Rabu, 24 April 2013

SEDARLAH KITA TAK LAKU LAGI...JANGANLAH PERASAN

PR perintah, pertukaran guru mesra keluarga - Husam

Harakahdaily, 24 Apr 2013


PUTRAJAYA: Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa berkata, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, sistem pertukaran guru akan diubah ke arah lebih 'mesra keluarga'.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Husam yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, pada waktu ini ramai guru-guru terpisah jauh dari anak isteri masing-masing ekoran sistem pertukaran guru yang tidak berpandukan kepada konsep yang betul.

"Ada pasangan guru dipisahkan, suami di Johor, isteri di Perlis, isteri di Selangor suami di Sarawak. Apa perasaan mereka? Siapa yang akan bertanggungjawab menguruskan anak-anak yang masih kecil?

"Bayangkan ada pasangan muda terpaksa berpisah kerana tiada konsep mesra suami isteri. Ada yang berseloroh, macam mana kalau perdana menteri dan isteri dipisahkan begitu. Saya harap Datin Seri Rosmah dapat faham rungutan kakitangan awam ini," kata Husam.

"Kalau Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir negara, saya berjanji kepada lebih kurang 400,000 guru di Malaysia bahawa kalau ada pertukaran guru, kita akan buat dengan cara mesra keluarga," katanya lagi.

Konsep itu juga ujarnya akan diguna pakai kepada semua kakitangan awam di pelbagai sektor dan bukan khusus kepada guru sahaja.

Sehubungan itu juga katanya, satu forum Debat Putrajaya akan diadakan dan beliau menawarkan diri untuk tampil di pentas debat itu.

Beliau turut mengajak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tampil bersama bagi membincangkan tajuk 'Kebajikan Guru'.

Menurutnya, Muhyiddin adalah individu paling layak memandangkan beliau adalah menteri pelajaran.

Calon PAS turut usung keranda jenazah

Anis Nazri, 24 Apr 2013

(Zaidy [berkopiah puteh] turut mengusung keranda jenazah anak saudara Pak Yob)

SELAYANG: Pemimpin biasanya bersikap elit dan berada di kedudukan yang lain dari orang biasa tetapi bagi calon PAS di DUN Taman Templer, pemimpin sepatutnya sentiasa bersama rakyat.

Zaidy Abdul Talib antara calon PAS yang berusaha sebaik mungkin untuk bersama dengan rakyat di segenap segi.

Dari bermain bola futsal hinggalah berada di atas mimbar memberikan khutbah Jumaat, itulah kebolehan calon PAS ini.

Sekiranya berlaku sebarang kematian atau ada yang jatuh sakit, beliau akan turut menyantuninya seperti yang dilakukannya awal pagi tadi apabila anak saudara kepada seorang ahli PAS, Pak Yob meninggal dunia di Apartment Merak, Selayang yang pada awalnya mengadu sakit perut.

Bagaimanapun, ketika di bawa ke klinik, anak saudara Pak Yob itu diberikan ubat oleh doktor, tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan yang kemudiannya terus dinasihatkan untuk ke hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Zaidy adalah antara yang menguruskan jenazah anak saudara Pak Yob sehingga mengusungnya di dalam keranda.


Kempen

Faktor cuaca yang tidak menentu tidak mematahkan semangat calon ini meneruskan kempen dalam pru ke 13 ini.


(Zaidi berucap di atas belakang  kereta sambil berpayung)

Tanpa mengira lebatnya hujan membasahi bumi, dengan memakai 'rain coat', beliau tidak berhenti menyantuni para pengundi sepanjang kempen pilihan raya ini.

"Dalam keadaan cuaca tidak menentu, khususnya hujan di waktu petang, ia tidak membataskan pergerakan saya untuk terus turun padang menemui pengundi," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagi ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, tiada waktu senggang yang membolehkan beliau duduk sahaja melainkan menemui para pengundi dengan jadual yang padat dari pagi hingga ke tengah malam.

Selepas Subuh, jadualnya bermula seawal jam 7 pagi apabila beliau akan bersarapan di tiga tempat hingga jam 9 pagi, sebelum berkempen dari rumah ke rumah dan terus ke tapak pasar-pasar malam pada sebelah petang.

Rutin harian Zaidy berterusan dengan ceramah-ceramah penerangan di tiga buah tempat setiap malam bagi memastikan amanah yang diberikan PAS kepada beliau sedaya-upaya digalas sebaiknya.

R nafi guna tandatangan palsu Sultan Kelantan

Harakahdaily, 24 Apr 2013

(Abdul Shakur menunjukkan salinan plak dan gambar Tuanku Sultan Kelantan menandatangani plak)

PASIR PUTEH: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) menafikan dakwaan sebuah NGO kononnya mereka menggunakan tandatangan palsu Sultan Kelantan.

Timbalan Presiden, Abdul Shakur Sharie berkata, plak tuntutan pendaratan gas di Kelantan yang mengandungi tandatangan tuanku ditandatangani sendiri baginda pada 5 Jun 2012.

Oleh itu beliau menafikan dakwaan Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia kononnya kenderaan milik R memaparkan tandatangan palsu.

“Kami menjunjung titah tuanku supaya gas dapat didaratkan di negeri ini sebagaimana dititah baginda ketika perasmian pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan tahun lepas.

“Sebagai rakyat kami menjunjung titah baginda bagi memastikan hak rakyat Kelantan mendapat royalti dan pendaratan gas menjadi kenyataan,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, Tengku Syarifah Fadzillah Puteri membuat laporan polis terhadap pemilik kenderaan yang memaparkan tandatangan palsu Sultan Kelantan.

Abdul Shakur berkata, kenderaan yang dimaksudkan NGO terbabit adalah miliknya dan tandatangan Sultan Kelantan bukan palsu seperti didakwa NGO terbabit.

Malah katanya, petang ini beliau dipanggil polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh berikutan laporan dibuat NGO berkenaan.

“Kami tidak akan sekali-kali tunduk terhadap halangan yang cuba dicetuskan pihak-pihak tertentu melemparkan pelbagai dakwaan tidak berasas terhadap perjuangan R.

“Malah kami akan memastikan setiap rumah rakyat Kelantan memiliki salinan plak tersebut sebagai symbol perjuangan mereka sehingga tuntutan kita menjadi kenyataan,” katanya.

Menurutnya NGO R sebuah pertubuhan berdaftar secara sah dan memiliki sijil yang dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan.

Jelajah GM13 misi ‘Selamat Tinggal Najib Razak’

Harakahdaily, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa Pilihanraya Umum ke-13 (GM13) mengorak langkah mara untuk terus merealisasikan objektif utama bagi menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan raya Umum ke-13 ini.
Pengerusinya, Syis Abdul Kadir berlata, GM13 sekali lagi melancarkan roadshow ke beberapa kawasan tumpuan bagi menumpukan tenaga mahasiswa bagi menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat.

Bagi mahasiswa, ujarnya terlibat secara langsung dalam pilihanraya kali ini adalah penting bagi menyediakan generasi muda yang juga bakal menjadi generasi pelapis bagi kepimpinan negara akan datang.

Menurutnya, sejak sebelum hari penamaan yang lalu, GM13 telah secara aktif terlibat bagi memberikan penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu yang berlaku khususnya isu yang berlaku kepada mahasiswa dan anak muda secara umum.

“GM13 turun ke Parlimen Pekan pada hari penamaan yang lalu telah memperlihatkan situasi sebenar di Pekan sememangnya telah menggusarkan kerusi Najib Razak sendiri,” katanya.

Tegasnya, GM13 nekad membawa agenda perubahan ini semarak ke seluruh negara bagi menjayakan misi ‘Selamat Tinggal Najib Razak’ yang bakal mencatat sejarah merupakan Perdana Menteri terakhir daripada Umno.

“Mahasiswa menjadi agen pencerahan kepada rakyat. Mahasiswa juga akan menjadi penyeimbang antara kuasa-kuasa besar politik, juga akan memastikan rejim yang zalim pasti akan tumbang jua suatu hari nanti,” katanya.

Beliau menambah, atas faktor itu GM13 menyeru seluruh pendukung gerakan mahasiswa agar terus membawa agenda perubahan terbesar dalam negara berhadapan pilihanraya yang cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi menuju hari pengundian.

Dengan ini, katanya GM13 mengajak semua untuk bersolidariti bersama di beberapa kawasan tumpuan yang telah diatur iaitu pada 25-26 April di Parlimen Putrajaya, Kuala Selangor (28-29 April), Gelang Patah, Johor (30-1 Mei) dan Paya Besar, Pahang (2-3 Mei).

“Selangkah menuju kemenangan rakyat, Road to Putrajaya. Ayuh kita jayakan!” ujarnya.

Takiyuddin minta Fatmi kemuka bukti

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 24 Apr 2013
KOTA BHARU: Calon BN bagi Parlimen Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Salleh, diminta membuktikan dakwaannya yang mengatakan kerajaan negeri melalui MPKB-BRI hanya meluluskan 300 unit rumah kos rendah dari keseluruhan 1,000 unit pembinaan rumah tersebut.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Fatmi perlu membuktikan dakwaannya itu dalam tempoh 24 jam, iaitu sehingga tengahari esok.

Jika tidak katanya, beliau akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya nak minta kerjasama pihak berkenaan, khususnya calon Parlimen Kota Bharu, membuat kenyataan itu sabab saya difahamkan beliau mengeluarkan kenyataan ini.

“Kalau benar dakwaan itu darinya, meminta Datuk Fatmi Salleh menunjukkan bukti bagi mengesahkan perkara tersebut," katanya.

Takiyuddin yang juag calon PAS Kota Bharu berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Taman Iman di Wakaf Che Yeh tengahari tadi.

Perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Takiyuddin, dakwaan berhubung perkara itu sama sekali tidak betul, malah sehingga hari ini belum ada apa-apa permohonan dari mana-mana pihak pemaju.

Sama ada untuk memasukkan plan atau sebarang kebenaran untuk membina perumahan di Kampung Baru raja Udang, Wakaf Mek Zainab, semuanya belum diterima, kata Takiyuddin.

“Jangan bagi kenyataan yang tidak betul atau menyeleweng kepada orang ramai,” ujarnya sambil meminta Fatmi hadir sendiri ke MPKB untuk mendapat penjelasan lanjut.

Nasihat Ku Nan sesuai untuk diri sendiri - Husam

Salmiyah Harun, 24 Apr 2013
PUTRAJAYA: Calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa menyifatkan nasihat Tengku Adnan Tengku Mansor kononya untuk beliau, sebenarnya adalah sesuai untuk dirinya sendiri.

Husam berkata demikian merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Umno itu hari ini yang menasihatkan Husam jangan bermain dengan politik kotor.

Jelas Husam, sebaik dipilih sebagai calon Putrajaya beliau sudah membuat aku janji bahawa kehadirannya di sini adalah untuk bersahabat dan berpegang kepada politik madani.

"Saya tidak berbuat apa-apa pun lagi, dan tidak akan bermain dengan politik kotor.

"Misal isu Linggam, saya tak sentuh pun! Tetapi nasihat Tengku Adnan ini, saya kira sesuai untuk dirinya sendiri," kata Husam dalam sidang medianya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Husam sudah menjangkakan kempen kotor di pusat pentadbiran kerajaan itu semakin menjadi-jadi apabila ada pihak lawan telah mengedarkan buku fitnah terhadapnya.

Menurut Husam buku yang bertajuk 'Kenali Siapa Husam Musa; Politik Wang dan Kronisme' tidak mempunyai nama penerbit dan percetakan.

Buku tersebut mengandungi 36 muka surat telah diedarkan di Putrajaya seminggu yang lalu.

Setelah mendapat nasihat daripada pihak guaman, beliau dinasihatkan supaya membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 11(1) C dan D.

Beliau bersama empat peguamnnya dijangka akan membuat laporan polis berhubung perkara ini di Balai Polis Presint 9 hari ini.

Seksyen itu menyebut adalah menjadi satu kesalahan rasuah bagi mana-mana calon pilihan raya yang menyebarkan bahan-bahan bercetak yang tidak mempunyai nama penerbit dan pencetak bagi mencapai kememangan dalam pilihan raya tersebut.

Dibawah akta tersebut juga pihak polis boleh menahan orang berkenaan dan boleh di bawa ke mahkamah.

Kesalahan denda RM5,000 atau satu tahun penjara di mana ia boleh menghilangkan kelayakan calon tersebut bertanding.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan