Jumaat, 23 November 2012

SEJARAH TERAWAL MURTAD ADALAH IBLIS...SEBAB SOMBONG...BONGKAK SERTA DEGIL KEPADA ALLAH PENCIPTA SEGALA2NYA

PKR temu ICAC, dakwa bukti dana politik RM40 juta 'jelas'
RUZY ADILA IDRIS
23 November 2012
Rafizi dakwa syarikat tidak pengalaman urus projek tambahan
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
PETALING JAYA - PKR yakin kes kontroversi yang melibatkan dana sejumlah RM40 juta yang didakwa sebagai "derma politik" kepada Umno Sabah dapat dibuka semula selepas mengemukakan beberapa bukti kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC), dua minggu lagi.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendakwa, pihaknya mempunyai bukti transaksi di Hong Kong, yang menunjukkan wujudnya pertalian antara pemberian konsesi balak di Sabah melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman termasuk pelbagai akaun bank dan pemindahan wang keluar masuk ke Hong Kong yang turut melibatkan ahli perniagaan, Micheal Chia.

"Kami akan kembali ke Hong Kong dalam tempoh dua minggu lagi untuk kemukakan bukti yang berlakunya transaksi di negara itu kepada ICAC," dakwanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan dalam sumbangan yang diterima oleh Umno Sabah.

Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Sementara itu, merujuk kepada jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri  Aziz kepada Tian Chua dari PKR di Parlimen, Nazri berkata, dana itu merupakan sumbangan kepada Umno Sabah.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) memutuskan elemen rasuah tidak dapat dibuktikan dalam kes ini.
Bagaimanapun SPRM harus menyiasat sekiranya rasuah menjadi faktor dalam sumbangan politik RM40 juta itu, katanya.

Rafizi bersama tiga yang lain iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang pulang dari Hong Kong hari ini bertemu tiga ahli Majlis Perundangan negara terbabit.
Menurut Rafizi, misi delegasi ke Hong Kong kelmarin berjaya mengesahkan tiga perkara iaitu tidak ada bukti bahawa ICAC menghentikan siasatan rasuah melibatkan Musa dan Micheal kerana mereka berpuas hati tiada unsur-unsur rasuah seperti yang didakwa Nazri sebelum ini.
Selain itu katanya lagi, pimpinan Majlis Perundangan Hong Kong, media dan badan bukan kerajaan (NGO) memandang berat tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) yang cuba mengheret nama baik ICAC untuk membersihkan tuduhan rasuah terhadap Musa.
Sehubungan itu, ICAC dan pihak berkuasa Hong Kong mengalu-alukan bukti baru bagi membuka semula siasatan terhadap kes tersebut.
Dakwa Rafizi lagi, hasil pertemuan delegasinya dengan Pimpinan Majlis Perundangan Hong Kong iaitu Naib Pengerusi Panel Keselamatan, James To, ahli-ahli Panel Keselamatan, Leung Kwok-Hung serta Raymond Wong telah berjaya mengaturkan pertemuan khas dengan ICAC.
"Melalui To, kami dapat membentangkan asas bahawa wang RM40 juta bukanlah sumbangan politik seperti yang dimaklumkan pihak berkuasa Malaysia kepada ICAC.
"Hasil perbincangan dengan ICAC semalam berhasil dengan persetujuan supaya PKR menghantar bukti-bukti pemindahan wang dan urusniaga yang berlaku di Hong Kong untuk membolehkan satu siasatan baru diteruskan," dakwanya lagi.
Dalam pada itu, Lih Kang juga mendakwa, tiga ahli Majlis Perundangan Hong Kong akan memantau perjalanan sisatan itu nanti memandangkan mereka yang bertanggungjawab memantau prestasi dan kebebasan semua badan-badan penguat kuasa Hong Kong termasuk ICAC.
Izzah saman Utusan isu kebebasan beragama
RUZY ADILA IDRIS
23 November 2012
Nurul Izzah Anwar
NURUL IZZAH ANWAR
KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Kumpulan Utusan dan ketua pengarangnya berhubung laporan berkenaan dengan kenyataan menyentuh kebebasan beragama, yang menurut beliau telah diputarbelitkan oleh akhbar terbitan syarikat berkenaan.
Syarikat itu merupakan penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Nurul Izzah memfailkan tuntutan saman melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau selaku plaintif, menamakan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing defendan pertama dan kedua.
Saman itu berhubung empat artikel yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia antaranya bertajuk: "Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu - Nurul Izzah" bertarikh 5 November lalu.

Menurut pernyataan tuntutan, Nurul Izzah menuntut defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman di muka hadapan Utusan Malaysia, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau, tetapi nilai tuntutan tidak dinyatakan.
Menurut pernyataan tuntutan, tiga lagi artikel yang diterbitkan akhbar berkenaan di muka surat lima bertarikh 6 November 2012 pula adalah "Nurul Izzah cuba gadai Islam, Melayu"," Naib Presiden PKR letak akidah lebih rendah daripada politik" dan "Kenyataan Nurul Izzah bertujuan jadikan Malaysia negara Pluralisme agama".
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga menuntut injunksi kekal ke atas Utusan Malaysia bagi menghalang akhbar tersebut terus menyiarkan artikel sama.
Beliau tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dituntut dalam saman tersebut.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu didakwa membuat kenyataan tersebut sewaktu menjadi panelis forum “Negara Islam: Versi yang Mana; Siapa Bertanggungjawab?" di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya pada 3 November lalu.
Berikutan itu, beliau kemudiannya dikecam beberapa pihak termasuk Sultan Sultan melahirkan rasa kesal.




Misteri orang minyak terungkai, suspek dari Sabah ditahan
NORFARAHAH OTHMAN
23 November 2012
Misteri orang minyak terungkai, suspek dari Sabah ditahan
Abdul Aziz (duduk, tengah ) bergambar sebelum Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah.
BENTONG - Polis berjaya menyelesaikan misteri orang minyak yang digembar-gemburkan berlaku pertengahan tahun lalu menerusi pengakuan daripada suspek yang ditahan pada 14 November lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, hasil siasatan ke atas suspek berusia 42 tahun dan berasal dari Tambunan, Sabah itu berjaya menemui bukti lelaki terbabit melakukan 13 kes melibatkan jenayah rogol, bunuh dan samun.
Menurutnya, suspek dipercayai melakukan enam kes rogol dan empat kes bunuh melibatkan lima kematian yang berlaku sejak Mac 2009 hingga 14 November lalu.
“Suspek yang kini masih ditahan reman sehingga 27 November dilaporkan tidak mempunyai masalah mental dan memberi kerjasama baik kepada polis yang menjalankan siasatan.
“Selain 13 kes itu, polis juga sedang menjalankan siasatan melibatkan beberapa lagi kes pecah rumah yang dipercayai dilakukan suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, dekat sini.
Abdul Aziz berkata, hasil siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah bekerja di kilang dan pencuci kereta, namun kemudiannya tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.
Katanya, polis percaya dalam tempoh itu suspek menjalankan kegiatan jenayah yang dilaporkan.
“Bagaimanapun sebelum penangkapannya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Menerusi bukti yang ada polis yakin dapat mendakwa suspek atas kes yang dilakukan selama ini,” katanya.
Pada 14 November lalu, suspek berjaya ditahan di hutan belakang Taman Hussein, dekat sini, oleh tiga anggota polis berpangkat konstabel dan seorang orang awam ketika cuba meninjau kawasan perumahan di situ menggunakan teropong.
Dalam kejadian itu, seorang anggota cedera di bahagian leher akibat dilibas dengan pisau Rambo oleh suspek.
MB: Murtad di Selangor berkait kemiskinan

23 November 2012
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata isu murtad dalam kalangan umat Islam di Selangor antara lain berpunca daripada kemiskinan dan usaha menanganinya perlu dilaksanakan dengan bijaksana.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri, beliau akan melihat langkah menggabungkan perkhidmatan bantuan Tabung Amanah Islam dan Lembaga Zakat Selangor supaya kebajikan umat Islam lebih terjaga.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas-Gombak Setia) yang bertanya mengenai usaha memurtadkan umat Islam  di Selangor, pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Abdul Khalid berkata agensi penguatkuasaan agama Islam di Selangor juga perlu memantau cara pendakwah agama lain menarik umat Islam serta mengkaji kaedah untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

Menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang bertanyakan jumlah umat Islam yang dimurtadkan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, beliau berkata beliau tidak mempunyai datanya memandangkan isu murtad merupakan isu individu dan keluarga yang tidak dihebahkan.

Bagaimanapun 10 kes berkaitan murtad masih dalam proses mahkamah, katanya. - Bernama
Minda pondok tetap mahu Nik Aziz berdebat

23 November 2012
KOTA BHARU - Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai beberapa pondok di Kelantan, Minda Pondok, menolak berdebat dengan pihak lain kecuali Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengenai isu doa menghapuskan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta mendakwa Umno sebuah parti murtad.
 
Ketua Biro Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata ini kerana isu itu ditimbulkan sendiri oleh Nik Abdul Aziz terutama dalam isu murtad dan Menteri Besar Kelantan itu perlu bertanggungjawab atas tuduhan berat itu.
 
"Ini soal membabitkan akidah yang ditimbulkan sendiri Nik Abdul Aziz dan kita menolak orang lain untuk menggantikan beliau.
 
"Orang yang layak berada sepentas dengan Nik Abdul Aziz (untuk berdebat) itu adalah penasihat Minda Pondok yang juga seorang tokoh agama, Tuan Guru Haji Abdullah Saamah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Rabu lepas, Minda Pondok mencabar Nik Abdul Aziz untuk berdebat mengenai soal itu dan semalam, Setiausaha Akhbar Nik Abdul Aziz, Ahmad Fadhli Shaari menawarkan diri untuk berdebat menggantikan Mursyidul Am Pas itu.

Ahmad Fadli berpendapat meletakkan Nik Abdul Aziz untuk berdebat dengan NGO itu adalah tidak wajar dan hanya perlu bagi orang lain yang berdebat dengan Minda Pondok itu adalah seperti dirinya.
 
Mengulas perkara itu, Harun berkata Minda Pondok bukan parti politik yang mempunyai agenda tertentu tetapi terpanggil untuk memperbetulkan perkara itu kerana ia menyentuh soal akidah umat Islam.
 
"Kenyataan Nik Abdul Aziz itu melibatkan soal akidah yang jika tidak dibincangkan, ia boleh memesongkan akidah umat Islam. Ini kerana Nik Abdul Aziz seorang tokoh dan juga menteri besar dalam kerajaan yang kenyataannya diikuti oleh ahli Pas dan rakyat Kelantan terutamanya," katanya.
 
Beliau berkata dua isu itu perlu didebat dan dibincangkan secara ilmiah berdasarkan al-Quran dan kitab, dan bukannya untuk mencari keuntungan duniawi atau pun politik kepartian.
 
Menurutnya umat Islam perlu berhati-hati dan tidak mengikut dakyah Pas itu, yang jelas bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Sama ada Nik Abdul Aziz sahut atau pun tidak cabaran berdebat, Minda Pondok tetap terus memberi penerangan dan penjelasan kepada ahli Pas bahawa perjuangan Pas masa ini telah banyak tersasar dari landasan Islam sebenarnya.
 
"Kenyataan Nik Abdul Aziz itu banyak mengelirukan umat Islam," katanya.
 
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Pengerusi TV Alhijrah Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata tindakan Pas yang mendoakan kehancuran Umno dan menuduhnya murtad merupakan perbuatan yang menzalimi parti itu.
 
Beliau tindakan memfitnah itu bagaikan 'menggigit tangan yang menyuap mereka' kerana anggota Pas sendiri telah mengecapi pelbagai faedah hasil daripada kemajuan negara yang telah diusahakan Umno dan pemimpinnya.
 
"Hasil usaha Umno dan Barisan Nasional (BN), anggota Pas ini dan keluarganya hidup senang dan aman serta mendapat banyak peluang di negara ini, namun tergamak mereka minta diturunkan bala dan menabur fitnah kepada 'tangan yang menyuap mereka'.

"Doa (hancurkan Umno) dan dakwaan (Umno murtad) nyata tidak berpaksi kepada kebenaran. Doa yang minta binasakan orang bukan doa dituntut dalam Islam," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
 
Terdahulu beliau bersama lebih 20 ilmuan Islam menghadiri perjumpaan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno.
 
Ahmad pula berkata walaupun dizalimi, Umno akan mendoakan agar anggota Pas diberi petunjuk serta hidayah dan bersama Umno dalam melakukan sesuatu yang mampu membangunkan negara.
 
"Umno telah berjaya memajukan negara ini sehingga menjadi sebuah negara Islam contoh di dunia, usaha Umno ke arah itu semuanya berlandaskan Islam. Maka tuduhan Pas itu nyata tidak berasas.

"Jangan sesekali kita bertindak menghancurkan sesama bangsa dan agama kita, itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.  - Bernama

SEMBANG...BERAPA BANYAK TPM TAK JADI PM...JANGAN DULUKAN TAKDIR
Masuk BN jika mahu jadi PM
Wartawan Sinar Harian
23 November 2012
Razali-Idris
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU – Pas perlu menyertai Barisan Nasional (BN) jika mahu memastikan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya menjawat jawatan Perdana Menteri.
Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris berkata, gabungan Pas dalam BN akan membantu menambahkan majoriti Melayu dalam Umno, sekali gus akan memungkinkan Presiden Pas untuk menjadi ketua tadbir negara.

Menurutnya, Umno sudah tentu bersikap terbuka dan beliau yakin pimpinan parti itu juga akan menerima pemimpin Pas untuk memerintah negara, sekali gus lebih memartabatkan agenda Islam serta pelaksanaan Islam.
“Sekarang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah pemimpin Umno. Kalau Pas bergabung dalam BN, sudah tentu ia boleh dibincang. Mungkin pemimpin Umno jadi Perdana Menteri dan pemimpin Pas jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kecelaruan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung siapa yang layak menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Razali berkata, Pas di peringkat bawah menginginkan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri kerana mereka tidak sedar bahawa pimpinan PR di peringkat Pusat termasuk pimpinan Pas sebenarnya sudah pun mengetahui bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diangkat menyandang jawatan tersebut.
Beliau percaya, kepimpinan Pas tidak memaklumkan perkara itu kepada peringkat bawahan termasuk sayap partinya sendiri seperti Dewan Ulama Pas yang membangkitkan perkara itu dalam muktamar baru-baru ini.
“Apa yang ditimbulkan dalam muktamar itu seolah-olah mereka tidak tahu mengenai perkara itu, dan ini menunjukkan pimpinan Pas tidak memaklumkan kepada ahli parti mereka sendiri.

“Jadi, apabila perkara itu ditegaskan oleh Dewan Ulama Pas, terbongkarlah bahawa kepimpinan atasan Pas tidak pernah memberitahu ahli peringkat bawahan mengenai Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Abdul Hadi juga telah kalah dari sudut pemilihan sebagai Perdana Menteri apabila PKR dan DAP masing-masing mengangkat Anwar untuk menyandang jawatan tersebut, termasuk di kalangan ahli Pas sendiri khususnya dari kalangan
Anwarinas.
Beliau percaya, keadaan itu juga mendorong Abdul Hadi bersuara untuk tidak bertanding dengan alasan sudah terlalu lama menjadi wakil rakyat, selain menyatakan untuk menjadi khadam jika Islam menang.

SIASAT...LEPAS DIDUDNIA...AKHIRAT DE LAH PENENTU NYA
Bekas MB Kedah sedia disiasat SPRM
Wartawan Sinar Harian
23 November 2012
Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada sebarang penyelewengan ketika beliau memegang jawatan itu.
Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.
Ketua Pembangkang Dun itu meminta kerajaan negeri sekarang supaya tidak menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan negeri sebelum ini, terhadap kegagalan mereka, tetapi gagal membuktikan berlakunya penyelewengan.
Mahdzir, yang juga Adun Pedu berkata, kerajaan negeri sekarang mengeluarkan senarai kegagalan projek kerajaan dahulu tetapi jika dilihat, kegagalan itu hanya disebabkan masalah prosedur tetapi tiada yang disebabkan oleh penyelewengan.
“Boleh bawa kes-kes ketika saya menjadi Menteri Besar kepada SPRM dan pihak berkuasa. Apa yang berlaku (kerajaan negeri sekarang) apabila nak 'defence' (pertahan) diri bubuh (salahkan) orang lain,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi Negeri, Datuk Amiruddin Hamzah ketika menjawab soalan Abdullah Jusoh (PAS-Pantai Merdeka), menyenaraikan projek kerajaan negeri sewaktu di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berhadapan dengan masalah.

Sementara itu, Mahdzir dalam perbahasannya turut membangkitkan mengenai Belanjawan Negeri 2013 yang antara lain kerajaan negeri menyasarkan kutipan premium tanah yang dianggarkan RM150 juta tahun depan.
“Ini terlalu tinggi... jika dilihat sejak 2007, purata tahunan premium tanah adalah sekitar RM40 juta setahun. Jadi kerajaan negeri kena beri penjelasan bagaimanapun kutipan RM150 juta itu boleh dicapai begitu tinggi kerana ia akan memberi kesan kepada belanjawan negeri,” katanya.

Mahdzir turut membangkitkan kebimbangannya tentang cadangan kerajaan negeri mahu membuka ladang buah-buahan di Genting Bunga berhampiran Tasik Pedu, yang merupakan kawasan tadahan.

MUSLIM DITUNTUT BERPOLITIK IKUT ACUAN ISLAM....JIKA TAK...AKHIRAT KORANG JAWAB
Relevankan Pas dalam realiti baru?
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
23 November 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SAYA pernah mengkritik Umno dalam tulisan saya sempena Perhimpunan Agung Umno yang lepas dan sebelum. Ketika itu saya tetamu parti tersebut di perhimpunan mereka. Orang Umno tidak menzahirkan kemarahan atas kritikan itu.

Perasaan mereka, saya tidak tahu.
Muktamar Pas baru sahaja berlalu. Kali ini saya ingin sedikit melontarkan persoalan untuk berkongsi dengan Pas. Maaf, bagi saya Pas merupakan parti politik yang agar sukar menerima teguran. Sekalipun tidak dinafikan ada juga pimpinan Pas yang bersikap terbuka.

Pemuda Pas merupakan sayap yang sepatutnya menggambarkan 'open-mindedness', tapi menzahirkan reaksi yang agak keras setiap kali menerima kritikan. Pembaca boleh membaca reaksi timbalan ketuanya dalam memberi pandangan balas terhadap saya ketika saya melontar pandangan agar jangan tiru pendekatan Taliban dan jangan wujudkan negara mullah.

Dalam wacana di Sinar baru-baru ini mengenai ulama dan pemerintah, banyak kritikan saya tertumpu kepada Umno, tetapi pihak Pemuda Pas yang begitu melenting hanya kerana pandangan sepintas lalu agar Pas jangan nanti membentuk negara mullah.

Umno tidak sangat melantah. Saya mula risau tentang masa depan hak bersuara rakyat terhadap kerajaan jika Pas direzekikan ALLAH menguasai Putrajaya. Apakah pendekatan Ummno sebelum PRU-12 akan dihidupkan semula? Atau lebih parah, atas nama Tuhan rakyat dilarang berbicara? Harapnya tidak begitu.

Berubah
Gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa akur bahawa mereka perlu berubah jika ingin memastikan mereka terus relevan.  Bukan sahaja gerakan Islam, bahkan apa sahaja gerakan dalam dunia ini terpaksa akur bahawa cuaca baru yang sedang dihayati oleh umat manusia memerlukan satu kerangka baru dalam pemikiran dan perlaksanaan.
Politik adalah satu bidang yang membabitkan persoalan menguruskan manusia. Manusia itu terdedah kepada pengaruh tempat dan masa. Budaya dan cara berubah disebabkan persekitaran yang berbeza. Sudah tentu, iklim politik pada zaman Nabi s.a.w dan al-Khulafa al-Rasyidin tidak sama dengan zaman selepasnya.
Sudah pasti budaya dan cara politik pada zaman Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah tidak sama dengan yang selepas itu. Demikian politik dalam era ‘nation states’ tidak sama dengan era empayar sebelum itu.
Globalisasi dan era ledakan maklumat telah mencetuskan pelbagai fenomena baru dalam kehidupan manusia.
Sesiapa yang cuba melaksanakan secara literal ataupun mengadaptasikan sepenuhnya teks politik zaman lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naïf dan dangkal dalam memahami tabiat politik (naturalness of politics) , sekaligus rasional dan tabiat Islam (naturalness of Islam) itu sendiri.
 
Retorik
Semasa awal kebangkitan Islam, gerakan Islam khususnya yang banyak bercakap tentang politik banyak melaungkan slogan-slogan yang belum diuji keberkesanannya.
Sebahagian slogan itu didokong oleh sebahagian mereka dengan penuh 'dogmatic' dan 'rhetoric'.
Padahal, sebahagian besarnya hanyalah ijtihad ataupun tafsiran yang dibuat dengan pengaruh tertentu. Sedangkan Islam lebih luas dan terbuka dibandingkan dogma dan retorik tersebut.
Kesempitan beberapa pegangan mereka khususnya apa yang dikaitkan dengan teori ‘daulah Islamiyyah’ ataupun ‘Islamic State’ telah menghalang mereka maju ke hadapan. Slogan mereka menakutkan sebahagian rakyat. Islam yang menjadi agama rahmat, diungkap dan dilaungkan secara yang menggusarkan.
Fokus terhadap menghukum rakyat dengan ‘hukuman syariah’ lebih banyak dari bicara tentang memberikan 'service' dan hak-hak rakyat yang dibela oleh syariah.

Pendekatan sebahagian slogan Islam itu seakan ingin menjadikan rakyat ‘robot patuh shariah’ bukan sebagai manusia merdeka yang taat kepada Tuhan dengan penuh pilihan.

Nilai Semula
Setelah melalui beberapa pengalaman, akhirnya banyak gerakan Islam mula menilai semula. Dalam kalangan mereka mula memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik. Mereka juga mula membahaskan betapa perlunya memahami teks dalam kerangka konteks.
Mula sedar betapa politik terdedah kepada perubahan. Islam hanya menetapkan dasar-dasar umum. Derita Dunia Muslim bukan kerana soal tiada hudud ataupun pemimpin tidak berserban, tetapi derita Dunia Muslim disebabkan 'bad governance', rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lain penyakit yang men’jahanam’kan negara.
Memalukan Dunia Muslim dibandingkan Barat yang sering mereka kutuk. Jika dilihat di sudut Islam agama yang mempentingkan kebersihan dan peraturan pun, malang sekali negara-negara umat Islam kebanyakan kotor, pengurusan yang buruk dan segala kemunduran hidup.

Sedangkan Barat yang meninggalkan agama itu jauh lebih bersih, kemas pengurusan mereka dan maju. Islam tidak salah, tetapi umatnya bersalah kerana meninggalkan ajaran Islam dalam hal-hal berkenaan.
Datang gerakan Islam pulak memberikan fokus yang tidak menggambarkan sifat Islam yang memberikan 'service' kepada kemaslahatan manusia. Maka, perubahan ataupun tajdid dalam gerakan Islam itu amat diperlukan.

Rakyat muslim mula muak dengan pemerintah-pemerintah mereka yang ada. Rasuah, salah guna kuasa,  memerah harta negara dan kezaliman menghiasi politik Dunia Muslim. Rakyat membenci pemerintah mereka sekian lama.

Era teknologi telah membuka peluang besar untuk kebangkitan yang lebih berkesan. Kombinasi antara teknologi dan hasrat perubahan politik menampakkan hasilnya. ‘Arab Spring’ menjadi bukti bahawa era baru mampu melakar politik gaya baru.
Siapakah yang akan menjadi harapan rakyat?
Gerakan Islam yang terlibat dengan politik cuba tampil ke hadapan sebagai satu alternatif baru. Persoalannya, apakah yang rakyat mahukan? Apakah mereka mahu keluar dari cengkaman golongan 'secularist' kepada cengkaman golongan mullah (clerics)?
Apakah mereka mahu kerakusan kuasa atas nama dunia ditukar kerakusan kuasa atas nama Tuhan dan agama? Sudah tentu tidak! Mereka mahukan hak, keadilan dan kenikmatan hidup sebagai insan yang bermaruah dan merdeka. Mereka sudah rimas dengan cengkaman penguasa. Islam yang rahmat diharapkan dapat menawarkan khidmat yang mereka idamkan. Mereka ingin melihat orang yang miskin dan melarat diberikan makan.
Bandar yang kotor menjadi bersih. Pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah.
Mereka bukan bermimpi untuk melihat tangan rakyat dipotong, ataupun wanita direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya. Itu bukan mimpi mereka. Itu juga bukan mimpi Islam yang penuh rahmat ini. Mereka mengharapkan gerakan Islam menghilangkan sengsara mereka, bukan sekadar untuk menghukum mereka.

Mendapat Tempat
Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru dunia kini, banyak gerakan Islam mula membuat pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan telah cuba ditinggalkan.
Pendekatan ‘haram’, haram, haram mula ditukarkan dengan mencari dan memberi alternative halal yang lebih baik kepada rakyat.
Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan mula dilaungkan. Mereka mula memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat. Al-Ikhwan al-Muslimin juga mencari pendekatan baru di Mesir.
Demikian al-Nahdah di Tunisia. Turki dilihat mengepalai hal ini. Walaupun kerajaan Turki berasaskan secularism, tapi tokoh-tokoh Islam Turki tidak menjerit perlembagaan kufur atau ingin menghapuskan perlembagaan, sebaliknya bekerja dalam kerangka yang ada.
Ini sama dengan apa yang dibuat oleh Ashamah, Najashi di Habshah yang mengepalai negaranya yang Kristian. Dia menganut Islam secara senyap dan berhubungan dengan Nabi s.a.w melalui utusan dan surat menyurat. Nabi s.a.w tidak pernah menyuruhnya meletakkan jawatan, sebaliknya dia bekerja dalam kerangka yang ada dan termampu.
Maka, pemikiran tajdid dalam memahami realiti baru amat diperlukan oleh Pas.
Usahanya itu adalah bagi membolehkan Pas terus relevan dan mencapai maqasid politik yang dikehendaki oleh syarak. Usaha seperti ini amatlah penting, walaupun biasanya ia akan dikritik oleh penganut dogma lama. Pas itu sendiri hari ini hakikatnya telah cuba berubah dalam menangani persekitaran yang ada. Apakah Pas akan berjaya menawar khidmat islami yang relevan dengan kemanusiaan hari ini?

* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pensyarah USM dan bekas Mufti Perlis
Jawatan PM: Tidak perlu bincang, PR sudah sepakat
Wartawan Sinar Harian
23 November 2012
 Dr Muhammad Nur Manuty
Dr Muhammad Nur Manuty
SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) sepakat memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekiranya PR membentuk Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), nanti.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, Majlis Syura Pas juga bersetuju Anwar menjadi Perdana Menteri seperti mana yang diumumkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
“Ini hak masing-masing. Keputusan rasmi telah dibuat oleh Majlis Pakatan Rakyat dan diperkukuhkan dengan kenyataan Husam selepas Muktamar Pas Kali Ke-58 yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, isu Perdana Menteri dalam kalangan PR sama ada Anwar atau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya polemik sahaja.

“Ia tidak perlu dibincangkan. Pendirian DAP seperti mana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, calon Perdana Menteri jika membentuk Kerajaan Pusat adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Anthony berkata, PR fokus kepada PRU13 dan polemik tersebut perlu ditamatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan