Sabtu, 24 November 2012

BUATLAH SESUATU IKHLAS SEMATA2 KERANA ALLAH...CARILAH KEREDAAN ALLAH BUKAN KERDAAN MANUSIA...ALLAH SAJA YANG BOLEH MENGAMPUNKAN KITA...MEMASUKKAN KEDALAM SYURGA ATAU KEDALAM NERAKA...JANGANLAH BUAT KERJA2 KOTOR...PENIPU....SERTA JANGAN KITA BERSUBAHAT

134,675 pengundi tidak dikenali daftar di Selangor

Harakahdaily, 24 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Seramai 134,675 pengundi tidak dikenali dikenal pasti didaftar di negeri Selangor, dedah Laporan Projek Pendemokrasian.

Selangorku melaporkan, jumlah itu mewakili kira-kira 28 peratus daripada jumlah 497,084 pemilih baru yang didaftarkan.

Sebagai rekod sehingga kini jumlah pengundi di negeri itu mencecah 1,924,281 orang.

Semakan daftar pemilih bagi jumlah itu berdasarkan daftar pemilih induk (DPI) suku ke empat 2011 yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta dilaksanakan mengikut 56 DUN yang dilakukan oleh Ketua Kampung, Ahli Majlis, kakitangan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Mengikut laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) itu mencatatkan DUN Sri Serdang mengalami bilangan pengundi tidak dikenali yang paling ramai iaitu lebih 9,000 orang.

Ia diikuti dengan DUN Subang Jaya 8,000 orang, Hulu Kelang 5,500 orang dan Sri Muda 5,000 orang.

Daripada jumlah keseluruhan pemilih baru itu, sebanyak 51 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun.

Manakala bagi pemilih yang tidak dikenal pasti iaitu seramai 134,675 orang itu, sebanyak 44 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun.

Dari aspek jantina, sebanyak 51 peratus pemilih baru merupakan lelaki dan 49 peratus wanita.

Manakala, bagi kajian pemilih yang tidak dikenal pasti pasti turut mendapati 51 peratus adalah lelaki dan 49 peratus wanita.

Mengikut aspek bangsa pula, bangsa Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 49 peratus, diikuti Cina sebanyak 34 peratus dan India sebanyak 13 peratus daripada keseluruhan jumlah pemilih berdasarkan DPI suku ke empat tahun 2011.

Bagi pemilih baru, ia menunjukkan 55 peratus daripada bangsa Melayu merupakan pemilih baru manakala 45 peratus tidak dapat dikenal pasti berdasarkan semakan yang dilakukan.

Selain itu, kaum Cina sebanyak 28 peratus pemilih baru dan 35 peratus tidak dapat dikenal pasti.

Manakala bagi India, sebanyak 11 peratus pemilih baru dan 13 peratus tidak dapat dikenal pasti berdasarkan semakan yang dijalankan.

Sementara itu, lain-lain sebanyak 8,561 pemilih baru yang terdiri antaranya Orang Asli Semenanjung, Punjabi, Eurasian, Jawa, Pakistan, Sri Lanka dan Hakka.

Laporan terbabit juga memaklumkan penambahan pemilih baru pada setiap suku tahun iaitu bermula suku ke empat 2011 hingga suku tahun ke tiga 2012 mendapati mengalami peningkatan.

Hal itu dibuktikan seramai 497,084 orang dengan peratusan 32 peratus pada suku ke empat 2011 ; 563,471 orang dengan peratusan 36 peratus pada suku pertama 2012 ; 600,406 orang dengan peratusan 38 peratus pada suku kedua 2012 dan meningkat kepada 625,210 orang dengan peratusan 40 peratus bagi suku ke empat 2012.

Jumlah pemilih berdasar suku ke tiga 2012 (belum digazetkan) seramai 2,025,153 orang serta daripada jumlah itu seramai 513,074 pemilih baru yang mencatatkan 51 peratus lelaki dan 49 peratus wanita.

Laporan Projek Pendemokrasian diserahkan kepada Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam dan diedarkan kepada Adun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan dalam satu sidang media, laporan itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sidang DNS berakhir minggu depan.

Awang Adek diminta lapor Jabatan Agama dan SPRM

Harakahdaily, 24 Nov 2012
KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mencadangkan Datuk Awang Adek Husein (gambar)  agar melaporkan kepada  Jabatan Agama dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar membukti bukti penyelewengan.

Jika tidak, kenyataan Awang Adek baru-baru ini mahu membawa kes konon PAS ada masalah akidah ke Perhimpunan Agung Umno hanya retorik semata-mata.

Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ahmad Fadli Shaari kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemuda PAS Negeri Kelantan tertarik untuk memberikan respon terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin bahawa UMNO Kelantan akan mendedahkan penyelewengan akidah PAS pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 nanti.

Kenyataan beliau disiarkan oleh akhbar Sinar Harian versi dalam talian pada 24 November 2012.

Dalam hal ini, kata Fadli, suka untuk DPPNK mencadangkan kepada Awang Adek agar melaporkan sahaja apa yang didakwa penyelewengan akidah tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk diambil tindakan sekiranya tidak yakin dengan siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) yang merupakan agensi kerajaan negeri Kelantan.

"Dalam hal ini, DPPNK tidak mahu Awang Adek hanya sekadar beretorik semata-mata," kata Ahmad Fadli (gambar kanan) yang juga Setiausaha Akhbar MB Kelantan.

Ini kerana masyarakat umum masih lagi melihat PAS sebagai sebuah parti yang serius melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan Islam berbanding Awang Adek sendiri yang pernah mencadangkan agar judi bola sepak dibenarkan sempena Piala Dunia 2010 yang lepas, kata Fadli.

DPPNK juga mencadangkan kepada Awang Adek supaya terus melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya penyelewengan yang dimaksudkan melibatkan skandal rasuah dan pecah amanah.

"Dalam hal ini, Awang Adek boleh merujuk lokasi bangunan baru SPRM Kota Bharu kepada sebuah badan bukan kerajaan OMBAK yang pernah menganjurkan demonstrasi di hadapan bangunan tersebut beberapa minggu lepas.

"Kemungkinan juga Awang Adek boleh memasukkan sekali di dalam laporan tersebut isu seorang Timbalan Menteri yang didakwa menerima suapan sebanyak RM80,000 semasa memegang jawatan penting di Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu.

"Suapan tersebut ialah dalam bentuk dua keeping cek bernilai RM30,000 dan RM50,000 daripada Advance Maintenance Precision Management (AMPM) Sdn Bhd bertarikh 6 Disember 2010," katanya.

Pada hari yang sama, kata beliau, AMPM menulis surat kepada individu terbabit selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) untuk melanjutkan kontrak penyelenggaraan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu.

"Sehingga hari ini, tiada sebarang penjelasan diberikan oleh Timbalan Menteri tersebut.

"Sekiranya Awang Adek hanya berdegar-degar menjanjikan pendedahan di Perhimpunan Agung UMNO 2012 tetapi dalam masa yang sama enggan membuat laporan kepada badan berwajib, DPPNK sifatkan Awang Adek hanya beretorik semata-mata," katanya.

Abang Mat masuk kampung bantu rakyat

Harakahdaily, 24 Nov 2012

(Abang Mat [kiri] memikul beras untuk disampaikan kepada orang miskin di Beting Maro)

PUSA (Sarawak): Kedaifan rakyat Negeri Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan BN telah mendapat perhatian daripada PAS melalui PAS Sarawak.

Seramai 50 orang penerima sumbangan kebajikan yang terdiri daripada fakir miskin, anak yatim, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan warga emas telah menerima sumbangan itu di sini kelmarin.

Sumbangan berupa barang keperluan dapur disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,  Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, di dalam program “Misi Negara Berkebajikan Beting Maro”.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan yang diadakan di Markas PAS Beting Maro menyatakan bahawa program tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik bersempena dengan tahun baru hijriah 1434.


(Bergambar kenangan dengan barangan yang hendak disumbangkan kepada fakir dan miskin)

Beliau juga seterusnya bergerak dari rumah  ke rumah penerima yang tidak dapat hadir di majlis penyerahan sumbangan tersebut.

Menurut beliau, “Sebagai sebuah negeri yang memiliki hasil bumi yang banyak dan pendapatan kasar negeri yang tinggi, sepatutnya kerajaan negeri di bawah BN memanfaatkan kelebihan tersebut di dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Dan bukannya sekadar berlegar di kalangan pemimpin atau kroni mereka sahaja.

"Seharusnya hasil bumi Sarawak ini diagihkan secara adil dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira ras perbezaan agama, bangsa atau ideology politik," katanya lagi.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyatakan kesyukuran dan mengakui bahawa PAS merupakan parti yang benar-benar prihatin dan bersifat mesra rakyat, sekaligus menepati slogan yang dibawa PAS iaitu “Membangun Negara Berkebajikan”.

“Ini barulah Wakil Rakyat yang sebenar. Turun ke lapangan untuk bertemu dan bersama dengan semua orang tanpa mengira latar-belakang. Tidak seperti BN, nak lihat batang hidung YB pun susah. Hanya hantar ‘kuncu-kuncu’ sahaja jumpa orang kampung. Datanglah ke kampung kami, naiklah ke rumah kami untuk tanya khabar dan masalah,”kata Wan Dahlan Wan Pakeh, 59, yang ditemui di rumahnya.


(Meraikan OKU yang tidak dapat melihat)

Kehadiran “Abang Mat” dan rombongannya dirai dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan nelayan.

Tidak ketinggalan juga anak-anak muda yang mesra dengan beliau dengan simbol “peace”nya itu.

Abang Mat juga turut di bawa oleh orang kampung untuk membuat tinjauan khas ke kawasan kampung yang mengalami masalah air yang sehingga kini tiada penyelesaian.

Dari tinjuan yang dilakukan, keadaan bekalan air di sekitar kawasan kampung dan gerai makan di situ sangat daif sehingga menyukarkan penduduk kampung mendapatkan bekalan air.
Tambah menyedihkan apabila batang paip yang di pasang semasa Pilihanraya Negeri Sarawak pada tahun lepas hanya sekadar perhiasan bagi mengaburi mata rakyat, sedangkan air hanya boleh di dapati pada waktu awal pagi, itupun dengan tekanan yg sangat rendah.

Menurut penduduk Kampung Pusa yang ditemui, Awang Rasit Awang Pei’e, 58, masalah air tersebut telah berlaku sejak 20 tahun yang lalu.

“Saya berdoa agar orang Beting Maro akan membuka mata mereka di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang tidak lama lagi. Kita cuba dulu beri peluang sekali kepada Pakatan Rakyat.

"Saya dan anak-anak sudah merasa kesusahan ini, saya tidak mahu cucu-cicit saya merasa keperitan yang sama. Jangankan nak minum atau mandi, nak buat majlis pun susah, apatah lagi kalau ada orang kampung mati, pun susah,” tambah Awang Rasit lagi.

Hadir sama di dalam rombongan tersebut adalah  Ketua Pemuda PAS Kawasan Batang Lupar, Zawawi Kashim beserta dengan wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak.

Peserta antarabangsa terpesona dengan budaya Kelantan

Muhammad Yusri Amin, 24 Nov 2012

(Peserta forum dakwah antarabangsa turut menikmati kesenian Kelantan)

KOTA BHARU: Peserta 13 negara yang menghadiri Forum Antarabangsa Dakwah:  Pelancongan Islam dan Mutawwif Profesional selama dua hari mulai 22 hingga 23 November 2012 di Balai Islam, Lundang dekat sini yang berakhir malam ini amat terpesona dengan kesenian dan kebudayan Islam di Kelantan.

Forum antarabangsa dakwah itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat di samping ‘memperkasa’ minda dan intelektual pendakwah mengenai fenomena masyarakat alaf baru.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berharap dengan berlangsungnya forum itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pelancongan sebagai satu ibadah selain membantu Kerajaan Negeri mempromosikan ‘pelancongan ibadah’.

Forum berkenaan memberi fokus,  antara lain kepada lestari dakwah dan peluang dakwah melalui pelancongan, membabitkan dimensi pelancoangan Islam termasuk ‘pelancongan masjid, amanah pemandu dakwah pelancong dan mutawwif professional.

Bercakap kepada wakil Harakahdaily pada Malam Kesenian dan Kebudayan Islam yang berlangsung di Gelanggan Seni, Jalan Mahmood dekat sini, beliau berkata program itu sebagai  sokongan kepada program menjadikan 2012 Tahun Melawat Kelantan, yang JAHEAIK turut terbabit.

Menurutnya, JAHEIK memainkan peranan dalam semua sektor berkaitan  dakwah kepada masyarakat termasuk program pelancongan Islam.


(Pengarah JAHEAIK bersama para peserta forum dakwah)

“Pelancongan  sebagai methodologi baru, sebagai medium dakwah yang perlu diberi perhatian.

"Kita  mengharapkan kehadiran pelancong ke Kelantan ini memberi peluang kita berdakwah kepada mereka," katanya.

Mengengenai bentuk persembahan kesenian dan kebudayaan yang dipersembahkan kepada peserta forum dan pelancong antarabangsa itu seni silat, permainan gasing dan persembahan Dikir Seri Halaqat, beliau berkata pada awal pelancongan dan peserta forum antarabangsa itu melihat persembahan itu,  sekaligus mereka melihat Islam adalah suatu yang ‘terbuka’, yang boleh diterima manusia sejagat.

Fokus juga diberikan kepada program lawatan ke masjid yang menekankan bahawa  pelancong yang datang ke masjid bukan saja memakai ‘jubah’ tetapi juga menghayati apa yang berlaku di masjid berkenaan.

“Kenapa kita sembahyang lima kali sehari, kenapa waktu sembahyang berbeza-beza, dan pergerakan sembahyang macam ini, apa disiplinnya, kenapa ambil wudhuk.

“Itu sebagai satu pendidikan baru kepada orang yang belum Islam untuk mengenali Islam," jelasnya.

Mengulas persembahan dikir oleh Kumpulan Dikir Sri Halaqat pada malam ini, beliau berkata, ini menunjukkan bahawa Islam tidak menolak ‘hiburan’.

“Apa yang dibenarkan syarak,  kita tidak menolak, bahkan manusia dan masyarakat keseluruhannya boleh memenuhi keperluan hidup mereka, tidak bertentangan dengan Islam," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajan mempromosikan Dikir Sri Halaqat ini pada  persada masyarakat di setiap program yang kita adakan sama ada majlis makan malam atau lain majlis  di peringkat negeri, peringkat nasional dan antarabangsa.

”Kita cuba tonjolkan kumpulan dikir ini, dan malam ini (persembahan  dikir oleh kumpulan ini) adalah peringkat antarabangsa.   Kini 'budaya' dan maklumat  mengenai persembahan kumpulan ini dimiliki warga dunia,  bukan saja di Kelantan," beritahunya.

Antara yang sempat menyaksikan persembahan tadi ialah peserta daripada 13 negara termasuk Amerika Syarikat, Mesir, Bahrain dan German.  Mereka terdiri dari muslim dan non-muslim.

Pengarah JAHEAIK berharap program Malam Kesenian dan Kebudayan Islam itu akan dijadikan program tahunan.

“Dan saya telah mendapat persetujuan daripad Bahrain tadi, mereka sanggup untuk memberi kerjasama dalam  tempoh dua tahun sekali untuk hadir ke Kelantan menjayakan program ini,” ujarnya.

Kuburkan Utusan saja bukan vendornya

ABU,
Assalamualaikum...

Saya mewakili vendor/peniaga surat khabar, amat tidak bersetuju di atas cadangan agar pengedar dan penjual Utusan di saman Di atas beberapa sebab.


1- Kami hanya mencari rezeki di bumi Allah ini, bukanlah hak Umno.Ini bukan penyelesaian .

2-Kami hanya berniaga, bukanlah penfitnah macam umno.

3-ALlah swt mengurniakan akal kepada manusia, agar menimbang sesuatu berita sama ada       benar atau fitnah.

4-KAmi adalah peniaga yg mempunyai akaun vendor di dalam setiap akhbar,sama ada Utusan meloya,NSTP,The star,Dan setiap akhbar yg ingin di ambil, perlu menggunakan wang hasil berniaga, harian, bukan dari UMNO. Termasuk Harakah, Keadilan, Roket.

5- Setiap akhbar ada pembaca dan peminat, terserah lah pada pembaca bagi menilai setiap berita atau artikel.

6- Janganlah bersikap macam Umno...mahu menyekat kebebasan bersuara.

7- Kami juga sering mempromosikan akhbar yang dekat di hati kami, ini kerana, setiap pagi, ketika sampai akhbar2 di cawangan negeri2, kami lah yang akan membaca dan menilai ..dah tentu lah kami akan promosi akhbar Harakah, Keadilan dan segala yg berkaitan kebenaran, keadilan ..walaupun keluaran hanya seminggu 2 kali atau sekali..so jangan lah judge kami..

8-Semoga pihak tuan dapat menimbang dan memikirkan cadangan yang diutarakan En Mohd Sayuti Omar, walaupun kami ini hanya rakyat marhen, yang tiada apa2 ..dan hanya mempromosi kan kebenaran di atas setiap laporan akhbar.

9- Untuk pengetahuan pihak Harakah, sejak dari 1998 lagi jualan akhbar Utusan memang telah jatuh dan kalau nak kuburkan, biarlah kuburkan syarikat Utusan sahaja, janganlah sampai dengan vendor2 ...ini kerana, kami juga tak nak sekubur dengan akhbar yg jijik n bnyak dosa. Apakah kami juga hendak disingkirkan?

10- Semoga Allah bersama kita dimasa susah dan ketika senang.

ABU-ASAL BUKAN UMNO!!!

AKU SAYANG KAMU

Fakhratu Naimah Muhad, 24 Nov 2012


“BAHAGIANYA mak kalau boleh lihat anak emak yang bercakap sebegitu. Pasti mak akan menjadi penonton setiamu nak.”

Aku masih ingat itulah kata-kata bonda tersayang. Tunak matanya utuh pada skrin televisyen, dan kepalanya mengangguk-angguk faham dengan penjelasan ustaz. Aku sendiri mengakui bahawa langkah para pendakwah yang muncul di dataran media massa ini membuka langkah yang positif untuk masyarakat mengenali Islam dengan lebih mudah. Tapi cara ini bukanlah pilihanku. Bilang mak, ijazah sarjana muda dari universiti tempatan dan ijazah sarjana yang aku perolehi daripada Universiti al-Azhar sudah cukup untuk aku menembusi kaca televisyen. Setidak-tidaknya, aku menjadi pensyarah di mana-mana universiti. Sudah cukup untuk mak tersenyum sampai ke langit.

Tapi itu bukanlah pilihanku…

***




GURU besar itu mengerling ke arah wanita yang duduk sebaris dengannya. Semuanya ibarat buah mempelam masam yang tumbuh di belakang rumahku. Dan aku faham, itu adalah jawapan kepada permintaanku. Salahkah aku untuk menjadi guru di situ?

“Kelayakkan kamu terlalu tinggi. Pergilah menjadi pensyarah. Sia-sia sahaja ilmu kamu jika menabur bakti disini.”

“Tapi Puan..” belum sempat aku memberikan hujah, pantasnya wanita yang kutebak umurnya mungkin sepuluh tahun lebih muda daripada ibuku ini memotong. Katanya, aku masih muda. Pergilah terokai dunia dahulu.

Nasi dingin, pinggan retak; orang tak ingin buat apa aku ingin berkehendak. Tapi darah Melayu dalam badanku masih ada dan darah ini masih mempercayai pepatah, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Inginku buktikan kepada wanita tersebut, pasti aku meneruskan langkahku untuk menerokai dunia, tapi dengan caraku yang tersendiri. Pasti!

***


“USTAZ, kenapa kita diwajibkan solat?” kaca mataku diperbetulkan. Suara anak kecil yang bertanyakan soalan cukup membuatkan aku bahagia. Wajah polos mereka yang dahagakan ilmu, yang memerlukan tangan untuk memimpin mereka melihat dunia.

“Kerana kita adalah hambaNya. Siapa tuhan kita?”

“Allah!”

Tidak perlu aku memberikan jawapan yang terlalu berat untuk mereka. Biarlah mereka memahami satu persatu. Bukankah awal ilmu adalah mengenali Allah. Dan itulah tujuanku, menyemai akidah yang kukuh dalam jiwa mereka. Dan dihadapanku, sekumpulan anak-anak kecil yang telah menjadi tanggungjawabku untuk mendidik mereka semampu mungkin.

Pandangan sinis dan perlian beberapa teman dan orang kampung tidak aku hiraukan. Semuanya sudah tenggelam dalam kepetahan anak-anak kecil ini. Apa salahku menjadi guru tadika? Dan apa salahnya guru tadika itu seseorang yang berketurunan Adam?

Aku tahu bukannya senang untuk menerima pandangan masyarakat tentang hal ini. Desir angin membawa perkhabaran; bolehkah lelaki memberikan penjagaan dan mengajar anak-anak mereka setanding dengan wanita? Syukur, hatiku masih kental. Aku terima segalanya dengan pandangan positif. Benar, tidak akan lengkap lelaki tanpa wanita.

Aku tahu diri ini tidak akan mampu mendidik mereka dengan belaian seorang wanita yang lemah lembut. Kerana itu, aku tidak bersendirian, ratu hatiku akan sentiasa menyokongku. Walaupun akalnya tidak boleh menerima inilah keputusan anaknya, tetapi itu hanyalah seketika. Tatkala aku memberitahunya itulah jalanku, dia terdiam dan tidak semena-mena ubun-ubunku dicium. Katanya, “Emak akan bantu kamu.”

***

AKU masih ingat penggawa kampungku, Haji Haron namanya. Tapi aku lebih suka memanggilnya pak sahaja. Kecil-kecil dahulu, selalu aku menolongnya di kebun mengutip buah rambutan. Dan kerja itu aku lakukan sehinggalah aku sampai ke tangga menara gading. Selalu dia pesan kepadaku supaya bila berjaya nanti usahlah lupa kepada anak bangsa, apatah lagi warga desa ini. Kata-kata itu tidak pernah kulucut daripada diari hatiku.

Satu hari yang tenang, melihat gerimis malam yang turun. Aku duduk di lambur surau bersamanya setelah usai menyampaikan tazkirah ringkas. Menjadi anak muda yang baharu pulang dari ranah Timur Tengah, bersungguh-sungguh benar Pak Imam Uda meminta aku mengisi kelompongan waktu antara Maghrib dan Isyak untuk diisi. Setelah difikir hingga ranum, aku ingin jadikan ruang ini sebagai platform untuk aku menyahut seruan utusan terakhir, Nabi Muhammad yang meminta umatnya menyampaikan apa yang darinya walaupun satu ayat.

“Fakhruddin, pak boleh usahakan untuk menambahkan ruang di masjid ini untuk cita-cita kamu itu. Tetapi, kenapa jalan ini yang kamu pilih? Tidak mahukah kamu berhijrah ke kota seperti anak muda yang lain?”

“Ini semua kerana ingatan pak juga. Pak yang meminta saya menabur bakti apabila besar kelak. Bukankah ini jalan yang terbaik? Ya, terbaik buat saya.”

“Pak tidak jangkakan ini jalannya. Banyak lagi cara yang boleh kamu lakukan. Orang berpengetahuan seperti kamu, boleh sahaja menjadi wakil rakyat untuk kawasan ini. Ceburilah bidang politik sahaja, anakku.”

Aku merenung awanan gelap yang berarak bebas. Mungkin akan ada lagi hujan yang bakal turun. Walau segelap itu kepulan awanan itu, hatiku tidak akan berubah kerananya. Aku ada matlamat tersendiri. Usah cuba menggoyangkan pohon cita-citaku selagi tidak menyalahi syariat. Adat? Tidak mengapa untuk diselisihi. Bak kata-kata Rumi, “Berbicaralah dalam bahasa yang baharu, dengan itu dunia akan menjadi dunia yang baharu.”

Aku menyentuh bahu lelaki itu. Serasa tulang-tulang yang semakin menimbul. Temulang empat kerat itulah yang telah berusaha membina sebuah keluarga yang bahagia, yang bertungkus-lumus menjaga kebajikan penduduk kampung setelah sekian lama.

“Pak, setelah sekian lama Islam ditindas di Bumi Palestin, Selatan Thailand, Rohingya dan beberapa lagi kawasan bukan? Sedih benar kita melihat mereka di sana. Mata kita hanya memandang sayu anak-anak kecil yang terbunuh, wanita yang diperlakukan dengan wewenang, orang tua yang dibelasah dengan rakus.” Kerongkongku rasa perit untuk meneruskan kata-kata.

“Benar, Fakhruddin.” Kali ini, giliran orang tua itu pula memandang langit. Mungkin dia membayangkan penderitaan saudara seIslam di sana.

“Restuilah saya pak. Kerana mereka saya mencipta impian untuk membuka tadika ini.” Ujarku bersungguh-sungguh.

“Apa maksud kamu, Fakhruddin?”

“Pak, teman saya di Mesir dulu pernah merakamkan sebuah kisah kepada saya. Benar, semenjak hari itu saya begitu terabsah dengan kata-katanya. Teman saya itulah yang telah membuka minda dan hati ini. Pesannya belajar kerana Allah, untuk menolong saudara-saudara kita. Bukan kerana pangkat dan harta. Bermula dengan kisah yang cukup ringkas itulah, perasaan saya membuak-buak untuk memilih jalan ini, pak.”

“Apa kisahnya,” Pak Haron mempamerkan rasa minatnya.

“Makanan paling sedap daging orang Arab, minuman paling sedap darah orang Islam,” aku mengulang ayat itu berulang kali. Meniru cara penceritaan Hossein kepadaku dahulu. Dia seorang anak watan Palestin yang berjaya menuntut ilmu di Universiti al-Azhar. Ternyata, reaksi daripada Pak Haron membuktikannya dirinya cukup sensitif.

“Fakhruddin, hentikan!” jerkahan daripada pak membuatkan aku serta merta diam.

“Apakah makna semua ini?” dia mencerlung ke arahku.

“Sabar pak. Itulah kisahnya. Jika pak minta saya berhenti, serta merta saya boleh hentikan mulut saya daripada berkata-kata. Tapi, nun di sana, anak-anak Yahudi diajar sebegitulah di bangku tadika mereka. Itulah nyanyian mereka, siulan lidah mereka, pak.”

Aku sempat melihat bibirnya melafazkan hauqalah dan isti’azah berulang kali. Dengan meraup-raupkan wajahnya, dia masih sempat menyoalku, “Apakah benar kata-katamu. Fakhruddin?”

“Itulah yang diceritakan kepada saya. Dan saya sendiri pernah membaca daripada blog seorang ustaz di laman sesawang. Kisah yang sama dituturkannya. Anak-anak kecil itu dirakamkan di tadika mereka, dan guru mereka bermain piano mengiringi nyanyian mereka. Gembira benar mereka, pak…”

Pak Haron hanya mengangguk, lemah. Aku meneruskan kata-kataku.

“Anak-anak kecil di tempat kita, dikatakan masih mentah untuk mengenal dunia. Diajarnya lagu-lagu yang tidak membina pemikiran mereka. Disogok dengan kisah-kisah dongeng. Kisah cinta putera puteri, haiwan dan sebagainya. Bukankah dalam Islam sudah ada kisah teladan yang cukup baik? Kenapa mereka ini tidak diberikan pendedahan tentang dunia serba sedikit. Tidak disemaikan rasa cinta kepada Islam daripada usia rebung?” kata-kataku yang banyak berakhir dengan persoalan aku lepaskan semuanya untuk mengisi andas Pak Haron. Serasa kata-kataku kepadanya ibarat mewakili semua marga desa itu.

Aku lihat kepala orang tua itu mendongak, dan matanya memandang lagi dada langit yang sudah kembali bebas daripada air mata hujan. Namun, masih ada lagi air mata yang mengalir. Tidak kusangka, ada takungan air pada lopak mata orang tua itu.

“Nak, pak akan usahakan. Teruskan niatmu dan ingatlah lelaki tua ini akan membantumu hingga akhir nyawa.”

Rasa sebak menyelubungi perdu hatiku. Aku merapati lelaki yang sudah kuanggap sebagai ayah itu dan mencium tanggannya.

***




PALESTIN dihujani bom dari Zionis laknatullah lagi! Hanya sebutir bom yang dilancarkan sebagai balasan serangan kepada mereka, bergegar seluruh kota Yahudi. Bandingkan, sebutir buat mereka, dan beratus-ratus bom mereka membalas kepada saudara kita di Gaza. Adilkah mereka? Sudahlah menumpang di negara orang, tetapi masih berkuasa membuat onar.


“Anak-anak kecil dan pemuda-pemudi di sana mati kerana kelaparan. Mati kerana berjihad. Mati kerana mencari ilmu. Mati kerana cintakan Islam. Dan lihatlah anak-anak kita disini? Mati kerana apa? Mati kekenyangan, mati kerana cinta dihancurkan dan mati kerana nafsu semata-mata. Anak-anak kita, mereka pewaris masa hadapan. Sebagaimana anak-anak kecil di Palestin itulah pewaris yang akan membebaskan Palestin satu hari nanti.”

Sempat aku menitipkan kata-kata terakhir buat penduduk kampung yang datang ke surau untuk mendengar ceramah tentang isu Palestin. Aku telah menjemput sahabatku sendiri untuk membuka pekung di dada masyarakat desaku. Mereka; orang-orang tua di kampungku tidak pernah melihat gambar-gambar lain, selain apa yang terpapar di televisyen mahupun di dada akhbar. Sahabatku itu, membawa peralatan khas dan menunjukkan tayangan video penderitaan masyarakat Palestin. Dan kulihat, banyak benar air mata yang gugur di tubir mata mereka.

Anak-anak kecil yang mengikuti pengajian dibawah kelolaanku tidak kuabaikan. Mereka aku tempatkan sekali di dalam majlis ilmu itu. Biar mereka sedar tentang pengorbanan teman-teman mereka. Kudus sekali aku melihat kanak-kanak yang comel berkopiah putih dan bertudung itu tidak berkerdip memandang gambar-gambar teman seusianya yang berdarah daripada ubun-ubun hingga ke hujung jari kaki. Ada yang menekup wajah mereka, kerana tidak tega melihat penderitaan anak-anak kecil Palestin.


Berada di bulan November, adalah detik-detik terakhir aku bersama mereka, kumpulan pelajar pertama yang sanggup belajar denganku. Usai sahaja cuti persekolahan ini berakhir, maka mereka akan berangkat ke dimensi baru; sekolah rendah. Guruku dahulu pernah berkata, kanak-kanak di usia rebung begitu amat mudah sekali menerima apa jua bahasa yang diajarkan dan aku mengambil peluang ini mengajari mereka bahasa Inggeris dan Arab. Hanya Tuhan yang maha mengetahui betapa manisnya saat melihat mereka bertatih mempelajari al Quran bersama ibuku, mengenal satu persatu patah perkataan Arab, Inggeris dan ABC. Dan lebih subur rasa syukurku menerima pujian daripada para ibu bapa kerana anak mereka tidak lagi degil dan rajin untuk solat. Namun, sesungguhnya pujian itu tidak layak buatku kerana segalanya daripada Allah.

Selesai sahaja majlis, para hadirin yang hadir beredar daripada perkarangan surau. Dan aku juga keluar untuk mengiringi sahabatku pulang. Terasa begitu damai petang itu. Hatiku terjentik, apakah di bumi Palestin, Bangladesh, Thailand dan lain-lain negara yang mempunyai Muslim yang ditindas dapat mengecapi nikmat sebegini? Dan aku sebenarnya bimbang. Khuatir jika diri ini kufur daripada nikmat ini.

“Bismillah…” terdiam aku sebentar. “Wahai Tuhan yang menurunkan al Quran, wahai Tuhan yang mengarakkan awan. Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkan mereka, menangkanlah kami ke atas mereka.”

Corong pembesar suara menangkap semua telinga yang berada di perkarangan surau. Air mata kami gugur berderai. Doa Qunut Nazilah usai diaminkan oleh yang mendengar. Sahabat itu, aku tinggalkan serta-merta dan meluru masuk kembali ke dalam surau. Sekumpulan anak kecil itu masih pegun di situ, menatap bersama-sama kertas doa yang diucapkan mereka.

“Ustaz, kami mahu menjadi orang Islam yang menyayangi saudara kami, cintakan akidah kami!”

Aku merangkul semua anak-anak kecil ini. Kali ini, air mataku bukan lagi harta yang mahal untukku tumpahkan. Anak-anak kecil inilah yang paling bernilai di mataku. Merekalah yang aku harapkan membawa perubahan kepada kehidupan ini. Memandu kembali yang tersasar pulang ke pangkal jalan. Penduduk kampung yang memerhatikan kami, melafazkan takbir memuji Ilahi.

“Allahu Akbar!”

PAS mempunyai peluang cerah untuk kuasai Penaga

Mohd Sabri Said, 24 Nov 2012
PULAU PINANG: Siapa kata Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga tidak boleh di menangi PAS dalam pilihan raya umum akan datang ini?

Ini kerana,  kerana kedudukan Umno yang semakin terperuk dengan masalah tersendiri sejak kebelakangan ini.

Malah Adun BN di situ, Datuk Azhar Ibrahim walaupun beliau salah seorang exco pada waktu Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini mula diperkatakan rakyat.

Selain jarang turun ke padang bertemu rakyat beliau juga dikatakan lebih membiarkan politiknya dimainkan oleh isterinya terutama ke majlis kenduri kendara di kampung- kampung.

Memandangkan PAS sudah lama bertapak khususnya di Penaga dan Parlimen Kepala Batas maka tidak dapat tidak masyarakat telah mengenali PAS sebaris Umno.

Manakala dua Dun lagi iaitu Bertam dan Pinang Tunggal ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Penyelaras Dun Penaga, Rosidi Husain (gambar atas), memandangkan runggutan rakyat yang membuak- buak maka pada tahun 2010 Pusat Khidmat Penyelaras Dun Penaga ditubuhkan bermula di Dewan Banjir Permatang Bendahari dan kini berpindah ke sebuah bangunan di Persimpangan Pasir Gebu.

"Berbagai masalah seperti jalan tar, longkang dan banyak lagi yang diabaikan oleh Dato' Azhar terpaksa dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Penyelaras Dun Penaga.  Ini membuktikan beliau seolah lepas tangan kerana kecewa dengan rakyatnya sendiri, " terangnya yang juga pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang.

Sokongan anak muda di Penaga makin meningkat ke tahap 66 peratus manakala kaum Tiounghua pula tidak jemu- jemu menanti tarikh pilihanraya umum untuk memangkah PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi mereka Umno dan komponen BN tidak boleh diharap lagi sebagai pemerintah di peringkat negeri dan persekutuan.

Program warga emas, ibu tunggal, pelajar emas, anak emas, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapat sokongan padu tanpa berbelah bahagi walaupun pada mulanya ramai yang sangsi dan terikut- ikut dengan rentak Umno yang senantiasa menyebarkan fitnah.

Paling mengembirakan golongan muda ujar Rasidi, ialah pembinaan Gelanggang Rakyat yang dalamnya terdapat padang futsal, bola jaring dan takraw di Kampung Tuan Syed.

"Saya selaku Penyelaras Dun mengucapkan jutaan terima kasih pada Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kerana membina Gelanggang Rakyat di Kampung Tuan Syed demi mencari bakat baru, menjalinkan ukhwah sesama sendiri di samping membentuk jati diri kalangan pemuda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan, " terangnya.

Pejabat PAS K Kinabalu di baling telur dan batu

Mohd Firdaus Mohd Nor, 24 Nov 2012
KOTA KINABALU: Seorang kakitangan Pejabat Pemuda PAS Negeri Sabah terkejut apabila mendapati pintu dan papan tanda pejabat berkenaan dibaling telur serta diconteng dengan perkataan kesat awal pagi kelmarin.


(Pintu pejabat PAS Kota Kinabalu dibaling telur dan batu)

Kejadian itu disedari kira-kira jam 8.30 pagi ketika kakitangan tersebut ingin membuka pejabatnya.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu percaya perbuatan membaling telur dan melemparkan batu itu dilakukan sesetengah pihak yang kurang menyenangi tindakan PAS yang agresif melawan kezaliman yang diperlakukan oleh pihak tertentu.

“Kita sendiri berasa kurang selesa bila diperlakukan sebegini. Perbuatan ini langsung tidak menunjukkan moral yang tinggi di kalangan individu mahupun parti yang terkesan akibat tindakan agresif yang dilakukan oleh PAS sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam  satu kenyataan, kelmarin.

Bagaimanapun Lahirul berkata, beliau tidak mengesyaki pihak yang terbabit dan tidak berhasrat untuk melaporkan perbuatan berkenaan kepada pihak polis.

“Kali ini kita maafkan mereka, supaya mereka benar-benar menginsafi bahawa perbuatan mereka ini adalah yang tidak bermoral,” ujarnya.



PAS Sepanggar



(Tingkap pejabat PAS Sepanggar dipecahkan)

Sementara itu, pejabat PAS Kawasan Sepanggar turut dipecahkan cermin apabila dibaling objek keras awal pagi kelmarin.

Kejadian yang mengejutkan kakitangan pejabat berkenaan yang sedang tidur itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang kecederaan.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Saifuddin Ahmad berkata, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku setelah pejabat berkenaan beroperasi sejak dua tahun yang lalu.

Beliau berkata, wakilnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Alamesra berhubung perkara berkenaan.

Cristiano Ronaldo derma 1.5 juta Euro untuk Gaza

http://detikislam.blogspot.com, 24 Nov 2012

Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo membuat keputusan mengejutkan dengan menderma 1.5 juta euro untuk kanak-kanak Gaza. Seperti dilaporkan Russia Today, Jumaat, (22/11) bintang Liga Sepanyol itu menyerahkan Kasut Emas yang dia perolehi pada 2011 kepada Yayasan Real Madrid untuk dilelong.
Yayasan tersebut kemudian mengadakan acara lelong dan dana yang terkumpul disumbangkan untuk pendidikan kanak-kanak di Gaza dan Tebing Barat. Keputusan Ronaldo itu sesuai dengan polisi Los Blancos yang baru-baru ini iaitu United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) untuk mendidik 10 ribu kanak-kanak Palestin.

Kedua-dua belah pihak bersefahaman untuk memberi kanak-kanak penghuni di Jalur Gaza dan Tebing barat agar dapat melalui program pengenalan bola sepak. Kemudian, dana itu juga bakal digunakan Yayasan Real Madrid untuk pembangunan 167 sekolah di 66 negara.
Khusus CR7, bantuan ke Palestin bukan kali pertama dilakukannya. Sifat dermawan yang ada dalam dirinya sudah ditunjukkan dengan melelong kasut sukan yang dilelong Yayasan Real Madrid pada tahun lalu. Dana puluhan juta yang terkumpul semuanya disumbangkan untuk pembangunan sekolah di Jalur Gaza yang hancur teruk akibat serangan brutal Zionis pada 2009.

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan