Jumaat, 20 September 2013

TANPA BURUK SANGKA....JUJUR SERTA TELUS...KAJI BENAR2 DARI SUDUH ISLAM SEBENAR ADAKAH PERJUANGAN KITA BATIL ATAU BENAR...AGAR KITA TAK RUGI DIAKHIRAT KELAK....TAKUT KITA DITIPU OLEH IBLIS SERTA MUSUH2 ISLAM

Arak & maksiat: Contohi Brunei
Posted on Thursday, September 19 @ 17:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering


Syabas Kerajaan Negara Brunei Darussalam apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sendiri mengumumkan bahawa segala penerbangan yang membabitkan 'Royal Brunei Airline' tidak lagi boleh menghidangkan minuman keras didalam penerbangannya.

Negara Brunei yang berdaulat dan sentiasa peka dengan pembawaan Islamnya kini semua sedia maklum akan keberkatannya kerana boleh dikatakan seluruh rakyat Brunei dididik dengan pengetahuan agama yang mendalam dan mereka mengamalkannya.



Setiap kali apabila adanya sambutan kebesaran Islam seluruh rakyat komited bersama dengan pemerintah meraikannya dengan penuh kyusuk dan ikhlas. Pada masa yang sama, Brunei melarang keras penjualan arak secara terbuka mahupun tertutup, bahkan difahamkan tiada pusat hiburan saperti kelab malam atau kelab dangdut termasuk pusat karaoke. Hotel-hotelnya sentiasa dipantau dan bersih daripada kegiatan kemaksiatan dan setiap mereka yang ingin menginap dengan pasangan perlu memberikan butiran tentang hubungan mereka.

Pengisian ibadah dimasjid dan surau sentiasa penuh dengan majlis zikir dan selawat berterusan dan tidak ketinggalan dengan ceramah yang mampu memberikan manfaat kepada rakyatnya. Setiap rakyat yang sudah dewasa dan berkelayakan dapat menunaikan Haji secara percuma. Segala kebajikan saperti perubatan untuk penyakit kronik ditanggung oleh Kerajaan. Begitu juga elaun sara hidup bagi mereka yang memerlukan sentiasa sahaja diberikan bantuan. Walaupun nilai mata wang Brunei itu tinggi (mengikut nilai dolar Singapura) dan kos sara hidupnya yang agak tinggi, tetapi pendapatan dan gaji kakitangan Kerajaan dan juga swasta berpadanan dengan kos hidup.

Pada pandangan saya untuk membenteraskan segala minuman keras di dalam syarikat penerbangan kita dan mencegah maksiat perlu dilihat sejauh manakah komitednya pemimpin kita dalam menegakkan sebuah negara islam mengikut segala perintah yang diperturunkan melalui Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu. Tidak ada istilah tangguh atau apa juga alasan menidakkan hukum-hakam-Nya.

Selagi kita tidak kembali kepada Islam yang sebenarnya, selagi itulah masalah jenayah, maksiat dan masalah sosial yang lainnya tidak dapat diselesaikan malahan bertambah berat lagi. Hanya melalui kaedah Islam sahaja yang mampu memberikan jawapannya dan penyelesaianya.



oleh :  Syed Abdullah Syed Osman
Harakahdaily 19 Sept 2013 

 Kebenaran itu rentas sempadan
Posted on Friday, September 20 @ 08:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Tiada  siapa yang terlepas dari kesilapan dalam dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w pun pernah ditegur oleh Allah beberapa kali, termasuk cara baginda melayan 'Abd Allah bin Ummi Maktum sehingga Allah menurunkan Surah 'Abasa.

Apatah lagi selain nabi, tentu sahaja bukan sekadar kesilapan, tetapi kesalahan dan dosa. Sebesar mana pun ketokohan dan keilmuannya, dosa tetap akan tertampal dalam kehidupannya. Jika tidak pada perbuatan anggotanya, pada niat dan apa yang tersirat dalam jantung hatinya.

Tiada tokoh agamawan yang sunyi dari dosa. Biar pun sebesar mana nama dan kemasyhurannya. Tiada tokoh sarjana sebijak mana sekalipun, pasti ada kebodohannya. Biar pun sebesar mana kesarjanaan dan kepakarannya. Tiada yang sempurna melainkan Allah.
Manfaat

Jika kita mencari semua yang sempurna tanpa sebarang kekurangan dan menolak setiap yang ada kekurangan dan kecacatan, maka kita tidak boleh hidup di dunia ini. Orang yang pertama kita kena tolak ialah diri kita sendiri yang penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan. Namun, kita sering memaafkan diri kita apa yang kita tidak maafkan orang lain.

Dalam memperolehi manfaat ilmu dan hikmah, kita juga tidak boleh terlalu ideal sehingga menolak setiap yang kita nampak kecacatan dan kekurangannya. Kita tidak boleh menolak pendapat yang benar hanya kerana perbezaan agama, aliran mazhab, kumpulan, jamaah, parti politik dan seumpamanya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) : "Bersama setiap kumpulan itu kebenaran dan kebatilan. Apa yang menjadi kewajipan ialah bersetuju dengan mereka mengenai apa yang benar yang mereka kata. Juga menolak apa yang batil yang mereka kata. Sesiapa yang Allah buka untuknya jalan ini (menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa mengira dari siapa datangnya) maka bererti Allah telah buka untuknya ilmu dan agama dari setiap pintu. Allah juga akan mudahkan untuk mendapat kedua-dua perkara itu dengan pelbagai sebab". (Tariq al-Hijratain, m.s 386. Saudi: al-Islamiyyah al-'Arabiyyah).
Ketika menutup kata bagi karya kerohaniannya yang agung iaitu Madarij al-Salikin pula, Ibn Qayyim menyebut lagi: "Wahai pembaca! Bagi kamu hasilnya, ke atas penulis tanggung jawabnya. Apa yang kamu dapati pada buku ini dari ketepatan dan kebenaran maka terimalah. Jangan kamu lihat kepada pengucapnya. Bahkan lihatlah kepada apa yang dia kata, bukan siapa yang berkata. Allah mencerca orang menolak kebenaran apabila kebenaran itu datang dari orang yang dia benci. Dia menerima apabila yang berkata itu orang yang dia suka. Ini adalah akhlak golongan yang dikuasai emosi. Kalangan sahabah berkata: 'terimalah kebenaran dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dibenci. Tolaklah kebatilan dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dikasihi" (3/384. Beirut: Muassasah Fuad).
Insaf
Inilah sikap golongan yang insaf. Maka tidak menjadi kesalahan dalam kehidupan ini untuk kita memetik dan mengambil pengajaran dari mana-mana tokoh pun. Hanya golongan emosi dan tersesat pemikiran seperti aliran 'salafi madkhali' yang mengharamkan umat Islam mengambil manfaat pandangan atau pendapat tokoh yang mereka anggap sebagai ahli bid'ah. Sudah pasti mereka juga mengharamkan memetik tokoh-tokoh yang bukan beragama Islam. Aliran ini dipelopori oleh beberapa kelompok fanatik yang mendakwa mereka menurut jalan salafussoleh padahal jalan yang mereka ikuti itu adalah jalan emosi yang jauh dari telunjuk al-Kitab dan al-Sunnah.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata: "Allah memerintahkan kita agar tidak berkata kecuali yang benar. Jangan kita berkata tentang Allah tanpa ilmu. DIA memerintahkan kita agar adil dan saksama. Kita tidak boleh apabila seseorang yahudi ataupun kristian, apatah lagi syiah rafidah berkata sesuatu pendapat yang padanya ada kebenaran lalu kita tinggalkan ataupun tolak kesemuanya. Bahkan kita hanya tolak apabila padanya ada kebatilan dan tiada kebenaran". (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/342. Muassasah Qurtubah).
Fanatik
Kesederhanaan dan kesediaan ini membolehkan ilmu seorang muslim berkembang. Namun fanatik, telah membuta mata banyak pihak dari mengambil manfaat dari pihak yang lain. Ada yang menolak tulisan-tulisan yang baik kerana perbezaan agama. Ada tokoh agama yang menolak karya sarjana atas alasan 'dia orientalis'. Ada yang menolak kerana 'dia penulis yahudi', ataupun 'dia penulis kristian' dan seumpamanya. Tanpa melihat kepada hujah dan alasan yang dikemukakan.
Begitu juga, betapa kita lihat sebahagian sufi yang menolak pendapat seseorang hanya kerana beraliran salafi, demikian yang salafi enggan mengambil pendapat orang yang dianggap beraliran sufi kerana kononnya tidak semanhaj dengan mereka. Ataupun salafi madkhali yang menolak pendapat kerana 'ikhwani' dan seumpamanya. Menghadkan ilmu dan hikmah kerana ketaksuban kepada sesuatu aliran amatlah merugikan. Banyak kebaikan yang ada dalam aliran salafi dan demikian juga banyak kebaikan yang ada dalam aliran sufi yang terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Demikian juga ikhwani. Tiada aliran yang boleh mendakwa bahawa mereka telah menguasai kebenaran secara mutlak sehingga tiada lagi ruang kebenaran di pihak yang lain. Sesiapa yang mendakwa demikian bererti dia telah menjadikan alirannya berstatus agama yang menentukan iman dan kufur seseorang.
Demikian mazhab fekah, tiada siapa boleh mendakwa bahawa segala kebenaran tertumpu kepada mazhab fekah yang dia pegang semata. Tidak Mazhab Syafi'e, tidak Mazhab Hanbali, tidak Mazhab Maliki dan tidak Hanafi yang boleh mendakwa bahawa kebenaran telah dibolot oleh mereka dan mengikut pandangan selain mereka bererti kesalahan. Imam-imam yang agung itu tidak pernah mendakwa demikian. Hanya pengikut yang melampaui batas sahaja yang cuba membuat dakwaan yang seperti itu. 'Jangan keluar Mazhab Syafi'e' nanti awak sesat adalah dakwaan jahil yang tidak berasaskan ilmu sama sekali.
Kata sarjana fekah yang terbilang Dr 'Abd al-Karim Zaidan: "Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam…apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut…harus bagi pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian  masalah. Ini kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya. Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga harus untuk dia bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam sebarang hukum syarak. Dia boleh beramal berdasarkan apa yang difatwakan kepadanya". (Dr Abd al-Karim, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 412-413, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Betapa kita lihat sesetengah fanatic politik PAS yang enggan mendengar pendapat seseorang hanya kerana orang itu UMNO. Demikian juga sebaliknya. Padahal parti politik itu bukan diasaskan atas dalil-dalil syarak seperti mazhab fekah. Lagikan mazhab fekah tidak mutlak kebenarannya, inikan parti politik yang hanya atas ijtihad strategi dan pandangan politik yang terdedah kepada betul dan salah. Bukan semua pendapat UMNO itu salah dan bukan semua pendapat PAS itu betul. Begitu juga sebaliknya. PKR dan DAP juga demikian. Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama ini yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak. - 19 September, 2013.
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
The Malaysian Insider.

"Kudeta Telah Gagal", kata Penganalisa Tentera

Posted on Thursday, September 19 @ 18:14:10 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Seorang penganalisa tentera yang disegani menyebut bahawa kudeta di Mesir "telah gagal" selepas hanya dua bulan Presiden Mursi digulingkan. Jeneral Safwat El-Zayat menekan bahawa demonstrasi anti-kudeta di seluruh negara jelas menunjukkan kerajaan kudeta tidak mampu meyakinkan rakyat Mesir akan tindakan mereka melawan arus demokrasi negara ini.

Oleh kerana itu, menurut El-Zayat, bermakna Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi mempunyai pilihan samada mengarahkan pasukannya untuk membunuh lebih ramai pembantah sehingga mereka tidak lagi kembali ke jalanan, satu pilihan yang didakwa dibangkang ramai pegawai tentera; atau libatkan pasukan bersenjata di kawasan lain untuk menarik perhatian media daripada demonstrasi pro-demokrasi yang semakin mendapat sokongan padu.

Bantahan yang berterusan ini merupakan mimpi buruk buat Al-Sisi dan mereka yang bersekongkol dengannya. Kaherah dan Iskandariah sahaja menyaksikan 42 perarakan setakat ini, sementara Jumaat lalu menyaksikan perarakan di bandar-bandar yang baru memulakan aktivisma awam, seperti Abu El-Matamir, El-Mahalla, Suez, El-Wadi El-Jadeed dan kota-kota di Laut Merah.

Oleh sebab itu, operasi ketenteraan di Sinai dan kawasan-kawasan lain dirangka untuk memprovokasi pihak militan untuk bertindak balas dengan keganasan, bagi mewajarkan tindakan keras penuh kezaliman rejim kudeta ke atas demokrasi. Hal ini juga untuk mengalihkan perhatian tentera-tentera daripada situasi politik; ketika mereka sibuk "menentang keganasan", politik akan menjadi sesuatu yang kabur dan tidak menjadi keutamaan.

Tambahan pula, Jeneral El-Zayat percaya, pihak tentera akan terpaksa mengambil tindakan dalam masa terdekat bagi menghentikan keberantakan dalam negara. Ekonomi hampir diambang keruntuhan dengan sedikit peluang untuk pulih, tidak kurang disebabkan oleh kudeta dan tindakan keras mereka terhadap ribuan yang berdemonstrasi menentangnya setiap hari. "Meskipun mereka berusaha keras untuk menutup fakta ini," beliau menyimpulkan, "realitinya kudeta Al-Sisi telah gagal mencapai matlamatnya".-mesirkini
Sumber : Middle East Monitor
#mesirkini
#R4BIA


  Air Mata Presiden Mursi
Posted on Thursday, September 19 @ 15:29:36 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh: atriza

"Sudahkah kita kenal atau tahu siapa Dr Muhammad Mursi? Apakah kisah di sebalik segala yang terjadi di Bumi Kinanah itu? Mungkin ada yang sudah cukup tahu atau tentu ada yang tidak tahu apa-apa.

Justeru, saya mencadangkan anda menjamah buku AIR MATA PRESIDEN MURSI dengan segera dapatkannya di SINI.

Moga ia sedikit sebanyak memberikan penjelasan dan kefahaman kepada diri, insya’Allah.

Sedikit, saya sertakan sinopsis buku ini yang ditulis oleh Saudara Pirman.

Moga bermanfaat, insya’Allah.

Rampasan kuasa selalu meninggalkan luka, baik bagi rakyat mahupun yang dikudeta. Rangkaian peristiwa itu sering kali diiringi kekerasan berdarah, bermula daripada pengasingan, intimidasi, hingga pembunuhan beramai-ramai. Perebutan kuasa biasanya diawali dengan pembunuhan pendapat awam bahawa mangsa memang layak dikudeta.

Inilah yang terjadi di Mesir pada awal Julai lalu. Ironisnya, rampasan kuasa di Mesir terjadi pada abad ke-20, ketika demokrasi didakwa sebagai sistem terbaik untuk tatanan dunia saat ini.

Presiden Dr Muhammad Mursi yang terpilih secara sah dalam pilihanraya demokratik sepanjang sejarah Mesir dijatuhkan tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah as - Sisi. Rampasan kuasa bukan kehendak murni tentera (halaman 3).

Manager Nasution, salah seorang anggota Komuniti Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM), berkata rampasan kuasa adalah kejahatan kemanusiaan, pengkhianatan demokrasi, serta mengorbankan rakyat dan masa depan Mesir (halaman 51).

Kenyataan itu seakan-akan terbukti setelah berlanjutnya aksi aman yang dilakukan para penyokong Presiden Dr Muhammad Mursi.

Bukan saja di Mesir yang telah berlangsung lebih dari sebulan, melainkan juga sokongan pelbagai belahan dunia. Pada aksi aman di Mesir, tentera bertindak membabi buta. Sudah tiga kali tentera menembak demonstran aman.

Hingga kini, kira-kira 500 orang tewas. Mesir adalah negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Indonesia.

Sebagai memberikan gambaran yang utuh tentang rampasan kuasa 3 Julai 2013 ini, AM Waskito mengambil inisiatif untuk menulis buku Air Mata Presiden Mursi.

Buku yang terbit beberapa minggu selepas rampasan kuasa ini memberi perspektif seimbang. Di dalamnya disediakan data saintifik dan analisis. Selain turut membedah sejumlah pemberitaan media massa nasional.

Banyak sebab yang melatar belakangi kudeta berdarah, seperti penilaian Mursi gagal mengangkat ekonomi rakyat. Padahal, jika mahu jujur??, kepimpinan ini telah berjalan satu tahun lebih tiga hari.

Sungguh sangatlah tidak mungkin seorang presiden memperbaiki kerosakan yang telah dilakukan selama 30 tahun hanya dalam masa satu tahun (halaman 106).

Di sisi lain, ditemukan pula fakta bahawa awal mula rampasan kuasa terjadi lantaran presiden yang merupakan kader Ikhwanul Muslimin ini menolak pinjaman sebanyak 4.8 bilion dollar dari IMF.

Dengan alasan kemandirian, Mursi mantap menolak pinjaman itu. Alhasil, IMF menghulurkan dana segar sebanyak 1.3 bilion dollar kepada tentera Mesir di bawah komando Jenderal as-Sisi. Dan dana itulah yang menjadi mahar untuk rampasan kuasa (halaman 58).

Fakta lain, beberapa hari selepas Mursi dilanti , sempadan Mesir dan Palestin langsung dibuka sehingga warga Palestin boleh keluar - masuk Mesir tanpa pemeriksaan ketat. Lalu selepas rampasan kuasa terhadap Mursi, pintu sempadan itu ditutup lagi (halaman 63).

Pada akhirnya, rampasan kuasa dengan dalih apa pun adalah tindakan yang menodai demokrasi. Dunia berharap tidak ada lagi darah yang tumpah. Apalagi, demo aman penyokong Mursi yang sudah dilakukan lebih dari 30 hari di lapangan R4bia Al Adawiyah ini telah menelan 500-an korban jiwa.

Aksi aman penyokong Mursi bukan tuntutan. Kerana majalah sekelas Time pada edisi bulan Julai mengeluarkan sebuah liputan dengan judul World s Best Protesters. Gelaran itu diberikan kepada demonstran aman yang setia menyokong presidennya.

Dengan jumlah massa jutaan, tidak ada tumpukan sampah di tempat aksi. Bahkan mereka melakukan seluruh aktiviti di medan aksi itu tanpa kekecohan, dengan tetapan yang sangat baik. Semoga keadilan akan segera tertegak.

Diresensi Pirman lulusan SMA N 1 Comal , pelajar teladan tingkat Kabupaten Pemalang, 2006.

Tajuk: Air Mata Presiden Mursi
Penulis: AM Waskito
Penerbit: Pustaka Al Kautsar – Jakarta
Cetakan: I Julai 2013
ISBN: 978-979-592-640-5

Dapatkan segera di MAAt

Rujukan: SINI"



Dr. Mahathir Kata Umno Mengidap “Sakit Tua Dan Bakal Mati”


Menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati parti Melayu itu agar melantik pemimpin muda kerana ia (UMNO) sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".

"Ini naluri manusia. Lambat-laun manusia akan menemui ajalnya," kata Dr Mahathir.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri menegaskan hanya dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi mereka memerintah negara ini.

"Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu," katanya dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Meskipun jelas Dr Mahathir, beliau cuba untuk menyedarkan Umno berhubung perkara itu, ada pihak yang memandang serong terhadapnya, malah menuduh beliau mempunyai agenda tersendiri.

"Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya.

"Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri," kata bekas Presiden Umno itu lagi.

Tegasnya, hanya jika Umno diperbaharui oleh generasi muda barulah parti Melayu itu dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanahkan kepada Umno.

"Ahli Umno mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan... demikian juga dengan kepimpinan Umno di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam Majlis Tertinggi.

"Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda," katanya.

Umno dahulu kata Dr Mahathir sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.

"Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas Umno, mereka muda-muda belaka. Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka.

"Dan Umno pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu," katanya.

Pemimpin Umno sekarang bagaimanapun tegas Dr Mahathir masih enggan berundur meskipun sudah berusia, malah sanggup merasuah demi terus kekal sebagai pemimpin.

"Masa mereka sudah terlanjut... sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati.

"Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri," katanya.

Tetapi Dr Mahathir mengingatkan agar pemimpin-pemimpin ini harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka.

"Lambat-laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran," tegasnya.

Malangnya kata Dr Mahathir, ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang.

"Tak banyak... RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli Umno. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka," tegasnya.

Beliau juga menyeru agar amalan berkenaan dihentikan kerana apabila pemimpin yang dipilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa.

"Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini.

Orang Melayu yang menjadi tunjang perjuangan Umno tegas Dr Mahathir juga turut tidak mempercayai Umno, dan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO).

"Jika mereka mempunyai banyak pilihan, Umno sudah kalah Pilihan Raya Umum ke-13," kata Dr Mahathir.

Justeru, Dr Mahathir menyeru agar pemimpin-pemimpin berkenaan mengetepikan kepentingan diri, dan memberikan peluang kepada generasi muda.

"Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua.

"Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan tanah air dapat diteruskan," katanya. -TMI

Mustafa Ali: Tindakan Harun Taib Kurang Bijak


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sepatutnya tidak perlu bercakap mengenai strategi parti kepada umum kerana boleh memberikan mesej yang salah berdasarkan persepsi rakyat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tahaaluf siyaasi adalah strategi dalam perjuangan dan perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya dihebohkan kepada umum.

"Tidak bijaksana dihebohkan. (Jika dihebohkan) maksud kajian boleh disalah tafsir dan akibatnya kita menghantar mesej yang salah, bukan sahaja kepada rakan PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong Pas dan Pakatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Harun, dalam ucaptama Multaqa Ulama Semalaysia baru-baru ini, menyarankan Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaaluf siyaasi dalam PR berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin lemah.

Sementara itu Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Harun bukan bertujuan melemahkan parti, tetapi mahu memastikan Pas lebih konservatif dari segi hala tuju parti itu dalam PR.

“Bagi mana-mana organisasi parti dan badan korporat, mengkaji (semula) sesuatu strategi adalah perkara biasa.

“Saya yakin, beliau berkata demikian untuk menjadikan Pas lebih kuat daripada sekarang,” katanya.

Salahuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya dianggap negatif, sebaliknya perlu memahami apa yang cuba disampaikan.

“Kenyataan beliau itu supaya Pas bekerja lebih kuat ke arah memanfaatkan pengaruhnya dalam PR.

“Apa sahaja kekurangan dan masalah perlu diperhalusi demi memanfaatkan melalui kerjasama dalam PR, selain mahu melihat peranan Pas bagi menjana kekuatan dalam PR,” katanya. -SH


Mursi: "Aku Tak Akan Mundur Meski Nyawa Jadi Taruhan"


Presiden Mesir yang digulingkan Muhammad Mursi bertekad dengan tegas terhadap rejim baru negara itu dalam merebut kekuasaan. Mursi menyatakan, tidak akan mundur dari peta politik meski nyawa menjadi taruhannya.

"Saya tetap berdiri di tanah ini (Mesir) sampai nafas terakhirku," kata Mursi, baru-baru ini, seperti disiarkan Anadolu Agency, Selasa (17/9). Ungkapan itu diucapkan sewakrtu beliau melakukan komunikasi rahsia bersama sanak keluarganya.

Anadolu Agency melaporkan, Mursi berhasil melakukan sambungan telepon dengan anggota keluarga. Di dalam percakapan tersebut, Mursi mengatakan keadaan dirinya setakat ini baik saja.

Meski pun, katanya, sewaktu berada dalam penjara, tidak satu pun maklumat dari luar luput dari pantauannya. Hanya saja, menurutnya, dirinya tidak tahu beliau berada di penjara mana.

Sambungan melalui seluler itu dikatakan komunikasi pertama Mursi setelah beliau dimasukkan ke penjara oleh pihak tentera.

Pejabat berita di Ankara, Turki itu menyatakan, sejak dikudeta oleh Panglima Tentera Jenderal Abdel Fattah el-Sisi, Mursi dilarang bertemu dan berkomunikasi dengan sanak keluarga serta handai taulan.

Selama percakapan, Mursi pun menceritakan tentang introgasi paksa terhadap dirinya. Bulan lalu, kata di, seorang mengaku pendakwa menemuinya di penjara. Tapi, cerita Mursi, introgasi dilakukan tanpa mengetahui muka.

Itu dikatakan dia, lantaran penjaga penjara memberi kain hitam penutup mata dan wajah terhadap Mursi. Pembicaraan itu pun dikatakan dia tidak berlangsung lama. "Saya katakan kepada mereka (pengintrogasi), 'saya presiden yang sah negara ini'," sambung Mursi.

Selanjutnya, kata dia, apapun yang dituduhkan terhadapnya adalah tidak benar. Mursi menegaskan punya kekebalan hukum sebagai presiden yang sah di Negeri Piramid itu.

"Saya menolak untuk mengakui semua itu (tuduhan)," ujar dia.


Kerjasama PAS-UMNO? Sorry, NTBL .. No Time Bo Layan..


PAS tolak kerjasama dengan Umno.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad berkata, tidak ada ruang kerjasama dengan Umno selagi ia tidak mengubah dasar dan perjuangan parti itu.

Khalid berkata, tawaran kerjasama yang diumumkan Umno hanyalah mainan politik parti itu semata-mata.

"Selagi Umno tetap Umno maka tidak ada ruang kerjasama, ia tidak akan langsung berlaku," kata ahli Parlimen Shah Alam itu pada satu sidang media PAS Selangor hari ini di Shah Alam.

Khalid yang dilihat menyindir parti itu berkata, isu kerjasama Umno dan PAS sering dibangkitkan parti tersebut.

"Mereka cerita hendak kerjasama tapi seolah-olah Umno ini biasanya kata mahu jadi kawan kita lepas itu dia ketuk kepala kita jadi bagaimana untuk kita mempercayai mereka," katanya.

Pada masa sama, PAS Selangor turut menjelaskan salah faham yang berlaku berhubung tahaluf siyasi antara PAS dan Pakatan Rakyat (PR) ketika Multaqa Ulama Se-Malaysia minggu lalu.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abul Rani Osman media memberi gambaran salah berhubung perkara tersebut.

"Tidak salah dengan tahaluf siyasi tersebut kerana ia bertujuan menambah baik namun perbincangan mengenai keluar dari PR itu telah disalah tafsirkan," katanya.

Menurut Rani, PAS juga tidak memberi kekebalan kepada mana-mana ahli yang menggugat hubungan parti Islam itu dengan PR.

"Sejarah PAS membuktikan naib presiden PAS sebelum ini telah digugurkan pesuruhjaya juga kita pecat apabila mereka ini kita lihat terkeluar dari dasar perikatan PAS dan PR," kata Rani merujuk kepada Nasharudin Mat Isa dan Datuk Hassan Ali.

Ia turut disokong oleh Khalid yang mengakui PAS gagal menangani dakyah Umno di peringkat akar umbi parti itu.

"Kerana itu kita bertekad ingin meningkat kefahaman terhadap ahli-ahli PAS tentang perikatan ini,"kata Khalid yang juga merupakan ahli Parlimen Shah Alam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya menawarkan kembali kerjasama antara Umno dan PAS demi kepentingan umat Islam Malaysia.

Muhyiddin berkata orang Islam di negara ini masih belum berada di tahap terbaik terutama dari segi pembangunan ummahnya. -TMI



'Selagi hidup, aku tak layan kerjasama PAS-Umno'


PAS Selangor hari ini menyifatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum 2008 banyak mendatangkan kebaikan dan membanggakan parti itu.

Pesuruhjaya PAS negeri Dr Abd Rani Osman (kiri) menegaskan parti itu tidak pernah rugi dengan kerjasama dengan PKR dan DAP, sebaliknya memberi banyak faedah hasil daripada kerjasama itu.

ADUN Meru juga berkata kerjasama itu menyebabkan PAS diterima oleh kaum lain dan tidak hanya tertumpu kaum Melayu sahaja

"Melalui tahluf siyasi ini, PAS tidak pernah rugi ini malah paling banyak terima kebaikan," katanya dalam sidang media di Shah Alam pagi ini.

"Kalau dulu orang Cina, India dengar PAS takut. Tetapi sekarang mereka datang berduyun-duyun dengar kita punya ceramah dan dapat menerima Islam sebagi satu agama yang syumul," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kajian semula PAS dengan Pakatan mestilah untuk menambahbaik kerjasama sedia ada, ekoran resolusi persidangan ulama di Kedah hujung minggu lalu.

Resolusi persidangan ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut, Kedah antara lain mahu PAS mengkaji semula kedudukan mereka dalam Pakatan.

Khalid: Dia ketuk, kemudian ajak kawan

Ditanya berhubung tawaran Umno untuk bekerjasama dengan PNONEAS, Dr Abd Rani berkata:

"Selagi aku hidup, takkan aku layan benda itu".

Kemudian Timbalan pesuruhjaya III PAS Selangor Khalid Samad yang turut berada dalam sidang media itu mencelah:

"Saya nak petik kata-kata almarhum (bekas presiden PAS) Ustaz Fadhil (Nor), beliau kata Umno ni manusia yang pelik, dia ketuk kepala kita, lepas tu dia ajak jadi kawan.

"Lepas tu dia ketuk kepala kita lagi, dia ajak jadi kawan (lagi)," katanya yang juga ahli parlimen Shah Alam.
-mk

[GEMPAR] Pekerja Kempen PKR Dibunuh Selepas Diugut BN


Polis belum mengambil tindakan terhadap laporan keganasan dan ancaman keselamatan yang dilakukan penyokong Barisan Nasional, kata calon PKR Parlimen Tapah PRU-13, Vasantha Kumar.

Saksi pertama hari kedua Tribunal Rakyat itu, berkata seorang pembantu kempennya, K Murugan dibunuh yang dipercayai ada hubungan kait dengan proses kempen PRU-13 lepas.

“Murugan dibunuh dengan kejam. Tangan dan kaki beliau dikat logam, dan dia mempunyai kecederaan kepala,” katanya.

Sebelum kejadian, beliau berkata, Murugan menerima panggilan daripada indivisu dikenali dan tidak dikenali yang mengarahkannya berhenti dari menjadi pekerja kempen PKR.

“Murugan menyatakan menerima ancaman bunuh daripada penyokong BN,” katanya.

Murugan dilapor hilang pada 1 Mei lalu dan mayatnya ditemui terapung dalam lombong tiga hari kemudian di sebuah tasik di Batu Gajah,Perak.

Vasantha turut memberi keterangan berhubung pemberian baucar RM100 baucar yang disampaikan MIC untuk masyarakat umum di Tapah semasa tempoh berkempen.

Pada tribunal itu, Vasantha menyerahkan bukti plastik yang digunakan BN untuk memberi barangan makanan kepada pengundi yang menyalahi kempen PRU 13.

“Pengundi orang Asli juga disekat anggota Rela dari mengundi dan kami disekat dari berkempen di kampung,” katanya kepada Tribunal.

Selain itu, beliau menyatakan peti pengundi awal dipindahkan dari balai polis Tapah pada 2 Mei lalu yang sepatutnya dikira pada 5 Mei.

Kira-kira 200 orang hadir mengikuti perjalanan tribunal itu di Throne Room, Hotel Empire, Subang Jaya bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pada hari pertama semalam, seramai tujuh saksi memberi keterangan kepada Tribunal Rakyat yang melibatkan dua calon PRU 13 dan dua sukarelawan NGO Pemantau.

Turut menjadi saksi, seorang ejen pilihan raya, seorang pakar pilihan raya dan seorang yang namanya tertera dalam daftar pengundi tanpa pengetahuannya.

Profesor Gurdial Singh Nijar dari Universiti Malaya (UM) menjadi Ketua pasukan guaman dan membentangkan kes pada tribunal itu. -selangorku



Saksi dakwa nampak anggota SPR kira undi dalam lokap
Posted on Thursday, September 19 @ 15:26:24 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering



SUBANG JAYA: Saksi ketiga yang tampil memberi keterangan dalam prosiding Tribunal Rakyat berkait proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, membuat pendedahan mengejutkan.

Abu Hussin Tamby, wakil calon Dun Air Limau, Melaka ketika memberi keterangan berkata beliau nampak anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat kiraan undi awal biarpun pengundian awam belum berlangsung.



Semasa kejadian, saksi bersama dua wakil calon lain diiringi dua anggota polis ke IPD berkenaan untuk menyerahkan kotak peti undi awal dari Lubuk Cina.
Kejadian itu katanya berlaku pada 2 Mei iaitu tiga hari sebelum pengundian awam berlangsung, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 3.15 petang.
Semasa masuk ke balai itu, katanya, beliau dengan jelas menyaksikan kira-kira tujuh anggota SPR mengelilingi longgokan kertas undi di satu sel lokap.

“IPD itu memang menjadi tempat simpanan peti undi. Semua kotak undi dikumpulkan dalam lokap," katanya dipetik Selangorku.

“Semasa tiba di lokap, saya lihat tujuh atau lapan orang memakai baju SPR mengelilingi timbunan kertas undi itu, menunjukkan mereka sedang buat kiraan.

“Hanya nampak kertas undi tetapi kotak peti tiada. Saya percaya ia dari Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah,” katanya yang memberitahu ada membuat laporan polis di IPD Masjid Tanah selepas kejadian itu.

Beliau ada memohon kepada polis untuk menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.

“Polis tidak boleh beri jawapan tepat. Mereka cuma kata segala keputusan terhadap salah laku itu diserahkan kepada atasan,” katanya.

Sementara itu, prosiding Tribunal Rakyat berlangsung di Hotel Empire di sini bermula semalam sehingga 22 September ini.

Ia mengkaji, menyiasat dan menilai rungutan mengenai insiden menjelang PRU 13 atau di sekitar pilihan raya termasuk proses pengundian.



Harakahdaily, 19 Sep 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan