Selasa, 18 Jun 2013

SAPE YANG DIKAMBING HITAMKAN

Pusat refleksologi: Adun PAS sokong cadangan Chang Khim

Salmiyah Harun, 18 Jun 2013

KUALA LUMPUR:
Adun PAS di Selangor menyambut baik sebarang usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor untuk membendung masalah sosial termasuklah memisahkan pusat refleksologi mengikut jantina.

Bagi mereka, ia satu idea yang baik untuk membendung  masalah yang berbangkit dari pusat refleksologi ini.

Exco Selangor yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan, Datuk Teng Chang Khim mencadangkan agar kerajaan mengetatkan undang-undang dengan menetapkan pusat reflexologi ini dipisahkan mengikut jantina.

Ini bermakna, setiap pusat ini akan direkodkan untuk lelaki atau untuk wanita.

Menurut Adun Bangi Mohd Shafie Ngah (gambar kanan) cadangan Chang Khim itu satu usaha yang boleh diterima pada peringkat awal untuk mengurangkan pusat urut yang beroperasi secara haram.

"Usaha ini perkara yang baik, dalam masa yang sama exco baru perlu lebih serius dari segi penguatkuasaan khususnya membuat operasi menutup primis-premis yang haram ini," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Adun Paya Jaras Mohamad Khairuddin Othman bersetuju dengan sebarang usaha yang dilakukan asalkan ianya dapat membendung masalah sosial namun beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan negeri.

Beliau juga percaya peguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan boleh menghalang wujudnya premis haram khususnya yang mengundang kepada aktiviti pelacuran.

"Sebarang usaha yang dibuat oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat negeri ini saya setuju, tapi peguatkuasaan harus dipertingkatkan," kata Khairudin yang merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor (gambar kiri).

Rumah urut yang berselindung di sebalik pusat urut kaki atau refleksologi tumbuh bagaikan cendawan terutama di bandar-bandar besar khasnya Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Namanya saja pusat urut kaki tetapi fokus utama khidmat ini adalah urutan badan dan pelacuran oleh wanita asing dari China, Vietnam, Thailand, Indonesia dan juga Filipina.

Menurut satu kertas kabinet, mereka masuk ke negara ini untuk bekerja di pusat-pusat refleksologi ini di bawah Kementerian Pelancongan kononnya untuk menarik pelancong asing.

Menurut minit mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang diketuai Ng Yen Yen sebagaimana didedahkan oleh blogger King of Goblok, kabinet memang bersetuju dengan kemasukan mereka.

Melalui mesyuarat itu, pekerja asing yang diperlukan oleh industri pelancungan negara bagi sektor Perkhidmatan Pelancongan (Spa, Hotel, Refleksologi dan Kedi) sehingga 2016 adalah dianggarkan seramai 20,000 orang mengikut pecahan berikut:


i) Hotel: 10,000 orang
ii) Spa Refleksologi: 7,500 orang
iii) Golf (Kedi): 2,500 orang

Kementerian Pelancungan Malaysia pula menjadi agensi kawal selia bagi subsektor berkenaan.

Ia diluluskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tampa Izin (JKKPA-PATI) kali ke - 8 pada 9 Ogos 2012.

Di Selangor, antara kawasan yang sangat aktif kegiatan ini adalah Klang, Pucong, Rawang, Kota Damansara dan pelbagai kawasan perbandaran lagi.

Exco kerajaan tempatan Selangor sessi lalu, Ronnie Liu berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen baru untuk pusat refleksologi ini.

Namun begitu, orang ramai melihat ada saja pusat sebegini yang tumbuh dan berselindung di sebalik pusat urut kaki.

Ekoran itu, ia telah menjadi senjata kepada blogger Umno untuk menyerang kerajaan negeri Selangor.

Datuk Teng Chang Khim (gambar) dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini mencadangkan agar dibuat pengasingan jantina khususnya membabitkan premis rumah urut.

Menurut Chang Khim  kerajaan negeri dapat membendung isu itu tanpa menghukum pelanggan sebenar kerana aktiviti mengurut sebahagian daripada cara tradisi Asean untuk penyembuhan.

"Saya ada idea ini... untuk adakan rumah urut (sama jantina) sahaja. (Jika) kamu mohon pusat urut untuk lelaki, seluruh kawasan itu akan dizonkan sebagai zon lelaki.

"Tiada wanita dibenarkan, walaupun tukang cuci," katanya sebagaimana dipetik Malaysiakini.

TPPA: Pakatan Rakyat masih tidak puas hati

Harakahdaily, 18 Jun 2013
Jumaat, 14 Jun 2013 yang lalu, kami telah bertemu dengan wakil-wakil MITI yang diketuai oleh Datuk Rebecca Sta Maria, KSU Kementerian serta salah seorang perunding utama bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Encik J. Jaya Siri.

Mesyuarat ini dilakukan bertetapan dengan waktu, hanya sehari selepas dialog gagal antara MITI dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). Walaupun kami menghargai rundingan yang dianjurkan oleh MITI yang melibatkan pihak yang berkepentingan, terutamanya ahli-ahli Parlimen dan pemimpin Pakatan Rakyat, kami masih tidak berpuas hati bahawa pada hakikatnya TPPA itu tidak tertakluk kepada pengawasan parlimen.

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia terpaksa berhadapan dengan kekangan dalam memastikan hak-hak sosio-ekonomi dan kedaulatan negara dihormati dan dilindungi. Rangka kerja undang-undang TPPA yang menyeluruh itu boleh menyebabkan undang-undang domestik terpaksa akur dengan meletakkan syarikat-syarikat multinasional di atas jika tidak setara dengan kedudukan kerajaan.

Banyak isu-isu telah diusul semasa perbincangan, yang terdiri daripada isu kawalan kerajaan ke atas pasaran kewangan, penyelesaian pertikaian antara pelabur-kerajaan (ISDS), harga farmaseutikal dan perubatan, serta kebimbangan umum terhadap kurangnya ketelusan dan maklumat tentang teks rundingan TPPA. Semasa dialog itu yang berlangsung selama sejam, perkara khusus yang telah dibangkitkan adalah:

1) Analisa Kos-Faedah (CBA) pada TPPA

MITI mengakui kewujudan kertas CBA dibentangkan kepada Kabinet pada tahun 2010, iaitu laporan 2010 United Nations Development Programme (UNDP) yang atas arahan Kerajaan Malaysia. Dalam perkembangan yang sedikit positif, kami telah dijanjikan sesalinan laporan tersebut dalam masa dua minggu tanpa disertakan maklumat rundingan.

2) Kawalan Kewangan dan Kebebasan

MITI memberi jaminan lisan bahawa tiada kerugian atau terhakisnya hak kedaulatan Malaysia untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi dan kawalan modal dengan menandatangani TPPA. Walau bagaimanapun, pendedahan teks rundingan Australia baru-baru ini yang menyentuh kawalan modal, dan kewujudan peruntukan sebegini dalam lain-lain perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah ditandatangani bersama Amerika Syarikat, memaksa kita untuk kekal bersiap sedia demi memastikan hak-hak tersebut tidak hilang.

Selain itu, tiada sebarang maklumat mengenai rangka kerja pengurusan eksploitasi, penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon dan mineral negara masing-masing. Ia sesuatu yang penting untuk meredakan kebimbangan dan tidak membenarkan syarikat asing untuk mendesak hak mengekstrak sumber semula jadi negara kita berdasarkan terma-terma TPPA itu.

3) Kos Kesihatan

Berhubung dengan hak harta intelek untuk farmaseutikal, kami diberitahu oleh MITI dan Kementerian Kesihatan bahawa mereka berusaha untuk mencari keseimbangan antara menggalak inovasi dan memastikan harga ubat-ubatan adalah berpatutan. Kami juga diberitahu bahawa perbincangan masih berterusan dan tiada peruntukan yang berkaitan telah mencapai fasa berasaskan pernyataan.

Isu berganda mengenai data empunya (proprietary data) dan lanjutan tempoh eksklusif adalah amat penting bagi Malaysia - kita tidak boleh kehilangan akses tatkala membincangkan harga berbanding akses.

Malah, masa semakin suntuk memandangkan pusingan dan rundingan TPPA seterusnya akan diadakan pada bulan Julai 2013 dan pernyataan muktamad dijangka berakhir pada Oktober 2013. Walaupun kami sedar bahawa kerahsiaan amat diperlukan dalam semua rundingan perdagangan, namun kami bimbang kurangnya usaha untuk melibatkan orang awam terutamanya berkait prinsip-prinsip asas kedaulatan negara dan kesan sosio-ekonomi TPPA tersebut.

Kami memuji MITI kerana menganjurkan mesyuarat ini dan kerana berjanji memberikan salinan laporan UNDP yang ditapis dalam masa dua minggu lagi. Walau bagaimanapun, kami tetap komited untuk memperjuangkan ketelusan dan penglibatan awam yang lebih tinggi semua aspek TPPA tersebut. Demi kepentingan umum masyarakat, kami akan menggesa agar sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen dwi-partisan mengenai TPPA ditubuhkan dengan segera.

Kami amat prihatin mengenai keperluan untuk berahsia seiring dengan rangka kerja dwi-partisan sebegini, dan akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab kami sebagai penjaga amanah rakyat. Kami juga mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa amanah rakyat adalah tertumpu pada pendedahan yang telus dan bertanggungjawab.

NURUL IZZAH ANWAR, Ahli Parlimen Lembah Pantai
CHARLES SANTIAGO, Ahli Parlimen Klang
DR DZULKEFLY AHMAD, Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS
WONG CHEN, Ahli Parlimen Kelana Jaya
AZRUL AZWAR, Institut Rakyat

Lagi cubaan Umno takutkan Melayu, hina Cina

Roketkini, 18 Jun 2013
KUALA LUMPUR: DAP menafikan tuduhan jahat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan masyarakat Cina negara ini berjaya didoktrinkan dengan ‘perkauman melampau’ oleh parti itu.
Dalam wawancara bersama Sin Chew Daily semalam, Shahidan antara lain mendakwa jika masyarakat Cina negara ini boleh membuang mentaliti ‘perkauman melampau’ seperti yang ditanam DAP,  beliau percaya suatu hari nanti Malaysia akan mempunyai seorang Perdana Menteri berketurunan Cina.

Menjawab tuduhan itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, ini tidak lain hanya satu kempen propaganda jahat Umno untuk menakut-nakutkan rakyat serta memecah-belahkan perpaduan.

“Mereka (pemimpin Umno) terus menakut-nakutkan orang Melayu dengan dongengan akan kehilangan kuasa.

“Sangat jelas ini juga satu perbuatan menghina  masyarakat Cina negara ini. Mereka seolah-olah digambarkan Umno sebagai sekumpulan masyarakat yang gila kuasa dan tamak untuk merebut jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Sebaliknya, menurut Pua, perkara sebenar yang menjadi kekhuatiran pemimpin Umno yang sebenar ialah seluruh rakyat Malaysia yang bersatu menentang amalan rasuah dan kronisme di kalangan elit parti pemerintah itu.

“Sebab itu mereka takut, sangat terdesak dan perlu pecah-belahkan perpaduan rakyat,” kata Pua.

Beliau berkata, Umno harus sedar bahawa orang Cina memberi undi kepada PAS bukan kerana parti itu parti Cina, begitu juga dengan orang Melayu yang mengundi DAP.

Ini termasuk sokongan Pakatan Rakyat untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau juga mempertikaikan mengapa ketika orang Cina kuat bersama MCA mereka tidak dicop perkauman.

“Sekarang, bila orang Melayu semakin ramai memihak kepada Pakatan Rakyat (PR), Tun Mahathir pula menuduh ianya merupakan kejayaan propaganda DAP terhadap golongan terpelajar Melayu,” ujarnya.

“Ini semua karut,” kata Pua yang mengulangi pendirian bahawa DAP merupakan parti pelbagai kaum yang mengamalkan ideologi demokrasi sosial dan bukannya berasaskan kaum seperti Umno, MCA atau MIC.

Apa yang tersirat di sebalik konflik di Syria

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 18 Jun 2013
Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat.

Pemerintahannya bersifat diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.

Syria mempunyai kedudukan yang agak berbeza dengan negara Arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya.

Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan.

Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya.


Diambil kira juga parti Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis fanatik yang keras terhadap Israel.Semua ini menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh yang sama iaitu Israel.

Dalam masa yang sama, negara kuasa besar khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam.

Kumpulan Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka. Ia diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa.  Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan.

Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel.

Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel. Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran, walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya.

Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia.

Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.

PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat.

Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel dan sekutunya.

Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).

Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.

Media Israel melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.

Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya.

Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain.

Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel.

Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang berada di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.

Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.

Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu.

Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya Arab dibantu untuk menentang Turki Otmaniyyah. Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.

Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.

Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang ramai penganutnya di Iran, Iraq dan Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman.

Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah. Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.

Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan semula. Dihidupkan semula galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan.

Masalah khilafiyyah di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah di kalangan Ahli Sunnah.

Masalah cabang ajaran agama yang berbeza di kalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq.

Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.

Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.

Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan.

Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang. Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam.

Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya selama beberapa abad. Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar.

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan.

Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak. Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam.

Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. Malah para ulama besarnya memaklumkan bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.

Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.

* Penulis adalah anggota Parlimen Marang yang juga Presiden PAS. Tulisan ini disiarkan semula berdasarkan tulisan asal yang dibuat beliau pada
Khamis, 23 Februari 2012. Tulisan ini boleh juga dibaca di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan