Rabu, 27 Februari 2013

ALTANTUYA AKAN JADI ANTU@HANTU PADA ORANG2 YANG TERLIBAT...ALLAH MUNGKIN TUNJUK SAPE YANG BENAR2 PERANCANG UTAMANYA....INSYA ALLAH

Pengakuan Bala, Deepak: Polis wajar buka semula kes Altantuya

Mahfuz Omar, 26 Feb 2013
Selaku mewakili PAS, saya merujuk kepada pengakuan yang dibuat penyiasat persendirian P. Balasubramaniam pada 24 Februari 2013 dan Kenyataan Media bertarikh 12 Februari 2013 yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Versi penuh kenyataan Deepak ini telah disiarkan oleh portal berita politik malaysia-chronicle.com dan ianya boleh diakses di link ini : http://malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=55192:deepak-shocker-order-for-altantuya-murder-came-from-the-then-dpm-baginda-was-sexually-impotent&Itemid=2

P. Balasubramaniam sewaktu tiba di KLIA Ahad lalu telah bersumpah bahawa kandungan SD 1 yang diikrarkannya pada 1 Julai 2008 adalah benar dan ini sekaligus telah menafikan kandungan SD 2 yang diikrarkan beberapa hari selepas itu. Di dalam SD 1 tersebut, Bala telah memberikan beberapa fakta yang membuktikan wujudnya hubungan  di antara Altantunya Sharibuu dengan YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Razak.

Manakala sebagaimana pengakuan Bala, kenyataan Deepak juga langsung tidak diberikan sebarang liputan oleh media utama di dalam negara ini meskipun Deepak telah membuat kenyataan yang begitu memeranjatkan buat pertama kali sejak pembunuhan misteri Altantunya Sharibuu pada Oktober 2006.

Di dalam kenyataan tersebut, Deepak antara lain telah mendedahkan tiga perkara yang secara langsung melibatkan batang tubuh YAB Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan meyokong pengakuan Bala bahawa dia dipaksa untuk mengikrarkan SD 2. Perkara-perkara tersebut ialah :

1) Bahawa terdapat seorang individu yang tidak dinamakan yang terlibat di dalam pembunuhan Altantunya yang mana individu ini telah mengikrarkan satu Surat Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyatakan bahawa dirinya telah diarahkan oleh orang atasannya untuk membunuh Altantunya dan orang atasannya menerima arahan tersebut dari Dato Seri Najib;

2) Bahawa Dato Seri Rosmah telah mengarahkan beliau (Deepak) untuk mengubah dan membuang sebahagian kandungan dari Surat Akuan Bersumpah (SD 1) yang diikrarkan oleh penyiasat persendirian D. Balasubramaniam  pada 1 Julai 2008 melalui SD 2 yang diikrarkan beberapa hari kemudian; dan

3) Bahawa Dato Seri Najib dan isterinya telah menerima sejumlah pembayaran hasil dari penjulalan Glomac Tower kepada sebuah anak syarikat Kuwait Finance House.

Pada hemat saya, pengakuan Balasubramaniam dan pendedahan sensasi yang dibuat oleh Deepak ke atas Perdana Menteri dan isterinya sedikit sebanyak telah membuka jalan bagi merungkai misteri di sebalik pembunuhan Altantunya tersebut. Dengan pendedahan ini juga ianya telah membawakan suatu bukti baru yang amat mustahak berkaitan dengan kes pembunuhan tersebut.

Oleh itu, selaras dengan perkembangan terbaru ini PAS mendesak supaya pihak berkuasa khususnya PDRM serta Jabatan Peguam Negara membuka kembali kertas siasatan kes pembunuhan Altantunya Sharibuu dengan terlebih dulu merekodkan keterangan dari P. Balasubramaniam, Deepak Jaikishan dan seterusnya Perdana Menteri Dato Seri Najib, Datin Seri Rosmah dan lain-lain individu yang disebut namanya oleh Deepak.

Tan Sri Musa Hassan yang merupakan Ketua Polis Negara sewaktu kes pembunuhan misteri ini disiasat dan dibicarakan juga menyatakan di dalam sidang akhbarnya pada awal bulan ini bahawa kes ini perlu dibuka kembali jika terdapat bukti-bukti baru dikemukakan.


*Datuk Mahfuz Omar adalah Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Naib Presiden PAS.

Manifesto rakyat boleh didownload melalui link ini

Harakahdaily, 26 Feb 2013
MANIFESTO RAKYAT
PAKATAN HARAPAN RAKYAT

Malaysia adalah negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya diikat oleh muafakat Perlembagaan.

Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan dengan kepayahan hidup.

Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, negara berkebajikan, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita.

Demi kita, demi rakyat, bersama-sama ubah sekarang untuk melakar masa depan Malaysia.

Manifesto lengkap...

http://www.pakatanrakyat.my/files/BM-Manifesto-BOOK.pdf

Seminar Antarabangsa P’raya Malaysia 4, 5 Mac

Harakahdaily, 26 Feb 2013
PETALING JAYA: Parlimen Malaysia melalui pejabat Ketua Pembangkang akan menganjurkan Seminar Antarabangsa Pilihan raya Malaysia pada 4 dan 5 Mac ini.

Ia diadakan ekoran kegagalan SPR melaksanakan sepenuhnya cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang hanya melaksanakan 8 daripada 14 cadangan.

Persidangan ini akan diadakan di bangunan Parlimen dan bakal disertai oleh semua pihak termasuk wakil kerajaan BN, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping badan-badan antarabangsa.

Perkara ini dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya hari ini.

Kata Anwar, antara isu-isu yang akan dibincangkan dalam sidang ini adalah menilai demokrasi pilihan raya di Malaysia, menangani cabran kritikal mengenai proses pilihan raya, amalan terbaik sebagai kerajaan sementara (caretaker), meratakan padang permainan, memerangi politik wang dan rasuah, menilai cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen Malaysia pada reformasi pilihan raya dan agenda reformasi demokratik.

Sehingga kini enam penal antarbangsa bersetuju untuk membentangkan kertas mereka di sidang ini termasuklah Hakim Marlon Reis (Brazil), Prof. Gothom Arya (Thailand), Dr Mohamad Nasir Tamara (Indonesia), Damaso G. Mabual (Filipina), Mobashar Jaweb Akbar (India) dan Prof Dr Clinton Fernades (Australia).

Spaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang dijangka akan merasmikan perbukaan persidangan ini manakala Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz akan menjadi penalis di samping P Kamalanathan, ahli Parlimen Hulu Selangor.

Suhaizan sifatkan MB Johor 'tertinggal keretapi'

Harakahdaily, 26 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bahawa 'orang Melayu Johor takutkan PAS' sebagai ketinggalan keretapi.
Katanya, kenyataan itu mungkin sesuai untuk 20 tahun dahulu kerana waktu itu rakyat Johor didoktrin dengan propaganda jahat media dan pemimpin Umno.

Ianya termasuk dakwaan kononnya PAS menolak pembangunan, jika PAS memerintah tiada jalan raya dan tiada bekalan elektrik, beras akan kehabisan stok dan susah dicari dan rakyat Malaysia akan kembali ke zaman Jepun makan ubi kayu.

"Kalau dikenang perkara ini memang menggelikan dan menyakitkan hati. Tapi itulah hakikatnya propaganda yang dimasukkan dalam minda rakyat waktu itu sehingga menakutkan orang Johor," katanya.

Dengan pendekatan yang digunakan oleh PAS termasuk turun ketengah-tengah masyarakat memberi perkhidmatan kepada mereka, rakyat Johor kini mula berubah dan tidak lagi menelan bulat-bulat propaganda Umno tersebut.

Selain itu katanya, perubahan politik di Kelantan dan Terengganu tahun 1990 dan 1999 telah banyak membantu membuka minda rakyat Johor bahawa PAS memiliki kekuatan sehingga boleh memerintah dua buah negeri.

Rata-rata rakyat Johor ujarnya telah berubah selepas tahun 2008 setelah Pakatan Rakyat (PR) menerajui Selangor apabila melihat Selangor lebih maju daripada Johor sekarang walaupun diperintah oleh PKR, PAS dan DAP.

"Hanya Pengerusi Perhubungan Umno Johor yang tertinggal keretapi menyatakan orang Johor takut PAS. Yang takut pada PAS bukanlah rakyat Johor tetapi pemimpin Umno Johor sendiri.

"Mungkin Datuk Abdul Ghani Othman boleh merujuk kepada Titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka(DBP) pada 19 Februari 2013 yang menjelaskan berkenaan perubahan dalam  PAS. Janggal benar bila ketua sebuah kerajaan tertinggal keretapi," kata Suhaizan.

Mengapa Nong Chik mahu projek selesai segera?

Harakahdaily, 26 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengumumkan untuk membangunkan projek rumah mampu milik di Kampung Baru.
Bagi Penyelaras Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar), menteri itu cepat mengumumkan projek segera tanpa ada notis dan perbincangan dengan semua pihak, seakan-akan mahu kesemua projek ini diselesaikan sebelum PRU13 sebagai bahan kempen untuk rakyat.

“Rupanya ini niatnya sebenar apabila beriya-iya mahu Kampung Baru diserahkan kepada Perbadanan Kampung Baru. Dengan kuasa besar yang dimilikinya tanpa dapat dicabar oleh pewaris, beliau bebas mengumumkan apa juga projek,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.


Sehubungan itu, beliau ingin mengimbas kembali apa yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009 untuk membina dua menara Puncak Baru, kononnya menjadi mercu tanda di kawasan tersebut.

"Apa sudah jadi dengan projek tersebut? Belum ditunaikan janji terdahulu sudah membawa janji baharu pula? Apakah kali ini sekali lagi pemimpin BN isytihar projek retorik untuk rakyat demi meraih sokongan untuk PRU13?" tanya beliau.

Beliau merasa hairan bagaimana Datuk Raja Nong Chik mengumumkan projek sebesar ini di kawasan Kampung Baru dengan begitu mudah.

Tanya beliau, mengapa tidak beliau mengambil masa berbincang, bertemu dengan penduduk dan mencadangkan projek pembangunan yang sesuai di kawasan tersebut.

"Apakah sukar bagi beliau menghormati hak pewaris kampung dengan mendapatkan persetujuan dahulu sebelum meluluskan apa juga projek?" soalnya lagi.

Menurutnya, mungkin perkara ini mudah baginya kerana beliau tidak pernah mendiami kampung milik orang Melayu tersebut kerana baginya implikasi yang bakal dihadapi bukan kena pada batang tubuhnya tetapi rakyat di kampung tersebut.

Beliau menegaskan bahawa Pakatan Rakyat sama sekali tidak menolak pembangunan di Kampung Baru, malah PR juga akan berusaha membangunkan Kampung Baru sebaik sahaja diberi mandat memerintah Putrajaya kelak.

Namun, ujarnya beza pembangunan yang dicadangkan oleh PR dengan BN amat jauh, sejauh langit dengan bumi.

Beliau berkata, beza utama adalah PR akan menghormati kehendak pemilik dan pewaris Kampung Baru dengan tindakan utama membatalkan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dan menyerahkan kembali kampung tersebut kepada pemilik untuk menentukan hak mereka.

Justeru, tambahnya terpulang kepada pemilik untuk memilih bentuk pembangunan yang mereka ingini, justeru PR juga akan mencadangkan beberapa pelan pembangunan dengan persetujuan pemilik Kampung Baru.

"Apa yang penting bukan projek pembangunannya, tetapi hak dan keselesaan penduduk perlu menjadi keutamaan. Apa gunanya projek bernilai berbilion ringgit tetapi penduduk menanggung sengsara atau tidak langsung menikmatinya.

"Apa juga nilainya projek pembangunan yang megah yang hanya mengenyangkan kontraktor dan kroni terdekat namun rakyat menangisi hak yang semakin terhakis," katanya lagi.

Altantuya: Bala tampil buat pendedahan di forum esok

Harakahdaily, 26 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam (PI Bala) akan tampil di forum 'Rungkai Misteri di Sebalik Pembunuhan Altantuya' esok, 27 Februari bertempat Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

PI Bala yang membuat dua akuan bersumpah (SD) yang bercanggah berkaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiba di Malaysia petang Ahad lalu selepas empat tahun tinggal di India.

Empat lagi ahli panel forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu ialah Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel, Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath dan Kartunis Zunar.

"SAMM mempersiapkan sebuah pentas jelajah buat PI Bala sebagai saksi tragedi pembunuhan Altantuya, dengan sokongan pelbagai NGO dan kumpulan mahasiswa.

"PI Bala merupakan saksi paling berwibawa dalam kes pembunuhan Altantuya yang berkait rapat dengan skandal penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Justeru SAMM menjemput orang ramai menghadairi forum yang akan bermula jam 8.30 malam.

PRU13: Juham berkampung di Pulau Tioman

Harakahdaily, 26 Feb 2013


Anggota rombongan Juham bersama Penyelaras Dun Tioman.

KUALA LUMPUR: Rombongan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia seramai 13 orang peguam diketuai Ariff Azami Hussein telah berkampung di Pulau Tioman, kelmarin untuk melaksanakan gerak kerja awal menjelang pembubaran Parlimen dan Dun Pahang.

Ketua Unit Media dan Penerangan Juham, Noorazmir Zakaria memberitahu, antara program yang diadakan adalah taklimat untuk Ejen Mengira Undi dan petugas-petugas pilihanraya Dun Tioman di mana ia telah mendapat sambutan hangat daripada para petugas dengan sesi yang amat interaktif.

Katanya, para petugas berjaya mendalami ilmu pilihan raya dan memahami taktik dan teknik untuk menangani tipu daya pihak lawan khususnya pihak Barisan Nasional dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

Tambahnya, para petugas didedahkan dengan simulasi bilik mengundi yang berjaya menghadamkan peserta dengan situasi sebenar dalam bilik mengundi dan tindakan yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah pengundi hantu, penyamaran, pengaruh tidak wajar dan penipuan yang berlaku.

Para petugas juga, ujarnya telah mendapat suntikan baru untuk terus berjuang bagi memastikan misi Pakatan Rakyat untuk menakluki negeri Pahang dan membebaskan negeri itu daripada terus dibelenggu masalah korupsi, pentadbiran tidak cekap dan penyelewangan yang berlaku di negeri tersebut.

Program itu turut dihadiri oleh Penyelaras Dun Tioman iaitu Peguam Mohd Fadzly Ramly dan Datuk Tamrin Tun Ghafar.

“Selain itu, program khidmat guaman Pemuda PAS juga diadakan. Program ini adalah program pertama kali diadakan di Dun Tioman dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada seluruh pengundi-pengundi di Dun Tioman,” jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, daripada sambutan yang diberikan oleh pengundi-pengundi Dun Tioman itu, Juham yakin Dun Tioman akan jatuh kepada PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Ini, katanya kerana banyak masalah isu setempat yang gagal diselesaikan dan diatasi oleh Adun Barisan Nasional sekarang.

Harapan Rakyat: Saya bangga jadi rakyat Malaysia

Harakahdaily, 26 Feb 2013
Saya bangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Tahun lalu, saya berpindah ke rumah baru di Damansara. Kata ibu, pada suatu ketika hanya orang kaya-kaya sahaja yang mampu tinggal di Damansara kerana rumahnya mewah dan harganya jutaan ringgit. Alhamdulillah, selepas kerajaan melaksanakan program rumah mampu milik rakyat secara besar-besaran, golongan muda seperti saya juga mampu membeli kediaman di sini.

Saya bekerja di sebuah firma rekacipta kejuruteraan di Petaling Jaya. Bos saya masih lagi muda, beliau pernah bekerja di Amerika Syarikat dengan firma ternama di sana. Kami menghasilkan rekaan chip komputer pintar yang digunakan di dalam peralatan elektronik terkini. Rekaan yang dihasilkan dihantar ke kilang di China yang akan mengeluarkannya bagi pasaran dunia.

Kehidupan saya sekeluarga selesa. Isteri saya adalah seorang akauntan yang bertugas dengan syarikat antarabangsa. Beliau bertugas dari rumah. Akses jalur lebar Malaysia yang terbaik di dunia membolehkan ramai ibu bekerja dari rumah sambil menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.

Rata-rata keluarga muda seperti kami bersyukur dengan peluang ekonomi yang ada di negara ini. Gaji kami melebihi untuk menampung keperluan harian dan 30% dari gaji saya dan isteri disimpan bagi pelaburan jangka panjang. Kami mampu untuk bercuti setiap tahun dan kami juga mewujudkan tabung amanah untuk dua orang anak kecil kami bagi masa depan mereka.

Malaysia dihormati di rantau Asia Tenggara dan dunia. Kuala Lumpur adalah ibu kota Asia Tenggara dan diiktiraf sebagai 5 bandaraya terbaik di dunia setiap tahun. Ia satu-satunya bandaraya yang mengekalkan warisan kebudayaan pelbagai kaum yang hidup harmoni di dalam setiap aspek kehidupan kota. Ibu pejabat Bank Pusat Islam Dunia yang dibuka di Kuala Lumpur dalam tahun 2019 menyerlahkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai satu daripada lima pusat kewangan terbaik dunia.

Saya bangga dengan Malaysia kerana ia dicemburui negara-negara dari Timur hinggalah ke Barat. Setiap bandar besar kita dari Perlis ke Johor dan Kelantan ke Kuala Lumpur dihubungkan dengan keretapi laju berteknologi hijau. Aktiviti pentadbiran dan jabatan kerajaan diagihkan ke seluruh negara dan jaringan pengangkutan awam yang cekap ini memudahkan urusan rakyat.

Rakyat Malaysia juga adalah rakyat terkaya di rantau Asia Tenggara. Tidak ada keluarga Malaysia yang pendapatan bulanannya kurang dari RM4,000. Pemilik-pemilik tanah yang dahulunya dipanggil peneroka kini adalah jutawan pertanian dan industri kecil yang mengusahakan tanah mereka dengan jayanya.

Negara-negara lain mengagumi keamanan Malaysia walaupun ada berpuluh-puluh etnik yang berbeza. Keamanan yang terhasil dari perpaduan rakyat pelbagai kaum ini dikuatkan lagi dengan kecekapan Angkatan Tentera Malaysia yang diiktiraf sebagai pasukan pertahanan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Paling penting, saya bangga kerana Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang berjaya membuktikan kekayaan negara akan memakmurkan rakyat jika ditadbir dengan baik.

Tabung Warisan yang ditubuhkan sepuluh tahun lalu kini sudah mencecah jumlah RM124 bilion tabungan hasil minyak dan gas yang disimpan untuk masa depan. Rakyat menikmati pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti dan kemudahan kesihatan percuma. Malaysia juga adalah satu-satunya negara di rantau ini yang menyediakan skim caruman kepada isteri sebagai sebahagian dari sistem perlindungan kebajikan kebangsaan.

Apabila saya berkunjung ke negara-negara lain atas urusan kerja, saya bangga apabila negara saya dipandang manis. Mereka mengagumi keupayaan kita mengamalkan prinsip demokrasi sepenuhnya. Institusi kehakiman negara menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Malah, kejayaan kita memusatkan aktiviti ekonomi di peringkat rakyat terbanyak dan industri kecil sederhana (IKS) menjadi model kejayaan yang diteliti negara lain.

Saya bersyukur kerana Malaysia berada di landasan yang betul pada hari ini akibat keputusan tepat yang dibuat sepuluh tahun lalu dalam pilihanraya umum 2013. Itulah kali pertama saya mengundi dan setiap kali saya memandang optimis dengan masa depan Malaysia, saya berbangga kerana saya adalah sebahagian dari generasi perubahan yang mengubah landasan negara pada tahun itu.

Muhammad Adlan bin Azrul
Damansara

14 September 2023

*Tulisan ini adalah kandungan bahagian belakang buku manifesto Pakatan Rakyat "Pakatan Harapan Rakyat" yang dilancarkan pada 25 Februari 2013 sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 di Shah Alam. Selain harapan, ianya membayangkan keadaan negara Malaysia 10 tahun akan datang dibawah pentadbiran kerajaan baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan