Selasa, 18 Jun 2013

YANG TENTU KITA MASUK KUBUR@ALAM BARAZAH....INGATLAH MATI AGAR KITA JADI BAIK

Sidang kecoh, Dun tolak usul Pasar Payang

Hazayani Zakaria | Foto: Khairul Azlam, 18 Jun 2013

Syed Azman pada sidang media selepas usul mengenai Pasar Payang baru ditolak.

KUALA TERENGGANU: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu menolak usul khas berhubung projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang baru yang dikemukakan Adun PAS hari ini.

Mohd Zubir Embong menolak usul yang dikemukakan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) atas alasan usul itu tidak perlu disegerakan.

Syed Azman sewaktu mengemukakan usul di bawah peraturan mesyuarat fasal 30 itu berkata, perobohan Pasar Besar Kedai Payang yang berusia 80 tahun bagi memberi laluan kepada projek mega dibina atas tapak pasar yang sedia ada akan memberi implikasi yang amat besar kepada sejarah dan pembagunan negeri Terengganu.

"Kontrak bernilai RM400 juta ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat 'taikun-taikun Cina' yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Yang lebih penting majoriti warga Terengganu membantah keras rancangan projek mega ini. Lebih-lebih lagi Terengganu berhadapan dengan banyak projek nazak yang terbengkalai seperti keruntuhan yang berlaku di Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta," katanya.

Tambah beliau, sejak akhir-akhir ini, banyak warisan Terengganu dirobohkan atas nama pembangunan.

"Di sekitar Kuala Terengganu sahaja telah menyaksikan perobohan Istana Kolam, Pasar Kedai Binjai, Pasar Tanjung, Menara Jam Besar dan yang terbaru  ialah Kampung Ladang yang terkenal dengan pusat industri tembaga dan batik yang terus hilang dari peta sejarah," katanya.

Sewaktu usul tersebut mula dibacakan, dewan menjadi kecoh kerana Zubir enggan membenarkan usul tersebut terus dibacakan.

Namun Syed Azman terus membaca usul sehingga habis kerana berpendirian notis berhubung usul tersebut sudah dalam makluman Speaker.

Zubir beberapa kali mengarahkan Syed Azman duduk namun tidak dihiraukan.

Suasana tersebut mengundang Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang juga ketua pembangkang bangun menegur tindakan Speaker.

Bercakap pada sidang media di luar dewan, Syed Azman menyatakan rasa kesal dengan sikap Zubir yang dilihat mengenepikan peraturan mesyuarat.

"Dewan dilihat seperti mengenepikan peraturan mesyuarat yang diamalkan di mana-mana persidangan di mana-mana negara pun.

"Sidang hari ini menunjukkan permulaan yang tempang apabila Yang Di-Pertua sendiri gagal mematuhi peraturan mesyuarat.

"Sepatutnya beliau harus membenarkan saya membaca usul saya sehingga habis walaupun panjang kerana ini termasuk dalam peraturan mesyuarat," tegasnya.

Speaker perlu buat kerja rumah

Sementara itu pada sidang media yang sama Abdul Wahid berkata, Zubir sebagai Speaker yang baru harus belajar daripada Speaker terdahulu.

"Kita faham beliau orang baru dan belum biasa tapi beliau harus baca buku peraturan mesyuarat dan bertanya dengan orang lama kalau tida faham.

"Menyekat Adun bersuara tidak seharusnya berlau. Saya harap Speaker dapat teliti semula buku pertauran mesyuarat dan hal seperti hari ini tidak berulang lagi," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, isu itu penting untuk dibincangkan dalam sidang Dun kerana membabitkan kepentingan rakyat.

"Semalam Tuanku Sultan Mizan bertitah mennyentuh mengenai projek-projek yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Pembinaan Pasar Payang baru ini adalah satu contoh projek yangmembazir dan mengenepikan penduduk dalam negeri sendiri," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pasar Payang.

Usul Pasar Payang dijangka gegarkan Dun Terengganu

Hazayani Zakaria, 18 Jun 2013


(Pasar Besar Kedai Payang antara warisan sejarah yang cuba dipertahankan oleh pelbagai pihak)


KUALA TERENGGANU: Usul mengenai perobohan Pasar Payang dijangka bakal menggegar sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu sehari dua ini.

Ini kerana, isu inilah yang paling hangat di bincangkan sebelum dan selepas pilihan raya umum ke 13 lalu.

Dengan Pakatan Rakyat mempunyai 15 Adun (14 PAS dan 1 PKR) berdepan dengan 17 wakil BN, suasana sidang dijangka hangat.

Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) (gambar) dijangka mengemukakan usul khas berkaitan pembinaan Pasar Payang yang baru yang mendapat bantahan daripada penduduk khususnya peniaga Pasar Payang.

Sebanyak 155 soalan iaitu 72 soalan bertulis dan 83 soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi dijawab selama dua hari mesyuarat pertama penggal pertama Dun Ke-13.

Yang Di-Pertua Dewan, Mohd Zubir Embong menyatakan perkara itu pada awal persidangan pagi ini.

Adun PAS mengemukakan 21 soalan lisan manakala wakil tunggal Pakatan Rakyat iaitu Azan Ismail dari PKR mengemukakan tiga soalan.

Pada permulaan, Zubir menetapkan tiga soalan tambahan bagi setiap soalan yang dikemukakan namun selepas dua soalan dijawab, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) bangun memberi cadangan agar satu soalan tambahan sahaja dibenarkan memandangkan masa tidak mencukupi.

Cadangan itu dipersetujui Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jerteh) dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN-Kuala Berang).

Wakil-wakil PAS khususnya muka-muka baru kelihatan bersedia untuk memberikan perhatian penuh kepada persidangan.

Saya diminta jernihkan Sungai Pahang - Nasrudin

Harakah, 18 Jun 2013
TEMERLOH: Menjadi wakil rakyat bukan mudah. Namun diminta oleh rakyat agar berbuat sesuatu untuk menjernihkan air Sungai Pahang bukan satu kerja yang mudah dan satu saranan yang memeranjatkan.

Itulah yang dialami oleh anggota Parlimen Temerloh yang baru, Ustaz Nasrudin Hassan di hari-hari awal beliau menjadi wakil rakyat.
Sungai Pahang adalah sungai terpanjang di semenanjung Malaysia dan melalui tengah-tengah bandar Temerloh. Airnya yang keruh menjadi tempat paling di gemari ikan Patin menjadikan Temerloh sangat terkenal dengan ikan Patin.

"Saya didatangi seorang penduduk di parlimen yang saya wakili iaitu Temerloh, meminta supaya saya melakukan sesuatu untuk menjernihkan air sungai Pahang.

"Ini satu contoh hendak menggambarkan bagaimana, pelbagai aduan, pelbagai rupa, harapan rakyat yang sebegitu," cerita Nasrudin kepada wartawan Harakah.


Baca wawancara sepenuhnya dengan beliau dalam Harakah edisi Jumaat ini.

PAS UK Eire bertemu Interpal bincang bantu umat Islam

Harakahdaily, 18 Jun 2013


(Ustaz Anuar Md Ali dan Ir Jupri Bade bertemu Sheikh Majdi Aqil [tengah] baru-baru ini)


MANCHESTER: PAS Representative Council (PRC) UK Eire telah mengadakan lawatan muhibbah ke pejabat Interpal Manchester pada 11 Jun lalu bagi membincangkan nasib umat Islam di seluruh dunia.

Lawatan ini telah disertai oleh Pengerusi PRC UK Eire, Saudara Ir Jupri Bade bersama-sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Anuar Md Ali, manakala pihak Interpal pula telah diwakili oleh Sheikh Majdi Aqil selaku Pengerusi Interpal Bahagian Utara.

Pertemuan ini adalah bertujuan untuk membincangkan isu umat Islam di Timur Tengah terutamanya wilayah Gaza, dan juga isu yang melanda umat Islam di Asia Selatan serta wilayah Mindanau.

Interpal  merupakan satu badan “non-partisan” yang ditubuhkan pada tahun 1994 dan berpusat di United Kingdom (UK), bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh umat Islam di Palestin.

Pertubuhan ini bekerja bersama-sama  rakan kongsi mereka di Lubnan dan Jordan dalam usaha membantu umat Islam di Palestin.

Interpal mengfokuskan usaha mereka kepada empat bahagian kritikal, iaitu makanan, perubatan, pendidikan dan pusat pemulihan untuk umat Islam yang cedera dan cacat anggota badan.

Peluang lawatan ini telah digunakan sepenuhnya oleh delegasi PRC untuk bertukar-tukar pandangan berkenaan isu tersebut dengan Sheikh Majdi Aqil yang sememangnya terlibat secara langsung dalam membantu umat Islam di wilayah-wilayah yang berkenaan.

Antara isu yang dibincangkan adalah isu kezaliman rejim Zionis terhadap umat Islam di semenanjung Gaza dan isu penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di Palestin secara amnya.

Dalam pertemuan yang sama, Sheikh Majdi Aqil juga turut memuji usaha PAS yang begitu aktif dalam membantu rakyat Palestin sama ada dalam bentuk kebajikan atau pun politik.

Hal ini merupakan satu pengiktirafan kepada PAS yang turut aktif dalam membantu umat Islam di peringkat antarabangsa.

Dalam pertemuan tersebut, Ir Jupri Bade menyatakan bahawa pihak PRC sentiasa menyokong usaha Interpal dalam membantu umat Islam di Palestin dan PRC sendiri merancang untuk  mewujudkan tabung derma Palestin dalam program-program PRC yang akan datang.

Di samping itu, Ustaz Anuar Md Ali juga turut mengambil peluang ini untuk menyatakan pendirian PAS yang sentiasa menyokong perjuangan umat Islam di Palestin dan PAS mengecam keras keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadapa umat Islam di wilayah tersebut.

Usah biarkan Black 505 berkubur!

Ahmad Lutfi Othman, 18 Jun 2013
Perlukah saya tukar topik lain, daripada terus membincangkan isu ketempangan sistem dan perjalanan pilihan raya di negara ini yang telah berulangkali dibangkitkan? Mungkin ada pihak menganggapnya sudah sejuk, malah basi, dan banyak lagi perbahasan penting yang perlu ditekankan, termasuk menggariskan persiapan berdepan PRU14.

Ingin saya betulkan kemungkinan salah tanggapan. Saya mahu terus melontarkan isu asas mengenai amalan demokrasi di negara ini bukan didorong oleh kekalahan Pakatan Rakyat dalam PRU13. Semasa kes ini, khususnya berkaitan Black 505,  masih hangat diperkatakan (walaupun ada yang melihatnya sudah suam-suam kuku), ibarat seterika yang masih panas, usah dipesongkan perhatian masyarakat, terhadap isu-isu sampingan lain.

Tekanan agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan - tidak terkecuali lima lagi anggotanya - harus terus ditingkatkan ke tahap maksimum. Kempen "menghitamkan seluruh negara' sudah terasa bahangnya. Ketujuh-tujuh mereka sudah tidak lagi mendapat kepercayaan awam.

Dalih yang dikemukakan Abdul Aziz Mohd Yusof dan Wan Ahmad Wan Omar ibarat menegakkan benang basah itu mesti disanggah dengan fakta dan bukti kukuh yang meyakinkan publik. Tidak syak lagi, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 jelas membuktikan SPR adalah alat dan perkakas paling efektif untuk menjayakan kepentingan politik Umno-BN. Begitu juga pandangan lazim dua orang kuat SPR itu, yang jarang memperlakukan parti-parti Pakatan Rakyat sebagai pelanggan mereka yang patut diraikan.

Saya menyokong penuh pandangan sarjana politik, Dr Agus Yusof, yang menafikan dakwaan Wan Ahmad bahawa SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus PRU13. "Pada saya SPR gagal... Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan perhimpunan 505. Jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan," kata Agus dalam status Facebook, 9 Jun lalu.

Soalnya, apakah suara dan amarah rakyat itu dianggap tidak lebih daripada "anjing menyalah bukit" sahaja? Tidak jauh bedanya dengan siri perhimpunan Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di ibu negara apabila segala desakan dan tuntutan agar pilihan raya dijalankan secara bersih, bebas dan adil langsung tidak dipedulikan.

Oops lupa... sebenarnya saya mahu tekankan bahawa keprihatinan saya terhadap isu "menyediakan padang permainan sama rata dengan pengadil yang adil" - lama sebelum Parlimen dibubarkan - bukan sangat berkaitan kalah menang parti-parti yang bertanding tetapi didorong oleh hasrat yang tinggi untuk melihat Malaysia berada dalam liga negara-negara demokrasi divisyen A.

Sampai bila kita harus menyaksikan amalan demokrasi yang songsang, tempang, berat sebelah dan memalukan ini berterusan? Sebagai pengamal media, malu bukan kepalang dengan realiti kongkongan yang cukup dahsyat; janji akses media seperti pembentangan manifesto melalui tv tambah melucukan. Belum dikira bagaimana rasuah politik dihamburkan bagi membeli undi orang susah. Usah disebut soal ugutan terhadap kakitangan awam dan manipulasi segala kemudahan kerajaan berkempen untuk BN.

Saya risau, seperti desakan lain sebelumnya, kes Black 505 ini akan surut dan akhirnya dilupakan, terutama selepas 22 Jun di Padang Merbok, dan beransur-ansur menipis kehangatannya menjelang Ramadan. Malah, sekatan melampau terhadap pengedaran Harakah pun seperti langsung tidak dipedulikan sejak hari pertama lagi, walaupun hampir semua bersetuju bahawa antara faktor utama kekuatan Umno-BN ialah media, 'kan?

Atas faktor itu, secara peribadi, saya lebih suka ahli-ahli Parlimen Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah, 24 Jun ini. Persetankan ugutan dan gertakan tidak berasas Speaker, Pandikan Amin Mulia dan hebahan media bahawa langkah itu menghina demokrasi, Parlimen, Agong, malah boleh melucutkan keahlian.

Menurut Dr Agus: "Perintah Tetap 5(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat  menyatakan bahawa ahli yang belum mengangkat sumpah boleh menghadirkan diri dalam sidang Dewan dan boleh mengangkat sumpah di bawah Peraturan ini. Setiausaha Dewan Rakyat terikat untuk mengendalikan sumpah kepada mana-mana Ahli Parlimen yang belum lagi mengangkat sumpah."

Bagi saya, ia salah satu langkah praktikal untuk menghidupkan terus isu asas kepincangan demokrasi di Malaysia, dengan membangkitkan kesedaran awam melalui polemik panas!

Maaf, kalau anda sendiri sudah bosan dengan leteran ini....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan