Khamis, 20 Jun 2013

ITU PUN ADA MASIH MENGHINA TOK GURU...TANYALAH DIRI KITA....APA SUMBANGAN KITA TERHADAP ISLAM....ORANG BAIK DISISI ALLAH SWT....IAITU ORANG BANYAK BERI MANFAAT KEPADA MANUSIA

Maaf, kurang sihat sikit – TG Nik Aziz

Harakahdaily, 20 Jun 2013


Tuan Guru Nik Abdul Aziz berbual dengan Tamrin.

KOTA BHARU: Walaupun sudah tidak menjadi Menteri Besar lagi namun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah terputus dengan orang ramai.

Setiap pagi selesai sahaja solat Subuh berduyun-duyun orang ramai menemui beliau.

Kalau sebelum ini hanya hari cuti sahaja mereka datang tetapi selepas Tok Guru tidak lagi menjadi MB, mereka datang pada setiap hari.

Kerja rutin Tok Guru di pagi hari ini adalah upacara tahnik atau 'belah mulut' dan bercukur kepala bayi yang baru lahir.


Pagi ini, kira-kira 20 bayi ditahnikkan oleh Tok Guru. Ia dilakukan dalam keadaan beliau sendiri tidak berapa sihat.


Ini kerana sebelum melakukan upacara itu beliau terpaksa diurut oleh tukang urutnya kerana sakit pinggang.

Namun keletihan yang jelas kelihatan pada wajah beliau hilang apabila Datuk Tamrin Abdul Ghafar yang datang bertemu beliau di pagi hari ini.

Turut serta krew Harakahdaily dari Kuala Lumpur yang datang membuat kunjungan hormat kepada Mursyidul Am PAS itu.

"Maaf kurang sihat sikit," kata beliau kepada krew Harakahdaily.

Tok Guru nampak sangat bangga dengan ahli-ahli parlimen yang menang dalam PRU13 lepas.

Beliau yakin mereka akan memainkan peranan yang baik dalam setiap kali sidang parlimen selepas ini.



Tuan Guru mentahnik bayi dalam keadaan pinggang beliau terpaksa diurut.

Penjelasan Suruhanjaya lntegriti mengenai Nadzri

Harakahdaily, 20 Jun 2013
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya lntegriti) telah mengìmbangkan soal penyertaan Mohd Nadzri Ibrahim, dalam tugas-tugas Pasukan Petugas yang diwujudkan di bawah seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] berhubung perkara kematian N. Dharmendran dan R. Jamesh Ramesh dalam tahanan Polis Diraja Malaysia.

Demikian kata pengerusinya, Datuk Heliliah Mohd Yusof (gambar) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, di dalam keadaan semasa Mohd Nadzri merupakan pegawai tunggal yang dipinjamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berkhidmat dengan Suruhanjaya Integriti yang mana sistem pinjaman itu sejajar dengan peruntukan seksyen 14(2) Akta 700.

“Suruhanjaya Integriti ingin menegaskan bahawa keanggotaan Encik Mohd Nadzri Ibrahim, dalam Pasukan Petugas seandainya dilaksanakan bukan dìjalankan secara perseorangan, tetapi secara berkelompok, dengan penyeliaan anggota-anggota Iain di dalam Pasukan Petugas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Suruhanjaya Integriti sedar adalah perlu dipastikan tugas-tugas pasukan petugas dapat dilaksanakan secara profesionalisme dan tanpa gangguan.

Katanya, Suruhanjaya Integriti juga peka bahawa tugas-tugas Pasukan Petugas hendaklah dilaksanakan secara bijak, adil dan saksama.

Jelas beliau, kerjasama dari semua pihak sangat diperlukan untuk mencapai objektif tugas-tugas diperlukan.

Justeru, katanya Suruhanjaya Integriti berpendirian Mohd Nadzri tidak lagi dibenarkan melibatkan diri dalam apa-apa tugas berkaìtan dengan pasukan petugas.

“Beliau akan terus menjalankan tugas-tugas Iain yang dihadapi Suruhanjaya Integriti,” ujarnya.

Katanya, Suruhanjaya Integriti akan berunding dengan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam serta badan-badan Iain yang berkenaan dan relevan untuk memastikan tugas-tugas Suruhanjaya Integriti dapat dilaksanakan dengan Iicin sejajar dengan peruntukan Akta 700, iaitu Akta yang mewujudkan Suruhanjaya Integriti sebagai suatu badan yang diberi kuasa mengikut perundangan.

Beliau menjelaskan, Suruhanjaya Integriti melaksanakan fungsi mengikut apa yang tertera di dalam perundangan itu dan bukan mengikut apa yang sepatutnya tertera dalam undang-undang itu.

Sebelum ini banyak pihak menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan status Mohd Nadzri sebagai pegawai penyiasat tunggal Suruhanjaya Integriti kerana dia adalah seorang daripada pegawai yang terbabit dalam kes Teoh Beng Hock.
Nik Aziz tinggalkan ruang besar untuk pengganti

Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat telah menetapkan satu tanda aras yang tinggi sebagai pemimpin yang patut dicontohi.

Caranya menampilkan diri, antaranya tidak mementingkan diri, rendah diri, hidup sederhana serta tidak keterlaluan menjadi sifat yang harus dicontohi semua, kata ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

NONE"Ini mungkin menjadikan beban kepada menteri besar Kelantan yang baru Datuk Ahmad Yaacob untuk mengikuti contoh beliau, kerana kehormatan tersebut hanya boleh diperoleh dengan tindakan dan setelah dinilai masyarakat.

"Nik Aziz telah meninggalkan ruang besar yang sukar diganti," kata Dzulkefly (atas) .

Dzulkefly berkata, bukan mudah bagi Ahmad mencontohi pentadbiran sebelumnya dan beliau sendiri merasakan terdapat kegelisahan berhubung perkara itu di kalangan ahli parti.

"Ini kerana saya telah melihat kekalahan parti di Kedah dan Terengganu serta kesan tindakan Nik Aziz yang dihormati masyarakat pelbagai kaum dalam memerintah Kelantan selama 22 tahun.

NONE"Cabaran untuk PAS adalah untuk memastikan semua contoh baik serta kepercayaan Tok Guru (Nik Aziz) telah tinggalkan harus diteruskan dan tak dimusnahkan," katanya.

"Kalau kami lari dari perjuangan asal (Nik Aziz) maka kita mungkin tidak akan dapat kepercayaan serta undi masyarakat.

"Kejayaan PAS kini tidak akan kami kecapi tanpa sokongan pelbagai kaum dan sekiranya kami mengharapkan sokongan dari orang Melayu di luar bandar sahaja tidak mencukupi."

'Jika Ahmad konsisten, Kelantan kekal'

Dzulkefly berkata, walaupun tidak mudah, PAS harus meneruskan keprihatinan dalam memberi perkhidmatan, menuntut keadilan untuk semua dan hidup secara sederhana tanpa pembaziran.

NONEKatanya, perkataan tidak mencukupi tapi ini harus dilakukan dengan tindakan.

"Saya juga lihat ada sedikit penurunan sokongan di Kelantan di mana kami kehilangan beberapa kerusi. Sekiranya Ahmad dilihat konsisten dan istiqamah seperti Tok Guru maka Kelantan akan kekal di tangan PAS.

"PAS juga harus memperbaiki segala kepincangan yang ada dan sekiranya ini tidak dilakukan (seperti di Kedah) maka ia akan membawa padah," beliau memberi amaran.

Black 505 dan realiti menarik di selatan

Ahmad Lutfi Othman, 20 Jun 2013
Tumpuan saya -- sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini -- masih terfokus kepada Himpunan Black 505, di Padang Merbok, agar ia dapat mencatat sejarah, terutama dari segi jumlah kehadiran, dan dengan itu memberikan tekanan semaksimum mungkin kepada elit pemerintah untuk segera melakukan perubahan menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya di negara ini.

Sepatah kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, A Samad Said: "Kita merayu supaya ahli-ahli (penyokong Pakatan Rakyat) lebih banyak untuk menyertainya." Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga memutuskan menyokong perhimpunan tersebut. "Kita boleh reda dengan kekalahan kita tetapi kita tidak diizinkan untuk reda dengan penipuan dan maksiat," kata Naib Presiden PAS, Husam Musa, yang menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS turun ke lokasi.

Ya, ini bukan kali pertama perhimpunan seumpama itu dianjurkan. Agak saya kali kelima; membawa mesej dan tuntutan yang sama tapi seperti tidak dipedulikan walaupun penguasa cuba menunjukkan sikap proaktif dengan menampilkan, misalnya penggunaan dakwat kekal yang kemudiannnya terbukti mudah ditanggalkan, dan akhirnya diakui sendiri oleh Pengerusi SPR. (Dan Pak Samad mencadangkan, Abdul Aziz Mohd Yusuf secara terhormat meletakkan jawatan atas pengakuannya itu).

Apa pun perbedaan tanggapan terhadap reaksi keputusan PRU13, acara 22 Jun itu harus diusahakan sebaik  mungkin supaya dapat mencapai sasaran, iaitu bukan hanya berkumpul santai atau berarak di sekitar Padang Merbok dan Tasik Perdana, tetapi perlu membayangkan impak positif terhadap amalan demokrasi yang selama ini berjalan penuh ketempangan. Target utama: Hitamkan seluruh ibu kota petang Sabtu ini.

II.

Sabtu lalu, saya ke Melaka, memulakan kunjungan ke negeri-negeri, melihat realiti politik selepas PRU13. Saya memilih arah selatan tanahair,  disebabkan, antara lain, perubahan landskap politik Malaysia empat atau lima tahun akan datang banyak bergantung kepada keupayaan Pakatan mempengaruhi mood pengundi di wilayah yang selama ini dikuasai Umno-BN, selain Sabah dan Sarawak.

PAS mencipta sejarah apabila calonnya, Dr Khalid Kassim, bekas Timbalan Pengarah Hospital Besar Melaka, menang di kerusi Dun Bukit Baru, yang dahulunya disandang Mohd Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka.

Kelahiran sulung yang ditunggu begitu lama itu disifatkan Dr Khalid sebagai "legenda yang masih hidup" dan "pembuka mata kepada seluruh rakyat Melaka".

Di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, kami berbicara hampir dua jam dan Dr Khalid kelihatan begitu ceria dan bertenaga semasa bercerita, bukan saja tentang pengalaman berkacanya semasa berkempen, tetapi juga sempat meluahkan pandangan (dan kritikan) bernas untuk PAS terus melakar sejarah lebih gemilang di Melaka.

Misi dan visinya untuk mengisi kemenangan diungkapkan dengan penuh yakin, lebih tertumpu kepada kerja-kerja sosial kemasyarakatan, terutama berkaitan penjagaan kesihatan, bidang yang diceburinya sejak sekian lama sehingga bersara awal tahun ini. Banyak ideanya  melekat dalam kotak fikiran saya, mungkin difaktorkan oleh laluan hidup saya sendiri yang menempuh pelbagai penyakit kronik!

Saya turut tertarik dengan analisis ringkasnya mengenai "watak politik" masyarakat Tionghua, lelaki dan wanita. Baginya, komitmen orang Cina untuk berubah begitu tinggi, serius dan terfokus. Justeru, sukar diganggu-gugat oleh apa jua usaha kerajaan, walaupun atas nama transformasi.


Kami bergegas ke Batu Pahat selepas terpaksa menamatkan sesi wawancara itu lebih awal. Rakan-rakan saya, Wan Nordin Wan Yaacob, Zaili Muhammad dan Wan Zahari Wan Salleh mengakui teruja, terutama dengan idea-idea baru Dr Khalid, yang banyak memetik ungkapan motivasi yang memberangsangkan.

Pagi Ahad, di Pejabat Perhubungan PAS Johor, kami tidak sempat membuat kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya, Dr Mahfodz Mohamad kerana terleka berbual dengan dua Adun baru PAS, Ustaz Abdullah Husin (Puteri Wangsa), yang juga Ketua Dewan Ulamak Negeri dan Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Timbalan Pesuruhjaya. (Dr Mahfodz mempengerusikan mesyuarat perhubungan negeri pagi itu).

Ustaz Abdullah yang kaya dengan senyuman seronok bercerita tentang pengalaman awalnya berdepan reaksi dan sambutan pengundi dan masyarakat di Puteri Wangsa, termasuk detik-detik indah, juga melucukan, semasa beliau mengunjungi beberapa sekolah pada Hari Guru. Kesimpulannya, masyarakat pendidik mengalu-alukan keprihatinan tinggi yang ditunjukkan Ustaz Abdullah kepada guru-guru.

"Saya mula bertanding pada 1986 di Dun Tanjong Puteri, Johor Bahru dan hilang pertaruhan, disebabkan penolakan masyarakat Cina. Menariknya, pada PRU13 lalu, saya menang di Puteri Wangsa, dengan majoriti hampir 3,500 undi, disebabkan sokongan besar pengundi Tionghua," katanya sambil ketawa kecil.

Beliau kerap menyebut tentang kepatuhan terhadap keputusan jamaah sebagai prinsip dalam perjuangan khususnya apabila diminta bertanding dalam pilihan raya. "Di mana pun kerusi yang diarahkan jamaah, saya akur," katanya, menjelaskan bagaimana beliau dipilih bertanding di Puteri Wangsa.

Ustaz Abdullah berpuas hati dengan prestasi PAS Johor walaupun harapan awal lebih besar untuk digalas. "Tahun 2004 kita dapat satu kerusi, meningkat dua kali ganda pada 2008 menjadi dua, dan bertambah 100 peratus lagi pada 2013 dengan 4 kerusi, tambah menarik kerusi dahulu, Sungai Abong  di Bakri dan Maharani di Muar, bertahan dengan majoriti bertambah," tambahnya.

Aminolhuda selesa menggambarkan keazamannya untuk memberi tumpuan meningkatkan kualiti pendidikan di Parit Yaani. "Keluarga yang terkepung dengan masalah kemiskinan hanya dapat bebas dengan pendidikan," ujarnya. Beliau yakin ramai tenaga pengajar bersedia membantu pelajar-pelajar UPSR, PMR dan SPM, dengan penekanan kepada subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

Berbicara soal PRU13, Aminolhuda merumuskan: "Walaupun kita mensasarkan 17 kerusi Dun, dan hanya dapat 4 tetapi kita ada 8 kerusi dengan undi lebih 40% dan 5 lagi melebihi undi 37%. Maknanya, prestasi PAS Johor pada 17 kerusi yang menjadi target, tentulah termasuk empat yang sudah menang, begitu berpotensi sekali.  Pada 2008 di Parit Yaani, kita juga perolehi 37% undi. Untuk PRU14, kita mesti sasarkan pengundi Melayu, jika pendekatan betul, insya-Allah saya yakin Pakatan berjaya ke Nusa Jaya."
Tian Chua: Anwar boleh tunggu, tapi rakyat tidak

Rakyat Malaysia sebenarnya yang tidak "sabar" untuk menunggu lagi lima tahun untuk melihat pertukaran rejim sementara pembangkang, termasuk tokohnya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menunggu, kata Naib Presiden PKR Tian Chua.

"Anwar boleh tunggu. Ramai lagi orang boleh tunggu, tetapi saya tidak rasa rakyat Malaysia cukup sabar untuk menunggu lagi lima tahun," kata Chua dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini.

"Saya tidak rasa ekonomi kita boleh bertahan dengan lima tahun pembaziran lagi.

"Keperluan mendesak untuk perubahan datang daripada tuntutan rakyat," katanya ketika ditanya sama ada pilihan raya umum lalu peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri.

"Perjuangan ini bukan tentang Anwar mahu jadi PM. Tetapi PRU13 adalah peluang terakhir Malaysia ke arah langkah perubahan demokratik," katanya.
Udara Muar paras bahaya, sekolah ditutup
11:15AM Jun 20 2013
Kualiti udara di Muar, Johor memasuki paras bahaya akibat jerebu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 7 pagi tadi mencatatkan angka 331. Bacaan melebihi 301 dianggap berbahaya dan melepasi 201 pula "sangat tidak sihat".

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar hari ini mengarahkan sekolah ditutup hari ini dan esok.

Johor hari ini paling teruk menghadapi jerebu.

Selain Muar, tempat lain yang mencacatkan bacaan tinggi seperti berikut: Kota Tinggi (211), Pasir Gudang (190) dan Larkin Lama (171)
Muktamar PAS 2013 bukan lagi urusan 'rumah tangga'

Muktamar PAS kali ini bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti sebagaimana rutin setiap dua tahun sekali.

Pasca November 2013 nanti, seluruh ahli PAS, para penyokong (mahupun tidak), simpatisan dan rakyat Malaysia keseluruhannya bakal menyaksikan barisan kepimpinan baru dalam PAS.
Jika ditelusuri gamat pilihan raya umum ke-13 yang lalu, beberapa perkara penting perlu diberi perhatian.
NONEGelombang "Ini Kalilah" dan "UBAH" yang melatari sokongan terhadap Pakatan Rakyat merupakan signal penting, yang secara umumnya memperlihatkan sokongan terhadap Pakatan (termasuk PAS dalam kerangka tahalluf siyasi) pada kali ini berada pada tahap yang boleh dianggap amat cemerlang berbanding siri-siri pilihan raya umum yang lalu.

Slogan ini boleh dikatakan manifestasi kebencian rakyat terhadap Umno/BN dan harapan yang amat tinggi untuk melihat Pakatan mengambil alih Putrajaya.

Ini dikukuhkan lagi dengan peratusan undi popular yang diperoleh Pakatan menjangkau 51 peratus berbanding Umno/BN yang hanya pada tahap 47 peratus.
Pola sokongan ini tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana umumnya, rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap Pakatan, termasuk PAS sebagai sebuah parti berteraskan Islam dan mewakili teras sokongan masyarakat Melayu untuk mengambil tempat menggantikan Umno dalam landskap politik tanah air.
Oleh itu, barisan yang akan dibentuk menerusi pemilihan oleh para perwakilan dalam muktamar November nanti mestilah mengambil kira aspek ini dalam memastikan momentum PAS menuju pilihan raya umum ke-14.
Sokongan Tiong Hua, generasi Y
Hipotesis awal umumnya memperlihatkan PAS masih gagal meraih majoriti sokongan pengundi Melayu.

Di sesetengah kawasan dan negeri, sokongan masyarakat Tiong Hua terhadap PAS mampu mencecah 80 hingga 90 peratus. Ini perlu disedari dan perlu dikekalkan.
NONEDalam masa yang sama, PAS juga tidak boleh sama sekali mengabaikan aspek pengundi muda yang mewakili saluran 3 dan 4 khususnya dalam persediaan menuju pilihan raya akan datang.

Mereka merupakan generasi Y yang hidup dalam hambatan arus deras media baru.

Di institusi-institusi pengajian tinggi contohnya, mereka merupakan anak muda yang boleh sahaja mengikuti tarbiah Islam menerusi agen-agen kaderisasi PAS di kampus, namun dalam masa yang sama terdedah dengan wacana-wacana kritikal yang sarat di ruang siber.
Justeru, perwakilan PAS perlu bijak memilih untuk mengemukakan wajah-wajah kepimpinan yang mampu menjadi jambatan kepada dua kelompok sasar yang lahir dari kehangatan PRU13 ini.
Dalam erti kata lain, kepimpinan yang mampu mengekalkan sokongan masyarakat Tiong Hua (termasuklah bangsa-bangsa lain), mampu menghargai dan menyantuni aspirasi generasi muda dan dalam masa yang sama mampu merangka strategi meningkatkan sokongan dan keyakinan Melayu terhadap PAS.
Mencari tokoh kepimpinan
Bercakap soal meningkatkan sokongan dan keyakinan Melayu terhadap PAS, barangkali ada benarnya ramalan bahawa wujud gelombang pengundi Melayu di sesetengah negeri yang pulang beramai-ramai ke kampung halaman bagi mempertahan kerajaan Melayu Umno/BN di negeri masing-masing dalam pilihan raya lalu.

NONEIa berlaku antaranya disebabkan PAS dilihat tidak dominan dalam Pakatan lantas dituduh menjadi 'kuda tunggangan' DAP dan seringkali didakwa PAS sekadar menjadi pelaksana kepada agenda Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lantas saya melihat bahawa tiada opsyen lain kepada PAS melainkan perlu memandang serius dalam memikirkan sosok kepimpinan yang sekurang-kurangnya mampu menyaingi ketokohan Anwar dalam Pakatan termasuklah juga dalam arus politik semasa, baik di peringkat nasional mahupun internasional.
Ini merupakan satu cabaran besar buat PAS. Muktamar kali ini tidak boleh lagi sekadar dilihat urusan dalaman 'rumah tangga' PAS semata-mata kerana PAS pada tahap kini sudah menjadi rumah tangga yang berteduh di bawahnya seluruh rakyat Malaysia sesuai dengan slogan 'PAS for All'.

Bahkan lebih mencabar lagi, elemen-elemen ketokohan yang perlu dinilai oleh para perwakilan nanti perlu bersifat pakej dengan mengambil kira elemen-elemen kepimpinan Islam sedia ada yang dikendong PAS selama ini sebagai sebuah gerakan Islam tanah air.
Justeru kepimpinan yang baik, amanah, berilmu disertakan ketangkasan mengatur strategi serta mengurus rakyat yang bersifat rencam dalam kerangka politik baru merentasi sempadan politik sempit perkauman tajaan Umno/BN sebelum ini perlu diketengahkan.
Perkara yang diutarakan di atas bukan saranan ke arah menghakis jati diri PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang menjadikan tarbiah sebagai tunjang, kerana di sinilah sebenarnya terletak kebijaksanaan PAS dalam menyelaraskan teras-teras dasar perjuangannya dengan garapan kemas fiqh waqi' dan siyasi dalam realiti Malaysia.
Justeru, muktamar PAS pada kali ini pastinya menjadi suatu noktah penting dalam menentukan hala tuju PAS sekurang-kurangnya untuk dua tahun ke hadapan sebelum bertemu kembali pemilihan yang akan datang.

Shake Omar Ali adalah exco Dewan Pemuda PAS Johor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan