Rabu, 24 April 2013

MEREKA AJAK....JOM KELUAR UMNO MASUK PAS

Tak puas hati calon punca 30 ahli tinggalkan Umno

Mohd Nor Yahya & Mijie Yusof, 24 Apr 2013

KUBANG KERIAN: Tidak puas hati pemilihan calon membuatkan 30 ahli dan penyokong Umno di Kampung Belukar Limbat Dun Pasir Tumbuh meninggalkan parti Melayu itu.

Ekoran itu banyak pos dan bilik gerakan Umno di Kubang Kerian yang dibuka sebelum ini ditutup sebagai tanda protes.

Lebih memeranjatkan lagi apabila kumpulan ahli dan penyokong Umno itu diketuai Mohd Rozi Mat Hussin, 35 menyerahkan borang menyertai PAS malam tadi.

Rozi berkata, pemilihan calon Umno untuk kerusi Parlimen Kubang Kerian, Anuar Safian dan Dun Pasir Tumboh, Mohd Shamsul Yusof tidak disenangi ramai ahli dan penyokong Umno peringkat cawangan.

Malah katanya pemimpin di peringkat bahagian Kubang Kerian juga kecewa terhadap tindakan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mengenepikan mereka yang sudah lama berjuang.

“Kami tidak akan lagi memberi sokongan kepada calon BN pada pilihan raya umum kali ini. Pimpinan Umno di peringkat negeri dan pusat tidak pernah mendengar cadangan akar umbi,” katanya di sini.

Rozi juga berkata, walaupun BN meletak calon lepasan agama, namun pengundi di Dun Pasir Tumboh tahu calon yang ditampilkan sekarang hanya bidang terjun.

“Kami tidak mengenali calon yang diletak mewakili Umno biar pun juga dikatakan seorang ustaz,” ujarnya.

Beliau menyerah borang kepada calon PAS Dun Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunus. Turut hadir Penghulu Mukim Guntung, Nik Azhan Nik Muhammad.

Manakala di Dun Manek Urai, sebuah keluarga di Kampung Manjor menerima ugutan pemimpin Umno mahu menyodok rumahnya selepas mereka menyertai PAS pada 2004.

Rumah penduduk terbabit dibina di bawah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) dibiayai kerajaan pusat.

Bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Lepan Meranti, Kampung Manjor, Aminah Ali, 43 berkata, beliau tetap menyertai PAS biar pun diugut pemimpin Umno.

Ketika ditemui semalam katanya, beliau dan suami, Mohd Sam Yaacob, 46 memilih PAS yang memperjuangkan Islam sebagai wadah baru perjuangan.

“Hasil kesedaran, ceramah dan gerak kerja pimpinan PAS tempatan banyak memberi dorongan kepada kami memilih PAS,” katanya.

Seorang lagi penerima rumah PPRT Rahmah Mohd Rashid, 38 dari kampung sama turut menyertai PAS biar pun juga berdepan dengan ugutan pemimpin Umno.

Sementara itu di Pengkalan Chepa sebuah keluarga penyokong Umno di Kampung Pantai Kundur menyertai PAS malam tadi. Zulkifli Ismail menyerah borang kepada calon PAS parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin.

DAP bawa watikah PAS ke dewan pencalonan

Subky Latif, 24 Apr 2013


DAP telah mendapat nikmat pertama dari dasar Negara Berkebajikan PAS apabila dapat ditenangkan pada saat hampir tidak boleh menggunakan lambang Roketnya kurang dari 30 jam sebelum waktu penamaan calon dibuka.

DAP jangan risau,  calon-calonnya pasti boleh bertanding tanpa lambangnya atau sekalipun parti itu disembelih oleh ROS. DAP boleh memanfaatkan lambang PAS Bulan Penuh Purnama.

Menenangkan sekutunya itu satu tindakan mulia dan besar pahalanya. Sekali pun DAP parti sekular dan 99 peratus ahlinya bukan Islam tetapi mereka juga mahkhluk Allah yang perlu diselamat pada waktu ia terancam atau berdepan dengan maut.

Bukankah ada kisah seorang perempuan lacur mendapat ganjaran syurga kerana memberi air kepada seekor anjing yang nazak? Anjing adalah binatang najis yang apa saja disentuhnya terpaksa disamak sebelum boleh digunakan. Wanita itu pula ahli maksiat yang tempat layaknya adalah di neraka.

Menyelamatkan binatang najis dari mati dahaga berpahala besar dan pelacur keji itu telah diberi hidayat untuk menjadi ahli syurga.

Tidakkah PAS mendapat pahala besar dari tindakannya menenang dan menyenangkan hati saudara angkatnya, DAP yang cemas dan hampir lemas oleh tindakan  nakal – buli - ROS menjelang hari penamaan calon? Tidakkah sikap PAS itu adalah tafsiran awal dasar Negara Berkebajikannya yang penuh Islamik? Dan DAP adalah pihak pertama menikmati dasar Islamik PAS itu.

DAP tidak  diharamkan, tetapi yang tidak disahkan ialah Jawatankuasa Pusatnya. Ini bererti parti tiada pimpinan yang sah. Lim Guan Eng tidak sah sebagai Setiausaha Agung. Bagaimana tanda tangannya pada watikah calonnya  boleh disahkan?

SPR secepat kilat bertindak, indakan ROS itu tidak menjejaskan kesahihan watikahnya. Bagaimana pun DAP tidak bulat meyakini jaminan SPR itu, kerana wibawa dan integritinya diragukan.

Dalam masa 24 jam itu PAS memproses watikah semua calon DAP di Semenanjung, manakala PKR memberi watikahnya buat calon di Sabah dan Sarawak.

Seluruh penyokong PAS menerima positif atas persetujuan PAS-DAP itu.  Tiada yang menyoal  kebijaksanaan PAS memberi kemudahan. Semua simpati atas kepiluan DAP itu dan tiada yang mengira ia melepas ekor anjing tesepit. Semuanya marahkan UMNO walaupun ia mungkin sikap bermuka ROS.

Semuanya mengira ia tindakan mulia PAS. Tok Guru Nik Aziz dikatakan berkata, Roket telah tiba ke Bulan.

Semua berharapkan malam 5 Mei nanti PAS menang di Kepong, Bukit Bintang, Batu Kawan, Ipoh Timur dan apa lagi di Gelang Patah. Dan yang paling ditunggu ialah wakil rakyat baru PAS, Lim Guan Eng akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri PAS di Pulau Pinang. Tiada mimpi PAS boleh membentuk kerajaan di Pulau Pinang. Tiada yang mustahil jika itu yang Allah kehendaki.

Apa reaksi penyokong DAP? Tentu ia  marah pada UMNO dan ROS. Tetapi mereka senang hati dengan murah hati PAS.  Kurang sejam selepas DAP bersetuju menggunakan lambang  alternatif itu pimpinan wanitanya yang berpengaruh, Teresa Koh berkata kepada umum, DAP sudah masuk PAS dengan bertanding atas nama PAS.

‘Saya  boleh dipanggil Ustazah,” katanya. Ia kenyataan  spontan, terbuka dan bermakna.

Dengan rahmat Negara Berkebajikan dari PAS tadi DAP sudah berasa lapang bahawa mereka tidak akan jadi calon bebas yang bercelaru simbolnya. Hanya mereka belum yakin dengan janji manis SPR.

Apa pun mereka tidak tolak 100 peratus janji SPR itu. Maka menjelang penamaan calon itu sepanjang malam pemimpin-pemimpin DAP mengagihkan watikah PAS kepada semua calon DAP di Semenanjung. Pesan Guan Eng kepada semua calon, bawa dua surat tawliah itu ke dewan penamaan calon. Hulur dulu watikah DAP. Jika  ditolak, unjukkan watikah PAS. UMNO pun tidak mahu ditempelak. SPR terima watikah Roket.

Watikah PAS boleh disimpan oleh setiap calon. Simpan dalam fail atau letak pada frem. Akan sejarah penting 100 tahun akan datang.


Pemuda : Jentera Penjana Kemenangan

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi, 23 Apr 2013
Pemuda adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerak kerja berkesan, menumbuh kesedaran ahli, meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan.

Jentera pemuda menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik. Pendek kata, sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihan raya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah.

Yang paling penting, ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu pemuda, apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas, taqarrub Ilallah, soleh, benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah Taala sehingga turun nusrah atau mau'nahNya.

Syarat Menang Mestilah Berjuang

Saya mengharapkan Jentera Pemuda dapat melaksanakan tanggungjawab ini (berjuang dan menang) dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik. Tampil dengan himmah yang tinggi, syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti.

Ingatlah, bahawa kita menyertai perjuangan ini bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi, tetapi kita menyertainya justeru ia adalah amanah untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini dan mendaulatkannya iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya.

Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun, serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin, serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi, menang atau kalah.

Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang, tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang. Sekurang-kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Pemuda ialah :

Spiritual Yang Akrab

Maksudnya, pemuda jangan turun beraksi (berjuang) tanpa mempersiapkan diri dengan kerohanian yang akrab atau erat hubungan kepada Allah Taala. Turunlah dengan nama Allah Taala bersama iringan doa memohon restu Allah agar apa jua bidang tugasan yang kita lakukan beroleh kejayaan dan hasil yang gemilang.

Janganlah kerana tugas kononnya, kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah dan menjarakkan hubungan kita denganNya. Sebagai contoh, mengabaikan solat lima waktu dan meringan-ringankan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak.

Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat.

Akhlak Mahmudah

Merujuk kepada syakhsiyyah atau peribadi yang terpuji. Bukan hanya terhenti kepada perilaku tetapi juga tutur bicara, penampilan, pakaian, interaksi dan segalanya mestilah lunak, berhemah dan menawan hati.

Saya percaya, pemuda antara orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh perjuangan ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerak kerja berjalan lancar mengikut jadual. Waktu-waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar.

Pemuda mesti tabah dan berjiwa besar. Bekerjalah dengan tenang dan sentiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda. Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam. Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah.

Tambahan pula berdepan provokasi musuh, pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap.

Dengar dan Taat

Suasana berjuang seringkali meletakkan pemuda berhadapan dengan arahan yang bersifat ad hoc atau tugasan diluar garis pandu dan bidang tugas yang telah diputuskan. Pemuda mesti sabar dan tabah menghadapi keadaan ini. Jangan merajuk apalagi menunjuk sikap protes terhadap pimpinan. Sekalipun pemuda tidak mampu melakukan arahan tersebut, maklumkanlah keuzuran dengan beradab dan baik.

Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah Taala dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik. Jangan sekali-kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga.

Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh. Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa, wang ringgit, tenaga malah darah dan nyawa jika perlu.

Faham dan Ikhlas

Pemuda mestilah terlebih dahulu menguasai satu-satu bidang atau perkara yang diamanahkan kepadanya sebelum dilaksanakan agar menghasilkan keputusan yang baik. Jangan segan untuk bertanya dan jangan rasa rendah diri untuk menerima tunjuk ajar walau dari sesiapa. Apatah lagi menerima tunjuk ajar dari pimpinan atau mereka yang berpengalaman.

Pemuda mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan.

Lantaran ikhlas kita kepada Allah SWT , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia. Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan, namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai. Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini.

Tindakan berasaskan Musyawarah

Elakan sikap bertindak sendirian, demikian juga keputusan sendiri mestilah dihindarkan sebaliknya merujuk kepada keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat samaada diperingkat jentera dalam bidang kuasa tertentu atau keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan parti.

Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita. Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati.

Contohnya : Isu penetapan calon yang bertanding dalam pilihan raya. Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon pilihan kita, maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jemaah atau tutup pos sebagai protes.

Kita berjuang kerana Allah bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa. Keputusan syura insya-Allah akan membawa kebaikan kepada kita, jemaah dan perjuangan Islam itu sendiri.

http://www.tarbawi.my

Anak muda tolak pemimpin Umno rasuah

Ibnu Shahid,
Apabila melihat senarai calon BN yang dibarisi oleh kebanyakan pemimpin UMNO yang pernah dijatuhi hukuman oleh UMNO kerana kesalahan rasuah, saya merasa geli hati dengan ungkapan Datuk Seri Najib yang inginkan “winnable candidate” untuk memenangkan Barisan Nasional pada Pilihanraya Ke13 ini. Agaknya Datuk Sri Najib tak sedar lagi bahawa anak muda sekarang penuh dengan maklumat dan informasi?

Saya tertanya-tanya adakah calon ini yang rata-rata bertukar dari DUN ke Parlimen mampu memenangkan BN dengan majoriti 2/3? Calon seperti Tan Sri Isa Samad, Datuk Sri Mohd Ali Rustam, Khairy Jamaludin dan ramai lagi adalah calon yang pernah terpalit isu rasuah suatu masa dahulu. Saya berpendapat sekiranya mereka ini memenangi pilihanraya dan membarisi Kabinet Datuk Seri Najib, akhirnya Malaysia akan memperoleh Barisan Menteri Kabinet yang paling rasuah dalam sejarah negara.

Saya dan ramai anak muda lain akan pastikan mereka ini ditolak dalam pilihanraya kali ini kerana tidak mahu lagi negara ini ditadbir oleh pelaku rasuah yang akhirnya akan menjahanamkan negara.  Bila sebut saja nama mereka ini, semua rakan mengatakan mereka adalah pelaku rasuah. Sekali mereka menceburkan diri dalam rasuah adalah amat sukar untuk diterima mereka telah bertaubat dan insaf dengan begitu mudah dan memberi keyakinan seolah mereka sudah tidak akan melakukan rasuah lagi. Apatah lagi jika mereka diberikan kuasa memerintah sekali lagi, entah apa yang akan dilakukan oleh mereka yang hanya mementingkan diri dan kroni mereka sendiri. Cukuplah pelbagai isu rasuah  yang telah meremukkan hati rakyat yang tidak diambil tindakan oleh kerajaan sehingga sekarang seperti isu NFC, PKFZ dan pelbagai isu rasuah yang lain.

Kali ini, anak muda akan menunjukkan jalan demokrasi yang sebenarnya, iaitu BN bukan lagi parti dominan yang mendakwa hanya BN sahaja yang mampu mentadbir negara berbanding Pakatan Rakyat. Kami akan menunjukkan jalan keluar dari masalah rasuah yang dilakukan oleh para pemimpin BN dan membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah kuasa yang tidak boleh disekat dengan apa cara sekalipun walau disogokkan dengan wang ringgit seperti BRIM dan pelbagai lagi.

Sungguhpun demikian, kepada Pakatan Rakyat, buktikanlah kewibawaan dalam mentadbir negara apabila amanah yang berat diberikan oleh rakyat seperti kami ini kepada PR. Kami inginkan negara ditadbir oleh golongan yang ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri serta mampu membawa kesejahteraan kepada keseluruhan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum ini. Ayuh semua anak muda, kita robohkan egoistik pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dengan mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya Ini Kalilah!!!!…

Muar, Johor.

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan