Jumaat, 20 September 2013

ISLAM KENA DIPELAJARI DAN DIAMALKAN SECARA SYUMUL BARU MANTAP DAN TIADA PERTELAGAHAN POLITIK

Ekonomi Bumiputera hanya untuk elit Melayu?

Hazayani Zakaria, 20 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak akan membantu memajukan ekonomi orang Melayu jika pelaksanaannya tidak telus, kata Pakar Ekonomi PAS Dr Rosli Yaakop.

Beliau berkata, kejayaan sesuatu dasar itu bergantung kepada ketelusan pelaksanaannya iaitu bebas rasuah, salah guna kuasa dan tidak berlegar di kalangan kroni kepada pemimpin tertentu sahaja.

"Apa pun dasar ekonomi yang diwujudkan untuk memperkasa ekonomi bumiputera kalau pelaksanaannya sama sahaja seperti yang ada sekarang iaitu mementingkan kroni, memberi bantuan hanya kepada kroni, memberi projek hanya kepada golongan Melayu tertentu, sampai bila-bila  pun ekonomi orang Melayu tidak dapat diperkasakan kecuali sekumpulan kecil kaum elit Melayu.

"Mungkin ada baiknya perkenalkan dasar ekonomi baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputera tapi kalau pelaksanaannya cara lama natijahnya ekonomi bumiputera tak dapat diperkasa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, kerajaan juga harus memberikan perhatian kepada Orang Asal yang merupakan golongan termiskin di Malaysia selain memberi fokus kepada keseimbangan ekonomi di setiap wilayah di negara ini.

"Kerajaan kena beri perhatian kepada orang asal kerana Orang Asal merupakan golongan yang paling miskin di Malaysia ini. Kena beri perhatian kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak kerana dua negeri itu kaya sumber asli tapi merekodkan kadar kemiskinan tertinggi.

"Dasar apa pun mesti mengambil kira kepentingan ekonomi kaum lain secara menyeluruh, pembangunan ekonomi setiap negeri. Ada negeri yang ketinggalan dalam pembangunan di Semenanjung misalnya Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan masih di belakang. Dasar yang perlu diadakan ialah keseimbangan pembangunan wilayah-wilayah di negara kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau hairan apabila kerajaan tetap mahu memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) yang bertentangan dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Katanya, kerajaan bersungguh-sungguh mahu memeterai TPPA walaupun tahu TPPA tidak membolehkan kerajaan memberi keistimewaan kepada satu-satu golongan serta  tidak ada keistimewaan kepada rakyat dalam negeri dan luar negeri dalam ekonomi.

"Bila Malaysia beriya-iya nak menandatangani perjanjian TPPA, diperkenalkan dasar ekonomi yang pilih kasih. Ini bertentangan dengan dasar global yang ingin dibawa oleh TPPA.

"Ini bermakna kerajaan Malaysia sendiri tidak yakin terhadap perjanjian TPPA jadi kita mempersoalkan kenapa Malaysia sebagai negara yang begitu aktif dalam mempelopori draf TPPA tiba-tiba memperkenalkan program pemerkasaan ekonomi yang membantu satu golongan kaum sahaja di Malaysia yang mana dasar ini cukup bertentangan dengan dasar yang diperkenalkan di bawah TPPA," katanya.
Lima strategi dalam program pemerkasaan ekonomi yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu ialah mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Mukhriz bertanding: Kejutan apa bendanya macam tu

http://cenangau.blogspot.com, 20 Sep 2013

Bagi yang tak faham politik Umno mungkin la kut rasa sikit terkejut. Mukhriz yang tak ada apa-apa jawatan dalam Umno di pusat tiba-tiba nak bertanding jawatan ketiga tertinggi. Jadi ahli Majlis Tertinggi pun tak pernah.

Kalau ikut haraki kepimpinan memang sepatutnya masuk lawan jawatan MT dulu, lepas tu pelan-pelan kumpul kekuatan, bila dah cukup kuat baru la padan berangan-angan nak jadi Naib Presiden. Kecuali la kalau sebelum ni dia menang masa lawan Khairy untuk jawatan Ketua Pemuda, memang padan kalau seterusnya lawan Naib Presiden pulak.
Lihat di sini

Q&A: Memberi daging korban kepada bukan Islam

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 20 Sep 2013
Soalan;
Apakah hukum memberi daging korban kepada orang bukan Islam. Adakah harus? Adakah hilang pahala korban? Terima kasih.

Jawapan;
Terdapat pandangan berbeza antara ulama dalam masalah di atas;

Pandangan pertama; daging korban tidak harus diberikan kepada orang bukan Islam sekalipun kafir zimmi. Ia khusus untuk orang Islam sahaja. Pandangan ini merupakan mazhab Syafiie. Menurut Imam Malik dan al-Laith; makruh memberinya kepada orang bukan Islam - Menurut Imam al-Laith; makruh memberi daging korban kepada orang bukan Islam, kecuali jika daging itu dimasak kemudian dijemput orang bukan Islam untuk menikmatinya bersama orang Islam - tidaklah makruh (al-Majmu’, 8/316).

Pandangan kedua; harus memberi daging korban kepada orang kafir zimmi. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Abu Hanifah, Hasan al-Basri, Abu Tsur dan mazhab Hanbali. Pandangan ini juga ditarjih oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’. Menurut pandangan ini; daging binatang korban adalah makanan, maka sebagaimana harus memberi makan orang kafir zimmi, maka harus juga memberi daging korban kepada mereka kerana ia sebahagian makanan. Selain itu, dikiaskan juga kepada keharusan memberi sedekah kepada orang kafir zimmi. Namun menurut mereka; yang harus diberikan ialah dari korban sunat sahaja. Adapun dari korban wajib (iaitu korban nazar), tidak harus diberi dagingnya melainkan kepada orang-orang fakir dari kaum muslimin sahaja (iaitu menyamai hukum zakat dan kaffarah sumpah).

Pandangan ulama semasa; Syeikh Ibnu Usaimin (ulama besar Arab Saudi) - dibolehkan memberi daging korban kepada orang kafir dengan syarat bukan orang kafir yang memusuhi orang Islam. Dalilnya ialah firman Allah (bermaksud);  “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kami dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu dari menjadikan mereka sebagai kawan orang-orang (kafir) yang dalam urusan agama dan mengusir kamu dari kampung halamanmu dan membantu orang lain untuk mengusirmu. Sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

PAS makin mantap hasil kerjasama dalam PR

Roketkini, 20 Sep 2013
MENTAKAB: PAS bukan semakin lemah malah akan terus kukuh dan kuat kedudukannya serta mendapat sokongan lebih besar masyarakat hasil kerjasama politik bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).

Malah, walaupun PAS, PKR dan DAP menghadapi saingan sengit daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang membabitkan Umno, MCA dan MIC, kerjasama PR dilihat lebih mampu melangkaui batas ideologi atau kaum seperti yang dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata demikian ketika mengulas cadangan sesetengah pihak dalam PAS untuk mengkaji semula kerjasamanya bersama PR.

“Kita juga dapat lihat bagaimana PAS berjaya merampas Kelantan daripada terus diperintah BN pada PRU 1990 ketika bekerjasama dengan parti Semangat 46 dan keadaan itu bertambah kukuh hasil kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Kita juga dapat melihat pada 1999 di mana kerjasama dalam Barisan Alternatif itu menyebabkan kerajaan Umno BN Terengganu tewas,” ujar Tengku Zulpuri.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang berkata, kerjasama baik parti dalam PR juga mencatat satu sejarah baru apabila PR berjaya mencetuskan Tsunami Politik 2008 yang menyaksikan kejatuhan apabila merampas Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta mengekalkan Kelantan.

“Ini merupakan petanda yang sangat positif. Kalau dulu, orang bukan Islam takut kepada PAS, kini mereka lebih memahami budaya Melayu dan Islam.

“Begitu juga DAP yang sekarang persepsi negatif orang Melayu terhadap parti ini semakin berjaya dipulihkan malah semakin ramai orang Melayu menerima DAP sebagai parti berbilang kaum. Kerjasama dalam PR ialah win-win situation,” katanya.

Tengku Zulpuri Shah juga berpendapat, perkara terpenting yang perlu di teruskan PR ialah gerak kerja yang berterusan, cuma memperkemaskan sedikit kelemahan yang ada.

“Kita perlu terus membuat pelbagai aktiviti, khidmat, program penerangan supaya PR bertambah dekat dengan masyarakat,” ujarnya.

Walaupun mengakui masih wujud di kalangan orang Melayu yang masih takut atau was-was terhadap kerjasama PR, beliau berkata, itu adalah hasil propaganda jahat Umno BN sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Mentaliti sebeginilah yang kita perlu ubah. Kita kena bebaskan mereka daripada mentaliti takut kerana inilah senjata Umno BN untuk terus menguasai Malaysia,” kata beliau.

Kebenaran itu rentas sempadan

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 20 Sep 2013
Tiada siapa yang terlepas dari kesilapan dalam dunia ini. Nabi Muhammad SAW pun pernah ditegur oleh Allah beberapa kali, termasuk cara baginda melayan ‘Abd Allah bin Ummi Maktum sehingga Allah menurunkan Surah ‘Abasa. Apatah lagi selain nabi, tentu sahaja bukan sekadar kesilapan, tetapi kesalahan dan dosa. Sebesar mana pun ketokohan dan keilmuannya, dosa tetap akan tertampal dalam kehidupannya. Jika tidak pada perbuatan anggotanya, pada niat dan apa yang tersirat dalam jantung hatinya.

Tiada tokoh agamawan yang sunyi dari dosa. Biar pun sebesar mana nama dan kemasyhurannya. Tiada tokoh sarjana sebijak mana sekalipun, pasti ada kebodohannya. Biar pun sebesar mana kesarjanaan dan kepakarannya. Tiada yang sempurna melainkan Allah.

Manfaat

Jika kita mencari semua yang sempurna tanpa sebarang kekurangan dan menolak setiap yang ada kekurangan dan kecacatan, maka kita tidak boleh hidup di dunia ini. Orang yang pertama kita kena tolak ialah diri kita sendiri yang penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan. Namun, kita sering memaafkan diri kita apa yang kita tidak maafkan orang lain.

Dalam memperolehi manfaat ilmu dan hikmah, kita juga tidak boleh terlalu ideal sehingga menolak setiap yang kita nampak kecacatan dan kekurangannya. Kita tidak boleh menolak pendapat yang benar hanya kerana perbezaan agama, aliran mazhab, kumpulan, jamaah, parti politik dan seumpamanya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Bersama setiap kumpulan itu kebenaran dan kebatilan. Apa yang menjadi kewajipan ialah bersetuju dengan mereka mengenai apa yang benar yang mereka kata. Juga menolak apa yang batil yang mereka kata. Sesiapa yang Allah buka untuknya jalan ini (menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa mengira dari siapa datangnya) maka bererti Allah telah buka untuknya ilmu dan agama dari setiap pintu. Allah juga akan mudahkan untuk mendapat kedua-dua perkara itu dengan pelbagai sebab.” (Tariq al-Hijratain, m.s 386. Saudi: al-Islamiyyah al-‘Arabiyyah).

Ketika menutup kata bagi karya kerohaniannya yang agung iaitu Madarij al-Salikin pula, Ibn Qayyim menyebut lagi:

“Wahai pembaca! Bagi kamu hasilnya, ke atas penulis tanggung jawabnya. Apa yang kamu dapati pada buku ini dari ketepatan dan kebenaran maka terimalah. Jangan kamu lihat kepada pengucapnya. Bahkan lihatlah kepada apa yang dia kata, bukan siapa yang berkata. Allah mencerca orang menolak kebenaran apabila kebenaran itu datang dari orang yang dia benci. Dia menerima apabila yang berkata itu orang yang dia suka. Ini adalah akhlak golongan yang dikuasai emosi. Kalangan sahabah berkata: ‘terimalah kebenaran dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dibenci. Tolaklah kebatilan dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dikasihi.”
(3/384. Beirut: Muassasah Fuad).

Insaf

Inilah sikap golongan yang insaf. Maka tidak menjadi kesalahan dalam kehidupan ini untuk kita memetik dan mengambil pengajaran dari mana-mana tokoh pun. Hanya golongan emosi dan tersesat pemikiran seperti aliran ‘salafi madkhali’ yang mengharamkan umat Islam mengambil manfaat pandangan atau pendapat tokoh yang mereka anggap sebagai ahli bid’ah. Sudah pasti mereka juga mengharamkan memetik tokoh-tokoh yang bukan beragama Islam. Aliran ini dipelopori oleh beberapa kelompok fanatik yang mendakwa mereka menurut jalan salafussoleh padahal jalan yang mereka ikuti itu adalah jalan emosi yang jauh dari telunjuk al-Kitab dan al-Sunnah.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata:

“Allah memerintahkan kita agar tidak berkata kecuali yang benar. Jangan kita berkata tentang Allah tanpa ilmu. DIA memerintahkan kita agar adil dan saksama. Kita tidak boleh apabila seseorang yahudi ataupun kristian, apatah lagi syiah rafidah berkata sesuatu pendapat yang padanya ada kebenaran lalu kita tinggalkan ataupun tolak kesemuanya. Bahkan kita hanya tolak apabila padanya ada kebatilan dan tiada kebenaran.”
(Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/342. Muassasah Qurtubah).

Fanatik

Kesederhanaan dan kesediaan ini membolehkan ilmu seorang muslim berkembang. Namun fanatik, telah membuta mata banyak pihak dari mengambil manfaat dari pihak yang lain. Ada yang menolak tulisan-tulisan yang baik kerana perbezaan agama. Ada tokoh agama yang menolak karya sarjana atas alasan ‘dia orientalis’. Ada yang menolak kerana ‘dia penulis yahudi’, ataupun ‘dia penulis kristian’ dan seumpamanya. Tanpa melihat kepada hujah dan alasan yang dikemukakan.

Begitu juga, betapa kita lihat sebahagian sufi yang menolak pendapat seseorang hanya kerana beraliran salafi, demikian yang salafi enggan mengambil pendapat orang yang dianggap beraliran sufi kerana kononnya tidak semanhaj dengan mereka. Ataupun salafi madkhali yang menolak pendapat kerana ‘ikhwani’ dan seumpamanya. Menghadkan ilmu dan hikmah kerana ketaksuban kepada sesuatu aliran amatlah merugikan. Banyak kebaikan yang ada dalam aliran salafi dan demikian juga banyak kebaikan yang ada dalam aliran sufi yang terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Demikian juga ikhwani. Tiada aliran yang boleh mendakwa bahawa mereka telah menguasai kebenaran secara mutlak sehingga tiada lagi ruang kebenaran di pihak yang lain. Sesiapa yang mendakwa demikian bererti dia telah menjadikan alirannya berstatus agama yang menentukan iman dan kufur seseorang.

Demikian mazhab fekah, tiada siapa boleh mendakwa bahawa segala kebenaran tertumpu kepada mazhab fekah yang dia pegang semata. Tidak Mazhab Syafi’e, tidak Mazhab Hanbali, tidak Mazhab Maliki dan tidak Hanafi yang boleh mendakwa bahawa kebenaran telah dibolot oleh mereka dan mengikut pandangan selain mereka bererti kesalahan. Imam-imam yang agung itu tidak pernah mendakwa demikian. Hanya pengikut yang melampaui batas sahaja yang cuba membuat dakwaan yang seperti itu. ‘Jangan keluar Mazhab Syafi’e’ nanti awak sesat‘ adalah dakwaan jahil yang tidak berasaskan ilmu sama sekali.

Kata sarjana fekah yang terbilang Dr ‘Abd al-Karim Zaidan:

“Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam… apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut… harus bagi pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya. Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga harus untuk dia bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam sebarang hukum syarak. Dia boleh beramal berdasarkan apa yang difatwakan kepadanya.”
(Dr Abd al-Karim, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 412-413, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Betapa kita lihat sesetengah fanatik politik PAS yang enggan mendengar pendapat seseorang hanya kerana orang itu Umno. Demikian juga sebaliknya. Padahal parti politik itu bukan diasaskan atas dalil-dalil syarak seperti mazhab fekah. Lagikan mazhab fekah tidak mutlak kebenarannya, inikan parti politik yang hanya atas ijtihad strategi dan pandangan politik yang terdedah kepada betul dan salah. Bukan semua pendapat Umno itu salah dan bukan semua pendapat PAS itu betul. Begitu juga sebaliknya. PKR dan DAP juga demikian. Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama ini yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak.

http://drmaza.com

Agensi tawar pakej pernikahan dalam talian


AGENSI pernikahan kini menawarkan pakej perkhidmatan secara online.



KUALA LUMPUR – Kewujudan agensi yang menawarkan pakej pernikahan secara terbuka di laman-laman web dipercayai menjadi punca banyak pasangan dari Malaysia bernikah di negara Thailand.
Tinjauan mendapati dengan hanya menaip ‘nikah Thailand’ di enjin carian Google, wartawan Kosmo! mendapati lebih 10 agensi menawarkan perkhidmatan tersebut.
Laman web tersebut turut memberi panduan kepada mereka yang berminat mengenai proses pernikahan, dokumen yang diperlukan serta nombor telefon untuk dihubungi sebelum mereka ke Thailand.
Harga pakej bagi semua proses itu bermula serendah RM1,000.
Agensi terbabit turut menguruskan pengangkutan, penginapan, makanan dan urusan surat-menyurat dengan konsulat Malaysia di negara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan