Rabu, 28 November 2012

SEMUA DALAM KEKUASAAN ALLAH...BILA ALLAH NAK BUKA...SAPE ADA KUASA TUTUP....MENGAKULAH ITU YANG TERBAIK

Kenyataan Deepak: SAMM tuntut kes Altantuya dibuka semula

Harakahdaily, 28 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Berikutan pengakuan bekas rakan karib Datin Seri Rosmah Mansor, Deepak Jaikishan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Shariibuu dibuka semula.

Ini kerana, pengakuan bersumpah (SD) P balasubramaniam yang kedua telah tidak sah apabila dipengaruhi oleh keluarga Datuk Seri Najib Razak.

"Merujuk kepada laporan Harakah(daily) mengenai pengakuan Deepak Jaikishan yang membantu keluarga DS Najib Razak untuk memujuk penyiasat bebas P. Balasubramaniam (PI Bala) menukar akuan bersumpahnya, menjadi bukti bahawa akuan bersumpah kedua PI Bala jatuh tidak sah.

"Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Sharibuu dibuka semula dengan mengambil kira akuan bersumpah pertama PI Bala, setelah akuan bersumpah kedua PI Bala didapati telah dipengaruhi oleh keluarga Najib Razak," kata Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau Cikgu Bard.

Beliau dipercayai mengulas laporan Harakahdaily semalam yang melaporkan kenyataan Deepak Jaikishan yang menyebut beliau terlibat dalam SD PI Bala yang kedua.

Bagi che'GuBard, berikutan tindakan PI Bala mengubah pengakuan bersumpah, Deepak sendiri mengaku ia dilakukan demi menolong keluarga Najib Razak, ini bukti yang cukup untuk memanggil Najib ke kandang saksi.

Bagi beliau, pengakuan bersumpah PI Bala yang pertama yang menyebut keterlibatan Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya wajib dirujuk.

SAMM juga, katanya, melihat kes pembunuhan Altantuya menerbitkan sudut persoalan yang pelbagai, apatah lagi ia berkait rapat dengan skandal Scorpene yang disifatkan sebagai ‘bapak’ kepada semua kes jenayah di Malaysia.
"Skandal pembunuhan Altantuya dan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terkait ini harus dirungkai dan rakyat harus tahu," katanya.

Menurut beliau, demi memastikan rakyat celik dalam isu ini, pelbagai usaha dilakukan oleh SAMM termasuklah jelajah sesi taklimat penerangan di setiap negeri, ceramah pencerahan dan SAMM juga akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan hadapan.

Sehubungan itu, SAMM menyeru supaya rakyat menolak kepimpinan Najib Razak yang tercalit skandal Altantuya dan Scorpene.

"Hanya selepas BN ditumbangkan barulah kebenaran akan terungkai kerana ketika itu tiada lagi imuniti undang-undang terhadap VIP dan VVIP negara," katanya.

LAPORAN BERKAITAN


Perpaduan Umno, Muhyidin, Deepak dan Rosmah


Cerita sebenar Deepak Jaikishan kawan Rosmah

Dakwaan tiada siasatan kes Scorpene, bohong

Salmiyah Harun, 28 Nov 2012
 
KUALA LUMPUR: Tindakan Umno BN yang cuba memberi gambaran bahawa tidak berlaku sebarang siasatan di Paris berhubung kes Scorpene adalah pembohongan semata-mata.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengikuti taklimat Scorpene di Singapura semalam, berkata siasatan kes itu sedang berjalan dengan lancar.

Menurut, Sivarasa Rasiah (PKR-Subang) hakim kes tersebut mungkin akan datang ke Malaysia Januari atau Febuari tahun depan sekiranya ada perkembangan terkini berhubung kes itu.

"Kenyataan BN bahawa tidak ada apa-apa berlaku di Paris adalah bohong, siasatan sudah dibuat dan berjalan penuh, malah senarai saksi sudah diterima oleh dua orang hakim," katanya.

Sementara itu, Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) menyifatkan Umno BN seolah-olah tidak mahu langsung perkara yang benar didedahkan kepada rakyat negara ini.

Katanya, Ahli Parlimen BN kecewa sebab Singapura membenarkan Peguam Perancis Apolene Cagnat masuk ke negara itu.

"Ini seolah-olah hasut negara lain untuk bertindak sama dengan mereka," katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Hatta yang juga mengikuti taklimat itu berharap tujuh individu yang disapina buat kali kedua agar bersedia untuk disiasat.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) berkata, kes ini adalah kes serius dan prosesnya berjalan dengan baik bukannya remeh-temeh sebagaimana dianggap oleh BN.

"Mereka (Perancis) tidak akan buang masa untuk lakukan siasatan dengan terperinci, mereka sudah rasa kes ini ada 'strong' dan akan bawa ke perbicaraan.

"Saya bertanya kenapa mereka begitu berminat dengan kes ini, mereka jawab, ia adalah prinsip sistem perundangan kerajaan Perancis mahu banteras rasuah di semua peringkat walaupun hakikatnya mereka sendiri yang untung," katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu bersikap terbuka dalam kes ini, dan kerjasama dengan Peguam Negara amat penting.

"Kita rayu pada Peguam Negara untuk tunjuk sikap bahawa beliau boleh bagi kerjasama dalam kes ini.

"Kalau ada permintaan maklumat perlu ada kerjasama dari Peguam Negara," katanya.

Perpaduan Umno, Muhyidin, Deepak dan Rosmah

Analisa Penulis Khas, 28 Nov 2012

Umno mengadakan Perhimpunan Agung mereka mulai semalam  hingga 1 Disember ini. Tema himpunan ini dipercayai menjurus kepada kesatuan dan perpaduan dalam Umno dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagi memperkemaskan agenda perpaduan ini, Umno menubuhkan satu pasukan khas untuk mendisiplinkan ahli-ahli dan pimpinannya, dari membuat tindakan mensabotaj Umno dari dalam.

Persoalannya, kenapa agenda ini terpaksa dicanangkan Umno menjelang pilihan raya umum ke 13 ini? Ramai yang berkata, ia berkait rapat dengan kebimbangan besar Umno sekarang dalam isu ini.

Dimaklumkan juga bahawa, antara punca presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak gagal membubarkan Parlimen walaupun beberapa percubaan dibuat, adalah kerana isu perpaduan ini. Sampai sekarang, Umno belum berjaya mencapai kata putus tentang senarai calon-calonnya.

Pun begitu, mahu tidak mahu, pilihan raya perlu diadakan juga selewat-lewatnya Mac tahun depan walaupun Najib boleh membuatnya selepas tarikh itu apabila Parlimen terbubar dengan sendiri.

Jika begitu, Perhimpunan Agung ini adalah perhimpunan terakhir menjelang pilihan raya umum akan datang. Dua minggu lalu PAS membuat muktamarnya di Kota Bharu iaitu dari 14 hingga 18 November.

Sebenarnya, apakah masalah perpaduan yang berlaku dalam Umno ini? Ianya tidak lain dan tidak bukan rasa tidak puashati yang membuak-buak di kalangan pimpinan Umno terhadap Datuk Seri Najib selaku presiden yang dilihat terlalu bergantung kepada isterinya.

"Bayangkan, Rosmah boleh menyertai mesyuarat Majlis Tertinggi Umno," kata seorang pemimpin Umno.

Apabila ditanya, betulkah maklumat ini, dia berkata "Tanyalah kepada mana-mana ahli MT, mereka akan sahkan. Beberapa mesyuarat MT turut disertai Rosmah."

Selain faktor itu, faktor tidak berpuashati dengan pendekatan Najib juga menyebabkan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin dikatakan mahu mengambil kesempatan untuk menggantikan beliau.

Menurut sumber media, Muhyidin telah berjaya meletakkan orang-orangnya di kebanyakan media milik Umno iaitu kumpulan Utusan dan kumpulan Media Prima.

(Muka depan Utusan hari ini)

"Di NST, hanya Datuk Jalil Hamid (Editor Pengurusan Kumpulan) sahaja orang Najib. Di bawah beliau semuanya orang Muhyidin," kata seorang rakan media.

Sebab itulah, berita-berita Muhyidin berjaya berada di tempat yang utama dalam media-media milik Umno ini.

Menurut sumber itu, Muhyidin berdiri di atas penyokong-penyokong Tun Dr Mahathir yang berlambak di dalam Umno.

Hatta, SMS beredar sekarang, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor juga sudah beranggapan ini adalah sessi terakhir untuk Najib sebagai Presiden.

Jika Najib gagal capai keputusan 2/3 dalam pilihan raya umum ini, dia dianggap gagal sebagaimana Pak Lah dianggap gagal. Apatah lagi kalau kerajaan BN jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Itu senario yang berlaku di dalam Umno menjelang perhimpunan mereka hujung bulan ini. Apa pula tindakan PAS? Inilah isu yang perlu di perhatikan.

Ketika perpecahan dalam Umno ekoran pertembungan Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah 1987 dahulu, kepimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor telah membuka pintu PAS seluas-luasnya untuk disertai oleh pemberontak dalam Umno ini.

Begitu juga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno. Ustaz Fadzil telah bertemu sendiri dengan Anwar pada hari beliau dipecat di rumahnya dekat Bukit Damansara.

Hasil kedua-dua tindakan itu Kelantan kekal bersama PAS sehingga kini di samping kemenangan besar PAS pada pilihan raya 1999 dan 2008.

Meluat

Pertembungan yang berlaku dalam Umno sekarang agak berbeza dari segi bantuknya. Ia belum lagi melibatkan pemimpin besar tetapi peringkat akar umbi dalam Umno.

Mereka mula meluat dengan salah laku dan salah guna kuasa dalam parti itu yang melibatkan segala projek kerajaan.

Sekurang-kurangnya tiga bekas pemimpin Umno yang menyertai PAS dan PKR (Datuk Tamrin Ghafar, Datuk Yahya Lampong dan Datuk Kadir Sheikh Fadzil) meletakkan semua kesalahannya kepada Dr Mahathir.

Bagi mereka, Mahathir telah mengubah segala perkara yang selama ini menyatukan orang Melayu di dalam Umno. Beliau dikaitkan dengan kepentingan kroni dan sebagainya.

Ketika media menyerang tingkah laku beliau dalam Petronas dan tender untuk anak-anaknya, secara terbuka tetapi sinis Mahthir beliau menyerang musuh tegar beliau dalam Umno yang bernama Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Hinggakan ada berita yang mengatakan, Khairy sudah menandatangani watikah perlantikan beliau sebagai timbalan menteri baru-baru ini namun nama beliau sampai sudah tidak diumumkan oleh perdana menteri Najib, dikaitkan dengan Mahathir.


Deepak


(Muhyidin kelihatan bakal memimpin Umno...di mana Najib.. foto TMI)

Pemberontakan sedang berlaku dalam Umno. Masing-masing tidak berpuashati dan menganggap Umno sudah busuk hingga ke ususnya. Umno sudah tidak boleh diperbaiki lagi. Siapa saja bakal pemimpin Umno akan hadapi masalah ini hatta Muhyidin sekalipun.

Namun, Muhyidin yakin dia mempunyai pendekatan yang betul untuk hadapi musuh utama Umno iaitu PAS. Ucapan Muhyidin di perhimpunan sayap Umno semalam memberikan indikasi pendekatan yang bakal digunakan Muhyidin. Jelas, PAS adalah sasaran Muhyidin. Ini kerana Muhyidin tahu PAS lah bakal merebut pengundi Melayu yang kini menjulang Umno di puncak kuasa.

Muhyidin kelihatan jelas dengan sasarannya. Ketika Muhyidin berucap menetapkan halatuju yang ditawarkan beliau kepada Umno, semua media alternatif termasuk Harakahdaily menyiarkan temubual khas mereka dengan Deepak Jaikishan, rakan baik isteri Najib, Rosmah Mansor sebelum ini.

(Laporan dari 3 media mengenai kenyataan Deepak semalam)

Deepak menjelaskan, beliau sangat rapat dengan Rosmah dan pernah mendapat peluang perniagaan bernilai hingga bilion ringgit hasil hubungan tersebut.

Namun kerana salah faham dalam projek besar untuk menyelamatkan Najib selepas keluarnya Kenyataan Bersumpah (SD) P Balasubramaniam, Deepak diketepikan.

Bukan sahaja diketepi bahkan disusahkan apabila lebih 50 penguatkuasa undang-undang negara dihantar ke rumah, pejabat dan kilang milik Deepak.

Deepak memang mengaku dia dihubungi di tengah malam agar membantu Najib menghadapi SD Bala itu yang mendakwa Najib ada kaitan dengan kematian Altantuya Shariibuu.

Deepak berjaya membantu Najib apabila Bala bersetuju membuat satu SD lain keesokannya dan sekaligus menarik balik SD yang pertama. Bala membuat U - Turn, dari Najib bersalah kepada Najib tidak bersalah.

Namun, kerana tidak berpuashati dengan janjinya, Bala sekali lagi membuat U-Turn dan mendedahkan kenapa beliau berbuat demikian.

Lalu Deepak dipersalahkan dan 50 penguatkuasa dihantar ke rumah, pejabat dan kilang beliau. Hasilnya semua dokumen perniagaan yang berkaitan dengan keluarga PM diambil oleh penguatkuasa itu dan tidak dipulangkan sehingga sekarang.

Lalu timbul persoalan, kenapa pendedahan ini dibuat ketika Muhyidin mengajak Umno mengambil pendekatan baru dalam menghadapi Pakatan Rakyat.

Kenapa ia timbul menjelang perhimpunan agung Umno yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

Pembaca lebih cerdik untuk menyambung analisa ini.

LAPORAN BERKAITAN


Cerita sebenar Deepak Jaikishan kawan Rosmah

 

Salon: Exco temui Dewan Perniagaan Cina esok

Salmah Mat Husain, 28 Nov 2012
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Gabungan-gabungan Persatuan Tionghua membincang berkaitan peraturan salon uniseks esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan tertutup tersebut akan diadakan di Kota Darulnaim.

“Pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan berhubung keadaan sebenar mengenai peruntukan undang-undang salon uniseks di Kelantan.

“Kita juga akan mendengar pandangan diutara pihak berkenaan untuk dibawa kepada kerajaan bagi dibincang lebih lanjut,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Pertemuan itu juga akan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohammed Fadzli Hassan.

Sebelum ini seorang pengurus kedai gunting, Ong Lee Ting dilapor mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Takiyuddin berkata, pertemuan itu merupakan satu cara menyelesaikan isu yang tidak sepatutnya menjadi polemik seperti sekarang.

“Peraturan itu sudah lama berjalan, lebih kurang 20 tahun dan telah menjadi undang-undang. Pihak yang mencetuskan perkara itu mungkin mempunyai motif tertentu.

“Kita ingin mendengar pandangan mereka. Ini membuktikan kerajaan negeri bersifat terbuka termasuk kepada pertubuhan atau perseorangan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menganggap isu itu boleh diselesaikan, cuma dukacita kenyataannya Ahad lalu banyak tidak disiarkan media sehingga timbul salah faham.

“Sekiranya ada pihak yang membuat laporan yang tidak betul berhubung apa yang saya sebut, saya tidak teragak-agak mengkaji tindakan undang-undang,” katanya.
Bekas IGP tuduh Hisham campurtangan dalam PDRM
 
Bekas Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan hari ini mendakwa bahawa pasukan polis semasa di bawah pimpinannya berdepan dengan campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

NONEBercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya, Musa berkata Hishammuddin pernah memberi arahan terus kepada pegawai-
pegawai junior dan seorang ketua polis daerah tanpa pengetahuannya.

Oleh itu, katanya, beliau memberitahu Hishammuddin mengenai Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967, yang menyatakan bahawa arahan dan kawalan pihak polis adalah oleh IGP dan bukannya menteri.

"Sudah tentu, saya tidak boleh biadap kepadanya kerana (beliau) seorang menteri. Saya memberitahunya dengan baik. Dia tak suka," kata Musa.

Beliau menjawab soalan media sama ada beliau pernah berdepan dengan halangan daripada Hishammuddin pada zamannya sebagai pegawai tertinggi pasukan polis negara. Musa bersara pada September 2010.

Sidang akhbar diadakan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), di mana Musa menjadi penaung dan penasihatnya.

Ditanya lagi sama ada Hishammuddin menunjukkan reaksi negatif, Musa menjawab: "Saya fikir begitulah. Itulah sebabnya (kontrak saya) tidak dilanjutkan."

Desak tangkap Hishammuddin Hussein

Mohd Sayuti Omar, 28 Nov 2012

SUSUPAN PETANG

Pendedahan bekas IGP Musa Hassan kononnya Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein mencampuri urusan polis sesutau yang serius dan patut mendapat perhatian persidangan agung Umno yang bersidang waktu ini.

Pendedahan itu tidak boleh dianggap satu pengkhianatan tetapi maklumat yang wajar didedahkan kerana persidangan Umno yang dalam rangka memperkuatkan partinya untuk menang patut menanganinya bagi menjaga maruah dan air muka kerana dakwaan itu melibatkan pemimpin kanan mereka.

Sekiranya dakwaan Musa itu benar, perbuatan Hihammuddin itu sesuatu yang mencemarkan integriti kerajaan UBN dan menjatuhkan maruah kerajaan itu di muka dunia. Hishammuddin ialah salah seorang naib presiden Umno dan sepupu kepada Najib Razak.

Musa Hassan hari ini dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya ketika menjawab pertanyaan wartawan mendakwa bahawa pasukan polis semasa di bawah pimpinannya berdepan dengan campur tangan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein.

Menurutnya campur tangan berbentuk arahan dibuat oleh Hishammuddin kepada pegawai junior dan seorang ketua polis daerah tanpa pengetahuannya.

Tindakan Hishamuddin itu menurut Hasan bersalahan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967) yang membenarkan hanya beliau (IGP) saja yang boleh memberi arahan kepada pegawai bawahan.

Katanya dia sudah memberi tahu kesalahan dan percanggahan kepada Hishammuddin tetapi tidak dihirau dan kurang bersetuju dengannya. Menurut Musa salah satu sebab kenapa beliau tidak disambung kontrak sebagai Ketua Polis Negara untuk kali kedua adalah disebabkan keberaniannya menegur menteri dalam negeri itu.

Sangat elok kalau para perwakilan Umno membangkitkan soal tindakan Hishmmuddin itu kerana ia jelas melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan Akta Polis. Sepatutnya NGO seperti Perkasa(m), Jaringan Melayu dan sebagainya membuat laporan polis dan kepada SPRM apa yang berlaku itu.

Perwakilan Umno yang mengakui partinya sebagai sebuah parti yang telus, berjuang untuk bangsa dan negara tidak boleh mendiamkan perkara ini. Ahli Umno jangan berani dan tahu menuding jari kepada pihak lain saja tetapi hendaklah berani mengambil tindakan sama kepada pemimpin dan ahlinya sendiri.

Kalaupun tidak ada yang berani untuk mendesak Hishammuddin ditangkap tetapi kenalah ada seorang dua yang mendesak ditubuhkan jawatankuasa siasatan khas mengenai dakwaan Musa Hassan itu. Adalah malang lagi kalau campur tangan dimaksukan Musa itu melibatkan soal keselamatan negara misalnya seperti melindung penjenayah negara.

Dalam pada itu Musa Hassan hendaknya tidak setakat memberi maklumat itu, sebaliknya perlu mendedahkan seberapa banyak kesalahan, kes-kes kacau ganggu Polis Diraja semasa beliau menjadi ketuanya. Hanya mendedahkan itu untuk menjustifikasikan kenapa beliau tidak disambung kontrak kurang menyengat.

Pendedahan Musa itu juga sesuatu yang mengejutkan dan membuka isu baru dalam pasukan Polis DiRaja Malayisa yang sering dilemparkan sebagai komponen BN yang ke-17 selepas SPR (15) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN 16). - http://msomelayu.blogspot.com/

Cendikiawan dunia Islam berhimpun di Kota Bharu

Harakahdaily, 28 Nov 2012
KOTA BHARU: Kongres Dunia Mengenai Sistem Islam akan menghimpun cendikiawan Islam dari beberapa negara di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Utara bagi mencetus pendekatan baru menghadapi alaf ke-21.

Lebih 500 peserta dan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negeri akan berhimpun di Kota Bharu selama lima hari, membincangkan pelbagai aspek mengenai Islam.

Kongres berkenaan dianjurkan kerajaan Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 akan berlangsung 1 hingga 5 Disember 2012 turut mendapat kerjasama Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan).

Pemimpin gerakan Islam, profesor dan wakil beberapa kerajaan akan membentang kertas kerja pada kongres berkenaan.

Antaranya anggota jawatankuasa parlimen Mesir, Dr Abdel Rahman al-Bar; Naib Canselor Riphan International University Pakistan, Prof Dr Anis Ahmed; Sheikh Rashid Al Ghannushi dari Tunisia, Prof Glenn Hardaker dari England, wakil gerakan Islam Maghribi, Dr Abu Zaid Al Muqri Al Idirisi.

Selain itu Prof Dr Abdel Rahim Ali (Sudan), Dr Sofwat Jijazi (Mesir), Prof Dr Masudul Alam Choudhury (Kanada), Dr Hidayat Nur Wahit (Indonesia) dan wakil Kementerian Luar Turki.

Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga dijemput menyampaikan syarahan. Kongres yang julung kali diadakan itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 3 Disember.

Pengerusi kongres berkenaan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah  berkata, penganjuran kongres berkenaan dibuat bagi mewujudkan platform peringkat global berkaitan pembangunan dan pelaksanaan sistem Islam.

Kongres berkenaan akan diadakan di Balai Islam dan sebuah hotel. Ia terbuka kepada umum dan agensi kerajaan. Peserta dikenakan bayaran pendaftaran, manakala percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Mereka yang berminat juga boleh mendapat maklumat lanjut dengan melayari www.world-islam.com atau emel hasnoor@eduxplore.com.my.

Morsi: Revolusi rakyat Mesir dikhianati

Dr Mujahid Yusof, 28 Nov 2012
Kebangkitan rakyat Mesir menggulingkan Hosni Mubarak dibayar dengan harga yang tinggi. Ramai yang terkorban akibat keganasan saat akhir regim Hosni Mubarak terdesak untuk mempertahankan kuasa.

Setelah berbulan bertahan di Tahrir Square, akhirnya tumbanglah regim Mubarak yang memerintah Mesir hampir 30 tahun.

Namun era baru tidak menjanjikan jalan mudah yang diharapkan kerana cabaran post-revolusi ialah memastikan proses pendemokrasian berjalan dan adalah paling utama revolusi rakyat membuka jalan untuk proses pilihanraya yang adil dan dan bersih.

Setelah melalui berbagai halangan khususnya berhadapan dengan kuasa tentera yang masih menguasai pentadbiran negara Mesir, satu pilihanraya Presiden yang demokratik berjalan dan akibatnya Dr Mohd Morsi telah memenangi pilihanraya tersebut.

PRESIDEN TANPA KUASA


Walaupun Morsi menang bergaya dalam pemilihan yang demokratik, Presiden Mesir itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa kerana beliau gagal membentuk Parlimen memandangkan kuasa tentera masih lagi merupakan kuasa tertinggi yang boleh membubarkan Parlimen.

Kuasa kehakiman juga masih terhad dan banyak perkara yang tertunggak dalam tuntutan rakyat tidak dapat dilaksanakan umpamanya penghakiman ke atas pembunuhan demonstran oleh pasukan polis, penghapusan kuasa tentera dan penggubalan perlembagaan baru bagi memberi laluan parlimen berfungsi secara bebas.

Presiden tanpa kuasa adalah jolokan terbaik yang diberi kepada Morsi dan oleh kerana itu Morsi memerlukan mekanisma untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat melalui pendemokrasian sistem pentadbiran negara yang berterusan.

Tapi soalannya bagaimana Presiden Mesir dari Ikhwan itu harus melakukannya?

AMBIL KUASA UNTUK BERI KUASA

Morsi melihat keadaan ini tidak boleh berterusan dan kerana itu beliau terpaksa melakukan sesuatu yang berisiko tinggi dengan mengambil kuasa imuniti dalam mengembalikan dan memudahkan aturcara pendemokrasian berjalan lancar.

Tindakan Morsi terdedah kepada persepsi menyegar semulakan kediktatoran dan mengkhianati revolusi kebebasan rakyat.

Memang benar, hari ini dan minggu sebelumnya Medan Tahrir kembali berdengung dengan bantahan terhadap tindakan yang dibuat oleh Morsi.
Presiden Mesir telah meminta kepada Parlimen supaya diberi kepadanya kuasa imuniti dalam keputusan-keputusan yang  dibuatnya untuk tujuan-tujuan berikut.

Pertama, memulakan semula kes-kes mahkamah terhadap penjenayah revolusi rakyat, kedua, kuasa untuk membentuk parlimen baru dan ketiga melantik Peguam Negara dan memberi kuasa kepadanya bagi membentuk jawatankuasa penggubalan perlembagaan.

Setelah selesai semua urusan, Presiden berjanji untuk mengembalikan kuasanya semula kepada Parlimen yang mewakili hasrat revolusi rakyat.

JALAN SUKAR




Ketika Morsi menang, seluruh kelompok dan arus tidak mempertikaikan kemenangannya kerana ia menang melalui peti undi yang berjalan secara telus, bersih dan adil.

Namun hari ini sebahagian besar kelompok liberal-sekular dan hak asasi manusia tidak bersama Morsi dalam langkah berisiko tingginya.

Pesaing calon Presiden beliau seperti Amru Musa dan El Baradai menganggap tindakan Morsi kali ini boleh membawa kepada kediktatoran baru malah ada yang mengatakan beliau mengkhianati revolusi rakyat.

Parti Keadilan dan Kebebasan serta rakan-rakannya dari Parti Nur dan Parti Pembangunan bersetuju dengan hasrat Morsi bagi mengembalikan kuasa rakyat melalui keputusan Presiden yang diberi imuniti sementara.

MESIR TERUS BERGOLAK

Pada saat artikel ini ditulis Medan Tahrir semakin membengkak dengan kehadiran beribu-ribu demonstran.

Ikhwan dan rakyat yang menyokong mulanya  mahu mengadakan perhimpunan besar bagi menyatakan sokongan kepada Morsi namun bagi mengelakkan ketegangan, organisasi yang paling berpengaruh dan paling tersusun itu membuat keputusan membatalkan niat tersebut.

Kemelut post revolusi akan terus menghantui usaha pendemokrasian di Mesir dan Morsi ditakdirkan menjadi Presiden pertama yang akan memastikan ianya berlaku, bagi sesetengah pihak mereka belum meyakininya.


*Penulis adalah bekas pelajar di Mesir. Beliau kini adalah anggota Parlimen Parit Buntar.


Dialog pengusaha salon disambut baik masyarakat Cina

Rossem, 28 Nov 2012

KOTA BHARU: Kesediaan Kerajaan Kelantan berbincang dengan pengusaha salon dan wakil persatuan bagi mencari penyelesaian isu larangan bergunting rambut lain jantina membabitkan masyarakat bukan Islam disambut baik masyarakat Cina.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Lim Guang Seng (gambar) berkata, enakmen pengawalan kedai gunting rambut uniseks dilaksanakan lebih 20 tahun lalu setelah membuat kajian terperinci.

“Peraturan itu hendaklah dipatuhi kerana tujuan menghalang membiaknya maksiat dan gejala sosial.

“Bagaimanapun masyarakat Cina meminta sedikit kelonggaran supaya dibenarkan kedai salon milik bukan Islam menggunting pelanggan bukan Islam berlainan jantina di tempat yang terbuka seperti di KB Mall.

“Di tempat terbuka tersebut tidak mungkin pengusaha salon mengambil kesempatan menjalankan aktiviti tak bermoral kerana orang ramai dapat melihat dari jauh,” katanya di sini.

Sebelum itu seorang pengurus kedai gunting, Ong Lee Ting dilapor mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Menjelaskan kekeliruan terbabit Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peraturan melarang kedai gunting uniseks sebagai langkah awal kerajaan membendung gejala tidak sihat.

Katanya, peraturan itu diwujudkan bukan kerana sentimen agama, sebaliknya bagi membendung lebih awal gejala tidak baik berlaku.

Menurutnya sejak 1991 pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan sebarang lesen kedai gunting uniseks di Kelantan.

Peraturan tersebut di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut, Pendandan Rambut Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986.

Kelmarin anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, pertemuan dengan pengusaha salon dan wakil-wakil persatuan masyarakat bukan Islam dijangka  dalam masa terdekat.

Difahamkan pertemuan itu dijangka diadakan di Kota Darulnaim esok.

Seorang pemimpin masyarakat Cina, Chia Chuan Lay (gambar kiri) berkata, masyarakat Cina di Kelantan sudah faham mengenai peraturan tersebut, namun dibimbangi orang Cina di luar Kelantan kurang faham mengenainya.

Oleh itu beliau berharap peraturan tersebut diberi sedikit kelonggaran bagi kedai salon milik bukan Islam dengan pemantauan MPKB BRI untuk mengelakkan berlaku gejala kurang sihat.

Sementara itu Setiausaha Pemuda PAS Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob berkata, pihaknya berjiwa besar sebarang usaha mengkaji pandangan golongan non Muslim terhadap kewujudan peraturan larangan bergunting lain jantina demi kemaslahatan semua pihak.

“Hakikatnya Pemuda PAS yakin peraturan yang diperkenalkan semenjak 1991 tanpa sebarang bantahan mana-mana pihak menunjukkan bahawa ia sudah diterima secara umum masyarakat di Kelantan,” katanya.

Menurutnya juga media Umno dan Barisan Nasional sengaja memainkan isu berkenaan sebagai langkah terdesak untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

Kelantan sumbang RM50,000 bantu Palestin

Rizal Tahir, 28 Nov 2012


(Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan cek sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada Presiden Cakna Palastine Nazri Deraman)


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan cek sebanyak RM50,000 untuk membantu rakyat Palestin di negara sendiri.

Sumbangan dari Tabung Serambi Mekah itu disampaikan Tuan Guru kepada Pengerusi Persatuan Cakna Palestin, Nazri Deraman, selepas mesyuarat exco, di sini tengahari tadi.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Pengerusi Tabung Serambi Mekah, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Sebelum itu, Tuan Guru sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, terlebih dahulu memijak gambar-gambar pemimpin zionis Israel termasuk benderanya berulang kali sebagai tanda protes.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, kerajaan negeri begitu simpati terhadap nasib umat Islam di Palestin yang sentiasa menjadi buruan zionis.

“Kerana itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan sumbangan ini kepada umat Islam di Palestin yang tertindas,”ujarnya.

Presiden PAS dapat taklimat Ketua Pengarah Pertanian

Harakahdaily, 28 Nov 2012


(Presiden PAS dan isteri mendapat taklimat dari Ketua Pengarah Pertanian mengenai MAHA 2012)

SERDANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012) petang kelmarin.

Turut serta bersama adalah isteri beliau Datin Seri Hajjah Zainab Awang Ngah.

Dalam kunjungan tersebut, beliau sempat mendengar taklimat dari  Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Mustafa Kamal b. Baharuddin mengenai MAHA kali ini.

Presiden PAS juga mengunjungi pameran MAHA sebelum ini yang diadakan dua tahun lepas.

MAHA 2012 berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang. Pameran ini mensasarkan kunjungan 3 juta orang tahun ini.

Sehingga hari kedua pameran ini, 600,000 pengunjung telah dicatatkan oleh pameran dwi tahunan ini.

Kuliah Maghrib


(Ustaz Hadi bergambar dengan Unit Amal, Zaidi serta AJK yang bertugas)

Malam tadi, Presiden PAS itu sempat memberikan Kuliah Maghrib di Masjid Al Firdaus, Bandar Baru Selayang.

Selepas tazkirah itu, beliau sempat berbincang dengan pimnpinan PAS tempatan termasuk dengan Yang Dipertua PAS kawasan Selayang, Haji Zaidi Abdul Talib yang baru pulang dari menunaikan haji.

Beliau juga sempat bergambar kenangan dengan anggota Unit Amal yang bertugas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan