Jumaat, 21 Jun 2013

TAATLAH PADA ALLAH...INILAH SATU2 UNTUK MENYELAMATKAN DIRI KITA DARI BAKARAN API NERAKA ALLAH

Pulau p'raya: Soalnya BN mana ada maruah

Zulkifli Yahaya, 21 Jun 2013
Mata masyarakat dunia kini tertumpu pada Syria. Perkara besar yang berlaku di Syria ialah keganasan regim Basyar Al-Assad membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Ada sumber melaporkan jumlah kini melepasi 200 ribu.

Basyar berjaya memecahkan rekod keganasan bapanya Hafiz Al-Assad. Dalam konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari regim Hafiz mengorbankan hampir 46 ribu penduduk.

Pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat sendiri itulah sebenarnya peristiwa besar. Peristiwa yang melatari dan menghiliri kemelut itu seperti Hezbullah, Iran, Syiah, Amerika, Israel hakikatnya bukan perkara untuk difokuskan di kala nyawa rakyat sendiri tidak dapat dipertahankan oleh kerajaan yang sepatutnya melindungi rakyat.

Mengapa sanggup membunuh rakyat sendiri untuk mempertahankan kuasa?Tanpa rakyat tiada ertinya kuasa. Itu persoalan yang ditimbulkan oleh golongan rasional dan berakal. Namun orang yang tamakkan kuasa seringkali hilang akal. Regim Pol Pot di Kemboja membunuh lebih sejuta rakyatnya, sebahagian besarnya terdiri dari bijak pandai lantaran Pol Pot tidak mahu golongan yang lebih pandai darinya akan menguasai kerajaan.

Zaman Firaun, bayi yang baru dilahirkan mestilah jangan lelaki. Kerana ada Ahlulnujum diraja beritahu, orang yang akan mencabar kuasa Fiaraun ialah Nabi Musa. Maka Firaun mengarahkan mna-mana bayi lelaki yang muncul hendaklah dibunuh. Jika semua bayi lelaki dibunuh, yang tinggal hanya perempuan, mana nak bersambung zuriat selepas itu? Peraturan Firaun adalah gila namun orang yang terdesak pertahankan kuasa akan buat apa saja kerja gila.

Kezaliman terhadap rakyat di Syria disemarakkan apabila sekumpulan kanak-kanak menjadikan dinding sekolah mereka tempat mengutuk kerajaan Basyar Al-Assad. Apabila sampai ke pengetahuan regim Basyar, 28 kanak-kanak ditangkap tentera regim Basyar dan didera sedahsyatnya sehingga ada yang mati. Kemarahan rakyat marak dengan pantas. Mereka hanya mampu marah tanpa senjata, dijadikan pula mangsa keganasan Basyar. Keganasan terhadap rakyat semakin merebak dengan meluas ke seluruh negara. Peristiwa itu bukanlah permulaan keganasan tentera Syria. Sejak regim Asad lagi mereka sudah mengganas terhadap rakyat.

Bezanya dahulu mereka mengganas kerana keangkuhan tetapi kini mengganas kerana ketakutan. Semua tahu bahawa dunia Arab diledakkan oleh kebangkitan rakyat sehingga kerajaan yang dilihat gagah perkasa jatuh satu demi satu. Basyar ketakutan, tak mahu senasib dengan Zein El-Abidin Hosni Mubarak dan Muammar Ghadafi. Kebangkitan rakyat mesti dikekang dengan apa cara sekalipun.

Senario yang sama dapat dilihat pada semua kerajaan yang berkuasa terlalu lama. Mereka akan lakukan apa saja, di luar kerasionalan manusia, asal dapat pertahankan kuasa. Macam BN di Malaysia juga!

Kepincangan demokrasi di negara ini bukan perkara baru. Sudah lebih separuh abad. Semasa Almarhum Ustaz Fadzil Noor menjadi Presiden PAS, beliau pernah diajukan cadangan supaya parti-parti pembangkang memboikot saja pilihanraya. Biar dunia tahu kepincangan demokrasi di Malaysia.

Jawab Ustaz Fadzil, kalau di negara demokrasi lain pemulauan pilihanraya oleh pembangkang akan memberi pukulan hebat untuk parti yang memerintah kerana ia melibatkan maruah kerajaan. Soalnya, kata Ustaz Fadzil, BN mana ada maruah. Pemboikotan pilihanraya tidak akan beri apa-apa kesan. Malah BN mungkin akan lebih gembira kerana dapat menang percuma.

Adakah Basyar Al-Asad merasa tertekan dengan kutukan dunia terhadap keganasan yang mereka lakukan terhadap rakyat sendiri? Jawapannya, sama macam BN, regim Basyar tidak akan rasa apa-apa kerana yang penting ialah akibatnya mereka dapat pertahankan kuasa.

Laporan perihal demokrasi Malaysia yang pincang menjadi sebab BN berjaya mengekalkan kuasa untuk kali ke 13 tersiar seantero dunia. Dunia tahu bahawa BN menang dengan undi pos, media berat sebelah, BN salahguna jentera kerajaan, BN beli undi guna duit rakyat dan BN menang dengan sokongan 47 peratus berbanding Pakatan 51 peratus - namun mereka hanya perlu buat pekak badak dan menebalkan kulit muka kepada masyarakat dunia.

Sekarang, selepas menang tipis secara kotor dalam PRU13 BN mengambil beberapa langkah untuk menyempitkan lagi ruang demokrasi. Akhbar Harakah, Suara KeADILan dan Roket dihadkan penyebaran. Khabarnya media maya akan turut alami sekatan kerajaan. Pejuang jalanraya menuntut demokrasi adil mula terima tekanan. Malaysia mungkin kembali ke era Mahathir di zaman 'diktator'nya. Adakah BN tidak rasa bersalah untuk melakukan itu semua terhadap rakyat? Jawapan yang sama kalau soalan itu diajukan pada regim Basyar Al-Asad.

Piala FA: Royalti serah memo selesai ulat tiket

Salmah Mat Husain, 21 Jun 2013
KOTA BHARU: Menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada 29 Jun ini, satu memorandum telah dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menyelesaikan masalah ‘ulat tiket’.

Memorandum itu disampaikan Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak dan Gas Kelantan (Royalti) bagi menyelesaikan masaalah itu yang tidak pernah berakhir.

Presidennya, Nazri Abdul Rahman berkata akibat lahirnya ulat tiket yang berleluasa telah melahirkan rasa tidak puas hati penyokong semua pasukan dan peminat bola sepak.

Jelas Nazri, kegiatan itu membuatkan pembeli tiket secara sah tidak berpeluang menyaksikan perlawanan secara langsung kerana tidak mempunyai ruang yang cukup.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum itu kepada Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan di Wisma Kafa Kampung Chica, semalam.

“Isu ini perlu penyelesaian dan saya sebagai antara peminat bola sepak Kelantan mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan oleh pengurusan.

“Ini kerana kita bimbang pasukan kita TRW akan hilang sokongan sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.
Tambah Nazri lagi, sebagai sebuah NGO, pihaknya amat menyokong kejayaan TRW sehingga berjaya melayakkan diri  ke perlawanan akhir pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang JDT.

Baru-baru ini, kerajaan Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 30 Jun ini sebagai ‘hadiah’ untuk rakyat di negeri itu ekoran kejayaan TRW berjaya ke perlawanan akhir.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob memberitahu, ia juga bertujuan untuk menjaga keselamatan penyokong khususnya agar tidak begitu terkejar-kejar untuk pulang bekerja keesokan harinya (Ahad).

Kelantan menjadi juara Piala FA tahun lalu dengan mengalahkan Sime Darby 1-0.

Pada 2011, Kelantan hanya muncul naib juara setelah tewas kepada pasukan Terengganu 2-0.

Muslimah, berhati-hati ketika keluar rumah

Nasrudin Hassan, 21 Jun 2013
Teman-teman Muslimah, berhati-hati ketika mahu keluar dari rumah. Jaga aurat. Berpakaian dan berhijab adalah kerana pengabdian kita kepada Allah. Untuk menutup kecantikan bukan untuk menzahirkan kecantikan.
Apatah lagi nak menunjukkan bahawa walapupun berhijab tidak menghalang kita untuk berfesyen-fesyen dan bercantik-cantik. Bersederhanalah jangan berlebih-lebih sehingga lari tujuan berhijab.

Kita adalah aurat yang perlu disembunyikan kecantikannya melainkan kepada yang berhak melihatnya.

الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ


“Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar dari rumah, maka syaitan akan menghiasinya. (Riwayat al-Tirmizi)

Aurat adalah kalimah Arab yang bermaksud kekurangan dan sesuatu yang mendatangkan keaiban. Disebut aurat, kerana aib bila terlihat akannya.
Wanita itu diibaratkan dengan aurat bukanlah kerana ia buruk atau aib tetapi kerana ia adalah makhluk yang indah dan selalunya kefasadan (kerosakan) berlaku adalah berpunca dari melihatnya dan mendengar kata-katanya.

Justeru itu aurat wanita merupakan perhiasan yang wajib ditutupi dari orang-orang yang tidak berhak untuk melihat atau menikmatinya.

Kos baik pulih Pangsapuri Indah Ria cecah RM20 juta

Selangorku, 21 Jun 2013


SHAH ALAM: Kos bagi membaikpulih Pangsapuri Indah Ria di Seksyen 22 yang retak dan membahayakan nyawa 1,000 penghuninya bakal mencecah RM20 juta kata Adun Baru Tiga, Rodziah Ismail.

Manakala kos pemantauan dan kajian yang dijalankan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bakal menelan belanja RM 800,000.

Walaupun Kerajaan Selangor bersetuju untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di pangsapuri tersebut, keseluruhan kos itu akan dituntut semula daripada pemaju pangsapuri itu, iaitu Shanghai Realty (M) Sdn Bhd.

Malah, Rodziah berkata Kerajaan Selangor akan menuntut pemaju membayar kos pembaikpulih pangsapuri 15 tingkat itu melalui proses mahkamah.

“Hasil tinjauan, kajian yang dijalankan mendapati keadaan memang kritikal di kawasan parkir namun bagi bangunan kediaman, walaupun terdapat keretakan, menurut Ikram, ia masih tidak termasuk dalam kategori kritikal.

“Ini kerana kedua-duanya mempunyai struktur atau ‘piling’ yang berbeza, maka keadaannya juga berbeza. Bagaimanapun, pihak Ikram mohon tempoh tiga bulan lagi, sehingga Ogos ini.

“(Ini) untuk menjalankan beberapa kajian forensik dan kejuruteraan bagi memastikan keadaan sebenar struktur bangunan tersebut sebelum sebarang cadangan dibuat,” jelas Rodziah yang juga Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Dilaporkan sebelum ini bahawa lebih 1,000 penduduk pangsapuri berkenaan khuatir dengan keselamatan mereka apabila berlaku masalah rekahan tanah di kawasan parkir sehingga menyebabkan struktur bangunan kediaman mereka retak lebih setahun lalu.

Pemuda PAS Perak kesal johan qari tidak dihargai

Muhammad Faeez Azahar, 21 Jun 2013
IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak sangat hampa dengan kerajaan negeri kerana tidak menghargai sumbangan Anuar Hasin yang muncul juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 di Kelantan, baru-baru ini kerana telah mengharumkan nama negeri.
Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar (gambar) berkata, kerajaan negeri seharusnya menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan Qari tersebut seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin suatu ketika dulu.

“Pada 2008 lalu, Mohammad Nizar sebagai menteri besar telah memberikan sumbangan kepada juara qari dan qariah ketika itu yang berasal dari Perak, Shamsul Ariffin Supian dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohammad Badiuzzaman berjumlah RM10,000 seorang atas mengharumkan nama Perak.

“Dan sepatutnya, Datuk Seri Dr Zambry Kadir turut mengumumkan sumbangan kepada qari yang telah berjaya tersebut,” katanya kepada Harakahdaily.

Kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu, pihak kerajaan melahirkan kemegahan serta bangga dengan mengumumkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada jurulatih projek Everest-Felda 2013, Zainudin Lot namun imbuhan seperti itu tidak pula diberikan kepada Anuar Hasin yang seharusnya lebih dihargai.

Namun katanya, Pemuda PAS terus mengharapkan pihak kerajaan negeri memberikan pengiktirafan kepada bidang keagamaan dan meneruskan lonjakan kepada mana-mana pihak yang akan mengharumkan nama Perak di masa akan datang.

“Jika pihak kerajaan negeri ‘terlepas pandang’ akan perkara tersebut, ia masih tidak terlambat lagi bagi memberikan semangat dan galakan.

“Kami akan sentiasa ‘berjiwa besar’ menyokong dan bersetuju jika pihak kerajaan negeri perihatin dan berusaha meningkatkan bidang Keagamaan yang termaktub dalam kuasa kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

Al-Azhar: Ilmam sedia bincang dengan T'ganu

Harakahdaily, 21 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Lepasan Mahasisiwa Mesir (Ilmam Malaysia) begitu tersentak dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkenaan pembekuan penghantaran pelajar tajaan ke Universiti Al Azhar Mesir pada tahun ini.

Presidennya, Dr Aminurrasyid Yatiban menyatakan demikian sebagai respons kepada Ahmad yang disiarkan media mengenai perkara itu ketika menjawab soalan tambahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu kelmarin.

Antara alasan yang paling besar Menteri Besar itu ialah tentang sistem pembelajaran yang kurang efisyen yang diamalkan di Universiti Al Azhar, Mesir.

Ilmam Malaysia melihat kenyataan tersebut adalah satu kerugian dan menggambarkan pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan negeri dalam isu pendidikan.

Jelasnya, sebagaimana yang telah dimaklumi, Universiti Al Azhar yang merupakan institusi pendidikan tertua dan terulung di dunia telah membuktikan betapa ramainya graduan yang telah dilahirkan khasnya dalam bidang agama termasuk Dr Yusof Qardhawi, Al Marhum Dr Mohd Said Ramadhan Al Buti, juga termasuk tokoh-tokoh di tanahair seperti Allayarham Dr Abdul Hamid Othman, Tan Sri Dr Wan Mokhtar Wan Ahmad, Dr Abdul Aziz Hanafi dan lain-lain lagi.

“Mereka ini pulang dengan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara khasnya dalam konteks pembangunan insan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Hakikatnya, kata beliau sistem pembelajaran yang ada inilah telah melahirkan ratusan malahan ribuan intelektual muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri.

Ilmam Malaysia, ujarnya melihat pendekatan tersebut adalah suatu kerugian yang teramat besar kepada negara dan tenaga intelektual sendiri dalam usaha melahirkan modal insan yang sudah tentunya mereka ini akan pulang ke tanahair member 1001 bakti dan khidmat kepada pembangunan negeri dan masyarakat.

Beliau berkata, di sesetengah tempat, para pelajar berebut-rebut untuk menjejakkan kaki ke universiti terulung ini untuk menjadi khadam ilmu dan berguru dengan para pendidik dan profesor yang mengajar pelajarnya yang datang daripada seluruh dunia.

Justeru, beliau bertanya tidakkah tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah berundur ke belakang dan bertentangan dengan usaha Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, dalam usaha menambah baik pembangunan Islam di Malaysia, bertepatan dengan transformasi kerajaan.

“Insya Allah, dalam masa terdekat, Ilmam Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan yang terbabit bagi membincangkan pokok permasalahan dan cara penyelesaian yang terbaik yang sepatutnya diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu,” ujarnya lagi.

Katanya, kemasukan pelajar ke Universiti Al Azhar pada tahun 2013 akan bermula Ogos ini, seharusnya diambil perhatian oleh kerajaan negeri bagi memastikan tempoh yang ada ini dapat memberi ruang kepada para pelajar yang terlibat dan keluarga masing-masing untuk membuat persediaan sebelum berangkat ke Mesir.

Menurutnya lagi, Ilmam Malaysia juga mengharapkan kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut hanya merupakan ulasan dalam sidang Dun, yang tidak akan memberikan tindakan selanjutnya kepada pembekuan itu.

“Ilmam Malaysia juga bersedia menjadi penghubung antara para pelajar dan kerajaan negeri dalam urusan kemasukan para pelajar ke Universiti Al Azhar untuk sesi 2013 dan sesi-sesi yang akan datang, termasuk ke universiti-universiti lain di Mesir, dan juga urusan-urusan yang lain,” katanya.

Ilmam Malaysia juga, kata beliau mendoakan Menteri Besar Terengganu dan seluruh rakyatnya berada dalam keadaan selamat sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan