Khamis, 20 Jun 2013

BILA SESUATU YANG DILAKUKAN TAK IKUT SYARIAT....MAKA PADAHNYANYA SENDIRI TANGGUNG...AKHIRAT NANTI KAUORANG JAWABLAH

Misteri kehilangan Chin Aik
Misteri kehilangan Chin Aik
Kerja memperbaiki jalan giat dijalankan.
GEORGETOWN - Tiada mayat manusia ditemui setakat ini di kawasan lubang yang terbentuk akibat runtuhan rod penebat kilat di Menara Umno, Jalan Macalister, di sini, Khamis lalu.

Turut jadi persoalan tiada kesan darah atau tisu badan manusia ditemui pasukan forensik dan kakitangan Jabatan Kimia di lokasi di mana peniaga nasi, Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus.

Ini meninggalkan tanda tanya, ke mana hilangnya lelaki itu setelah polis mendapati nombor casis kereta yang terbenam di lokasi sama adalah sepadan dengan Honda City miliknya yang dilaporkan hilang.

Chin Aik pada masa kejadian dikatakan keluar untuk menjemput anaknya dari sekolah dan melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng pada sidang media semalam menyatakan, pihaknya sudah pun melengkapkan siasatan mengenai kehilangan lelaki malang itu.

"Hasil siasatan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi proses penyediaan sijil kematian mangsa," katanya.
Selain itu, katanya, satu salinan laporan lengkap juga diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“Polis bertindak berpandukan semua sumber yang diperoleh antaranya rakaman kamera sistem litar tertutup (CCTV) yang merekodkan kejadian itu.

“Selain itu, laporan juga menyentuh mengenai operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan sebelum ini. Kita percaya mayat mangsa berada di sekitar tempat kejadian namun tidak dapat ditemui,” katanya.

Menurutnya, selepas menyerahkan laporan lengkap kepada menteri dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya, kemungkinan sijil kematian mangsa yang terlibat akan dikeluarkan.

“Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mungkin menyerahkan sendiri kepada keluarga mangsa selewat-lewatnya Jumaat ini,” katanya.

Dalam kejadian angin kencang Khamis lalu,  mangsa dikhuatiri tertimbus apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa bahagian kereta Honda City berwarna gelap miliknya terbenam di kawasan runtuhan Sabtu lalu.

Susulan itu, operasi mencari dan mengesan mangsa dijalankan namun terpaksa dihentikan sepenuhnya pada jam 8 pagi Isnin untuk mengelak struktur bangunan warisan di kawasan itu terjejas.

Isnin lalu, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan sebuah jawatan kuasa inkues menyiasat status Chin Aik.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian semalam mendapati kerja memperbaiki jalan raya yang rosak teruk akibat kejadian runtuh itu giat dijalankan.

Bagaimanapun, jalan di sekitar lokasi itu masih lagi ditutup dan dijangka hanya akan dibuka semula sebelum Isnin.

Difahamkan, bekalan air yang terputus sudah disambung semula dan premis perniagaan di sekitar tempat kejadian mula beroperasi seperti biasa.
Khalid tegur Syabas lagi
Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan SSAAS, semalam.
SHAH ALAM – Syabas diminta lebih cekap dalam menyelesaikan kejadian paip bocor selain memantau loji serta rumah pam bagi mengelakkan kerosakan yang boleh menjejaskan kehidupan pengguna di Lembah Klang dan Putrajaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kerja penyelenggaraan yang dibuat syarikat konsesi itu dalam memastikan bekalan air terawat mencukupi.

“Oleh kerana isu penyusunan semula industri air kita akan bincangkan dengan kementerian berkaitan minggu depan, kita juga memantau kerja yang dibuat Syabas supaya bekalan air terawat berterusan.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas) juga memaklumkan paras air di semua kolam takungan di negeri ini dalam keadaan memuaskan walaupun cuaca panas ketika ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah mengemukakan permohonan untuk membuat kerja penggantian injap sluis (Sluice Valve) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1).

Beliau berkata, kerja penggantian itu memerlukan operasi separuh daripada loji berkenaan perlu dihentikan selama lapan jam, kelmarin.

“Kerja penggantian berjadual ini menyebabkan gangguan bekalan air di Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekalkan air ke kawasan Petaling dan Kuala Lumpur.

“Pihak SPLASH telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna air dan kerja penggantian injap sluis itu telah siap sepenuhnya jam 4 petang semalam (kelmarin) dan loji berkenaan telah beroperasi secara normal dengan membekalkan 750 juta liter sehari.

“Kita dimaklumkan bekalan air sepatutnya telah kembali pulih sepenuhnya pagi hari ini  (semalam) kecuali kawasan tinggi yang mengambil sedikit masa kerana masalah tekanan air rendah,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air dengan cermat sebagai langkah berjaga-jaga.
Adun kena pukul
Lydia Ong Kok Fooi
Lydia menunjukkan lebam di lengan kanan akibat dipukul dengan batang buluh.
SUNGAI PETANI - Gara-gara menasihati penduduk supaya tidak melakukan pembakaran terbuka di padang permainan, wakil rakyat dipukul menggunakan sebatang buluh hingga cedera.

Adun Berapit, Lydia Ong Kok Fooi mendakwa, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Intan jam 7 malam, beliau ternampak wanita berusia 50-an membakar sampah dekat padang permainan berhampiran rumahnya.

Melihatkan kepulan asap yang memenuhi kawasan perumahan itu, dia segera meminta individu itu menghentikan pembakaran memandangkan ia mengundang pencemaran udara, menimbulkan bau busuk serta membahayakan kanak-kanak serta orang ramai.

“Saya cakap baik-baik, bukan tengking dan marah kerana perbuatannya salah serta boleh dikena tindakan undang-undang, tetapi dia tidak puas hati,” katanya.

Kok Fooi mendakwa, wanita itu kemudian mencabar dirinya dengan mengatakan dia berhak berbuat demikian dan sekiranya tidak berpuas hati, dia juga boleh membakar sampah di hadapan rumah wakil rakyat terbabit.

“Bagi membuktikan tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang, saya merakamkan perbuatannya melalui kamera telefon bimbit, namun secara tiba-tiba telefon saya terlepas.

“Akibat marah perbuatan dia dirakamkan, wanita itu segera mengambil sebatang buluh lalu memukul di bahagian lengan kanan saya,” katanya.

Beliau berkata, bahunya sekali lagi dipukul sebaik sahaja dia menundukkan kepala untuk mencapai telefon bimbitnya.

Katanya, wanita terbabit sekali lagi mencederakannya di tangan sebelah kiri sehingga merosakkan permukaan jam tangan miliknya.

Menurutnya, akibat itu, beliau mengalami lebam-lebam di lengan kanan, kiri, bahu serta sengal badan.

Kekecohan dikatakan itu turut disaksikan penduduk di kawasan berkenaan yang berkumpul di kawasan sekitarnya.

Difahamkan, wanita itu sering melakukan pembakaran terbuka dan tindakannya itu mengundang pencemaran udara selain mengganggu ketenteraman jiran lain.

“Pembakaran sampah termasuk polistirena dan beg plastik memberi kesan kurang baik terutama apabila sisa toksik dan bau busuk merebak.

“Tujuan saya membuat laporan ialah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan dan akan menyiasat perkara itu.

Katanya, kes akan disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali.
Cabul: Pelakon nekad saman pengarah
Pelakon nekad saman pengarah
Pelakon baru berusia 22 tahun ditemui Sinar Harian ketika hadir ke IPD Tampin, semalam bagi memberi keterangan.
TAMPIN – “Saya akan saman. Jangan anggap pelakon baru senang disentuh dan diugut untuk mendiamkan diri," kata pelakon yang menjadi mangsa cabul seorang pengarah drama.

Pelakon berusia    22 tahun itu ditemui Sinar Harian ketika dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam bagi direkodkan keterangan berhubung insiden cabul yang berlaku di tempat penginapan di bandar ini, awal tahun ini.

Menurutnya, mencabul merupakan kejadian terbaru membabitkan perbuatan keji pengarah itu kerana kejadian kali pertama semasa pengarah berusia sekitar 60-an itu menghantarnya pulang ke Damansara.

“Pada masa itu saya terkejut dengan perbuatannya, namun pengarah itu ugut saya diamkan diri.
Sekiranya perkara ini tersebar, nama saya dalam dunia lakonan akan 'gelap'.

“Saya memang minat berlakon, tetapi kerana insiden itu, saya takut untuk menerima tawaran berlakon. Jika diikutkan, pengarah itu merupakan pengarah ketiga yang pernah saya bekerjasama dan pengalaman bekerja dengannya memang benar-benar menakutkan saya,” katanya.

Beliau berkata, selepas insiden yang berlaku antara Januari dan Februari lalu, pengarah berkenaan ada memberi tawaran berlakon kepadanya, tapi dia menolak kerana tidak mahu perkara sama berulang.

“Cukuplah insiden sebelum ini. Saya nekad untuk membuat laporan polis serta berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas bagi memberi pengajaran kepada pengarah berkenaan," katanya.

Difahamkan, insiden yang berlaku itu semasa beliau jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tiga hari berturut-turut apabila pengarah itu sesuka hati meraba tubuhnya dan menciumnya jika dia terleka.

“Saya harap apa yang berlaku kepada saya jadi tauladan. Malah, saya harap pengarah itu juga akan mendapat hukuman setimpal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kes dalam siasatan polis.

"Hari ini (semalam), kita memanggil pelakon berkenaan untuk merekod keterangannya," katanya.
Pelajar mungkin pekak ditampar guru
Pelajar mungkin pekak ditampar guru
Norlaila menunjukkan laporan polis dibuat mengenai kejadian menimpa anaknya, Mohd Jazman.
MARANG - Seorang pelajar sebuah sekolah di sini, berkemungkinan pekak selepas ditampar guru Isnin lalu.
Mohd Jazman Jailani, 15, mendakwa ditampar guru lelaki itu kira-kira jam 11 pagi selepas dia dituduh memancitkan tayar kereta seorang guru perempuan, bersama beberapa murid lain.

Kejadian itu berlaku apabila guru lelaki terbabit mengarahkan dia dan seorang lagi rakannya ke bilik guru untuk disoal siasat berhubung kejadian tersebut.

“Apabila tiba di bilik guru, cikgu itu bertanya mengenai tayar kereta cikgu (perempuan) yang pancit minggu lalu. Saya menafikan saya terlibat.

“Dia tidak percaya dan menampar pipi kiri saya dengan kuat. Telinga saya rasa berdengung sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Jazman berkata, dia tidak segera memberitahu ibunya mengenai tindakan guru itu.

Ibunya, Norlaila Jusoh, 41, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anak keempat daripada tujuh beradik itu bangun tidur kira-kira jam 5 petang hari tersebut dan mengadu sakit telinga.

“Saya membawa anak ke Klinik Kesihatan Gong Balai, di sini, sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada gegendang telinganya,” katanya.

Keluarga Mohd Jazman membuat aduan di Balai Polis Merchang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat.
Terpedaya cinta Facebook, gadis dirogol
Terpedaya cinta Facebook, gadis dirogol
 K Manoharan
K Manoharan
MARANG - Terpesona dengan kenalan cinta Facebook, seorang jurujual perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial itu di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Marang, Terengganu itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira dua bulan lalu dan suspek mengajak mangsa keluar makan bersamanya kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila suspek  membawa mangsa ke sebuah bangsal di Kampung Bukit Parit di Marang untuk melakukan adegan ‘ringan’ sebelum mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Mangsa menolak ajakan itu, namun suspek tetap berdegil dan tidak mempedulikan rayuan mangsa dan bertindak merogolnya.

Lebih malang, seorang lagi lelaki yang dikenali suspek tiba-tiba muncul selepas itu dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir termasuk meliwat mangsa.

Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis juga telah menahan seorang individu di Kampung Bukit Parit, di sini untuk siasatan lanjut.
Maut dirempuh kereta curi
Maut dirempuh kereta curi
Motosikal mangsa rosak teruk setelah dirempuh.
Maut dirempuh kereta curi
Kereta yang digunakan suspek dipercayai kereta curi.
KULIM - Seorang lelaki berusia 43 tahun maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kulim Mahang di sini kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya dari Kulim ke Sedim, manakala kereta terbabit datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki dua lelaki hilang kawalan sebelum merempuh mangsa dan terbabas ke tepi jalan.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak dan cedera parah di kepala serta maut di tempat kejadian.

“Mangsa maut setelah melambung ke atas bonet hadapan kereta yang merempuhnya sebelum tercampak ke tepi jalan,” katanya.

Menurut saksi kejadian, mereka nampak suspek yang merempuh mangsa keluar dari kereta tanpa sebarang kecederaan dan melarikan diri ke jirat Cina berhampiran.

Ghuzlan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan digunakan suspek, beberapa peralatan ditemui dipercayai digunakan untuk mencuri kabel.

“Semakan mendapati, nombor pendaftaran kereta terbabit adalah palsu, manakala kereta itu masih dilaporkan hilang di Tasek Mutiara, Pulau Pinang,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan dan pemberi maklumat akan dirahsiakan.
GRO gagal loloskan diri
GRO gagal lolos diri
Antara GRO yang ditahan ketika operasi yang dijalankan di sebuah pusat hiburan berhampiran Mentari Court, kelmarin.
PETALING JAYA - Cubaan beberapa gadis pelayan pelanggan (GRO) melarikan diri mengikut pintu belakang premis pusat hiburan gagal apabila dicekup polis yang membuat kepungan di luar premis itu dalam operasi serbuan yang dijalankan di sini, kelmarin.

Dalam serbuan yang bermula jam 11.45 malam itu, seramai 38 GRO warga asing terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Filipina dan China berjaya ditahan polis.

Ketua Unit Maksiat (D7) Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam berkata, kesemua GRO yang ditahan berumur antara 21 hingga 35 tahun.

"Pelanggan kebiasaannya akan datang dan membuat tempahan GRO di dalam premis tersebut sebelum mendapat perkhidmatan seks yang disediakan pihak terbabit.

"Pengunjung hanya perlu bayar RM130 ke atas untuk mendapat layanan istimewa daripada GRO itu manakala bayaran sebanyak RM300 dikenakan sekiranya pelanggan ingin membawa pulang wanita berkenaan untuk satu malam,” katanya selepas operasi yang dijalankan di pusat hiburan berhampiran Mentari Court di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini pernah beberapa kali menjalankan serbuan ke atas premis terbabit hasil maklumat serta pemantauan yang dijalankan.

"Bagi mengelakkan kegiatan mereka itu dikesan pihak berkuasa, pusat hiburan itu telah beberapa kali menukar nama.

“Setelah menjalankan siasatan awal, kami dapati pusat hiburan ini mempunyai lesen perniagaan yang sah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan pemilik premis pusat hiburan terbabit bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pemilik premis akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit,” katanya.
Lelaki mati dalam tandas
Lelaki mati dalam tandas
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas dengan kenderaan polis.
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mencangkung dan muka terlangkup dalam baldi di sebuah tandas salah sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mayat ditemui pengawal keselamatan yang curiga selepas mendapati pintu bilik air terletak di belakang bangunan stesen minyak berkenaan berkunci selepas dua kali membuat rondaan.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 52, berkata, ketika membuat rondaan kira-kira jam 10 malam, pintu tandas berkunci dari dalam dan tidak kedengaran apa-apa bunyi dari dalamnya serta tidak mengesyaki berlaku kejadian tidak diingini.

Ketika rondaan kali kedua dijalankan sekitar jam 11 malam, dia mendapati pintu bilik air tersebut masih berkunci.

Curiga dengan keadaan tersebut, sekitar jam 5 pagi dia sekali lagi ke tandas berkenaan dan mendapati keadaan tetap sama seperti rondaan yang dibuat pada awal malam berkenaan.

“Saya curiga apabila mendapati pintu tandas masih berkunci lantas bertindak menebuk lubang pintu yang ditampal kertas berikutan tombolnya rosak.

“Sebaik lubang ditebuk, saya dapat melihat kaki seorang lelaki dalam tandas tersebut dan menunggu penyelia datang bertugas jam 6.30 pagi untuk maklumkan tentang kejadian sebelum melaporkan kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, polis menerima panggilan daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bertugas di stesen minyak berkenaan tentang penemuan mayat seorang lelaki kira-kira jam 6.55 pagi.

Menurutnya, anggota polis terpaksa memecahkan pintu untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Ketika ditemui mayat Mohd Hafizi Aziz, 26, dari Taman Rantau Mas berpakaian lengkap serta memakai selipar. Mangsa ditemui tanpa sebarang kesan kecederaan pada anggota badan tetapi hanya kesan darah keluar dari hidung,” katanya kepada pemberita.

Haliludin berkata, Mohd Hafizi yang masih bujang dipercayai ke stesen minyak itu dengan sebuah motosikal berikutan penemuan kenderaan milik mangsa di pekarangan stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal empat jam sebelum mayatnya ditemui.

“Mengikut keterangan keluarganya, mangsa keluar dari rumah sekitar jam 7.30 malam kelmarin, selepas itu, panggilan dibuat ke telefonnya tidak dijawab,” katanya.

Haliludin berkata, punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
Rumah urut ikut jantina tak selesai masalah
 Sulaiman Razak
Sulaiman Razak
SHAH ALAM - Cadangan untuk mewujudkan zon rumah urut mengikut jantina di Selangor dilihat tidak akan menyelesaikan kegiatan tidak bermoral.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno, Sulaiman Razak berkata, Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya memberi tumpuan untuk menutup rumah urut khususnya yang beroperasi tanpa lesen yang kini menular di kawasan pinggir bandar ekoran pertumbuhan bilangan rumah urut di negeri ini.

"Sekiranya Selangor mahu rumah urut dibuat ikut jantina bukan satu penyelesaian, saya tak nampak itu jalan yang berkesan.

"Soalnya, siapa yang akan melaksana penguatkuasaan?

"Kita minta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor ambil tindakan untuk tutup rumah-rumah urut lebih-lebih lagi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah bertitah supaya tidak ada rumah urut di kawasan Shah Alam," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang mencadangkan supaya mewujudkan zon jantina bagi rumah urut bagi membendung gejala maksiat di negeri itu.

Dalam pada itu, Sulaiman yang juga Adun Permatang itu menegaskan, jika cadangan itu dilaksanakan, PR Selangor akan memperlihatkan bahawa industri rumah urut dan spa semakin bercambah tanpa kawalan.

Malah jelasnya tuduhan PR sebelum yang mengatakan pertumbuhan rumah urut itu diwarisi sejak pemerintahan BN nyata tidak berasas.

"Sepanjang PR menjadi kerajaan di Selangor, inilah aktiviti yang disokong kalau tidak kenapa tidak dibuat penguatkuasaan pun, memang mereka orang di sebalik.

"Tiada kebenaran, di zaman BN di Selangor kalau ada pun rumah urut, hanya yang berlesen dan boleh dikawal, kalau dapati melanggar, kita boleh batalkan lesen dan pemantauan akan dibuat.

"Jangan warisi apa exco lama buat," dakwanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan