Rabu, 26 Mac 2014

MH370 OH MH370 12

KUALA LUMPUR: Pesawat yang tidak dikenali dan berpatah balik sebenarnya dikesan pada radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  beranggapan ia mungkin berbuat demikian kerana menerima arahan menara kawalan trafik udara.
  
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pesawat tersebut boleh menerima arahan tertentu dari menara kawalan dan melencong ke laluan lain jika dikehendaki tetapi keadaan tersebut bukan sesuatu yang memerlukan tindakan daripada TUDM walaupun ia dikesan di radar utama.
  
"Kita mengesan (keadaan) berpatah balik itu tetapi tidak menganggap sebagai musuh dan ia adalah mesra pesawat dan mungkin menerima arahan dari menara kawalan, tetapi apa yang kita lihat akhirnya ia (pesawat) hilang (dari radar) di Laut Andaman atau Utara Selat Melaka.
  
"Untuk makluman bahawa radar kita hanya boleh mencerap sekitar 250 batu nautika sahaja, sebenarnya mana-mana radar di dunia pun hanya boleh mencerap sejauh 250 batu nautika sahaja," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.
  
Pada 8 Mac lalu, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
  
Radar utama milik TUDM pula dilaporkan mengesan sebuah pesawat membuat pusingan balik di lokasi sama di mana pesawat MH370 hilang dari radar kedua.
  
Abdul Rahim bagaimanapun menafikan bahawa TUDM mengambil masa untuk mengumumkan bahawa radarnya mengesan tindakan berpatah balik oleh pesawat yang tidak dikenali itu pada masa yang sama dengan waktu kehilangan MH370.
  
"Kerana kita berpendapat pusat kawalan udara sama ada di Subang atau KLIA mungkin sedang melakukan prosedur operasi standardnya (SOP) untuk mengesan pesawat itu, dan kita (TUDM) juga melakukan SOP kita untuk mengesannya," katanya.
  
Katanya, TUDM atau pihak berkuasa tidak boleh mengumumkan sebarang maklumat yang tidak dapat disahkan 100 peratus kesahihannya dan semua maklumat pada masa itu perlu diteliti dan diperhalusi agensi pakar Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).
  
Selepas usaha mencari dan menyelamat masuk hari ke-17, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan bahawa berdasarkan siasatan syarikat satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan mengkaji bentuk bantuan kebajikan yang boleh disalurkan kepada keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung tragedi berkenaan sehingga melukakan perasaan mereka yang sedang meratapi kehilangan orang tersayang.

“Kerajaan negeri merancang mengkaji bantuan kebajikan mereka, khususnya anak kapal MH370 yang berasal dari Selangor. Namun, pada masa ini kita mesti berikan ruang secukupnya kepada keluarga terbabit dan mahu mereka tahu kita bersama mereka,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiasusaha Kerajaan Negeri (SUK), di Shah Alam hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan pesawat MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi selepas beliau dimaklumkan wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.

Penemuan itu, sekali gus mengakhiri pencarian selama 17 hari dengan membabitkan gerakan besar-besaran dan bantuan pelbagai negara luar.

Ketika ini, pencarian diteruskan dengan fasa mencari kotak hitam yang mampu merungkai mesteri kehilangan pesawat malang terbabit.
Timbul desus-desas sebelum ini mengatakan bahawa pencarian MH370 akan berakhir sebaik sahaja tamatnya PRK Kajang. Tidak pasti sama ada perkara ini dirancang atau berlaku secara kebetulan. Namun saya memilih untuk menyatakan bahawa semua ini berlaku secara kebetulan.

1.Saya bersimpati terhadap keluarga MH370 dan berharap mereka banyak berdoa dan bersabar. Perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan andaikan kita berada di tempat keluarga terbabit – betapa sedihnya kehilangan keluarga tercinta.

2.Walaupun isu MH370 ini sudah dianggap berakhir, namun pencarian bukti perlu diteruskan. Hal ini kerana MH370 tidak diisytiharkan terhempas, cuma data Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke arah selatan dan di situ isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu –usaha mencari bukti bukanlah suatu kerja yang mudah. Sementelahan pula Malaysia tiada keupayaan untuk berbuat demikian.

Secara logiknya, apabila “pesawat tersebut” tidak lagi menghantar isyarat “ping”, bermakna enjin sudah dimatikan – sama ada mendarat atau terhempas.

3.Suatu Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan dan melakukan penyiasatan agar segala persoalan terungkai. Suruhanjaya ini mestilah terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing sama ada pakar tempatan mahu pun pakar asing.

Penjelasan daripada pakar ini mestilah bebas daripada tekanan mana-mana pihak. Hal ini penting isu kejadian ini membabitkan rakyat daripada pelbagai negara. Tambahan pula, selagi tiada bukti kukuh bahawa pesat MH370 terhempas di Lautan Hindi, maka pelbagai spekulasi dan teori akan terus berlegar.
 
4.Berbalik kepada PRK Kajang yang berakhir sehari sebelum pengumuman Datuk seri Najib tentang maklumat MH370 yang “berakhir” di Lautan Hindi. Sebahagian kemeriahannya ditenggelami oleh kesedihan rakyat dalam isu MH370. Namun banyak perkara menarik yang berlaku di Kajang.

5.Buat pertama kalinya Pakatan Rakyat menang di dua kubu BN iaitu di Sungai Sekamat dan Taman Delima. Walaupun jumlahnya kecil tetapi sudah cukup memberi isyarat bahawa rakyat khususnya orang Melayu semakin bijak dalam menurunkan undian. 

6.Walaupun media BN menyatakan undi MCA dalam kalangan orang Cina meningkat, namun harus diakui undi daripada orang Cina lah yang melonjakkan majoriti Dr Wan Azizah sehingga mencecah lima ribu. Jika mengharapkan undi Melayu belum tentu Wan Azizah boleh menang.

7.BN perlu sedar bahawa rakyat khususnya di Kajang tahu bahawa Pakatan Rakyat bukanlah sempurna dan masih banyak kelemahan. Namun, rakyat telah penat melihat BN membelanjakan duit cukai dari rakyat sesuak hati mereka. BN jangan beranggapan rakyat tidak tahu apa-apa. Hakikatnya rakyat semakin kritis terhadap apa-apa juga tingkah laku dan perbuatan pemerintah. Rakyat juga tidak mudah menerima bulat-bulat apa-apa yang dicakap.

8.Secara umumnya rakyat Kajang memahami perbezaan tanggungjawab kerajaan pusat dan negeri. Jadi, BN tidak mudah mempengaruhi rakyat dalam banyak isu sama ada hal pembangunan infrastruktur mahu pun pembangunan insan. Lihat sahaja bagaimana calon MCA yang cuba menyalahkan kerajaan negeri Selangor dalam isu kematian remaja ketika konsert Future Music Festival. Namun, rakyat tahu bahawa konsert itu langsung tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.

9.Kemenangan menunjukkan isyarat yang jelas bahawa rakyat Selangor masih memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memegang amanah sebagai pemimpin. Kejayaan ini juga menjadi kayu ukur kerjasama tiga parti utama dalam Pakatan dalam menghadapi musuh politiknya – BN.

10.Akhirnya, takziah kepada keluarga pesawat MH370 dan tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana mengekalkan kerusi Dun Kajang.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mempertikai cadangan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang ingin menaiktaraf radar yang ada dalam negara ini ekoran kehilangan pesawat MAS MH370.

Katanya, kesilapan utama dalam insiden tersebut adalah kegagalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk segera bertindak sejurus pesawat tersebut hilang dari radar.

"Dalam kes MH370 ia bukan disebabkan oleh kegagalan radar, malah radar masih berfungsi dan dapat mengesan pesawat tersebut sehingga ia hilang.

"Kesilapannya adalah kegagalan DCA bertindak segera selepas ia dikesan, DCA yang masih menunggu tanpa memaklumkan insiden tersebut kepada agensi-agensi lain termasuk Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM)," jelas beliau pada sidang media di lobi parlimen.

Katanya, TUDM dapat mengesan pesawat melalui radar yang mereka miliki, namun perkara itu tidak dimaklumkan awal menyebabkan mereka tidak mengambil perhatian yang serius.

"Jelas semua radar berfungsi dengan baik, kalau kita naik taraf radar dengan teknologi yang canggih tetapi kita tidak bertindak segera keputusannya tetap sama seperti hari ini.

"Apa yang penting sekali adalah kecekapan kita untuk bertindak dan bukannya hanya menanti beberapa jam baru melaksanakan pelan bertindak," katanya.

Beliau yang tidak mahu insiden ini digunakan oleh kerajaan untuk berbelanja berbilion ringgit dalam menaiktaraf radar sedangkan sistem radar yang dimiliki sekarang dapat berfungsi dengan baik.

Khalid yang juga meminta agar Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan tampil memohon maaf kepada seluruh keluarga penumpang dan juga Kerajaan China atas kesilapan bertindak lebih awal sejurus ia hilang dalam kesan radar.

"Kalau Kerajaan China boleh mohon maaf atas kesilapan maklumat dari imej satelit, kenapa tidak Kerajaan Malaysia yang perlu mengakui kesilapan yang telah dilakukan.

"Ini bagi mengembalikan keyakinan negara luar dan rakyat negara ini," sambung beliau.
KUALA LUMPUR: Semakin banyak persoalan timbul setelah Perdana Menteri mengumumkan bahawa pesawat Boeing 777 itu berkubur di selatan Lautan Hindi, kata Lim Kit Siang.

Katanya, jawapan kepada semua persoalan, kekeliruan, dan kontroversi ini perlu dikemukakan, bukan saja kepada sanak-saudara terdekat para penumpang dan anak kapal terbabit, malah juga kepada semua rakyat Malaysia dan warga dunia.

“Justeru itu, Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 mesti dibentuk dan diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang bagi memulihkan citra dan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Dua perkara yang berlaku dalam tempoh 36 jam yang lalu menonjolkan perkembangan tragis pada hari ke-19 bencana kehilangan pesawat MH370 Boeing 737-200 di mana masyarakat Malaysia dan dunia dipukul badai kekeliruan tentang nasib pesawat serta 239 penumpang dan anak kapal, iaitu:

(1)  Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hari Isnin, 25 Mac (hari ke-17) pada jam 10 malam bahawa “dengan menggunakan sejenis analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini bagi penyiasatan sebegini,” kedudukan terakhir pesawat yang hilang adalah di tengah Lautan Hindi, di barat Perth, dan bahawa “pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.” Pada asasnya – semua 239 penumpang dan anak kapal telah lenyap dalam kejadian terbabit dan tiada siapa terselamat. Bagaimanapun, lebih dari 17 kemudiannya, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Hishammuddin Hussein telah memberitahu Parlimen tengah hari kelmarin bahawa operasi SAR (mencari dan menyelamat) akan diteruskan dan beliau tidak akan menyerah kalah selagi masih ada harapan untuk 239 penumpang dan anak kapal terbabit.

(2)  Bendera di agensi kerajaan, sekolah, dan sektor swasta di Johor dan Perak dikibar separuh tiang sebagai menghormati penumpang dan anak kapal MH370; tetapi di Parlimen kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan mengisytiharkan perkabungan di seluruh negara sehingglah bukti lebih kukuh diperolehi untuk mengenalpasti bangkai pesawat MH370.

Atas sebab itulah keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan, dan kita semua yang mendoakan sesuatu yang terbaik untuk 239 penumpang serta anak kapal, semua yang setelah 19 hari menanti dalam sedih dan sengsara mengharapkan kata penamat tentang bencana ini, memberi reaksi beremosi dan malah histerikal terhadap pengumuman Perdana Menteri tentang nasib MH370 yang dikatakan berakhir di selatan Lautan Hindi tanpa seorang pun terselamat – sedangkan pengumuman itu adalah “kata penamat tanpa penamat”, memandangkan belum ada secebis pun bangkai pesawat ditemui.

Apakah operasi SAR Hishammuddin masih memberi maksud “mencari dan menyelamat” atau ia kini bermaksud “mencari dan menemukan” tanpa sebarang jangkaan untuk menemukan walaupun seorang penumpang atau anak kapal yang masih hidup?

Seperti yang telah saya sebutkan di Parlimen pada malam Isnin lalu, sehingga hari ke-17 itu seribu satu persoalan timbul tentang bencana MH370, antaranya mengapa tindakan susulan tidak diambil dengan segera sebaik saja MH370 hilang dari radar awam dan tentera pada 8 Mac lalu; mengapa kita membuang masa selama lebih seminggu menjalankan operasi SAR di Laut Cina Selatan sedangkan maklumat radar menuding ke arah koridor utara dan selatan; dan mengapa pula dunia luar menganggap pihak berkuasa Malaysia tidak telus dan berterus-terang tentang tragedi ini.

Semakin banyak persoalan timbul setelah Perdana Menteri mengumumkan bahawa pesawat Boeing 777 itu berkubur di selatan Lautan Hindi.

Jawapan kepada semua persoalan, kekeliruan, dan kontroversi ini perlu dikemukakan, bukan saja kepada sanak-saudara terdekat para penumpang dan anak kapal terbabit, malah juga kepada semua rakyat Malaysia dan warga dunia.

Justeru itu, Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 mesti dibentuk dan diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang bagi memulihkan citra dan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa, kerana ia dapat memberi mesej jelas kepada warga Malaysia dan dunia bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dan sanggup membenarkan perkara sebenar yang berlaku di sekitar bencana MH370 disingkap dan didedahkan.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 mesti dibentuk tanpa lengah.
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan malam tadi menetapkan pelaksanaan solat jenazah ghaib untuk penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 tidak perlu diadakan sekarang, kata pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin.

Katanya anggota jawatankuasa sebulat suara bersetuju dan memutuskan bahawa kesemua anak kapal dan penumpang MH370 dikategorikan sebagai orang hilang (mahqud) dan dianggap sebagai orang yang telah meninggal dunia setelah usaha pencarian dibuat oleh pihak berkuasa.

Keputusan itu dibuat setelah berbincang dan meneliti pandangan ulama dan beberapa pakar dalam subjek berkenaan selepas muzakarah khas bersidang lebih dua jam mulai 6 petang semalam, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Jawatankuasa fatwa juga memutuskan bahawa pengesahan kematian perlu dilakukan dan ditentukan di Mahkamah Syariah memandangkan ia penting untuk membolehkan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta dan lain-lain yang membabitkan waris si mati, katanya.

Sehubungan itu, katanya, solat jenazah ghaib tidak diperlukan lagi buat masa sekarang kerana pihak kerajaan masih berusaha mencari kotak hitam, mencari mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan.

Abd Shukor berkata sekiranya pasukan penyelamat menemui cebisan mayat yang tidak dikenali langsung, cebisan berkenaan wajib dikumpulkan dan dimandikan sama seperti pengurusan jenazah Islam kerana mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya, kata Abd Shukor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat semalam bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi malang yang menimpa pesawat berkenaan mengatakan bahawa Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan akan bersidang petang ini untuk menentukan tarikh dan waktu pelaksanaan solat jenazah ghaib bagi penumpang dan anak-anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Anggota jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa orang Islam yang terkorban dalam tragedi MH370 sebagai mati syahid akhirat. Selain itu, solat hajat dan doa untuk pesawat MH370 yang hilang itu dibolehkan agar Allah SWT mempermudahkan pencarian pesawat tersebut," katanya.

Abd Shukor berkata anggota jawatankuasa fatwa khas itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan dari pelbagai negara lain di seluruh dunia atas kesungguhan mereka mencari pesawat MH370 itu. - Bernama


KUALA LUMPUR: Sejumlah 12 pesawat terlibat dalam usaha mengesan dan mengambil objek-objek yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi, dalam operasi hari ini.
  
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataan di sini berkata pesawat terbabit meliputi tujuh milik tentera dan lima milik awam.
  
"Setakat ini enam negara terbabit dalam operasi iaitu Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan," kata kenyataan itu.

Pesawat yang terbabit operasi hari ini ialah sebuah Ilyushin IL-76 dari China, sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand, dua P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia, P8 Poseidon (Amerika Syarikat), serta masing-masing satu P3 Orion dari Jepun dan Korea.
  
"Dua pesawat awam sudah berlepas dari Perth ke kawasan pencarian, manakala bakinya akan berlepas antara pukul 10 pagi dan tengah hari," kata kenyataan itu.

AMSA berkata 34 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri dari Australia Barat terbabit sebagai peninjau dalam pesawat awam berkenaan.
  
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian. Pesawat dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
Pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, berdasarkan analisis maklumat satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan