Selasa, 1 Januari 2013

TU NAMA DOUBLE STANDARD....NAK PRU13...NAK GAMBARKAN MEREKA BAGUS....MUSUH TAK BAGUS....BIASALAH...SAPE NAK MENGAKU BERAK TENGAH JALAN

Amanat: Presiden PAS sedia dailog dengan Jakim

Khairul Azlam Mohamad, 31 Dis 2012

KEMAMAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sedia mengadakan dialog dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan syarat dirakamkan pertemuan itu.

Katanya, ia sama seperti yang pernah diundang ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) rakaman perlu dibuat dengan Jakim.

“Saya minta rakaman. Saya berdailog dengan Jakim kena buat rakaman. Macam dengan Ikim, saya pernah pergi. Saya boleh pergi Jakim tetapi dengan buat rakaman, rakaman sepenuhnya. Saya minta orang saya rakam. Saya setuju tapi dengan rakaman,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian kepada media sempena lawatan serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kemaman, di Surau Kampung Jaya Batu 2, Chukai, hari ini. (Gambar atas)

Manakala, katanya, syarat satu jam diberi peluang secara ‘live’ di saluran RTM1 dan TV3 tidak berubah bagi menjelaskan isu ‘amanat’ tersebut.

Menurutnya, rakaman berkait dengan penjelasan isu ‘amanat’ ditolak kerana dibimbangi akan berlaku putar-belit yang mengelirukan rakyat.

Malah, kata Ustaz Abdul Hadi, pihaknya tidak perlu membuat surat permohonan kepada kerajaan kerana telah diumumkan melalui media.

“Saya sudah beritahu saluran RTM iaitu TV1 dan TV3. Rasmilah tu, dan terpulang kepada dia untuk tentu, tapi secara ‘live’ (langsung) bukan rakaman. Sebab rakaman tak boleh, dia mesti jujur, mesti ikhlas untuk cari kebenaran,” jelasnya.

Bahkan, beliau bersetuju jika digandingkan dengan mana-mana pihak dalam majlis tersebut dengan syarat satu jam secara langsung di saluran tv berkenaan.

Sebelum ini, Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata jabatan itu akan terlebih dahulu memanggil Ustaz Abdul Hadi berhubung amanat terbabit yang didakwa membawa kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

Kalau Amanat Hadi dibangkit kenapa Memali didiamkan

Mohd Sayuti Omar, 31 Dis 2012
Sebelum kita semua dibawa melangkah ke tahun baru masihi saya ingin melontarkan pertanyaan 'bodoh cerdik' kepada kita semua untuk dijawab secara senyap. Apa yang saya ingin kemukakan begini; kalau orang Umno mempertikaikan apa dinamakan 'Amanat Haji Hadi' dan meminta presiden PAS itu memohon maaf, apakah tidak boleh dipertikaikan tragedi Memali dan meminta orang terlibat dalam tragedi itu juga memohon maaf sama?

Kita tahu kenapa isu amanat ditimbulkan untuk dijadikan modal politik. Isu itu bukan berat seperti mana ditonjolkan kerana ia sudah lama berlaku. Sudah 31 tahun perkara itu timbul tetapi kenapa tidak pernah ambil serius untuk menyelesaikannya.

Barang kali betul apa yang diucapkan oleh bekas seorang ahli Parlimen asal Terengganu kepada saya dua hari lalu tatkala tersebut perkara itu. Katanya isu itu sudah lama berlaku dan tidak diselesaikan kerana ia dijadikan modal politik. Sebab itu bila setiap kali menjelang pilihan raya ia diungkitkan, begitulah ujarnya jujur.

Apa yang diucapkan bekas ahli parlimen pernah menjadi timbalan menteri itu ia menepati apa yang saya jangkakan sebelum ini. Amanat Haji Hadi adalah modal politik Umno.

Di sinilah tampak PAS jauh lebih baik berbanding dengan Umno. PAS lebih gentlemen dan tidak suka mengungkit-ungkitkan perkara yang sudah berlaku. Kalau PAS hendak berbuat seperti apa Umno lakukan, PAS juga boleh, sebab parti itu juga ada peristiwa yang tidak kurang juga menarik dan boleh menguntungkan parti itu kalau ia ditimbulkan apa lagi dieksploitasikan.

Isu itu ialah tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 yang mengakibatkan Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya ditembak mati bersama 12 orang penduduk Kampung Memali. Kejadian yang berlaku itu banyak menimbulkan kemisterian. Banyak perkara yang belum terjawab secara tuntas. Plot-plot yang dihidangkan kepada umum tidak logik dan meninggalkan simpulan tanda tanya besar di kepala dan sejarah.

Kalau diteliti kronologi peristiwa itu menjelaskan akan kesadisan pihak Polis di mana ini adalah tanggungjawab kerajaan UBN. Sebaliknya kalau dilihat dari versi polis yang jahat dan banduknya ialah Ibrahim Libya dan penduduk Memali. Akal manusia yang waras tidak menerima drama yang dinukilkan semula dari kejadian asal di Baling Kedah itu.

Sesuatu kejadian itu boleh diputar belitkan seperti mana video boleh disunting mengikut selera dan kehendak editor dan tuannya (producer). Seperti mana orang boleh bikin video mengenai Anwar Ibrahim melayan pelacur, maka begitu juga video Memali dulu. Ia tidak disiarkan dari versi aslinya terutamanya dramatik saat penduduk kampung dikepung kemudian ditembak.

Mengenai kejadian itu mungkin generasi muda yang baru lahir selepas atau ketika kejadian itu berlaku, tidak mengetahuinya. Mungkin mereka tidak pernah pun mendengar perkataan Memali. Sejarah mengenai Memali ini pun jarang diungkitkan. Ulang tahun kejadian itu tidak diperbesarkan, RTM dan tv nombor tiga tidak pernah memberi liputan. Rancangan dokumentari mengenainya di tv juga tidak menyorot secara jujur dan telus melainkan terus melumurkan lumpur dosa kepada al Syahid Ibrahim Libya dan pengikutnya.

PAS sendiri seakan sudah terlupa dengan tragedi kejam itu. PAS Kedah sendiri sejak menang dan memerintah Kedah rasanya tidak begitu ghairah mengangkat kejadian itu atau merai keluarga mereka yang syahid dalam kejadian itu. Ataupun saya tidak mengetahuinya? Setelah PAS memerintah Kedah rasanya elok kalau kerajaan PAS mendidikan sebuah memorial di tempat kejadian itu sebagai kenangan sejarah.

Masyarakat umum mesti hendak tahu kenapa meletus tragedi itu. Kenapa polis sampai jadi histeria menembak orang kampung yang hanya bersenjata peralatan sawah. Kenapa pembunuhan di Memali itu dilakukan ketika Mahathir Mohamad berada di China. Mesej apa yang hendak ditunjukkan? Apakah Musa Hitam yang ketika menteri dalam negeri sudah merasakan dirinya putih dengan kejadian itu?

Walaupun kertas putih mengenai tragedi itu sudah didedah di Parlimen, namun itu secara formal saja tetapi tidak menjawab persoalan sebenarnya. Saya juga ada sedikit akses dengan kejadian itu. Semasa bertugas dengan akhbar Minggu Islam, KDN melarangkan media massa membuat liputan mengenai kejadian itu. Semua penerbitan menerima surat larangan dan amaran berkenaan termasuk penerbitan kami.

Kenapa? Kalau kejadian itu ditangani dengan betul mengikut lunas undang-undang kenapa ada larangan dan amaran itu? Sesuatu yang buruk boleh disembunyikan pada masa kejadian tetapi tidak tahun-tahun selepasnya. Ahli sejarahwan akan menggali dan mencari jawaban sebenar.

PAS sebuah parti yang baik. Yang menerima kejadian itu seadanya seperti mana disampaikan kerajaan. Kalau hendak dikira PAS boleh membangkitkan isu berkenaan. Tetapi PAS tidak berbuat begitu.

Jelas berpandukan kepada dua kejadian ini - amanat Hadi dan Memali ia menunjukkan PAS sebuah parti yang baik. PAS tidak suka menjual barang lama dan menggunakan modal usang untuk laba politiknya.

Dari situasi ini sudah menjelaskan kepada rakyat mengenai hakikat politik hari ini. Apabila Umno terpaksa menjual modal lama yang telah basi nyata Umno tidak ada modal baru lagi untuk dijadikan tarikan kepada rakyat.

Tetapi kalau modal usang Amanat Haji Hadi itu terus diecer oleh Umno secara gila-gila PAS juga tidak mungkin boleh berfikir untuk ikut sama mengungkitkan tragedi Memali itu sebagai modal politik. Mungkin generasi lama sudah memaafi di atas pembunuhan itu tetapi generasi baru yang baru tahu akan kesadisan Polis dan kerajaan UBN termakan dengan isu berkenaan. [wm.kl.10:10 pm 31/12/12] -
http://msomelayu.blogspot.com

2013: Runtuhkan kezaliman gantikan dengan keadilan

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 31 Dis 2012
Harapan saya setiap hari hanyalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia ini. Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana.
Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya menyeru semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan. Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelosok dunia. Insya-Allah.

Tahun 2013 ini juga akan menyaksikan berlakunya pilihan raya umum ke-13. Gunakanlah hak untuk memilih ini dengan sebaik-baiknya. Jangan silap membuat pilihan. Jika silap akan menyebabkan kita menyesal di hari Akhirat.

Yakinlah, setiap anggota badan termasuk tangan yang mengundi juga akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

Semoga kita semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh Allah SWT dan memasukkan kita di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Amin.
Kota Darulnaim,

17 Safar 1434/31 Disember 2012

2013: Pilih Pakatan pertama kali dalam 55 tahun

Harakahdaily, 31 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Biar 2013 menamatkan pencacatan negara dan membawa era transformasi yang sebenar dengan memilih kerajaan Pakatan Rakyat buat pertama kalinya dalam tempoh 55 tahun.
Demikian kata Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam perutusan sempena tahun 2013.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, empat tahun pemerintahan Najib akan dikenang oleh rakyat Malaysia sebagai pentadbiran yang penuh dengan menjunamnya pelbagai indeks global dan hakikat yang tidak enak ini telah ditonjolkan melalui tiga laporan antarabangsa dalam bulan terakhir tahun ini.

Di bawah adalah perutusan beliau.

Hampir empat tahun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan satu demi satu program transformasi – kerajaan, ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan sebagainya dengan slogan 1Malaysia di bawah satu demi satu agensi.

Yang dicapai oleh semua pengumuman dan inisiatif itu adalah gelaran “Negara Akronim” sementara pencacatan negara dalam semua aspek kehidupan masih berterusan.

Empat tahun pemerintahan Najib akan dikenang oleh rakyat Malaysia sebagai pentadbiran yang penuh dengan menjunamnya pelbagai indeks global dan hakikat yang tidak enak ini telah ditonjolkan melalui tiga laporan antarabangsa dalam bulan terakhir tahun ini, iaitu:

Rasuah – Dalam empat tahun pemerintahan Najib, kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh 18 tahun – No. 56 pada 2009 dan 2010, No. 60 pada 2011 dan No.54 pada 2012 dibandingkan dengan kedudukan paling teruk No. 23 di bawah Mahathir dan No. 47 di bawah Tun Abdullah – menunjukkan rasuah di bawah Perdana Menteri kini lebih buruk daripada di bawah semua Perdana Menteri sebelumnya, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

No.1 di dalam larian modal per kapita: Laporan Global Finance Integrity menunjukkan berdasarkan per kapita, Malaysia dengan populasi 28 juta, berada di tempat No.1 dalam pengaliran keluar wang haram – sama ada dalam bentuk wang gelap yang mengalir keluar daripada negara pada 2010, yakni sebanyak RM196.8  bilion, atau pada dekad lalu (2000-2010), sejumlah RM871 bilion atau sama dengan RM31,000 setiap seorang pendudukan negara dengan populasi 28 juta.


Kejatuhan berganda tahap matematik dan sains pelajar Malaysia dibandingkan dengan negara luar juga dengan kumpulan sebelumnya – Di dalam TIMSS 2011 untuk pelajar gred lapan, Malaysia berada di kedudukan No. 26 dengan mata 440 daripada 1,000 untuk matematik malah lebih rendah untuk sains pada kedudukan No. 32 dengan mata 426, kedua-duanya di bawah purata antarabangsa. Itu juga merupakan mata terburuk untuk Malaysia di dalam empat TIMSS dari 1999 hingga 2011, misalnya matematik jatuh sebanyak 79 markah daripada 519 pada 1999 sehingga 440 pada 2011; di dalam sains, jatuh sebanyak 66 poin daripada 492 pada 1999 kepada 426 poin pada 2011.

Ini bukan petanda transformasi negara tetapi deformasi (pencacatan) negara.

Biar 2013 menamatkan pencacatan negara dan membawa era transformasi yang sebenar dengan memilih kerajaan Pakatan Rakyat buat pertama kalinya dalam tempoh 55 tahun.

Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua rakyat Malaysia.

Buktikan hak asasi rakyat 12 Jan 2013 - Juham

Harakahdaily, 31 Dis 2012
KUALA LUMPUR: “Juham mengharapkan agar di tahun 2013 ini, kerajaan lebih menghormati hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan,” kata Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi.


Ini, katanya dapat dibuktikan dengan kerjasama baik yang boleh diberikan oleh pihak berkuasa dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung pada 12 Januari 2013 di Kuala Lumpur nanti.

Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menyatakan demikian dalam perutusan sempena tahun 2013.

Berikut perutusan penuh beliau.

Secara kesuluruhannya, tahun 2012 merupakan tahun yang baik bagi Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana misi utama kami untuk merakyatkan Juham di mata masyarakat sudah berjaya dicapai walaupun diakui masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.

Penglibatan Juham dalam kes-kes di peringkat nasional seperti Himpunan Bersih 2.0 & 3.0, Himpunan Hijau Lynas, Himpunan Oren, Himpunan Mansuhkan ISA yang masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah, Inkues siasatan kematian Baharuddin Ahmad, saman AES dan juga kes-kes yang melibatkan kemahasiswaan spt kes UPSI, semakan kehakiman kes pelajar UniMap dan kes-kes  pelajar yang melibatkan AUKU.


Di peringkat dalaman pula Juham telah berjaya menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah & Sarawak untuk memberikan taklimat perundangan pilihanraya yang terkini, pengetahuan tentang hak-hak asasi dan juga simulasi pilihanraya kepada pimpinan dan petugas-petugas parti.


Juham mengharapkan agar di tahun 2013 ini, kerajaan lebih menghormati hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Ini dapat dibuktikan dengan kerjasama baik yang boleh diberikan oleh pihak berkuasa dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung pada 12 Januari 2013 di Kuala Lumpur nanti.

Negara juga akan menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 awal tahun 2013 ini dan tentunya Juham mengharapkan agar pihak berkuasa dapat memainkan peranan yang penting dan tidak bias dalam mengawal pesta demokrasi rakyat nanti.

Undang-undang bukan sahaja perlu dilihat adil tetapi perlaksanaannya juga perlu adil dan saksama without fear or favour.

Semoga tahun 2013 akan menjadi tahun yang lebih baik dan cemerlang untuk seluruh rakyat Malaysia.

Amanat Haji Hadi: Kenapa Baru Sekarang?

Khair Mutanazzar Ismail , 31 Dis 2012
Isu kafir mengkafir menerusi ”Amanat Haji Hadi” dihangatkan lagi diambang PRU ke 13.  Isu yang berlegar pada tahun 1981 cuba dihangatkan kembali oleh media dan akhbar tertentu. Bayangkan, sudah 31 tahun, ia kembali dihebohkan seolah-olah berlaku baru setahun dua.

Memang ia merupakan isu yang menjadi petanda kepada paluan kompang pilihanraya.

Antara yang terlibat menimbulkannya adalah seorang ustaz muda, Fathul Bari, yang ketika isu ini bermula, baru berusia setahun dua.

Dalam tulisannya dalam akhbar Sinar, beliau menekankan soal tabayyun (memastikan kedudukan sebenar) dalam menangani isu ini.

Dengan membawakan contoh kisah Ammar dan keluarganya, soal takfir perlu disiasat sebelum hukuman dijatuhkan.

Kita bersetuju bahawa soal takfir bukan soal yang boleh dipermudah-mudahkan lantaran ia melibatkan soal batas iman dan kufur.

Oleh sebab itulah, umat Islam perlu sentiasa diingatkan tentang batas-batas akidah. Pada masa yg sama, hukum kafir juga tidak boleh dijatuhkan sewenang-wenangnya.

Justeru, para ulama hanya menekankan soal kaedah dalam batas iman tanpa menentukan secara khusus kepada siapa individu yang telah melanggar batas itu.

Bahkan menjadi kewajipan ulama untuk sentiasa memperingatkan umat supaya batas iman itu sentiasa dipelihara. Adapun yg berhak menjatuhkan hukum kafir atau murtad adalah bidang kuasa qadhi atau hakim di mahkamah.

Ketika sahabat Nabi, Ammar Bin Yasir melafazkan kata kufur, kita tidak ada di sana dan tidak ada pada waktu itu. Sama seperti isu takfir ini bermula 31 tahun dulu, penulis ruang Nasihah pun belum dapat mengikutinya.

Kalau Rasulullah Saw pun bertanya kepada Ammar tentang keadaan dirinya ketika melafazkan kata kufur itu, mengapa kita tidak bertanya kepada ulamak yang didakwa mengeluarkan fatwa takfir tentang keadaan masyarakat ketika itu agar kita memahami situasinya?

Penulis Nasihah boleh bertanya kepada ulama itu kalau dia mahu, atau merujuk kepada beberapa kitab seperta Mustika Hadith terbitan Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan sekitar tahun-tahun isu itu bermula.

Kalau Ammar mengucapkan lafaz kufur kerana terpaksa dan diancam bunuh, ketahuilah bahawa ketika fatwa takfir itu dikeluarkan pelbagai tuduhan terhadap Islam dilemparkan oleh tokoh tertentu.

Ada yang mengatakan Islam sudah ketinggalan. Ada pula yg mengatakan Al Quran sudah lapuk, hukum potong tangan zalim & sebagainya.

Justeru menjadi tanggungjawab seorang ulama, teguran disampaikan melalui ceramah dgn memberikan kaedah tanpa menentukan siapakah orangnya.

Mengapakah masih ada orang yang mahu mempertahankan konsep politik suku, agama suku? Mengapa pula perlu disediakan dalih politik fitnah dan tuduh menuduh? Sedangkan nasihat yg diberi adalah bersifat umum, tanpa menyebut sebarang nama individu.

Mengapa selepas 31 tahun nasihat itu diberi, baru pihak tertentu meminta penjelasan?

Jemputannya terbuka, tetapi sesinya tertutup? Berikanlah ruang terbuka kepada ulama tersebut untuk memberi penjelasan setelah isunya dihangatkan secara terbuka juga.

Ketahuilah bahawa Rasulullah Saw telah mendengar & menerima penjelasan Ammar terlebih dahulu, tanpa menghangatkan ucapannya secara terbuka.

Bukan seperti dilakukan oleh rakan-rakan Penulis An Nasihah Sinar, sejak 31 tahun dahulu. Hari ini baru meminta penjelasannya.


* Penulis adalah Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Top 5: Menteri paling tak buat kerja tahun 2012

http://amenoworld.blogspot.com, 31 Dis 2012
Hari neh last day of 2012.


Macam tak percaya pun ada. Sebegini cepat masa berlalu. Aku rasa macam baru semalam je masuk tahun baru 2012. Tahu2 jek hari neh dah nak masuk 2013. Cepat gile. Orang kata semakin mendekati kiamat, semakin cepat masa berlalu. Yeke? Aku pun tak sure benda neh betul ke tak. Hehe.

Tahu kah anda sebagai rakyat, ini la masa untuk kita memberikan penilaian mengenai menteri2 kita? Kita ada hak itu kerana kita rakyat yang mereka jaga. Bila kita dapati mereka gagal menjaga dan mentadbir negara dengan betul, kita layak mengadili mereka. Tanpa larangan. Of course.

Lihat: http://amenoworld.blogspot.com/2012/12/top-5-menteri-paling-tak-buat-kerja.html

2013 tahun perubahan: Harapan rakyat Malaysia di Australia

Dr Abdullah, Presiden PRC WA, 31 Dis 2012
Ucapan Selamat Tahun Baru 2013 daripada Majlis Perwakilan PAS Western Australia (PRC WA)

Majlis Perwakilan PAS Western Australia (PRC WA) ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dengan harapan yang menggunung tinggi  agar tahun 2013 akan membawa wajah baru kepada landskap politik tanahair, dan membersihkan imej negara di persada antarabangsa.

Sesungguhnya tahun 2012 amat menarik bagi arena politik tanahair, dimana kita tidak terkecuali dari mood serantau ke arah perubahan. Ianya bermula dengan pembebasan ketua umum pembangkang daripada tuduhan Liwat 2, setelahlebih 2 tahun kes berjalan di mahkamah.

Keputusan mahkamah tersebut telah memberi isyarat baru kepada rakyat di mana kerajaan sangat bimbang dengan kebangkitan suara keramat rakyat dan dalam masa yang sama kerajaan cuba memulihkan imej kehakiman yang telah tercalar.

Namun demikian, rakyat terbanyak masih sangsi dengan keikhlasan kerajaan.

Gelombang besar yang berlaku seterusnya ialah pada bulan April 2012 dimana Bersih 3.0 telah berjaya mendapat perhatian  dunia terhadap tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil.

Barangkali Bersih 3.0 merupakan “perhimpunan bersama” rakyat Malaysia yang julung kalinya disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan kaum bagi menuntut perubahan pilihanraya di Malaysia. Kami di Perth turut berasa bangga kerana dapat bersama-sama mengambil bahagian dengan rakyat Malaysia yg lain di serata Bandar besar dunia.

Keperluan kepada perubahan juga terasa di Timur Tengah bilamana Mohamed Morsi memenangi kempen pilihan raya presiden Mesir. Digambarkan sebagaipemimpin yang bersih, Morsi berjaya membawa tiupan semangat dan harapan di Timur Tengah dan dunia Islam umumnya.

Pendirian tegas beliau terhadap konflik Israel-Palestin tidak dibayangi oleh kuasa besar barat dalam menyuarakan hasrat dan harapan seluruh umat Islam serantau, dimana ketua ketua negara Islam yang lain masih menyepi.

Tahun 2012 menyaksikan banyak persoalan berkisar tentang pilihanraya umum yang ke 13.

Di dalam keadaan iklim serantau menuju ke arah order baru dunia untuk pemerintahan yang adil, saksama dan telus, rakyat Malaysia juga tidak terkecuali. Tahun 2013 seharusnya merupakan tahun perubahan bagi kita semua.

Semoga Tahun Baru membawa harapan baru dan perubahan kepada yang lebih baik.

Kita semua telah lihat muktahir ini bagaimana kebrobokan dan kepincangan urustakbir kewangan negara kita yang kaya-raya telah menyebabkan ramai rakyat menjadi miskin, melebarnya jurang antara kaum dan perpecahan agama.

PRC WA menyeru seluruhra kyat Malaysia yang cintakan kedamaian, tanpa mengira umur atau latarbelakang rumpun etnik untuk bangkit menyahut cabaran membina Malaysia sebagai sebuah Negara Berkebajikan yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan Negara.

Memberi peluang yang saksama kepada semua, dan dalam waktu yang sama menjaga hak mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik berdasarkan kepada keperluan, bukan atas dasar bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Dr Abdullah

Presiden,
MajlisPerwakilan PAS Western Australia (PRC WA).



*Majlis Perwakilan PAS Western Australia (PRC WA) merupakan organisasi yang terdiri daripada kumpulan professional Malaysia yang menetap di Australia berpusat di Perth. PRC WA telah di rasmikan oleh YB |Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS pada Januari 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan