Rabu, 19 Februari 2014

YANG TAK ISLAMIK LEBIH DAPAT TEMPAT....YANG MEROSAKKAN IMAN DIBIAR BEGITU SAJA....NI PERBUATAN2@AMALAN2 IBLIS@SYAITAN


Indeks Kebebasan Media Malaysia tahun 2014 berada pada kedudukan ke-147 daripada 180 negara, merosot dua angka berbanding tahun lalu. Ini bukan saja rekod terburuk negara, sejak 12 tahun ia diukur, malah di tangga lebih bawah daripada Myanmar.

Pada tahun-tahun awal indeks kebebasan akhbar ini dilaporkan, misalnya pada 2002, Malaysia mendapat tempat ke-110, tahun 2003, tangga ke-104 dan 92 pada 2006. Di bawah era Najib Razak, kedudukan negara menjunam ke tahap 141 (2010), 145 (2013) dan 147 (2014).

Kebanyakan negara jiran, misalnya Brunei, Thailand dan Indonesia mengatasi kita. Hanya Singapura, pada tangga ke-150, berada di bawah Malaysia.

Namun begitu, mungkin tidak ramai mahu ambil peduli dengan penyenaraian pemantau bebas berpusat di Perancis, Wartawan Tanpa Sempadan itu.

Walaupun kebebasan akhbar merupakan intipati penting dalam sistem demokrasi, namun majoriti rakyat jarang memberi perhatian serius, apatah lagi Malaysia sememangnya sejak lama dikenali sebagai negara yang mengongkong media.

"Bukan cerita baru lagi isu KDN tekan media. Wartawan pun tak ambil peduli. Semua dah anggap perkara biasa," kata seorang teman yang tidak lagi berminat apabila saya mengajaknya berbicara soal sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei nanti.

"Kalaupun nak sambut juga, jangan ulangi rutin, mesti fikirkan idea gila yang luar biasa," sambut seorang lagi rakan. "Kalau kita, aktivis media, nak turun demonstrasi di Putrajaya atau Dataran Merdeka, ada yang nak ikut?" pintas kawan yang ketiga, yang sudah bosan dengan acara forum, disusuli makan-makan, sembang-sembang dan bersurai.

Ya, pemerintah tetap mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau menolak permohonan permit, juga berhak menggantung dan menarik balik, atau mengharamkanya. (Dan saya pasti ramai pembaca yang mulai bosan apabila dapat mengesan saya kerap mengulangi isu basi ini, 'kan?)

Dalam kes pembatalan permit penerbitan FZ Daily, hanya selepas beberapa jam penerbitnya mendapat keizinan Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding terhadap KDN ekoran penggantungan  permit tanpa sebab pada 28 Ogos 2013, ia lebih mengejutkan.

Bayangkan, bagaimana sebuah akhbar boleh diluluskan permitnya pada 20 Ogos 2013, dan tanpa menunggu lama, sekitar seminggu selepas itu, terus digantung dan kemudiannya dibatalkan, sedangkan ia belum pun diterbitkan!

(Penerbit FZ Daily, berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, khususnya setelah 20 tahun menerbitkan akhbar mingguan The Edge, yang kini melewati bilangan ke-1000, dan juga akhbar harian The Edge Financial Daily).

Tidak cukup setakat itu -- lagi tentang isu kebebasan media -- stesen radio perniagaan, BFM, dilarang daripada menyiarkan temubualnya dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Seperti penggantungan akhbar The Heat, saya lebih tertarik dengan daleh yang dikemukakan pihak berkuasa. KDN pernah memberi alasan kandungan The Heat bercanggah dengan mock-up asal yang dikemukakan penerbit.

Begitu juga dengan hujah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Nada dan skripnya serupa. Melambangkan kebebalan dan kontang idea. Paling menyerlah, menonjolkan "kebimbangan melampau" banyak pihak terhadap penampilan bergaya Anwar di Kajang.

(Saya tertarik dengan artikel Malaysian Insider, berjudul "Kenapa Putrajaya takut sangat Anwar?" Pandangan penganalisi dipetik:  Khalid Ibrahim terbukti pemimpin yang baik, tetapi Anwar boleh jadi lebih baik untuk kedua-duanya, iaitu ekonomi dan politik. Satu lagi alasan Putrajaya hendak menutup peluang Anwar ialah beliau akan menggunakan RM3 bilion rizab Selangor dengan lebih baik berbanding Khalid, atau apa yang kerajaan BN boleh buat di Putrajaya.)

BFM dilarang menyiarkan wawancara Anwar disebabkan ia menyinggung hal politik (pastinya ada kaitan dengan pilihan kecil Kajang) walhal, bagi SKMM, "stesen radio itu dilesenkan mengikut tema berdasarkan genre yang mereka pohon -- iaitu berita, hal ehwal wanita, pelancongan atau perniagaan."

Difahamkan penerbit FZ Daily, The Edge Communications Sdn Bhd, mempunyai kepentingan sekitar 23 peratus dalam BFM. Rata-rata pemimpin Umno tidak senang dengan laporan akhbar The Edge dan juga laman fz.com. (Kandungan FZ Daily dibayangkan hampir menyamai laporan fz.com -- yang kini boleh dilayari secara percuma -- yang juga menyentuh isu-isu semasa dan situasi terkini politik).

Tahun lalu, wartawan fz.com tidak mendapat pas media untuk  membuat liputan Perhimpunan Agung Umno. Elit parti pemerintah itu melihat laman berkenaan lebih cenderung kepada Pakatan meskipun pemiliknya juga rapat dengan PM Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

"Menariknya, pemilik The Edge dan FZ Daily merupakan seteru perniagaan kepada tuan punya akhbar Focus Malaysia dan The Heat," beritahu seorang wartawan senior kepada saya.

Beliau menambah, kebebasan akhbar di negara ini terjejas bukan hanya difaktorkan oleh KDN tetapi juga permusuhan sesama penerbit. "Dengar cerita, akhbar Sinar Harian yang nampak lebih bebas dan berani menyiarkan berita Pakatan Rakyat juga dicemburui oleh dua harian berbahasa Melayu lainnya. Mereka bimbang trend penurunan jualan akhbar menjadi lebih ketara bila saingannya ada scoop menarik," ujarnya.

Semasa saya cuba menghubungi rakan-rakan yang rapat dengan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi membincangkan sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei nanti, seorang daripadanya memberi respons:

"Waktu akhbar The Heat digantung, rakan-rakan media bangkit melawan. Baguslah tu, tapi bila seorang pegawai kanan tentera, Zaidi Ahmad didakwa kerana isu dakwat tak kekal, dia macam dibiarkan bersendirian?

"Bukankah isu proses pilihan raya yang bebas dan adil juga satu isu besar yang cukup kritikal. Dan tuntutan akses kepada media bebas adalah salah satu di bawah tajuk besar, sistem demokrasi yang pincang?"

Membaca teks SMS rakan saya itu, saya agak terkedu. Terpaksa diakui kes mahkamah Mejar (Udara) Zaidi Ahmad ini, berkaitan kenyataannya kepada media dan menghantar SMS berbaur politik dan hasutan pada hari mengundi, 1 Mei lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth, seperti tidak diberikan sorotan khusus, termasuk oleh Harakah dan media oposisi lainnya.

Laporan itu dibuat  Zaidi dan dua yang lain kerana dakwat kekal yang dicalit di jari telunjuk tangan kiri  mereka semasa pembuangan undi awal luntur apabila di basuh dengan sabun dan pencuci tangan.

Sedangkan pendedahan Zaidi merupakan satu lagi testimoni jelas terhadap kegagalan pembaharuan untuk melakukan penambahbaikan ke atas perjalanan pilihan raya kita, khususnya penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda. Dia dituduh, antaranya,  di bawah Seksyen 50 (2) Akta Angkatan Tentera 1972.

Di hadapan panel enam anggota pegawai tentera, Zaidi mengaku tidak bersalah. Beliau boleh dihukum penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah di atas pendedahan beraninya itu.

Meneliti laporan Harakah terdahulu, pada 3 Mei 2013, direkodkan, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur. "Dengan arahan pertukaran ini, saya secara rasmi telah dilucutkan dari jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 12 Skuadron Pangkalan Butterworth, dan terlepas peluang untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel TUDM," SMS beliau kepada media dipetik.

Selain itu, memang ada kenyataan atau ulasan, misalnya daripada pemimpin kanan PAS, seperti Naib Presiden Mahfuz Omar, pada 6 Februari lalu, yang menggesa TUDM membatalkan pendakwaan di Mahkamah Tentera.

"Pendakwaan ke atas Zaidi adalah tindakan tidak wajar malah akan memalukan institusi tentera memandangkan anggotanya itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.

"Kes ini adalah hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ia bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri," tegas Mahfuz.

Malah, lebih jelas lagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan: "Jika Pakatan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, saya akan mencadangkan Mejar Zaidi Ahmad, dinaikkan pangkat.

"Saya menyeru kerajaan menggugurkan segala pertuduhan ke atas Zaidi kerana beliau sepatutnya diberi anugerah dan bukan dikenakan tindakan apabila bersuara tentang dakwat kekal semasa PRU13. Mengapa mahu dihantar seorang patriotik ke dalam penjara selama dua tahun hanya kerana berkata benar atas asas kejujuran?”

Sementara itu, semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), 14 Februari lalu,  Anwar turut menyentuh kes mahkamah Zaidi.

“Mejar Zaidi ini dilatih untuk berdisiplin dan berintegriti. Bila dia dapati dakwat kekal itu tak kekal jadi dia buat laporan polis. Ini satu malapetaka apabila orang yang tidak bersalah mahu dihukum," ujarnya.

Sambil melahirkan sokongan, Anwar berkata beliau  akan bermesyuarat bersama pimpinan Pakatan Rakyat untuk membantu mempertahankan Zaidi.

Ketika banyak pihak menimbulkan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang sering dijadikan senjata utama oleh BN untuk menang mudah, persoalan dibangkitkan Zaidi juga relevan untuk dibahaskan.

Kempen besar-besaran di seluruh negara harus dilancarkan, bukan saja untuk membela dan memberi bantuan yang perlu kepada Zaidi, selain sokongan moral di atas sikap berani dan patriotismenya, tetapi juga menekankan kepentingan menggerakkan semula tuntutan menyeluruh bagi "membersihkan" seluruh sistem, proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Bukankah selama berdekad lamanya, pengundi pos, dan kemudiannya pengundi awal, di kalangan anggota tentera dan polis dikatakan aset tetap buat kemenangan Umno-BN, terutama disebabkan mekanisme pengundian yang tidak telus, dan kini Zaidi telah menunjukkan teladan bagaimana patriotisme dan kesetiaan itu mahu didefinisikan secara lebih praktikal.

KOTA BHARU: Kerajaan negeri muncul sebagai pendeposit terbesar Bank Islam di Kelantan sejak 1984 sehingga sekarang, kata Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat.

Sehubungan itu beliau merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dan rakyat negeri ini kerana memberi kepercayaan kepada bank tersebut.

“Nilaian deposit dan pembiayaan Bank Islam di Kelantan dicatat sebanyak RM1.670 bilion tahun lalu, berlaku peningkatan sebanyak 22.1 peratus berbanding sebelumnya.

“Di sini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan padu kerajaan negeri dan rakyat kepada Bank Islam,” katanya pada perasmian Bank Islam Cawangan Padang Garong di sini, semalam.

Cawangan itu merupakan yang ke-13 di Kelantan. Cawangan Bank Islam di seluruh negara sekarang 134, manakala jumlah terminal layan diri pula sebanyak 1,236.

Cawangan baru di Padang Garong tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Turut hadir Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamed dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Mohd Che Rahim Jusoh.

Zukri berkata, pertumbuhan ekonomi di negeri ini semakin sihat iaitu pada kadar 5.9 peratus setahun bagi tempoh 2006 hingga 2012 membolehkan Bank Islam mengembangkan operasinya.

Tambahnya juga Bank Islam akan menambahkan lagi rangkaian cawangan serta meningkatkan lagi ‘touch point’ bagi kemudahan pelanggan termasuk perbankan elektronik dan terminal layan diri.

“Tahun ini kami bercadang menambah tujuh lagi cawangan baru di beberapa negeri lain bagi mencapai hasrat 150 cawangan menjelang akhir 2015,” ujarnya.
KOTA BHARU: Dakwaan kononnya Dinar yang dikeluarkan di Kelantan tiada ciri-ciri Islamik kini terjawab apabila bekas Pengarah Eksekutif Kelantan Golden Trade (KGT), Nik Mahani Mohamed membuat pengakuan maaf di mahkamah hari ini.

Permohonan maaf secara bertulis itu diserahkan peguamnya, Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Kenyataan permohonan maaf itu antara lain menyebut “Dengan suci hati menyatakan bahawa saya amat menyesali pemberitaan yang diterbitkan Utusan Malaysia bertarikh 25 Jun 2012 yang dianggap telah disalah tafsir dari konteks sebenar”.

Beliau juga memohon maaf kepada KGT terhadap sebarang kesulitan, terjejas reputasi dan apa-apa kerugian yang dialami akibat pemberitaan tersebut.

Sebelum ini Nik Mahani dilaporkan membuat tiga laporan polis terhadap apa yang didakwa berlaku salah laku membabitkan seorang pegawai kanan KGT.

Beliau juga dilapor mengatakan Dinar dikeluarkan KGT tiada ciri-ciri Islam. Berita tersebut disiarkan Utusan pada 25 Jun 2012 dengan tajuk “Dinar KGT Didakwa Tiada Ciri Islam”.

Peguam plaintif, Zainal Abidin Mustaffa ketika ditemui berkata, defendan keempat tersebut dikehendaki menyiarkan permohonan maaf dalam salah sebuah akhbar tempatan dalam masa dua minggu.

Mahkamah juga memutuskan defendan terbabit perlu membayar kos sebanyak RM10,000.

Tiga lagi turut dinamakan sebagai defendan kes berkenaan iaitu Utusan Melayu sebagai defendan pertama, Saifulizan Muhamad (kedua) dan Azran Fitri Rahim (ketiga). Ketiga-tiga defendan tersebut diwakili peguam M Reza Hassan.

Sebelum itu peguam ketiga-tiga defendan meminta menangguhkan prosiding hari ini bagi merujuk kes tersebut kepada pihak Lembaga Pengarah Utusan Melayu di Kuala Lumpur.

M Reza berkata, pihaknya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak tertinggi Utusan Malaysia sama ada ingin meneruskan pembelaan atau meminta maaf.

Perbicaraan kes tersebut bersambung esok.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersedia menawarkan pemberian air percuma 20 meter padu kepada penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya, sekiranya penstrukturan air di negeri itu berjaya diselesaikan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada perancangan manfaat daripada penstrukturan air Selangor.

“Perbelanjaan kos melaksanakan pemberian air percuma di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dianggarkan RM2 bilion setahun,” katanya ketika berucap dalam Malaysian Power and Water Summit 2014.

Jelas Abdul Khalid, rundingan penstrukturan ini sudah berada di peringkat akhir dan berharap akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu.

Tambahnya, pelan penstrukturan air ini bukan menjurus kepada unjuran untuk tahun 2020 malah boleh diteruskan sehingga tahun 2035.

Kata beliau lagi, Kerajaan Negeri kekal dengan tawaran sebanyak RM9.65 juta kepada syarikat konsesi air dan tidak akan membayar dengan harga lebih rendah daripada itu.

Sekiranya harga berkenaan tidak dipersetujui, syarikat konsesi boleh membawa perkara ini ke peringkat Timbang Tara untuk diputuskan dan Kerajaan Negeri bersedia untuk membayar harga yang bakal diputuskan.

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS wilayah Persekutuan (DUPWP) hari ini membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung kenyataan Kassim Ahmad yang disifatkan sebagai menghina Islam dan Nabi Muhammad saw.

Kassim sewaktu dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian anjuran Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Perdana, Putrajaya pada Ahad lalu didakwa jelas mengeluarkan pandangan bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau mengkritik masyarakat Islam yang dikatakan mendewa-dewakan Nabi Muhammad, menyatakan rambut wanita bukan aurat serta wujud kasta paderi dikalangan ulamak.

Menurut Ketua DUPWP, Ustaz Azhar Yahya, semua pendapat Kassim Ahmad jauh terpesong dan nyata menyesatkan pemikiran ummat Islam daripada memahami Islam yang sebenar malah mendatangkan syak wasangka buruk bukan Islam kepada Islam.

Justeru beliau mahu Jawi menyiasat Kassim di bawah Seksyen dan 8 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas beliau.

"Saya percaya, kenyataan-kenyataan Kassim Ahmad tersebut merupakan satu usaha untuk mengdoktrin pemikiran masyarakat Islam secara salah dan ianya ternyata suatu kesalahan di dalam undang-undang yang telah dikanunkan di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan," kata beliau kepada Harakahdaily selepas menyerahkan surat aduan kepada Ketua Unit Perhubungan Awam Jawi, Mohammad Kori di pejabat Jawi, dekat sini.

Azhar juga berkata, DUPWP yakin kenyataan-kenyataan biadab Kassim pada program tersebut dan di dalam pelbagai media yang diusahakan sendiri olehnya adalah suatu jenayah dan berbahaya kepada Islam, ummatnya dan harus disekat.

"Saya merasa bimbang dengan keselamatan aqidah ummat ini dan khuatir tindakan biadab seumpama ini akan menjadi dorongan kepada pihak-pihak lain untuk mempersenda dan menghina Islam dan institusinya," katanya lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad yang turut hadir ke Jawi berkata, DUPWP bersedia untuk berdebat dengan Kassim namun tetap mahu Jawi menyiasat Kassim.

"Pihak kami setuju dengan cadangan sesetengah pihak agar mengadakan debat dengan Kassim Ahmad jika tidak bersutuju dengan pandangan beliau.

"Tapi ini bukan soal perbezaan pendapat tetapi kenyataan yang ternyata menghina Islam dan Nabi Muhammad. Debat satu perkara tapi dalam masa yang sama Jawi perlu menyiasat Kassim," katanya.
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyahut cabaran debat yang dilontarkan pemikir kontroversi Kassim Ahmad seperti yang dilaporkan media semalam.

Naib presidennya Hasri Harun berkata, pada pasa sama Kassim Ahmad juga perlu bersedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W , ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.

"Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan.

"Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kasim Ahmad bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasri berkata Abim pada 28 Jun 1986 pernah mengadakan muzakarah bersama Kassim Ahmad di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya.

Menerusi dialog tersebut katanya, anggota panel Abim yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady telah menjawab satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau yang secara jelas bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

"Sepanjang dialog tersebut, beliau (Kassim Ahmad) gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Abim juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Islam dan Al-Hadith : Dialog Bersama Kassim Ahmad – Satu Analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah S.A.W.” cetakan 1991 dan 1995.

Buku tersebut telah membentangkan hujah dari segi metadologi, sumber autoriti, dan sejarah pengumpulan Hadis serta beberapa sudut lain bagi menolak buku beliau “Hadis: Satu Penilaian Semula”.

Tambah beliau, sikap angkuh Kassim AHmad telah mencerminkan kerendahan nilai diri sendiri memandangkan tiada perkara yang memalukan nilai intelektual seseorang yang dijulang tinggi dalam masyarakat, apabila seorang sarjana itu tidak meraikan pandangan pihak lain dalam siri dialog.

"Justeru, perdebatan dengan individu sebegini sememangnya tidak akan memberi apa-apa makna atau mencapai sebarang tujuan yang positif dalam mencari kebenaran.

Beliau juga mendesak kerajaan khususnya Jabatan Agama memainkan peranan untuk mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan ke atas ajaran sesat lain dalam negara kerana pemikiran beliau secara jelas berlawanan dengan prinsip ajaran Islam.

Semalam Kassim Ahmad yang dilihat sebagai tokoh pemikiran anti hadis, mencabar pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" untuk berdebat.

Dalam seminar di Putrajaya Ahad lalu itu, Kassim mendakwa bahawa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama, umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua dan rambut bukanlah aurat wanita.
Pelbagai pihak melahirkan kritikan terhadap kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam yang dikeluarkan oleh Kassim Ahmad.

Kenyataan beliau bukanlah perkara baru, bahkan buku beliau turut diharamkan dan diyakini boleh membawa kerosakan aqidah.

Pelbagai fatwa serta kecaman telah dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam.

Melihat latar belakang beliau, pandangannya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi.

Lantaran itu wujudnya istilah seperti jahil murakkab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui. Atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu”.

Kalaulah ianya hanya sekadar Kassim Ahmad, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian.

Namun bila mana pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah. Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar dari apa yang dilihat.

Apa yang perlu dibuat?

Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) khususnya, dan Majlis Agama Islam Negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi. Sekadar mengeluarkan fatwa sahaja tanpa tindakan hanya akan menjadikan ia satu bahan ketawa masyarakat.

Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi.

Saya melihat serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah.

Memang pelik pemikiran beliau, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi.

Ambil contoh gesaan beliau agar al-Quran ditafsir semula, dan penafsirannya mestilah berdasarkan al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau para alim ulama.

Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan al-Quran kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. dan Baginda membacakan al-Quran ini?

Umpamanya, di dalam al-Quran, Allah memerintahkan sujud, bagaimana kita nak tahu cara perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah s.a.w.?

Demikian juga puasa, zakat dan seluruh ajaran al-Quran. Kalaulah Rasulullah s.a.w. bukan pentafsir kepada al-Quran, apakah kita lebih layak mentafsirnya?

Kassim Ahmad, dan orang-orang Islam yang lain yang jelas dilihat keliru perlu dipanggil, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut.

Seandainya beliau telah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau.

Lebih dukacita beberapa orang mufti dan pemimpin agama yang biasa cepat mengeluarkan pandangan yang melibatkan pembangkang terus diam membisu tidak mengeluarkan kenyataan kecaman sebagaimana biasa.

Apakah ini membuktikan politik melebihi segalanya termasuk isu akidah bagi mereka ini? Wallahu a'lam.

Yang dikhuatiri PAS ialah tindakan mereka yang sudi membisu dalam hal ini akan dilihat oleh orang yang jahil bahawa apa yang disebut Kassim Ahmad boleh diterima.

Jakim perlu memanggil penganjur dan mendapatkan keterangan, bahkan pihak berwajib perlu bertindak kerana pelbagai pihak telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.

Penulis ialah Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Lujnah Dakwah PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan