Sabtu, 17 Ogos 2013

DOA KEHANCURAN MUSUH2 ISLAM...PIHAK2 YANG ZALIM DAN SETARAF DENGANNYA DAN QUNUT NQZILAH

Rumah terbuka Muslimat PAS solidariti untuk Mesir

Hazayani Zakaria, 16 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memutuskan untuk menjadikan sambutan rumah terbuka sempena Aidilfitri sebagai 'rumah solidariti' untuk rakyat Mesir pada 25 Ogos ini.

Ketua DMPP Siti Zailah Mohd Yusof berkata, rumah terbuka mereka akan disekalikan dengan munajat besar-besaran untuk rakyat Mesir.

"Kegembiraan hari raya kami terhenti saat pembantaian dan pembunuhan besar-besaran ke atas saudara-saudara kami di Mesir.

"Duit jamuan yang dirancang akan dijadikan duit hantaran bantuan kami buat sahabat-sahabat pejuang Ikhwan. Ini pendirian kami pimpinan Harian DMPP," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Mengikut perancangan, rumah terbuka DMPP akan diadakan bersekali dengan rumah terbuka PAS Pusat pada 25 Ogos.

Siti Zailah juga berkata, DMPP turut mencadangkan PAS Pusat agar menyesuaikan semula program Rumah Terbuka PAS Pusat Sempena Aidilfitri kepada acara yang bersesuaian.

"DMP negeri-negeri dan kawasan-kawasan juga adalah diarah mengambil tindakan yang sama," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sementara itu, DMPP akan menyertai Himpunan Munajat 100K di Datara Merdeka esok.

Pihak DMPP akan berbincang dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) untuk memastikan ruang penyertaan wanita disediakan secara terancang.

"Justeru DMPP menyeru semua wanita turut serta dalam himpunan esok tanpa rasa ragu-ragu dan ini merupakan sejarah kemanusiaan dunia," katanya.

Himpunan esok akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 4 petang hingga 9 malam esok.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beberapa lagi pemimpin dijangka memimpin munajat ini.

Himpunan ini anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama parti-parti politik serta badan bukan kerajan (NGO).

Video serangan terhadap penyokong Morsi

Harakahdaily, 16 Ogs 2013


KUALA LUMPUR: Sebuah video, yang menceritakan sebahagian suasana pembunuhan kejam pihak tentera terhadap para penyokong legitimasi di Dataran Raba'ah Mesir, kelmarin dimuat naik ke Youtube.

Video yang berdurasi lebih 8 minit itu mengandungi rakaman babak awal serangan, kekalutan di Dataran Raba'ah selepas serangan, suasana kecemasan di Hospital Lapangan serta wajah-wajah mereka yang meninggal dan tercedera.

Ianya juga turut memuatkan suasana perkumpulan jenazah dan mereka yang cedera di tembak, yang ditempatkan di Masjid Raba'ah yang dibakar oleh pihak tentera.

Bagaimanapun, video ini turut mengandungi unsur seram dan ganas dan kanak-kanak di bawah 13 tahun dinasihatkan mendapat pengawasan dan bimbingan ibu bapa.

[LIHAT VIDEO]

Sekeras mana langkah kerajaan berdepan isu Mesir

Suhaimi Abdul Aziz, 16 Ogs 2013
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan suatu himpunan besar-besaran sempena membantah tindakan kejam terbaharu rejim kudeta Mesir terhadap rakyatnya. Perhimpunan ini akan diadakan pada hari esok bermula jam 4.00 petang dengan adunan pidato, ucapan, solat hajat dan munajat di samping Qunut Nazilah bagi mendoakan pertolongan kepada umat Islam yang tertindas di sana. Lokasinya pula adalah di Dataran Merdeka, pusat ibu kota di negara ini dan simbolik pula kenangan kepada Dataran Rabiah Adawiyah yang mengorbankan ribuan syuhada’ bagi menuntut sebuah keadilan.

Ini adalah reaksi spontan Pemuda PAS mewakili PAS, Pakatan Rakyat serta NGO-NGO Islam keseluruhannya melihat situasi terburuk di Medan Rabiah Adawiyah semalam. PAS yang hanya menjadi sebuah parti politik tidak memiliki keupayaan yang lebih selain mengadakan himpunan mengutuk kekejaman tersebut serta berdoa untuk umat Islam di sana.

Mesir: Selangor gesa solat hajat, qunut nazilah

Saidah Hairan, 16 Ogs 2013
SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Sallehen Mokhyi menyeru semua masjid, surau dan madrasah seluruh Selangor melakukan qunut nazilah dan solat hajat khasnya ketika solat Jumaat mendoakan musibah yang menimpa rakyat Mesir dapat dihentikan segera.

Beliau bersama rakyat Selangor mengecam keras tindakan ganas dan kejam tentera Mesir terhadap penyokong Presiden pilihan rakyat, Dr Mohamed Morsi.

"Saya mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Selangor mendesak seluruh badan antarabangsa khususnya negara-negara umat Islam tampil membantah keras tindakan tidak berperikemanusiaan ini," tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor 2 berkata, mana-mana negara yang mendiamkan diri daripada mengutuk tindakan kebinatangan itu, adalah tindakan tidak bertanggungjawab terhadap insiden keganasan terlampau di Mesir.

Menurut beliau, tindakan kejam tentera di Mesir itu melakukan jenayah terhadap rakyat sendiri sehingga menyebabkan ribuan terkorban dan ribuaan cedera parah.

Kejadian terbaharu pada hari ini apabila pasukan tentera menggempur ribuan demonstran melalui gas pemedih mata serta tembakan peluru hidup mengakibatkan saat ini lebih 2,600 orang syahid manakala lebih 15,000 orang cedera.

Ia berlaku di Medan Raba'ah dan di Madinah Nasr di mana pasukan tentera menggempur para demonstran melalui gas pemedih mata dan penembak tepat di atas bangunan.

Beliau berharap umat Islam seluruh negara khsusunya di Selangor mesti berterusan mengadakan qunut nazilah dan solat hajat memohon pertolongan Allah memberi petunjuk dan jalan penyelesaian yang terbaik terhadap konflik di Mesir.

Di Masjid Negeri Shah Alam pada solat Jumaat hari ini akan diadakan munajat dan umat Islam diseru supaya turut berada di masjid tersebut.

PAS tidak berdiam diri melihat darah dan air mata saudara se Islamnya tumpah ke tanah. Kematian syuhada’ Mesir ditangisi dengan himpunan kemarahan umat Islam di negara ini serta di seluruh dunia. PAS dan rakyat memainkan peranannya, setidak-tidaknya doa inilah yang dikirimkan kepada pejuang ikhlas mujahidin di Mesir agar mereka tabah dan teguh menghadapi ujian seberat ini.

Bagaimana pula dengan UMNO dan kerajaan Malaysia dalam menghadapi situasi ini? Cukupkah hanya sekadar kenyataan rasmi Perdana Menteri mengutuk dan merasa kesal terhadap kerajaan Mesir tanpa apa-apa tindakan tegas dan paling bermaruah sebagai pemilik kuasa di negara ini? Apakah daya usaha Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam mendepani isu ini dengan mengangkatnya ke peringkat antarabangsa, mendesak dan mengheret negara-negara OIC agar mengambil langkah keras terhadap Mesir serta sanggup pula memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan haram Mesir?

Jutaan umat Islam di seluruh dunia ternanti-nanti siapakah pemimpin negara Islam yang lantang dan berani ke depan mengambil langkah agresif mengajar rejim yang zalim dan kejam terhadap rakyatnya sendiri. Di saat negara Arab diam membisu, malah dianggap bersekongkol dengan rampasan kuasa terhadap kerajaan Dr Mohammad Morsi, belum ada negara yang diletakkan harapan untuk mengangkat maruah dan martabat umat Islam yang dibunuh di negara bergolak itu.

Masihkah ada pemimpin seberani Salahuddin al Ayyubi yang bangkit membela nasib umat Islam sehingga membebaskan Baitul Maqdis, apakah wujud pemimpin setulus Sultan Muhammad Al Fatih yang membebaskan kota Konstantinople dari jajahan dan kezaliman kerajaan Rom, adakah pemimpin sehebat Sultan Saifuddin Qutuz yang membebaskan bumi Mesir dan kerajaan Islam Abbasiyyah dari kezaliman tentera Tartar dan Mongol? Paling tidak, masihkah ada pemimpin sehebat Dr Mohammad Morsi dan Recep Tayyib Erdogan di Turki yang berani secara terbuka membela umat Islam yang dibunuh di Gaza dan Syria?

*Penulis adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS WP

Nahdah dan Raba'ah, Rebah Berdarah

A Gafar Mahdi , 16 Ogs 2013
Nahdah dan Raba'ah,
Terhampar di kota Kairo
dua dataran perjuangan
medan berhimpun para mujahidin
pemuda dan wanita
bocah kecil, juga ibu-ibu dan para bapa
pencinta kebenaran
penegak keadilan
penyeru kebangkitan
pemburu kemenangan
perindu kesyahidan.
Mereka,
menunggu dan tetap menunggu
menanti dan terus menanti
sedari mula kudeta tentera
yang merampas posisi Morsi
mengangkat Assisi
meruntuhkan suara demokrasi

Ikrar mereka laungkan,
"Hidup mulia atau syahid menuju syurga!"

Nahdah dan Raba'ah,
Sudah sepekan Syawal dirai di sini
Namun, suka seketika beralih duka derita
Kekejaman merasuk segenap kota perjuangan ini
Kezaliman meranapkan medan kebangkitan ini
Tanpa rasa kasihan belas insani
Siapa sahaja menjadi mangsa
Ditembak, dibunuh dan dibakar
Masjid dan rumah sakit juga
musnah hancur berderai menjadi puing-puing
menebarkan abu, menimbunkan batu
Lalu, warna-warna panjinya berubah:
Merahnya darah
Putihnya kafan
Hitamnya arang.
Apakah ini harga sebuah keadilan dan kebebasan
yang dikhianati sendiri oleh penyembah tuhan demokrasi?

Nahdah dan Raba'ah,
Di sini rebahnya ribuan syuhada
Darah yang mengalir menjanjikan syurga
Sungguh!
Walau rebah, takkan goyah
Perjuangan suci tidak akan terhenti
Tidak akan pernah mengalah
Syahadah demi menegakkan syari'ah Allah
menenggelam kesesatan syiah dan golongan kuffar
membenamkan parah liberal dan barah sekular
moga tiada tersisa lagi, walau seinci.

A Gafar Mahdi
Aktivis PEMBINA
16 Ogos 2013 | 12.00 am
Balingian, Sarawak

'Awakening' Pak Lah: Adakah Mahathir takut jawab?

Muhammad Faizal, 15 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) yang sehingga kini mendiamkan diri tanpa sebarang penjelasan berhubung apa yang disiarkan di dalam buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia.

Beliau yang dihubungi memberitahu ada beberapa persoalan yang perlu dijelaskan oleh Tun M terutamanya soal negara yang akan bankrap jika bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) ditadbir mengikut cara Tun M.

"Pak Lah dalam buku tersebut tidak menafikan bahawa negara ini akan bankrap jika beliau mengikut cara pentadbiran Tun M yang suka berbelanja sedangkan defisit negara kian meningkat.

"Perkara ini perlu dijelaskan oleh Tun M, rakyat ingin mengetahui kebenaran dan kalau sebelum ini Tun M selalu bersuara dalam segenap isu kenapa dakwaan dalam buku tersebut beliau berdiam diri," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, isu krisis ekonomi di negara ini adalah berpunca dari zaman pentadbiran Tun M lagi, tohmahan yang dilemparkan kepada Pakatan Rakyat berhubung dengan janji memansuhkan bayaran tol ataupun mengurangkan harga minyak menyebabkan negara bankrap adalah tidak benar.

"Rakyat ingin mengetahui siapa yang menyebabkan negara ini akan bankrap, pendedahan telah dilakukan dan sekarang Tun M kena bersuara bukannya berdiam diri.

"Kenapa beliau perlu takut kalau beliau berani mengkritik kerajaan ataupun Pakatan Rakyat, beliau juga perlu berani menjawab tohmahan tersebut," jelasnya lagi.

Pak Lah yang tampil di dalam buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia telah menimbulkan kontroversi sehinggakan terdapat pelbagai pihak tidak senang dengan sikap beliau terutama dalam soal mengaitkan Tun M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan