Isnin, 26 Ogos 2013

DIDUNIA PUASLAH...BAGAIMANA AKHIRAT...ALLAH SAJA YANG TAHU

4 bulan berlalu, tapi belum ada pendakwaan

Muhammad Faizal, 26 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pihak polis perlu membuat penjelasan segera berhubung perkembangan siasatan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim yang sehingga kini seperti tidak ada sebarang perkembangan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, pembunuhan melibatkan pegawai tingga Kastam itu sepatutnya ia menjadi keutamaan kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

"Pembunuhan pegawai tertinggi kerajaan itu merupakan satu kes berprofil tinggi, namun amat mengecewakan sehingga sekarang kita tidak mengetahui apa perkembangannya walaupun sudah empat bulan berlalu.

"Saya minta pihak polis memberi penjelasan yang sewajarnya berhubung kes tersebut dan kita tidak mahu kes tersebut ditutup begitu sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian susulan anak kepada Allahyarham, Mohd Akhtar Saharuddin yang terpaksa meluahkan kekecewaan kepada pihak media kerana layanan dingin yang diberikan oleh pihak polis terhadap kes bapanya.

"Sudah wajar anaknya pergi meluahkan kekecewaan dan tidak puashati kepada media kerana kes tersebut sehingga sekerang tidak ada sesiapa pun yang ditangkap apatah lagi didakwa," kata Khalid.

Menurut beliau lagi, pihak keselamatan perlu mempamer kecekapan menangani kes berprofil tinggi seperti itu supaya penjenayah sebenar dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Pihak polis perlu tegas dalam kes tersebut dan jika apa yang didedahkan oleh anaknya melibatkan orang dari jabatan itu sendiri ia perlu disiasat segera.

"Kita tidak mahu penjenayah ini terus berkuasa kerana ia dilindungi oleh mereka yang mempunyai kuasa, sehinggakan apa yang dilakukan oleh penjenayah akan dibiarkan begitu saja," kata beliau.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di Putrajaya pada 26 April lalu.

Sayang negara terbit dari dalam diri bukan tempelan

Harakahdaily, 26 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Secara psikologinya rakyat tidak berminat untuk menyertai apa-apa kempen, apatah lagi kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Menurut Aspan Alias, mereka tidak mahu dikelirukan dengan kempen yang kerajaan lakukan kerana mereka tidak mahu dijadikan alat serta perkakas politik pihak yang tidak jujur.

Baginya, mereka tahu yang kempen yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu telah tertempel unsur politik selain dari menebalkan rasa kasih dan sayang kepada negara.

“Sesungguhnya kejayaan kempen ini bergantung kepada pihak mana yang menganjurkannya.

“Jika ia masih dilakukan oleh kerajaan tunjangan UMNO, ia tetap sarat dengan unsur politik dan tidak ada kena mengena dengan sayangkan negara,” tulis beliau di dalam blognya.

Baca di sini

Sekolah halang murid guna komputer sumbangan PR

Harakahdaily, 26 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pentadbiran sebuah sekolah di Shah Alam dikatakan menghalang muridnya menggunakan komputer sumbangan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berikutan perbezaan fahaman politik.

Hal itu didedahkan seorang Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), R Panner Selvam kepada TV Selangor selepas dimaklumkan guru besar sekolah berkenaan.

“Tindakan tidak masuk akal itu merugikan murid kerana kita ada makmal komputer yang lengkap tetapi tidak digunakan hanya disebabkan alasan politik,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata, larangan itu bermula kira-kira lapan bulan lalu sejak pelantikan muka baru PIBG atas alasan makmal itu didakwa beroperasi haram.

Katanya, pentadbiran sekolah itu dikatakan mengenakan yuran RM70 setahun terhadap murid bagi menampung kos penyelenggaraan makmal komputer itu.

“Yuran dikutip dari Januari atau Februari tetapi kelas tak jalan,” katanya yang turut mendakwa kelas komputer itu tidak mengikut jadual.

Timbalan YDP PIBG, Selvarajah Palaniappan, pula berkata PIBG sudah membawa bantahan kepada pentadbiran sekolah.

Mengulas isu itu, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Melawati, S Manikavasagam, berkata kerajaan Selangor pada 2010 berbelanja RM85,000 untuk membeli 45 komputer bagi pembelajaran murid SJKT Ladang Rasak, Subang .

“Ini tidak patut berlaku sebab tidak kiralah siapa yang beri komputer, sekolah harus manfaatkan untuk masyarakat kita,” kata Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR itu.

Jenayah: Mampat bimbang M’sia jadi ‘bandar koboi’

Khairul Azlam Mohamad, 26 Ogs 2013
KUALA TERENGGANU: Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail melahirkan kebimbangan dengan penularan jenayah senjata api di negara ini.

Katanya, jika jenayah melibatkan penggunaan senjata api tidak dibendung Malaysia akan menjadi seperti “cowboy town” (bandar koboi).

Menurutnya, kes jenayah bunuh bersenjata api semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal memerlukan perhatian serius pihak polis.

“Tapi sedihlah, dulu kita tidak pernah dengar perkara-perkara ini berlaku dan kita orang Islam jauh dari berlaku perkara-perkara yang macam ini.

“Sebelum ini, tidak berlaku banyak sangat kes tembak senjata api. Ini setiap hari berlaku dan tidak terkawal. Dulu berlaku di Kuala Lumpur sahaja, sekarang boleh berlaku di mana-mana sahaja dan ini patut dibendunglah.

“Malaysia ini sekarang sudah jadi ‘cowboy town’ bila I tak suka U, upah orang tembak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tengku Ibrahim juga mahukan agar sempadan Malaysia-Thailand dikawal sebaik mungkin supaya kemasukan senjata api dapat dibendung.

Bahkan, kata beliau, apa yang lebih membimbangkan bukan sahaja berlaku penyeludupan senjata api tetapi terdapat urusniaga menyewanya.

Gaji: Kakitangan Insaniah serah memo kepada Mukhriz

Bashir Ishak, 26 Ogs 2013

Mudzafar (enam dari kanan) bersama rakan-rakan sebelum menyerahkan memorandum kepada Mukhriz.

ALOR SETAR: Bagi menyelesaikan kemelut membabitkan kakitangan Insaniah Holdings Sdn Bhd (Insaniah Holdings), sebuah anak syarikat Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Badan Bertindak Staf Insaniah Holding menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Memorandum tersebut diserahkan di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman di sini selepas selesai sesi pagi Sidang Dewan Udangan Negeri  hari ini.

Selepas menunggu kebenaran untuk bertemu Mukhriz, akhirnya 10 orang wakil badan terbabit dapat berbuat demikian dalam pertemuan ringkas selama kira-kira 15 minit.

Menurut setiausaha badan tersebut, Mudzafar Aliyasak, memorandum yang diserahkan itu meminta pertimbangan Mukhriz untuk melihat isu pembayaran gaji kakitangan Insaniah Holdings yang tertunggak sejak Mei lalu.

Selain itu, mereka juga merayu supaya Mukhriz melihat isu membabitkan para pensyarah yang dilantik di bawah Insaniah Holdings di mana pihak Kuin tidak menyatakan secara rasmi status mereka yang tidak diberikan jadual waktu serta diarahkan mengosongkan pejabat.

"Begitu juga, pihak Kuin juga sehingga kini masih belum memberikan jaminan dan kata putus ke atas kesinambungan kewujudan Insaniah Holdings yang menyebabkan terganggunya operasi syarikat sehingga gagal menguruskan perjalanan kuliah-kuliah yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mudzafar berkata Mukhriz telah menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.

"Beliau meminta pihak kami bersabar sehingga pelantikan Rektor baru Kuin pada awal September nanti. Beliau juga berjanji melihat isu ini dari sudut perundangan.

"Walaupun kami lihat Mukhriz masih bercelaru dalam isu ini, namun kami berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera terutamanya pembayaran gaji dan status kami sebagai staf," katanya lagi.

Insaniah Holdings ditubuhkan pada tahun 2009 dan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk penyenggaraan bangunan dan pembangunan infrastruktur; menguruskan kuliah-kuliah akademik di bawah anak syarikat, menguruskan pendidikan menengah dan lain-lain lagi.

Sehingga kini Insaniah Holdings mempunyai lebih 200 orang kakitangan.

Dahulu pemimpin PR, sekarang ahli biasa Umno

M Faqih, 26 Ogs 2013
KOTA BHARU: “Bukan tidak sayangkan PKR atau PAS, namun tidak senang hati dengan pemimpin tertentu. Saya lihat suara Melayu dalam parti semakin kurang,” kata seorang bekas pemimpin PKR Kelantan.

Beliau sudah lama meninggalkan PKR, kini meneruskan perniagaan sendiri di Kuala Lumpur.

Namun katanya hubungan peribadi dengan pemimpin PAS dan PKR Kelantan masih seperti dahulu.

Hujahnya lagi semua parti ada kelemahan masing-masing. Kalau dalam Umno semua orang tahu, semua berlumba-luma mendapat kontrak dan projek.

Oleh itu beliau berharap suasana seperti itu tidak wujud dalam PAS. Biar pun begitu bisiknya tidak dinafikan ada orang menggunakan nama parti bagi mengambil kesempatan bisnes.

“Teguran saya sebelum ini sama ada melalui kenyataan media atau ucapan hanya fokuskan kelemahan yang terkesan dalam sesuatu projek di Kelantan.

“Saya hanya bercakap kalau ada maklumat,” ujarnya ketika ditemui di sini. Ketika bersama PKR, beliau pernah dilantik menganggotai anggota lembaga pengarah agensi kerajaan negeri.

Beliau seperti memperlihatkan leluhurnya, mahu agensi kerajaan negeri diurus berkesan berkesan, tanpa berkompromi dengan segelintir pihak yang cuba mengambil peluang.

Luahnya, kalau ada masalah dengan pelabur, jangan sampai kita mengepikan peraturan sehingga memberi peluang mereka bertindak di luar perjanjian.

Maksudnya kata beliau yang kini ahli Umno, jangan biarkan pelabur membangunkan tanah yang dilulus sehingga di luar garis sempadan.

“Saya masih mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kerajaan negeri sekarang, biar pun kadang-kadang ada saya buat kenyataan menegur perkara tertentu,” ujarnya lagi.

Ditanya apa tawaran Umno kepadanya, jawapannya ringkas, tiada apa-apa.

Tanpa menyembunyikan rahsia peribadi, beliau sekarang bergerak sebagai ahli biasa Umno. Namun tegasnya, kalau Umno tidak betul beliau tanpa segan silu sedia menghentam dari dalam.

Beliau mahu bergerak atas prinsip sendiri. Bersuara atas kapasiti NGO. Pernah beliau menemui bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di Arab Saudi.

Tidak lama selepas itu dilihatnya bekas anggota parlimen Bachok itu keluar televisyen bersama Datuk Seri Najib Razak di Arab Saudi.

“Kalau dahulu idea kerajaan perpaduan saya marah, namun sekarang saya melihat seperti ada keperluan,” hujahnya.

Akhirnya terlihat beliau sekarang menjadi pendokong ortodok perjuangan Melayu. Beliau tinggalkan PKR kerana tidak yakin multiracial party.

Kalau dahulu ke sana ke mari sebagai pemimpin, sekarang sekadar pengikut. Ahli biasa dan cari makan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan