Ahad, 29 September 2013

MASIH LAGI ADA JURANG...ATAP GENTING ATAP RUMBIA...ATAP RUMBIA DITIPU OLEH ORANG CERDIK MENIPU

Senang-senang kerajaan mahukan RM14 bilion lagi

Shirzad Lifeboat, 28 Sep 2013
BERCAKAP di San Francisco pada 24 September  lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd  Najib Razak mahu rasuah menjadi sebahagian daripada sejarah silam Malaysia dan bukannya amalan masa depan.

Tidak ada salahnya idea seperti itu.  Sebaliknya ia adalah satu idea baik, bernas dan pasti menyelamatkan banyak wang awam dari disambar para buaya lapar yang semakin banyak berkeliaran dalam komuniti kontrak pembinaan, perkhidmatan dan perolehan membabitkan wang awam.

Begitupun, sejarah menunjukkan idea seperti itu cukup bersifat retorik, jarang diimplementasikan sepenuhnya (dibaca sekadar batuk ditangga) dan sudah menjadi modal piawaian Perdana Menteri Malaysia sejak beberapa dekad lagi

Hal seperti ini menimbulkan  tanggapan umum betapa selagi amalan rasuah berterusan maka selagi itulah ia boleh dipergunakan oleh pemimpin kerajaan Umno-BN peringkat tertinggi untuk mempamerkan betapa serius dan ikhlasnya kerajaan mahu memerangi rasuah.

Rasuah wujud dalam bentuk ketara dan tidak ketara.  Rasuah berbentuk ketara adalah ketara – bagi sekian banyak dapat itu dan ini.  Rasuah (juga bermaksud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa) jenis tidak ketara barangkali lebih signifikan jumlahnya berbanding dengan rasuah ketara.

Apabila rakyat sendiri dirasuah dengan pelbagai pemberian one-off (sekali gus);  dijanjikan pelbagai projek bidan terjun menjelang pilihan raya umum dan pilihan raya kecil dan janji tersebut ditunaikan sebagai habuan memilih parti kerajaan; kontrak mega dan bukan-mega kerajaan dianugerahkan kepada pihak tertentu secara rundingan terus tanpa apa juga bentuk ketelusan; maka  amalan seperti ini ‘memakan’ dana awam baik dari sumber Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan ataupun Negeri, menjadikan peruntukan bajet dan memaksakan kedudukan kewangan kerajaan mendaftar angka ‘merah’.

Hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada 53.3 peratus dari KDNK pada akhir tahun fiskal 2012, bertokok dari 51.6 peratus pada akhir 2011 atau 39.8 peratus pada akhir 2008 tatkala Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Defisit am bajet kerajaan Persekutuan pula, sebagaimana yang dikira oleh agensi perkadaran Fitch meluas kepada 4.7 peratus dari KDNK untuk 2012 berbanding 3.8 peratus pada 2011.

Pada 24 September, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan bagi jumlah RM14.12 bilion.

Rang Undang-Undang ini sekiranya diluluskan bakal menyaksikan Jabatan Perbendaharaan mendapat peruntukan terbanyak iaitu  RM11.854 bilion untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan dan RM606.9 juta untuk kegunaan Jabatan itu sendiri.

Sukar untuk dipastikan sama ada peruntukan tambahan sebegini besar adalah berpunca dari kesilapan menyediakan bajet atau timbul dari pemberian berbentuk janji pemimpin politik kerajaan yang tidak termasuk dalam bajet 2013 ketika dibentangkan pada November 2012.

Sekiranya ia merupakan kesilapan menyediakan bajet, maka ralat 5.6 peratus dari angka asal bajet, RM251.6 bilion sudah tentu merupakan satu ralat besar dan mencerminkan ketidakefisien pihak yang menyediakan bajet tersebut.

Namun apapun punca berlakunya ralat tersebut (sekiranya ia benar-benar merupakan kesilapan), rakyat sudah tentu ingin mengetahui apakah perbelanjaan-perbelanjaan yang dilonggokkan ke dalam butiran Perkhidmatan Am Perbendaharaan sehingga angkanya mencecah lebih daripada RM11 bilion?  Jika perbelanjaan tersebut merupakan perbelanjaan luar jangka mengapa tidak sahaja peruntukan luar jangka digunakan bagi menampungnya?

Lebih pelik lagi mengapakah Perbendaharan sendiri memerlukan pertambahan sebanyak itu sedangkan perkhidmatan penting lain bakal menerima jumlah lebih kecil sekiranya Rang Undang-Undang tersebut diluluskan – Kementerian Pendidikan, RM322.8 juta; Kementerian Kesihatan, RM300 juta, Kementerian Pertahanan RM239 juta, dan Kementerian Dalam Negeri RM205.1 juta.

2,600 calon pemilihan Umno di Pahang

Khairil Abdul Rahim, 28 Sep 2013
KUANTAN: Sistem baru pertandingan terbuka (tanpa pencalonan) yang dimulakan Umno dalam pemilihan parti itu bermula kali ini, menyaksikan kebanjiran calon yang tampil menawarkan diri.

Di Pahang sahaja, 2,600 calon mengesahkan pertandingan selepas tutup tempoh penarikan diri.

Paling menarik ialah di bahagian Indera Mahkota yang mencipta rekod dalam pemilihan Umno kali ini apabila berlaku perebutan tujuh penjuru bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim mengumumkan 8 lagi berlaku pertandingan jawatan Ketua Bahagian ialah Kuantan, Maran, Jerantut, Raub, Paya Besar, Indera Mahkota, Bera, Kuala Krau dan Cameron Highlands.

Manakala lima jawatan ketua bahagian dimenangi tanpa bertanding iaitu Pekan, Temerloh, Bentong, Lipis Dan Rompin. Bagaimanapun, semua jawatan lain dipertandingkan.

Di Indera Mahkota penyandang ketua bahagian Datuk Mohd Hazmi Yusof dicabar Setiausaha Umno negeri Datuk Abdul Rahim Abas, Bendahari Umno negeri Ngah Ismail, Pengerusi Veteran Umno Indera Mahkota Shahrom Zainuddin, Ketua Cawangan Indera Mahkota 16 Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid, Ketua Cawangan Indera Mahkota 6 Abdullah Syukur dan Naib Ketua Umno Bahagian Mahasan Hussain.

Mohd Hazmi kalah kepada calon PAS Andansura Rabu di Dewan Undangan Negeri Beserah dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.   

Bagi Cameron Highlands, penyandang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dicabar anggota Umno bahagian itu, Wan Rahaimin Wan Mustapha.

Penyandang Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan Pahang dicabar anggota bahagian itu Mohd Ghazali Kamaruzaman.

Penyandang bahagian Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dicabar Ketua Penerangan Bahagian itu Ahmad Nazlan Idris yang juga anggota Parlimen Jerantut.

Bagi Bahagian Kuantan, penyandang Datuk Wan Adnan Wan Mamat dicabar anggota Jawatankuasa (AJK) Bahagian itu Ab Mutalib Shamsuddin dan Bahuri Geran (Ketua Cawangan Bandar Kuantan Pusat).

Di Bahagian Paya Besar, penyandang Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman ditentang AJK Bahagian Datuk Abdul Manan Ismail yang juga anggota Parlimen Paya Besar.

Di Maran, Pemangku Ketua Bahagian itu Datuk Ismail Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dicabar Setiausaha Barisan Nasional Pahang Muhamad Abdullah dan AJK Bahagian Maran Ismail Mat Resat.

Di Kuala Krau, penyandang Datuk Ismail Mohamed Said dicabar anggota bahagian itu Nik Affendy Nik Abdul Rashid.

Di Bera, penyandang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dicabar Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Mohd Azizan Che Omar.

Siapa cemarkan air sungai di Selangor?

Harakah, 28 Sep 2013
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melangkah bergaya selepas PRU13 lalu apabila buat kali kedua terus diberi kepercayaan mengemudi negeri. Berbekal ketelusan yang menjadi prinsip Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau juga sudah pasti dibantu barisan exco berkaliber. Salah seorangnya, Dr Halimah Ali yang memegang portfolio Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Ketika usianya kini 53 tahun, semangat beliau tetap membara untuk menterjemahkan maksud Surah Saba', ayat ke-15 sebagai intipati dalam proses "mengehsankan insan" penduduk di negeri paling maju itu. Berikut temubual wartawan Harakah, ARIF ATAN dan SAIDAH HAIRAN bersama beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, baru-baru ini.


HARAKAH: Cabaran Dr hadapi sewaktu pertama kali memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri selepas PRU12 (2008) lalu?


DR HALIMAH ALI: Penggal pertama dulu antara yang terpaksa untuk dilalui ialah saya perlu menganalisa bagaimana keadaan insan di Selangor. Maknanya, saya perlu mendidik insan di Selangor ini supaya kemudiannya dapat mencapai status "Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan".
Bagi menjadikan matlamat dalam halatuju rangka tindakan Kerajaan Selangor 2025 itu jadi nyata pastilah memacu pembangunan modal insan menjadi antara teras utama selain pembangunan fizikal. Jadi, fokus kita ialah bagaimana hendak membangunkan akal dan jiwa penduduknya supaya kualiti insan di Selangor memungkinkan tercapainya visi kerajaan negeri.
Itu terjemah daripada apa yang saya ambil daripada Surah Saba' ayat ke-15 (antaranya bermaksud, "Makanlah olehmu rezeki yang dianugerahkan oleh Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya) hingga sampai satu tahap memungkinkan Selangor jadi negeri terbaik dan diampuni Allah. Kita tidak mahu kemajuan fizikal mencakar kemajuan insan sehingga akhirnya terjerumus menuju kemusnahan. Moga Allah jauhkan.


"Kembali menjiwai" itu makna di sebalik nama Darul Ehsan?

Itu sudah pasti. Darul itu maksudnya negeri. Ehsan dalam konteks masyarakat majmuk kita ada orang Islam dan bukan Islam. Ehsan secara asasnya bermaksud cemerlang. Jadi, ini negeri yang serba-serbinya menjanjikan kecemerlangan. Kita tidak mahu sekadar ungkapan tapi kita menyiapkan insan-insan Selangor yang cemerlang barulah negeri ini darul cemerlang.
Oleh itu, model SPIES (Spiritual, Physical, Intelellectual, Emotional, Social) kita jadikan rujukan dalam program pembangunan modal insan di Selangor. Kita mahu laksanakan pembangunan insan yang berjadual dan secara sedar dipandu nilai spiritualnya dari rumah sampai liang lahad.
Rakyat di Selangor jadi insan yang baik hati, spiritualnya kuat dan sentiasa sedar Allah sentiasa melihat. Jadi, dia akan malu buat jahat dengan adanya ehsan. Itu soal rohani atau spiritual.
Daripada segi fizikal pula, kalau di Selangor sekarang sudah ada 5.8 juta penduduk sebab ramai mahu jadi rakyat negeri ini. Jadi, kita mahu rakyat Selangor jadi sihat dan kuat. Dia mampu dari hujung rambut sampai hujung kaki melakukan kebaikan tadi.
Sekarang ini Kementerian Kesihatan uar-uarkan satu pertiga rakyat Malaysia sudah menghidap kencing manis, darah tinggi. Itu nanti sangkut pula dengan sakit buah pinggang, katarak, sakit jantung dan sebagainya.


Maksudnya, aspek fizikal kita tidak dilatih membudayakan kesihatan.


Iya. Cara hidup kita hari ini kita seolah-olah menempah deretan penyakit itu 20, 30 tahun akan datang. Akibatnya? Produktiviti jatuh walaupun individu itu baik rohaninya tapi tidak sihat. Susah. Pak imam umur awal 30-an pun sekarang ini ada sakit jantung, strok. Tak mampulah buat kerja pada tahap maksimum.


Selain itu, apa lagi?

Ciri kedua, fizikal juga ialah kita tidak mahu orang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmu. Tahu hal itu tak baik tapi buat. Sungai Klang contohnya wajar jadi sumber air untuk orang Selangor. Tak perlu sebenarnya Selangor beli air dari Pahang sebab Selangor ada tiga sungai - Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor.
Kenapa kita tidak boleh guna Sungai Klang untuk kegunaan rakyat di Selangor? Sebab pencemaran. Siapa cemarkan? Adakah monyet di hutan? (ketawa). Kita tahu sungai ini ciri fizikal. Buang minyak ke sungai macam baru-baru ini diesel ke Sungai Selangor. Itu tidak bertindak dengan ilmu.
Baik hati kita juga dinilai melalui tindakan fizikal. Niat saja mahu tolong orang tapi tidak, itu kita tidak mahu. Fizikal ini maknanya tangan, kaki dan seluruh pancaindera digunakan sebagai seorang insan. Niat dan arahkan. Baru kita boleh jadi sejahtera. Apa yang hendak dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat anggota tubuh kita.


Bagaimana ciri ketiga dalam formula SPIES?

Kalau ikutkan dasar kerajaan sejak merdeka, asas intelek itu ialah membaca, menulis, mengira. Tapi kita tambah fungsi fikir. Baru kita dapat selesaikan banyak masalah. Contohnya, kenapa Melayu selepas 56 tahun merdeka masih dialah juara kemiskinan? Kenapa Terengganu ada minyak tetapi jadi negeri miskin?
Jadi, kita mahu latih rakyat negeri Selangor berfikir secara analitikal dan kritikal supaya boleh memilih dengan bijaksana. Contoh, kita tengok pilihanraya. Itu tugas besar. Kalau pilih salah, tidak analisa orang atau parti yang hendak dipilih maka dia akan terima akibat kerana tak buat pilihan tepat.
Malangnya, selama ini rakyat tidak dilatih berfikir analitikal dan kritikal.
Lagi contoh. Kenapa Melayu, Cina, India masih bergaduh? Ada semangat perkauman sempit. Kenapa? Sekali lagi sebab tidak mampu berfikir. Tiada sikap saling menghormati keperluan orang yang berbeza kaum dan agama.
Bukan maknanya kita mesti liberal. Tidak. Pasal mazhab, syiah. Tidak habis-habis bergaduh pada 20 rakaat atau 8 rakaat. Bergaduh hal yang sunat tetapi yang fardu dan wajib tidak dibuat. Macam mana tu?
Kita gaduh benda kecil sebabnya kita tak mampu berfikir. Akibatnya, tidak mampu selesaikan masalah. Bahkan kita pula yang cipta, tambah lagi masalah. Nak jadi Selangor yang sejahtera mesti rakyatnya mampu berfikir holistik.

Realiti duka pembangunan Sarawak

Mohd Aizan Mohd Nor, 28 Sep 2013

SAYA baru pulang dari Bintulu seminggu lepas. Ia sememangnya suatu pengalaman yang mengimbau kenangan lama bertugas di sini selama hampir sedekad. Jika dibandingkan dengan zaman terdahulu sememangnya ‘gas town of Sarawak’ yang masyhur ini telah jauh berubah. Saya yakin SCORE adalah penyebabnya.

Saya singgah sebentar di sebuah kedai kopi di sini untuk meluangkan masa berbual-bual dengan sahabat lama saya. Kami berbual panjang daripada peluang bisnes sehinggalah harga udang di sini. Kesimpulannya, Bintulu semakin maju dan membangun. Saya sedikit cemburu saya ditakdirkan bertugas di sini sekitar awal 2000-an dan bukan sekarang.

Namun, fikiran saya sedikit terganggu. Bagaimana pula dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak? Adakah ini fenomena di bandar-bandar semata atau bagaimana?

Kunjungan ke kampung-kampung dan rumah-rumah panjang sekitar sedikit-sebanyak menjawab persoalan saya tadi. Ada jalan-jalan yang sudah ditar dan beberapa buah kampung dan rumah panjang sudah menerima bekalan elektrik. Namun, masih ramai yang bersungut tiada bekalan air bersih dan masih menggunakan air hujan untuk keperluan harian. Tidak kurang juga yang mengeluh klinik kesihatan terlalu jauh. Nampaknya perubahan di daerah ini tidak sepantas yang disangka.

MENGEJUTKAN!


Jika diteliti daripada perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Negara dalam Laporan Penyiasatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012, hanya 57.4% daripada penduduk luar bandar Sarawak menerima bekalan air paip di rumah-rumah mereka. Mengejutkan! Padahal purata luar bandar Malaysia adalah sekitar 81.8%.

Dari segi bekalan elektrik pula, 1.7% daripada penduduk luar bandar di Sarawak masih belum menikmati bekalan elektrik walhal purata luar bandar Malaysia hanyalah 0.7% iaitu mendekati elektrifikasi penuh!

Kemudian jika ditinjau dari sudut kemudahan kesihatan, lebih setengah iaitu 51.0% penduduk luar bandar Sarawak tinggal lebih 9 km daripada pusat-pusat kesihatan awam. Ini adalah angka paling tinggi di Malaysia. Suatu keadaan yang mungkin terlalu asing untuk kita di seberang sini.

Malahan, trend yang sama juga dapat dilihat dari aspek kemudahan sekolah rendah dan menengah di luar bandar Sarawak di mana 12.6% pelajar sekolah rendah dan 62.9% pelajar sekolah menengah tinggal lebih 9 km daripada kediaman masing-masing. Purata luar bandar Malaysia hanyalah 3.6% untuk sekolah rendah dan 20.5% untuk sekolah menengah!

KADAR PERTUMBUHAN TINGGI


Tidaklah dapat dinafikan bahawa Sarawak telah membangun dengan pesat selama 50 tahun bersama Malaysia. Negeri ini mempunyai kadar pertumbuhan antara yang tertinggi di Malaysia dan tahun lepas telah menyumbang 8% kepada pertumbuhan keluaran negara kasar Malaysia. Sarawak adalah penyumbang terbesar hanya di belakang Selangor, Pulau Pinang dan Johor! Namun, apa yang merunsingkan saya ialah bagaimana dalam jangkamasa yang sama, penduduk Malaysia di seberang sini menikmati kualiti hidup yang jauh berbeza dengan rakan-rakan di Malaysia Timur?

Ya, memang benar ‘Sarawak Harmoni’ tetapi adakah benar ‘Kemakmuran Dinikmati’ jika inilah realiti sebenar yang perlu diredahi rakyat Sarawak khususnya di luar bandar sejak sekian lama?

Mungkin ada yang akan menjelaskan bahawa angka-angka ini  perlu dinisbahkan kepada keluasan Bumi Kenyalang itu sendiri dan keadaan geografinya yang mencabar, namun persoalannya, kenapa ketidakseimbangan pembangunan itu terlalu ketara seolah-olah kita berada di negara yang lain? Mungkin inilah sebabnya ada sesetengah rakyat Sarawak yang mempunyai sentimen negatif terhadap ‘orang Malaya’. Malahan, jangan terkejut jika anda terbaca komentar-komentar daripada rakan-rakan Sarawak yang mahukan Sarawak meninggalkan Malaysia.

Integrasi nasional bukanlah semata-mata menyanyikan lagu kebangsaan yang sama atau menggunakan kurikulum nasional yang serupa, tetapi yang juga sama penting ialah peluang pembangunan yang saksama tanpa mengira batasan geografi.

Saya yakin pemerintah di persekutuan mempunyai niat yang ikhlas untuk Sarawak. Namun, niat yang baik tidak memadai jika realiti hidup serba kekurangan ini perlu dihadapi oleh penduduk luar bandar Sarawak saban tahun.  Saya belum bercerita tentang isu-isu lain. Pemerintah di persekutuan perlu insaf hakikat ini. Keadilan pembangunan di Sarawak harus ditegakkan!


Mohd Aizan Mohd Nor ialah Pengarah, Sarawak Centre

Tongkat TG Nik Aziz dibida RM15,000

Salmah Mat Husain, 28 Sep 2013

KOTA BHARU: Tongkat Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang didermakan kepada Dewan Pemuda PAS Kota Bharu telah dibida seorang usahawan pada harga RM15,000.

Tongkat itu dibeli Abdullah Beran, 50, pada program lelongan amal di sebuah pasaraya, bermula jam 3.00 hingga 6.00 petang semalam.

Lelongan  bermula dengan harga RM500 dan akhirnya mencecah RM15,000 tepat jam 6.30 petang.

Pada masa yang sama sebanyak RM4,000 lagi berjaya dipungut pada program itu hasil lelongan barangan lain termasuk sumbangan orang ramai.

Ketika ditemui, Abdullah mengakui sanggup membeli tongkat yang pernah digunakan Mursyidul Am PAS  itu dengan tujuan membantu mangsa kebakaran di Kampung Sireh Bawah Lemah.

Jelasnya lagi, beliau berhasrat untuk menggunakan sendiri tongkat berkenaan walaupun tidak menggunakannya sebelum ini.

“Saya memang meminati Tuan Guru, dia ikon saya malah saya sentiasa mengikuti perkembangan tok guru sejak 25 tahun lalu,” ujarnya.

Beliau tidak teragak-agak untuk membeli barangan peribadi Tuan Guru sekiranya ada yang ingin dijual untuk tujuan amal.

Walaupun tidak selincah sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar, tidak bererti keperihatinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadap rakyat telah berakhir.

Keperihatinan dan tanda tanggung jawab yang tidak pernah berakhir itu mendorong Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyerahkan tongkatnya untuk dilelong baru-baru ini.

Hasrat itu telah disampaikan kepada Dewan Pemuda PAS  Kota Bharu dalam usaha mengurangkan bebanan ditanggung keluarga mangsa kebakaran Kampung Sireh Bawah Lembah.


Tongkat itu diserahkan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu, Dr Rosli Alaani Abdul Kader kepada Abdullah sebaik sahaja memenangi bidaan.

Rosli melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada orang ramai yang mengambil peluang untuk menyampaikan derma melalui kaedah itu.

Jelasnya sumbangan itu akan diserahkan pada mangsa kebakaran yang terlibat dalam waktu terdekat.

“Bagaimanapun kita akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum menyampaikan sumbangan kepada mangsa,” ujarnya.

Pada 6 September lalu, tujuh rumah melibatkan 16 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila harta benda mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari.

Muktamar: Pemilihan 22 Nov, keputusan 23 Nov

Salmiyah Harun, 27 Sep 2013



Muktamar Tahuinan PAS ke-59 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini akan dijadikan medan perbahasan yang cukup menarik pada kali ini, apatah lagi ia diadakan selepas berlalunya Pilihan Raya Umum ke-13. Pelbagai isu yang akan dibangkitkan dan diperbahaskan, atau mungkin muktamar kali ini dilihat sebagai 'post morterm' pencapaian PAS dalam PRU lalu. Harakahdaily telah menemubual Pengarah Muktamar PAS ke-59 Datuk Takiyuddin Hassan di Parlimen baru-baru ini bagi mengetahui lebih lanjut berhubung perjalanan muktamar itu nanti.

Boleh Datuk jelaskan perjalanan Muktamar PAS ke-59 yang akan berlangsung November nanti.

Muktamar PAS kali ke 56 akan bermula pada malam 21 November dengan perasmian ketiga-tiga Dewan iaitu Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Perasmian Ulamak diadakan di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Dewan Pemuda di Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan perasmian Muslimat diadakan di Dewan Jubli Perak SUK Selangor. Muktamar penuh  PAS Pusat akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.

Perasmian muktamar penuh bermula pada 22 November, manakala di sebelah petang iaitu selepas solat Jumaat akan adakan pemilihan parti. Insya Allah keputusan pemilihan akan diumumkan pada petang 23 November.

Saya selaku pengarah muktamar, pengerusi adalah Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalannya adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman.

Kita banyak jawatankuasa termasuk jawatan kuasa persiapan dan satu lagi jawatankuasa pemilihan PAS (JPP) yang dipengerusikan oleh Asmuni Awi, dan saya sebagai timbalannya. semua yang dilantik menjadi jawatankuasa pemilihan termasuk saya tidak dibenarkan bertanding.

PAS bertuah kali ini kerana dapat mengadakan muktamar di Selangor dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan selangor melalui MBSA dan Stadium Malawati dan agensi-agensi kerajaan negeri.

Berapa agaknya jumlah perwakilan dan pemerhati yang akan mengikuti perjalanan muktamar kali ini?

Perwakilan adalah tetap ia tidak lebih daripada 1300 orang, dari segi pemerhati kita tidak hadkan cuma kita belum dapat pengesahan khususnya pemerhati dalam negara dan luar negara. Kita ada buat jemputan, dan kebiasaanya kita jemput  semua jemaah Islam di seluruh negara.

Sekarang ini,  PAS khususnya Presiden kita Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sering kali menjadi ahli aktif dalam gerakan Islam di seluruh dunia. Jadi kita jemput hampir ke semua gerakan Islam yang besar-besar, termasuk duta-duta asing juga kita jemput.

Oleh kerana, Muktamar PAS kali ini diadakan di Selangor, saya yakin akan ramai pemerhati yang datang kali ini, saya nampak di Selangor ini mungkin pemerhati akan datang lebih ramai daripada biasa muktamar yang kita buat di negeri-negeri.

Selain bermuktamar, apa lagi program yang menarik akan diadakan sepanjang berlangsungnya muktamar?

Sepanjang perjalanan Muktamar selama tiga hari ini, kita turut membuka gerai-gerai jualan. Pada sebelah malam seperti biasa ceramah-ceramah dan persembahan artis diadakan sebagai tarikan kepada pengunjung jualan tersebut. Ceramah malam pertama kita ada persembahan artis-artis dan selebriti dakwah iaitu Ustaz Azhar Idrus, malam ke tiga ada ceramah perdana pimpinan PAS (yang menang dalam pemilihan).

Kita turut membuka 'booth' untuk pemeran-pameran yang melibatkan PAS Pusat, negeri dan agensi-agensi 2 kerajaan terutama negeri yang kita memerintah, iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Agensi kerajaan pusat pun ada begitu juga pihak swasta. Ini terbuka untuk semua orang.

Pada pandangan YB, apakah isu yang akan menjadi perbahasan hangat dalam muktamar kali ini?

Oleh kerana Muktamar kali ini, adalah yang pertama selepas PRU-13, tumpuannya banyak kepada 'post morterm' pencapaian PAS dalam PRU-13 dan mungkin juga Pilihan Raya Kecil Kuala Besut. Mungkin juga ada di kalangan perwakilan menimbulkan pencapaian PAS di peringkat parlimen yang merosot dalam PRU lepas. Penggal lepas kita ada 23 kerusi kali ini kita ada 21 kerusi.  Kita menjadi 'partner' kecil dalam Pakatan Rakyat. Walaupun PAS kecil tetapi peranan kita besar untuk jadikan Pakatan Rakyat kuat.

Saya rasa isu bagaimana PAS sebagai parti politik Melayu Islam boleh mengarak langkah lebih besar lagi untuk menggantikan parti politik Melayu iaitu Umno. Ini kerana daripada statistik menunjukkan bahawa kita banyak kalah di kerusi-kerusi yang kita bertanding dengan Umno, yang mana majoriti adalah orang Melayu. Jadi dominasi PAS di dalam kawasan Melayu ini  akan dibincangkan dalam Muktamar PAS nanti.

Bagaimana dengan isu  'tahaluf siyasi' apakah YB rasa ia akan menghangatkan lagi perbahasan di muktamar nanti?

Mungkin sedikit sebanyak ada perwakilan akan timbulkan isu ini, tetapi bagi kita sama ada ia dibangkitkan oleh Ulamak sekali pun ianya tidak lebih daripada untuk memantapkan Pakatan Rakyat, bukannya untuk menghancurkan. Itu adalah telaah musuh kita. Bagi kita ianya adalah untuk kebaikan PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri. Tanpa PAS tidak adalah Pakatan Rakyat hari ini. Kerana dalam tiga-tiga parti ini, PASlah yang mampu menggerakan ramai ahli berbanding yang lain.

Bagaimana pula dengan usul-usul dan proses pencalonan untuk pemilihan nanti?

Untuk usul kita masih menunggu lagi, oleh kerana kita ada masa dua bulan dari sekarang, mungkin tarikh akhir pada bulan Oktober. Jawatankuasa ini di bawah Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk proses pemilihan, tarikh tutup bagi menghantar borang pencalonan kepada jawatankuasa khas pemilihan parti ini  pada 22 Oktober jam 12.00 tengah malam iaitu lebih kurang satu bulan dari tempoh bermuktamar.  Semua sudah menerima peraturan ini kerana kita sudah bagi taklimat kepada semua kawasan.

Buat pertama kali, Muktamar PAS telah meletakkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding. Bagaimana Datuk melihat peraturan ini?

Jawatankuasa pemilihan ini meletakkan beberapa garis panduan yang mana kita minta mereka yang bertanding ini diberi garis panduan atau etika kempen yang kita telah tetapkan. Antaranya tidak boleh menyerang peribadi calon. Tetapi umumnya adalah tidak boleh melakukan apa-apa  yang menjadi kesalahan di bawah Perlembagaan PAS.

Kalau sekiranya berlaku perbuatan seumpama itu, maka perlantikan calon itu akan gugur. Kita sudah ada jawatankuasa yang ada di seluruh negeri untuk memantau. Jika jawatankuasa kenal pasti ada pelanggaran dan kesalahan serta aduan, mereka akan laporkan kepada kita, kemudian kita akan serah kepada jawatankuasa tatatertib.

Maknanya jika ada kesalahan itu, boleh membatalkan kemenangan calon itulah.
Jadi kita bagi peringatan kepada mereka yang hendak menjadi calon supaya mematuhi garis panduan dan etika ini.

Apa harapan Datuk kepada muktamar kali ini?

Sesuai dengan parti kita yang sudah setengah abad ini, dan Muktamar kali ini sudah kali ke-59. Parti PAS sudah begitu matang, dengan kempimpinan bukan sahaja di peringkat negeri bahkan di peringkat nasional dan international. Maka kita harap perwakilan juga mengambil pendekatan seumpama itu.

Pendekatan yang matang, ukhuwwah  dan masing-masing perlu ada semangat untuk memperkuatkan parti PAS. Kita harap PRU-14 nanti kita akan mencapai lebih dari hari ini.  Dari segi perbahasan, kita mengalu-alukan apa jua pandangan dan kritikan tetapi dengan syarat ianya konstruktif. Kritikan mesti untuk menguatkan parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan