Ahad, 25 Ogos 2013

MALANGLAH JIKA ORANG ISLAM TAK SOKONG PERJUANGAN ISLAM

Tak betul dakwaan PAS hanya fokus undi Cina

Hazayani Zakaria | Foto: Nasir Sudin, 25 Ogs 2013


AMPANG: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat hanya memfokuskan undi Cina pada Pilihan Raya Umum (PRU13) 5 Mei lalu.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat khususnya PAS tidak menyisihkan mana-mana bangsa untuk memastikan kemenangan mereka.

"Adalah tak betul kalau katakan kita terlalu fokus undi Cina walaupun keputusan menunjukkan begitu," kata beliau dalam Majlis Makan Malam dan  Syarahan Datuk Fadzil Nor di Hotel De Palma, dekat sini malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, semua parti dalam Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk tidak dilihat sebagai parti yang ekstrim kaum.

"DAP juga sebenarnya secara jujur saya melihat  tokoh muda mereka mencuba bersungguh-sungguh untuk tidak dilihat fanatik Cina.

"Kita cuba lunakkan pandangan bahawa PAS parti yang ekstrim dan sebenarnya dari dekad ke dekad semua pihak bersungguh-sungguh membuktikan PAS parti yang wujud dalam persada politik Malaysia yang ada dengan berwajah Malaysia dan dasar Islam yang tak pernah luntur daripada perjuangan kita," katanya yang turut bertanding di Parlimen Kulai dan Dun Nusa Jaya pada PRU13.

Tambah beliau, dengan tempoh masa hanya lima tahun sudah tentu belum cukup untuk parti-parti dalam Pakatan Rakyat menangkis tanggapan negatif dari pelbagai pihak namun mereka menunjukkan komitmen yang serius untuk memenangi hati rakyat.

"Saya percaya dengan umur kami (Pakatan) yang baru 5 tahun dan Umno sudah 50 tahun, sudah tentu belum cukup masa  tapi harus dilihat ada beberapa perubahan, kesungguhan, komitmen dan iltizam politik yang tinggi untuk kami duduk bersama," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai tolenransi agama, beliau berkata PAS sentiasa mengambil pendekatan menghormati agama-agama lain dengan menyelesaikan sesuatu isu secara berhemah.

"Isu kalimah Allah umpamanya. Bila pimpinan ulama kita keluarkan kenyataan yang tegas, kita selesaikan isu itu.

"Penggunaan rumah ibadat agama lain misalnya, kemungkinan ada konspirasi mewujudkan isu ini. Sebab bagi mereka yang komited dengan agama masing-masing untuk menggunakan rumah ibadah orang lain adalah peliklah rasanya.

"Kalau pengganut Buddha yang komited takkan nak guna surau untuk beribadat. Jadi mungkin ada perancangan untuk mewujudkan rasa tidak selesa," katanya.

Firaun moden Mesir bakal kecundang, terhangat

Harakahdaily, 25 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: “Tiga petanda besar firaun moden Mesir bakal kecundang” merupakan artikel yang paling diminati pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-34 tahun ini.
Di tangga kedua ialah artikel bertajuk “Hosni Mubarak dibebaskan, ujian besar untuk rakyat Mesir” dan diikuti “Mesir: Dr Asri belasah ulama muda Umno”.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 18 hingga 24 Ogos.


1        Tiga petanda besar firaun moden Mesir bakal kecundang

2        Hosni Mubarak dibebaskan, ujian besar untuk rakyat Mesir

3        Mesir: Dr Asri belasah ulama muda Umno

4        Kapten pasukan Kelantan pamer simbol #R4BIA

5        Al-Sisi pakai baju orang awam

6        Berita cemas buat warga pekerja...

7        Tawaran Najib kepada Anwar terdedah, terhangat

8        Mesir: Gambar paling sedih ke atas syuhada

9        Kenapa syaitan jadikan bilik air sebagai rumah

10        Sirul, Azilah bebas tuduhan bunuh Altantuya

Selangor beri Anugerah Integriti kepada TG Nik Aziz

Harakahdaily, 25 Ogs 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberikan Anugerah Integriti kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anugerah khas itu disampaikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada anak Mursidul Am PAS itu, Nik Omar yang mewakilinya sempena sambutan Hari Belia Selangor bertemakan Tolak Rasuah Anak Muda Merdeka di Dataran Kemerdekaaan, Shah Alam, malam tadi.

Menurut Abdul Khalid, anugerah tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap pentadbirannya Tuan Guru yang bersih dari rasuah selama lebih 23 tahun mentadbir negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu.

Tuan Guru tidak dapat hadir ke majlis itu malam tadi, berikutan kesihatannya tidak mengizinkan dan baru keluar hospital.

Bagaimanapun beliau menyampaikan rasa kesyukurannya melalui anaknya terhadap penganugerahan itu.

“Bapa saya menyatakan kesyukuran atas anugerah ini dan teruja dengan kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor,” kata Nik Omar dipetik Selangorku.

Beliau berkata, bapanya bertekad menolak amalan rasuah dalam tempoh 23 tahun menerajui Kelantan dengan membuktikannya melalui tingkah laku dan cara pentadbiran.

“Cara kehidupan yang sederhana, kewarakannya, sifat zuhudnya. Setiap pagi ketika di pejabat bersolat sunat memohon kepada Allah supaya segala apa dilakukan mengikut jalan yang benar serta menjadi contoh kepada pihak lain.

“Biarpun ada kalanya menerima tohmahan daripada musuh politik namun dia tetap yakin dengan apa yang dilaksanakan hingga beroleh kejayaan,” katanya.

Mesir: Doktrin Islam-Politik dicabar

Dr Mujahid Yusof Rawa, 25 Ogs 2013

Pertembungan doktrin

Kedudukan Mesir sebagai hub intelektual dunia Islam telah menyaksikan kelahiran berbagai aliran Islam yang berupaya menguasai kelompok yang  bersaing atas nama Islam. Mendasari perkembangan di Mesir adalah pertembungan doktrin Sekular-Liberal dan Islam.

Salafiyah vs Islahiyah

Jika kita melusuri perjuangan pemikiran Islam pasca Khilafah, kelompok Islam membentuk dua aliran antara Salafiyah yang rigid interpretasi teksnya dan Islahiyah yang agak kontemporari fahaman teksnya mengikuti perkembangan semasa. Muncul dalam kelompok Islahiyah ini individi-individu di kalangan ulamak yang mempelopori pemikiran Islam terkini dengan suntikan makna pada zaman yang dilaluinya.

Tokoh seperti Mohd Abduh, Rasyid Redha dan sebelumnya Jamaludin Al Afghani menjadi mercu tanda pemikiran pada persimpangan umat Islam mencari identiti politik yang hilang dengan proses kejatuhan Khilafah sehingga tahun 1924.

Namun kemunculan seorang tokoh yang bernama Hassan Al Banna bukan sahaja meninggalkan bekas perbahasan intelektual tetapi yang lebih penting telah membentuk satu pergerakan yang mempunyai organisasi paling tersusun yang menguasai pemikiran massa di atas nama Ikhwan Al Muslimun atau Muslim Brotherhood.

Salafiyah

Golongan salafi yang fahaman teks Al Quran dan Hadisnya yang agak kaku tidak banyak melahirkan tokoh-tokoh besar kerana kemunculan mereka adalah merupakan status-quo kepada mainstream yang ada semasa kejatuhan Khilafah tetapi ia telah melahirkan kelompok yang anti kemodenan dan Barat lalu menjadi benih awal kepada kemunculan ekstrimism dan militan dalam perjuangan mereka.

Kelompok Gamaah Islamiyah, Hijrah Wa Takfir dan terkini Al Qaeda adalah sebenarnya manifestasi kebencian kepada Barat dan disokong dengan interpretasi totok kepada teks-teks Al Quran dan Hadis yang ada.

Liberal-Sekular

Kelompok ini mahukan Islam dalam bentuknya yang bebas dari hambatan institusi kawalan moral lantas meletakkan hak individu untuk memilih gaya dan cara hidupnya mengikut pilihannya dan tidak mahu dipaksa dan dipantau oleh polis moral.

Mereka melihat aspek syariah sebagai diskriminasi terhadap kaum wanita. Mereka mahukan interpretasi Islam yang bebas dan menganggap politik dan Islam tidak boleh bersatu. Mereka tidak menolak agama, tetapi menolak parti Islam dan negara Islam yang mereka dakwa teokratik.

Mengisi revolusi rakyat

Kekosongan period transisi regim kuku besi kepada suara rakyat menyaksikan konfrontasi Sekular-Liberal dan Islam tidak dapat dielakkan. Perkembangan rampasan kuasa tentera disokong oleh kelompok Sekular-Liberal kerana menganggap pengaruh Ikhwan melalui kemenangan Morsi akan membawa negara Mesir kepada pemerintahan agama lalu menafikan hak demokratik rakyat menentukan halatuju negara.

Golongan Sekular-Liberal mewajarkan sokongan mereka terhadap rampasan tentera tempoh hari dengan membawa doktrin anti-political-Islam. Walaupun perbahasan ini jauh dari capaian rakyat awam yang rata-ratanya kais pagi makan pagi di Mesir,  namun doktrin ini cuba dipaksakan kepada rakyat Mesir bahawa Morsi mewakili Islam-Politik yang akan menghuru-harakan Mesir dan membawa Mesir ke belakang.

Biarlah ini satu dakwaan kosong sebenarnya dan Tentera yang mencipta suasana huru-hara di Mesir namun implikasi doktrin anti-Islam Politik adalah mesej yang kuat kepada seluruh dunia Islam bahawa mereka harus menentang Islam-Politik dan ini bermakna menentang parti Islam dan cita-cita politik Islam walaupun tak semestinya mereka menantang Islam sebagai agama ritual dan spiritual.

Pemikiran political-Islam

Tesis ini dikemukakan pada awal 90-an oleh Oliver Roy dalam bukunya ‘”The Failure of Political Islam” di mana istilah Political-Islam itu dikaitkan dengan kemenangan kelompok Islam melalui politik yang melahirkan neo-fundamentalism. Politik yang diceburi oleh kelompok ini lebih banyak melahirkan sikap anti-Baratnya melalui kebimbangan mereka terhadap aspek moral dan keruntuhan akhlaq dan gagal membawa program ekonomi sosial dan politik yang mampu mengubah keadaan.

Oliver Roy amat berhati-hati untuk tidak melonggokkan kesalahan itu kepada Islam kerana di kalangan Islamist ada yang menggarap persoalan politik melalui adaptasi kepada perkembangan di Barat dan berpandukan kepada panduan Islam yang sebenar. Menarik dalam hujah Oliver ialah beliau menganggap kelompok neo-fundamentalism adalah anti-tradisi ilmu malah cuba menentukan peranan ilmu mengikut selera mereka melalui kuasa politik yang ada kepada mereka.

Rumusan Oliver ialah kemunculan Islam-Politik adalah gambaran kepada anti Barat dan kemodenan tanpa satu program sosio-ekonomi dan rakyat yang dikuasainya akan memberontak kerana mereka tidak dapat menikmati hasil kemodenan dan pembangunan maka negara akan huru-hara. Akhirnya lahirlah pemikiran ‘kegagalan Islam-Politik’ (the failure of political Islam) sebagai tema yang diangkat.

Mencabar tesis ini

Di kalangan intelektual Sekular-Liberal, ide ini sudah mula didengungkan bagi mewajarkan rampasan kuasa ke atas Morsi. Persoalannya ialah, adakah Morsi mewakili konsep Islam-Politik yang dikemukakan oleh Oliver Roy?

Adakah pemikiran rasmi Ikhwan mendasari neo-fundamentalism?

Adakah pengalaman Algeria, Sudan dan Afghanistan sama dengan proses demokrasi yang dilalui oleh rakyat Mesir?

Adakah kewajaran rampasan tentera kerana Mesir di kancah perang saudara dengan kemenangan Morsi?

Jawapan kepada persoalan yang banyak ini akan membawa kita untuk mencabar teori Oliver Roy yang diaplikasikan oleh golongan Sekular-Liberal dalam meyakinkan orang ramai bahawa menjatuhkan Morsi adalah menyelamatkan Mesir dari Islam-Politik.

Implikasi

Semua kelompok Islam yang bergerak di medan siyasah (politik) harus mengambil serius apa yang saya lontarkan dalam artikel ini kerana pertembungan doktrin merentasi batas geografi dan masa. Selagi Islamist di medan politik tidak membuktikan Islam adalah merentasi sekadar kuasa dan tidak menjurus kepada konsep ketamadunan yang lebih luas skopnya selagi itu tanggapan teori ‘kegagalan’ ini akan menghantui semua pihak.

Islam yang diusung dan diperjuangkan mesti memberi makna kepada keadilan sosial, erti kemanusiaan, erti kebebasan bersuara, keamanan hubungan antara agama dan erti kerajaan yang adil. Kemenangan parti Islam di medan politik bukan kemenangan anti-Barat tetapi ia kemenangan Keamanan Manusia Sejagat dan pastinya kemenangan Islamist perlu menghormati lunas-lunas demokrasi dalam melihat julat kepelbagaian yang ada.

Penegasan kepada suntikan makna Islam yang lebih luas cakupannya dan capaiannya akan menjadikan teori Oliver Roy dan pengusungnya dicabar untuk kita membentuk tesis baru iaitu “The Success of Political Islam”.

Pertembungan berterusan

Morsi telah diharamkan haknya untuk membuktikan teori sukses ini oleh Tentera yang disokong oleh golongan Sekular-Liberal. Saya meyakini bahawa pemikiran Morsi yang  didasari oleh Rahmatan Lil Alamin sesekali bukan neo-fundamentalism. Ikhwan pula terkenal dengan sikap keterbukaan mereka kepada pertembunagn Islam dan Barat.

Para ulamak dan ilmuan Ikhwan senantiasa mencari-cari titik pertemuan pembinaan tamadun dengan berdialog dan bertukar pandangan. Ikhwan juga tegas dalam soal menuntut hak dan menentang penindasan. Apa yang berlaku di dataran Nahda di Rabiah Adawiyah adalah suara menuntut Hak.

Tiada yang berani mengatakan tindakan rampas kuasa adalah wajar kecuali golongan Sekular-Liberal yang totok anti Islam-Politiknya. Mereka mendapati tentera akan memenuhi kehendak mereka kerana mereka tidak ada asas sokongan rakyat di akar umbi.

Dengan pembebasan Mubarak dari penjara dan dikenakan tahanan di rumah dan Morsi serta pimpinan Ikhwan dipenjarakan, kita hanya mampu bertanya apakah prinsip awalan ini yang hendak diasaskan dalam mengisi Revolusi Rakyat 2011 yang dahagakan kebebasan dan demokrasi?

Apakah ini kes awalan yang hendak diasaskan oleh golongan Sekular-Liberal bahawa demokrasi hanya untuk mereka dan bukan untuk gologan Islam?

Wajar bagi Islamist di medan siyasah mencabar semua prinsip ini dengan kekuatan hujah dan intelektual yang ampuh. - http://drmujahid.com

Rumah Terbuka Aidilfitri PAS meriah

Salmiyah Harun, 25 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Lebih 20 menu istimewa disediakan buat pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri PAS bertempat di Kelab sultan sulaiman hari ini.

Menu utama yang tidak pernah dilupakan setiap kali rumah terbuka diadakan adalah satay dan lemang.

Juadah  tradisional pula turut menjadi pilihan utama pengunjung termasuk tapai pulut yang dibungkus dengan daun pisang.

Menu yang lain termasuk nasi dagang, cendol, mee goreng, dan beraneka kuih raya yang lain.

Kelihatan ramai tetamu yang berpusu-pusu menghala masuk ke padang kelab ini walaupun hujan sedang mencurah-curah ketika ini.

Kanak- kanak pula kelihatan ceria apabila pimpinan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri menyampaikan duit raya kepada mereka.

Rumah terbuka ini juga turun menghidangkan hiburan dikir barat oleh Kumpulan Dikir Seri Bulan yang cukup menghiburkan dengan lagu versi Hindustan.

Menurut pihak penganjur, makanan yang disediakan dalam jamuan Aidilfitri kali ini adalah untuk kapasiti 20,000 orang.

[Lanjut menyusul]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan