Rabu, 26 Jun 2013

MALAYSIA DENGAN PELBAGAI CERITA.....SEMUA ADAAAA.....

Anwar kekal Ketua Pembangkang
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
KUALA LUMPUR -  Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen bagi penggal ke-13.

Beliau berkata, pelantikan Anwar dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3).

"Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa beliau (Anwar) sebulat suara mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Pematang Pauh mula dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada penggal Parlimen ke-12.

Sebelum ini Lim Kit Siang (Gelang Patah-DAP) menyatakan bahawa pembangkang bersetuju mengekalkan Anwar mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen.

Persoalan siapa menjadi Ketua Pembangkang mula timbul apabila DAP memperolehi jumlah kerusi terbanyak yang dimenangi PR iaitu DAP 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi pada PRU13 lalu.
Pelancong 'resah' keadaan jerebu
Jerebu
Keadaan jerebu di Taman Tema Keluarga Legoland . - Foto Bernama
BEBERAPA hari kebelakangan ini, fenomena jerebu semakin berleluasa menyelubungi Semenanjung Malaysia terutama di bahagian selatan yang berhampiran Singapura.
  
Penulis secara kebetulan bertemu dua pelancong British yang mengambil keputusan meninggalkan Singapura selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kota Singa mencecah bacaan yang tidak sihat.
  
"Pada mulanya saya dan isteri ingin menikmati sinar matahari dan udara segar tetapi malangnya jerebu pula muncul, dan semakin teruk," jelas pelancong itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Nigel, dalam Bahasa Inggeris.
  
"Kami mahu pergi di kedua-dua resort tanah tinggi di Malaysia, Bukit Fraser dan Cameron Highlands untuk merasai cuaca sejuk di sana. Mungkin udara di tanah tinggi adalah lebih segar," jelas beliau.
  
Menurut petugas di Kompleks Imigresen dan Kastam (CIQ) di Tambak Johor, terdapat peningkatan kenderaan dari Singapura memasuki Malaysia sejak beberapa hari kebelakangan ini.
 

JAS
 
Pada 21 Jun lepas, IPU di Muar, Johor mencatat bacaan 383 yang berada dalam kategori berbahaya.
  
Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga merakamkan empat lagi lokasi di semenanjung Malaysia yang mencatat bacaan IPU tidak sihat – Pasir Gudang (199) dan Larkin Lama (181) di Johor selain Bandar Melaka (137) dan Bukit Rambai di Melaka (119).

Menurut laporan media, Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A. Ghani memberi arahan semua sekolah di Muar ditutup sehingga diberitahu kelak manakala Melaka melarang semua sekolah mengadakan aktiviti luar.
  
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengumumkan bahawa bilik gerakan akan dibuka di lokasi di mana bacaan IPU melebihi 200.
  
Bacaan IPU kurang 50 adalah dalam kategori sihat manakala 51-100 adalah sederhana, 101-200 (tidak sihat) dan 201-300 (berbahaya).
 

PEMBAKARAN TERBUKA

 
JAS juga melarang semua aktiviti yang melibatkan pembakaran terbuka di Selangor, Johor dan Melaka.
  
Menurut laporan berita, kebanyakan tompok panas dikesan di Wilayah Riau, Sumatera yang terletak di seberang Selat Melaka bertentangan dengan Melaka, Johor dan Singapura.
  
Seperti Muar, Singapura juga terjejas teruk dengan jerebu. Pada 21 jun lepas bacaan IPU udara di republik itu ialah 371.
 

BAHAYA
 
Ketika artikel ini ditulis pada 23 Jun lepas, jerebu telah bertambah teruk di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dengan bacaan IPU di Muar mencecah 578 yang dicatat oleh JAS pada pukul 10.00 malam, 22 Jun.
  
Bacaan ini dianggap berada di tahap berbahaya.
  
JAS turut melaporkan bacaan 'tidak sihat' di Kota Tinggi (189), bandar Melaka (188), Pasir Gudang (187), Bukit Rambai (170), Larkin Lama (167), Port Dickson (149), Port Klang (145), Seremban (108), Banting (107) dan Keningau, Sabah (101) pada pukul 5.00 petang, Jun 22 lepas.
  
Gambar satelit juga menunjukkan 64 tompok panas di Sumatera pada 21 jun lepas.  - Bernama
Budak didera bapa tiri
Budak didera bapa tiri
Keadaan mangsa yang kurus dan amat lemah ketika diselamatkan.
Budak didera bapa tiri
Beginilah keadaan kedua-dua belah kaki mangsa yang cedera parah dan dijangkiti kuman.
KUALA TERENGGANU - Apa dosaku? Itulah mungkin pertanyaan yang ingin diluahkan oleh kanak-kanak berusia 7 tahun, dipercayai didera dengan begitu kejam sekali oleh bapa tirinya dalam kejadian di Taman Perumahan Gong Badak, di sini, kelmarin.

Kanak-kanak malang itu bukan sahaja dikurung bersendirian dalam tempoh beberapa hari tanpa diberi makan dan minum, malah lebih menyayat hati, seluruh tubuh kecilnya itu turut cedera dengan kesan cucuhan puntung rokok dan melecur di kaki sehingga bernanah.

Bagaimanapun, penderitaan anak sulung daripada tiga beradik itu berakhir jua selepas dia berjaya diselamatkan polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyerbu rumah sewa keluarga kanak-kanak tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, seorang pegawai JKM berusia 41 tahun telah menghubungi Balai Polis Gong Badak, kira-kira jam 4.30 petang memaklumkan kejadian malang yang menimpa kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan bantuan untuk ke lokasi kejadian.

Manoharan berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kanak-kanak malang itu didapati berada dalam keadaan yang amat lemah dengan kesan kecederaan di seluruh badan, dipercayai didera sebelum pemeriksaan lanjut turut menemui kesan bengkak di kedua-dua belah kaki mangsa dan melecur pada bahagian kaki sehingga bernanah serta dijangkiti kuman.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan calar di seluruh tubuh mangsa, lebam di mata dan di mulut serta terdapat kesan cucuhanpuntung rokok pada perut mangsa.

“Selain didera dan dikurung, mangsa yang boleh bertutur dengan baik mengadu kelaparanselepas tidak diberi makan dan minum sejak beberapa hari lalu," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Siasatan awal mendapati mangsa didera dan dikurung bapa tirinya yang dikahwini ibunya berusia 29 tahun sejak 10 bulan lalu selepas kematian bapa kandung kira-kira dua tahun lalu.

“Kami difahamkan semasa mangsa diselamatkan, ibunya berada di HSNZ untuk mendapatkan rawatan tangannya yang patah, dipercayai akibat didera suspek," katanya. Manoharan berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai membawa isteri bersama dua lagi anak tirinya itu, masing-masing berusia 5 dan 2 tahun, lari dari HSNZ sebaik menyedari perbuatannya terbongkar.

"Bagaimanapun, pasangan suami isteri ini berjaya ditahan di sebuah rumah di Rumah Awam Kos Rendah, Gong Badak, di sini, kirakira jam 12 tengah hari, semalam.

“Turut berjaya diselamatkan, dua lagi adik mangsa dan hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya mempunyai kesan dera dan dihantar ke HSNZ bagi pemeriksaan lanjut, sementara ibu mangsa juga dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Semasa ditahan, suspek dan juga ibu mangsa didapati positif dadah methamphetamine," katanya.


Tidak perlu tunggu IPU 300 baru tutup sekolah
Tidak perlu tunggu IPU 300 baru tutup sekolah
Elizabeth (tengah) menunjukkan statistik bacaan IPU Selangor bersama Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Draoyah dan Adun Rawang, Gan Pei Nei.
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meminta Kementerian Pelajaran meneruskan arahan penutupan sesi persekolahan sebagai langkah pencegahan kepada risiko kesihatan pelajar.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, untuk menggelakkan ancaman kesihatan kepada pelajar sekolah, kerajaan negeri harus memikirkan langkah pencegahan.

“Tidak perlu tunggu sehingga status bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) cecah 300 baru bertindak untuk tutup sekolah. Semuanya sudah terlambat.

“Kita perlu kaji semula Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan kerana pada bacaan IPU 150 ke atas sudah berdepan masalah kesihatan, tambahan kanak-kanak biasanya menghadapi masalah kesukaran bernafas,” katanya ketika sidang media semalam.

Bagaimanapun, katanya, kualiti udara di Selangor dan Kuala Lumpur telah mencecah IPU lebih 200 dan Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah keselamatan iaitu meneruskan penutupan sesi persekolahan buat sementara waktu ini.

“Kita juga syorkan sekolah-sekolah di negeri Selangor harus terus ditutup seperti mana yang ditutup pada hari Isnin lalu.

“Kita nasihatkan ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka pergi ke sekolah sekiranya rasa tidak selesa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Elizabeth turut memaklumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengeluarkan kenyataan media pada Ahad lalu supaya sekolah kekal ditutup kepada Kementerian Pelajaran.

“Inisiatif kerajaan negeri ekoran insiden jerebu ini ialah peruntukan sebanyak 250,000 topeng muka untuk diedarkan ke seluruh negeri.

“Setiap Adun diperuntukkan 4,000 topeng untuk diedarkan kepada orang ramai sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Sementara itu, bermula pagi kelmarin pengedaran topeng muka giat dijalankan setiap Adun kepada orang ramai.
Cubaan warga emas terjun tangki air gagal
Cubaan terjun tangki air gagal
Lelaki terbabit sedang dipujuk daripada terjun dari tangki air berkenaan, semalam.
MUAR - Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari menara tangki air setinggi kira-kira 20 meter di hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, berjaya digagalkan apabila dia sempat diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Muar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tindakan lelaki terbabit disedari pengawal keselamatan yang sedang bertugas seterusnya cuba menghalangnya daripada menaiki tangga.

Bagaimanapun, usaha pengawal keselamatan itu gagal malah diancam untuk dibaling dengan batu yang dibawa lelaki berkenaan.

Difahamkan, lelaki tersebut yang berusia 50an dipercayai sedang menjalani rawatan di wad hospital berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ariff Jili berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi seterusnya bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera bersama enam anggota.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir 40 minit untuk memujuk mangsa yang meracau mahu terjun dari tangki tersebut.

“Usaha untuk menyelamat sedikit sukar kerana mangsa tidak mahu bercakap dengan individu tidak dikenalinya, memaksa kita meminta bantuan daripada isteri dan rakannya untuk memujuk lelaki itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ariff berkata, pihaknya segera bertindak menangkap lelaki itu bagi mengelakkan dia kembali agresif.

“Pada mulanya, dia (pesakit) meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak berjaya dan kita memapahnya turun apabila keadaannya lemah,” katanya.

Seorang pengunjung, Yaakob Ahmad, 51, berkata, dia turut menyedari kejadian tersebut apabila melihat orang ramai mengerumuni kawasan berhampiran tangki selain terdapat sebuah jentera bomba.

Menurutnya, dia menghampiri tempat kejadian dan terkejut melihat seorang lelaki berada di tangga akhir tangki seperti mahu terjun.

“Mujur lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh anggota bomba,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abd Aziz, mengesahkan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana pesakit terbabit sedang menjalani rawatan rapi di wad hospital.
Guna 4WD tarik mesin ATM
Guna 4WD tarik mesin ATM
Raja Shahrom membuat siasatan di kawasan mesin ATM yang cuba dilarikan, semalam.
AYER KEROH - Tindakan nekad tiga lelaki yang cuba melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari sebuah bank di Taman Ayer Keroh Height, dekat sini, semalam gagal apabila tali yang digunakan bagi menarik mesin itu putus.

Dalam kejadian kira-kira 5.55 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang berpakaian gelap dan bertopi keledar memasuki ruang mesin berkenaan diletakkan.

Suspek dikatakan mengikat seutas tali pada mesin ATM itu, manakala hujung satu lagi diikatkan pada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang menunggu di luar bank.

Bagaimanapun, segala perancangan mereka tidak kesampaian apabila tali berkenaan putus sebaik sahaja ia ditarik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat maklumat dan mendapati pintu serta tingkap cermin bank berkenaan telah dipecahkan.

Katanya, menyedari perancangan mereka tidak berjaya, ketiga-tiga suspek bersama pemandu kenderaan pacuan empat roda terus melarikan diri tanpa berjaya bawa sebarang hasil.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak dapat pastikan berapa ramai lagi rakan suspek yang turut terlibat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Gadai nyawa kejar pencuri
Gadai nyawa kejar pencuri
Beginilah keadaan motosikal dinaiki dua remaja yang cuba mengejar pencuri melarikan telefon bimbit mereka di jalan Kampung Banggol Peradong, Manir, petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Walaupun dalam keadaan basah kuyup, dua remaja nekad mengejar seorang lelaki selepas cuba melarikan telefon bimbit mereka semasa sedang mandi-manda di Sungai Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua remaja, Alif Adam, 17, dan sepupunya, Iskandar Dzulqarnain Abdullah, 15, tidak bernasib baik kerana motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta yang muncul mengejut semasa tiba di jalan Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini.

Berikutan kejadian itu, Alif yang juga penunggang motosikal cedera parah dan tidak sedarkan diri kerana dipercayai melambung ke arah cermin kereta, manakala Iskandar Dzulqarnain hanya cedera di mata.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila kedua-dua remaja terbabit nekad mengejar suspek berusia 21 tahun sejurus menyedari telefon bimbit milik mereka yang diletakkan di bawah kusyen motosikal dilarikan.

“Sebelum itu, kedua-dua mangsa sedang mandi manda di sungai kampung berkenaan sebelum menyedari kehadiran suspek dikenali yang tinggal berhampiran kampung mereka.

“Suspek telah menyelongkar kusyen motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan berhampiran tempat mereka mandi, sebelum melarikan telefon bimbit berkenaan dengan menunggang motosikal jenis Honda ke arah Kampung Bukit Petiti, Manir,” katanya, semalam.

Namun katanya, dua remaja terbabit kemalangan ketika mengejar suspek apabila tiba di satu simpang, secara tiba-tiba muncul sebuah kereta dan disebabkan terlalu laju, Alif tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut sebelum melambung ke arah cermin pintu kereta di bahagian pemandu.

“Pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.

"Semasa kejadian, suspek yang berada tidak jauh dari lokasi sempat memberhentikan motosikalnya dan hanya memerhatikan sahaja kedua-dua mangsa mengerang kesakitan sebelum melarikan diri sejurus mendapati orang awam mula memenuhi lokasi untuk membantu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian dan suspek kini sedang diburu.
Anggota polis tunjuk isyarat kasar
Anggota polis tunjuk kaki, lambai guna selipar
Hasri mengangkat kaki dalam keadaan berbalut kepada beberapa jurugambar akhbar mungkin kerana marah wajahnya cuba dirakam ketika disorong keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah oleh pegawai SPRM.
Anggota polis tunjuk kaki, lambai guna selipar
Farid (kanan) dan Rohafizan kelihatan selamba keluar dari mahkamah dengan wajah tertutup elak wajah dirakam jurugambar.
KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal bertindak mengangkat kaki dalam keadaan berbalut kepada beberapa jurugambar akhbar yang menunggu untuk merakam wajahnya ketika disorong keluar dari mahkamah oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan kerusi roda, semalam.

Lans Koperal Hasri Mat Din, 56 dari Kampung Sega Tat, Raub  yang dituduh menerima suapan rasuah  sempat menutup muka menggunakan baju yang dipakai dan mengucapkan selamat tinggal kepada jurugambar itu sambil melambai dengan selipar di tangan.

Dia bersama dua anggota lain berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dari Balai Polis Dong, Raub dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini semalam atas tuduhan menerima suapan RM300, September tahun lalu.

Tertuduh dan Konstabel Rohafizan Che Md Saupi, 26 dari Berek Polis Dong bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Manakala rakan mereka, Lans Koperal Farid Effendi Abu Bakar, 30  dari Kuarters Polis IPD Raub yang dituduh secara bersubahat menerima suapan daripada pengadu sama turut menafikan kesalahan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan bagi ketiga-tiga tertuduh itu, Hasri dan Rohafizan didakwa secara rasuah menerima suapan RM300 daripada seorang pesalah trafik sebagai dorongan tidak ambil tindakan setelah didapati memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh, 21 September tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah restoran di Dong, kira-kira jam 1.20 petang pada tarikh tersebut.

Bagi kesalahan itu mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah yang paling tinggi.

Manakala Farid Effendi yang dituduh bersubahat turut berdepan tuduhan sama namun kesnya dibaca mengikut Seksyen 28(1)(c)  akta sama.

Dalam sebutan kes itu semalam, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinas Shabudin menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh.

Kesemua tertuduh yang diwakili ahli keluarga dan rakan difahamkan menjelaskan jaminan yang dikurangkan kepada RM1,500 selepas mereka membuat rayuan.

Dalam prosiding itu, Hakim Fathiyah Idris menegur penjamin dua daripada tertuduh kerana berpakaian tidak sesuai ketika berada dalam mahkamah.

Farid Effendi dan Rohafizan memberitahu mahkamah mereka akan melantik peguam manakala Hasri mengakui tidak mampu berbuat demikian.

Kes bagi ketiga-tiga tertuduh itu disebut semula 24 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mangsa meracau sebelum mati
Mangsa meracau sebelum mati
Unit forensik polis menjalankan pemeriksaan terhadap mayat mangsa yang sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri dalam kejadian di tempat letak kereta Pangsapuri Kos Sederhana di Seksyen 24, semalam.
SHAH ALAM - Seorang pekerja salun yang baru pulang dari sebuah kelab hiburan di ibu negara, disahkan mati selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri dalam kejadian di tempat letak kereta Pangsapuri Kos Sederhana di Seksyen 24, di sini, semalam.

Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa hanya dikenali Norliza dan dua lagi rakannya, difahamkan baru tiba di kawasan terbabit.

Menurut rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Fera, mereka bertiga keluar berhibur dengan menaiki kereta Proton Wira milik mangsa.

Bagaimanapun, ketika pulang dari kelab hiburan, mangsa tidak memandu dan duduk di bahagian penumpang belakang.

"Apabila kami sampai di kawasan tempat letak kereta di situ, Liza (mangsa) tiba-tiba meracau dan menjerit bukan-bukan.

"Apa yang dia cakap kurang jelas tapi dia ada sebut, 'terima kasih sebab jaga dia selama ni', sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia dan rakan mereka yang memandu terkejut kerana Liza tidak pernah berperangai demikian.

Katanya, rakan mereka yang memandu kemudiannya keluar dari kereta dan terus melarikan diri, dipercayai kerana panik.

"Saya terus hubungi adik lelaki Liza yang tinggal berhampiran sebab tak tahu nak buat apa dan tak pasti apa yang berlaku kepadanya," katanya.

Fera berkata, perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada polis, sebelum polis mengesahkan kematian mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama keluarga di kawasan blok perumahan berhampiran.

Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berhubung kejadian gagal kerana beliau tidak dapat dihubungi.
Dicekup ketika leka tunggu pelanggan
Dicekup ketika leka tunggu pelanggan
Najib (kanan) ketika membuat pemeriksaan terhadap suspek.
KULIM - Seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Sub Inspektor Mohd Najib Abdul Aziz di jalan Kilang Lama berhadapan dengan sebuah bank ketika leka menunggu pelanggan, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika membuat rondaan cegah jenayah, polis ternampak seorang lelaki berusia 40-an duduk di atas motosikal di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek cuba melarikan diri sebaik saja polis memintas di hadapannya, bagaimanapun dia berjaya ditahan.

Ketika membuat pemeriksaan badan, polis menemui lima peket lutsinar di dalam bekas rokok suspek dipercayai dadah dan sebiji pil khayal eramin 5.

“Selain itu polis turut menemui ratusan plastik lutsinar serta tiub kosong dan kami percaya suspek merupakan seorang pengedar dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian air kencing dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ghuzlan berkata, suspek mempunyai tiga anak dan tidak bekerja selain menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kulim.

“Kami percaya dadah yang dibawa oleh suspek merupakan jenis syabu seberat 2.55 gram. Suspek akan disiasat di bawah seksyen 12(2) kerana memiliki dadah,” katanya kepada Sinar Harian.
Pakej muat turun haram
Pakej muat turun haram
Anggota KDN memeriksa komputer yang memuatkan 872 fi lem yang boleh dimuat turun secara haram dalam serbuan di kafe siber tersebut.
KAMPAR – Tindakan pemilik sebuah kafe siber di sini yang menawarkan pakej muat turun filem-filem tempatan dan luar negara secara percuma membawa padah apabila premisnya diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, kelmarin.

Pelanggan akan menghabis masa dengan menonton serta berkongsi filem-filem terkini termasuk filem ‘Man of Steel’ yang baru ditayangkan di pawagam dengan membayar serendah RM2 sejam.

Serbuan pada jam 4.40 petang itu dibuat oleh pasukan tujuh anggota penguatkuasa dari Bahagian Kawalan Penapisan Filem setelah menerima aduan bahawa kafe siber berkenaan sering menjadi tumpuan golongan muda leka ‘melepak’ termasuk pelajar sekolah.

Pengarah KDN Negeri, Zaki Mohamed berkata, siasatan mendapati pemilik premis itu menawarkan sebanyak 872 filem yang dimuat turun dan disimpan dalam pemacu keras serta dikongsi berpuluh-puluh komputer yang ada pada pelanggan.

“Pelanggan akan salin filem-filem yang disediakan oleh pemilik kafe siber terbabit. Ada diantara mereka sanggup duduk di hadapan komputer selama beberapa jam berikutan pengusaha premis menyediakan sofa yang selesa untuk pelanggan.

“Hasil siasatan mendapati kesemua filem yang dimuat turun tidak melalui proses tapisan oleh Lembaga Penapisan Filem,” katanya.

Katanya, seorang lelaki berusia 30 tahun dipercayai penyelia premis ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita turut merampas dua komputer bersama unit pemprosesan komputer (CPU) dan beberapa peralatan yang berkaitan kerana disyaki melakukan aktiviti memuat turun filem tanpa sijil perakuan B.

“Bagaimanapun, suspek ditahan dan akan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Penpisan Filem 2002 yang boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Zaki berkata, pihaknya memandang serius  kegiatan memuat turun filem dan memantau beberapa kafe siber yang dilihat turut menjalankan kegiatan sama.

“Pengusaha kafe siber diingatkan agar mengentikan aktiviti memuat turun filem secara haram sebelum dikenakan tindakan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan