Sabtu, 28 Disember 2013

DAKWAH SERTA TAAT....MENCARI SYURGA...MENCARI RAHMATLAH DAN SEANGKATAN DENGANNYA....ADA SELAGI KITA HIDUP DAN BERDAYA.....JIKA DAH MATI ATAU DAH TAK BERDAYA...MAKA TAK BERGUNA LAGI

KUALA LUMPUR: PAS bersedia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Turun yang akan diadakan menjelang tahun baru akan datang sebagai permulaan kepada siri-siri himpunan seterusnya.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar) melihat himpunan yang akan diadakan pada malam 31 Dis anjuran NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bersesuaian dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga Penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) menegaskan selepas Himpunan Turun itu, PAS akan terus menyokong mana-mana himpunan yang diadakan selepas itu, sekiranya bersesuaian dengan perjuangan PAS.

Sebagai contoh, katanya PAS akan sama-sama menggerakkan Himpunan Bantah GST yang dirancang diadakan pada Hari Buruh, 1 Mei akan datang.

"Selepas Himpunan Turun, kita akan ada pula Himpunan Bantah GST. Antara masa-masa tersebut, akan ada program-program yang diatur bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai Penggerak Mobilisasi PAS dengan kerjasama NGO lain," tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Hatta melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak tertentu yang cuba melabelkan himpunan malam 31 Dis itu sebagai kononnya himpunan untuk menggulingkan kerajaan.

Biarpun tidak tahu-menahu sekiranya ada gerakan yang akan mengadakan himpunan sedemikian (guling kerajaan), Dr. Hatta berkata Pakatan Rakyat dan NGO Turun tiada kaitan dengan himpunan tersebut.

"Semua tahu, Himpunan Turun itu bertujuan untuk membantah pesta kenaikan barangan dan perkhidmatan.  Berhimpun secara aman. Tidak timbul isu guling kerajaan, bukan tujuan pun.

"Jadi, janganlah kerajaan bersikap antagonistik sangat apabila rakyat berhimpun dengan aman. Kita hanya nak bersuara menyatakan bantahan sahaja selepas pelbagai cara kita lakukan bagi mengelakkan kenaikan kos hidup ini, sama ada melalui perbahasan parlimen, perbincangan, penyerahan memorandum dan sebagainya," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau yang berkemungkinan turut menyertai himpunan itu menyeru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama menyertainya di Dataran Merdeka dengan suasana aman dan tenteram bagi memberi signal kepada kerajaan tentang kepayahan rakyat.
Berita kenaikan kos sara hidup seperti kenaikan harga minyak, barangan harian, tarif elektrik dan kenaikan konsesi tol yang bakal dilaksanakan pada Januari 2014 mencetuskan satu fenomena rakyat yang menolak tindakan kerajaan itu.

Hal ini dapat dibuktikan dengan hasil kajian dari Pusat Kajian Demokrasi dan Kajian Pilihanraya Universiti Malaya (UMcedel) terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia pada 6 hingga 8 Disember 2013.

Kajian tersebut mendapati 42% responden beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan mereka diikuti 34% kenaikan harga barang, dan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 24%.

Tambahan pula jawapan serta respon tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh menteri-menteri seakan menampakkan kurang cerdiknya mereka terhadap kenaikan kos sara hidup ini.

Keadaan ini telah membangkitkan satu gelombang protes rakyat yang seumpama  Reformasi yang berlaku pada 1998. Mungkin isu yang berbeza, tapi nada yang sama iaitu ketidakadilan kerajaan terhadap kepentingan rakyat.

Antara gelombang yang berlaku ialah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang dipelopori mahasiswa seterusnya diikuti dengan satu street protest yang akan berlaku pada malam 31 Disember 2013.

Yang pasti,kerajaan Malaysia sememangnya khuatir gelombang ini akan menggugat pemerintahan mereka dengan cubaan tangkapan terhadap pengerusi TURUN yang disabitkan kesalahan berniat untuk menggulingkan kerajaan. Tidak kurang media negara dijadikan budak upahan bagi memaparkan berita dan ancaman  bertujuan menakutkan rakyat untuk bersama-sama dalam protes pada 31 Disember ini.

Terlalu besar pengkhianatan kerajaan Malaysia lakukan menerusi kenaikan kos sara hidup ini walaupun  mereka baru sahaja menang dalam Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei yang lalu.

Saya tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku kepada negara Malaysia sepanjang 5 tahun pemerintahan Barisan Nasional. Golongan kaya terus hidup dalam timbunan kemewahan dan marhaen terus mengemis untuk sesuap nasi. Di benak saya adakah Malaysia akan diisytiharkan bankrap seperti yang digembar-gemburkan?

Mesir dan nasib ummah

Kekalutan kita berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup ini telah membuatkan kita leka dengan isu yang lebih bersifat global iaitu isu Mesir yang semakin parah.

Saban hari semakin ramai rakyat yang tidak berdosa dibunuh, fatwa ulama’ yang membenarkan nyawa rakyat Mesir dikorbankan, Parti Nur dan Dakwah Salafiah cawangan Iskandariah yang bersubahat dengan pihak tentera, kerjasama yang diberikan oleh Saudi dan UAE kepada kezaliman As-Sisi serta banyak lagi mewarnai politik Mesir.

Kekejaman As-Sisi kepada rakyat Mesir lebih teruk jika hendak dibandingkan kekejamaan Israel terhadap rakyat Palestin.

Jika kita menentang kezaliman kerajaan Malaysia yang terus-terang menggunakan wang rakyat dengan salah, rakyat Mesir menentang kezaliman As-Sisi yang membunuh rakyatnya dengan sewenang-sewenangnya.

Malangnya isu kezaliman pemerintah ini tidak akan berhenti dan kezaliman ini akan berterusan selagi mana keadilan Islam tidak ditegakkan atas muka bumi ini. Lagi isu kezaliman yang melatari krisis kemanusiaan yang berlaku.

Di mana pedulisme mahasiswa?

Di tengah kemelut berpanjangan kezaliman pemerintah itu, sautu krisis yang kita hadapi adalah mahasiswa yang semakin kurang sikap peduli. Ada antara mereka yang sibuk untuk mengejar ‘first class owner’ semasa graduasi dan juga yang leka dengan berhibur dengan budaya hedonism.

Mahasiswa yang kurang sifat empati terhadap masyarakat sekeliling sehinggakan mereka lupa peranan dan amanah mereka pada negara masa mendatang.

Mahasiswalah yang bakal memimpin negara di pelbagai varsiti masyarakat serta bakal mendidik anak bangsa seterusnya. Tugas ini amatlah berat dan mesti dimulakan dengan pembinaan diri seorang mahasiswa.

Oleh itu, mahasiswa semestinya mempunyai sikap kritis serta peduli terhadap perkara-perkara yang berlaku sekelilingnya juga terhadap masyarakat.

Bangkitlah mahasiswa, keluarlah dari kepompong pentingkan diri, pedulilah pada dunia sekelilingnya dan beranikanlah dirimu untuk menentang ketirisan kerajaan kerana kau harapan negara suatu hari nanti.

Penulis ialah pelajar Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

KOTA KINABALU: PAS Kawasan Sepanggar telah menyampaikan sumbangan berbentuk beg dan peralatan sekolah kepada 20 orang murid sekolah rendah bertempat di Kampung Likas, Sepanggar, semalam.

Majlis tersebut merupakan siri pertama penyampaian sumbangan dalam jelajah Program Back To School anjuran PAS Kawasan Sepanggar.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sepanggar, Asfar Akbar, beg dan peralatan sekolah yang disampaikan itu adalah hasil sumbangan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, program siri pertama telah berjaya kita laksanakan. Sumbangan dana daripada orang ramai amat menggalakkan sejak kita melancarkan tabung sumbangan dana pada 20 Disember lalu. Terima kasih saya ucapkan kepada para penyumbang.

Menurutnya lagi, penerima sumbangan terdiri daripada murid-murid yang kurang berkemampuan di sekitar Kampung Likas.

"Kita dapati, masih ramai anak-anak kita yang kurang berkemampuan di sini dan sangat memerlukan sumbangan. Maka, kita di peringkat PAS mèngambil inisiatif ini bagi meringankan beban ibu bapa,” tambahnya.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Ketua Pemuda PAS kawasan, Abdillah Matlin.

“Jelajah Program Back to School selepas ini akan ke Kampung Padas dan berakhir di Kampung Unngun. Insya Allah program ini akan berakhir dengan satu mini karnival pada hari ahad ini," kata Abdillah.

MESIR: Sekurang-kurangnya dua terbubunuh dan 147 anggota Ikhwan Muslimin ditangkap tentera kudeta Mesir ketika menyuraikan himpunan para penyokong Presiden Dr Mohamed Morsi semalam.

Dalam perhimpunan Jumaat semalam, tentera kudeta didakwa menyerang peserta himpunan yang berkumpul di beberapa buah bandar.

Menurut saksi, dua yang terkorban masing-masing di bandar Samanoud di pusat wilayah Minya dan di bandar utara New Damietta, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Dalam Negeri negara itu mengesahkan penahanan 147 orang yang 28 darinya  adalah wanita.

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi dari pihak keselamatan berhubung jumlah yang terkorban tersebut.

Kenyataan kementerian berkata penunjuk perasaan telah ditangkap kerana " merusuh, menyekat jalan raya dan menyerang rakyat dan anggota polis dengan senjata api. "

Perhimpunan semalam adalah sebagai tindak balas kepada seruan oleh Perikatan Kebangsaan bagi Mempertahan Legitimasi, iaitu blok sokongan utama Morsi, untuk protes selama seminggu.

Pada Rabu lalu, kerajaan Mesir yang disokong tentera kudeta mengisytiharkan gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, sebagai " kumpulan pengganas. "

Pengisytiharan itu dibuat selepas insiden letupan di ibu pejabat keselamatan di bandar Delta Nil yang membunuh 16 orang, kebanyakannya anggota polis.
DAKWAH menurut Islam ialah mengajak seseorang  dengan penuh kebijaksanaan  ke arah jalan yang benar sesuai dengan perintah Allah untuk kemaslahatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Artikel ini membincangkan peranan media massa dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

Zaman moden ini, dakwah sangat diperlukan untuk membendung segala masalah keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa. Kalaulah konsep dakwah ini tidak digunakan dengan penuh hikmah dan penuh kebijaksanaan, maka kemungkinan besar, ia belum tentu dapat mengatasi masalah sosial ini.

Dalam hal ini, media massa perlu dimanfaatkan sebagai medium dakwah termasuklah akhbar, radio, televisyen, majalah, buku, laman sosial ( facebook, Youtube, twitter, blog dan lain-lain) kerana media massa mempunyai pengaruh yang hebat.

Salah satu media yang boleh digunakan dalam kegiatan berdakwah adalah radio. Bayangkan, hampir seluruh siaran radio yang menyelenggarakan saiaran menyajikan informasi, pendidikan dan siaran keagamaan.

Selain itu,pesanan dakwah dapat disampaikan secara langsung kepada khalayak. Malah, siaran radio menjangkau wilayah yang luas, semakin kuat pemancarnya semakin jauh jaraknya.

Sebagai contoh, para penggiat seni perfileman memainkan peranan yang sebenar-benarnya di dalam filem mereka dengan menerapkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri islamik di dalam kandungan filem. Paparan lakonan yang mempunyai mesej sekaligus mengikut  syariat  sahaja yang sepatutnya  ditayangkan di khalayak ramai. Kebanyakan filem sanggup menggadaikan syariat demi pembikinan sebuah filem yang dipandang di mata dunia.

Seterusnya, peranan akhbar dalam dakwah islamiah. Umumnya ahli-ahli akademik dan pengamal media terpengaruh dengan 'konsep kebebasan akhbar' dari Barat. Namun begitu. setiap negara mempunyai undang-undang tersendiri bagi mengawal 'kebebasan akhbar'. Pemikiran global khususnya dari Barat telah berpegang kepada gagasan kebebasan, liberal dan hak asasi manusia dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai.

Di Malaysia, konsep kebebasan akhbar tidak wujud secara tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai kebebasan bersuara atau kebebasan bercakap.Maksud kebebasan bersuara di sini termasuklah juga kebebasan mengeluarkan fikiran. Konsep kebebasan bersuara ini diperuntukkan di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam arus modenisasi ini, media elektronik mahupun media cetak merupakan medium dakwah yang paling efektif khususnya bagi generasi muda masa kini. 
______________
Nur Azilah Mohd Razali ialah pelajar program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob menegaskan kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membolehkan perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di negeri itu.

Mengambil contoh Brunei katanya, Kelantan akan menggunakan semua saluran termasuk berbincang dengan kerajaan pusat bagi merealisasikan perkara itu.

Katanya, Brunei merupakan sebuah kerajaan yang paling tepat untuk dijadikan contoh dalam perlaksanaan undang-undang Islam itu.

Menurut beliau, sejak mengumumkan perlaksaan undang-undang itu baru-baru ini, kadar jenayah di negara itu dikatakan telah menurun 50 peratus.

 Pada masa yang sama ujarnya, beberapa lagi telaga minyak baru telah ditemui sekaligus menambah hasil petroleum negeri itu untuk tempoh ratusan tahun lagi.

“Setelah kerajaan Brunei mengistiharkan untuk menjalankan kanun tersebut, negara mereka semakin dilimpahkan rezeki, contohnya penemuan telaga minyak yang baru, kadar jenayah yang semakin berkurangan.

“Jelas membuktikan kepada kita, walaupun hukuman itu  belum dilaksanakan namun kadar jenayah secara sendirinya berkurangan dan rezeki melimpah ruah diberikan Allah,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah mingguan Jumaat  di Medan Ilmu, semalam.

Menurutnya, apabila manusia berpegang teguh kepada hukum Allah serta beriman, maka Allah akan melimpahkan rahmat kepada hambanya, sebagaimana yang berlaku di negera Brunei.

Baru-baru ini Ustaz Ahmad bersama beberapa orang anggota exco kerajaan negeri turut mengunjungi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiahi untuk mendapat gambaran jelas  berhubung perlaksanaan hukum hudud yang bakal dilaksanakan di negara itu.
KUALA LUMPUR: Seni sangat membantu dalam penyampaian sesuatu kisah benar untuk tatapan generasi ke generasi, kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Beliau berkata, semua kisah benar yang dialaminya dirakamkan dalam novel sebagai sejarah kepada generasi muda.

Antaranya ialah novel Hujan Pagi yang ditulis berdasarkan kisah benar beliau yang pernah berkhidmat sebagai wartawan.

"Zaman saya dahulu, saya meninggalkan beberapa buah buku. Kalau baca novel pertama saya, orang akan tahu itu tahun 30-an, masyarakat Melayu tinggal di Kampung Kambing.

"Dalam Sungai Mengalir Lesu, orang akan tahu kisah hidup di Singapura tahun 70-an bagaimana masyarakatnya harus mengutip bangkai di sungai untuk dimakan. Ini cerita benar tapi diperindah dengan seni.

"Waktu saya menjadi wartawan secara saya tidak sedar saya menjadi pencari makan tapi lama dalam dua dekad saya sedar saya bukan cari makan tapi saya dimakan.

"Dalam Hujan Pagi menceritakan bagaimana sebuah akhbar yang seharusnya memartabatkan demokrasi telah ditunggangi oleh kelompok tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta berucap di majlis Makan Malam dan Santai Seni anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Alang Sedayu, Gombak malam tadi.

Majlis itu diadakan bagi meraikan 15 pelajar Universiti Malaya (UM) yang berjaya menamatkan kursus penulisan skrip teater termasuk dua pelajar dari Bali dan seorang dari Bangladesh.

Samad yang mesra dipanggil Pak Samad juga berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk bersuara bagi mengubah demokrasi yang disifatkan sebagai semakin tidak luhur.

"Jika ada orang bertanya saya, Pak, buat apalah bapak ada di jalan raya (sedangkan) kita sudah memilih orang yang kita wakilkan untuk menjaga tanah air.

"Saya cakap, menurut Ahmad Boestamam, kuasawan hanya kuasa. Kuasa boleh digerakkan tapi kuasa juga harus berpihak.

"Dan kita berada dalam situasi yang sangat getir sekarang ini di mana walaupun kita menerima demokrasi kita sebenarnya tidak meluhurkan demokrasi.

"Buat apalah orang tua 81 tahun seperti saya harus bersusah payah berada di jalan raya untuk PPSMI, untuk Bersih 2 dan 3, buat apalah?

"Tapi saya fikir bahawasanya bila tak buat apa-apa kita tidak mengubah apa-apa," katanya.

Beliau juga berpesan kepada generasi muda agar menjadikan seni dan sastera sebagai medium bersifat mengubah dan menggerakkan.

Ujarnya, sastera dan seni harus digerakkan di jalanan untuk menyedarkan masyarakat tentang sesuatu perkara, bukan hanya dipersembahkan di atas pentas dan di dalam buku.

"Saya hanya bercakap berdasarkan apa yang saya alami dan saya merasakan bahawasanya sastera memang benar harus berwawasan tapi lebih besar kalau ia boleh merubah.

"Inilah antara tugas yang berevolusi yang saya lakukan bahawasanya sastera tidak lagi dalam buku, dan sastera tidak lagi di hadapan mikrofon dan sastera juga tidak harus hanya bergerak di atas pentas. Sastera sekarang harus berada di tengah jalan raya.

"Selalu anak muda tanya saya, Pak, apa yang harus kami lakukan? Saya beritahu, setiap orang ada peranannya sendiri. Kalau dia seorang deklamator dia mendeklamasikan puisi, seorang pendebat akan berdebat, seorang pensyarah dia akan bersyarah dan itu semua alat.

"Kita harus tahu bahawa seni yang cantik itu perlu mengubah dan tidak ada jalan lain untuk mengubah melainkan membawa seni itu ke jalanan," katanya.

Menurut beliau lagi, seniman muda berperanan menentukan bentuk kehidupan yang diinginkan mereka.

"Kita selalunya tidak bertanya mengapa di tanah air kita ini hanya sekelompok sahaja yang bersuara.

"Jarang kita bertanya itu sebab sebagai seniman kita fikir tugas kita hanya menulis sahaja. Rakam sahaja, orang baca, akhir tahun tunggu kalau-kalau ada royalti.

"Seniman menentang segala dari hati nuraninya selepas menatap realiti yang ada. Antara realiti yang ada ialah pemansuhan demokrasi.

"Zaman saya meninggalkan hanya warisan kepada anda semua. 50 tahun kelompok saya hanya berjuang dengan pena, mesin taip atau dengan ucapan.

"Sekarang zaman anda semua, zaman angkatan muda harus menentukan bentuk kehidupan. Kalau anda mahu terus menerus menjadi mangsa saya tidak boleh halang. Kalau anda mahu merubahnya saya merelakan," katanya.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan