31, salah seorang penumpang penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.
Menurut Roslan sebaik mendengar pengumuman melalui sidang media Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin, mereka sekeluarga menangis apabila mengenangkan nasib dan situasi semua penumpang serta kru ketika berdepan saat mencemaskan itu.
Bagaimanapun, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berharap pasukan mencari serta menyelamat dapat menemui bangkai pesawat dan mangsa secepat mungkin.
“Sejak malam kelmarin, kami sekeluarga tidak putus menerima ucapan takziah.
Namun, apabila melihat laman sosial dan blog saya sedih melihat masih ada yang tidak henti mengeluarkan spekulasi.
“Seluruh dunia bersedih dengan kejadian ini, apatah lagi kami yang salah seorang keluarga adalah mangsa yang berada dalam pesawat berkenaan.

Ini tragedi yang menimpa negara, saya harap semua faham kesedihan yang dihadapi keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui, semalam.
Roslan berkata, dia difahamkan, kakaknya Rohani Ahmad bersedia untuk diterbangkan ke Perth, Australia, pada bila-bila masa oleh MAS.
Sempena sambutan Hari Polis itu, Roslan membacakan perutusan Hari Polis daripada Tan Sri Khalid Abu Bakar, diikuti perbarisan hormat dan warga IPD Kuching menandatangani kain rentang Pray MH370 sebagai tanda sokongan kepada keluarga penumpang serta kru yang terbabit.

‘Mama, adik pergi dulu’

Bera: “Mama terlalu rindukan adik,” kata Normah Jaafar, 56, ibu Khairul Amri Selamat, 29, selepas mendengar berita pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi.
Ketika ditemui di rumahnya di Taman Kerayong Makmur di sini, semalam, Normah masih menangis teresak-esak dan sebak sejak mendengar berita diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sidang media jam 10 malam kelmarin hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarganya.

Katanya, ungkapan terakhir Khairul Amri ‘Mama, adik nak pergi dulu’ sentiasa berada dalam fikirannya sebelum berlepas ke Beijing kerana ditugaskan membaiki pesawat syarikat penerbangan di sana.

“Dia amat manja, ceria dan baik hati serta tidak pernah menyakitkan hati saya, malah sering pulang ke kampung untuk menjenguk keluarga,” katanya.
FotoNORMAH (kiri) ditenangkan ahli keluarga pada majlis bacaan Yasin di rumahnya.

Ketika kunjungan Harian Metro di kediaman wanita itu, kelihatan jiran dan saudara-mara mula yang berkumpul di rumah Normah, guru tadika KEMAS di taman itu sejak malam kelmarin selepas pengumuman mengenai pesawat MH370 dibuat Perdana Menteri.

Dayungan MH370

Oleh Diyanah Anuar
Kangar: Mengharungi tiupan angin kuat dan cuaca tidak menentu di lautan bergelora sepanjang 2,000 kilometer (km) antara sumbangan dilakukan Nadzeri Mustaffa, 50, bagi menyatakan simpati dan sokongannya terhadap insiden menimpa pesawat MAS MH370.
Dalam ekspedisi berkayak secara solo dari Perlis hingga ke Johor melalui perairan Selat Melaka untuk tempoh 63 hari, Nadzeri turut membawa bersama sebuah buku untuk ditulis mesej dan ditandatangani rakyat Malaysia yang ditemuinya di lokasi perhentiannya sepanjang perjalanannya itu.
Nadzeri berkata, selepas tamat ekspedisinya nanti, beliau bercadang menyerahkan buku berkenaan kepada pihak pengurusan Penerbangan Malaysia (MAS) bagi menunjukkan keprihatinan masyarakat Malaysia kepada semua pihak yang terbabit dengan tragedi berkenaan.
“Sebenarnya ekspedisi saya ini membawa beberapa misi dan satu antaranya adalah untuk pesawat MH370.
Ini adalah cara yang saya dapat lakukan untuk menyampaikan rasa simpati kepada ahli keluarga mangsa yang menghadapi dugaan kehilangan orang tersayang dalam insiden ini.
“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar,” katanya ketika ditemui sebelum memulakan ekspedisinya dari jeti di Tandop Sungai Bugis, di sini, pagi semalam.
Majlis pelancaran ekspedisi solo Nadzeri itu disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Hamdan Bahari.
Beliau yang juga bekas jurulatih sukan kayak berkata, selain mesej sokongan untuk pesawat MH370, antara tujuan lain beliau menjayakan ekspedisi itu untuk mempromosikan Perlis sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-17 dan dijangka menamatkan ekspedisinya di Kuala Perlis ketika hari pembukaan temasya sukan itu nanti.
“Di samping itu, saya juga ingin turut serta menghebahkan mengenai Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) serta mempromosikan sukan kayak yang pada saya adalah suatu aktiviti berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan di negara ini,” katanya.

FotoNADZERI (kanan) bersama Hamdan melekatkan stiker Pray For MH370 sebelum memulakan ekspedisi.

Siasatan rungkai tragedi

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan rapi, sekali gus mencari jawapan sempurna terhadap kejadian menimpa penerbangan MH370.
Beliau berkata, walaupun jawapan sebenar kehilangan pesawat itu hanya boleh diperoleh melalui kotak hitam, namun siasatan lain tetap perlu dilakukan.
“Ia perlu kerana ahli keluarga mangsa memerlukan jawapan yang sempurna dan inilah cabaran kepolisian.
“Kejadian ini tragedi besar dan menyayat hati, malah Malaysia dilihat melalui komitmen kita dan kita profesional dalam semua aspek termasuk siasatan,” katanya ketika berucap pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, dalam misi menjejaki MH370, ia dijalankan melalui kerjasama antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping negara lain.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan perlu dilakukan secara profesional dan daripada pelbagai aspek.
Sebelum ini, Khalid berkata, fokus siasatan polis berhubung kehilangan penerbangan MH370 masih berlandaskan empat elemen yang berkemungkinan motif kejadian iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi serta masalah psikologi membabitkan semua individu yang menaiki pesawat itu.
Selain itu, menurutnya, lebih 100 individu sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga 12 anak kapal pesawat berkenaan.
Menurutnya, pihaknya juga sudah memanggil petugas Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa individu lain yang berkaitan untuk tujuan sama.
Katanya, proses siasatan terhadap latar belakang penumpang sudah selesai dan buat masa ini, pihaknya mendapati mereka tiada kaitan secara langsung berhubung kehilangan pesawat berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan