Rabu, 27 Februari 2013

SELAIN TUAN GURU MENJADI ASET BESAR PAKATAN...IA TERMASUK JUGA AHLI2 YANG TAKWA SERTA PENJUANG@PERTUGAS2 YANG IKHLAS BEKERJA SEMATA2 KERANA ALLAH SWT

Himpunan Anak T'ganu 2013 pada 3 Mac

Harakahdaily, 26 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) akan menganjurkan Diskusi Harapan Orang Terengganu Pilihanraya Umum ke-13 sempena Himpunan Anak Terengganu Perantau 2013 (HAT13) pada 3 Mac ini di Shah Alam.


"Kita memfokus diskusi bertajuk Terengganu Maju: Harapan, Realiti dan Cabaran sebagai agenda terpenting dalam HAT13 ini," kata Setiausaha HAT13, Zulhilmi Abd Rahman.

Kertas induk akan dibentangkan oleh Pengarah Institut Kajian Polisi Terengganu, Dr Mohd Khazani Abdullah manakala Prof Madya Dr Kamarulzaman Yusof dari UKM sebagai moderator.

Ahli-ahli panel terdiri daripada Datuk Ismail Hamzah, mantan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Raja Idris Raja Kamaruddin, Pengerusi Perangsang dan Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.

Beliau memberitahu Harakahdaily, program HAT13 adalah kesinambungan kepada Himpunan Anak Terengganu 2012 yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tahun lepas.

Para peserta boleh menghubungi talian sekretariat, Zulhimi 012-9283560 atau Hafizul Muda, 019-9506457.

Pantun Presiden PAS dapat tepukan gemuruh

Salmiyah Harun, 26 Feb 2013


SHAH ALAM: "Lebah bukan sebarang lebah, lebah terbang di tepi paya, ubah bukan sebarang ubah, ubah kita ke Putrajaya".

Pantun yang diberikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini mendapat tepukan gemuruh para peserta Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 semalam.

Selain itu, beliau juga berpantun:

Daripada cempedak baiklah nangka,
kerana nangka panjang tangkainya,
daripada 'dedak' baiklah jingga,
kerana jingga panjang akalnya.

Dalam ucapannya, Ustaz Hadi berkata Pakatan Rakyat bertanggungjawab mencerdikkan rakyat melalui agenda Buku Jingga setelah lebih 50 tahun rakyat diperkudakan oleh Umno BN.

"Kita tidak mahu rakyat dihina dan diperkudakan. Buku Jinggalah akan menyelesaikan masalah. Insyallah rakyat tidak boleh dibodohkan. Tanggungjawab kita mencerdikkan rakyat," katanya.

Jelasnya, Buku Jingga menekankan konsep rakyat dimampukan bukannya rakyat diajar menjadi pengemis, di mana melalui agenda buku ini akan menyelesaikan masalah pengangguran bukannya menambah pengangguran supaya senang membeli undi.

"Cara BR1M tidak membijakkan rakyat. Rakyat dibijakkan terima BR1M tetapi jangan undi BN. BR1M itu duit kamu bukan duit poket BN, ambil," katanya yang diikuti tepukan gemuruh para perwakilan.

Malah Hadi turut membacakan sepotong ayat Al-quran yang menceritakan semula kisah Nabi Musa berhubungan kekayaan Firaun yang digunakan untuk menyesakkan rakyat bukannya untuk membela rakyat.

"BR1M bukan cerita baru, Al-quran sudah sebut lebih lima enam ribu tahun yang lalu. Firaun pernah bagi BR1M. Firaun telah mengerahkan rakyatnya.

"Dikumpul beramai-ramai lalu Firaun berucap. Tidakkah aku menjadi pemerintah berkuasa di Mesir ini? Sungai-sungai mengalir di kampung-kampung adalah projek aku. Di bawah penguasaan aku.

"Aku yang bagi. Satu lagi projek aku. Al-Quran berkata maka Firaun menjadikan rakyat ringan akal dan membodohkan rakyat," katanya diiringi ketawa yang menggamatkan dewan konvensyen.

Tentera yakin peralihan kuasa secara aman

Harakahdaily, 26 Feb 2013
SHAH ALAM: Tentera dan polis yakin Pakatan Rakyat akan menang pada Pilihan Raya Umum ke 13, kata Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (gambar).

“Risikan dari tentera dan polis mengatakan bahawa mereka yakin Pakatan akan menang.

“Mereka juga merangka rancangan bagaimana untuk menjaga keamanan negara,” kata bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat itu.

Beliau berucap demikian depan hampir 2,000 perwakilan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Ghafir berkata, peralihan kuasa nanti akan berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan seperti yang didakwa Umno BN.

“Saya percaya tidak akan ada revolusi yang akan terjadi kerana rakyat kita adalah rakyat yang berbudaya,” kata Ghafir.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa angkatan tentera kita adalah profesional dan taat kepada Yang DiPertuan Agong.

“Sekiranya pemimpin-pemimpin Pakatan dipanggil mengangkat sumpah untuk membentuk kerajaan, saya yakin angkatan tentera akan berada di belakang pimpinan ini,” ujarnya disambut tepukan gemuruh.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh Manifesto Pakatan Rakyat yang disifatnya terbukti menjamin keadilan untuk rakyat.

“Tahniah kepada pimpinan Pakatan kerana berjaya hasilkan manifesto terbaik untuk mengangkat martabat rakyat khususnya rakyat miskin.

“Ia ternyata bukan sekadar retorik, tapi ada implikasinya,” kata Ghafir.~keadilandaily

Peralat warga Thailand berlakon sertai Umno

Yaakub Dasan, 25 Feb 2013
RANTAU PANJANG: Tanpa mengira seseorang itu berasal dari mana, Umno di sini terpaksa memperalatkan pihak berkenaan bagi menjayakan program penyokong PAS menyertai Umno baru-baru ini.

Itulah yang berlaku kepada beberapa penama yang didakwa kononnya bekas penyokong PAS, menyerah borang menyertai Umno kepada ketua bahagian Umno Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin.

Noraini Dollah kini menetap di Kampung Tasik Bakong yang disebut menyertai Umno sebenarnya berasal dari Thailand dan tidak berdaftar sebagai pengundi.

Begitu juga Rahmah Che Noh kini tinggal di Kampung Tok Pelandok juga berasal dari Thailand.

Penghulu Mukim Padang Licin, Tasik Bakong, Wan Mohd Zain Wan Jaafar berkata, kedua-dua wanita berkenaan yang disebut media dan televisyen kononnya bekas ahli PAS adalah tidak benar.

Katanya, mereka tidak berdaftar sebagai pengundi kerana berasal dari negara jiran.

"Dakwaan Noraini kononnya dia keluar PAS kerana kesal dengan kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz mengenai pemberian BR1M tidak betul sama sekali.

”Percakapannya seperti disiarkan televisen malam 22 Februari diajar seseorang yang berada di sebelahnya. Semua orang kampung tahu lakonan itu dibuat tergesa-gesa bagi menutup kemelut dalaman Umno Rantau Panjang sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini media tajaan Umno melaporkan seramai 78 ahli dan penyokong PAS menyertai Umno selepas kecewa dengan kenyataan Mursyidul Am PAS berkaitan BR1M.

Wan Mohd Zain berkata, warga dari negara jiran itu diperalatkan oleh Umno semata-mata bagi menghodohkan Menteri Besar dan kerajaan PAS Kelantan.

Menurutnya seorang lagi yang didakwa ahli PAS iaitu Zulkepli Mohd Don berasal dari keluarga Umno di kawasan Felda di Johor.

Kata beliau Zulkepli tidak pernah berdaftar sebagai ahli PAS dan tidak terbabit dengan sebarang aktiviti PAS di sini.

“Dia berasal dari keluarga Umno di Johor baru berhijrah ke sini,” ujarnya.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

TG Nik Aziz aset terbesar Pakatan - Anwar

Harakahdaily, 25 Feb 2013


(Pemimpin utama PAS, PKR dan DAP di Konvensyen Pakatan Rakyat ke - 4 hari ini)

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rekod kepimpinan yang ditunjukkan Tuan Guru Datuk Nik Aziz selama 22 tahun di Kelantan adalah aset terbesar Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Bagi beliau, intergriti dan good governance yang ditunjukkan Tuan Guru Nik Aziz selama 22 tahun mentadbir Kelantan membuktikan kehebatan kepimpinan yang ada pada Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 di Pusat Konvensyen Shah Alam tengahari tadi.

Kata Anwar, tidak ada mana-mana pemimpin di rantau sebelah sini yang boleh mengatasi kehebatan Tuan Guru Nik Aziz dari segi intergritinya.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat juga berbangga dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng hebat dari segi kecekapan dan ketelusan yang ditunjukkan oleh kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin beliau.

"Beliau juga sanggup mengaku kelemahannya untuk memahami keperluan Melayu Pulau Pinang.

"Selepas kita beritahu, dia telah memperuntukkan setengah bilion ringgit (RM500 juta) untuk perumahan di Pulau Pinang," kata Anwar.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat sangat berbangga dengan kehebatan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Dengan perancangan yang dibuat oleh Khalid, lihatlah apa yang dikecapi oleh rakyat Selangor sekarang," kata Anwar dalam ucapannya memuji kehebatan Khalid dalam membangunkan ekonomi Selangor.

‘Tiap kali PRU tawar geran tapi tak pernah dapat’

Khairil Abdul Rahim, 25 Feb 2013

Abdul Razak di kawasan rumahnya yang tiada bekalan elektrik dan air.

BENTONG: “Tinggal di kawasan Menteri Besar tidak ada kelebihannya jika kami hanya layak digelar penumpang seperti pendatang tanpa izin,” keluh warga Abdul Razak Ali, 65, dari Kampung Chemomoi dekat sini.

Menurutnya, beliau telah lebih 40 tahun tinggal di situ dengan mengusahakan lima ekar sawit tetapi oleh kerana tidak mendapat geran hak milik beliau dinafikan sebarang bantuan seperti daripada Risda.

“Saya dah mohon geran tanah lot tapak rumah dan kebun sejak daripada zaman mendiang Tan Sri Chan Siang Sun jadi ahli parlimen Bentong lagi.

“Tiap-tiap kali pilihan raya umum (PRU) ada tawaran untuk diberi geran, dah beberapa kali janji tapi sampai ini tak dapat. Saya percaya tak lama lagi ada yang akan datang tawarkan untuk beri geran. Dah jadi macam umpan untuk undi.

“Apa yang saya bimbangkan apabila tidak ada geran bila-bila masa kerajaan boleh ambil. Jadi sebelum ‘pejam mata’ saya rayulah dilulus geran kami, kalau tidak apa lagi yang dapat saya wariskan kepada anak-anak,” keluhnya.

Abdul Razak berkata, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai wakil rakyat di sini, memang ada sesekali datang tetapi biasanya hanya mengagihkan wang atau bantuan sedangkan bagi penduduk di situ geran tanah lebih penting bagi menjamin kehidupan mereka.

Kampung Chemomoi dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangau dibuka sekitar tahun 1959 oleh penduduk tempatan dan mereka yang berhijrah dari Negeri Sembilan. Nama Felda Chemomoi diambil daripada nama kampung berkenaan yang terletak bersebelahan.

Pada masa ini terdapat kira-kira 100 keluarga dalam kampung berkenaan yang sebahagian besarnya bekerja kampung sebagai petani.

Seorang lagi penduduk, Zainuddin Samad, 54, (kiri) pula kecewa berikutan tanah seluas setengah ekar tapak rumahnya masih tiada geran hak milik.

Katanya, sudah enam kali beliau mohon, dan sejak itu sudah beberapa kali kakitangan pejabat tanah datang ukur tanah sekeliling rumahnya tetapi lepas itu terus senyap.

“Saya hairan bagaimana kerajaan melaungkan janji ditepati, sedangkan janji kepada kami penduduk kampung yang berada dalam kawasan Menteri Besar Pahang ini tidak pernah ditepati.

“Kenapa buat rakyat macam pendatang asing. Kami bukan minta hak orang lain, kami minta hak kami sendiri di tanah yang kami telah hidupkan berpuluh tahun,” tegasnya.

Mohd Borhan Abdul Razak, 30, pula kesal akibat tidak ada geran tanah, rumah yang baru dibinanya tidak dapat diduduki berikutan tidak diluluskan permohonan memasukkan bekalan air paip dan elektrik.

Bagi Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Abdul Hamid Bahatim, Adnan sudah 26 tahun menjadi wakil rakyat di sini sepatutnya sudah boleh selesaikan masalah rakyat terutama tanah.

Katanya, oleh kerana kesibukannya sebagai Menteri Besar duduk di Kuantan. Dia juga Pengerusi Umno Negeri, Ahli Majlis Tertinggi Umno jadi sudah tentu beliau sibuk sehingga ketiadaan masa untuk selesaikan masalah rakyat.

“Hal berkaitan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri jadi jika menteri besar mahu beliau boleh keluarkan geran untuk penduduk di kawasannya.

“Malangnya pada masa ini masalah tanah rakyat Umno jadikan sebagai umpan kepada pengundi. Tak sepatutnya permohonan geran tanah rakyat dibiarkan sampai puluhan tahun dengan hasrat nak pancing undi. Ada ugut pulak, kalau nak geran kena undi BN,” ujarnya.

Kata Abdul Hamid, sebab itulah tawaran Pakatan Rakyat Pahang amat relevan iaitu antaranya menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung  Baru dan Kampung Tersusun.

Tambahnya, selain itu, PR Pahang juga berjanji untuk menyelesaikan permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Katanya, masalah tanah banyak di kampung-kampung tradisi dan Felda dan beliau melihat sekarang rakyat dah mula sedar.

Deepak paling gembira dengan pulangnya PI Bala

Harakahdaily, 25 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Peniaga permaidani, Deepak Jaikishan adalah antara pihak yang paling gembira dengan kepulangan P Balasubramaniam ke tanah air.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Deepak berkata, beliau sangat gembira dengan kepulangan PI Bala.

"Saya berharap segala kebenaran siapa pembunuh sebenar Altantuya akan diketahui dan apa yang berlaku pada malam itu akan diketahui dengan cepat," kata Deepak dalam kenyataannya.

PI Bala, orang yang membuat akuan bersumpah (SD1) yang menceritakan peristiwa berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shariibuu tiba di tanah air malam tadi selepas lari ke luar negara sejak beberapa tahun lalu.

PI Bala berazam untuk membuat roadshow ke seluruh negara bagi mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya.

PI Bala lari keluar negara selepas membuat akuan bersumpah kedua (SD2) yang membatalkan segala pengakuannya dalam akuan bersumpah sebelum itu (SD 1).

Deepak dalam kenyataannya sebelum ini mengaku, beliau terlibat memujuk PI Bala menarik balik SD1 itu.

Beliau berbuat demikian atas permintaan rakannya yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

(Sambil memegang kitab suci Hindu, PI Bala bersumpah SD2 adalah palsu)

Sebaik saja menjejakkan kakinya ke tanah malam tadi, PI Bala bersumpah SD 1 adalah benar dan memohon maaf kerana SD 2 adalah palsu.


Dedah siapa bersalah


Dalam kenyataannya hari ini Deepak meminta PI Bala mendedahkan siapakah yang terlibat dalam pembunuhan Altantuya dan mengapa hanya pekerja kepada Datuk Seri Najib dan isterinya sahaja yang terdakwa.

"Siapa sebenarnya yang mengarahkan mereka berbuat demikian dan mengapa mereka sanggup membuat jenayah pembunuhan ke atas wanita yang sedang mengandung ini.

"Saya juga meminta bekas Ketua Polis Negara mengesahkan samada Najib ada menghubungi beliau dan menganggu penyiasatan ke atas pembunuhan pada waktu itu. Kebenaran hendaklah dijelaskan," kata Deepak kepada media.

Deepak juga menegaskan, beliau menyokong dan berdoa sepenuhnya untuk PI Bala.

"Saya berharap keadilan terserlah dan roh Altantuya boleh bersemadi dengan aman apabila pembunuh sebenarnya dijatuhkan hukuman sewajarnya," kata Deepak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan