Jumaat, 28 Disember 2012

YA ALLAH BALASLAH SETIMPAL DENGAN KEJAHATAN2 MEREKA...YA ALLAH ENGAKAU MAHA ADIL...MAHA BIJAKSANA SERTA MAHA PERKASA

Amanat: Ulama PAS tunggu ulama Umno debat

Aslani M, 28 Dis 2012
KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Kelantan sedia berdebat dan berhujah dengan mana-mana ulama Umno berkaitan Amanat Haji Hadi yang cuba ditimbulkan semula sekarang.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Hassan Mahmood berkata, perdebatan itu perlu disiarkan secara langsung bagi membolehkan rakyat mendapat penjelasan secara mendalam.

“PAS tidak pernah menuduh Umo kafir, tetapi PAS menjelaskan batas-batas iman dan kufur sebagaimana yang tertera dalam apa yang dinamakan Amanat Tuan Guru Haji Hadi.

“Sesiapa sahaja yang menolak dan mempermainkan Islam boleh terkeluar daripada Islam. Ini yang perlu difahami rakyat dan bukannya membuat tomahan melulu tanpa nas dan adatnya,” katanya di sini.

Amanat tersebut diulang semula pemimpin-pemimpin Umno dan beberapa mufti setiap kali menjelang pilihan raya dengan harapan bagi mengelirukan rakyat.

Amanat terbabit dirujuk berdasar kepada ucapan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu ceramah di Panggol Peradong, Manir pada 1981.

Hassan berkata, Amanat Haji Hadi tidak merosakkan akidah tetapi sebaliknya amanat pemimpin Umno yang mempermainkan hukum Islam boleh menjejaskan akidah.

Menurutnya amanat Haji Hadi sebenarnya menjelaskan hukumnya apabila seseorang yang mengaku beraama Islam tetapi mempermudah serta mempermainkan isu-isu berkaitan agama.

Kata beliau pemimpin Umno perlu berdepan dengan realiti sebenar sekiranya mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam.

“Dewan Ulamak PAS Kelantan bersedia untuk tampil pada debat tersebut biar pun sebelum ini debat seumpama itu pernah dipersetujui namun Umno menarik diri di saat-saat akhir.

“Rakyat perlu diterangkan siapa yang menolak pelaksanaan hukum Islam, sedangkan Islam sebagai al-Din bagi mengaturcara kehidupan manusia termasuk pemerintahan negara.

“Umno sampai hari ini sanggup menerima selain perundangan Islam sebagai perlembagaan. Ini bererti Umno dan BN menolak tuntutan Islam,” katanya.

Hassan berkata, PAS sebagai sebuah gerakan Islam tetap memperjuangkan Islam sebagai akidah dan politik sebagaimana tertera dalam perlembagaannya.

Menurutnya juga jika diteliti kepada sejarah, pemimpin Umnolah yang menghalang pelaksanaan hudud di Kelantan selama ini.

“Apabila Umno tidak mahu menerima pelaksanaan undang-undang Islam sejak 50 tahun lalu mereka sebenarnya telah mengkhianati umat Islam yang sebelum ini berpegang dengan undang-undang Islam.

“Umnolah yang menukarnya dengan mengambil undang-undang penjajah sehingga kekal pada hari ini,” tambahnya yang juga Adun Tawang.

Amanat Haji Hadi, satu kerenah SB

Subky Latif, 26 Dis 2012

APA yang dikatakan Amanat Haji Hadi yang terjadi pada 07 April, 1981 dulu sudah jadi satu khazanah politik tanahair dan ada kedudukannya yang tersendiri di sisi tafsir siasah syariyah.

Ia ada satu topik yang cantik bagi calon-calon PhD. Jika mahu tesis itu dihargai dan ada nilai akademik yang tinggi, jangan ia dikendali di bawah mana universiti di Malaysia kerana rata-rata profesornya ada stigma apa yang dikatakan profesor kangkung.

Biar ia dibuat di bawah universiti terkemuka  dunia seperti Oxford, Harvard atau mana-mana universiti masyhur di Perancis dan Belanda. Nescaya calon  PhD itu akan muncul sebagai  doktor yang terbilang.

Tidak berbangkit amanat itu perlu ditarik balik seperti yang dituntut oleh dua mufti dan ulama remaja yang status masing-masing boleh ditakwil. Seorang mufti itu tidak diterima oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir permintaannya untuk bertemu bagi membincangkan sesuatu dan yang seorang lagi adalah seorang yang sentiasa ada di rumah Dato Asri semasa menjadi pemimpin PAS dan menyertai UMNO apabila Anwar Ibrahim  dan Dato Asri menyertai UMNO.

Tidak mustahil kedudukan sebagai mufti itu lebih kerana UMNO dari ilmunya. Ulama remaja itu amatlah baru. Ikut peri bahasa orang tua Melayu dulu-dulu orang yang seusia  itu disifatkan budak berhingus. Tetapi tiada dalam Islam peri bahasa ulama berhingus kerana Imam Syafie sudah jadi mufti pada usia 15 tahun.

Kata Tok Guru Nik Aziz, jangan sangka Ustaz Hadi tidak tahu hukum hakam. Ada yang mengibaratkan semasa  beliau pulang dari Mesir dulu kitabnya  saja lima pikul. Tiada  siapa menimbang kitabnya tetapi untuk menggambarkan banyak kitab yang dibacanya.

Seorang pensyarah Islam UKM pernah dilantik oleh Tan Sri Wan Mokhtar duduk dalam Biro Agama UMNO. Mesyuarat pertama yang dihadirinya dikatakan dia membandingkan ulama PAS dengan ulama UMNO. Ulama PAS sepulang dari Mesir hari-hari baca kitab dan tiap-tiap malam mengajar. Ulama UMNO belum tentu buka kitab sekali dalam masa setahun. Lepas itu dia tidak dipanggil mesyuarat lagi.

Sejak pulang dari Mesir hujung tahun 70-an dulu, Ustaz Hadi mengadakan kuliah di Masjid Rusila setiap pagi Jumaat dihadiri antara 7 ribu hingga 10 ribu. Hampir 40 tahun beliau mengajar. Sejak itu beliau saja di  Malalysia ini yang berkhutbah Jumaat tanpa teks yang diedit  oleh Jabatan Agama.

Mana ada mufti dan ulama UMNO ada kuliah sepertinya sejak 40  tahun lalu. Ada pun mufti itu apabila dilihat  ranggi sikit lalu dipecat seperti yang dialami oleh al-Marhum Dato Ishak Baharom, Mufti Selangor dulu. Mana ada mufti yang lebih berani selain dari Dato Ishak Baharom?

Isu Amanat Haji Hadi dikira sinonim dengan isu kafir mengkafir. Timbul setiap ada pilihanraya. Lepas pilihanraya ia pun mati. Tunggu PRU lima tahun lagi.

Itulah kerja polis cawangan khas yang digerakkan oleh bahagian perang saraf di Jabatan Perdana Menteri  dan di kementerian penerangan.

UMNO pun tidaklah sensitif sangat atas amanat itu. Jika ia peka, ia tidak akan berusaha dari semasa ke  semasa mengajak PAS bersatu dengan UMNO. Sejak zaman Mahathir, zaman Dollah Badawi sampailah  zaman Najib, UMNO buat macam-macam  ajak PAS bersamanya. Ia marah PAS bekerja dengan DAP tetapi tidak mahu bersama UMNO.

Siapa kata orang Islam keliru dan berpecah kerana amanat itu? Orang Melayu sudah tidak bersependapat sejak mereka tahu politik, lama sebelum Ustaz Hadi bercakap  di Banggol Peradong tahun 1981.

Kalau amanah itu besar  sangat dan apa yang dikatakan PAS mengkafirkan UMNO itu penting sangat, jadah apa UMNO ajak PAS dari semasa ke semasa untuk bersamanya, sedang mereka tahu al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah kata, ‘Kami tak bulo’.

Maka mengapa tok-tok mufti dan budak berhingus UMNO masuk perangkap polis cawangan khas menjelang pilihanraya?

Dana Palestin: PAS tuntut penjelasan Ali Rustam

Ahmad Danial, 28 Dis 2012

MELAKA: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari sekali lagi mendesak agar dana Palestin sebanyak RM680,747 yang dipungut pada tahun 2009 oleh kerajaan Melaka diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin dengan segera.

"PAS Melaka kesal dengan tindakan kerajaan Melaka yang sehingga kini masih gagal meyerahkan dana berjumlah RM680,747 yang dipungut pada tahun 2009 kepada Palestin.

"Kita mendesak kerajaan negeri supaya menyerahkan dana tersebut dengan segera, perbuatan mereka menyimpan dana ini selama 3 tahun adalah perbuatan khianat," ujar Adly dipetik dari akaun Facebooknya hari ini.

Sebelum ini beliau telah membuat desakan dalam blognya namun tiada jawapan konkrit dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara mendapati sejumlah RM680,747 telah berjaya dikumpulkan hasil dari sumbangan jabatan dan agensi kerajaan dan orang awam.

"Namun laporan itu mendapati bahawa wang tersebut tidak disalurkan kepada rakyat Palestin sehingga April 2011.

"Saya berharap Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam memberi penjelasan terperinci terhadap perkara ini yang dikira amat memalukan negeri dan negara kita.

Menurutnya, Ketua Menteri mesti menjelaskan bila wang tersebut diserahkan kepada Rakyat Palestin kerana sehingga kini kita tidak mendapat maklumat sahih tentang perkara itu.

"Sekiranya wang itu telah disalurkan, kenapa ia mengambil masa yang sebegitu lama”? soal Adly.

Adly berkata penjelasan Ketua Menteri adalah dituntut kerana ia melibatkan sumbangan orang ramai.

Biadap: Terbit kalendar 2013 hina hukum hudud

Harakahdaily, 28 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba untuk mengelirukan orang bukan Islam terhadap agama Islam dengan pengeluaran dan penerbitan kalendar 2013 yang cukup jelas menghina agama Islam iaitu hukum hudud.


Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, penerbitan kalendar 2013 di dalam dwibahasa, Cina dan Inggeris, ini secara jelas sebagai satu mesej untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap hukum hudud yang tidak ada kena mengena langsung dengan masyarakat bukan Islam.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tindakan biadap ini adalah suatu tindakan bacul dan pengecut pihak-pihak yang pastinya mempunyai akal fikiran yang tidak waras.

“Tindakan ini juga sebagai satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan biadap itu ditaja oleh parti perkauman Cina terbesar di Malaysia yang juga merupakan sekutu rapat kepada kerajaan yang memerintah Malaysia ini kerana selama inipun presiden parti tersebut cukup kuat memusuhi agama Islam dan hukum Islam.

Menruutnya, cukup jelas tindakan itu juga merupakan tindakan terdesak puak tersebut untuk meraih simpati masyarakat bukan Islam yang telah menolak mereka di dalam pilihanraya umum lalu.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini mendesak pihak polis dan jabatan agama dapat mengambil tindakan segera untuk melakukan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama dengan isu ini,” ujarnya.

Tambahnya, Pemuda PAS Selangor turut mendesak dan menuntut supaya semua pihak yang bertanggungjawab di atas pembiayaan, penerbitan, pengeluaran dan pengedaran kalendar itu untuk tampil memohon maaf secara terbuka kerana menghina agama Islam dan menarik semula kalendar ini daripada pasaran.

Pemuda PAS sumbang RM20,000 kepada Rohingya

Muhammad Faeez Azahar, 28 Dis 2012
YANGON: Prihatin dengan nasib yang dihadapi saudara muslim Rohingya di Myanmar, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menyalurkan bantuan kepada etnik tersebut.
Sebanyak RM20,000 berjaya dikumpulkan oleh DPPM hasil sumbangan daripada pelbagai pihak khususnya golongan muda daripada seluruh negara.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kepada Setiausaha Majlis Persatuan Islam (Ansari), Abdullah Adam di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Raja Iskandar berkata, sumbangan tersebut adalah hasil usaha DPPM yang prihatin dengan nasib yang menimpa orang Islam di Arakan yang dizalimi.

Beliau yang juga Ketua Lajnah Antarabangsa DPPM menjelaskan, Pemuda PAS sentiasa mengambil berat dengan perkembangan serta kesensaraan saudara semuslim tidak kira di mana-mana sahaja.

"Sumbangan ini diharapkan dapat mengurangkan beban etnik Rohingya yang sehingga hari ini masih menganggung kesensaraan," katanya kepada Harakahdaily yang turut bersama dalam misi kemanusiaan tersebut.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, pihaknya akan sentiasa meninjau perkembangan orang Muslim di Rohingya dan terus berusaha untuk membantu mereka.

Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.

Ianya telah menyebabkan ribuan etnik tersebut meninggal dunia dan ada daripadanya diseksa dengan kejam oleh etnik Rakhine.

Turut bersama dalam misi kemanusiaan tersebut ialah Perak Care yang diwakili oleh Ustaz Isran Fahmi dan Yaseer Ismail.

Gaji minimum bebankan peniaga kecil luar bandar

Harakahdaily, 28 Dis 2012

KUALA LUMPUR: “Sekiranya sebelum ini, kami dapat mengambil beberapa orang pekerja dengan gaji yang sederhana, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja seminima mungkin untuk memenuh keperluan perintah gaji minimum ini.

“Jika keadaan terpaksa, perniagaan akan dikecilkan saiznya dan beberapa orang pekerja terpaksa diberhentikan,” ujar Che Aziz Hashim dalam emel yang dihantar kepada Harakahdaily.

Beliau yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di luar bandar meluahkan demikian berhubung arahan gaji munimum yang berkuatkuasa 1 Januari nanti.

Berikut ialah pandangan beliau.

Berkuatkuasa  1 Januari 2013, perintah gaji minimum 2012 P.U(A) (214) akan berjalan seluruh negara dengan gaji minimum semua pekerja ialah RM900. Pekerja di seluruh negara menunggu-nunggu saat ini dengan penuh kegembiraan.

Sebagai majikan yang tinggal di luar bandar yang  menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan akan merasai kesan yang besar. Pendapatan bulanan hanyalah sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar gaji pekerja secara mimimum sekitar RM600 seorang. Dengan pendapatan ini dapatlah beberapa pekerja diambil. Gaji pekerja ini sesuai dengan kehidupan di sebuah pekan kecil yang sederhana kehidupannya.

Gaji minimum yang ditetapkan RM900 ini amat berpatutan sekiranya perniagaan ini  dijalankan di sebuah bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan bandar besar yang lain. Pendapatan dari perniagaan amat lumayan dan mampu untuk membayar pekerjanya lebih daripada itu.

Sebagai majikan, kami peniaga kecil di luar bandar terpaksa memikirkan semula untuk menggaji pekerja. Sekiranya sebelum ini, kami dapat mengambil beberapa orang pekerja dengan gaji yang sederhana, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja seminima mungkin untuk memenuh keperluan perintah gaji minimum ini. Jika keadaan terpaksa, perniagaan akan dikecilkan saiznya dan beberapa orang pekerja terpaksa diberhentikan.

Bayangkan sebelum ini kami dapat membantu masyarakat luar bandar menambah pendapatan mereka dan membantu meringankan bebanan keluarga. Apabila pengurangan pekerja berlaku, amatlah malang sekali  kerana banyak keluarga di luar bandar akan kehilangan punca pendapatan.

Sepatutnya, sesuatu yang akan dilaksanakan dikaji lebih mendalam dan dibahaskan supaya mendapat maklum balas dari semua pihak. Perintah ini boleh dilaksanakan mengikut wilayah dan kawasan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli pengguna di kawasan tersebut.Tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini akan mengakibatkan kesan negatif kepada negara.

Inilah Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia

http://aiyangdisayang.blogspot.com, 28 Dis 2012
Beliau Berumur 81 Tahun...

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Beliau sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".

Politik Beliau Yang Menarik yang Perlu Anda Semua Mengetauinya.
Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Beliau (PAS) sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut. Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.

Beliaulah Menteri Besar Kelantan Darul Naim iaitu Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat ♥

"KAMI SAYANG ULAMA"

Himpunan 12 Jan hantar isyarat akhir buat SPR

M Faqih, 28 Dis 2012
MACHANG: Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini bakal menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terus memperkudakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

HKR KL112  sebagai kemuncak kepada Bersih 1, Bersih 2 dan Bersih 3  bakal menghimpunkan sejuta rakyat. Ia memberi amaran akhir kepada SPR supaya tidak memandang mudah segala rungutan terhadap ketelusan perjalanan pilihan raya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPR yang dianggap senjata akhir kerajaan BN perlu berfikir banyak kali dengan amarah rakyat sebelum meneruskan rancangan di luar demokrasi bagi memenangkan BN.

“Sejuta rakyat yang akan datang ke Kuala Lumpur. Ia akan mengajar SPR berfikir banyak kali. Ini tentunya akan melahirkan rasa gerun untuk terus membiarkan organisasi itu diperalatkan kerajaan BN.

“Mereka perlu bertindak untuk tidak membiarkan rakyat asing menjadi penentu demokrasi di negara kita. Jangan biarkan orang Bangladesh, Nepal, Filipina dan Indonesia mengundi untuk mengekalkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya pada program Jelajah Anak Muda menuju himpunan Kebangkitan Rakyat di Dewan Majlis Daerah malam semalam.

Orang ramai tetap memenuhi ruang dewan biar pun banyak tempat di Kelantan sekarang dilanda banjir. Rata-rata yang datang hanya mendapat maklumat melalui internet tanpa ada poster di merata tempat.

Hadir sama wakil-wakil NGO termasuk Pengerusi Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, wakil Royalti, Anak, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman, aktivis mahasiswa Adam Adli dan Ketua AMK Kedah, Azman Nasharuddin.

Program bermula solat Maghrib. Pada program berkenaan juga orang ramai yang hadir turut melafazkan ikrar menuntu royalti yang diketuai Marziki Mat Rani.

Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang berkata, berdasar kepada siri himpunan kebangkitan rakyat yang diadakan di seluruh negara sebelum ini, sambutannya begitu memberangsangkan sekali.

Menurutnya juga pihak pengurusan Stadium Merdeka yang akan dijadikan tempat perhimpunan itu mengenakan kadar bayaran sebanyak RM75,000 bagi membolehkan program itu diadakan.

Adam Adli yang digantung UPSI selama tiga semester kerana menurunkan gambar Datuk Seri Najib Razak di PWTC sebelum ini mengharap anak-anak muda datang beramai-ramai pada himpunan tersebut sebagai mencerminkan tuntutan mereka.

“Kalau kita seorang yang bercakap kerajaan tidak akan dengar, namun kalau sejuta rakyat menuntut kerajaan tidak boleh tidak mengendahkan lagi,” ujarnya.

Bengang kena saman di Hospital Putrajaya

Zulaikha Ali,
Apakah perasaan kita jika kita sakit, lalu pergi mendapatkan rawatan di hospital dan apabila keluar, kita telah disaman? Sesiapa sahaja yang mengalami kejadian ini sudah tentu berasa amat terkilan. Itulah yang berlaku kepada saya dan ramai lagi pesakit/pelawat Hospital Putrajaya.

Walaupun saya tidak pergi mendapatkan rawatan dan hanya melawat rakan saya yang sakit, namun saya tetap berasa amat terkilan apabila kereta saya disaman oleh pihak berkuasa. Saya lebih bersimpati dengan para pesakit yang disaman. Sudahlah sakit, disaman pula. Inilah yang berlaku kepada saya dan ramai lagi para pesakit/pelawat yang pergi ke Hospital Putrajaya. Kali pertama, kami disaman oleh pihak polis. Kali kedua pula disaman oleh pihak berkuasa tempatan Putrajaya.

Rakyat tentunya tidak menghalang, malah menyokong apabila pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang secara adil. Namun dalam hal ini, adalah jelas bahawa mereka tidak menggunakan timbang rasa dan budi bicara. Sebenarnya, kebanyakan orang yang pergi ke Hospital Putrajaya memang meletakkan kenderaan di tepi jalan. Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak menghormati undang-undang. Sebenarnya, mereka terpaksa berbuat demikian kerana kekurangan tempat letak kereta di  Hospital Putrajaya. Malah jika kita pergi ke mana-mana hospital sekalipun, masalah kekurangan tempat letak kereta adalah antara masalah utama yang dihadapi.

Selain itu, dalam kes  Hospital Putrajaya, kenderaan yang diletakkan di tepi jalan tidak menghalang lalu lintas. Hal ini kerana jalan tersebut lebar dan besar. Lagipun, jalan-jalan tersebut bukan jalan yang sibuk. Cuba kita bandingkan antara jalan di sekitar Hospital Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia Putra. Jika kenderaan diletakkan di tepi jalan sekitar PWTC, memang mengganggu kelancaran lalu lintas. Sebaliknya, situasi ini tidak berlaku di Hospital Putrajaya. Meskipun kenderaan diletakkan di tepi jalan, namun kelancaran lalu lintas tidak terganggu. Tetapi persoalannya adalah mengapakah kenderaan para pesakit yang pergi ke Hospital Putrajaya disaman (tiada gangguan kelancaran lalu lintas), sedangkan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO di PWTC tidak disaman (memang ada gangguan kelancaran lalu lintas)? Jelas terdapat pilih bulu di sini.

Diharap pihak berkuasa lebih bertimbang rasa dan tidak mengamalkan dasar pilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang. Selain itu, sebelum sesebuah hospital dibuka, kementerian yang berkenaan sepatutnya memastikan terdapat tempat letak kereta yang secukupnya, misalnya dengan membina tempat letak kereta bertingkat. Pihak berkuasa tidak seharusnya menunggu masalah parkir timbul sebelum melakukan sesuatu.

PRU13: Tuntutan Bersih lantang kerana sikap SPR

Harakahdaily, 28 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua agensi kerajaan sepatutnya menjadi pemelihara demokrasi yang murni dan adil kerana pada hakikatnya mereka adalah pemegang amanah rakyat.

Sehubungan itu, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut agar Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang sudah terlalu hampir akan diadakan dijamin sebagai PRU yang bebas dan adil demi menjaga maruah integriti negara di mata dunia.

“SPR sepatutnya benar-benar menunjukkan ia bebas dari sebarang pengaruh kerajaan yang diperintah oleh parti, ia juga hendaklah mengawal agar semua agensi kerajaan tidak disalah guna untuk parti politik sama ada secara langsung atau tidak langsung,” kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sehingga ini, ujarnya Teras mendapati tuntutan PRU yang bersih dan adil oleh pelbagai pihak tidak mendapat layanan yang sewajarnya sedangkan ia sangat penting untuk memastikan proses pilihan raya itu sendiri adalah telus dan berintegriti.

Menurutnya, apabila bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengatakan perubahan stuktural perlu dilakukan bermakna beliau mengaku bahawa ada perkara asas dalam proses pilihan raya yang tidak betul.

Justeru, kata beliau Teras berpendirian bahawa selagi pilihan raya dilaksana dengan cara manipulasi agensi kerajaan dan mengguna peruntukan wang awam untuk tujuan mempengaruhi pengundi, ia termasuk dalam erti pilihan raya yang kotor.

“Kami mendapati amalan kerajaan yang sewenangnya mengguna agensi awam seperti sekolah dan premis kerajaan atas nama acara rasmi tetapi jelas berkempen untuk parti politik, kursus-kursus rasmi dan media awam yang terang- terangan melancarkan serangan ke atas parti lawan jelas menunjukkan pilihanraya di negara ini bukan di medan padang yang rata.

“Jika SPR tidak melihat ini sebagai penyalahgunaan kuasa untuk berkempen maka tidak harus disalahkan kenapa tuntutan Bersih menjadi sangat lantang,” katanya dalam satu kenyataan.

Padahal, ujar beliau apa yang dituntut oleh Bersih betapapun dianggap kecil dan teknikal, namun ia tetap tuntutan yang berasas.

Oleh itu, katanya PRU13 yang jelas akan menjadi kayu ukur bukan sahaja kepada demokrasi yang diamalkan oleh negara tetapi juga kepada keyakinan rakyat bahawa kerajaan yang bakal dibentuk bukan kerajaan yang tertegak atas asas penipuan dan penyelewengan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan