Ahad, 23 Jun 2013

INI CERITA DUNIA...BAGAIMANA CERITA KITA DIAKHIRAT....DIMANA KUASA MUTLAK MILIK ALLAH SWT

Husam direman 2 hari, polis halang MB lawat

Aslani M, 23 Jun 2013


KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa direman selama dua hari selepas ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Kuala Lumpur petang semalam.

Majistret Nik Ambri Mohamad membuat keputusan itu pada permohonan reman dikemukakan polis di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.

Peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam berkata, pada awalnya pihak polis memohon tahanan reman sehingga empat hari.

“Namun kami pasukan peguam membantah dengan alasan Husam ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, di mana akta itu mensyarat sama ada perkataan yang diucap termasuk dalam kategori menghasut atau tidak.

“Lagi pun polis sudah mendapat rakaman ucapan dan boleh buat keputusan sama ada menghasut atau tidak. Kalau menghasut polis boleh buat pertuduhan di mahkamah dan jika tidak hendaklah bebaskan segera,” katanya kepada pemberita di luar IPD.

Hisham bersama empat lagi peguam mengendalikan kes tersebut bagi pihak Husam yang juga Adun Salor.

Menurutnya tidak timbul keperluan polis menahan lebih lama Husam dan tidak memerlukan kehadirannya lebih lama di lokap IPD.

Malah keterangan saksi-saksi lain yang diperlukan boleh dilakukan tanpa perlu Husam berada di lokap.

“Tidak perlu menahan lebih lama. Mahkamah arah bebas esok sebelum jam 12 malam,” ujarnya.

Menurutnya juga permohonan reman dibuat polis kepada mahkamah negeri Kelantan bagi mengadakan mahkamah tertutup di IPD.

Sedangkan kata Hisham, Naib Presiden PAS itu bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi permohonan reman tersebut.

“Sepatutnya didengarkan di mahkamah majistret. Kalau polis hendak sambung reman mereka kena buat permohonan lagi kepada mahkamah.
“Jadi siasatan perlu diselesaikan hari ini dan esok. Malam ini Husam akan bermalam di lokap,” katanya.Hisham yang juga Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan turut melahirkan rasa kesal terhadap polis Kelantan kerana tidak membenarkan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob datang melawat Husam yang tiba sekitar jam 12.10 tengah hari.

Menurutnya, polis perlu sedar Husam merupakan Naib Presiden PAS dan seorang Yang Berhormat mewakili rakyat Kelantan dan bukannya rakyat biasa.

“Sepatutnya polis benarkan MB datang menziarahi Husam di lokap IPD. Kami peguam meluah rasa kesal kerna polis enggan membenarkan MB atau mana-mana Exco menziarahi Husam di lokap, tanpa sebarang alasan.

“Kami amat kesali. Sepatutnya tidak dilakukan polis. Ini menggambarkan mereka tidak menghormati kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.

“Saya berharap polis segera mengubah keputusan itu dan membenarkan MB hadir menziarahi Husam. Negeri ini ada ketua dan sepatutnya MB dibenarkan menziarahi mana-mana Adun yang ditahan,” ujarnya.

Kata beliau polis bersikap tidak profesional dan memberi imej yang buruk dalam sebuah negara demokrasi.

Tidak pernah tahu ada waran tangkap - isteri

Aslani M, 23 Jun 2013
KOTA BHARU: Selepas pulang dari Jordan pada malam 19 Jun lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak pernah memberitahu ada waran tangkap terhadapnya.
Isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman berkata, suaminya tidak pernah memberitahu ada waran tangkap terhadapnya dikeluarkan polis yang dikatakan bertarikh 20 Jun lalu.

“Cuma pada pagi Jumaat ketika beliau hendak bertolak ke Kuala Lumpur, Abang Sam ada cakap kepada Pakcik Man kali ini perjalanannya agak sukar.

“Pakcik Man kenalan keluarga kami memberitahu kepada saya, perjalanannya kali ini agak sukar tanpa pula ada waran tangkap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menemui suaminya di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu di Pengkalan Chepa, hari ini.

Sebelum itu beliau ditemani adiknya menemui Husam kira-kira 10 minit di luar bilik lokap IPD. Turut berada pada pertemuan itu dua anggota polis.

Pada Khamis lalu akhbar Umno menyiarkan kenyataan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Mohd Nor Deris mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Husam ekoran ucapannya, peserta 'Black 505' syahid sekiranya terkorban ketika menyertai perhimpunan berkenaan.

Husam ditahan ketika berada di Pandan sebelum menghadiri perhimpunan Black 505 di Padang Merbok. Selepas itu beliau dibawa ke IPD Ampang sebelum dibawa pulang dengan kenderaan ke Kota Bharu.

Rohana berkata, semalam jam 2 petang Husam menelefon hendak ke Padang Merbok bagi menghadiri perhimpunan Blackout.

“Kira-kira sejam kemudian ketika saya telefon beliau kata mahu ke Balai Polis Ampang pula,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa kesal kerana dihalang menemui suaminya malam tadi ketika kenderaan membawa Husam sampai di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

“Semalam saya tidak boleh masuk langsung. Pada awalnya pihak polis berjanji boleh berjumpa dengan suami, namun selepas Abang Sam tiba tidak pula diberi.

“Hanya peguam dibenarkan masuk malam tadi. Saya hendak bawa anak pun tidak boleh. Polis kata mereka tidak mahu ganggu proses siasatan,” tambahnya.

Beliau juga berkata, suaminya memberitahu tahanan reman ke atas berakhir esok. Beliau tidak dapat tidur lena malam tadi.

Husam juga memakai baju warna oreng, sama tahanan lain dalam lokap.

“Beliau juga tidak dibenarkan menjamah makanan yang saya bawa jadi terpaksa dibawa balik. Abang Sam demam sejak balik dari sempadan Syria malam 19 Jun lalu.

“Dan tambahan pula keadaan jerebu di Kuala Lumpur sekarang,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa terharu di atas sokongan padu semua pihak kepada suaminya sepanjang berada dalam tahanan polis.

SPR peranannya suruhanjaya bukan "suruhan Umno"

Harakahdaily, 23 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengingatkan seluruh pimpinan Pakatan Rakyat terus bersuara memperjuangkan agar peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kembali kepada landasan asal.

Berucap pada majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang hari ini, Mohamad berkata, peranan SPR yang ada hari ini sudah menyimpang jauh dan dilihat seperti berkerja hanya untuk memenangkan Umno BN.

Bukti paling jelas katanya, boleh dilihat dengan pelbagai kepincangan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu sehingga menyaksikan sejumlah 60 petisyen dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan juga BN.

Ianya tidak termasuk lagi kepincangan-kepincangan lain seperti penggunaan dakwat yang diyakinkan sebagai kekal, tetapi boleh tanggal sejurus selepas pengundian.

"Yang penting peranan SPR perlu dikembalikan. Peranan SPR adalah menjadi sebuah suruhanjaya, bukan "suruhan Umno"," katanya.

Turut menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis itu adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang  dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesej himpunan sampai

Sementara itu, pada sidang media selepas itu Anwar berkata kehadiran rakyat ke Himpunan Aman Black 505 semalam cukup memberangsangkan biarpun berdepan pelbagai ugutan disamping masalah jerebu.

Pihak penganjur himpunan itu semalam mengumumkan kehadiran adalah melebihi 55,000 orang.

Menurut Anwar, soal kehadiran yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak mencapai sasaran bukanlah perkara besar, sebaliknya apa yang lebih penting adalah mesej yang telah disampaikan.

"Sambutan baik, penganjur umum (himpunan) berjaya.


"Yang penting mesej itu jelas. Kecurangan pilihan raya dihebahkan. Orang yang merompak, menipu, tidak boleh dilupakan begitu sahaja," katanya.

Jerebu: Palanivel lebih pentingkan panda, kata Guan Eng

Harakahdaily, 23 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel lebih mementingkan keselamatan panda berbanding rakyat negara ini yang sedang berdepan ancaman kesihatan ekoran jerebu.

Menurut Guang Eng, Palanivel selaku menteri bertnggungjawab sewajarnya memberi keutamaan kepada masalah pencemaran jerebu yang semakin serius.

"Palanivel lebih pentingkan panda-panda dari Cina berbanding jerebu.

"(Padahal) lebih penting dari panda adalah manusia, iaitu rakyat Malaysia," kata Guan Eng pada sidang media selepas majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Guang Eng dipercayai mengulas tindakan palanivel semalam menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perlindungan dua ekor beruang panda gergasi dari Cina di Zoo Negara.

Difahamkan kedua-dua beruang panda itu akan tiba di Zoo Negara pada Disember ini.

Sedangkan menurut Guang Eng, dalam keadaan meruncing seperti ini, Palanivel seharusnya perlu fokus kepada bagaimana mencari penyelesaian untuk menjaga keselamatan rakyat.

"Kita mengharapkan tindakan lebih cepat, dan kita di pihak Pakatan Rakyat sedia untuk memberi kerjasama.

"Pada masa sekarang sekurang-kurangnya kerajaan sudah boleh mengedarkan topeng muka percuma kepada rakyat," katanya.

Tindakan kecemasan

Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media sama menggesa kabinet Datuk Seri Najib Razak segera bersidang bagi membincangkan pelan kecemasan bagi mengelakkan masalah jerebu semakin teruk.

"Kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia juga perlu mengadakan persidangan segera mengatasi masalah ini.

"Malayisa tidak boleh berdiam diri, meskipun yang terlibat (membuat pembakaran terbuka) adalah syarikat-syarikat kroni," kata Anwar.

Kerajaan Indonesia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak lapan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia sedang disiasat kerana melakukan pembakaran di Riau dan Jambi, yang mengakibatkan jerebu sehingga memberi ancaman kepada negara jiran Malaysia dan Singapura.

Dalam perkebangan lain, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 pagi ini.

Ini punca Malaysia tak marah jerebu teruk?

http://addin77.blogspot.com, 23 Jun 2013

Rupanya Ini Punca Malaysia Tak Marah Pasal Jerebu Teruk


Ladang milik Malaysia terbakar di Riau

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Perhutanan Riau, Zulkifli Yusuf berkata, ladang syarikat dari Malaysia adalah antara yang terbakar di wilayah itu.

Kawalan ketat, keluarga tidak dibenar jumpa Husam

Aslani M, 23 Jun 2013

Isteri dan keluarga terdekat beserta orang ramai menunggu ketibaan Husam di IPD Pengkalan Chepa, malam tadi.

KOTA BHARU: Kawalan ketat di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, tempat Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ditahan.

Orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan IPD kecuali wartawan dan peguam.

Ramai anggota polis berkawal termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Hanya dua peguam sahaja dibenarkan masuk ke kawasan IPD iaitu Abdul Rashid Yah bersama seorang peguam.

Selain itu kelihatan isteri Husam, Datin Rohana Ab Rahman kelihatan memasuki IPD.

Difaham Husam sampai dari Kuala Lumpur jam 1.30 am pagi tadi. Isteri beliau yang berada di IPD sehingga jam 10.50 pagi ini tidak dibenarkan bertemu, termasuk anggota keluarga terdekat.

Difahamkan juga sepatutnya pagi ini Husam dibawa ke mahkamah majistret untuk mendapat perintah tahanan reman namun majistret pula dibawa ke IPD.

Pagi tadi ramai datang ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan namun pulang hampa.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan apa yang berlaku terhadap Husam cukup luar biasa kerana keluarganya tadi tidak dibenarkan menemuinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan