Sabtu, 17 Ogos 2013

SEMUA INGINKAN SYAHID TAPI ADA RASA TAKUT DALAM DIRI....KERANA CINTA KEPADA DUNIA ITU LEBIH...IMAN TAK MANTAP LAGI...MAKA POHONLAN KEBERANIAN KEPADA ALLAH SWT

Ummu Nidhal (Khansa' Palestin) turut syahid di Mesir

http://wasukalu.blogspot.com, 16 Ogs 2013

Ummu Nidhal (Khansa' Palestin) dan Asmaa El Beltagi turut syahid di Mesir

Empat orang wanita ini adalah antara 3000 yang syahid dalam serangan ganas tanpa peri kemanusiaan oleh tentera Mesir pimpinan Abdul Fatah Al Sisi.

1) Ummu Nidhal (Palestin).
Ummu Nidhal atau dikenali juga sebagai Khansa' Palestin adalah seorang 'ibu hebat' yang telah menyerahkan kesemua 4 anaknya untuk menentang tentera Zionis. Tiga daripada empat anaknya telah syahid bertemu dengan Allah swt. Manakala seorang lagi daripada anaknya masih lagi di dalam tahanan Israel.

Antara perkataan yang sering diungkapkan oleh Ummu Nidhal adalah:

"Kematian adalah suatu perkara yang menyedihkan, tetapi jangan bimbang kerana bertemu dengan Allah, adalah suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan (mengatasi perasaan sedih tersebut)".

Maka bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali'-Imran ayat 169 yg bermaksud

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki"

Mereka 'hidup' di hati kita dengan menjadi inspirasi dan pembakar semangat buat kita demi meneruskan perjuangan ini.

Ummu Nidhal ketika menatap wajah anaknya yang syahid dalam perang lapan hari dengan Israel

2) Asmaa Mohamed El Beltagi (Mesir)

Asmaa Mohamed El Beltagi berusia 17 tahun dan adalah antara yang dibunuh pada Tragedi berdarah di Medan Rab'ah semalam. Beliau juga adalah anak kepada tokoh Ikhwan iaitu El Beltagi.

Jenazah Asmaa El Beltagi didoakan oleh ayahnya (gambar kecil

3) wajah suci syahidah habibah ahmad abdul aziz "nyenyak beradu"setelah terkorban di medan rabiatul adawiyah semalam.

4) Asma' Hisham Saqar.. mahasiswi mujahahidah yang dimasukkan ke hospital Rabi'ah setelah ditembak di betisnya. Kemudian menemui syahid setelah ditembak di kepalanya oleh seorang sniper ketika mendapat rawatan di hospital tersebut.

Lihat senyumannya dan perhatikan maksud ayat dari surah 'Ya Sin' ini...

قال يا ليت قومي يعلمون بما غفرلي ربي وجعلني من المكرمين...

"Dia (yang telah mati sebagai syahid) berkata: "Alangkah bagusnya jika kaum ku mengetahui bahawa Tuhan ku telah mengampun dosa-dosa ku dengan kerana (kesanggupan aku mati demi untuk agamanya ini) dan menjadikan aku (di syurga ini) dari kalangan orang-orang yang mulia..."

Mesir: DAP gesa rakyat M'sia sertai himpunan esok

Harakahdaily, 16 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: DAP menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k esok bagi menunjukkan solidariti untuk rakyat Mesir.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata, isu keamanan sejagat dan hak asasi manusia menjangkaui batasan kaum, agama dan fahaman politik dan perlu dipertahankan oleh seluruh umat manusia.

"Saya dan pemimpin-pemimpin DAP yang lain akan turut menyertai himpunan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) itu akan diadakan di Padang Merbok bermula jam 4 petang hingga 9 malam esok.

Sementara itu, DAP turut menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil segera sidang khas Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai di Mesir.

Malaysia juga tegasnya perlu menyatakan pendirian yang tegas menuntut Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak mengembalikan keamanan di Mesir.

"Kekerasan melampau yang diambil oleh rejim tentera tersebut ke atas rakyatnya sendiri merupakan satu tindakan kekejaman yang tidak berperikemanusian.

"Masyarakat antarabangsa perlu bersolidariti bersama rakyat Mesir dan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sepatutnya untuk mengembalikan keamanan di Mesir," katanya yang juga Ketua Whip DAP.

Beliau juga berkata, Pakatan Rakyat pernah menyokong usul yang dibawa kerajaan pada 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

"Parlimen Malaysia pernah mengadakan sidang khas pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Dalam sidang khas tersebut, Pakatan Rakyat telah memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk membuktikan pendirian tegas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," tambahnya.

Loke yakin Pakatan Rakyat akan sekali lagi menyokong penuh sekiranya perdana menteri memanggil sidang khas Parlimen dan mengemukakan usul untuk mengutuk rejim tentera Mesir.

Pemilihan semula CEC: DAP bidas Khairy

Harakahdaily, 16 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: DAP hari ini membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang mendakwa kononnya parti itu "akhirnya mengaku bersalah" apabila memutuskan untuk membuat pemilihan semula CEC parti itu.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook (gambar), berkata dakwaan tersebut langsung tidak berasas kerana pucuk pimpinan DAP mengambil keputusan membuat pemilihan semula disebabkan mereka tidak ada pilihan lain untuk menyelamatkan parti.

"Sekiranya DAP tidak akur kepada arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), risiko yang perlu ditanggung ialah pembatalan pendaftaran parti.

"Inilah perangkap politik yang dipasang oleh Umno kerana objektif utama mereka ialah untuk memusnah dan melenyapkan DAP dari arena politik Malaysia. Di atas pertimbangan politik tersebutlah, DAP mengambil keputusan untuk akur kepada arahan ROS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang terkilan dengan dakwaan itu berkata, ulasan sebegitu tidak wajar keluar daripada mulut seorang menteri muda yang selalu menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin generasi muda yang berkaliber dan bijak.

"Hanya kerana nak memenangi hati ahli-ahli Umno menjelang pemilihan parti, beliau (Khairy) kini sanggup berpolitik sehingga tahap yang begitu rendah sekali," katanya.

Selain itu katanya, ada pula hujah yang mempersoal kalau DAP tidak bersalah, mengapa tidak menbawa kes tersebut ke mahkamah.

Menjawab hujah itu beliau berkata, DAP cukup yakin ada campurtangan politik di peringkat tertinggi dalam kes ini dan sukar mendapat satu penghakiman yang adil melalui mahkamah.

Tambahnya, sekiranya kes ini berlanjutan bertahun-tahun di mahkamah, maka sudah tentu perjalanan parti akan terbantut dan ini akan memberikan kesan buruk kepada perjuangan politik DAP untuk menuntut perubahan demi rakyat Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menjawab dakwaan Khairy kononnya mengambil masa terlalu lama bagi mengakui kesilapan tersebut.

Menolak dakwaan itu, Anthony berkata, pihaknya mengakui kesilapan teknikal dalam keputusan pemilihan CEC pada awal bulan Januari 2013, namun tempoh yang lama adalah disebabkan ROS mengambil masa lebih 7 bulan untuk membuat siasatan.

Mereka hanya menerima surat rasmi daripada ROS berkenaan arahan membuat pemilihan semula tanpa diberikan sebarang alasan pada 31 Julai 2013.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Khairy sama seperti pemimpin-pemimpin Umno yang lain, masih bermain politik cara tradisi Umno iaitu menggunakan fitnah, penipuan, dakwaan tidak berasas dan penyalahgunaan kuasa kerajaan untuk mencapai tujuan politik sempit peribadi mereka tanpa sebarang pertimbangan nilai-nilai kebenaran dan keadilan.

"Bagi mereka, kebenaran tidak penting selagi ia memenuhi kepentingan mereka seperti pepatah kata Inggeris “the end justifies the means”," katanya.

Amalan kebaikan di luar Ramadhan

Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 16 Ogs 2013
Bulan Ramadhan bagi tahun 1434 Hijrah baru sahaja berlalu. Semoga proses didikan yang dilalui pada bulan Ramadhan yang lepas mampu menjadikan kita manusia yang lebih tinggi iman dan taqwanya di sisi Allah SWT berbanding sebelumnya. Amat rugi jika proses didikan hati dan juga ruh yang dilalui itu tidak mampu memberi kesan ke dalam jiwa dan sanubari  manusia. Lebih merugikan amalan puasa dan qiyam Ramadhan yang telah ditunaikan hanya memperolehi rasa penat dan dahaga semata-mata tanpa medapat rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT. Sabda Nabi SAW : “Barangkali orang yang berpuasa itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Barangkali juga orang yang bangun solat malam itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada qiyamnya kecuali rasa mengantuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Antara tanda-tanda sesuatu amalan dalam bulan Ramadhan itu diterima oleh Allah SWT dan mendapat keberkatan-Nya ialah apabila amalan kebaikan tersebut masih berterusan dan dilaksanakan di luar daripada bulan Ramadhan. Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila seseorang hamba Allah yang telah melalui didikan dalam bulan Ramadhan yang lalu tidak lagi meneruskan kerancakan amal ibadahnya di bulan-bulan lain. Sesungguhnya konsep perhambaan kepada Allah SWT perlulah dilakukan secara konsisten dan juga berterusan tanpa terikat mengikut musim tertentu sahaja. Janganlah seseorang manusia dianggap hamba Allah SWT hanya pada bulan Ramadhan sahaja tetapi jadilah hamba Allah SWT pada setiap masa dan ketika.

Pada bulan Ramadhan kita diwajibkan untuk berpuasa. Di luar bulan Ramadhan sewajarnya ibadah puasa ini perlulah terus dilaksanakan iaitu dengan melakukan puasa-puasa sunat. Bagi mereka yang mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah SWT maka ibadah puasa sunat tidak boleh dipandang remeh. Antara puasa sunat yang besar nilainya bagi seseorang muslim ialah amalan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Dalam hal ini Nabi SAW telah menerangkan ganjaranya dengan sabda Baginda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa selama setahun.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Sepanjang bulan Ramadhan yang lepas umat Islam telah menghidupkan malam-malamnya dengan ibadah solat sunat terawikh dan solat-solat sunat yang lain. Setelah keluar daripada bulan Ramadhan seseorang muslim itu perlu meneruskan serta memperbanyakkan ibadah-ibadah solat sunat tanpa mengabaikan ibadah solat-solat fardhu. Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajud iaitu solat pada tengah malam.

Sesungguhnya qiyamullail yang dilaksanakan secara berterusan mampu melatih jiwa seseorang muslim itu supaya lebih kental dan sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Malah Nabi SAW tidak pernah meninggalkan ibadah solat malam secara sengaja. Nabi SAW akan menghidupkan malam dengan ibadah solat tanpa mengira musim mahupun bulan yang tertentu. Firman Allah SWT: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah kamu pada waktu malam kecuali sedikit daripadanya. (Atau) separuh malam mahupun kurang sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil: 1-3).

Kesabaran Nabi SAW dalam melakukan ibadah solat sunat pada waktu malam ini jelas terserlah walaupun Baginda SAW merupakan manusia yang maksum iaitu yang terlindung daripada dosa dan cela. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW sering kali menunaikan solat pada tengah malam sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Maka ‘Aisyah RA bertanya kepada Nabi SAW mengapakah Baginda bersusah payah menunaikan solat sehingga sedemikian rupa sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosa oleh Allah SWT? Maka jawab Nabi SAW: “Apakah tidak boleh untuk aku gemar menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya).

Daripada hadis ini jelaslah bahawa Nabi SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam-malam Ramadhan sahaja tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam-malam Ramadhan. Malah solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada bulan Ramadhan tetapi turut sama dilakukankan oleh Baginda di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Pada sepuluh malam terakhir Ramadhan Allah SWT menyediakan malam-malam keampunan kepada para hamba-Nya. Malam-malam tersebut merupakan malam-malam yang paling mulia berbanding malam-malam lain. Walaupun begitu Allah SWT menghadiahkannya 10 waktu siang yang mulia di luar bulan Ramadhan iaitu pada sepuluh awal Zulhijjah. Sabda Nabi SAW: “Tidaklah sesuatu amalan soleh itu lebih disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari ini (sepuluh akhir Zulhijjah).” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Umat Islam dianjurkan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran sama ada pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan-bulan lain. Amat menyedihkan apabila ada sesetengah individu yang mengenali dan membaca al-Quran hanya pada bulan Ramadhan. Perlulah disedari bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi seluruh umat Islam. Malah membaca al-Quran hanya pada bulan Ramadhan memperlihatkan kelemahan iman apabila tiada penerusan dalam bulan-bulan lain. Walaupun seseorang itu membaca dan menghayati kandungan al-Quran di luar bulan Ramadhan secara sedikit demi sedikit namun ialah lebih bermakna daripada tergesa-gesa menghabiskan keseluruhan al-Quran tanpa memahaminya hanya pada bulan Ramadhan. Biarlah sesuatu amalan kebaikan dilakukan secara sedikit namun ianya perlulah berterusan. Sabda Nabhi SAW: “Lakukanlah sesuatu amalan itu dengan kemampuan kamu, sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang sahih).

Begitulah juga dengan ibadah sedekah dan infaq di jalan Allah SWT. Walaupun kita disunatkan untuk bersedekah pada bulan Ramadhan, namun sifat mulia dan terpuji ini perlulah diteruskan di luar daripada bulan Ramadhan. Bantulah saudara-saudara seagama dengan menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban dan kesusahan hidup mereka. Sesungguhnya orang-orang muslim itu hidup bersaudara ibarat anggota-anggota badan yang berada pada satu jasad. Maka berilah bantuan dalam apa jua bentuk kepada saudara-saudara seagama terutamanya mereka yang ditindas seperti di Palestin, Syiria, Myanmar dan sebagainya. Sesungguhnya terdapat keberkatan pada harta-harta yang kita infaqkan di atas jalan kebaikan. Satu sedekah yang diberikan di jalan Allah melahirkan tujuh ratus balasan ganjarannya di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT: “Perumpamaan mereka yang mengeluarkan harta di jalan Allah seperti sebutir benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkainya mengandungi seratus biji, dan Allah melipat gandakan (rezeki-Nya) bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah yang Maha Luas (rahmat kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah: 261).

Sesungguhnya rahmat dan pengampunan Allah SWT itu sentiasa terbuka bagi seluruh umat Islam. Pada bulan Ramadhan setiap hamba Allah mengharapkan rahmat dan pengampunan daripada-Nya melalui doa yang dipenuhi dengan seribu satu permintaan dan pengampunan. Namun rahmat dan pengampunan Allah SWT tidak hanya ada pada bulan Ramadhan malah pada setiap ketika dalam kehidupan manusia. Jika doa seseorang muslim yang berpuasa pada bulan Ramadhan itu diterima permintaannya sehingga beliau berbuka namun permintaannya masih tetap dimakbulkan pada setiap hari di waktu yang cukup mustajab doa iaitu sepertiga malam yang terakhir. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah SWT itu turun ke langit dunia  pada sepertiga malam yang terakhir lantas bersabda: Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka akan Aku berikan, sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka akan Aku makbulkan dan sesiapa yang memohon keampunan dari-Ku maka akan Aku ampunkan.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih).

Kesimpulannya perjalanan ibadah dan amalan soleh tidak hanya berlaku hanya pada bulan Ramadhan yang telah kita lalui tetapi perlulah turut sama berterusan dan istiqamah (komited) di luar daripada bulan Ramadhan. Jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Nya tanpa mengira musim mahupun waktu yang tertentu.

http://imamudasyraf.com

Kudeta Mesir cuba padam bukti kekejaman

Harakahdaily, 16 Ogs 2013

(Jenazah yang sempat diselamatkan dari dibakar dan ditempatkan di Masjid Al_Iman)

MESIR: Kerajaan kudeta Mesir yang dikuasai tentera dilaporkan sedaya upaya cuba memadamkan kekajaman mereka yang telah membunuh ribuan penyokong legitimasi di beberapa kawasan di Kaherah khususnya di Medan Raba'ah Adawiyah, semalam.

Beberapa sumber termasuk Ikhwan Muslimin mendedahkan, pihak tentera cuba untuk menghapuskan bukti dengan sebolehnya menipu angka korban semalam pada kadar paling rendah.

Tindakan terdesak dilakukan bagi mencapai tujuan itu termasuk dengan membakar mayat-mayat penyokong Morsi di Medan Raba'ah semalam selepas menembak mereka.

(Keadaan Masjid Raba'ah selepas dibakar oleh pihak tentera)

Pecubaan kedua, mereka membakar jenazah yang dikumpulkan di tingkat bawah Hospital Awam di Medan Raba'ah semalam.

Di tingkat itu, terdapat ribuan jenazah penyokong Morsi yang terkorban ditempatkan disitu.

Bagaimanapun hanya 350 mayat sahaja sempat diusung keluar dari hospital itu manakala selebihnya hangus terbakar.

Kesemua mayat yang berjaya dikeluarkan itu kemudian dikumpulkan di Masjid Al-Iman, kawasan Makram 'Abid.

Percubaan ketiga pula, pihak keselamatan didakwa enggan mengeluarkan surat kelulusan untuk pengebumian tersebut, dan diubah sebab kematian adalah kerana bunuh diri.

Percubaan keempat, para petugas perubatan di Pusat Nasr diarah mengeluarkan laporan perubatan palsu terhadap mangsa korban di Rabaah.

Pengerusi Kesatuan Farmasi wilayah Qalyubiyah mendedahkan para petugas perubatan di Pusat Nasr ditekan oleh pihak berkuasa agar merekodkan punca kematian penyokong Morsi itu akibat seksaan dalam tahanan, bukan ditembak ketika serangan polis di Rabaah.

Tekanan ini diberikan oleh pihak berkuasa melalui Kementerian Kesihatan kepada anggota keluarga mangsa korban yang ingin menuntut mayat keluarga masing-masing. Sebagai contoh, Rumah Mayat "Zenhom" enggan membenarkan mayat mangsa dikeluarkan sehingga keluarga mangsa menandatangani surat akuan bahawa mangsa mati akibat membunuh diri.

Percubaan kelima, pihak tentera melepaskan gas pemedih mata ke dalam Masjid Al-Iman -masjid yang dijadikan tempat pengumpulan jenazah penyokong Morsi - bagi menyuraikan ahli keluarga mangsa yang sedang mengecam jenazah di dalamnya.

Tindakan tentera itu dipercayai bertujuan untuk mencuri jenazah di Masjid itu bagi mencapai matlamat mereka iaitu menghapuskan bukti dengan mendakwa hanya sedikit yang terkorban dalam serangan semalam.

(Anggota keluarga meneliti senarai nama mereka yang terkorban)

Dalam pada itu, sumber R.N.N menyebut kiraan pertama angka syuhada' sehingga kini melebihi 3,000 orang di seluruh negara sepanjang operasi ketenteraan semalam.

Mereka yang terkorban di dua lokasi utama himpunan iaitu Raba'ah dan Nahdhah sahaja melebihi 2,500 orang.

Lebih 300 orang lagi dilaporkan terkorban di beberapa wilayah lain dalam perhimpunan yang diadakan sejurus pembunuhan di Raba'ah dan Nahdhah.

Di pihak kerajaan kudeta pula, mereka hanya menyebut jumlah kematian hanya ratusan, malah tidak lebih dari 1000 orang.

Mereka pula lebih membesarkan kes beberapa orang polis terkorban dalam inseden semalam.

Ribuan rakyat Kelantan hadir munajat untuk Mesir

Aslani M, 16 Ogs 2013
(Ribuan mengaminkan doa Qunut Nazilah mendoakan tindakan zalim dihentikan terhadap rakyat Mesir)

KOTA BHARU: Sejak Maghrib lagi selepas mendapat info program malam tadi melalui media baru ribuan anak muda hadir. Program berkenaan dirancang secara mengejut Pemuda PAS Kelantan berikutan tentera Mesir bermaharajalela membunuh ribuan penyokong Dr Muhamad Morsi.

Ribuan penduduk Kelantan terutamanya anak-anak muda menyertai solat hajat, munajat dan membaca qunut nazilah sebagai simpati mereka terhadap nasib umat Islam di Mesir yang menjadi mangsa kerakusan tentera Mesir sekarang.

Solat hajat dan munajat diketuai anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat.


Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Selain itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Presiden Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir, Ustaz Zulkifli Mat Yusoff dan Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Ustaz Abdul Malek Abdul Karim.

Program terbabit diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhamamd Ke IV.

Abdul Malek yang baru pulang dari Mesir berkata, beliau cukup kagum melihat kehadiran jutaan penyokong Dr Morsi termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) membantah rampasan kuasa dilakukan tentera.

Katanya,  biar pun rakyat berhimpun secara aman namun tentera menggempurkan mereka menggunakan kereta perisai, jentolak dan peluru hidup sehingga 5,000 menjadi korban dan 10,000 lagi cedera dalam masa sehari.

“Lebih tragik lagi apabila rakyat yang cedera dirawat di hospital didatangi polis dan terus ditembak sehingga pecah jantung mereka. Malah keluarga yang datang menuntut mayat anggota keluarga mereka juga ditembak.

“Tentera dan polis juga membakar hospital dan masjid sehingga ramai lagi menjadi korban,” katanya pada program berkenaan.

Malah dakwa beliau menteri kerajaan kudeta mengumpah militia yang dianggar berjumlah 500,000 orang di Mesir membunuh penyokong Dr Morsi dengan bayaran yang mahal.

Menurutnya tindakan zalim lebih daripada apa  yang berlaku di Syria semata-mata bagi melumpuh sepenuhnya gerakan Ikhwan Muslimin.

*Ikuti maklumat lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan